Monday, July 7, 2014

Dapur Jalanan sedia peguam hadapi saman DBKL

SELANGOR KINI






KUALA LUMPUR: Organisasi amal, Dapur Jalanan tetap meneruskan aktiviti memberi makanan kepada golongan miskin tegar bandar walapun berhadapan risiko disaman penguatkuasa seperti yang mahu dikuatkuasakan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, baru-baru ini.

Ahli Dapur Jalanan merangkap jurucakap bagi salah satu kumpulan yang menjalankan aktiviti itu, Wong Kar Fai, berkata hal itu berikutan golongan miskin tegar bandar memerlukan pembelaan sewajarnya.

“Seharusnya, ini tanggungjawab kerajaan tetapi mereka tak buat dan bila orang lain nak buat mereka halang pula,” katanya ketika ditemui Selangor Kini selpas mengagihkan makanan sekitar Jalan Panggung, Pasar Seni, Medan Pasar dan Lebuh Ampang, di sini, malam tadi.

Katanya, sebelum ini kerajaan dijangka meminda Akta Papa 1977 dalam persidangan parlimen sesi Jun-Julai, baru-baru ini bagi membolehkan tindakan penguatkuasaan lebih keras diambil terhadap golongan miskin tegar bandar yang tidak berumah.

Bagaimanapun, pindaan itu tidak berlaku, sebaliknya kerajaan terus membuat persediaan seperti mengadakan pelbagai operasi menangkap golongan tidak berumah sebelum pindaan akta itu dilaksanakan.

“Kami tak tahu apa pindaan yang akan dibuat dan bila, tetapi yang pastinya kerajaan dah buat persediaan awal dengan mengadakan pelbagai operasi seperti Operasi Kasih, Operasi Cantas dan Operasi Bersepadu membabitkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Agensi Anti Dadah Kebangsaan, Jabatan Imigresen Malaysia serta polis.

“Kami cadangkan, Tengku Adnan turun tanya apa masalah golongan ini, apa mereka mahukan bagi mencari penyelesaian total, bukannya menyembunyikan kewujudan mereka daripada mata masyarakat dengan mengurung mereka.

“Antara keperluan utama yang harus disediakan kerajaan seperti peluang pekerjaan yang lebih baik, tempat tinggal dan tempat menyimpan beg,” katanya.

Beliau berkata, kebanyakan golongan miskin tegar bandar terbabit mempunyai pekerjaan tetapi diberikan upah yang rendah sekitar RM10 hingga RM20 sehari, sekali gus menyebabkan mereka tidak mampu menyewa rumah sebagai kediaman masing-masing.

No comments: