Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) meluahkan kekecewaan terhadap Kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang didakwa mengamalkan budaya kroni untuk projek mega.
Pengasas SAMM, Badrul Hisham Shaharin berkata, jika kerajaan baharu masih meneruskan budaya kroni ini, jadi ia tiada bezanya dengan amalan Kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini.
“Baru sebulan mentadbir negara, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad telah pun menganugerahkan projek tambakan laut bernilai RM30 bilion di Langkawi kepada Tan Sri Ting Pek Kiing.
“Pek Kiing merupakan individu yang didakwa gagal menyiapkan pembinaan Empangan Bakun di Sarawak pada penghujung 1990-an.
“Akibat gagal menyiapkan Empangan Bakun, negara telah mengalami kerugian berbilion ringgit.
“Kegagalan projek Empangan Bakun turut terkandung dalam laporan polis oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1998,” katanya kepada Watan Online pada Khamis.
Mengulas lanjut, Badrul Hisham turut mendakwa projek tambakan laut bernilai RM30 bilion di Langkawi diluluskan oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir ketika bersama Barisan Nasional (BN) dahulu.
“Mukhriz tidak perlu ‘berlakon’ seolah-olah tidak tahu dengan projek mewah di Langkawi. Saya menggesa Mukhriz dapat memberi penjelasan sewajarnya mengenai perkara ini,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan