KEADILAN DAILY
KUALA LUMPUR : Pakatan Rakyat Sarawak menegaskan fokus utama parti itu di Sarawak ketika ini adalah untuk menumbang dan mengalahkan Barisan Nasional (BN) di dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.
Menurut PAS Sarawak, mereka sama sekali tidak akan mengkhianati perjanjian dan agenda bersama Pakatan Rakyat sepertimana yang termaktub di dalam Buku Jingga.
Pesuruhjayanya, Adam Ahid berkata, PAS adalah sebuah parti yang dikenali dengan semangat setiakawan dengan rakan-rakan sejak zaman kerajaan campuran Barisan Nasional pada era 70-an lagi.
“PAS tidak pernah keluar atau mengugut rakan-rakannya pada masa itu dan ianya kekal menjadi fakta dan sejarah politik di Malaysia,” katanya dalam kenyataan Pejabat PAS Sarawak hari ini.
Respon ini sebagai reaksi terhadap resolusi yang dibuat oleh DAP Sarawak melalui Pengerusinya, Chong Chieng Jen yang mengugut untuk keluar dari Pakatan Sarawak jika isu hudud tidak diselesaikan.
“Seperti yang semua sedia maklum, Hudud di Kelantan telah diluluskan sebelum kewujudan Pakatan Rakyat.
“Hudud di Kelantan hanya akan dilaksanakan di Kelantan, bukannya di Sarawak seperti mana yang dimaklumkan menerusi Resolusi oleh DAP Sarawak semalam, maka semua isu yang dibangkit oleh DAP Sarawak tiada kaitan langsung dengan pemakaian dan perlaksanaannya di Sarawak,” jelas Adam, seperti dilapor Harakah Daily.
Menurutnya, dari segi demokrasi untuk mewujudkan suatu undang-undang sebagai contohnya Enakmen Hudud di Sarawak memerlukan pindaan perlembagaan negeri di mana 2/3 undi dari kalangan Adun di Sarawak diperlukan.
Katanya, dalam hal ini Kelantan termaktub kepada keputusan kerajaan negerinya untuk melaksanakan Hudud di negeri itu dan DAP Sarawak tidak berhak menyoal keputusan tersebut dan ini adalah termaktub dalam kuasa sesebuah kerajaan negeri.
“PAS juga tidak pernah menghalang mana-mana penganut agama di Malaysia untuk mengaplikasikan cara hidup beragama masing-masing kerana itu adalah hak dan peruntukan di dalam perlembagaan. Namun, ianya hendaklah melalui proses demokrasi dan sistem berperlembagaan Malaysia,” ujar Adam.
Katanya, PAS juga tetap konsisten di dalam memperjuangkan hak untuk semua rakyat tanpa mengira bangsa dan agama.
“PAS Sarawak berharap dan berdoa sempena bulan Ramadhan yang mulia ini agar isu ini dapat diselesaikan dan dibincang secara dalaman agar hubungan dalam Pakatan terus kukuh dan tetap menjadi pilihan rakyat setiap masa,” tambah beliau.
No comments:
Post a Comment