Sabtu, 30 Jun 2018

Hanya akaun yang menerima peruntukan bekas presiden dibekukan

Nuradilla Noorazam, Astro Awani
Hanya akaun yang menerima peruntukan bekas presiden dibekukan
Datuk Seri Mohamad Hassan mengesahkan akaun UMNO negeri dan bahagiannya Rembau tidak dibekukan sama sekali oleh pihak berkuasa.
 

SENAWANG: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hanya membekukan akaun UMNO yang menerima peruntukan khas daripada bekas Presiden Parti, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam siasatan berkiatan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hassan mengesahkan akaun UMNO negeri dan bahagiannya Rembau tidak dibekukan sama sekali oleh pihak berkuasa.

"Bahagian-bahagian yang terlibat menerima peruntukan khas dalam jumlah banyak oleh bekas presiden parti dan ia berbeza dengan peruntukan bulanan yang diterima setiap cawangan UMNO bagi tujuan menguruskan pentadbiran.

"Pada mulanya saya agak terkilan kerana tidak mendapat peruntukan tersebut namun bila dilihat kembali ada hikmahnya kerana kita tidak tahu asal wang tersebut,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Rembau di Senawang pada Sabtu.

Mohamad yang merupakan calon Timbalan Presiden UMNO turut berharap agak pihak berkuasa tidak membekukan gaji pekerja-pekerja di bahagian UMNO yang terlibat kerana mereka berkemungkinan tidak tahu mengenai apa yang berlaku.

"Apa pentingnya, kita harus mengamalkan prinsip kemanusiaan. Saya tidak melihat kerajaan sekarang sebagai menganiaya UMNO mahupun pekerja tetapi saya minta supaya gaji mereka tidak dihentikan.

"Sebagai pemimpin, saya harap kerajaan berhati besar dan dapat menyelesaikan siasatan dengan segera,” katanya.

BACA: Akaun beku: UMNO beri kerjasama sepenuhnya kepada SPRM

BACA: Ahli UMNO jangan gusar isu pembekuan akaun parti - Annuar Musa

BACA:
Akaun UMNO, parti politik dibekukan - Pasukan Petugas Khas 1MDB



Tiada ulasan: