CALON presiden Umno Tengku Razaleigh Hamzah berkata beliau tidak akan menghalang mana-mana ahli daripada meninggalkan parti Melayu itu, namun mengingatkan mengenai bahaya tindakan itu terhadap diri mereka.
“Ahli Umno Sabah harus berfikir dua kali kerana jika mereka tidak berhati-hati dengan sesetengah rakan sekutu ia akan membawa lebih banyak kekecewaan.
“Dan, kali ini mereka akan dibaham oleh ahli politik yang lebih kuat jika mereka tidak lagi bersama Umno.
“Ini sangat bahaya. Ia sudah berlaku banyak kali,” kata veteran Umno itu.
Tengku Razaleigh yang juga dikenali sebagai Ku Li kini dalam siri kempen jelajah ke seluruh negara bagi merebut jawatan presiden Umno menjelang pemilihan parti itu 30 Jun ini.
Pemimpin berusia 81 tahun itu juga dikenali sebagai pemimpin Semangat 46, parti yang ditubuhkan untuk menentang Umno dan bekerjasama dengan Parti Bersatu Sabah (PBS) semasa ia meninggalkan Barisan Nasional menjelang pilihan raya 1990.
PBS menang pilihan raya itu dengan majoriti tipis dan kerajaan itu tumbang selepas ramai ahli Dewan Undang Negeri (Adun) bertindak lampot parti dan menyertai BN, seterusnya memberikan majoriti yang diperlukan Umno untuk membentuk kerajaan negeri.
Disebabkan itu, PBS dihukum dan sistem giliran ketua menteri negeri setiap dua tahun sekali diperkenalkan oleh perdana menteri ketika itu Dr Mahathir Mohamad.
PBS diterima semula menyertai Umno pada 2001.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan