Isnin, 31 Januari 2022

UMNO dan Pas, berdamailah – Mohd. Khairuddin

Setiausaha Majlis Syura Ulamak Pas, Datuk Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali. - Gambar Facebook Ust Dr. Khairuddin at-Takiri

SENARIO politik negara ketika ini semakin panas apabila kepimpinan UMNO dan Pas dilihat seolah-olah saling menyerang antara satu sama.

Situasi itu mendapat perhatian Setiausaha Majlis Syura Ulamak Pas, Datuk Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali yang berpendapat kedua-dua parti tersebut perlu berdamai.

Menurut Mohd. Khairuddin, UMNO dan Pas perlu berhenti menyerang antara satu sama lain dan menghormati pilihan masing-masing.

“Sekiranya UMNO dan Pas gagal untuk bersatu pada platform politik pilihan raya, kita masih bertanggungjawab menjaga muafakat umat untuk pelbagai lagi kepentingan.

“Budaya Politik Matang Sejahtera masih menjadi sebahagian dasar Pas dalam membawa politik dakwah. Usahlah serang menyerang. Ambillah politik damai,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menzahirkan kekesalan terhadap pemimpin UMNO dan menyifatkan parti tersebut seperti itik patah kaki.

Tindakan itu mendapat perhatian Pengarah Komunikasi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah yang berpendapat perkara itu sudah menjadi lumrah buat pemimpin Pas.

Mengulas lanjut, Mohd Khairuddin berkata, Pas dan UMNO perlu terus memperjuangkan perpaduan umat walaupun ada pihak yang tidak senang dengan Muafakat Nasional (MN) yang dibentuk sebelum ini.

Katanya, kedua-dua parti tersebut perlu terus berjuang bersama dari sudut agama, ekonomi, sosial dan pendidikan demi kebaikan rakyat.

DISYORKAN UNTUK ANDA:

    MEDAN BERITA POLITIDK DALAM KEMBAR BLOG  ' AR RISALAH 

Tak tahan karenah Anwar, DAP dan Amanah pertimbang singkir selepas PRN


Gagal mencapai kata sepakat berhubung isu lambang dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, DAP dan Parti Amanah sudah tidak tahan lagi dalam melayani karenah Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pemimpin utama kedua-dua parti komponen Pakatan Harapan (PH) difahamkan sudah meluahkan rasa kurang senang mereka terhadap beberapa keputusan Ketua Pembangkang tersebut, ia bermula sejak pendedahan klip audio dengan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sehinggalah meleret ke PRN Melaka tempoh hari.

Semasa kemelut politik tahun lalu yang menyaksikan UMNO kembali menjadi dominan di Putrajaya, Anwar juga terlibat secara langsung dalam kemelut tersebut dan menipu pemimpin DAP dan Amanah kononnya sudah memiliki majoriti untuk menjadi Perdana Menteri (PM).

Bagaimanapun, sebaliknya yang berlaku apabila parti anak muridnya, Zahid pula menjadi kerajaan pusat dengan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob diangkat menjadi PM.

Anwar yang pada mulanya yakin Zahid akan membawa beberapa Ahli Parlimen (MP) UMNO menyokongnya sebagai PM sebaliknya ditipu hidup-hidup, lebih menarik lagi Anwar juga sanggup menipu DAP dan Amanah bagi menjayakan misi anak muridnya tersebut.

Namun, DAP dan Amanah masih bersabar dengan Anwar ketika itu sehinggalah kemudiaannya sekali lagi mengikut percaturan politik yang juga disusun Anwar dengan menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama kerajaan Ismail Sabri.

Anwar begitu bangga semasa menandatangani MoU tersebut kerana mendapat manfaat daripada perjanjian tersebut selepas dinaikkan keistimewaan setaraf dengan Menteri walaupun hanya sekadar Ketua Pembangkang.

Selain itu, Ahli Parlimen PH juga mendapat manfaat apabila menerima peruntukan yang lebih banyak daripada kerajaan berbanding Ahli Parlimen Warisan dan Pejuang yang tidak menyokong MoU tersebut.

Langkah Anwar itu hanya menguntungkan PH untuk masa pendek, bagi jangka masa panjang orang ramai sudah semakin hilang kepercayaan terhadap PH dan mula menunjukkan protes terhadap gabungan tersebut.

Sehinggalah terpaksa diadakan PRN Melaka tempoh hari, terbukti rakyat mula menolak PH sehingga menyaksikan PH khususnya PKR dan Amanah tewas teruk ke tangan UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Pencapaian teruk PH dalam PRN Melaka juga sebenarnya berpunca daripada Anwar sebagai pencatur utama, ia bermula dengan episod rundingan dengan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO sehingga membuat keputusan meletak dua bekas pemimpin UMNO bertanding atas tiket PKR.

Anwar tidak langsung mengendahkan bantahan DAP ketika itu, masih berkeras untuk meletak bekas ADUN UMNO sebagai calon PH ketika itu.

Hasilnya, PKR tewas semua kerusi yang ditandinginya dalam PRN Melaka dan semuanya berpunca daripada kebijaksanaan Anwar. Namun, Anwar tetap adalah Anwar yang terlalu taksub pentingkan diri dan mahu semua orang mengikut cakapnya.

Semasa berunding dengan Zahid sebelum ini, Anwar juga membawa karekter yang sama cuba menonjolkan imej dominan kononnya mengawal Zahid, namun sebaliknya berlaku apabila dirinya pula dimanipulasi dan diperbodohkan Presiden UMNO tersebut.

Menjelang PRN Johor, Anwar sekali lagi mengulangi sikapnya yang tidak boleh bertoleransi dan mahu menjadi dominan, lihat sahaja dalam isu lambang apabila PKR dengan angkuhnya membuat keputusan tidak mahu menggunakan lambang rasmi PH.

Menurut sumber, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng sudah mengeluh dengan tindak-tanduk Anwar selepas mesyuarat Majlis Presiden PH minggu lalu, difahamkan Anwar langsung tidak mengambil kira pandangan DAP dan Amanah.

Guan Eng juga sudah tidak tahu bagaimana lagi mahu diterangkan kepada Anwar dan PKR berhubung keputusan penggunaan lambang rasmi PH. Namun, Anwar masih berkeras dengan berpendapat lambang PKR lebih hebat berbanding lambang PH itu sendiri.

Berbeza sama sekali ketika era PH diketuai Tun Dr Mahathir Mohamad, banyak keputusan bersama dibuat secara muafakat dan persefahaman antara satu sama lain. Tapi berbeza semasa era Anwar mengetuai pembangkang, banyak keputusan gagal dicapai secara bersama kerana sikap terlalu mementingkan diri dan tamak kuasa.

“Mungkin selepas PRN Johor satu keputusan besar bakal dibuat DAP dan Amanah, ia berhubung status Anwar sebagai Ketua Pembangkang,” kata sumber.

Susulan tindak-tanduk Anwar yang keras kepala dan tidak mempunyai kepimpinan yang berkaliber, DAP dan Amanah mungkin menimbang untuk mencari calon lain bagi jawatan Ketua Pembangkang tersebut.

Berkemungkinan calon yang sedang dalam kepala DAP dan Amanah kini seorang sahaja iaitu Presiden Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal.

Anwar mungkin menyedari perkara tersebut, jadi pada masa sama PKR juga perlu mencari alternatif dan pilihan untuk bekerjasama dengan parti lain. Adakah Anwar akan kembali ke pangkuan anak muridnya kembali selepas ini bagi menyelamatkan karier politik?

Op Tahun Baharu Cina: JPJ Terengganu keluarkan 390 saman sejak 25 Januari lepas

390 saman dikeluarkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu sepanjang operasi sempena Tahun Baharu Cina. - Gambar Bernama

SEBANYAK 390 saman dikeluarkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu sepanjang operasi sempena Tahun Baharu Cina bermula Selasa lepas (25 Jan) hingga 10 malam tadi.

Pengarah JPJ Terengganu Zulkarnain Yasin berkata, ia adalah hasil pemeriksaan yang dijalankan terhadap 2,301 kenderaan sepanjang tempoh enam hari tersebut.

Beliau berkata antara kesalahan yang paling banyak dikesan ialah penggunaan cermin gelap iaitu 87 kes, lesen kenderaan motor tamat tempoh (98 kes), tiada Lesen Memandu Kompeten (90 kes) dan tiada Lesen Vokasional (33 kes).

“Pada malam ini, kita adakan sekatan jalan raya di tiga lokasi iaitu di Jambatan Sultan Mahmud Kuala Terengganu, Kemaman dan Besut. Setakat pukul 10 malam, kita telah keluarkan 117 saman dan menyita tiga kenderaan.

“Selain itu, operasi malam ini juga berjaya mengesan tiga individu yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah hasil ujian saringan air kencing yang dilakukan oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK),” katanya kepada pemberita malam tadi.

Seramai 127 anggota pelbagai agensi terlibat dalam operasi bersepadu melibatkan JPJ, Polis Diraja Malaysia, AADK dan Jabatan Alam Sekitar.

Mengulas lanjut beliau berkata, operasi sepanjang musim perayaan kali ini yang berakhir pada 8 Feb depan turut tertumpu di 22 lokasi yang sering berlaku kemalangan di Terengganu.— BERNAMA

Gemar melabel, menuduh adalah cara dan sikap Pas sejak dulu – Shamsul Anuar

Pengarah Komunikasi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah.

ITIK patah kaki, thaghut, anti Islam, malah kafir antara tuduhan yang pernah dilemparkan pas terhadap UMNO.

Pengarah Komunikasi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah berpendapat, sikap Pas yang gemar melakukan tuduhan semberono dan gemar melabel itu disifatkan sebagai perkara biasa yang diamalkan pemimpin parti tersebut.

Begitupun, Shamsul Anuar berasa hairan apabila dalam keadaan mahu bersama UMNO, tuduhan dan tabiat gemar melabel itu masih diteruskan.

“Pimpinan UMNO dilabelnya dengan pelbagai gelaran. Sikap beginilah menjadi antara penyebab Muafakat Nasional (MN) menjadi hambar.

“Eloklah Pas melihat diri sendiri memandangkan mereka memiliki ramai ilmuan dan ahli agama.

“Apa yang jelas, Pas dilihat seperti mahu mengajar UMNO. Kerana itu sebenarnya bukan UMNO yang mahu menjadi Abang Long sebaliknya Pas sendiri,” katanya dalam kenyataan semalam.

Mengulas mengenai pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Shamsul menegaskan yang ia berasaskan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor.

Malah, katanya, pembubaran DUN itu juga diperkenan Tuanku Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

“Jadi tuduhan pembubaran ini atas kepentingan pemimpin UMNO tidak berasas serta tidak sepatutnya keluar daripada seorang ilmuan dan pemimpin utama parti yang kononnya berjuang untuk Islam.

“Atas dasar tanggungjawab, UMNO menyerahkan kembali kuasa kepada rakyat untuk memilih kerajaan baru,” katanya.

Mengulas lanjut, Shamsul Anuar berkata, UMNO dan BN tidak pernah menghalang Pas untuk terus mendukung Perikatan Nasional (PN) kerana itu adalah hak parti tersebut.

Menurutnya, beliau menghormati apa jua pandangan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang terhadap UMNO.

“Saya tidak menafikan jika dikatakan PN parti majmuk tetapi perlu diingat BN juga sejak ditubuhkan sudah menggabungngkan parti pelbagai kaum.

“Maka, PN tidak perlu mendabik dada kononnya hanya Pas saja yang menganjurkan perpaduan dan parti majmuk,” katanya.

Guru agama di maahad tahfiz perlu bela diri tuduhan amang seksual ke atas pelajar

- Gambar hiasan Freepik

MAHKAMAH Tinggi Shah Alam hari ini memerintahkan seorang guru agama di sebuah maahad tahfiz untuk membela diri atas satu pertuduhan melakukan amang seksual ke atas seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun, empat tahun lepas. 

Pesuruhjaya Kehakiman Hasbullah Adam mengeluaran perintah itu ke atas Mohamad Ajmal Mohamed Khairi, 26, untuk hadir membela diri di Mahkamah Sesyen Ampang pada pukul 2 petang hari ini.

Mohamad Ajmal sebelum ini telah dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen Ampang pada 4 Oktober 2019 selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie ke atas tiga pertuduhan ke atasnya. 

Hasbullah membuat keputusan itu setelah meneliti rekod rayuan oleh pihak pendakwa raya untuk kes itu serta mengambil kira hujahan bertulis kedua-dua pihak-pihak. 

Mengikut pertuduhan Mohamad Ajmal, dituduh kesalahan melakukan amang seksual fizikal ke atas pelajar itu di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan dibaca bersama Seksyen 16 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebat, jika sabit kesalahan. 

Mohamad Ajmal juga dituduh melakukan kesalahan melakukan amang seksual fizikal di bawah Seksyen 14(b) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 16 akta serupa yang memperuntukkan hukuman sama. 

Selain itu, Hasbullah berkata Mohamad Ajmal juga didakwa melakukan persetubuhan luar tabii terhadap mangsa sama mengikut Seksyen 377 C Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan maksimum 20 tahun dan hendaklah juga dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.

Mohamad Ajmal didakwa melakukan kesemua kesalahan itu di sebuah Maahad Tahfiz pada 8 Jun 2018. 

Hasbullah berkata pendengaran penuh bagi kes rayuan tersebut telah dijalankan pada 25 Januari lepas di Mahkamah Tinggi yang mana pihak perayu iaitu pihak pendakwa raya dan responden telah bersetuju bahawa rayuan dibuat berdasarkan kepada penghujahan bertulis. 

“Setelah meneliti rekod rayuan dalan kes ini dan mengambil kira hujahan bertulis yang telah dibuat oleh pihak-pihak, mahkamah mendapati wujud kes prima facie bagi pertuduhan  di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan – Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017,” katanya. 

Manakala untuk dua lagi pertuduhan, Hasbullah berkata pihak pendakwaan gagal mewujudkan sebarang kes prima facie. 

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Zatil Hidayah Ali manakala Mohamad Ajmal diwakili Peguam Ahmad Ishrakh Saad.— BERNAMA

Laporan polis dibuat kes fitnah PM

Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Mohammad Anuar Mohd Yunus (tengah) mengadakan sidang media selepas membuat laporan polis terhadap tiga portal berita yang mengandungi kenyataan palsu dan fitnah terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, hari ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

SATU laporan polis dibuat terhadap tiga portal tempatan selepas didapati mengeluarkan kenyataan palsu terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurut Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Mohammad Anuar Mohd Yunus, ketiga-tiga portal tersebut mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah dengan niat mencemarkan imej Perdana Menteri.

“Ketiga-tiga portal ini dengan sengaja dan tidak beretika membuat laporan yang salah dengan niat jahat dan mencemarkan nama baik Perdana Menteri serta menyebarkan kenyataan palsu dan menimbulkan kegusaran dalam kalangan rakyat.

“Artikel fitnah itu bertajuk ‘Ismail Sabri bimbang jadi PM paling singkat, rayu jangan tarik sokongan’ yang disiarkan pada 30 Januari 2022 dan diulang siar dengan tajuk ‘Ismail Sabri rayu jangan tarik sokongan bimbang jadi PM paling singkat’.

“Ia juga disiarkan oleh sebuah lagi portal pada tarikh sama dan menggunakan tajuk sama,” katanya ketika ditemui di selepas membuat laporan di Balai Polis Dang Wangi hari ini.

Mohamad Anuar menegaskan, laporan yang dikeluarkan tiga portal tersebut adalah manipulasi daripada kenyataan sebenar Perdana Menteri ketika menghadiri Majlis di Bera pada 29 Januari 2022.

Tambahnya lagi, tiada kelibat ketiga-tiga portal terbabit dalam sidang media majlis tersebut.

“Laporan ini dibuat supaya polis menyiasat dan mengambil tindakan terhadap ketiga-tiga portal tersebut yang mengeluarkan kenyataan palsu,” katanya

Bersatu tikam belakang Umno masa PRN Sabah, kata Najib

 

(Sinar Harian) – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mendakwa UMNO berasa dikhianati selepas Perikatan Nasional (PN) meletakkan calon di 17 kerusi dan enam calon bebas dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah bagi memecah undi Barisan Nasional (BN).

Katanya, perkara itu berlaku tidak sampai tiga minggu selepas Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) diberi surat jemputan pada akhir bulan Ogos 2020 bagi menyertai Muafakat Nasional (MN).

“Ramai sudah lupa atau masih tidak sedar apa yang telah berlaku. Ada yang masih menggunakan alasan bahawa UMNO pernah bersetuju untuk mengajak Bersatu menyertai MN lalu kami memungkiri janji sebagai propaganda bahawa UMNO yang tidak jujur.

“Ya, surat jemputan kepada Bersatu pernah ditandatangani pada akhir bulan Ogos 2020 tetapi tak sampai tiga minggu kemudian, PN meletakkan calon untuk melawan BN di 17 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam PRN Sabah.

“PN juga meletakkan calon bebas di enam kawasan DUN yang ditandingi BN untuk memecah undi kita,” dakwanya menerusi hantaran di Facebooknya pada Ahad.

Beliau berkata demikian selepas beberapa pihak tertentu menuduh UMNO tidak jujur sambil mendakwa parti itu memungkiri janji yang dibuat kepada Bersatu ketika ia menjemputnya menyertai MN.

Mengulas lanjut, Najib menambah, UMNO terpaksa melepaskan banyak kerusi tradisional BN yang mempunyai peluang tertinggi untuk menang kepada Bersatu sebagai sebahagian rundingan akan diberi jawatan Ketua Menteri sekiranya gabungan itu menang.

Ahli Parlimen Pekan itu berkata, walaupun BN berjaya memperolehi jumlah kerusi DUN tertinggi tetapi Ketua Menteri Sabah pula dilantik daripada Bersatu.

“Jadi, adakah kamu masih mahu gunakan propaganda bahawa UMNO yang mungkir janji dan khianat MN serta Pas sebab tidak teruskan untuk mengajak Bersatu sertai MN setelah kita sedar kita telah dikhianati oleh puak yang tidak jujur?

“Sebab apa kita perlu bekerjasama dan berkawan dengan pihak yang niat sebenar yang mula-mula disorok mereka adalah untuk tamatkan UMNO buat selama-lamanya dengan menggunakan pelbagai cara termasuk sogok ahli kita dan khianat kita?” soalnya

PRN Johor: SPR ada kuasa wujudkan undi pos untuk warga Johor yang kerja di Singapura

Astro Awani
PRN Johor: SPR ada kuasa wujudkan undi pos untuk warga Johor yang kerja di Singapura
SPR digesa wujudkan satu kaedah undi pos bagi membolehkan lebih 400,000 rakyat Malaysia termasuk pengundi Johor di Singapura untuk mengundi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN). - Gambar fail BERNAMA
 
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) boleh menambah satu lagi kategori Pengundi Tidak Hadir dengan menyediakan ruang untuk pengundian secara pos buat rakyat Johor yang bekerja di Singapura.
 
Penulis buku Pilihan Raya Demokrasi Malaysia, G Manimaran berkata, SPR ada kuasa untuk melakukan perkara sedemikian seperti yang dilakukan pada 2017 apabila membenarkan petugas media dan kesihatan untuk mengundi pos.
 
Menurutnya, jika dinilai situasi pada 2017 dan sekarang, keadaan pada waktu kini dilihat lebih mendesak kerana negara berhadapan dengan krisis kesihatan dan keselamatan.
 
“Kalau lihat senario pada 2017 dan sekarang, kini lebih terdesak kerana krisis kesihatan dan keselamatan…kita boleh sediakan. SPR boleh ada kuasa untuk tambah kategori, bermaksud kategori pekerja di Singapura.
 
“Di luar Singapura pun boleh. Mungkin boleh sediakan peluang mereka untuk mengambil bahagian dalam pilihan raya sebagai seorang pengundi yang layak. Ia sangat penting kerana baru-baru ini, SPR telah kuat kuasakan undi automatik.
 
“Bermakna, saya rasa semua pekerja yang tidak pernah daftar sebelum ini pun, yang bekerja di Singapura, semua sudah layak jadi pengundi. Memang ada keperluan khusus ke arah itu (sediakan undi pos),” katanya ketika bersiaran langsung di Buletin AWANI pada Ahad.
 
Tambah beliau, usaha sebegitu perlu dilakukan memandankan tiada peruntukan undang-undang yang membenarkan SPR mewujudkan pusat mengundi di negara lain.
 
Dalam pada itu, Manimaran mencadangkan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Singapura dilantik sebagai pegawai pengurus pilihan raya.
 
Bahkan, beliau turut mencadangkan pejabat pesuruhjaya dijadikan tempat mengundi dan pengumpulan undi buat rakyat Johor mengundi calon mereka dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
 
Astro AWANI sebelum ini melaporkan SPR perlu mewujudkan satu kaedah undi pos bagi membolehkan lebih 400,000 rakyat Malaysia termasuk pengundi Johor di Singapura untuk mengundi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN).
 
Cadangan itu dikemukakan oleh Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim.
 
Beliau melihat inisiatif berkenaan akan membolehkan rakyat Malaysia yang tidak dapat pulang mengundi akibat pandemik COVID-19 menunaikan tanggungjawab mereka.

PRN Johor: Ahli politik diminta ambil ujian personaliti

Sinar Harian
PRN Johor: Ahli politik diminta ambil ujian personaliti
Halim berkata, ujian RBTag bukanlah untuk mencari salah individu tersebut sebaliknya demi kebaikan bakal calon sendiri. - Gambar/ Sinar Harian
 
SHAH ALAM: Ahli politik negara termasuk calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor digesa mengambil ujian psikometrik Rasuah Busters Tag (RBTag) bagi mengukur kecenderungan tahap integriti yang menjurus kepada perlakuan salah guna kuasa dan rasuah.
 
Pengerusi Yayasan Keprihatinan Komuniti Malaysia (MCCF), Datuk Seri Halim Ishak berkata, ujian RBTag bukanlah untuk mencari salah individu tersebut sebaliknya demi kebaikan bakal calon tersebut dan ia tidak menjejaskan peluang mereka untuk menjadi calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
 
Menurutnya, RBTag adalah sebagai alat untuk mengukur kecenderungan seseorang berkaitan dengan isu integriti yang menjurus kepada perlakuan salah guna kuasa dan rasuah. 
 
“Kami menyarankan agar setiap calon atau parti yang akan bertanding pada PRN Johor dapat menghubungi pasukan RBTag Rasuah Busters untuk menduduki ujian psikometrik yang pada saya ini adalah masa yang paling sesuai.
 
“Ujian ini bakal membuktikan kepada masyarakat bahawa calon-calon ini adalah berintegriti dan selayaknya dipilih untuk menjadi wakil mereka,” katanya kepada Sinar Harian.
 
Dalam pada itu, Halim berkata, ujian psikometrik ini juga boleh diperluaskan untuk diguna pakai dalam kalangan penjawat awam sebagai penanda aras integriti untuk sesebuah jabatan.
 
“Sekiranya mereka boleh menggesa mana-mana penjawat awam untuk melaksanakan ujian tersebut maka setiap kenaikan pangkat, kemasukan bakal penjawat awam boleh lebih telus dan berintegriti,” ujarnya.
 
Jelas Halim, penggunaan ujian psikometrik RBTag itu merupakan amalan yang lazim digunakan di negara yang berada dalam kedudukan 20 teratas dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) antaranya Denmark, Finland, New Zealand, Sweden dan termasuk negara jiran, Singapura.

Keunikan pelbagai perayaan di Malaysia adalah aset negara – Azmin Ali

 MALAYSIA POST

Keunikan pelbagai perayaan di Malaysia adalah aset negara – Azmin Ali

SAMBUTAN pelbagai perayaan di Malaysia membuktikan keunikan negara dan aset paling penting kepada tanah air, kata Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau yang juga Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN) dan Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, berkata keutuhan perpaduan cukup penting demi menjamin kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara.

“Sempena Sambutan Tahun Baru Cina ini, saya menegaskan betapa keunikan pelbagai perayaan di Malaysia adalah aset kepada tanah air kita.

“Justeru, saya mengajak seluruh warga untuk bersatu sebagai sebuah keluarga besar, yakni keluarga Malaysia untuk masa depan negara yang lebih gemilang,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Beliau turut mengingatkan masyarakat supaya menjadi warga yang bertanggungjawab ketika meraikan Tahun Baru Cina dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan susulan pandemik Covid-19 belum berakhir.

“Setiap daripada kita harus menjadi warga yang bertanggungjawab. Raikanlah Tahun Baru Cina dengan mematuhi SOP dan pelaksanaan norma baru.

“Pastikan diri dan keluarga kita terhindar daripada penularan Covid-19,” pesannya. – Malaysiapost

‘Ingat, esok caj RM1 transaksi ATM dikenakan semula’

Oleh Media Mulia
PENGGUNA akan dikenakan caj RM1. -GAMBAR HIASAN

PETALING JAYA: Laman Twitter hari ini dipenuhi dengan ingatan warganet mengenai caj transaksi RM1 yang akan dikenakan semula kepada pengguna mulai 1 Februari ini (esok).

Caj kepada pengguna itu melibatkan pengeluaran wang tunai di mesin pengeluaran wang automatik (ATM) antara bank.

Sebelum ini, pengguna menikmati pengecualian caj RM1 yang dikenakan ke atas pemegang kad bagi mana-mana mesin ATM sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Maybank sebelum ini memaklumkan, mulai 1 Februari, caj transaksi pengeluaran tunai antara bank di ATM akan dilaksanakan semula.

“Pelanggan Maybank masih boleh mengeluarkan wang tunai tanpa caj di ATM Maybank,” demikian menurut bank itu.

Sebelum ini, kerajaan memperkenalkan pengecualian caj pada sistem MEPS pada 6 April 2020.

Langkah itu bagi membolehkan orang ramai mengeluarkan wang tunai daripada ATM yang berkongsi sistem MEPS semasa perintah kawalan pergerakan tanpa perlu dikenakan caj RM1.

Muafakat parti politik Melayu rapuh kerana tiada agenda besar untuk bangsa

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

Adakah PRN Johor akan beri keuntungan pada rakyat?

BANGI, – Meskipun Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dilaksanakan untuk mendapat mandat baharu rakyat, namun ia lebih kepada ‘medan’ pertembungan parti-parti politik Melayu berebut kuasa.

Lebih mendukacitakan parti-parti politik Melayu ini lebih mengutamakan kepentingan peribadi dan taksub kepartian sempit, kata pemerhati politik, Ustaz Sharipudin Abdul Kadir.

“Lihat sahaja kepada ucapan pimpinan parti yang terlibat seolah-olah pengisytiharan perang antara parti-parti Melayu.

“Pemuafakatan mereka dalam PN dan MN masih terkial-kial. Pemuafakatan terlalu rapuh kerana tiada agenda besar untuk bangsa,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net.

Ekoran itu, beliau tertanya-tanya sama ada PRN Johor akan memberi keuntungan untuk rakyat.

“Apa untungnya PRN Johor. Apa yang berlaku ialah perpecahan Melayu semakin parah. Duit jutaan ringgit akan dibelanjakan PRN. Masa dan wang ringgit akan hangus begitu sahaja.

“Kenapa parti-parti Melayu sanggup bertindak sedemikian. Jelas bila kepimpinan negara diberi kepada mereka yang tidak ada akhlak dan amanah. Langkah bermula menuju “kehancuran,” katanya.

Lebih dikesalkan katanya, harapan rakyat untuk melihat penyatuan umat tidak dihiraukan oleh ahli-ahli politik.

“Rakyat diperbodohkan dengan pelbagai dakwaan kononnya untuk membentuk kerajaan kuat perlu kepada PRN.

“Kononnya kuasa diberikan kepada rakyat yang menentukan pemimpin yang sepatutnya tetapi bila diteliti kita dapati ia hanya dakwaan palsu,” katanya.

DISYORKAN UNTUK ANDA:

   MEDAN BERITA POLITIDK DALAM KEMBAR BLOG  ' AR RISALAH 

PRN Johor: 2.57 juta pengundi biasa layak mengundi

zuhayat

Catat 28 peratus dengan penambahan 749,731 pengundi 18 tahun ke atas

JOHOR BAHRU, – Seramai 2.576 juta pengundi biasa daripada keseluruhan 2.599 juta pengundi berdaftar layak mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang akan diadakan tidak lama lagi.

Berdasarkan statistik yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), daripada jumlah keseluruhan itu, 22,536 orang merupakan pengundi awal melibatkan 10,958 anggota tentera dan pasangan, manakala 11,578 pula anggota polis dan pasangan mereka.

Menurut data yang diwartakan SPR pada 17 Januari lepas, jumlah pengundi tidak hadir luar negara adalah seramai 376 orang di semua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Pengundi boleh membuat semakan awal melalui portal semakan daftar pemilih https://pengundi.spr.gov.my., aplikasi MySPR Semak dan Hotline SPR menerusi talian 03-88927018.

Jumlah pengundi di Johor mencatatkan peningkatan kira-kira 28 peratus dengan penambahan 749,731 pengundi berusia 18 tahun ke atas susulan pendaftaran automatik Undi18.

SPR dijangka mengumumkan tarikh PRN Johor selepas mengadakan mesyuarat khas pada 9 Februari ini. – Bernama

Akar umbi Bersatu Johor cadang semua parti politik bekerjasama hadapi UMNO


Semua parti politik tidak kira sama ada pembangkang atau di sebelah kerajaan dicadangkan merangka strategi bersama bagi menghadapi UMNO dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal diadakan nanti.

Gesaan itu dilontarkan akar umbi Bersatu di 10 Bahagian dalam kawasan utara Johor sebagai tanda kesepakatan semua parti politik menolak tindakan UMNO yang tamak kuasa dan mementingkan diri tanpa mengambil kira kesusahan hidup dihadapi rakyat negeri itu.

“Kami mencadangkan agar semua pihak khususnya parti politik di negeri Johor merangka strategi ampuh bagi menggagalkan muslihat UMNO dan Barisan Nasional yang dilihat semakin rakus, tamak kuasa dan gelojoh ingin mengadakan pilihan raya di negeri Johor tanpa mengambil kira kesukaran yang dialami oleh rakyat ketika masih berhadapan dengan ancaman wabak Covid-19,” kata 10 Ketua Penerangan Bahagian Bersatu dalam satu kenyataan hari ini.

Cadangan itu hadir susulan gesaan sama yang dilontarkan oleh beberapa pemimpin blok pembangkang, Pakatan Harapan (PH) Johor supaya pintu rundingan dibuka dengan Bersatu bagi menghadapi PRN Johor nanti.

Sebelum ini, Timbalan Pengerusi Amanah Johor, Dzulkefly Ahmad mencadangkan supaya PH membuka pintu rundingan dengan Bersatu bagi mengelak episod PRN Melaka berulang lagi.

Selain itu, seorang lagi bekas Ahli Jawatankuasa Amanah, Mazlan Aliman juga berkata PH perlu memikirkan kerjasama lebih luas berbanding hanya melihat kepada parti pembangkang seperti Pejuang, Warisan dan MUDA.

Langkah tersebut penting jika tidak mahu senario di Melaka dan Sarawak berulang, ia ibarat “serah tengkuk” kepada UMNO dan BN.

Kedua-dua pemimpin tersebut berpandangan langkah tersebut penting jika tidak mahu senario di Melaka dan Sarawak berulang.

Dalam pada itu, 10 Bahagian Bersatu juga menyatakan sokongan terhadap keputusan PAS dan Bersatu yang bersetuju untuk bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) dan mengutuk tindakan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang keluar parti baru-baru ini.

“Kami Menyokong penuh Resolusi Muzakarah PAS-Bersatu bertarikh 28 dan 29 Januari 2022 yang membuat ketetapan akan bersama menyertai PRN Johor atas nama Perikatan Nasional.

“Kami juga mengutuk tindakan tidak bermaruah dua orang mantan ADUN Bersatu yang keluar parti selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dibubarkan. Tindakan mereka ini sudah dijangka, serta tidak menjejaskan perpaduan BERSATU Johor dan ukhuwah Perikatan Nasional,” kata kenyataan itu lagi.

Sabtu minggu lepas, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan pembubaran Dewan Undangan Johor bagi membolehkan PRN diadakan selepas Baginda menerima menghadap Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad di Istana Bukit Serene, Johor.

8 kematian, kes aktif naik lagi

AGENDA DAILY

Lapan pesakit meninggal dunia akibat komplikasi Covid-19 dalam tempoh 24 jam semalam, termasuk satu kes kematian yang dikategorikan sebagai brought in death (BID), lapor Kementerian Kesihatan (KKM), hari ini.

Menerusi statistik laman sesawang Covidnow yang dikemas kini tengah malam tadi, jumlah terkumpul kes kematian sejak awal 2020 lalu kini mencecah 31,965, termasuk 6,442 kes BID.

Jumlah kematian itu naik tiga kes berbanding lima kes yang dilaporkan pada Sabtu.

Berdasarkan statistik itu Perak mencatat tiga kematian, diikuti dua di Johor dan masing-masing satu di Melaka, Pahang, serta Terengganu.

Dengan angka terbaharu itu Perak kini mencatat kes kematian terkumpul sebanyak 1,436, termasuk 188 kes BID. Sehingga semalam, negeri itu mencatat 133,095 kumulatif kes positif, dengan 130,231 pesakit telah sembuh, dan 1,428 kes masih aktif.

Daripada jumlah kes aktif itu, 1,199 pesakit diarah menjalani kuarantin di rumah, manakala 64 pesakit ditempatkan di PKRC. Seramai 149 pesakit dimasukkan ke hospital, dan 16 dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 14 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Sejak 24 Februari tahun lalu hingga kelmarin, seramai 1,862,751 atau 74.2 peratus daripada populasi penduduk di Perak telah lengkap divaksinasi, 1,887,486 atau 75.2 peratus lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos, dan 747,126 individu menerima dos penggalak.

Sehingga kini, 22 daripada 414 kluster yang dikesan di negeri itu masih aktif, dengan 12 daripadanya melibatkan kluster pendidikan; tempat kerja (lima); komuniti (tiga); dan kumpulan berisiko tinggi (dua).

Dalam tempoh seminggu lalu, 27.7 peratus kematian akibat Covid-19 di seluruh Malaysia membabitkan pesakit berusia 80 tahun dan ke atas; diikuti 25.3 peratus (60-69 tahun); 21.7 peratus (70-79 tahun); 12.1 peratus (50-59 tahun); 7.2 peratus (40-49 tahun); 3.6 peratus (18-29 tahun); dan 2.4 peratus (30-39 tahun).

Sepanjang minggu berakhir 30 Januari pula, sebanyak 27.4 peratus kes positif melibatkan individu berusia 18 hingga 29 tahun, diikuti 19.6 peratus (30-39 tahun); 13.5 peratus (12-17 tahun); 11.2 peratus (40-49 tahun); 9.4 peratus (5-11 tahun); 7.5 peratus (50-59 tahun); 4.8 peratus (60-69 tahun); 4.2 peratus (0-4 tahun); 1.8 peratus (70-79 tahun); dan 0.6 peratus (80 tahun ke atas).

Sehingga semalam, negara merekodkan 2,865,984 kumulatif kes positif dengan 2,780,771 pesakit telah sembuh, dan 53,248 kes masih aktif, meningkat berbanding 51,397 kes pada Sabtu.

Daripada jumlah kes aktif itu, seramai 45,883 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 4,247 ditempatkan di PKRC; 2,998 dimasukkan ke hospital; dan 120 dirawat di ICU dengan 65 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Pecahan kes berkaitan Covid-19 di setiap negeri sehingga 

30 Januari 2022.

14 kes pemalsuan sijil vaksinasi COVID-19 setakat ini

Oleh Nor Azizah Mokhtar
PDRM sudah membuka 14 kertas siasatan berkaitan kegiatan pemalsuan sijil vakinasi COVID-19 di seluruh negara hingga kini. Semua kes masih berstatus ‘masih dalam siasatan’. - Foto hiasan NSTP
PDRM sudah membuka 14 kertas siasatan berkaitan kegiatan pemalsuan sijil vakinasi COVID-19 di seluruh negara hingga kini. Semua kes masih berstatus ‘masih dalam siasatan’. - Foto hiasan NSTP

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) hingga kini sudah membuka 14 kertas siasatan berkaitan kegiatan pemalsuan sijil vakinasi COVID-19 di seluruh negara.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan, berkata daripada keseluruhan 14 kes itu, siasatan sembilan kes dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK).

"Siasatan untuk baki lima kes dijalankan oleh JSJ dan semua kes berstatus 'masih dalam siasatan'," katanya kepada BH, hari ini.

Dalam pada itu, katanya tiada sebarang tangkapan baharu dilakukan terhadap mana-mana individu yang disyaki terbabit dalam kegiatan itu buat masa ini.

Media sebelum ini melaporkan Polis Terengganu menahan seorang doktor swasta lelaki berusia 51 tahun serta enam individu termasuk seorang juruteknik bagi membantu siasatan berhubung penipuan sijil vaksinasi COVID-19 dipercayai palsu di Marang.

Mereka yang berusia antara 35 hingga 57 tahun ditahan di sekitar Marang, Dungun dan Kuala Terengganu pada 8 dan 9 Januari lalu.

Di Kelantan, polis dan Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) menahan empat individu yang dipercayai terbabit dalam pemalsuan sijil vaksinasi palsu membabitkan sebuah klinik swasta di Kota Bharu, 16 Januari lalu.

Mereka yang ditahan terdiri daripada tiga pembeli kad vaksinasi dan seorang pemilik klinik, berusia lingkungan 30-an hingga 60-an.

Sementara itu di Selangor, polis menahan tujuh individu termasuk tiga wanita berumur lingkungan 20 hingga 35 tahun yang juga pekerja dan pemilik sebuah poliklinik.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed dalam sidang media 17 Januari lalu, berkata mereka dipercayai terbabit dalam aktiviti pemalsuan cara memperoleh dan mengeluarkan sijil vaksinasi secara tidak sah di Selangor.

Dalam pada itu di Johor, polis negeri itu membongkar sindiket penjualan sijil digital vaksin palsu yang beroperasi di Johor Bahru susulan penahanan tiga pekerja klinik swasta dan lima pembeli sijil berkenaan pada 17 dan 18 Januari lalu.

Tiada aduan minyak masak peket naik harga

Oleh Izad Thaqif Hassan
Zalina ketika memantau pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Tahun Baru Cina 2022 di Econsave Taman Patani Jaya, Sungai Petani hari ini. - Foto NSTP/Izad Thaqif Hassan
Zalina ketika memantau pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Tahun Baru Cina 2022 di Econsave Taman Patani Jaya, Sungai Petani hari ini. - Foto NSTP/Izad Thaqif Hassan

SUNGAI PETANI: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kedah tidak menerima aduan kenaikan harga minyak masak peket satu kilogram setakat ini.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP Kedah Zalina Aziz, berkata harga minyak masak peket ditetapkan RM2.50 sebungkus dan peniaga perlu mematuhinya.

"Peniaga juga tidak dibenarkan meletak syarat pembelian kepada pengguna yang ingin membeli minyak masak peket satu kilogram," katanya hari ini.

Setakat ini seramai 20 pembekal yang dibenarkan mengedar minyak masak di negeri ini dan kuota itu masih kekal tanpa pemotongan.

Mengulas kekurangan stok bekalan produk itu, beliau berkata, antara faktor dikenal pasti ialah isu pusingan daripada pembekal.

"Sebagai contoh di Kedah ini, pembekal menghantar stok minyak ke kedai runcit seminggu sekali dan disebabkan permintaan tinggi bekalan habis dan perlu tunggu minggu berikutnya.

"Selian itu, kita juga ada menerima maklumat yang peruncit sendiri gagal melunaskan bayaran sehingga ia menjejaskan pembekalan seterusnya daripada pembekal," katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, sebanyak 83 kes dikesan membabitkan kesalahan bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 menerusi Pelaksanaan Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia bagi Negeri Kedah bermula 1 Januari lalu hingga semalam.

Pembuat bom Abu Sayyaf, Mudzrimar masih hidup – ESSCOM

Mudzrimar atau Mundi Sawadjaan - Gambar Rapler.com

PEMBUAT bom yang juga sub ketua kumpulan Abu Sayyaf, Mudzrimar atau Mundi Sawadjaan yang dilaporkan ditembak mati Mei lepas di Filipina, disahkan masih hidup.

Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) DCP Hamzah Ahmad berkata status Mudzrimar yang dikehendaki di ESSCom, disahkan hasil perkongsian maklumat daripada pasukan keselamatan Filipina melibatkan Joint Task Force Sulu (JTFS) serta Western Mindanao Command (J2 WESTMINCOM).

“Mudzrimar atau Mundi Sawadjaan disahkan masih hidup susulan beberapa siri pertempuran dan  pertembungan pihak pasukan keselamatan Filipina dengan suspek sejak Julai 2021,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Hamzah berkata susulan itu,  Mudzrimar yang dikeluarkan dalam senarai individu dikehendaki ESSCom pada tahun lalu kini disenaraikan semula sebagai suspek dikehendaki membabitkan kes penculikan untuk wang tebusan di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone).

Muzdrimar juga merupakan anak saudara kepada pemimpin kanan Abu Sayyaf iaitu Hatib Hajan Sawadjaan, dan selain itu mempunyai kepakaran membuat bom serta perancang letupan bagi beberapa insiden di Jolo, Filipina pada tahun 2020, termasuk insiden letupan bom di ‘The Our Lady Of Mount Carmel Cathedral Jolo’.

Baru-baru ini tercetus persoalan berikutan kenyataan ESSCOM menyenaraikan semula Mudzrimar antara 20 suspek warga Filipina dikehendaki terkini sedangkan dia dilaporkan telah ditembak mati.— BERNAMA

'Tahun baharu 2 hari lagi, rumah pula rosak' - Mangsa ribut

Keadaan rumah yang rosak selepas dilanda ribut sekitar Kampung Tawas dan Taman Tasek Damai di Ipoh, hari ini. Foto Bernama
Keadaan rumah yang rosak selepas dilanda ribut sekitar Kampung Tawas dan Taman Tasek Damai di Ipoh, hari ini. Foto Bernama

Ipoh: Ratusan rumah mengalami kerosakan akibat angin ribut dan puting beliung di beberapa kawasan termasuk sekitar Kampung Tawas dan Taman Tasek Damai di sini, hari ini.

Kejadian itu menyebabkan penduduk di Kampung Tawas yang kebanyakannya didiami masyarakat Cina berasa sedih kerana bakal menyambut tahun baharu hanya dua hari lagi.

Menurut seorang mangsa Teoh Boh Chee, 60-an, dia terkejut apabila tiba-tiba terdengar bunyi angin kuat pada 6 petang.

"Saya sedang memasak ketika itu dan melihat sendiri bumbung rumah tercabut lalu diterbangkan angin.

"Saya tidak tahu apa perlu dilakukan kerana Tahun Baharu Cina hanya dua hari lagi...bagaimana kami hendak menyambutnya dalam keadaan begini," katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian, hari ini.

Seorang peniaga, Yong Chee Fong, 35, berkata dia bersyukur kerana 10 pelanggan dan beberapa orang pekerja yang berada di kedai makannya terselamat daripada kejadian bumbung runtuh akibat kejadian ribut berkenaan.

"Sudah 10 tahun saya berniaga makanan di sini, tetapi ini pertama kali terjadi ribut yang teruk dan banyak peralatan di kedai rosak," katanya.

Seorang lagi penduduk, Mita Devi, 36, berkata, dia melihat sendiri kejadian 'puting beliung' yang berlaku kira-kira 20 minit dan menerbangkan atap rumah.

"Saya hanya mampu berdoa agar kami sekeluarga terselamat dan syukurlah rumah kami tidak mengalami kerosakan terlalu teruk," katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Ipoh Barat M Kulasegaran ketika melawat lokasi kejadian berkata semua mangsa diminta membuat laporan polis bagi memudahkan proses penyaluran bantuan kewangan daripada pejabatnya dan kerajaan negeri.

"Kita anggarkan ratusan rumah yang terbabit di dua kawasan ini, jadi diharapkan mangsa buat laporan polis segera supaya memperoleh bantuan," katanya.

Angin kencang di timur Sabah, Semenanjung dijangka berterusan hingga 6 Februari

Foto hiasan
Foto hiasan

Kuala Lumpur: Angin kencang di timur Sabah dan Semenanjung dijangka berterusan hingga 6 Februari ini, dengan keadaan itu boleh menyebabkan hujan di beberapa kawasan.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menerusi satu kenyataan yang dimuat naik di laman Twitter memaklumkan, keadaan cuaca lembap itu dijangka berlaku di kebanyakan tempat dengan berlaku hujan pada sebelah pagi.

Menurutnya, ramalan itu berdasarkan analisis Model Penyelidikan dan Ramalan Cuaca MetMalaysia (MET-WRF), Pusat Ramalan Cuaca Julat-Sederhana Eropah (ECMWF) dan Sistem Ramalan Global (GFS).

"Susulan itu kawasan negeri Pantai Timur di Semenanjung dan timur Sabah dijangka mengalami cuaca lembap yang membawa kepada hujan pada sebelah pagi.

"Sementara itu, kawasan barat Sabah, barat dan tengah Sarawak serta negeri Pantai Barat di Semenanjung khususnya Kedah, Perak, Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka dan pedalaman Pahang dijangka mengalami ribut petir.

"Kawasan ini juga turut diramal berlaku hujan pada waktu petang hingga awal malam," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, ramalan cuaca itu signifikan bagi tempoh tujuh hari bermula esok dan boleh mengakibatkan cuaca panas dan kering di negeri di utara Semenanjung.

"Angin kencang dan laut bergelora juga dijangka berlaku di perairan Laut China Selatan antara Selasa hingga Ahad depan (2 hingga 6 Februari)," katanya.

Orang ramai dinasihatkan sentiasa merujuk laman sesawang www.met.gov.my dan semua media sosial serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat terkini dan sahih.

Sementara itu, cuaca pada sambutan Tahun Baharu Cina pada Selasa dan Rabu diramalkan berlaku hujan dan ribut petir pada sebelah pagi di satu dua tempat di Sarawak.

Ia meliputi kawasan di Kuching, Samarahan, Serian, Sarikei dan Mukah serta di Sabah membabitkan daerah Kudat, Sandakan dan Tawau.

Keadaan cuaca pada petang pula, hujan dan ribut petir dijangkakan berlaku di Kedah, Pulau Pinang, Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Sarawak (Mukah, Bintulu, Sibu, Kapit, Miri dan Limbang), Sabah (pantai barat, Pedalaman dan Sandakan) dan Labuan.

Pada sebelah malam, hujan dan ribut petir dijangka melanda beberapa kawasan di Perak, Selangor, Sarawak (Bintulu, Sibu, Kapit, Miri dan Limbang) dan Sabah (pantai barat, pedalaman dan Kudat) serta Labuan.

3 penunggang 'lalok' ditahan

 Zulkarnain (kiri) membuat pemeriksaan terhadap
Zulkarnain (kiri) membuat pemeriksaan terhadap

Kuala Terengganu: Mengesan pemandu, penunggang dalam pengaruh dadah menjadi antara keutamaan penguatkuasaan Ops Tahun Baru Cina (TBC) 2022 Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu dalam usaha mengurangkan kemalangan jalan raya.

Sehubungan itu, JPJ tidak akan berkompromi dan mengambil tindakan tegas terhadap pengguna jalan raya yang terbabit dengan kesalahan itu terutamanya penunggang motosikal.

Pengarah JPJ Terengganu Zulkarnain Yasin berkata, memandu dan menunggang dalam keadaan khayal menjadi antara punca kemalangan selain sikap tidak berhemah ketika memandu dan cuai.

"Sehingga 11 malam ini, pihak AADK (Agensi Antidadah Kebangsaan) sudah melakukan ujian saringan air kencing terhadap 23 pengguna jalan raya dan daripada jumlah itu, seramai tiga pengguna jalan raya dikesan berada dalam pengaruh dadah dengan masing-masing dua orang berusia 41 dan seorang lagi berusia 47 tahun.

"Ketiga-tiga individu terbabit adalah penunggang motosikal dan ujian saringan awal air kencing mendapati mereka positif dadah jenis methamphetamine," katanya dalam sidang media ketika mengetuai Ops TBC 2022 sempena Pelancaran Ops Peringkat JPJ Terengganu di Jambatan Sultan Mahmud di sini, hari ini.

Ops TBC 2022 dijalankan selama dua minggu bermula 25 Januari lalu hingga 8 Februari ini membabitkan kerjasama pegawai dan anggota AADK, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) dengan keseluruhan anggota seramai 127 orang.

Aliran trafik perlahan di kebanyakan lebuh raya malam ini

Foto hiasan
Foto hiasan

Kuala Lumpur: Aliran trafik di beberapa lebuh raya utama dilaporkan bergerak perlahan sehingga 11 malam ini.

Jurucakap PLUS Malaysia Berhad ketika dihubungi berkata, aliran trafik menuju ke utara dan selatan lebuh raya itu perlahan berikutan orang ramai masih melakukan perjalanan ke destinasi masing-masing bagi sambutan Tahun Baharu Cina pada Selasa ini.

"Aliran trafik bagaimanapun dijangka mengalami peningkatan pada sebelah pagi Rabu," katanya.

Sementara itu, jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berkata, aliran trafik di Lebuhraya Pantai Timur (LPT) 1 dan LPT 2 di kedua-dua arah juga bergerak perlahan namun terkawal setakat ini.

"Trafik di kebanyakan tol seluruh negara masih lancar namun trafik sebelum masuk Plaza Tol Gombak didapati mula perlahan," katanya.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol Plusline di 1-800-88-0000 dan laman Twitter di www.twitter.com/plustrafik atau talian LLM di 1-800-88-7752 serta laman Twitter di www.twitter.com/llminfotrafik

Aliff Syukri dah insaf, taknak cipta 'gimik murahan' lagi

Kuala Lumpur: Usahawan kosmetik sensasi, Datuk Seri Aliff Syukri, 36, nekad untuk mengurangkan kontroversi dan mencipta gimik murahan demi menarik perhatian warganet. 

Aliff berkata, dia juga kini sudah mula memperlahankan rentak di media sosial supaya kehadirannya dilihat lebih matang dan dikenali sebagai usahawan berjaya.  

"Saya mengaku awalnya saya kejar glamor sebab saya bukan artis, tapi rupa-rupanya glamor tanpa duit pun tak ada erti. Kalau perasan enam bulan kebelakangan ini, saya lebih selesa mendiamkan diri daripada kontroversi.

"Sejujurnya saya dah tak suka dengan kamera. Kalau nak cari kontroversi mudah saja, asal ada orang buat isu saya boleh menyelit dan ulas sebab pengikut saya dah tinggi... bukan nak riyak tapi itulah hakikatnya.

"Jadi sekarang saya mahu lebih matang, tengok orang lain buat gimik itu dan ini, saya rasa tak apalah sebab kita dah merasa dulu. Saya dah tak perlukan lagi. Apa yang saya cari sekarang adalah ketenangan," katanya ketika ditemui pada majlis Malam Aspirasi D'Herb yang diadakan di sebuah hotel, semalam.

Menurut Aliff, keputusan terbabit dibuat selepas menyedari anak-anaknya sudah semakin meningkat remaja dan enggan dirinya tidak dihormati oleh isteri dan anak-anak kelak.

"Jika diikutkan, anak pertama saya dah masuk tingkatan tiga, bila dia tanya... abah kenapa video viral macam ini, kita pun jadi malulah. Jadi saya fikir walaupun kurang kontroversi, maruah itu lagi penting.

"Anak-anak pun dah semakin membesar, dah jadi anak bujang dan anak dara. Saya dan isteri menjadi saksi betapa sukarnya nak membesarkan mereka dan kami pun dah tak boleh nak marah-marah sebab takut mereka memberontak, jadi dari situ kami sedar.

"Saya nak jaga reputasi saya sebagai bapa. Saya mahu hubungan perkahwinan saya dan isteri berkekalan. Saya nak rasa dihormati oleh isteri, anak-anak dan masyarakat," katanya. 

Tambah Alif, dia berharap perubahan yang bakal dilakukan dapat diterima baik oleh semua pihak kerana sudah tidak sanggup lagi terkait dengan sebarang kontroversi. 

"Sebenarnya kontroversi ini seronok tapi, biarlah dia datang secara semula jadi bukan dibuat-buat sebab nak kejar glamor. Kalau ikutkan saya pun nak popular hingga umur 60 tahun tapi bukan dengan cara yang murah.

"Saya kena sedar diri yang saya akan tua. Tak lama lagi dah nak masuk 40 tahun, rambut pun dah beruban. Sekarang adalah masa untuk saya jadi ahli perniagaan sebenar bukan nak 'gelenya-gelenya' (gedik) lagi. Saya tak nak dah. Nanti orang kata orang tua tak sedar diri.

"Dalam tahap sekarang ini, saya nak beserdahana saja. Alhamdulillah semua dah cukup. Nak kata kaya tujuh keturunan saya tak berani sebab kita bukan Tuhan, kita tak tahu mungkin satu hari nanti saya akan susah juga tetapi buat masa ini cukuplah boleh hantar anak ke sekolah, bayar gaji pekerja dan tidak dihimpit kontroversi murahan," katanya.

Pekerja tukar jadi bos pula!

OBJEK aneh ‘katak berkepala ikan’ yang kerap ditemui di hadapan rumahnya dipercayai ada kaitan dengan sihir. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap
OBJEK aneh ‘katak berkepala ikan’ yang kerap ditemui di hadapan rumahnya dipercayai ada kaitan dengan sihir. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap

Jelebu: Di era masyarakat hidup dalam era globalisasi dan digital, masih wujud segelintir individu bertuhankan jin dan syaitan selain masih percaya pada amalan khurafat sihir.

Golongan ini yang berdamping dengan syaitan mengamalkan 'ilmu hitam' itu bagi menyakiti, mempengaruhi hati atau akal individu disihir secara sembunyi untuk memperolehi apa dihajati.

Salah seorang mangsa yang hanya mahu dikenali Adi, 40-an berasal dari Jempol di sini, mendedahkan azab dialami selepas menjadi mangsa sihir 'katak berkepala ikan' yang ditujukan kepadanya.

Dia mendakwa menjadi mangsa sihir walaupun pada mulanya tidak percaya masih wujud individu bersekongkol dengan jin, iblis dan syaitan untuk merosakkan hidupnya.

"Semuanya bermula selepas saya berkenalan dengan seorang lelaki dari negara jiran yang diupah untuk membaiki kerosakan peralatan serta baik pulih kedai pada Oktober lalu.

"Lelaki berusia 30-an itu cukup peramah dan pandai mengambil hati. Malah, dia menawarkan diri untuk membaik pulih peralatan lain yang rosak tanpa mengenakan bayaran," katanya ketika ditemui wartawan Harian Metro.

Namun dia seolah-olah 'dipukau' apabila lelaki itu mula masuk campur dalam urusan perniagaan milik keluarganya itu.

"Mulanya dia hanya mencampuri urusan perniagaan di dapur restoran sebelum memberi arahan seolah-olah dia adalah pemilik premis. Malah, aspek pengurusan dan pentadbiran premis turut diganggu tanpa segan silu.

"Lelaki itu mendakwa kononnya mampu melariskan perniagaan dan menaikkan jualan perniagaan kami. Saya bagaikan 'lembu dicucuk hidung' apabila mengikut sahaja kehendaknya tanpa banyak soal," katanya.

Menurutnya, layan istimewa diberikan kepada lelaki asing itu sehingga dia bersusah payah mencari rumah sewa lengkap dengan perabot dan perkakas elektrik selain membayar sewa bulanan berjumlah RM800 khusus untuk kesenangan lelaki itu.

"Ada pekerja di restoran menyedari perubahan tingkah laku saya yang menjadi panas baran sebelum bertanyakan apa yang berlaku. Namun saya menafikan perkara itu.

"Paling ditakuti apabila anak saudara mula rapat dengan lelaki itu dan turut menjadi 'bodoh'. Sehingga satu tahap, mereka seolah-olah pasangan sedang bercinta.

"Anak saudara saya yang bekerja di restoran sama turut akur setiap arahan lelaki itu hinggakan sebarang keputusan perlu dirujuk kepada lelaki terbabit," katanya.

Menurutnya, perniagaan diusahakannya merudum hingga pernah ditutup seminggu, malah hubungan antara pekerja turut renggang.

"Mujur ahli keluarga lain menyedari sesuatu aneh berlaku sebelum membawa saya dan anak saudara untuk 'berubat' melalui kaedah rawatan Islam. Ia dilakukan selepas saya kerap rebah tanpa sebab ketika waktu Maghrib.

"Sebaik berjaya membuang 'gangguan' makhluk yang membelenggu saya, lelaki itu terus dihalau dan dihalang dari mencampuri urusan kami.

"Mungkin tidak berpuas hati dengan tindakan itu, kami diganggu pula dengan kemunculan objek 'katak berkepala ikan' yang diletak di halaman rumah sebanyak beberapa kali," katanya.

Adi berkata, apa yang berlalu kepadanya akan dijadikan pengajaran supaya dia lebih berhati-hati apatah lagi selepas dia menemui pelbagai objek aneh di premisnya seperti besi kuning, bunjut berisi serbuk mencurigakan dan azimat.

Sementara itu dalam kes berasingan, seorang kakitangan kerajaan mahu dikenali sebagai Shahril, 40, mendakwa menjadi mangsa sihir pemisah mengakibatkan isterinya bertukar sikap secara mendadak.

Menurutnya, semuanya bermula selepas dia mengambil seorang lelaki pekerja asing untuk melakukan kerja ubah suai kediamannya di Jempol di sini pada Oktober tahun lalu.

"Tidak lama kemudian isteri berubah sikap menjadi pemarah dan membenci saya tanpa sebab. Memandang muka saya sahaja cukup membuat dia 'naik angin'.

"Mujur ada ahli keluarga yang menasihati saya supaya mengubati isteri. Alhamdulillah, rawatan Islam dijalani dan kehendak Allah SWT berjaya memulihkan isteri saya," katanya.

Menurutnya, dia kemudian mengarahkan semua kerja baik pulih kediamannya dihentikan serta-merta dan tiada 'orang luar' dibenarkan memasuki kawasan rumahnya.

"Saya tidak percaya di zaman Tik Tok dan Facebook ini, sihir masih lagi diamalkan," katanya.

Ahad, 30 Januari 2022

ADUN UMNO nafi mahu tumbangkan kerajaan Kedah


Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO Bandar Baharu Datuk Norsabrina Mohd Noor menafikan dakwaan beliau dan seorang lagi ADUN parti itu akan menarik sokongan kepada Kerajaan Negeri Kedah seperti yang tular di media sosial sejak semalam.

Norsabrina berkata beliau tidak pernah memperkata atau membincangkan perkara itu dengan mana-mana pihak sebaliknya ingin fokus kepada tanggungjawab sebagai wakil rakyat untuk membangunkan Kedah, lapor Bernama.

“Saya ada terima mesej (tangkap layar) itu sebab orang tanya saya mengenainya, memang tidak ada dibincangkan atau diperkata, tidak ada langsung tajuk itu. Dua ADUN UMNO (yang dirujuk) itu kamilah tapi tidak ada apa (tindakan menarik sokongan).

“(Saya) buat kerja macam biasa, hubungan (dengan kerajaaan negeri) macam biasa, fikir pasal Kedah sahaja. Tingkatkan prestasi, jangan cari kontroversi,” katanya hari ini.

Beliau diminta mengulas tangkap layar yang mendakwa dua ADUN UMNO dan dua ADUN Bebas di Kedah akan menarik sokongan terhadap kerajaan negeri serta menyebabkan berlaku pilihan raya negeri.

Tangkap layar di laman Facebook seorang pengguna media sosial itu dipercayai tular sejak semalam namun carian di akaun pengguna terbabit tidak menemukan status tersebut.

Menteri Besar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor pula menyifatkan dakwaan itu sebagai khabar angin dan menegaskan situasi di Kedah adalah aman.

“Setakat ini semua ok, tak ada isu, kita aman. Kita pun tak buat benda-benda orang marah, saya harap begitulah. Jangan buat benda orang marah, kalau ada apa-apa bincang, berunding, tak ada masalah, bila-bila masa di mana sahaja,” katanya.

Kerajaan Negeri Kedah di bawah Perikatan Nasional yang diterajui PAS kini memiliki 23 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri dengan sebahagian besar dimiliki PAS (15) diikuti Parti Pribumi Bersatu Malaysia (6) dan UMNO (2).

Pakatan Harapan pula memiliki 11 kerusi iaitu PKR (5), Parti Amanah Negara (4) dan DAP (2) manakala dua lagi kerusi dimiliki oleh Parti Pejuang Tanah Air.

DISYORKAN UNTUK ANDA:

   MEDAN BERITA POLITIDK DALAM KEMBAR BLOG  ' AR RISALAH 

Segera agih, isu minyak masak subsidi tak patut berlaku – KPDNHEP

Pengarah Penguat Kuasa KPDNHEP, Azman Adam- Gambar KPDNHEP

ISU kekurangan bekalan minyak masak bersubsidi di dalam pasaran ketika ini tidak sepatutnya berlaku.

Itu penegasaan Pengarah Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) selepas isu tersebut semakin hangat diperkatakan oleh rakyat.

Menurut Azman, bekalan untuk pasaran sepatutnya mencukupi bagi keperluan pengguna memandangkan kerajaan telah meluluskan pengeluaran sebanyak 60,000 tan metrik minyak masak bersubsidi setiap bulan.

“Jadi KPDHEP telah mengarahkan semua syarikat di bawah Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (COSS) dan pembekal supaya mempercepatkan pembungkusan dan agihan minyak masak ini.

“Begitupun, disebabkan beberapa faktor seperti pembelian panik oleh pengguna, berlaku sedikit gangguan bekalan di pasaran, dan diburukkan lagi dengan berita-berita tidak sahih mengenai kenaikan harga barangan.

“Pembukaan sektor ekonomi secara penuh dalam tempoh cuti perayaan turut menyumbang kepada kekurangan bekalan di pasaran,” katanya kepada pemberita hari ini.

KPDNHEP melakukan pemeriksaan dan pemantauan khas 
di kawasan Ulu Sungai dan Cheroh di daerah Raub. – Gambar 
KPDNHEP

Sementara itu, Azman turut mengecam taktik licik segelintir peniaga yang menetapkan syarat tertentu bagi pengguna yang mahu membeli minyak masak peket bersubsidi.

Katanya, KPDHEP tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap peniaga yang melakukan taktik licik tersebut.

“Ada kedai yang meletakkan syarat pelanggan perlu membeli barangan lain  sebelum boleh mendapatkan minyak masak. Ini kami dah ambil beberapa tindakan berdasarkan aduan pengguna.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai tindakan itu diminta menyalurkan aduan secara rasmi berserta informasi lengkap kepada KPDNHEP untuk tindakan lanjut,” katanya.

Duit PAS dari poket ahlinya, tidak guna dana kerajaan

HARAKAH DAILY

Kekal sebagai parti perjuangan hasil pengorbanan ahli-ahli yang istiqamah

KULIM-BANDAR BAHARU: PAS walaupun telah menjadi kerajaan di beberapa negeri dan peringkat Persekutuan, namun masih kekal sebagai parti perjuangan yang disuburkan dan dilonjakkan pencapaian oleh ahli-ahlinya sendiri.

Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, perjuangan tersebut termasuklah ditunjukkan ahli-ahli PAS dalam membiayai perjalanan parti dan pemilikan aset yang terhasil dari amal memberi infak dana kewangan.

Jelas beliau, infak tersebut menjadi pengorbanan setiap ahli PAS sebagai perjuangan yang semata-mata mengharap balasan pahala di akhirat serta terus menabur bakti melalui prinsip-prinsip ditentukan jemaah.

“Hari ini kita buktikan sekali lagi walaupun kita telah menjadi kerajaan di peringkat negeri dan Persekutuan, (tetapi) untuk aktiviti parti kita untuk ahli dan rakan-rakan dalam jemaah kita, kita tetap meneruskan budaya infak, derma dan wakaf untuk mengembang dan menyuburkan parti kita. 

“Saya yakin 70 tahun yang telah kita lepasi dalam serba kekurangan, tak pernah kaya, kita tak pernah ada harta yang berbilion-bilion, tetapi kita kekal istiqamah, tidak pernah terkurang walaupun serba kepayahan. Di mana ada pertandingan, kita akan berlawan. 

“Kita ada markas di semua Cawangan, di semua UPU, di semua Kawasan, di semua Negeri. Semua itu adalah titik peluh duit poket ahli PAS. Bagi parti yang mengharapkan duit daripada sumber lain, bila hilang kuasa di dalam kerajaan, mereka teraba-raba, tercari-cari nak mesyuarat pun tak ada tempat, tak ada. 

“Alhamdulillah kelebihan kita dan saya harap kelebihan ini kita akan kekalkan. Ini pun tempat yang akan kita bangunkan,” ujar beliau yang juga Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat dan Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri berucap pada Majlis Pelancaran Pusat Latihan PAS Kedah di Kampung Lubok Jong, Sedim, di sini semalam.

Tegasnya, duit PAS ada dalam poket ahli-ahli PAS, sedang duit kerajaan adalah milik kerajaan dan rakyat seluruhnya di mana PAS berprinsip sama sekali tidak menggunakan dana daripada kerajaan untuk membiayai kegiatan parti. 

Jelas beliau, sikap tersebutlah membezakan PAS dengan parti-parti lain di mana terdapat parti hidup dengan dana begitu banyak yang diambil dengan berbagai-bagai kaedah hingga akhirnya memusnahkan parti tersebut.

Kerana katanya, parti politik sedemikian telah menjadi tempat mencari makan dan membina kekayaan diri serta keluarga di mana hakikatnya mereka telah hancur luluh walaupun pada kelihatan masih bernyawa.

Beliau menyebut demikian menceritakan pengalamannya didatangi ahli-ahli yang tidak memahami perjuangan PAS dan mempersoalkan kerana tidak mengambil wang dari sumber kerajaan untuk gerak kerja parti.

Iktibar Abu Darda R.A

Sanusi terdahulu dalam ucapannya membawakan renungan daripada ayat 261 dan 266 surah al-Baqarah mengenai kelebihan diungkapkan Allah mengenai infak dan kisah pemilikan tanah yang diuji senang dan susah bersilih ganti.

Meneguhkan lagi pengajaran cuba dibawanya, beliau mengupas kisah Sahabat Nabi SAW iaitu Abu Darda RA di mana menawarkan membeli sebuah pohon kurma yang menjadi pergaduhan dua Sahabat lain.

Tindakan Abu Darda itu adalah dengan ‘bayaran’ seisi kebun kurma miliknya yang sangat luas dan subur dengan mempunyai 600 batang pokok, telaga serta rumah-rumah sangat indah.

Pembelian itu semata-mata kerana mengambil jaminan Rasulullah kepada Sahabat yang bertelingkah tersebut bahawa kebenarannya kepada jiran akan beroleh ganti sebuah kebun kurma di syurga kelak.

Meninggikan teladan dari kisah itu, Sanusi juga menyeru bahawa bukan sahaja semangat infak seperti Abu Darda mesti diikuti, tetapi juga isteri dan anak-anaknya kerana sanggup melepaskan harta dimiliki mereka itu.

“Selalunya akan terdetik di hati dan sering terhalang oleh pihak-pihak yang berada di samping kita, isteri dan anak-anak mahu pun suami. Ini kerana kita berasa mereka juga layak untuk memiliki apa yang ada di tangan kita.

“Namun dalam kisah Abu Darda tadi, apabila isteri dan anak-anak dididik dengan ilmu yang mencukupi, mantap, yang akan meneguhkan keimanan insya-Allah mereka akan faham dan jual beli yang sangat tinggi di sisi Allah itu pun berlaku tanpa sebarang halangan,” ujarnya.

Kisah itu juga dibawakan beliau sebagai menyatakan perkara ‘di sebalik’ yang sama dan merakamkan penghargaan atas infak diterima PAS Kedah hingga membolehkan pembangunan tapak tersebut.

Maklum beliau, tanah itu disumbangkan seorang peneroka FELDA Jengka, Pahang, Hasan Napiah seluas 3 relung dengan kedudukan yang strategik dan telah ditanam dengan pelbagai pokok buah-buahan.

Infak segalanya untuk perjuangan

“Nak menyumbang kepada perjuangan Islam tidak perlu tunggu sehingga kita kaya dan memiliki duit yang banyak. Cukuplah kita memiliki jiwa dan keyakinan yang tinggi bahawa ini adalah urusan jual beli yang tidak ada tolok bandingnya di dunia ini. Jika tidak mampu mewakafkan tanah, kita dermakan duit. 

“Jika tidak mampu menginfakkan duit, kita menginfakkan tenaga, masa, buah fikiran atau apa sahaja yang termampu oleh kita. Yang penting jangan ada perasaan kedekut dan bakhil di dalam hati kerana sebagai orang yang beriman, kita yakin bahawa apa jua sumbangan atau sedekah kita ke jalan Allah tidak ada yang tersia-sia.

“Dalam sebuah Hadis Rasulullah mengingatkan “Tiada satu pagi pun yang dilalui oleh seorang hamba, melainkan akan ada dua malaikat turun dan berdoa, ya Allah, berikan kepada pemberi sedekah ganti sedekahnya, manakala malaikat yang satu lagi berdoa, ya Allah berikan orang yang menahan sedekah yakni orang kedekut dengan kemusnahan”.

“Alhamdulillah selama berada dalam PAS ini, kita sendiri dapat menyaksikan sahabat-sahabat kita yang masih ada ataupun yang telah pergi meninggalkan kita, yang berlazim dengan amalan sedekah dan infak sama ada sedekahkan duit wang ringgit ataupun infakkan tenaga dan masa diberi macam-macam kelebihan oleh Allah S.W.T. 

“Ada saksi hidup dan kita boleh masih dapat melihatnya pada hari ini di semua peringkat, di peringkat kepimpinan, mahupun di peringkat ahli, di semua peringkat kita dapat lihat ketenangan, kebahagiaan orang-orang yang memiliki hati yang pemurah. 

“Insya-Allah semua pengalaman-pengalaman yang kita saksikan, kita himpunkan sepanjang kita berada dalam Parti Islam Se-Malaysia PAS di dalam jemaah yang berkat ini menjadi pedoman dan panduan untuk kita sampaikan kepada generasi waktu ini dan generasi selepas daripada kita. 

“Tuan-tuan sekalian, kita maklum dan kita yakin hidup ini hanyalah sementara. Akhiratlah yang menjadi tempat kekal abadi selama-lamanya. Di tempat yang kekal, kita akan kekal abadi itulah yang memerlukan simpanan dan saving yang banyak untuk kita hidup selama-lamanya di sana.

“Dengan amal yang kita sumbangkan dalam bentuk kebajikan untuk tujuan ilmu seperti yang telah ditunjukkan oleh Tuan Haji Hassan pada hari ini, ia akan mengalir dan terus terus mengalir selama-lamanya walaupun setelah kita tidak ada lagi di dunia ini, pahala akan terus merahmati sampai kepada kita di alam barzakh dan di alam akhirat. 

“Pada masa itu tidak ada yang lebih kita harapkan selain pahala amalan seperti ini dan doa anak-anak yang soleh dengan memikirkan ganjaran di akhirat, sesungguhnya tidak ada yang lebih menguntungkan, tidak ada yang lebih kita harapkan melainkan hasil pelaburan dalam bentuk wakaf dan infak di jalan Allah.

“Dialah yang memberi dan Dialah Yang Maha Membalas apa jua yang kita ada di dunia ini. Sesungguhnya tidak membawa apa-apa nilai untuk hidup yang sementara melainkan jika kita jadikan sebagai jambatan untuk kehidupan yang kekal abadi di akhirat,” ucapnya.

Pusat Kecemerlangan PAS

Beliau turut melahirkan harapan agar Pusat Latihan PAS Kedah ini kelak diimarahkan sebagai mercu tanda sebuah pusat kecemerlangan bukan sahaja untuk ahli PAS tetapi juga masyarakat sebagaimana Masjid Nabawi.

Katanya, sejak zaman Rasulullah dan Khulafa’ Ar-Rasyidin masjid itu tidak hanya menjadi tempat solat, tetapi juga pusat tamadun, pentadbiran, pendidikan, peperangan dan segala aktiviti.

Dari pusat tersebut jelasnya, berjaya mendaulatkan Islam menguasai satu pertiga dunia, sekali gus pusat latihan itu nanti mesti diaktifkan hingga mampu mendidik masyarakat mencintai Islam.

Beliau juga berharap budaya infak dalam kalangan ahli PAS terus subur dan menjadi pemadam api sebagaimana hadis disebut Rasulullah SAW. – HARAKAHDAILY

1,157 pemandu mabuk ditahan di Kuala Lumpur sepanjang tahun lepas

POLIS menahan seramai 1,558 individu atas pelbagai kesalahan trafik termasuk memandu kenderaan di bawah pengaruh alkohol dan menunggang motosikal secara berbahaya, menerusi pelbagai operasi yang diadakan di sekitar ibu negara tahun lepas. 

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur Supt Zulkafli Chek Lah berkata pemandu mabuk mencatatkan kesalahan tertinggi dengan 1,157 kes direkodkan dan disiasat mengikut Seksyen 45A Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Beliau berkata bagi kesalahan memandu secara berbahaya pula, seramai 287 individu telah ditahan dan diambil tindakan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. 

“Sementara itu, kesalahan mempamerkan nombor plat pendaftaran palsu dan disyaki mengutip bayaran parkir kenderaan secara haram masing-masing mencatatkan empat dan lima kes,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas mengadakan operasi Op Motosikal dan Op Mabuk di sekitar ibu negara malam tadi. 

Zulkafli berkata dalam Op Selamat tahun ini bermula 1 Jan hingga semalam, seramai 235 individu telah ditahan bagi pelbagai kesalahan trafik dengan tangkapan tertinggi juga membabitkan kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol iaitu seramai 192 individu, manakala memandu secara berbahaya seramai 34 individu ditahan.

Sementara itu, katanya dalam operasi yang dilakukan malam tadi di tiga lokasi di sekitar Kuala Lumpur, sebanyak 189 saman dikeluarkan dengan tiga pemandu mabuk ditahan dan tujuh motosikal disita. 

Beliau berkata dalam Op Selamat kali ini, JSPT Kuala Lumpur akan terus mempertingkatkan operasi dan fokus terhadap pemandu mabuk dan penunggang motosikal bagi menjaga keselamatan pengguna jalan raya terutama ketika musim perayaan. — BERNAMA

17 cedera selepas bas dinaiki tercabut bumbung dekat Padang Panjang

Keadaan bas yang hilang keseluruhan bumbung selepas merempuh jejambat di Padang Panjang.

SEBANYAK 17 penumpang cedera selepas bas yang mereka naiki merempuh jejambat dekat Pandang Panjang, Sumatera Barat awal pagi tadi, lapor DetikNews.

Bas yang dalam perjalanan dari Medan ke Jambi itu tercabut keseluruhan bumbung selepas gagal melepasi jejambat ketika melalui Jalan Soekarno Hatta Simpang Lapan dalam kejadian kira-kira pukul 6 pagi waktu tempatan.

Ketua Polis Lampung, Kombes Satake Bayu mengatakan, bas berwarna merah itu dari arah Bukittinggi ke Bandar Padang tidak perasan mengenai ketinggian jejambat itu sebelum bertindak merempuhnya.

“Pemandu bas yang tidak mengetahui laluan itu melanggar jejambat yang sepatutnya tidak boleh dilalui kenderaan setinggi maksimum 2.2 meter,” katanya.

Baca artikel berkaitan: Ibu bersama 3 anak maut dalam kemalangan di Bentong

Bumbung bas yang tercabut

Malah katanya, jalan itu tidak dilengkapi papan tanda amaran secukupnya.

Akibat rempuhan itu, keseluruhan bumbung bas tercabut, dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Rakaman kejadian itu tular di media sosial memperlihat sebuah bas hilang keseluruhan bumbung selepas tersangkut pada jejambat yang dilalui kenderaan itu.

Bumbung bas terbabit jatuh di atas jalan raya.