ISMA WEB
Awan mendung dan hujan lebat boleh dikatakan setiap hari di seluruh Perlis sehebat ribut politik apabila Ismail Kassim keluar UMNO
TATKALA
UMNO berdepan calar yang sukar dipadam ketika PRU14 dalam masa terdekat
– gagal untuk terus mentadbir negara dan kini bakal pula menghadapi
perebutan kerusi tertinggi parti 30 Jun ini – tiba-tiba seorang lagi
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) UMNO, mengumumkan keluar parti dan
menjadi wakil rakyat Bebas.
Bukan
sahaja Perlis sekarang ini sedang mengalami angin kuat, ribut dan hujan
lebat boleh dikatakan sepanjang hari, tetapi keadaan politik dalaman
UMNO juga semakin kacau apabila tercetusnya krisis dengan Istana Arau.
Dan, terbaharu, Adun Tambun Tulang, Datuk Ismail Kassim mengisytiharkan
keluar daripada parti itu dan menjadi wakil rakyat Bebas.
Mengintai
untuk menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Ismail antara
individu berpengaruh dalam politik Perlis selepas abangnya, Datuk Seri
Shahidan Kassim, yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri dan
Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) Arau.
Selepas
mengekalkan kerusi Tambun Tulang pada PRU14 lalu, Ismail dicalonkan oleh
Shahidan untuk menjadi Menteri Besar. Tetapi beliau tidak mendapat
pekenan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail yang
tidak mahu Menteri Besar menjadi boneka. Raja Perlis melantik Adun
Bintong, Datuk Seri Azlan Man menjadi Menteri Besar.
“Secara
rasminya saya sudah keluar dari UMNO dan BN untuk menjadi wakil rakyat
Bebas dalam negeri ini. Keputusan ini dibuat atas beberapa faktor dan
antaranya ialah saya sudah hilang keyakinan kepada pucuk kepemimpinan
parti.
“Saya
perlu memikirkan apa yang terbaik untuk rakyat dan perlu untuk
menjalinkan hubungan dengan Kerajaan Pusat terutama Perdana Menteri, Tun
Dr Mahathir Mohamad demi kepentingan dan kesejahteraan rakyat… maka
saya perlu seiringan dengan Kerajaan Pusat.”
Demikian
antara kata Ismail kepada media malam tadi ketika mengumumkan tindakan
drastiknya meninggalkan parti yang disertinya sejak 30 tahun lalu.
Seperti
Pedang kata sebelum ini, huru-hara politik UMNO di Perlis bukan baru.
Sejak beberapa penggal lalu sudah berlaku, angkara politiking individu.
Cuba selak
balik cerita sebelum PRU yang lalu. Macam-macam hal yang timbul,
daripada berebut kerusi, cantas kaki kawan, salam kalih, hinggalah
BN/UMNO hilang lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan satu kerusi
Parlimen pada PRU14 lalu. Pedang banyak menulis mengenai politik Perlis
sebelum ini, termasuk yang bertajuk ‘Politik Perlis, lagu 10 budak hitam‘.
Sebelum
PRU14 lagi Pedang sudah menjangka ada ahli, bekas pemimpin dan pemimpin
UMNO bakal meninggalkan parti itu, berikutan politik dalaman. Dan, kini
sudah semakin jelas apabila sesuatu yang tidak pernah berlaku sebelum
ini – Adun UMNO Perlis isytihar jadi Bebas – telah berlaku.
Adakah ini
permulaan kepada lebih ramai lagi Adun UMNO negeri itu bakal
meninggalkan parti dan menjadi Bebas, lalu menyokong Pakatan Harapan
(PH) yang menang tiga kerusi DUN Perlis, serta membentuk Kerajaan Pusat?
Adakah
Adun UMNO yang lain pula akan memberi alasan “kami perlu memikirkan apa
yang terbaik untuk rakyat dan perlu menjalin hubungan dengan Kerajaan
Pusat, terutama Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad demi
kepentingan dan kesejahteraan rakyat… maka kami perlu seiringan dengan
Kerajaan Pusat”?
Selepas
PRU14, BN/UMNO menguasai 10 kerusi DUN; PH (tiga); dan PAS (dua). Kini
episod baru mengubah kedudukan kerusi dengan UMNO hilang satu digantikan
dengan Bebas, menjadikan kerajaan Perlis menguasai 9 kerusi dalam DUN
dan enam lagi adalah pembangkang.
Jika lima
lagi Adun UMNO turut mengikut jejak Ismail, pastinya kerajaan BN Perlis
tumbang dan PH boleh mengemukakan nama dua daripada tiga Adunnya dan
seorang Ahli Parlimen sebagai calon Menteri Besar yang baharu
menggantikan Azlan, asalkan mendapat sokongan majoriti Adun.
Berdasarkan
Perkara 39 (2) Undang-Undang Tubuh Negeri Perlis, Majlis Mesyuarat
Kerajaan hendaklah dilantik seperti yang tersebut: (a) Raja hendaklah
mula-mula sekali melantik seorang Adun yang pada timbangannya boleh
mendapat kepercayaan bilangan ramai ahli-ahli Dewan Negeri menjadi
Menteri Besar bagi mengetuai Majlis Mesyuarat Kerajaan.
Ini
menunjukkan pelantikan Menteri Besar hendaklah dalam kalangan Adun yang
mendapat majoriti mudah lapan Adun untuk menubuhkan kerajaan negeri,
tetapi, tidak dinyatakan daripada parti mana.
Perkara 39
(4) pula menyatakan, Raja Perlis mempunyai kuasa untuk melantik Menteri
Besar iaitu, pada masa melantik seorang Menteri Besar maka Raja boleh
dengan suka hatinya sendiri meninggalkan apa-apa syarat dalam
Undang-Undang Tubuh ini yang mengehadkan haknya memilih Menteri Besar,
jika pada pendapatnya mustahak berbuat demikian untuk memenuhi
syarat-syarat dalam Perkara ini.
Ini bermakna seorang Ahli Parlimen juga boleh dilantik ke jawatan Menteri Besar.
Berdasarkan
Perkara 39 (6) pula, jika Menteri Besar tidak lagi mendapat kepercayaan
sebilangan besar ahli Dewan Negeri, ia hendaklah meletakkan jawatan
Majlis Mesyuarat Kerajaan melainkan jika Dewan Negeri dibubarkan Raja
atas permintaan Menteri Besar.
Kita kena
akui bahawa sebagai negeri terkecil di Malaysia dan serba kekurangan
sumber pendapatan, rakyatnya pasti memerlukan Kerajaan Pusat yang
seiringan untuk dijadikan tempat bergantung.
Apapun,
Pedang melihat masalah UMNO Perlis seolah-olah tidak lagi dipedulikan
oleh kepemimpinan tertinggi parti peringkat pusat, yang kini sibuk
berdepan pertandingan merebut jawatan Presiden, Timbalan Presiden, Naib
Presiden hinggalah kepada ketua-ketua bahagian.
Kata
Pedang: Walaupun negeri kecil, Perdana Menteri perlu mempertimbang
untuk melantik seseorang menjadi menteri atau timbalan menteri bagi
mewakili Perlis dalam Kabinet beliau. Apa lagi hubungan baik Tuanku Syed
Sirajuddin dan Dr Mahathir sudah terjalin erat sejak sekian lama.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan