Khamis, 7 Jun 2018

Derhaka kepada raja, dulu dan kini

Faisal Tehrani 
 
 
Apabila Islam tiba di alam Melayu untuk menggantikan agama Buddha, raja Melayu mendapati konsep derhaka yang dikemukakan sejak era Srwijaya ini sangat menarik untuk dikekalkan.
 
 
 




Sekitar tahun 605 saka (atau 683 Masehi), pemerintah kerajaan Melayu tua, Sriwijaya, iaitu bernama Sri Jayanasa, menitahkan agar prasasti Telaga Batu (gambar, atas) dipahat.

Pada batu bersurat tersebut Sri Jayanasa menyatakan sumpahan kepada mereka yang ingin menderhakai atau mengkhianatinya.

Saya berpendapat, inilah kali pertama dapat ditemukan konsep derhaka dalam kalangan orang Melayu. Derhaka yang dimaksudkan di sini ialah derhaka kepada raja, atau secara lebih umum dan besar mencakupi pemerintah.

Derhaka zaman Sriwijaya

Adalah penting untuk kita melakukan revisi terhadap derhaka yang dimaksudkan oleh Sri Jayanasa. Kita misalnya mengetahui baginda adalah seorang raja yang warak dalam konteks agama Buddha pada waktu itu.

Di dalam prasasti tersebut, antara kumpulan yang diancam dengan sumpahan jika mereka menderhaka adalah rājaputra (putera raja), kumārāmātya (menteri), bhūpati (pemerintah daerah), senāpati (panglima perang), nāyaka (pemimpin masyarakat setempat), pratyaya (bangsawan), hāji pratyaya (Raja bawahan), dandanayaka (hakim), tuhā an vatak (pengawas pekerja rendah), vuruh (buruh), addhyāksi nījavarna (penyelia rendah), vāsīkarana (tukang besi/pembuat senjata), cātabhata (askar), adhikarana (pegawai), kāyastha (pekerja kedai), sthāpaka (artisan), puhāvam (nakhoda kapal), vaniyāga (peniaga), marsī hāji (pelayan raja) dan akhir sekali hulun hāji (hamba raja).

Apakah konteks derhaka yang disebutkan oleh Raja Sri Jayanasa dalam prasasti Telaga Batu yang menampilkan sumpahan, kutukan serta ingatan keras terhadap pencabar atau mereka yang berkomplot untuk menjatuhkannya ini?

Konsep derhaka yang digunakan sebagai “senjata melunturkan musuh dalaman” ini dikemukakan dalam zaman yang penuh keganasan dan kekuatan menjadi taruhan.

Dalam abad ke-7, ugutan Sri Jayanasa terhadap musuh dalamannya dikemukakan untuk melindungi kekuasaan dan pemerintahan Srivijaya yang baru bertapak.

Terdapat bacaan baru terhadap prasasti ini. Sebagai misalan Dedi Irwanto Muhammad Santun, dari Universiti Sriwijaya, Palembang dalam satu tulisannya yang mengkaji makna simbol prasasti Sriwijaya menegaskan ancaman atau kutukan yang diabadikan pada prasasti Telaga Batu ini tidak semestinya membuktikan keganasan atau kekejaman Sri Jayanasa.

Malahan beliau melihat lambang yang digunakan pada prasasti tersebut iaitu ular, adalah bermaksud “simbol kejahatan yang harus dihindari”. Tambahan pula simbol mangkuk atau “pasuh” adalah gabungan simbol Buddha dan budaya lokal yang memberi erti “pensucian diri”.

Dedi pergi lebih jauh menafsirkan sumpahan pada prasasti tersebut sebagai satu ikrar atau sumpah penguatkuasa dalam struktur politik Srivijaya untuk berbuat kerja dan bukanlah ancaman yang menunjukkan Sri Jayanasa sebagai seorang pemerintah zalim.

Tulis beliau, “Semuanya harus melewati ritual minum air suci sebagai bentuk sumpah jabatan dalam mengambil setiap kebijakan seperti dunia moden sekarang ini.”

Terlepas dari apa juga pun tafsiran dan andaian mengenai sumpahan atau kutukan pada prasasti Telaga Batu, derhaka yang dianjurkan dalam batu bersurat ini mempunyai fungsi untuk mengawal-selia rakyat dalam sebuah negara atau pemerintahan yang benar-benar baru bertapak di Palembang.

Derhaka zaman Raja Melayu Islam

Apabila Islam tiba di alam Melayu untuk menggantikan agama Buddha, raja Melayu mendapati konsep derhaka yang dikemukakan sejak era Srwijaya ini sangat menarik untuk dikekalkan. Ia beriringan dengan satu lagi konsep yang digunakan oleh pemerintah Melayu iaitu daulat.

Kata daulat ini dikaitkan dengan kuasa – daulatun – dan dalam konteks sebuah negara ia memberikan hak, wewenang dan wibawa kepada raja yang berkuasa untuk mentadbir negeri. Kepercayaan dan keyakinan terhadap kuasa atau daulat raja ini sangat penting untuk memastikan kelicinan pemerintahan.

Maka, dalam budaya perpolitikan, sebarang yang bertentangan dengan daulat di atas seperti menafikan titah raja, melakukan huru-hara dalam negeri, membunuh orang sesuka hati dan melakukan penipuan seperti memalsukan cap mohor diraja dianggap sebagai menderhaka.

Untuk mengukuhkan konsep derhaka ini, sebuah konsep lain diperkenalkan yang menyamai dengan sumpahan atau kutukan Sri Jayanasa di lebih awal iaitu “tulah” atau “bisa kawi”.

Oleh sebab itu kita pernah mendengar kata-kata “jangan sampai ditimpa daulat baginda”, atau “jangan kena tulah” dan “elak ditimpa bisa kawi” kerana menderhaka.

Dalam sejarah orang Melayu, penderhakaan ini berlaku dalam pelbagai bentuk. Sebagai contoh penderhakaan yang berbentuk serangan ditemukan pada insiden Jebat (atau sesetengah naratif lain menyatakan Kasturi) mengamuk di Istana Melaka sehingga hukumannya adalah bunuh, seluruh anggota keluarga ikut dibunuh, rumah dirobohkan dan tapak rumah dikorek dan dibuang ke laut.

Selain itu, Sang Rajuna Tapa yang menderhaka kepada Raja Iskandar Syah sebagai contoh telah membuka pintu kota agar Betara Majapahit dan bala tenteranya dapat masuk meyerang Singapura. Penderhakaan ini begini dapat dibaca sebagai pembelotan.

Terdapat juga penderhakaan dalam bentuk kata-kata yang bertujuan untuk membuat raja berasa murka. Ini misalnya ditemukan pada Tun Biajid yang menyindir Sultan Mahmud kerana baginda diketahui meniduri isterinya.

Akan tetapi oleh kerana kesalahan itu ada pada baginda Sultan Mahmud, demi mendiamkan Tun Biajid, beliau telah didiamkan dengan pemberian seorang isteri baharu.

Ini berbeza dengan penderhakaan kata-kata pada Telanai Trengganu yang menjatuh-jatuhkan negeri Melaka sehingga dijatuhkan hukum bunuh.

Derhaka positif

Perlu diingatkan di sini, derhaka tidak semestinya berbentuk “melawan raja” sahaja. Ia juga mengambil bentuk nasihat.

Di dalam Hikayat Merong Mahawangsa, aksi Raja Perempuan dan Menteri Empat yang meletakkan peluru palsu ketika perang meletus antara Raja Bersiong dengan rakyat adalah merupakan satu penderhakaan yang terpuji dan positif. Ini adalah kerana ia bertujuan untuk menyelamatkan rakyat dari terus menderita kerana baginda merupakan seorang raja yang kejam lantaran memakan dan meminum hati dan darah rakyatnya.

Penderhakaan positif, tertib dan berbentuk nasihat ini juga ditemukan dalam banyak aksi Bendahara Tun Perak yang menangani tingkah laku gopoh raja-raja Melayu ketika kesultanan Melayu Melaka dengan tidak melaksanakan beberapa titah baginda.

Antara lain ialah titah agar Hang Tuah dibunuh, dengan sengaja diabaikan oleh Tun Perak. Ini kerana Bendahara yang bijaksana tersebut lebih maklum akan perjalanan negeri Melaka berbanding raja di atas takhta yang terpisah dari realiti dan lemah hubungannya dengan rakyat.

Selain dua contoh di atas, terdapat juga penderhakaan yang dapat diwajarkan, seperti mana yang dilakukan oleh Tun Fatimah apabila dikahwinpaksa oleh Sultan Mahmud. Baginda menikahinya secara paka setelah membunuh seisi keluarganya, maka tidaklah menghairankan Tun Fatimah enggan mengandungkan anak baginda.

Penderhakaan senyap Tun Fatimah itu jelas sekali merupakan keingkaran tetapi juga merupakan tawar menawar politik apabila Tun Fatimah hanya bersetuju mengandungkan zuriat Sultan Mahmud jika puteranya ditabalkan sebagai raja.

Hari ini, konsep derhaka yang diperkenalkan kepada orang Melayu dan dimomokkan kepada rakyat ketika era raja-raja terdahulu sudah diabaikan memandangkan sistem demokrasi telah diperkenalkan.

Sumpahan dan kutukan yang diancam Sri Jayanasa pada abad ke-7 tentulah sesuatu yang lapuk, purba dan ketinggalan zaman. Sementara konsep derhaka sebagai kebalikan kepada daulat telah menemukan kekuatan pada gaya isteri Raja Bersiong, atau Bendahara Tun Perak, mahupun Tun Fatimah; iaitu menderhaka halal dilakukan dalam konteks melindungi hak-hak rakyat agar mereka tidak teraniaya.

Derhaka zaman demokrasi

Demokrasi bermaksud satu sistem yang membolehkan semua pihak secara kolektif ikut terlibat dalam membuat keputusan negara, dan semua pihak itu mendapat akses setara untuk menentukan perjalanan politik negara yang mana mereka menjadi rakyatnya.

Salah satu tunjang demokrasi adalah kedaulatan atau kekuasaan massa, atau orang awam, atau rakyat dan kedaulatan ini dipindahkan kepada undang-undang.

Dalam sistem demokrasi moden, rakyat mempunyai hak dan kesetaraan untuk mengakses setiap keputusan yang dibuat dalam pemerintahan. Oleh sebab itu satu bentuk pemilihan yang dinamakan pilihanraya diperkenalkan.

Dalam sistem demokrasi yang menjadikan raja hanya sebagai simbol, rakyat menyertai sistem demokrasi ini dengan ingatan yang jelas menurut garis-garis tertentu yang tidak boleh diseberangi oleh raja mahupun rakyat. Kita melihat ini berlaku di United Kingdom.

Di dalam sistem demokrasi, konsep derhaka seperti di zaman lampau sangat sukar terpakai. Ini kerana sistem demokrasi pertamanya seperti telah disebutkan, menjamin kedaulatan rakyat.

Kedua, ia juga menjamin kesetaraan politik yakni semua pihak yang ada diberi ruang setara untuk menentukan perjalanan hidup mereka secara politik tanpa mengira kaum, gender, kasta dan kepercayaan.

Sementara ketiga, berkait dengan pertama dan kedua, pihak awam berhak melakukan keputusan dalam hal yang melibatkan kehidupan harian sebagai contoh, bagaimana dan untuk apa cukai rakyat dibelanjakan.

Derhaka jika melampaui dosa peribadi

Garis jelas dalam sistem demokrasi moden ini juga terdapat dalam kontrak sosial (waad purba) orang Melayu dengan raja-raja seperti yang direprentasi pada Sang Sapurba (mewakili raja) dengan Demang Lebar Daun (mewakili rakyat) yang berbunyi antara lain begini:

“Maka titah Sang Sapurba, ‘Hendaklah pada akhir zaman kelak anak cucu bapa hamba jangan durhaka pada anak cucu kita, jikalau ia zalim dan jahat pekerti sekalipun.’

“Maka sembah Demang Lebar Daun, ‘Baiklah, Tuanku. Tetapi jikalau anak buah Tuanku dahulu mengubahkan dia, maka anak cucu patik pun mengubahkanlah’.”

Sang Sapurba iaitu selaku raja membuat tawar menawar dengan rakyat bahawa dosa peribadi pemerintah jangan sampai menjadi alasan untuk melancarkan pembelotan.

Akan tetapi, dosa dan kejahatan yang melampaui dosa peribadi diterima sebagai tidak bersesuaian.

Ini bermakna, kedaulatan raja-raja Melayu sangat diaturkan oleh satu ikrar bahawa jika baginda yang melakukan kezaliman, tidak adil, menindas, mengambil hak rakyat, membuatkan penderitaan meluas dan berbuat derhaka kepada hak massa, maka tidaklah rakyat akan membiarkan dan menadah sahaja, sebaliknya rakyat akan menangani kepincangan itu dengan saksamanya.

*Faisal Tehrani adalah nama pena Dr Mohd Faizal Musa dan penulis 7 buku yang diharamkan kerajaan Barisan Nasional.

Tiada ulasan: