Khamis, 28 Jun 2018

Buat masa sekarang, RM100 juta peruntukan kampung di negeri Pakatan sahaja, kata Rina

Peruntukan RM100 juta untuk kampung di negeri bawah pentadbiran Pakatan akan diberikan untuk membangunkan ekonomi, kata Menteri Pembangunan Luar Bandar Rina Harun. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal
 
KERAJAAN akan memperuntukkan RM100 juta untuk pembangunan kampung seluruh negara, kata Menteri Pembangunan Luar Bandar Rina Harun.

Katanya, buat masa sekarang, dana itu akan diperuntukkan untuk negeri di bawah pentadbiran Pakatan Harapan kerana kerajaan masih mengkaji mekanisme saluran dana untuk negeri bawah pentadbiran pembangkang.

“Mereka yang bertanggungjawab ke atas kampung perlu memohon geran.

“Dana itu adalah untuk mereka membangunkan ekonomi kampung mereka,” katanya di Putrajaya hari ini.

Jawatankuasa Keselamatan dan Pembangunan Kampung (JKKK) sudah diberi nama dan jenama baru, kini dikenali sebagai Majlis Pembangunan Komuniti Kampung.

Rina berkata setakat ini terdapat 16,000 kampung di seluruh negara.

Rina berkata setiap kampung boleh memohon geran sebanyak RM10,000.

“Ketua kampung akan dapat elaun bulanan RM500, setiausaha pula akan dapat RM300.

“Kampung akan dapat RM100 untuk mesyuarat mereka dan bayaran kehadiran sebanyak RM50.”

Katanya, terpulang kepada kerajaan negeri untuk memilih ketua kampung.

Berkaitan dengan usaha memperkasakan wanita seperti mana manifesto PH, Rina berkata sekurang-kurangnya 30% ketua kampung perlulah wanita.

“Mereka perlu mampu menyumbang tenaga, idea, perspektif dan kemahiran untuk membangunkan kampung.”

Bagi memastikan pembangunan kampung berlaku tanpa isu, Rina berkata, bilangan biro majlis kampung sudah diturunkan kepada 11 berbanding 13 sebelum ini.

Antara biro yang diwujudkan adalah kesihatan, keselamatan, kewangan, pendidikan, kebajikan dan inovasi.

Tiada ulasan: