Selasa, 31 Ogos 2021

Pendidikan senjata ampuh lawan penjajah baru ‘COVID-19’

 Siti Hafidah

Guru perlu miliki minda dan jiwa merdeka untuk bina generasi merdeka

SALAM kemerdekaan, salam perjuangan buat semua wira-wira watan.

Alhamdulillah, tahun ini merupakan kali ke-64 kita menyambut kemerdekaaan. ‘Malaysia Prihatin’ merupakan tema sambutan Hari Kemerdekaan tahun ini. Tema ini bertepatan dengan aspirasi kerajaan bahawa seluruh rakyat Malaysia sama-sama cakna dan prihatin melawan musuh yang kita pada masa kini iaitu virus COVID-19 .

Sambutan kemerdekaan adalah saat terbaik untuk kita merenung dan merayakan sumbangan para guru dalam sejarah bangsa kita – bangsa Malaysia. Di tangan para guru ini lahir angkatan anak muda yang merupakan teras kepada kebangkitan nasionalisme di negara ini, namun fakta jarang sekali kita angkat

Sejarah kemerdekaan tidak dilatari dengan perjuangan tokoh politik semata-mata, tetapi para guru khususnya guru-guru Melayu untuk memartabatkan Bahasa Kebangsaan. Lahirnya Kesatuan Persekutuan Guru-Guru Melayu Semenanjung (KPGMS), Persatuan Guru Melayu Perak, Persatuan Guru Melayu Pulau Pinang, Persatuan Guru Melayu Kedah adalah benteng mempertahankan kedudukan Bahasa Melayu dan kumpulan pendesak kepada gerakan penjajah dan elit melayu keinggerisan.

Kewujudan SITC sebagai institusi yang melatih bakal guru telah menjadi markas kebangkitan semangat nasionalisme. Memetik kata-kata O.T Dussek kepada pelajarnya :

“Bahasa kamu saya percaya, diucapkan satu dari rumpun-rumpun bahasa terbesar dunia ini. Jangan lupakan hakikat itu. Pelihara bahasa kamu itu, berusahalah meninggikannya ke taraf yang layak dalam kalangan bahasa-bahasa dunia. Apabila martabat bahasa kamu tinggi, akan tinggi pulalah martabat bangsa kamu” (The Straits Times 23 November 1935)

Kata-kata peransang dari Dussek ini telah memberangsangkan semangat para guru Melayu yang menerima latihan perguruan di institut ini bangkit berjuang mempertahankan kedaulatan Bahasa Melayu. Nama-nama seperti Cikgu Mohamad Nor Ahmad, Cikgu Muhammad Darus Abdul Rahman, Cikgu Saleh Ibrahim, Cikgu Othman, Cikgu Che Tom adalah pejuang tegar yang menyuarakan isu-isu bahasa, nasib guru Melayu dan pendidikan anak-anak Melayu.

Sebuah lagi institusi yang menyumbang kepada gerakan kesedaran dalam khususnya kalangan anak muda ialah Maahad Il- Ehya Assyarif Gunung Semanggul (Miagus) yang memiliki tingkat kesedaran politik yang tinggi.

Sesungguhnya SITC dan Miagus telah menjadi almameter gerakan kebangkitan menentang penjajahan British. Gerakan perjuangan guru-guru Melayu dan tokoh ulama yang mendidik generasi muda ketika itu telah melahirkan pejuang tulen kemerdekaan.

Hari ini kita perlu mengenang jasa para guru dan para ulama dalam babak-babak perjuangan kemerdekaan. Mereka telah berjaya membina generasi kalis penjajahan sehingga benteng akidah dan identiti watan terjaga dan terpelihara. Namun musuh tidak sekadar meninggalkan negara kita begitu sahaja tetapi melahirkan benih-benih generasi yang berkulit melayu tetapi otak dan minda keinggerisan. Perjuangan membina jati diri bangsa masih panjang dan berliku.

Kini, kita berdepan ancaman penjajahan COVID-19, warga guru perlu memiliki minda dan jiwa merdeka demi membina generasi merdeka. Setiap kita perlu memerdekakan akal kita melalui penerokaan ilmu dengan semangat keberanian dan keperwiraan.

Para guru perlu berani mempelajari dan mencipta kaedah pengajaran dan pembelajaran demi membebaskan generasi dari keciciran pendidikan. Tanpa kita memerdekaan akal dan jiwa kita, bangsa akan menjadi mundur dan terdedah kepada penjajahan norma baharu. Amat wajar kita menjadikan pendidikan sebagai senjata ampuh untuk melawan penjajah baharu atas nama COVID-19.

Ayuh bersama-sama kita selamatkan generasi , mari kita basmi kejahilan dan kemiskinan dengan kreativiti, inovasi dan reformasi pendidikan.

Jalur Gemilang berkibar megah,
Simbol perpaduan seluruh negara,
Malaysia bebas dari dijajah,
Semoga negara aman sentiasa.

Pelbagai bangsa pelbagai budaya,
Perpaduan rakyat teras utama,
Rakyat bersatu negara berjaya,
Malaysia prihatin aman sejahtera.

(*) Ustaz Mohd Azizee Hasan. Presiden i-Guru

Peninggalan sejarah Perang Dunia Kedua terabai, disewakan untuk perniagaan

Ahmad Mustakim Zulkifli

Tapak pertempuran Perang Dunia Kedua tidak mendapat perhatian sewajarnya, bakal hilang jika tidak dijaga.

Di seluruh Semenanjung Malaysia, wujud ratusan tapak bersejarah yang satu waktu dulu pernah menyaksikan peristiwa-peristiwa sejarah Perang Dunia Kedua.

Pantai Sabak di Kota Bharu, Kelantan misalnya menjadi lokasi pertempuran pertama Perang Dunia Kedua di pentas Pasifik apabila Jepun mendaratkan tenteranya beberapa jam sebelum serangan di Pearl Harbour, Amerika Syarikat pada 7 Disember 1941.

Namun hari ini, hampir lapan dekad kemudian, peristiwa-peristiwa itu kini dicatat dalam buku-buku sejarah dan kenangan mereka yang hidup di zaman tersebut.

Meskipun lokasi-lokasi ini mempunyai nilai sejarah, ia tidak mendapat perhatian sepenuhnya oleh pihak berkuasa sehingga mendorong sekumpulan aktivis pencinta sejarah berjuang bagi mengekalkan tapak-tapak sejarah tersebut daripada hilang ditelan zaman.

Malaya Historical Group (MHG) menghimpunkan beberapa aktivis sejarah yang giat mencari, mengumpul dan memelihara artifak serta tapak tinggalan sejarah Perang Dunia kedua di semenanjung.

Green Ridge di Kampar, Perak. Sebuah lokasi bersejarah 
yang dipulihara dan diselenggara oleh Malaya Historical
Group.

Pengerusi MHG Shaharom Ahmad berkata terdapat banyak tapak pertempuran antara Jepun dan tentera Komanwel semasa Perang Dunia Kedua, namun tidak banyak yang masih tinggal untuk tatapan generasi kini.

Katanya contohnya di utara tanah air, pertempuran terjadi di Jitra, Kodiang dan Changlun dan di lokasi berhampiran lapangan terbang di Kepala Batas.

Sementara di Perak pula, pertempuran terjadi di Kuala Kangsar, Teluk Intan, Chemor dan Kampar.

“Namun tidak banyak yang boleh dipelihara. Kerana itu kami berjuang untuk menyelamatkan tapak pertempuran di Green Ridge, Kampar, Perak. Di tapak ini banyak yang masih kekal bentuk asalnya seperti tapak kubu dan parit pertahanannya,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Berhampiran tapak itu dahulu ada Thompson Ridge yang juga tapak pertempuran namun menjadi kawasan perumahan. Kesan-kesan sejarah di situ sudah tiada, hanya tinggal di Green Ridge.”

Kawasan pendaratan Jepun di Pantai Sabak, beserta kubu-kubu pertahanan British hilang akibat hakisan pantai sehingga satu kilometer.

Katanya, kebanyakan tapak yang berkaitan Perang Dunia Kedua berada dalam kawasan yang dimiliki oleh individu persendirian atau syarikat korporat yang menyulitkan usaha pemuliharaan, memandangkan usaha itu memerlukan persetujuan pemilik.

Tentera Jepun diketuai Jeneral Tomoyuki Yamashita menggempur Tanah Melayu dan berjaya merampasnya dari tangan British dalam masa beberapa bulan.

Kekalahan akhir British di Singapura dianggap sebagai kekalahan paling memalukan empayar British.

Sepanjang kempen, mereka berdepan tentangan daripada pasukan tentera Australia dan dari India serta askar Melayu.

Peninggalan sejarah disewakan untuk perniagaan

Shaharom menceritakan, di sebuah berek di Parit Sulong di Batu Pahat, Johor misalnya, tentera Jepun menggunakannya untuk menahan dan mendera tahanan-tahanan perang.

Berek itu menjadi uzur dan daif akibat peredaran zaman.

Katanya, ia dipulihkan dengan inisiatif pihak berkuasa dan diserahkan kepada majlis daerah.

Bagaimanapun, majlis daerah kemudiannya menyewakan berek tersebut kepada pengusaha-pengusaha kedai.

“Ia wajar dijadikan muzium atau galeri supaya dikekalkan bentuk asalnya. Kerana kami memperjuangkan agar berek ini dikekalkan kerana ada kesan-kesan pendudukan Jepun.

“Kerana ini, orang tempatan menuduh kami cuba menutup periuk nasi mereka,” katanya yang memberitahu, pihaknya menerima persetujuan daripada Australia War Memorial untuk badan itu memberi artifak milik badan itu sebagai bahan pameran untuk galeri itu.

Sehingga kini, usaha untuk menjadikan berek itu sebagai galeri atau muzium masih belum menemui kejayaan.

MHG juga giat memasang papan-papan tanda di tapak-tapak penting menggunakan dana sendiri, sebagai cara mengingatkan masyarakat mengenai kepentingan tapak berkenaan.

Bukan itu sahaja stigma negatif yang diterima pihaknya.

MHG sering dipanggil untuk membawa pengkaji sejarah, waris tentera dan diplomat dari United Kingdom, Britain dan Australia ke tapak-tapak tersebut.

Shaharom Ahmad (kiri) memakai uniform tentera British 
menerangkan perihal peralatan perang dalam sebuah acara 
bersama pelajar sekolah.

Pada lawatan-lawatan itu, ahli-ahli MHG akan mengenakan uniform tentera British sebagai salah satu cara mendidik masyarakat, selain cara untuk mengenang sejarah.

Ia menjadi “trademark” kumpulan itu.

Bagaimanapun, segelintir orang ramai menganggap mereka mengagungkan sejarah penjajah berbanding sejarah sendiri.

“Mereka sukar terima perkara berkaitan sejarah perang dunia kedua. Tak boleh nak salahkan mereka kerana faktor kesukaran hidup zaman itu.

“Kami tidak mengagungkan penjajah, namun usaha ini perlu bagi mendidik masyarakat mengenai peristiwa penting supaya kita menghayati dan mempelajarinya.

“Hendak capai kemerdekaan bukan senang. Kesengsaraan semasa perang akan jadikan kita sedar supaya jangan diulang lagi peristiwa tersebut,” kata Shaharom.

DISYORKAN UNTUK ANDA:

   MEDAN BERITA POLITIK DALAM KEMBAR BLOG  ' AR RISALAH '

Polis klasifikasi semula kes serang pengawal keselamatan sebagai kes bunuh

Malaysiakini

Polis mengklasifikasikan semula kes seorang pengawal keselamatan yang diserang ketika sedang bertugas di kolam renang sebuah kondominium di Ipoh Disember tahun lepas sebagai kes bunuh, selepas mangsa meninggal dunia Jumaat lepas.

Ketua Polis Perak Mior Faridalathrash Wahid berkata pihaknya telah merujuk semula kes berkenaan kepada pihak pendakwa raya hari ini dengan mencadangkan pertuduhan yang lebih tinggi dikenakan kepada suspek.

"Polis mengklasifikasikan semula kes ini pada hari mangsa tersebut meninggal dunia di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan jika disabitkan kesalahan suspek boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati.

"Kes ini masih lagi menunggu arahan selanjutnya daripada pihak pendakwa raya," katanya dalam kenyataan malam tadi.

Sabtu lepas, Mior Faridalathrash berkata susulan insiden pada 29 Dis itu, polis telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan, dan suspek telah dituduh di Mahkamah Majistret Ipoh pada 6 Jan lepas kerana mendatangkan kecederaan parah, dan kes akan disebut semula pada 9 Sept ini.

Katanya, hasil siasatan mendapati kejadian berpunca daripada tindakan suspek yang tidak berpuas hati terhadap pengawal keselamatan itu kerana cuba menghalang anak suspek daripada menggunakan kolam renang yang tidak dibuka kepada orang ramai ketika itu.

Bagaimanapun, dia berkata pengawal keselamatan itu meninggal dunia di rumahnya pada Jumaat dan hasil bedah siasat oleh pihak Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh mendapati punca kematian disebabkan jangkitan pada paru-paru (Sepsis).

Ahli keluarga pengawal keselamatan berkenaan bagaimanapun tidak berpuas hati dan mendakwa punca kematian adalah disebabkan kejadian pukul tahun lepas.-Bernama

14 kanak-kanak dijangkiti Covid-19, pusat jagaan perlu sumbangan

MALAYSIAKINI

Malaysiakini

Seramai 14 kanak-kanak di sebuah rumah jagaan anak kelainan upaya di Petaling Jaya, Selangor kini menjalani kuarantin setelah disahkan positif Covid-19 pada 25 Ogos lalu.

Berusia antara lima hingga 16 tahun, mereka dikuarantin di sebuah dewan serba guna di Pusat Penjagaan Kanak-Kanak Cacat Taman Megah.

"Hanya kanak-kanak yang positif dikuarantin. Penjaga negatif," kata sukarelawan pusat itu, Sity Viknendraa.

Justeru, pusat tersebut memohon sumbangan dalam bentuk makanan, vitamin dan pemakanan tambahan (supplement) untuk mereka yang dikuarantin.

"Pada masa ini, kami amat memerlukan vitamin C, panadol dan cecair paracetamol untuk mereka.

"Kami juga hargai jika ada yang mahu menyumbang makanan kepada anak-anak ini," katanya ketika dihubungi.

Sumbangan boleh dibuat menerusi saluran yang dinyatakan di laman web pusat itu.

Pusat Penjagaan Kanak-Kanak Cacat Taman Megah adalah pertubuhan tanpa keuntungan yang menempatkan 105 penduduk.

Katanya lagi, semua penjaga dan penghuni yang berusia 18 tahun ke atas telah divaksin.

Kajian menunjukkan mereka yang divaksin masih boleh dijangkiti Covid-19 atau menyebarkan virus itu kepada orang lain, tetapi mungkin tidak menunjukkan gejala atau bergejala ringan.

Ini bermakna mereka boleh mendedahkan individu yang tidak divaksin - yang mungkin mengalami gejala lebih serius daripada virus itu - kepada risiko.

Semua penduduk di rumah jagaan di Kepong positif

Penularan di pusat jagaan di Petaling Jaya itu berlaku beberapa minggu selepas semua penghuni di rumah jagaan warga emas di Kepong, Kuala Lumpur dijangkiti Covid-19.

Pengarah Pertubuhan Kebajikan Amal Warga Emas Sejati Kuala Lumpur dan Selangor, turut dikenali sebagai Fu Pin Handicap Centre, berkata kesemua penghuni telah sembuh dan menerima vaksin.

Bagaimnapun, katanya yang hanya mahu dikenali sebagai Tan, mereka masih berdepan masalah kekurangan sumber tenaga dan dana untuk bekalan, seperti sarung tangan, penyembur nyahjangkit dan vitamin.

Sumbangan boleh dibuat menerusi akaun Ambank pusat itu (8881041941687) dan resit sumbangan boleh dihantar ke fp.medicare.center@gmail.com untuk tujuan potongan cukai.

Terdahulu, Malaysiakini melaporkan kanak-kanak di rumah anak yatim Kajang dalam keadaan terbiar selepas penjaga mereka meninggal dunia akibat Covid-19.

Di Johor pula, lebih 60 penghuni, termasuk bayi, di sebuah pusat jagaan dijangkiti wabak itu pada Februari lalu.

'Apa hasil penangkapan warga asing terhadap kes Covid-19 di Sabah?'

Malaysiakini

Layanan pihak berkuasa di Malaysia terhadap pekerja warga asing di Sabah ketika pandemik Covid-19 mendapat perhatian antarabangsa dan menjadi topik perbincangan dalam persidangan maya yang merangkumi wakil suruhanjaya hak asasi manusia Malaysia dan Indonesia.

Semasa persidangan maya semalam, Koalisi Buruh Migran Berdaulat (KBNB) berkongsi hasil siasatan mereka terhadap dakwaan perlakuan tidak berperikemanusiaan terhadap pekerja warga asing di pusat tahanan di Sabah.

KBNB juga mempersoalkan dasar imigresen Malaysia mengenai tangkapan secara besar-besaran terhadap pekerja warga asing tanpa dokumen di negeri itu yang menurutnya hanya menyebabkan kesesakan di pusat tahanan.

Penemuan tersebut merangkumi laporan dari bekas tahanan yang memperincikan keadaan sempit di pusat-pusat tersebut, kemudahan pengasingan yang tidak mencukupi bagi mereka yang diuji positif Covid-19 dan kemudahan sanitasi yang buruk seperti tiga hingga empat tandas yang menampung ratusan tahanan.

Wakil KBNB Abu Mufakir mempersoalkan kenyataan Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin yang menggambarkan operasi penangkapan besar-besaran itu bertujuan memberi golongan berkenaan vaksin Covid-19.

"Tidak ada seorang pun yang sudah dihantar pulang menerima vaksinasi di pusat tahanan," katanya melalui jurubahasa.

Turut hadir dalam persidangan itu adalah wakil-wakil dari NGO termasuk kumpulan hak warga asing, North South Initiative dan kumpulan belia Borneo Komrad.

KBNB mengatakan melalui wawancara mereka dengan bekas tahanan di pusat tahanan warga asing tanpa dokumen di Sabah, mereka menemui testimoni pelanggaran termasuk memukul tahanan dan penghinaan secara lisan.

Tak dapat perbaharui permit

Kumpulan itu mengatakan bahawa banyak pekerja warga asing yang sebelumnya didokumentasikan telah masuk ke status tidak berdokumen kerana majikan gagal memperbaharui permit mereka dan itu sebahagiannya kerana pejabat imigresen tidak beroperasi semasa perintah kawalan pergerakan (PKP).

"Sekiranya semua pekerja ladang kelapa sawit diserbu dan dihantar pulang, maka ekonomi Malaysia akan runtuh.

"Itu kerana kami orang Indonesia adalah pekerja yang kebanyakannya bekerja di ladang kelapa sawit.

"Sekiranya kita semua ditangkap, tidak ada yang akan bekerja di ladang kelapa sawit lagi," kata seorang bekas pekerja warga asing dalam video yang disiarkan semasa persidangan maya itu.

Kumpulan itu mengatakan penangkapan meningkat kerana banyak pekerja warga asing yang sah menjadi tidak berdokumen susulan sekatan Covid-19.

Ia mempertikaikan bagaimana langkah-langkah tersebut membantu menurunkan kes Covid-19 dan mengatakan ia juga tidak produktif terhadap situasi kekurangan tenaga kerja di ladang kelapa sawit tempatan.

Untuk rekod, Sabah membekalkan sembilan peratus minyak sawit mentah global (CPO), atau 5.14 juta tan, menurut data Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).

Malaysia menghadapi kekurangan tenaga kerja dalam industri kelapa sawit, dengan industri itu berusaha mencari 37,000 pekerja untuk mengisi kekurangan tersebut.

Menurut data kerajaan, 12,877 warga asing tanpa dokumen ditangkap oleh pihak berkuasa pada Oktober tahun lalu.

Dari jumlah itu, 7,673 orang dihantar pulang dan 5,204 masih berada di pusat tahanan ketika itu.

Tangkapan ini termasuk kanak-kanak di bawah umur satu tahun dan orang tua di atas 70 tahun, kata kumpulan itu.

Masalah kesesakan di pusat tahanan imigrasen juga merupakan masalah yang berterusan dan telah menyumbang kepada kluster Covid-19.

Sabah juga mempunyai kadar vaksinasi terendah di negara ini, hanya 38 peratus populasi dewasa yang diberi vaksin sepenuhnya setakat semalam, dan 57.2 peratus lagi telah menerima suntikan dos pertama.

Sukar buat pantauan

Ketua Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Indonesia Mohammad Choirul Anam mengatakan pejabatnya telah memantau keadaan pekerja warga asing di Sabah tetapi sekatan pergerakan menghalang mereka untuk melakukan misi mencari fakta di lapangan.

"Kami telah memantau situasi ini dari perbatasan sejak November 2020.

“Kami mengunjungi orang yang dihantar pulangyang menerima kemudahan di Nunukan, Makassar, dan daerah lain.

"Kerana situasi Covid-19, kami tidak dapat melakukan ini (mengambil maklum balas lanjut situasi warga asing di Sabah)," tambahnya.

Pesuruhjaya Suhakam Jerald Joseph

Menyuarakan seruan untuk menghentikan pelanggaran hak asasi manusia terhadap pekerja warga asing yang tidak berdokumen di negara ini, pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) Jerald Joseph mengatakan sudah waktunya bagi kerajaan untuk mengubah dasar imigresennya yang ketinggalan zaman.

"Kerajaan persekutuan di Putrajaya tidak dapat menyembunyikan diri daripada mencari jalan keluar untuk ini. Dalam ucapan politik, mereka marah kepada orang yang tidak mempunyai dokumen.

"Laporan oleh KBNB telah menunjukkan kepada kita sekarang bahawa jika semua pekerja warga asing dihantar pulang, maka tidak ada yang akan bekerja di ladang kelapa sawit kita lagi.

"Itulah latar belakang yang belum diselesaikan," katanya.

Jerald menambah bahawa tanpa penyelesaian untuk punca masalah itu, serbuan dan penangkapan imigresen sia-sia kerana kitaran akan berlanjutan dengan pekerja warga asing akan terus masuk dan keluar dari negara ini.

KBNB, dalam siaran akhbar, menggesa Jabatan Imigresen Sabah untuk menghentikan tangkapan besar-besaran warga asing tanpa dokumen.

KBNB juga meminta orang ramai untuk menyokong petisyen mereka untuk menuntut keadaan hak asasi manusia yang lebih baik untuk pekerja warga asing.

Malaysiakini telah menghubungi Jabatan Imigresen untuk mendapatkan komen.

Jabatan Kesihatan Kedah minta henti tular video pesakit didakwa dibiarkan mati

Malaysiakini

Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah meminta agar penularan video yang memaparkan seorang pesakit Covid-19 yang didakwa dibiarkan mati di sebuah hospital di Sungai Petani dihentikan bagi menghormati keluarga si mati.

Pengarah JKN Kedah Dr Othman Warijo berkata, pihaknya sangat kesal dengan tindakan individu tidak bertanggungjawab yang telah menyebarkan video berkenaan.

“Video mengenai pesakit lelaki yang jatuh dan meninggal dunia di dalam wad dan didakwa lewat mendapat bantuan petugas hospital itu berlaku di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani. Pesakit warga emas itu dimasukan ke wad HSAH pada 26 Ogos lalu selepas dirujuk oleh Pusat Penilaian Covid-19 Daerah Kuala Muda.

“Pesakit mempunyai sejarah beberapa penyakit kronik dan mendapat jangkitan Covid-19 kategori empat yang memerlukan bantuan oksigen,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dia berkata sepanjang berada di wad, keadaan pesakit kurang stabil dan memerlukan tekanan oksigen yang semakin tinggi, dan pesakit dilihat tidak selesa dengan alat bantuan oksigen yang dipakaikan.

“Pesakit dipantau dengan lebih kerap oleh petugas kesihatan yang boleh bertutur dalam bahasa ibunda pesakit. Pada hari kejadian, setelah rondaan wad pagi selesai dan pegawai perubatan serta jururawat telah menanggalkan pakaian perlindungan diri (PPE) pada 1.45 petang.

“Pada 2.25 petang, petugas wad dimaklumkan oleh pesakit lain bahawa pesakit berkenaan telah jatuh dari katil. Pegawai perubatan bergegas memakai PPE lengkap dan terus memeriksa pesakit yang terbaring di lantai wad dan pemakaian PPE berkenaan mengambil masa kira-kira lima minit,” katanya.

Dr Othman berkata, ketika pemeriksaan dilakukan pesakit didapati tiada lagi tanda-tanda hidup dan telah dinaikkan semula ke atas katil, namun disahkan meninggal dunia akibat ‘severe Covid-19 pneumonia’.

“Pakar perubatan telah bertemu dengan ahli keluarga pesakit pada hari yang sama dan menjelaskan situasi sebenar kejadian. Ahli keluarga sememangnya telah maklum dengan keadaan pesakit yang kian merosot dan mereka menerima baik penjelasan yang diberikan oleh pihak hospital.

“Jadi, JKN berharap agar masyarakat dapat menghentikan penularan video berkenaan. JKN juga telah menjalankan siasatan lebih mendalam mengenai perkara ini dan mengambil tindakan penambahbaikan yang diperlukan,” katanya.-Bernama

Hari Kebangsaan dalam norma baru dirai penuh semangat

Lokasi-lokasi strategik di Putrajaya untuk menyaksikan pertunjukan udara sempena Hari Kebangsaan 2021 hari ini, menjadi tumpuan orang awam yang ingin menyaksikan secara langsung aksi dan formasi aset-aset Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) ketika berada di ruang udara Putrajaya.

Antara yang menjadi pilihan adalah Dataran Putra, Dataran Putrajaya dan Jambatan Seri Perdana, yang mampu memberikan pemandangan yang jelas dan peluang untuk merakamkan aksi berkenaan.

Orang awam yang hadir di lokasi-lokasi berkenaan dengan ada yang membawa Jalur Gemilang dilihat bersemangat meraikan Hari Kebangsaan dalam norma baharu, dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) termasuk memakai pelitup muka, tidak berkumpul hingga mengabaikan penjarakan fizikal dan bersurai sebaik sahaja persembahan udara tamat.

Kereta peronda polis yang memantau turut memberi peringatan menerusi pembesar suara mengenai keperluan memakai pelitup muka dan menjaga jarak masing-masing, bagi mengelakkan risiko jangkitan Covid-19.

Seorang pengunjung, Aza Abdul Murad, 39, berkata beliau datang ke Dataran Putra seawal 7.30 pagi, semata-mata untuk menyaksikan persembahan udara itu.

“Bunyi pesawat melintasi ruang udara seakan-akan bunyi kebebasan. Bunyi itu menakjubkan dan memberi semangat kemerdekaan,” kata anak kelahiran Pahang itu.

Aza yang mengalami kecederaan kaki baru-baru ini, namun tidak patah semangat untuk turun padang meraikan Hari Kebangsaan dalam norma baharu berkata: “Mesej saya kepada anak muda supaya perasaan untuk menyambut Hari Kebangsaan setiap tahun tidak sesekali luntur, walau apa rintangan sekali pun.”

Formasi penerbangan pesawat pejuang membabitkan Sukhoi Su-30MKM, F/A 18D Hornet dan BAE Hawk 108, diketuai oleh Lt Kol Mohd Norazan Othman yang beraksi di ruang udara Putrajaya dalam cuaca yang baik selepas hujan dinihari berhenti, merupakan antara tarikan utama Hari Kebangsaan 2021.

Bagi Mohd Ashraf Mohd Noor, 52, walaupun hujan awal pagi tadi, tiga orang anaknya begitu teruja untuk datang ke Dataran Putra sejak semalam, untuk meraikan Hari Kebangsaan 2021.

“Setahun sekali kita meraikan kecintaan kepada negara dan setiap rakyat Malaysia perlu menzahirkan kegembiraan daripada dijajah sehingga mencapai kebebasan. Walaupun anak-anak tidak melalui sejarah itu, namun ibu bapa harus merangsang mereka, untuk menghargai nilai kemerdekaan,” katanya.

Bagi anak lelakinya Mohamad Mohd Ashraf yang berusia14 tahun, sebagai generasi muda erti kemerdekaan kepadanya adalah untuk bebas daripada pandemik Covid-19.

“Erti kemerdekaan itu adalah bebas daripada penjajah, tetapi sebagai anak muda erti itu pada kami ialah bebas daripada pandemik dan kembali kepada kehidupan seperti dahulu,” katanya.

Bagi pesara tentera udara Syamssul Anwar Zaini, 43, beliau dan keluarga lebih selesa menyambut Hari Kebangsaan di rumah, dengan menyaksikan acara sambutan menerusi televisyen, sambil menyorot kembali perjuangan terdahulu untuk negara bebas daripada penjajah, bersama ahli keluarga.

Menurut beliau sambutan tidak semestinya diraikan di tempat awam seperti tahun-tahun sebelumnya, malah ia boleh diraikan di mana-mana sahaja, dengan memakai pakaian kebangsaan atau pakaian yang melambangkan kemerdekaan.

“Perasaan saya dalam sambutan tahun ini mestilah disambut dengan penuh semangat yang tinggi, walaupun berdepan dengan pandemik Covid-19. Ia bukan alasan untuk tidak menyambutnya,” katanya.

Beliau turut berharap, generasi muda dapat meraikan Hari Kebangsaan setiap tahun dengan penuh bangga dan semangat patriotik yang tinggi.

“Walaupun kehidupan zaman ini serba mudah, namun tanpa pengorbanan orang-orang terdahulu, kita tidak akan merasainya pada hari ini,” katanya.-Bernama

Walau SOP dilonggarkan, kemerdekaan daripada Covid masih jauh

Malaysiakini

Penulis berharap yang kita akan dapat meraikan ulang tahun ke-64 kemerdekaan negara tahun ini bersama-sama kebebasan daripada Covid-19, sama seperti United Kingdom menyambut Freedom Day.

Namun, ternyata impian itu masih sedikit jauh untuk dicapai.

Kerajaan telah memberikan beberapa kelonggaran kepada individu yang lengkap vaksinasi, seperti makan di premis makanan atau dine-in bersama-sama keluarga, menggunting rambut serta mengunjungi pasar minggu dan pasar malam, namun suasana tidak sama seperti sebelum Covid-19.

Ramai yang masih takut-takut untuk memanfaatkan kelonggaran itu sekalipun media sosial sering kali dibanjiri rungutan netizen yang berasa tertekan atau semakin bosan “terkurung” di rumah sejak berbulan lepas.

Peniaga juga dilaporkan mengambil langkah berhati-hati dengan kebanyakan pengusaha kedai makan dan restoran belum lagi membenarkan pelanggan makan di premis masing-masing.

Pada hujung minggu yang lalu, penulis mengambil peluang berkunjung ke beberapa premis makanan bagi melihat sendiri situasi serta tahap pematuhan prosedur operasi standard (SOP). Memang benar, tidak banyak tempat yang membenarkan pelanggan makan di premis mereka.

Dalam pada itu, ada juga premis yang tidak menyemak sama ada pelanggan sudah lengkap dos vaksinasi sebelum dibenarkan duduk di meja - barangkali kerana premis terbabit hanya membenarkan pelanggan duduk di luar atau tempat terbuka.

Di samping itu, jumlah pelanggan juga tidak seramai seperti sebelum pandemik mahupun ketika kes di negara ini hanya dua angka pada tempoh sama tahun lepas.

Antara alasan mereka keberatan memanfaatkan kelonggaran itu ialah rasa tidak percaya kepada orang lain, bimbang tentang pematuhan SOP serta kadar pemvaksinan yang masih belum memuaskan.

Penguatkuasaan SOP

Pengarah MyBurgerLab, Chin Renyi memberitahu penulis mereka tidak akan dapat menentukan sama ada pelanggan yang datang itu sudah lengkap vaksinasi atau tidak apabila restoran dibuka untuk perkhidmatan dine-in yang dijangka bermula pada 13 Sept ini.

“Jika seseorang mendaftar masuk menggunakan akaun orang lain atau menggunakan tangkap layar (sijil vaksinasi) orang lain, bukan tugas staf kami untuk mengesahkan ketulenan sijil itu. Staf kami memang lengkap vaksinasi, dilindungi. Cuma yang menjadi masalah apabila ada pelanggan tidak bertanggungjawab yang bukan sahaja merisikokan diri mereka tetapi juga orang lain,” katanya.

Bagaimanapun katanya, MyBurgerLab tidak akan membenarkan keluarga yang mempunyai anak kecil makan di premis mereka untuk bulan pertama pembukaan premis kepada umum, sehinggalah ada data menunjukkan kelonggaran tersebut tidak mendatangkan bahaya kepada kanak-kanak.

Beliau berkata syarikatnya juga telah mengambil langkah pencegahan untuk meminimumkan jangkitan di dalam premis dengan memastikan semua pekerja divaksinasi, menambah baik sistem pengudaraan selain memasang penapis Udara Partikulat Berkecekapan Tinggi (HEPA) pada semua unit penyaman udara di premis.

Selamatkah kita?

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah sebelum ini dilaporkan berkata kebanyakan kelonggaran yang diberikan adalah atas faktor ekonomi, bukan kerana keadaan sudah selamat.

“Tidak mudah untuk mencapai keseimbangan di antara kesihatan dan ekonomi; nyawa dan mata pencarian,” tulis beliau dalam hantaran Facebook rasminya.

Pakar kesihatan berkata perlu ada bukti kukuh bahawa vaksin mampu mengurangkan jangkitan. Disebabkan varian Delta mempunyai viral load (kuantiti virus dalam darah individu dijangkiti) yang tinggi, lebih banyak jangkitan breakthrough (jangkitan dalam kalangan mereka yang telah divaksinasi) berlaku berbanding strain terdahulu.

Sekalipun vaksin memberikan perlindungan secara langsung kepada individu daripada mengalami gejala yang teruk sehingga dimasukkan ke hospital, mereka yang dijangkiti ini masih boleh menyebarkan virus kepada orang lain - cuma tempoh mereka boleh menjangkiti itu singkat.

Di Lembah Klang, kira-kira 90 peratus penduduk dewasa telah menerima vaksinasi lengkap setakat ini, lapor Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19.

Sementara itu, data Kementerian Kesihatan menunjukkan Rt atau kadar kebolehjangkitan di Kuala Lumpur dan Selangor ialah pada 0.83 dan 0.94 masing-masing. Angka Rt di bawah 1.0 bermakna epidemik akan berakhir dalam tempoh tertentu.

Bagaimanapun enam negeri masih merekodkan jumlah penduduk yang menerima vaksinasi lengkap kurang daripada 50 peratus dengan masing-masing juga mencatatkan Rt melebihi 1.0.

Maizura Zainal Abidin yang menetap di Selangor, berpandangan Rt yang direkodkan di negeri itu tidak memadai untuk meyakinkan beliau sekeluarga keluar rumah.

“Sekalipun empat daripada kami telah lengkap vaksinasi, kami belum berani untuk makan di luar,” katanya. Tiga anaknya sedang menunggu pelaksanaan pemvaksinan untuk remaja sementara anak bongsunya yang berusia 10 tahun tidak layak untuk divaksinasi.

Ibu kepada enam anak, Maizura yang juga seorang guru itu, berkata beliau akan menimbang untuk keluar rumah selepas pandemik di Malaysia bertambah baik dengan angka jangkitan harian turun kepada 10,000 kes.

Nazirah Mannan, seorang peguam, juga bersetuju dengan pandangan itu, dan berkata beliau tidak percaya pelanggan lain akan patuh pada SOP.

Beliau memberi contoh satu pasangan di Klang baru-baru ini yang mendakwa telah menjalankan eksperimen sosial dengan pergi makan di restoran serta berkunjung ke beberapa kedai gunting, sekalipun mereka tidak divaksinasi.

“Saya gusar dengan orang-orang seperti ini yang berbohong. Sesetengah golongan antivaksin pula menggunakan sijil digital rakan mereka untuk makan di luar, dan tempat makan pula tidak menguatkuasakan arahan itu (hanya membenarkan individu lengkap vaksinasi),” katanya, menambah beliau hanya akan mengunjungi restoran yang tidak ada pelanggan lain.

“Saya juga tidak ada mood untuk keluar sekarang, sebab kalau saya keluar pun saya keseorangan. Kawan-kawan saya takut untuk makan di luar, takut bawa pulang virus,” katanya lagi.

Melihat pada situasi ini, Malaysia nampaknya perlu menunggu sedikit masa lagi sebelum keadaan kehidupan masyarakatnya dapat kembali seperti asal.-Bernama

Kedutaan berbincang bagi pastikan rakyat Malaysia di Indonesia diberi vaksin

Kedutaan Malaysia di Indonesia sedang mengadakan perbincangan dengan pihak berkuasa Indonesia bagi memastikan rakyat Malaysia di Indonesia diberikan vaksin Covid-19.

Kuasa Usaha Sementara Adlan Mohd Shaffieq berkata rundingan dengan syarikat farmasi milik pemerintah Indonesia, PT Bio Farma Persero dan Kamar Dagang dan Indilustri itu diadakan di bawah program vaksin gotong-royong.

Program vaksin gotong-royong berbeza dengan program vaksin dilaksanakan pemerintah Indonesia yang diberikan secara percuma. Bagi program vaksin gotong royong, kosnya perlu ditanggung individu atau majikan.

"Akan ada pembayaran (kos vaksin) dan kita sedang perincikan proses bagaimana hendak mendaftar, bagaimana kaedah pembayarannya untuk dua dos vaksin," katanya kepada pemberita pada majlis sambutan Hari Kebangsaan Malaysia ke-64 di Kedutaan Malaysia di Jakarta, hari ini.

Adlan berkata setakat ini petugas serta pegawai dan anggota keluarga kedutaan, serta penuntut di Indonesia telah diberikan vaksin menerusi program vaksin yang dilaksanakan pemerintah Indonesia.

"Kita masih mengumpul data tepat berkenaan rakyat Malaysia yang telah divaksin dan rakyat Malaysia di Indonesia (yang bekerja dan anggota keluarga mereka) yang belum menerima vaksin," katanya.- Bernama

Pastikan setiap rakyat dapat akses kepada kemudahan internet

 Oleh MOHD. HUSNI MOHD. NOOR

 
Annuar (depan) merakam kad pengimbas waktu sebagai tanda memulakan tugas secara rasmi sebagai Menteri Komunikasi dan Multimedia.

PUTRAJAYA – Setiap rakyat di negara ini berhak mendapat akses kepada kemudahan internet kerana ia kini sudah dianggap sebagai keperluan hak asasi manusia.

Itu antara agenda utama yang akan diberikan perhatian oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Anuar Musa sebagai salah satu petunjuk prestasi utama (KPI) di kementerian baharunya.

Annuar berkata, internet kini dianggap sebagai hak asasi manusia dalam kehidupan sekarang justeru, ia perlu diberi perhatian serius oleh kerajaan.

“Saya melihat anak-anak kita juga bergantung kepada internet untuk pembelajaran. Kita harus melihat perkara itu kerana jika ia tidak disediakan dengan sempurna pembelajaran anak-anak akan terjejas,” katanya pada sidang akhbar selepas melapor diri di kementerian baharunya, hari ini.

Katanya, beliau juga akan duduk berbincang dengan operator telekomunikasi di negara ini supaya mereka dapat membantu kerajaan bagi mencapai hasrat itu. – K! ONLINE

DISYORKAN UNTUK ANDA:

  MEDAN BERITA POLITIK DALAM KEMBAR BLOG  ' AR RISALAH '

Segala agenda sedia ada di Wilayah Persekutuan diteruskan

 Oleh AMREE AHMAD

Shahidan diiringi timbalannya, Jalaluddin (kiri) mengimbas kad perakam waktu pada hari pertama memulakan tugas di Menara Seri Wilayah Kementerian Wilayah Persekutuan, Putrajaya di sini, hari ini.

PUTRAJAYA – Menteri Wilayah Persekutuan yang baharu, Datuk Seri Dr. Shahidan Kassim akan meneruskan segala agenda yang sedia ada digerakkan kementerian itu demi kesejahteraan 1.6 juta penduduknya.

Beliau malahan memberi jaminan bahawa semua perancangan yang telah disusun sebelum ini oleh penyandang menteri terdahulu, Tan Sri Annuar Musa akan diteruskan seperti biasa.

“Insya-Allah, semua dasar yang sedia ada itu akan diteruskan macam biasa, bahkan kami hadir dalam Kabinet untuk bekerjasama sebagai satu pasukan yang bersepadu,” jelas beliau selepas hadir melaporkan diri di pejabatnya di kementerian itu di Menara Seri Wilayah, Presint 1, hari ini.

Turut sama ialah timbalan beliau, Datuk Seri Jalaluddin Alias yang juga Ahli Parlimen Jelebu, dan antara muka baharu dalam pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Mengulas lanjut, Shahidan yang merupakan Ahli Parlimen Arau menegaskan, sepanjang tempoh 100 hari pertama ini, beliau masih menyambung segala polisi yang dirancang dan diperkenalkan oleh Annuar sejak tahun lalu.

“Saya tiada masalah pun dengan beliau yang juga sahabat karib saya sendiri dan dengan sokongan semua pihak, kami akan terus membangunkan Wilayah Persekutuan,” jelasnya.

Ini termasuk pelaksanaan Wilayah Bebas Berniaga, perkhidmatan bas percuma, program perumahan, pembangunan keusahawanan dan sebagainya di bawah slogan Wilayah Prihatin. – K! ONLINE

Kenali sejarah untuk bangkit daripada kemelut – PM

Ismail Sabri

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyifatkan setiap negara yang mahu bangkit daripada sebarang kemelut perlu mengenali sejarah.

Beliau berkata, individu yang mengenali sejarah akan memiliki jata diri kukuh dan saling menghormati serta fikiran yang fokus dalam mengatasi apapun cabaran sebagai sebuah keluarga besar iaitu Keluarga Malaysia.

Justeru beliau mengajak Keluarga Malaysia menyusur sungai sejarah perjuangan bangsa mempertahankan kemerdekaan dan merebut kembali tanah air selepas dijajah oleh Portugis, Belanda, Inggeris dan Jepun.

“Perjuangan menuntut kemerdekaan selepas berakhirnya Perang Dunia Kedua telah menyatukan seluruh kepimpinan tanpa mengira garis politik dalam menolak gagasan Malayan Union.

“Inilah sebenarnya semangat dan perjuangan yang telah wujud sejak dulu lagi, dengan matlamat mencapai kemerdekaan tanah air,” katanya ketika menyampaikan perutusan Hari Kebangsaan ke-64 di saluran televisyen tempatan malam tadi.

Beliau berkata, nilai kemerdekaan negara ini terus dipelihara oleh kesemua Perdana Menteri Malaysia iaitu Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Tun Abdul Razak Hussein, Tun Hussein Onn, Tun Dr. Mahathir Mohamad, Tun Abdullah Ahmad Badawi, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak dan Tan Sri Muhyiddin Yassin. -K! ONLINE

Tambahan RM2.8 juta untuk pesawah terjejas di Yan, Kuala Muda

Ronald mengimbas kad perakam waktu di pejabatnya di Wisma Tani selepas selesai istiadat mengangkat sumpah. Foto Ihsan MAFI

PUTRAJAYA – Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Ronald Kiandee mengumumkan bantuan tambahan sebanyak RM2.8 juta melalui Tabung Bencana Tanaman Padi (TBTP) kepada para pesawah yang terkesan akibat bencana alam yang berlaku di Yan dan Kuala Muda, Kedah baru-baru ini.

Beliau berkata, kadar bantuan yang diberikan itu adalah sebanyak RM1,800 per hektar dengan keluasan maksimum sebanyak tiga hektar.

“Penilaian bagi pesawah yang terlibat akan dilaksanakan oleh jabatan teknikal tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ronald berkata, beliau dimaklumkan kira-kira 34.2 hektar kawasan tanaman padi di kawasan Boi, Yan yang berusia antara 75 hingga 105 hari di bawah seliaan MADA telah terjejas.

Tambahnya, kawasan luar jelapang yang terkesan adalah di bawah seliaan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) melalui Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Merbok seluas 18.4 hektar yang berusia antara 95 hingga 105 hari.

“Manakala, kawasan di bawah seliaan Jabatan Pertanian pula melibatkan 15,759 hektar yang berusia antara 95 hingga 110 hari.

“Ini menjadikan keseluruhan keluasan yang terlibat adalah 15,811.6 hektar. Bilangan keseluruhan pesawah yang terkesan masih dalam bancian,” katanya. – K! ONLINE

Polis cari saksi kes lelaki maut dirempuh lori tunda

 Oleh NOR AZIHAN BINTI MD. GHAZALI

Lokasi kejadian mangsa dirempuh lori tunda tersebut, kelmarin.

SUBANG – Seorang penunggang motosikal maut selepas dirempuh sebuah lori tunda di kilometer (km) 26.6, Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) berhampiran susur masuk ke Taman Maju Jaya, dekat sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Subang, Asisten Komisioner Abd Khalid Othman berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 12.10 tengah malam dan mangsa yang maut dikenali Mohan Rajah berusia 45 tahun.

Motosikal ditunggang mangsa mengalami kerosakan pada bahagian belakang akibat dirempuh lori tunda tersebut, kelmarin.

“Siasatan awal di tempat kejadian mendapati motosikal yang ditunggang mangsa datang dari arah Puchong Perdana menghala Puchong Utama.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, motosikal tersebut dipercayai dirempuh dari arah belakang oleh sebuah lori tunda berwarna kuning.

“Mangsa yang parah dikejarkan ke Hospital Serdang, bagaimanapun dia disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan,” ujarnya hari ini.

Menurut beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Orang ramai yang menyaksikan kejadian itu diminta menghubungi pegawai penyiasat, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya, Inspektor K. Ratnacristinavany di talian 0179074893. – K! ONLINE

Warga emas cuba berpaut pada katil sebelum meninggal dunia

 Oleh NUR SYAZWANA MANSOR

Tangkap layar video memaparkan keadaan mangsa yang lemah sebelum meninggal dunia di wad sebuah hospital di Kedah.

SUNGAI PETANI –  Sebuah klip video memaparkan seorang lelaki warga emas yang dilihat dalam keadaan lemah dan cuba berdiri dengan berpaut pada katil sebelum meninggal dunia tular di media sosial, hari ini.

Rakaman video berdurasi 38 saat yang dimuat naik seorang pengguna Facebook itu menunjukkan pesakit berkenaan yang memakai kain tanpa baju cuba berdiri dengan berpaut pada katil dalam keadaan lemah.

Seterusnya, lelaki itu dilihat terbaring dengan beg urin yang masih berada di sisinya sebelum badan si mati ditutup dengan kain putih.

Hantaran tersebut juga mendakwa pihak hospital gagal memberikan rawatan serta-merta kepada pesakit dengan wad berkenaan dipercayai menempatkan pesakit Covid-19.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan Kedah, Dr. Othman Warijo berkata, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung insiden itu.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah pula berkata, pihaknya belum menerima sebarang laporan berhubung kejadian tersebut. – K! ONLINE

Lelaki tampil minta maaf selepas curi beras

 Oleh NOOR HASLIZA NUSI

Tangkap layar rakaman CCTV memaparkan gerak geri seorang lelaki yang mengambil beras di MPKK Bukit Gedung, George Town hari ini.

GEORGE TOWN – Tindakan seorang lelaki melarikan sekampit beras dan bungkusan barangan keperluan asas di stor pejabat Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Bukit Gedung di sini tular di media sosial, malam ini.

Sebelum kejadian, lelaki terbabit dilihat duduk di kerusi di hadapan stor sambil memerhatikan keadaan sekeliling sebelum dikatakan bertindak menceroboh stor simpanan bekalan makanan itu kira-kira pukul 7.35 petang tadi.

Rakaman sistem televisyen litar tertutup (CCTV) berdurasi 2 minit 24 saat itu menunjukkan lelaki yang berpakaian kemeja-T dan berseluar pendek terbabit membawa keluar barangan makanan yang diambilnya melalui pintu stor.

Bagaimanapun, Pengerusi MPKK Bukit Gedung, Mohd. Zaini Ahmad berkata, lelaki berusia 30-an berkenaan bagaimanapun telah datang semula ke lokasi kejadian dan memohon maaf di atas perbuatannya.

“Lelaki itu tinggal di kawasan ini dan memberitahu dia tiada wang untuk membeli makanan disebabkan tidak bekerja. Kami kemudian memberinya semula barangan itu untuk dibawa pulang,” ujarnya. – K! ONLINE

Kes saman RM2.5 juta Siti Nordiana terhadap 5 individu dibicara 29 September


MAHKAMAH Sesyen Kuala Lumpur hari ini, menetapkan 29 September ini untuk perbicaraan kes saman fitnah penyanyi Siti Nordiana Alias terhadap lima individu termasuk penyanyi Lan Solo dan Syura.

Menurut peguam Abang Azlan Abang Ariffin yang mewakili Siti Nordiana, mahkamah menetapkan 29 dan 30 September ini untuk perbicaraan kes itu yang akan diadakan secara dalam talian menerusi aplikasi Zoom.

“Mahkamah mengarahkan plaintif dan defendan memfailkan dokumen praperbicaraan dan pernyataan saksi dua minggu sebelum perbicaraan bermula,” katanya Abang Azlan kepada media, selepas selesai prosiding pengurusan kes di hadapan Hakim Zulqarnain Hassan secara e-Review.

Harian Metro melaporkan, turut hadir pada prosiding itu, peguam Azlan Abdul Razak yang mewakili Lan Solo atau nama sebenarnya Mohd Razlan Mohamed Yusof, isterinya Nur Sheila Hassim dan Zuraidah Badron atau Syura, manakala peguam Nurul Hafidzah Hassan bertindak bagi pihak Pegawai Perhubungan Awam Syarikat Rakaman FMC Music, Sam Musyadzafar Samin serta jurusolek artis bebas, Razidah Ahmad Senusi.

Siti Nordiana, 37, selaku plaintif memfailkan saman itu menerusi Tetuan Abang Azlan & Associates dengan menamakan Lan Solo, Nur Sheila dan Syura, masing-masing sebagai defendan pertama hingga ketiga.

Dua lagi defendan iaitu keempat dan kelima ialah Sam Musyadzafar dan jurusolek artis bebas Aida G.

Dalam saman itu, Siti Nordiana menuntut penerbitan permohonan maaf menerusi siaran akhbar, Instagram dan Facebook live serta RM500,000 daripada setiap defendan.

Writ saman yang dihantar secara e-mel itu, turut menuntut permohonan maaf secara terbuka dalam media sosial dan terbitan akhbar serta tuntutan amaun ganti rugi RM500,000 daripada setiap defendan yang secara keseluruhannya berjumlah RM2.5 juta.

Plaintif turut menuntut ganti rugi teruk, ganti rugi teladan dan ganti rugi khas yang ditentukan oleh mahkamah. -UtusanTV

Kabinet baru perlu pastikan vaksinasi capai sasaran, pacu ekonomi

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin GAMBAR: Abd Razak Aid

TAN SRI Muhyiddin Yassin berharap Jemaah Menteri yang baru dilantik akan memberikan tumpuan segera kepada usaha-usaha untuk memulihkan negara daripada wabak COVID-19, menyalurkan bantuan kepada rakyat yang memerlukan dan memacu pertumbuhan ekonomi.

Menurut Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu, program vaksinasi yang telah menunjukkan pencapaian menggalakkan dengan lebih 62 peratus populasi dewasa setakat ini telah menerima dua dos suntikan lengkap vaksin mesti dipastikan terus berjalan lancar dan mencapai sasaran ditetapkan.

Katanya, begitu juga dengan pembukaan sektor-sektor ekonomi mengikut fasa-fasa dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) mesti dilaksanakan dengan teratur tanpa menjejaskan sasaran pemulihan negara daripada wabak COVID-19.

“Program-program bantuan prihatin rakyat juga mesti diteruskan untuk membantu golongan yang memerlukan dalam fasa pemulihan negara.

“Saya mendoakan agar seluruh barisan Jemaah Menteri sentiasa diberikan hidayah dan inayah oleh Allah SWT untuk menjalankan tugas dan tanggungjawab dengan penuh amanah dan berintegriti demi kepentingan rakyat dan negara,” kata bekas Perdana Menteri dalam satu kenyataan hari ini.

Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang dilancarkan pada akhir Februari lalu telah menetapkan mencapai sasaran imuniti kelompok pada awal tahun depan.

Sasaran itu kemudian dipercepatkan kepada akhir Oktober ini selepas kadar vaksinasi di Malaysia diakui antara terpantas di dunia sejak bulan lalu.

Menerusi kenyataan itu, Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada barisan Jemaah Menteri yang telah mengangkat sumpah jawatan dan setia di hadapan Yang di-Pertuan Agong hari ini.

Beliau juga merakamkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob atas pelantikan Menteri dan Timbalan Menteri dari parti-parti komponen PN.

“Sesusungguhnya pelantikan ini adalah suatu amanah berat yang mesti dipikul dengan penuh jujur, ikhlas dan berintegriti selaras dengan prinsip Rukun Negara dan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Sebagai badan yang menjalankan fungsi Eksekutif Persekutuan, Jemaah Menteri adalah badan tertinggi yang memutuskan dasar-dasar kerajaan untuk dilaksanakan di setiap peringkat kerajaan.

“Maka, fungsi ini mestilah dilaksanakan dengan penuh wibawa demi kepentingan rakyat dan negara,” jelasnya.

Tujuh lokaliti di Kelantan, Pahang dan Sabah dikenakan PKPD

GAMBAR: Abd Razak Aid

SEBANYAK tujuh lagi lokaliti di tiga negeri akan diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) susulan peningkatan kes positif COVID-19.

PKPD terbaharu itu melibatkan kawasan di Kelantan, Pahang dan Sabah.

Pelaksanaan PKPD di tujuh lokaliti akan dilaksanakan bermula Rabu ini selama dua minggu.

Perkara berkenaan diumumkan Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Rodzi Md. Saad dalam kenyataan hari ini.

Keputusan melaksanakan PKPD di tujuh lokaliti di Kelantan, Pahang dan Sabah itu dilakukan setelah meneliti pembentangan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenai penilaian risiko serta trend jangkitan COVID-19.

Menurut beliau, Kelantan menjadi negeri tertinggi pelaksanaan PKPD kali ini yang melibatkan tiga kawasan yang kesemuanya terletak dalam mukim Olak Jeram, Kuala Krai.

“Ia melibatkan Kampung Lata Tual, Kampung Tob Uban dan Kampung Kubang Kerian,” katanya dalam kenyataan tersebut.

Selain itu, kawasan yang dikenakan PKPD di Sabah adalah Kampung Lotong, Kota Marudu dan Kampung Penangah, Tongod.

Dua lokaliti yang dikenakan PKPD di Pahang adalah di Kampung Batu Papan dan Kampung Batu Papan Tengah di daerah Bera.

Sementara itu PKPD di Kampung Temalian di Raub, Pahang dan Kampung Hidayat di Tawau, Sabah yang sepatutnya tamat esok turut dilanjutkan bagi tempoh sama hingga 14 Sept ini, manakala tujuh lokaliti PKPD di Pahang dan Sabah pula ditamatkan esok.

Anak pelakon tolak vaksin, buat laporan polis

Laporan polis itu dibuat pelajar itu bersama adik perempuannya, Nur Azreen Omar Iskandar Azri Iskandar, 12, dan rakannya Muhammad Hanif Haikal Jeffery, 17, di Balai Polis Taman Melawati.

BIMBANG perkara buruk menimpa mereka selepas divaksin, dua remaja lelaki dan seorang kanak-kanak perempuan di Selangor membuat laporan polis bagi menyatakan hak mereka menolak suntikan vaksin Covid-19 yang akan dilaksanakan kerajaan terhadap pelajar.

Seorang pelajar, Azrell Omar Azri Iskandar, 17, berkata, dia berhak menolak daripada menjadi bahan eksperimen dengan dicucuk vaksin selepas dimaklumkan tiada pihak yang akan bertanggungjawab sekiranya berlaku implikasi akibat pengambilan vaksin.

“Apa yang berlaku terhadap saya selepas menerima vaksin, semuanya atas tanggungan saya sendiri.

“Saya pelajar yang sihat tubuh badan dan tidak sanggup mengambil sebarang risiko yang boleh mendatangkan mudarat terhadap tubuh badan saya melalui suntikan vaksin ini yang masih lagi di tahap ujian klinikal.

“Saya tak sanggup mempertaruhkan nyawa saya untuk ujian klinikal ini kerana ada pelbagai kaedah mencegah Covid-19 iaitu melalui cara perubatan homeopati holistik, makanan sunnah yang keluarga saya amalkan bagi mencegah penularan Covid-19,” katanya hari ini.

Terdahulu Azrell Omar membuat laporan polis bersama adik perempuannya, Nur Azreen Omar Iskandar Azri Iskandar, 12, dan rakannya Muhammad Hanif Haikal Jeffery, 17, di Balai Polis Taman Melawati.

Selain itu, Azrell Omar serta adiknya ditemani ibu mereka yang juga pelakon, Ellie Suriaty Omar.

Kata pelajar itu, dia ada menerima borang daripada gurunya untuk mendapatkan vaksin dua minggu lalu.

“Dalam borang berkenaan, kami (pelajar) diberitahu bahawa tiada siapa yang akan bertanggungjawab sekiranya berlaku implikasi akibat pengambilan vaksin.

“Setakat ini, mereka tidak memaklumkan ada tindakan lanjut akan dikenakan sekiranya tidak mengambil vaksin,” katanya yang memaklumkan semua ahli keluarganya belum mengambil vaksin sehingga kini.

Mengulas lanjut Azrell Omar berkata, tiada mana-mana individu memaksanya membuat laporan itu yang dibuat atas kewarasan sendiri selepas menilai maklumat diperolehinya.

Ujarnya, dia mengambil semua maklumat berkaitan vaksin dan Covid-19 daripada Internet termasuk membaca berita dari luar negara selain maklumat daripada ibunya, ahli keluarga serta kenalan.

“Dari situ saya menilai sendiri maklumat diperoleh dan membuat keputusan untuk menolak disuntik vaksin,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan dibuat individu berkenaan.

KJ mulakan tugas rasmi sebagai Menteri Kesihatan

Khairy Jamaluddin memasuki pejabatnya di Kementerian Kesihatan Malaysia petang tadi selepas berakhir majlis angkat sumpah jawatan di Istana Negara./ Gambar FB KKM

USAI mengangkat sumpah jawatan di Istana Negara hari ini, Khairy Jamaluddin terus melapor diri di Kementerian Kesihatan (KKM) untuk memulakan tugas secara rasmi sebagai Menteri Kesihatan.

Kedatangan Ahli Parlimen Rembau itu yang berbaju Melayu hitam lengkap bersamping hitam bersulam benang warna keemasan ke bangunan Kementerian Kesihatan pada 5.15 petang disambut Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Turut sama melapor diri pada hari ini ialah Timbalan Menteri Kesihatan I Datuk Dr Noor Azmi Ghazali dan Timbalan Menteri Kesihatan II Datuk Aaron Ago Dagang.

Selepas mengimbas pas kerja, Khairy yang memegang jawatan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi dalam pentadbiran terdahulu, memasuki pejabatnya di Tingkat 13 dan kemudian menyertai mesyuarat bersama pengurusan kanan KKM.

Khairy bersama 29 menteri dan 37 timbalan menteri mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara hari ini.- BERNAMA

Pelantikan satu amanah besar, utamakan pemerkasaan masyarakat luar bandar – Mahdzir

 

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid bersama timbalan menterinya memulakan tugas di kementerian tersebut hari ini.

AHLI Parlimen Padang Terap, Datuk Seri Mahdzir Khalid yang memulakan tugasnya sebagai Menteri Pembangunan Luar Bandar secara rasmi hari ini, berjanji akan memastikan agenda pemerkasaan masyarakat luar bandar terus diutamakan.

Beliau berkata, pelantikannya untuk menerajui kementeraian itu adalah amanah dan tanggungjawab besar yang perlu dipikul, demi memastikan kelancaran pentadbiran negara dan juga kemajuan luar bandar serta masyarakatnya.

Katanya, pengalaman sepanjang karier politiknya akan dijadikan bekalan untuk memastikan segala agenda pemerkasaan masyarakat luar bandar sebagai salah satu agenda utama kementerian itu.

“Saya juga beriltizam untuk melaksanakan amanah dan tanggungjawab ini dengan penuh keikhlasan, jujur dan berintegriti demi memastikan negara kita terus bergerak maju ke hadapan, terutama dalam usaha kita menangani pandemik COVID-19 dan Pelan Pemulihan Negara (PPN),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mahdzir Khalid tiba di bangunan Kementerian Pembangunan 
Luar Bandar untuk merakam penanda waktu bagi memulakan 
tugas hari pertamanya.

Mahdzir antara 30 menteri dan 37 timbalan menteri yang mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara hari ini.

Beliau turut merakamkan ucapan menjunjung kasih kepada Seri Paduka atas perkenan Yang di-Pertuan Agong menerima menghadap bagi Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia itu.

Beliau turut merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob atas kepercayaan yang diberikan terhadap beliau untuk menerajui Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB).

“Tidak lupa juga saya merakamkan ucapan terima kasih kepada pucuk pimpinan UMNO khususnya Presiden Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, seluruh kepimpinan parti, rakan Ahli Parlimen, pimpinan parti-parti politik dan seluruh warga Malaysia yang dikasihi sekalian,” katanya.

Sementara itu, KPLB dalam kenyataan berasingan turut merakamkan ucapan tahniah kepada Mahdzir serta Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad sebagai Timbalan Menteri I dan Datuk Hasbi Habibollah sebagai Timbalan Menteri II yang baharu.

Menurut kenyataan itu, KLPB terus komited dan sentiasa memberi kerjasama serta sokongan kepada kepimpinan baharu itu dalam melaksanakan inisiatif membangun dan memajukan luar bandar untuk kesejahteraan masyarakat luar bandar. – UtusanTV

64.7 peratus maahad tahfiz dalam negara terpaksa tutup operasi

Ainul Illia

Permata Al-Quran rayu kerajaan bantu operasi maahad tahfiz

BANGI – Sebanyak 64.7 peratus maahad tahfiz dalam negara terpaksa ditutup operasi atas arahan kerajaan.

Presiden Persatuan Madrasah Tahfiz Al-Quran Malaysia (Permata Al-Quran), Manolito Mohd Dahlan berkata, dapatan itu adalah hasil kajian yang dilakukan pihaknya pada 30 hingga 31 Mei lalu ke atas 512 maahad tahfiz.

Berdasarkan kajian itu juga, katanya, 11.7 peratus maahad memberhentikan sepenuhnya kakitangan mereka sementara 52 peratus maahad lagi hanya mampu membayar separuh gaji pekerja.

“34.4 peratus maahad pula hanya mampu bertahan tidak lebih tiga bulan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau juga berkata, sebanyak 38.1 peratus maahad tidak menerima bantuan daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) manakala 85.4 peratus maahad menerima yuran separuh atau kurang ekoran ibu bapa tidak berkemampuan.

Bimbang dengan senario tersebut, Manolito mahu maahad tahfiz sedia ada diselamatkan dan dibantu oleh pihak kerajaan. 

“Maahad tahfiz adalah menjadi salah satu benteng utama umat Islam untuk memahami al-Quran serta melahirkan pemimpin berjiwa Quranic. 

“Oleh itu, ia perlu diselamatkan agar tiada pemberhentian kakitangan, tiada pemotongan gaji kakitangan serta penutupan operasi maahad,” katanya.

Untuk memastikan keadaan itu tidak berterusan, beliau menggesa pihak kerajaan membantu menyalurkan bantuan perkapita (bantuan khas) untuk kakitangan termasuk guru, kerani, warden, tukang masak dan pekerja am.

Di samping itu juga, beliau berkata, maahad tahfiz memerlukan penyaluran bantuan segera peralatan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) serta bayaran kemudahan WiFi kepada ibu bapa yang tidak berkemampuan.

“Mohon dibenarkan juga maahad tahfiz beroperasi mengikut prosedur operasi standard (SOP).

“Pihak Permata Al Quran ingin merayu kepada Perdana Menteri, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Jakim, JAIN dan MAIN supaya membantu maahad tahfiz di seluruh Malaysia daripada terus terancam dan menutup operasinya,” katanya.

Untuk rekod, Manolito berkata, maahad tahfiz persendirian yang berdaftar dengan JAIN atau Jakim berjumlah hampir 1,198 buah dengan murid berjumlah 84,643 orang dan guru berjumlah 10,357 orang.

Isnin, 30 Ogos 2021

Tanah Perkuburan Johan Setia kini terima jenazah Covid-19

MALAYSIAKINI

Malaysiakini

Pengebumian jenazah Covid-19 di Tanah Perkuburan Selat Klang, Klang dipindahkan ke Tapak Perkuburan Johan Setia, Klang berikutan ia hampir penuh dan perlu dikhususkan untuk kematian biasa ahli kariah.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Hal Ehwal Pengguna dan Industri Halal Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata walaupun Tanah Perkuburan Selat Klang adalah berkeluasan 11.3 hektar namun tapak yang sudah siap diratakan dan ditambak oleh Majlis Perbandaran Klang (MPK) bagi tujuan pengebumian jenazah biasa dan jenazah Covid-19 hanyalah seluas 0.8 hektar.

“Memandangkan tanah berkenaan hampir penuh dan perlu dikhususkan untuk kematian jenazah biasa ahli kariah, maka pengebumian pesakit Covid-19 dipindahkan ke Tapak Perkuburan Johan Setia, Klang yang mempunyai tapak seluas 4 hektar yang disediakan untuk menerima jenazah,” katanya ketika menggulung pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, hari ini.

Beliau menjawab soalan yang dibangkitkan oleh Azmizam Zaman Huri (PH-Pelabuhan Klang) mengenai Tanah Perkuburan Selat Klang yang hampir penuh.

Selain itu Mohd Zawawi berkata Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) turut menambah keperluan tanah perkuburan di setiap daerah yang sehingga 23 Ogos lalu, sebanyak 42 tanah perkuburan dikhususkan sebagai tanah perkuburan jenazah Covid-19 iaitu tujuh tanah perkuburan seliaan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan 36 tanah perkuburan kariah.

Mengulas lanjut, Mohd Zawawi memaklumkan individu yang mempunyai maklumat mengenai pihak yang mengenakan caj pengurusan jenazah Covid-19 di hospital seluruh Selangor digesa untuk berkongsi maklumat berkenaan dengan Jais.

"Saya difahamkan bahawa kes ini berlaku sebelum 25 Ogos lalu, namun jika berlaku lagi, saya minta semua pihak salurkan maklumat kepada Jais. Saya ambil serius mengenai hal ini kerana Jais tidak mengenakan sebarang caj pengurusan jenazah di hospital," katanya.- Bernama

DISYORKAN UNTUK ANDA:

    MEDAN BERITA POLITIK DALAM KEMBAR BLOG  ' AR RISALAH '

Selangor takkan tutup kilang meski kes harian COVID-19 masih tinggi

 Athirah Huda Zalhe

PBT akan pastikan kilang operasi dengan syarat lesen yang ditetapkan

BANGI – Walaupun kes harian jangkitan COVID-19 di Selangor masih tinggi, operasi kilang di negeri ini tidak akan ditutup.

Keputusan dibuat bagi memastikan sektor ekonomi terus berlangsung setelah ditutup ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 selama beberapa bulan, kata Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan dan Pengangkutan negeri Selangor, Ng Sze Han.

Justeru katanya, kerajaan negeri tidak akan menutup kilang yang telah mendapat kelulusan dari Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) serta mematuhi semua syarat lesen yang ditetapkan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Kerajaan melalui PBT akan memastikan sesebuah kilang beroperasi dengan syarat lesen yang ditetapkan,” katanya ketika sesi pertanyaan lisan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Persidangan Dewan Nege Selangor ke-14 di Bangunan Annex, hari ini.

Sze Han menjawab soalan Long Tuck Chee (PH-Pandamaran) mengenai peruntukan kuasa yang ada pada kerajaan Selangor untuk menutup kilang di negeri ini.

Menurut Sze Han, kerajaan negeri akan menutup kilang sekiranya didapati melanggar peraturan yang ditetapkan PBT.

“Siri beberapa operasi bersepadu yang dijalankan PBT dan juga pihak berkuasa telah menutup beberapa buah kilang yang telah melakukan kesalahan di bawah PBT.

“Tapi, saya tidak ada angka berapa banyak kilang yang ditutup,” katanya.

KPI 100 hari: PAS perlu buktikan ‘tok lebai’ boleh buat kerja

 Athirah Huda Zalhe

Saran kecilkan semangat kepartian, fokus sumbangan kenegaraan: Ridhuan Tee

BANGI – Pemimpin PAS perlu menggunakan sepenuhnya peluang 100 hari untuk membuktikan prestasi cemerlang sebagai anggota Kabinet dalam kerajaan baharu.

Pemerhati politik, Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah berkata, PAS perlu membuktikan bahawa ‘tok lebai’ boleh buat kerja untuk menaikkan saham parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti.

Justeru, beliau menyarankan PAS supaya mengecillkan semangat kepartian dan memfokuskan kepada semangat serta sumbangan kenegaraan.

“Kadang kala kita lihat, semangat kepartian itu terlalu tinggi sehingga menimbulkan ketaksuban.

“Semua ini hanya akan melemahkan PAS, meskipun sebahagian pemimpin telah cuba melakukan yang terbaik ketika berada dalam kerajaan,” katanya dalam tulisan di ruangan kolumnis Ismaweb.net, hari ini.

Pada masa sama, Prof Mohd Ridhuan Tee turut mengingatkan pemimpin parti itu untuk mengelakkan diri daripada sebarang kontroversi peribadi, terutama membabitkan isu harta, wanita dan takhta.

“100 hari tidak lama, sementara menunggu PRU15. Benar, saya tahu, kamu sedang menunggu mandat yang baharu, untuk mendapat lebih banyak kerusi daripada 18 yang sedia ada.

“Sekiranya kamu berjaya tunjukkan, tidak mustahil, PRU15 nanti kamu akan mendapat lebih kerusi dan boleh minta lebih banyak lagi demi maslahah ummah,” katanya.

1,352 guru di Perak belum divaksin

Ainul Illia

Masih nantikan giliran, ada juga belum daftar untuk terima vaksin

IPOH – Hanya kira-kira 3.7 peratus iaitu seramai 1,352 orang guru di Perak masih belum menerusi suntikan vaksin COVID-19.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Saidi Mohamad Daud berkata, antara mereka masih ada yang menunggu giliran untuk divaksin dan masih terdapat di kalangan mereka yang belum mendaftar untuk menerima vaksinasi.

“Sehingga semalam seramai 36,238 daripada sejumlah 37,590 guru merangkumi sekolah rendah dan menengah telah divaksin,” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri Perak, hari ini.

Manakala bagi kumpulan guru Sekolah Tinggi Agama Malaysia (STAM), Vokasional, Tingkatan Lima dan Enam, seramai 9,426 telah divaksin.

”Bakinya 258 orang masih belum mendaftar untuk divaksin dan masih menunggu janji temu divaksin,” katanya seperti dilapor Kosmo.

Beliau berkata, kerajaan negeri melalui Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak akan terus menggandakan usaha untuk memastikan guru-guru ini akan menerima vaksin.

“Sekiranya perlu program-program seperti sesi kaunseling, webinar dan bengkel pengurusan dan kepentingan vaksin akan dianjurkan bagi mencapai tujuan ini,” katanya.

Zaman Dewan Negara pasif sudah berlalu, masa untuk diaktifkan

azrulhakimie

Gunakan kuasa kolektif bagi memperbaiki keadaan menerusi undang-undang

KUALA LUMPUR – Zaman Dewan Negara bersifat pasif sudah berlalu dan kini tiba masanya untuk diaktifkan, dijelma dan dilaksanakan sebagai dewan tertinggi tanah air kata Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Dr Rais Yatim.

Beliau berkata, transformasi parlimen adalah menerusi lunas-lunas tertentu dan bukannya diputuskan oleh seseorang atau sesuatu institusi.

“Harap hormat Parlimen ini dan kita akan gunakan kuasa kolektif kita bagi memperbaiki keadaan menerusi undang-undang dan Peraturan Mesyuarat.

“Ingin saya cadangkan zaman Dewan Negara untuk menjadi pasif sudah berlalu, zaman untuk kita aktivasikan Dewan Negara sebagai dewan tertinggi tanah air, haruslah menjelma dan dilaksanakan,” katanya semasa majlis mengangkat sumpah jawatan tiga Ahli Dewan Negara di Dewan Negara di sini hari ini.

Beliau berkata Jawatankuasa Pilihan Khas Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara dan Jawatankuasa Pilihan Khas Sosiobudaya, Komunikasi dan Pendidikan, memiliki kuasa undang-undang agar sesuatu isu yang membelenggu rakyat dapat diselesaikan dengan tuntas oleh kerajaan yang baharu dibentuk Kabinetnya.

Katanya, menurut Peraturan Mesyuarat 18 dan Aturan 13(1)(f), rakyat boleh terus mempestiyen Dewan Negara melalui Ahli Dewan Negara yang dilantik.

Terdahulu tiga lantikan senator berkenaan yang mengangkat sumpah hari ini ialah Datuk Seri Ti Lian Ker, Datuk Razali Idris dan Md Nasir Hashim, iaitu lantikan semula penggal kedua oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Lantikan Ti berkuat kuasa mulai 10 Ogos lepas hingga 9 Ogos 2024, manakala Razali dan Md Nasir mulai 27 Ogos lepas hingga 26 Ogos 2024.

Kesemua mereka mengangkat sumpah sebagai senator pada majlis yang berlangsung dalam keadaan mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Rais pada masa sama mengingatkan mereka supaya melaksanakan segala amanah yang diberikan dengan penuh bertanggungjawab.

Beliau turut menasihati agar senator menilai prestasi penggal pertama dan mempertingkatkan dalam penggal kedua, selain bekerja keras menunaikan tanggungjawab kepada institusi legislatif dan rakyat yang terhimpit dengan pandemik COVID-19. – Bernama