Tuesday, July 8, 2014

Apabila Sudah Kantoi, Ku Nan Dakwa Sumbang Berkampit Beras Kepada Gelandangan!

KELAB GREENBOC



Saya sendiri sumbang berkampit beras kepada gelandangan, kata Ku Nan


Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menafikan menghalang badan bukan kerajaan (NGO) membantu masalah gelandangan malah mengakui dirinya menyokong usaha memberi bantuan makanan kepada gelandangan di Kuala Lumpur sejak 14 tahun lalu.

Tengku Adnan berkata, tidak ada masalah jika NGO lain mahu meneruskan aktiviti agihan makanan kerana beliau juga menjalankan operasi melalui kumpulan sendiri di Jalan Imbi, Bukit Bintang.

"Saya sendiri pun operate di Jalan Imbi. Saya bagi support tiap-tiap bulan beras berkampit-kampit dan sebagainya.

"Kita nak juga gelandangan ini terbela," katanya kepada pemberita selepas menghadiri program “Nur Ramadan” di Masjid Al-Muttaqin di Taman Wangsa Melawati, Kuala Lumpur, hari ini.

Katanya, beliau juga pernah turun ke jalanan dan melihat sendiri masalah sebenar, cuma tidak tahu cara mengumumkannya kepada orang awam.

Menurutnya, yang menjadi kebimbangan apabila golongan terbabit menyumbang kepada masalah kekotoran dan sampah sarap di kota Kuala Lumpur.

"Saya tidak berapa minat kalau sesetengah orang bagi makanan secara foam dan bungkusan, jadi ini yang mengotorkan (bandar)," katanya.

Beliau berkata, pihaknya termasuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan mengadakan pertemuan dengan semua NGO dapur jalanan pada Selasa ini bagi membetulkan semula persepsi mengenai kenyataannya sebelum ini.

Perbincangan itu termasuk cadangan untuk membina rumah perlindungan “one stop centre” yang akan dibeli DBKL untuk menangani masalah kemiskinan dan gelandangan.

Ditanya megenai teguran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak melalui Twitter yang menyeru supaya peranan NGO dapur jalanan dihargai, beliau berkata dirinya sudah menjelaskan perkara sebenar kepada Najib.

"Saya harap dapat selesaikan isu rumah perlindungan ini dalam hujung tahun," katanya.

Sebelum itu, Tengku Adnan ketika berucap di hadapan kira-kira 500 penduduk Parlimen Wangsa Maju berkata, tindakannya itu demi membawa perubahan dan kebaikan, malangnya diputarbelitkan dan dijadikan bahan fitnah.

"Biar Kuala Lumpur jadi livable city bukan city of rubbish," tegasnya.

Beliau juga mengarahkan pengarah penguatkuasa DBKL membuat laporan polis ekoran fitnah yang disebarkan di media sosial mengatakan pengurusan Masjid Kampung Baru disaman DBKL kerana mengedarkan bubur lambuk kepada orang ramai.

Pihaknya juga bercadang membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) kerana mendakwa kenyataan itu mengelirukan rakyat.

Seorang pengguna media sosial yang menggunakan nama “Aduka Taruna” menyebarkan berita kononnya Masjid Jamek Kampung Baru menerima 124 saman DBKL kerana memberi sedekah bubur lambuk kepada orang ramai.

Beliau turut menyeru orang ramai supaya memberi peluang kepadanya menyelesaikan kemelut isu gelandangan ini dalam tempoh dua minggu.

"Saya minta kawan-kawan yang buat kerja amal ni teruskan kerja mereka, jangan berhenti kerana ia dituntut Allah.

"Apa yang dilakukan DBKL dan Kementerian Wilayah ini dituntut (oleh agama). Kita cuba bantu ikut cara kita.

"Apa yang kita harap dapat ringankan beban mereka waktu Ramadan dan semasa nak sambut Aidilfitri," katanya. –TMI


Ku Nan: KL tetap akan dibersihkan dari pengemis

Walaupun mendapat kritikan aktivis dan pembangkang, kerajaan tetap berkeras akan membersihkan kegiatan pengemis dan gelandangan di ibu negara.

Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Adnan Mansor memaklumkan pihaknya akan melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) untuk mengeluarkan saman bersiri kepada pemberi sedekah di tepi jalan.

"Sekarang ni kita dah minta, mungkin dalam satu hingga dua minggu, siapa bagi duit kepada peminta sedekah ini pun akan ditangkap dan disaman. Dia banyak duit kan?

"Pada ketika itu juga, ada resit RM150 bayar serta-merta pada penguat kuasa.

"Kita akan keluarkan resit bersiri. Setiap kali bagi (sedekah), serta-merta bayar pada DBKL, "katanya dalam sidang media di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), di ibu negara, pagi tadi.

Dalam usaha membasmi gelandangan di Kuala Lumpur, Tengku Adnan juga menjelaskan pihaknya juga akan bekerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan.

Katanya pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat sudah memaklumkan kepada gelandangan supaya tidak berada di Kuala Lumpur sejak dua hari lalu.

Gelandangan diberi tempoh sehingga hari Isnin minggu depan.

"Kita tak mahu mereka ni. Kita sudah maklumkan dua hari yang lalu. Tengok, kita bagi masa lagi," katanya.

'Jangan bagi makan dalam bandar'

Beliau juga menetapkan had dua kilometer jauh dari kawasan Kuala Lumpur bagi NGO yang menganjurkan acara memberi makan kepada gelandangan.

"NGO nak bagi makan pada gelandangan boleh bagi makan. Tapi jangan bagi makan dalam bandar.

"Mesti 2 kilometer jauh dari Kuala Lumpur. Lot10 (di Bukit Bintang) kita letak sebagai pusat, jadi kilometer jaraknya dari bangunan itu," katanya.

Katanya sekiranya NGO tersebut gagal melakukannya, mereka juga akan disaman.
~mk



Khairy: NGO agih makanan tak kotorkan KL

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berkata kegiatan memberi makan kepada golongan miskin tidak menyebabkan kawasan bandar Kuala Lumpur menjadi kotor.

Khairy berkata, beliau pernah melihat sendiri operasi satu NGO, PERTIWI yang sentiasa menjaga kebersihan ketika memberi makanan kepada golongan itu.

Amalan itu juga ditunjukkan oleh Sekretariat Hal Ehwal Bandar (SHEB) Pemuda Umno, katanya dalam tulisan di Facebook.

"NGO ibu dan ibu saudara saya, PERTIWI, sudah lama mengendalikan soup kitchen. Sama juga dengan SHEB Pemuda Umno dan NGO lain.

"Yang pernah saya sendiri melihat, sukarelawan PERTIWI sentiasa menjaga kebersihan kawasan di mana mereka membuat program pemberian makanan," katanya lagi.

Beliau seterusnya berharap Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak akan membasmi golongan miskin itu dari pandangan umum, tetapi terus bekerjasama untuk membantu usaha NGO berkenaan.

"Harap DBKL memberi kerjasama kepada NGO seperti ini untuk meneruskan kerja amal mereka.

"Tumpuan perlu diberi untuk membasmi kemiskinan. Bukan untuk menghapus orang miskin dari pemandangan orang ramai," katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas penjelasan oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Mansor.

Tengku Adnan dalam satu laporan Astro Awani semalam mendakwa, kegiatan memberi makan kepada golongan itu menyebabkan kawasan sekitar Kuala Lumpur menjadi kotor.

“Ini kawasan tumpuan pelancongan, saya tidak mahu kawasan ini jadi kotor, banyak tikus, ada surat khabar luar negara labelkan Kuala Lumpur sebagai Bandaraya Tikus,” katanya lagi.

Dalam kenyataannya di Facebook hari ini, Tengku Adnan berkata masalah golongan gelandangan tersebut "menyumbang terhadap masalah kebersihan di Kuala Lumpur khususnya lokasi tumpuan pelancong."

"Mereka tidur di tempat yang tidak sesuai di sekitar bandar raya Kuala Lumpur dalam persekitaran yang tidak bersih dan terdedah kepada penyakit berjangkit," katanya.
~mk


ULASAN GB

Setelah dihentam teruk oleh rakyat dengan kenyataan awalnya untuk membersihkan kegiatan pengemis dan gelandangan di ibu negara, tiba-tiba kini Ku Nan buat pusingan-U menyatakan beliau juga beri berkampit-kampit beras kepada gelandangan.

Beliau juga menuduh media memutarbelitkan kenyataannya.

Sedangkan kenyataan asal amat jelas seperti yang dipaparkan di atas.

Rakyat juga tertanya-tanya benarkan gelandangan itu memperolehi "sumbangan berkampit-kampit beras" dari Ku Nan? Bila masa gelandangan ini memasak. Di mana dapurnya?

Ia menunjukkan bahawa kenyataan Ku Nan itu sendiri meragukan kerana gelandangan tidak mempunyai sebarang kemudahan untuk menyimpan dan memasak barangan seperti beras yang didakwa Ku Nan telah disumbangkannya kepada gelandangan tersebut.

Sungguh pelik dan ajaib. Dan kenyataannya itu dikeluarkan setelah ada menteri sendiri yang tidak bersetuju dengan langkah Ku Nan untuk "membersihkan KL" dari gelandangan kerana dikatakan ia mengotorkan.

Besar sangat temberang dan pembohongan Ku Nan ini.

No comments: