Oleh Rayner Yeo |
Saya merujuk kepada laporan bertajuk “Uzur’ halang Azizah jadi calon MB, kata peguam Umno”. Mengikut laporan tersebut, peguam Umno, Datuk Hafarizam Harun mengatakan Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail akan menghadapi halangan dalam menjalankan tugas jika dilantik menjadi menteri besar kerana faktor “keuzuran”.
Pandangan itu disokong oleh pensyarah Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Prof Madya Shamrahayu Abdul Aziz yang berpendapat bahawa akan timbul kesukaran bagi menteri besar wanita untuk mengiringi sultan dalam majlis rasmi kerana terpaksa duduk berasingan, di samping memberikan alasan bahawa aspek “sensiviti dan pantang larang dalam masyarakat” juga perlu diambil kira.
Penulis tidak bersetuju dengan pandangan yang diutarakan oleh kedua-dua individu ini. Sebelum menyatakan sebab-sebab penulis tidak bersetuju, ingin penulis sarankan Datuk Hafarizam Harun agar menambah sedikit ilmu pengetahuan asas tentang “keuzuran” wanita.
Untuk pengetahuan Hafarizam, dengan umur Datuk Seri Dr Wan Azizah sekarang, faktor “keuzuran” tidak lagi terpakai kepada beliau. Oleh itu, kalau kita hendak menerima apa yang dinyatakan oleh Hafarizam sebagai munasabah sekalipun, faktor ini tetap tidak terpakai dalam situasi yang ingin beliau ulas.
Zaman sudah berubah. Tradisi dan protokol lama tidak perlu diikuti secara membuta-tuli. Sebagaimana di United Kingdom di mana lagu kebangsaan “God Save the King” boleh ditukar kepada “God Save the Queen” sekiranya ratu dan bukannya raja yang memerintah, kita juga perlu sesuaikan diri dengan keadaan semasa.
Kalaupun betul ada protokol atau kebiasaan yang tidak dapat diikuti jika wanita menjadi menteri besar, apa salahnya jika ia diubahsuai mengikut keadaan?
Mungkin ada yang berpendapat tradisi perlu dikekalkan dan tidak boleh diubah sesuka hati. “Biar mati anak jangan mati adat”. Penulis ingin nyatakan bahawa pemimpin wanita dalam masyarakat Islam di Nusantara bukanlah sesuatu yang tidak pernah wujud.
Cuba kita lihat negeri Kelantan dan Aceh, dua wilayah yang sering dikaitkan dengan nilai-nilai Islam. Negeri Kelantan juga dikenali sebagai Negeri Che Siti Wan Kembang. Dari mana datangnya nama ini?
Che Siti Wan Kembang adalah seorang raja perempuan yang pernah memerintah Kelantan suatu masa dahulu. Malah, penggantinya, Puteri Saadong juga adalah seorang wanita.
Aceh yang dikenali sebagai Serambi Mekah dan merupakan pusat Islam di Nusantara sejak kejatuhan Melaka ke tangan Portugis juga diperintah oleh empat orang pemerintah wanita dari tahun 1641 hingga 1699 iaitu Sultanah Tajul Alam Safiatuddin Syah (1641-1675), Sultanah Nur Alam Naqiatuddin Syah (1675-1678), Sultanah Inayat Zakiatuddin Syah (1678-1688) dan Sultanah Iamalat Zainatuddin Syah (1688-1699).
Di zaman moden ini, pemilihan pemimpin perlulah berdasarkan kebolehan. Sudah tentu, peraturan bertulis mengenai pemilihan pemimpin haruslah diikuti. Namun sekiranya ia tidak ada dalam peraturan, janganlah pula kita mengenakan pula pelbagai syarat lapuk yang tidak masuk akal.
Kita sudah berada di abad ke-21, jangan biarkan masyarakat kita dibelengguh pemikiran patriarki sehinggakan jantina dan bukannya keupayaan seseorang menjadi ukuran dalam memilih pemimpin.
No comments:
Post a Comment