Oleh Abd Shukur Harun
Pelik juga memikirkan kata-kata Ketua Wanita Umno Bahagian Kuantan Datuk Zaiton Mat yang mencadangkan agar pihak yang tidak suka kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) supaya meninggalkan negara ini.
Kata-katanya
ini menimbulkan kemarahan dan kritikan pelbagai pihak, termasuklah di
kalangan sesetengah tokoh Umno sendiri yang tidak bersetuju dengan
kata-kata tersdebut, yang sedar akan situasi yang ada sekarang.
Bayangkan,
bagaimanakah rakyat Malaysia yang sah sebagai warganegara tiba-tiba
mahu disuruh meninggalkan negara ini, hanya kerana rakyat prihatin ini
tidak bersetuju dengan dasar dan langkah kerajaan terutamanya mengenai
kenaikan harga barang, menyebabkan mereka mahu berhimpun membantah
kenaikan tersebut.
Ini bukan pertam kali kata-kata karut marut
dikeluarkan oleh orang Umno/BN, malah ada yang lebih dahsyat dari itu.
Umpamanya ucapan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak di
Perhimpunan Agung Umno baru-baru ini yang berkata, “Jika Umno tiada,
bagaimanakah nasib orang Melayu, di mana mereka hendak mengadu.”
Ucapannya
ini menyebabkan ramai orang bertanya, bagaimana dengan kuasa Rububiyah
Allah yang menentukan nasib manusia, qada’ dan qadar, rezeki, umur,
ajal dan maut hamba-Nya. Adakah nasib Melayu ditentukan oleh Umno,
bukan kuasa Allah s.w.t.?
Maka itu kenyataan pemimpin Wanita
Umno Kuantan ini yang menyuruh penentang Umno/BN supaya meninggalkan
negara ini adalah analoji yang dangkal dan kuno. Inilah akibat mudahnya
bercakap tanpa memikirkan lojik akal rasional.
Oleh itu, jika
analogi dangkal ini hendak dipakai, maka kita bertanya bagaimana dengan
mereka yang menentang Pakatan Rakyat yang mendiami negeri di bawah
pemerintahan Pakatan Rakyat seperti Selangor, Kelantan dan Pulau Pinang.
Adakah mereka disuruh berpindah ke negeri lain yang diperintah oleh
Umno?
Oleh itu apalah yang boleh kita harapkan dari kebanyakan orang Umno/BN yang berfikiran serupa ini, walaupun tidak semua.
Pendapat
dangkal dan pelik serupa ini menimbulkan kritikan pelbagai pihak, baik
pemimpin Pakatan Rakyat, penganalisis dan ahli politik, NGO dan rakyat
prihatin yang lain, malah dari kalangan beberapa tokoh Umno sendiri.
Pendapat
tokoh Wanita Umno ini malah menjadi bahan tertawaan ramai orang, bukan
saja kerana ia tidak memahami rialiti masyarakat yang ada, tetapi juga
kedangkalannya berpolitik.
Di sini nyatalah pemikiran
kebanyakan orang Umno/BN benar-benar ketinggalan zaman pada ketika
dunia moden dengan pelbagai kemajuan teknologi dan dunia intelek begitu
pesat. Malangnya kebanyakan orang Umno berfikiran seperti 50 tahun
dulu. Iaitu zaman belum begitu ramai orang celek huruf, zaman orang
luar bandar menonton filem menerusi tayangan wayang pacak hitam putih
di tepi jalan oleh Jabatan Penerangan.
Zaman itu telah berlalu
lima puluh tahun lalu atau lebih, zaman selepas Perang Jepun, zaman
ramai orang Melayu yang percaya pada khurafat. Malangnya pemikiran
zaman itu tidak banyak berubah dikebanyakan orang Umno.
Sebab
itu jika kita mendengar beberapa perwakilan yang berucap di Perhimpunan
Agung Umno di PWTC beberapa bulan lalu, kita mendapati ucapan mereka
itu benar-benar ketinggalan zaman dengan cetusan faham perkauman yang
sempit.
Ia menggambarkan Umno seperti berada di alam fantasi,
zaman nenek kebayan – wanita tua bongkok, bertongkat, terketar-ketar -
bercakap dengan Tun Mamat, wakil Sultan Melaka untuk meminang puteri
Gunung Ledang.
Sedangkan alam realiti, ialah suasana di luar
PWTC itu sendiri, dengan simpang siur lalu lintas, pusat membeli belah
yang riuh rendah, orang ramai hilir mudik siang dan malam dengan
keperluan masing-masing, syarikat dan bank-bank yang bergelut dengan
urusan perniagaan dan kewangan dan pelbagai lagi.
Oleh itu, tentunya seruan tokoh Wanita Umno Kuantan itu adalah ‘lanjutan alam fantasi’ yang dibawa dari PWRC itu.
Di
sinilah, menurut saya, sudah sampai masanya dan memang sangat perlu
pelbagai pihak, terutamanya golongan intelektual dan agamawan serta
kalangan tokoh NGO yang sangat prihatin terhadap nasib rakyat supaya
mengadakan dialog, malah pendidikan kepada orang Umno supaya berfikir
sesuai dengan keadaan masa kini.
Islam yang kita pegang secara
kukuh, dengan konsep mulia wasatiyyahnya – seimbang, pertengahan,
menegakkan keadilan dan kesaksamaan dan sebagainya - boleh menjadi asas
wahana yang penting untuk memberikan kesedaran kepada orang Umno.
Bahawa Islam itu ialah agama yang berasaskan pemikiran, hujjah, bukan
paksaan, bukan diasaskan kepada emosi dan pemikiran yang sempit.
Lebih
dari itu, Islam menentang pemikiran dan sikap perkauman, justru hadis
Nabi s.a.w. yang sangat kuat, mengungkapkan: “Bukan dari umatku mereka
yang meneriakkan assobiyah (perkauman).”
Para agamawan yang
berceramah baik di masjid, surau mahupun di kaca TV dan sebagainya,
justeru boleh menghuraikan secara jelas akan maksud hadis ini, bukan
saja kepada orang Umno, bahkan kepada siapa saja yang keliru dengan
keluasan tawawuur Islam ini.
Sudah sampailah masanya segenap
anggota masyarakat prihatin, khususnyan para agamawan, pemimpin NGO
yang tidak menjadi pengampu, para pemimpin golongan muda, siswa-siswi
yang prihatin dan rakyat yang merasa bertanggungjawab untuk tampil
menjelaskan sejelas-jelasnya - dalam bahasa yang mudah difahami -
mengenai tekanan hidup yang dihadapi oleh kebanyakan rakyat sekarang
ini.
Masalahnya terutama berpunca dari kenaikan harga barang yang
benar-benar menghimpit kehidupan rakyat, terutama yang berpendapatan
rendah.
Kita percaya, ada di kalangan penyokong biasa Umno
sendiri yang merasakan kehidupan mereka sendiri tertekan dengan kenaikan
harga barang ini.
Maknanya tiadak ada golongan yang terlepas
dari hempetan kehidupan ini diakibatkan kenaikan tersebut, kecuali para
pemimpin dan orang-orang besar, para tokoh korporat ternama, suku sakat
kroni dan saudara mara yang hidup kaya raya, malah super kaya, bercuti
dan shooping di luar negara dan membeli barangan berjenama.
Golongan
elit yang hidup berwah-mewah ini tidak tersentuhpun dengan phenomena
kenaikan harga barang ini. Tetapi yang amat tertekan ialah rakyat biasa,
buruh dan nelayan dan rakyat berpendapatan rendah seluruhnya.
Inilah
yang dibela dan diperjuankan oleh para NGO yang prihatin dan pendukung
Pakatan Rakyat. Malangnya mereka inilah yang dicabar supaya ‘berambus’
keluar Malaysia jika tidak setuju dengan BN. Inilah wajah politik yang
memulakan tahun 2014.http://bm.harakahdaily.net