Hishamuddin Rais Hishamuddin Rais


PETALING JAYA - Kelemahan kerajaan dalam menangani isu kemiskinan warga kota didakwa punca utama badan-badan kerajaan, kumpulan, individu dan pusat khidmat bantuan lain tampil menghulur bantuan kepada golongan warga miskin kota.

Mengulas isu itu, pengasas Dapur Jalanan, Hishamuddin Rais berkata, kerajaan sepatutnya bertanggungjawab menyediakan satu sistem sokongan dan kebajikan untuk warga-warga miskin kota.

"Daripada kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Tengku Adnan Tengku Mansor dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Hajah Rohani Abdul Karim, adalah jelas bahawa penggubal undang-undang gagal memahami masalah sebenar warga miskin kota. Malah, tiada sebarang perundingan yang menyeluruh dijalankan dengan komuniti warga miskin kota.

"Dasar-dasar yang diusulkan kedua-dua menteri tersebut dan operasi penangkapan yang sedang dijalankan tidak akan menyelesaikan masalah struktur yang dihadapi warga miskin kota. Cadangan Tengku Adnan yang berlandaskan hukuman jenayah dalam menangani masalah sosioekonomi terhadap pemberi dan penerima bantuan amal ini adalah salah, tidak prihatin dan angkuh," katanya dalam sebuah sidang media hari ini.

Menurutnya, kerajaan harus mendalami keadaan sebenar warga miskin kota dan mengetahui masalah warga miskin kota serta pokok kegagalan struktur sosioekonomi tersebut.

"Kerajaan harus mengadakan perbincangan mengenai warga miskin kota untuk mengenal pasti keperluan dan kehendak mereka.

"Sebarang akta atau dasar berkenaan isu warga miskin kota tidak patut dilaksanakan sebelum perbincangan diadakan untuk melindungi dan memperkasakan komuniti ini," katanya lagi.

Sehubungan dengan itu, beliau bersama NGO lain mendesak kerajaan memberikan peluang kepada pihak NGO  untuk memberi cadangan penyelesaian dalam proses membuat keputusan.