Bernam / ASTRO AWANI
Beliau yang menerajui UMNO Selangor sejak 2013 berkata keputusan itu dibuat bagi mengambil tanggungjawab atas kekalahan teruk parti berkenaan di negeri terbabit.
Noh berkata beliau akan melepaskan jawatannya selepas proses pemilihan serta pelantikan Presiden UMNO yang baharu selesai dan perkara itu juga akan dimaklumkan sendiri kepada pemimpin tertinggi parti berkenaan.
"Saya mahu beri peluang kepada muka baharu (memimpin UMNO Selangor) yang mungkin akan ada pendekatan (membangunkan parti) dengan lebih baik.
"Saya akan terus menjaga Tanjong Karang kerana saya anggota Parlimennya, dan jika saya diberi mandat sekali lagi sebagai Anggota Majlis Tertinggi UMNO, saya akan mainkan peranan tersebut," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Tanjong Karang, di sini hari ini.
Tambah Noh, keputusannya adalah muktamad dan beliau tidak akan menerima pelawaan mana-mana pihak supaya terus menerajui UMNO Selangor.
Ditanya mengenai pembekuan akaun UMNO Selangor oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana didakwa berkaitan dengan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Noh berkata beliau tidak mengetahui punca perkara itu berlaku.
"Saya tak tahu apa punca pembekuan. Kalau dikaitkan dengan isu 1MDB, setahu saya ia terjadi pada 2013 yang ketika itu saya hanyalah Timbalan Pengerusi UMNO Selangor maka saya tak tahu tentangnya," katanya.
Noh berkata bagaimanapun UMNO peringkat bahagian tidak terkesan dengan pembekuan akaun berkenaan.
Dalam pada itu, mengulas mengenai pemilihannya sebagai Ketua UMNO Bahagian Tanjong Karang buat penggal keenam, Noh berkata beliau mahu menerapkan lagi budaya perpaduan di kawasan itu supaya ia dapat menjadi kubu kuat UMNO pada masa depan. -- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan