Selepas kegagalan rumah tangganya bersama Muhammad Ali atau nama
sebenarnya Steven David Shorthose pada tahun 2010, nampaknya pelakon
jelita, Maya Karin Roelcke, 33, tidak serik untuk menjalinkan hubungan
serius dengan jejaka kulit putih.
Maya yang kini sudah tidak berselindung mengenai hubungan cintanya,
bagaimanapun enggan mendedahkan butiran lanjut mengenai 'mat saleh' yang
sedang bertakhta di hatinya itu.
"Biarlah saya merahsiakannya dulu. Sebenarnya, saya tidak memilih
mana-mana lelaki. Namun, mungkin sudah ditakdirkan untuk bertemu semula
dengan lelaki berkulit putih," katanya yang tidak meletakan sebarang
syarat, melainkan jejaka itu harus menyayangi dan memahaminya.
Pelakon yang popular dengan watak Izzah menerusi filem ombak rindu ini
juga, tidak mahu lagi memberikan publisiti meluas tentang hubungan
cintanya.
Katanya, cukuplah sekadar dia memberitahu media bahawa dia kini masih
menjalinkan hubungan istimewa dengan lelaki kulit putih yang juga
merupakan orang dalam industri hiburan.
Biarpun mengakui sedang mengenali hati budi lelaki tersebut, Maya menjelaskan hubungan itu masih lagi di peringkat awal.
“Setakat ini hubungan kami berjalan lancar dan dia sentiasa memberi sokongan kepada kerjaya saya.
“Saya sudah kenal lama dengan dia, tetapi hubungan ini masih pada
peringkat awal. Biarlah hubungan ini berkembang dengan baik dan
doakanlah yang terbaik buat saya,” kata Maya yang mengakui sudah
bersedia untuk melangkah ke alam rumah tangga.
Namun, apabila ditanya mengenai bilakah dia akan menamatkan status solonya, Maya menegaskan ia akan tiba masanya.
“Kita tunggu saja. Insya-ALLAH, jika ada jodoh, saya akan menghebahkannya kepada media,” katanya.
Bakal ke Sepanyol
Walaupun kini sedang sibuk dengan pengacaraan dan bisnes korporat,
namun Maya, mengakui masih boleh membahagikan masa bersama kekasih serta
keluarganya.
Malah aktres yang pernah popular menerusi filem ‘Pontianak Harum Sundal
Malam’ ini berkata, dia cuba memenuhi hobi lapangnya dengan bercuti
bersama keluarga di luar negara. Dan yang terbaru, dia mungkin akan
melancong di Sepanyol.
Katanya, walaupun sudah berpunya, namun ia tidak membataskan kemesraan
dengan keluarga memandangkan dia sangat menjaga hubungan tersebut dan
mementingkan ruang bersama keluarga.
“Sibuk macam mana sekalipun, saya tetap membahagikan masa bersama
keluarga. Begitu juga dengan kekasih. Tapi belum pernah lagi saya keluar
melancong bersama kekasih,” katanya yang berharap hubungannya dengan
jejaka Inggeris itu akan ke arah lebih baik memandangkan dia sudah
beberapa kali dikecewakan sebelum ini.
Lepas gian selepas 12 tahun
Mengulas mengenai kerjaya seninya, pelakon ini berkata, dia kini sedang
sibuk menjalani latihan teater muzikal ‘Supermokh’ arahan Hans Isacc
yang diterimanya. Menerusi teater itu, Maya melakonkan watak Tengku
Zarina, isteri kepada legenda bola sepak terkenal negara, iaitu,
Allahyarham, Datuk Mokhtar Dahari
Maya berkata, ia adalah satu lagi karakter mencabar selepas membintangi teater terakhir sejak 12 tahun lalu.
“Saya harus menjiwai watak Tengku Zarina. Selepas bertemu sendiri
dengannya saya mengkaji karakter Tengku Zarina. Dia adalah wanita yang
cukup kuat dan juga romantik.
“Memandangkan ini bukan filem atau dokumentari, maka saya kena bekerja
lebih keras untuk memastikan saya benar-benar berjaya membawa watak itu.
“Namun berlakon dan menyanyi dalam satu masa, bukanlah asing untuk
saya. Dengan membintangi muzikal ini, sekurang-kurangnya saya dapat
melepaskan 'gian' untuk berlakon di pentas teater," katanya yang ditemui
selepas melancarkan kempen
Ekstravaganza Petronas bersama selebriti.
Masih bergelar penyanyi
Bercerita mengenai perkembangan single terbarunya, Maya berkata,
walaupun ‘single’ itu masih belum popular, namun ia dapat menjangka
selepas selesai pembikinan muzik video dan promosi yang dirancang oleh
Warner Music ‘single’ berjudul Bintang Syurga ciptaan Audi Mok dan Omar K
itu bakal diterima peminat.
Menurutnya, lagu itu juga akan dimuatkan dalam albumnya bersama
syarikat rakaman itu yang akan dipasarkan pada penghujung tahun ini.
Dalam pada itu, Maya berkata, dia kini sibuk belajar mendalami dan menambah ideanya dalam bidang perniagaan.
“Saya ada perancangan untuk terlibat dalam bidang perniagaan, namun
saya masih tercari-cari apakah peluang perniagaan yang menjamin saya
sebagai pelaburan di masa hadapan.
“Saya masih masih belajar untuk ceburi dunia perniagaan,” kata pelakon
yang pernah memenangi anugerah aktres terbaik, Festival Filem Malaysia
ke-21 pada tahun 2008.