Thursday, July 10, 2014

Gaza: MB K'tan gesa pusat buat bantahan diplomatik

SALMIYAH HARUN


KUALA LUMPUR: Kerajaan PAS Kelantan akan melancarkan tabung kemanusiaan khas untuk mangsa-mangsa kezaliman rejim Israel esok di Medan Ilmu Kota Bharu.

Dalam kenyataan rasmi Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob berkata mereka di peringkat kerajaan negeri sentiasa berdiri teguh bersama-sama umat Islam di sana bagi mempertahankan Gaza dan Baitul Maqdis.

"Kita memohon seluruh rakyat negeri ini secara khusus dan rakyat Malaysia amnya agar memperbanyakkan doa dan membaca qunut nazilah untuk kesejahteraan umat Islam Palestin dan kehancuran kepada rejim Israel,"katanya di laman Facebooknya.

Katanya, Allah telah menjelaskan tentang kebiadaban Bani Israel yang sanggup membunuh para Nabi yang diutuskan kepada mereka.

Namun, jelasnya, pada hari ini, saki baki keturunan mereka telah melakukan kefasadan yang sama dengan membunuh para penegak kebenaran dan rakyat awam di Palestin.

"Kini mereka menodai lagi masyarakat awam Gaza seolah-olah berperang dengan bala tentera yang besar dan terbaru dilaporkan seramai 72 orang telah syahid sementara ratusan yang lain cedera parah,"katanya.

Malangnya kata beliau, pemimpin mereka termasuk Perdana Menteri Israel sendiri mempertahankan tindakan rejimnya yang melakukan serangan tersebut dengan alasan bagi mengembalikan keamanan dan keselamatan kepada penduduk Israel, sedangkan penempatan mereka secara tidak sah itulah yang mengancam kedudukan umat Islam Palestin.

"Saya dan pihak kerajaan negeri Kelantan mengutuk sekeras-kerasnya dan meminta agar pimpinan tertinggi kerajaan pusat mengarahkan melalui Kementerian luar untuk membuat bantahan diplomatik selain menggesa pihak-pihak berkuasa seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menghentikan keganasan ini dengan kadar segera," katanya.

Bumi Gaza kini sedang bermandikan darah kerana kerakusan tentera Israel yang tidak berperikemanusiaan apabila melepaskan serangan bertalu-talu tanpa menghiraukan orang awam akibatnya ramai kanak-kanak dan wanita tidak berdosa terbunuh.

Gambar-gambar mangsa kekejaman Israel terhadap rakyat Palestin mula dikongsi di laman sosial bahkan tidak kurang juga cemuhan dan kecaman dilemparkan kepada Isreal.

Dan ramai juga pengguna media sosial melahirkan rasa simpati, sedih serta berdoa agar kepada Yang Esa agar memberi kekuatan kepada penduduk Palestin bagi menghadapi tentera Israel.

Israel mula membedil Palestin pada 3 Julai lalu ketika rakyat negara itu sedang bersahur.

No comments: