Selasa, 30 November 2021

Masalah bekalan air hangatkan sidang DUN Selangor

MGF05112019_SIDANG-DUN-SELANGOR_16
Rizam hangatkan sidang DUN dengan membangkitkan isu air.

SHAH ALAM – Isu bekalan air menghangatkan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini, apabila Ketua Pembangkang, Datuk Rizam Ismail (BN) mempersoalkan kegagalan kerajaan negeri Pakatan Harapan (PH) menanganinya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Air Tawar itu berkata, sudah tiga penggal Selangor ditadbir oleh PH, sehingga kini masalah bekalan air terputus dan isu pencemaran sungai berterusan berlaku.

Ia, katanya, membuktikan tiada usaha tegas dari kerajaan negeri untuk menyelesaikannya.

“Masalah air masih tidak berpenghujung. Selangor berterusan berhadapan dengan masalah gangguan bekalan air yang disifatkan sebagai endemik selagi PH memerintah negeri ini.

“Apabila masalah berkenaan membelenggu, walaupun sudah tiga penggal menjadi kerajaan, pelbagai alasan dikemukakan kononnya pencemaran air sungai dan sebagainya.

“Saya faham kerajaan negeri ada mengambil tindakan ke atas individu dan kilang yang melakukan pencemaran ini, tetapi apakah mekanisme yang dilakukan supaya masalah ini dapat diselesaikan,” katanya pada sesi perbahasan RUU Perbekalan 2022 bagi negeri Selangor di DUN, hari ini.

Perbahasan beliau itu dicelah oleh ADUN Banting, Lau Weng San (DAP) yang menyatakan, Pahang dan Johor di bawah kerajaan Barisan Nasional (BN) juga berlaku masalah bekalan air.

Alasan Weng San itu dibantah oleh ADUN Sungai Burong, Datuk Shamsuddin Lias (BN) yang mempersoalkan tindakan pembangkang tidak mahu menerima hakikat kegagalan kerajaan Selangor dengan mencari salah negeri lain.

Celahan Shamsuddin kemudian ditegur oleh Timbalan Speaker DUN, Hasnul Baharuddin yang memintanya memendekkan pertanyaan kerana untuk memberi laluan kepada Rizam berbahas.

ADUN Sungai Burong itu tidak mengendahkan teguran itu sebaliknya meneruskan pertanyaan mempertikaikan kegagalan kerajaan negeri sehingga ADUN Bandar Baru Klang, Datuk Teng Chang Khim (DAP) bangun membaca buku peraturan.

Namun, Shamsuddin tetap dengan celahannya menyebabkan berlaku ‘perang’ mulut dengan Chang Khim.

Sebelum keadaan cuba ditenangkan oleh Hasnul, ADUN Batang Kali, Harumaini Omar meminta laluan untuk menyatakan mengenai masalah bekalan air turut berlaku di kawasannya dan bila perkara itu dapat diselesaikan.

Hasnul kemudian mengarahkan beberapa ADUN yang ‘berperang mulut’ itu duduk dan meminta Rizam meneruskan perbahasannya.

Ketika menyambung perbahasan itu, Rizam berkata, dalam pengurusan air di bawah PH, kerajaan negeri membelanjakan RM2 bilion untuk membeli syarikat air walaupun kos asal dianggarkan sekitar RM200 juta.

Katanya, kos RM200 juta itu dicadangkan oleh Tan Sri Khalid Ibrahim ketika memegang jawatan Menteri Besar Selangor.

“Sekepas itu, saban tahun saya lihat kerajaan negeri umum perbelanjaan air begitu tinggi, kononnya itulah kaedah untuk menyelesaikan masalah air dan dalam Bajet 2021 kerajaan negeri umum sebanyak RM779 juta agar masalah air tidak berulang,” katanya. – MalaysiaGazette

Bersatu ‘serang’ PM guna isu harga barang naik – Najib

Datuk Seri Najib Razak land gift award bungalow Mahathir Mohamad
Datuk Seri Najib Razak

KUALA LUMPUR – Pihak propaganda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) didakwa mula ‘menyerang’ Perdana Menteri menggunakan isu harga barang naik.

Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Razak mendakwa, ia dapat dilihat menerusi media sosial pro kepada parti berkenaan.

“Isu utama yang mereka gunakan sekarang ialah harga barang naik biar pun inflasi sudah mula naik mencanak dan harga sering cecah paras tertinggi masa (Tan Sri) Muhyiddin (Yassin) jadi PM (Perdana Menteri).

“Paling membimbangkan ialah menteri-menteri dalam kerajaan (Datuk Seri) Ismail Sabri (Yaakob) juga merupakan menteri utama yang mengatur dasar ekonomi, pertanian, kewangan, perladangan yang mempengaruhi harga barang khususnya harga makanan juga adalah dari parti yang mahu tumbangkan Ismail,” katanya dalam Facebooknya hari ini.

Menurut Najib, mereka ‘serang’ PM berkenaan harga barang naik tapi dalam kalangan mereka juga (menteri-menteri terlibat) bertanggung jawab atas dasar-dasar yang sebabkan harga barang naik.

“Sejak bulan April saya telah menjelaskan punca kenaikan harga serta memberi pelbagai cadangan untuk kawal atau redakan kenaikan harga barang. Kenapa menteri-menteri ini tak mahu pertimbangkan?” soalnya.- MalaysiaGazette

DISYORKAN UNTUK ANDA

   MEDAN BERITA POLITIDK DALAM KEMBAR BLOG  ' AR RISALAH 

45 PATI ditahan sebaik sahaja tiba di perairan Malaysia

ATM berjaya menahan 45 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang baru sahaja tiba di perairan Malaysia.

SERAMAI 45 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) yang baru sahaja tiba di Malaysia melalui ‘jalan tikus’ berjaya ditahan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam tiga siri tangkapan selama dua hari sejak semalam.

Markas Divisyen Ketiga Infrantri Malaysia (3 Div) dalam kenyataan memaklumkan, kesemua 45 PATI warganegara Indonesia itu ditahan berdekatan kawasan Teluk Punggai, Kota Tinggi, Johor.

Menurut 3 Div, serbuan pertama melibatkan 30 PATI dilakukan selepas Radar Sistem Pengawasan Maritim Laut Malaysia (SWASLA) mengesan pergerakan bot mencurigakan menghala ke Teluk Punggai pada pukul 8 malam semalam.

Selepas itu, 3 Div berkata, anggota petugas pos pemerhati turut mengesan pergerakan bot yang mencurigakan di perairan tersebut serta mengesan kelibat individu sedang menuruni bot menuju ke arah pantai.

“Hasil serbuan yang dilakukan pada pukul 11 malam telah berjaya menahan dan membuat penangkapan ke atas 30 PATI berkenaan yang dipercayai baru sahaja tiba ke negara ini melalui jalan tidak sah.

“Pasukan Gerakan Reaksi Pantas (QRF) bersama pasukan dron ATM telah diatur gerak bagi membuat penjejakan untuk mencari kemungkinan saki-baki PATI yang masih bersembunyi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hasilnya, 3 Div memberitahu pasukan QRF telah berjaya menangkap tujuh lagi individu berhampiran kawasan serbuan pertama pada pukul 8.40 pagi tadi dan lapan lagi PATI turut ditahan kira-kira pukul 11 pagi.

3 Div berkata, kesemua individu tersebut yang terdiri daripada 33 lelaki dan 12 wanita merupakan warganegara Indonesia berusia antara 17 hingga 56 tahun.

“Kesemua mereka telah dibuat saringan COVID-19 di Pos Tanjung Sepang dengan hasil ujian mendapati kesemuanya negatif COVID-19.

“Mereka akan diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia Setia Tropika, Kempas dengan laporan polis telah dibuat di Balai Polis Bayu Damai.

“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM32,851.19 melibatkan mata wang ringgit, rupiah dan beberapa mata wang asing lain,” jelasnya.

Pihak 3 Div turut merampas 38 telefon bimbit dan barang perhiasan.

Jelasnya, usaha atur gerak pasukan QRF dan dron ATM serta bantuan daripada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) diteruskan bagi menjejak kemungkinan saki-baki PATI di sekitar kawasan tangkapan.

Malaysia akan terus aktif bawa agenda Palestin – Ismail Sabri

MALAYSIA akan terus secara aktif membawa agenda Palestin ke arah merealisasikan aspirasi rakyat negara itu mencapai kebebasan.

Pada masa sama, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob juga menegaskan negara ini menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi terhadap perjuangan Palestin ke arah penubuhan sebuah negara yang merdeka.

Menurut Perdana Menteri, Malaysia bersama masyarakat antarabangsa berdiri teguh atas matlamat yang sama untuk mencari penyelesaian secara damai, adil dan saksama ke atas penderitaan yang dialami rakyat Palestin.

“Tahun ini menandakan 74 tahun semenjak Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menerima pakai Resolusi 181 (ii) tahun 1947 dan 44 tahun selepas pengisytiharan Hari Solidariti Antarabangsa bersama rakyat Palestin diumumkan oleh PBB.

“Malaysia menegaskan sokongan tidak berbelah bahagi terhadap perjuangan Palestin dan akan terus secara aktif membawa agenda ke arah merealisasikan aspirasi rakyat Palestin mencapai kebebasan dan penubuhan sebuah negara yang merdeka,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Beliau berkata demikian sempena menyambut Hari Solidariti Antarabangsa bersama rakyat Palestin yang disambut hari ini.

Hari yang signifikan itu disambut sejak 1978 diilhamkan menerusi resolusi Perhimpunan Agung PBB pada 2 Disember 1977.

Purata kehadiran murid catat lebih 85 peratus – Radzi

GAMBAR: Abd Razak Aid

PURATA trend kehadiran murid ke sekolah melebihi 85 peratus semasa pengoperasian sekolah secara bersemuka bagi tempoh 3 Oktober hingga semalam, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, perkara itu menunjukkan pembukaan semula sekolah secara umumnya diterima baik oleh ibu bapa dan murid selain membolehkan guru mengenal pasti tahap penguasaan murid dan melaksanakan intervensi yang bersesuaian.

“Secara keseluruhannya, bilangan sekolah yang sedang beroperasi (di seluruh negara bagi tempoh 3 Oktober hingga 29 November) adalah 10,060 sekolah dan melibatkan seramai 4,385,281 murid.

“…semua sekolah rendah dan sekolah menengah di bawah KPM (Kementerian Pendidikan) di negeri Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) telah beroperasi sepenuhnya melibatkan 8,166 sekolah.

“Kelantan dan Sarawak yang berada dalam Fasa 3 PPN pula, sebanyak 1,894 sekolah telah beroperasi melibatkan 1,526 sekolah rendah dan 368 sekolah menengah,” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri.

Radzi berkata demikian bagi menjawab soalan Abdul Latiff Abdul Rahman (PAS-Kuala Krai) yang ingin tahu perkembangan terkini pengoperasian sekolah di seluruh negara sejak pembukaan secara berperingkat pada 3 Oktober lepas serta penerimaan guru, murid dan ibu bapa mengenai perkara itu.

Menjawab soalan tambahan Abdul Latiff mengenai perancangan KPM untuk semua sekolah beroperasi sepenuhnya tanpa penggiliran, beliau berkata ketika ini kehadiran ke sekolah tanpa penggiliran dilaksanakan untuk murid kelas peperiksaan sekiranya lebih 90 peratus murid kelas peperiksaan di sesebuah sekolah itu telah divaksin.

Beliau berkata ketika ini, murid kelas peperiksaan di semua sekolah di seluruh negara dibenarkan hadir ke sekolah tanpa sistem penggiliran kecuali empat sekolah yang belum mencapai vaksinasi 90 peratus.

“Untuk murid lain, kita sedang bekerjasama rapat dengan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk melihat kohort manakah yang boleh dimasukkan berikutnya tanpa penggiliran.

“Tentang jangka masa itu, sebaiknya di peringkat KPM inginkan mereka kembali ke sekolah tanpa penggiliran secepat mungkin, namun kita sentiasa ambil kira faktor kesihatan dan berbincang dengan KKM terutama dalam konteks varian baharu COVID-19,” katanya. – BERNAMA

Untuk apa lagi laksana cas 20 sen pada beg plastik?

Athirah Huda Zalhe

Pengguna tuntut penjelasan kerajaan masih ketat penguatkuasaan

BANGI – Untuk tujuan apa lagi pelaksanaan cas 20 sen pada penggunaan beg plastik sedangkan majoriti pasaraya dan kedai sudah menggunakan plastik jenis ‘biodegradable’, soal Naib Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Mohd Izzat Johari.

Atas sebab itu, beliau berkata, pengguna ingin penjelasan daripada kerajaan Pusat dan negeri yang masih mengetatkan penguatkuasaan cas 20 sen terhadap penggunaan plastik di premis perniagaan.

Katanya, pada peringkat awal, pelaksanaan itu dikuatkuasakan di semua premis jualan awam bagi tujuan menukar penggunaan plastik biasa kepada jenis ‘biodegradable’.

“Waktu itu, plastik jenis ‘biodegradable’ agak mahal kerana pengeluarannya masih di peringkat baharu dan terhad.

“Jadi ketika itu dengan alasan penguatkuasaan, kerajaan sedia ada telah menguat kuasa cas 20 sen ke atas setiap helaian plastik yang digunakan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kerajaan kemudiannya mencadangkan cas 20 sen dikenakan pula terhadap setiap sekali pembelian selepas timbul banyak kekeliruan.

“Tidak cukup dengan kekeliruan tersebut, kerajaan ketika itu sekali lagi pening apabila pelaksanaan cas 20 sen berlaku setiap hari atau hari tertentu sahaja.

“Setelah semua menteri ketika itu ‘masuk air’, barulah diputuskan sebagai hari Sabtu dan Ahad sebagai hari tanpa plastik. Jika mahu plastik, cas 20 sen akan dikenakan,” katanya.

Mohd Izzat berkata, dalam tempoh perubahan polisi itu, pengeluaran plastik ‘biodegradable’ sudah semakin stabil dan ramai di kalangan pihak pasaraya serta premis jualan awam sudah mula menukar penggunaannya ekoran kos sudah hampir sama dengan harga plastik biasa.

“Akan tetapi, cas 20 sen masih terus berlaku kerana ada pihak pasaraya atau pihak kedai yang menjadikan alasan untuk mereka menjual beg kain yang telah ditempah banyak dan risau tidak laku, mereka ‘mempergunakan’ alasan tidak ada penggunaan plastik pada Sabtu dan Ahad, sedangkan mereka sudah pun menggunakan plastik jenis ‘biodegradable’.

“Kini majoriti pasaraya dan kedai sudah menggunakan plastik jenis ‘biodegradable’ dan harganya sudah setara dengan plastik biasa tetapi pelaksanaan cas 20 sen untuk tujuan apa lagi?,” soalnya.

Konsep ‘Keluarga Malaysia’ punca DAP bebas cipta provokasi?

Oleh Athirah Huda Zalhe

Rakyat mahu kerajaan stabil roh perjuangan, cintakan Islam

BANGI – Konsep ‘Keluarga Malaysia’ yang diasaskan kerajaan Pusat dipercayai menjadi punca pemimpin parti tamak haloba DAP, Nga Kor Ming bebas bersuara untuk mencipta provokasi yang mengganggu keharmonian negara dan perpaduan rakyat.

Apatah lagi, Setiausaha Agung parti itu juga didapati sering mencetuskan pelbagai isu kontroversi lain sebelum ini, yang jelas mewakili suara gerakan ekstremis, DAP.

Ketua Pemuda Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA), Ustaz Fahmi Bazlan tidak menafikan, ‘pelakon’ politik terbabit bijak menggerakkan agendanya melalui kenyataan bersifat rasis, namun pada masa sama DAP bekerja keras mendekati dan memenangi hati rakyat.

“Konsep ini akan menyukarkan gelombang kebencian dan penolakan rakyat kepada DAP dan parti-parti komponen Pakatan Harapan (PH). Mereka sering bersikap seperti suci dalam debu.

“Setiap kali mereka mempertikai hak Islam atau Melayu, masyarakat seolah-olah segan untuk membantah dan hati rakyat seolah-olah cair dengan janji dan pujuk rayu PH,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Malah, Fahmi mendakwa, kerajaan juga seolah-olah tunduk dan menyepi tanpa sebarang tekanan serta sekatan yang dibuat terhadap semua provokasi yang dicetuskan.

“Saya boleh katakan kerajaan terlalu takut untuk bertindak, semacam lembu ditusuk hidung. Apa lagi yang boleh rakyat harapkan daripada kerajaan.

“Rakyat bukan sekadar mahukan kerajaan yang stabil tetapi subur dengan roh perjuangan dan cintakan Islam serta ketuanan Melayu membangun semula peradaban membina negara berdaulat,” katanya.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Kor Ming yang membidas tindakan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pahang membekalkan papan tanda mengandungi nama sekolah jenis kebangsaan (SJK) Cina dalam bahasa Melayu dan tulisan Jawi, tetapi bukan dalam aksara Cina.

Ahli Parlimen Teluk Intan itu menggesa kerajaan Pusat menghormati identiti budaya SJKC dan mendakwa isu papan tanda terbabit bertentangan dengan slogan ‘Keluarga Malaysia’.

Ini bukanlah pertama kali Kor Ming mengeluarkan kenyataan yang lantang menolak tulisan Jawi, malah pernah mencetuskan kontroversi lain termasuklah cadangan mengenai status Bumiputera dan melabel kerjasama UMNO-PAS seperti Taliban jika kedua-dua parti itu membentuk kerajaan.

 

Gagal turun harga, 4 pemborong ayam terima surat pemberitahuan

Ainul Illia

Kenaikan harga sayur bersifat sementara, dijangka turun selepas cuaca bertambah baik

KUALA TERENGGANU – Empat kertas siasatan dibuka ke atas pemborong ayam atas kegagalan menurunkan harga pada paras ditetapkan.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu, Saharuddin Mohd Kia berkata, harga maksimum ayam yang diperiksa ialah RM10.50 sen sekilogram, manakala harga minimum ditetapkan RM8.80 sen sekilogram.

“Rata-rata mereka memaklumkan kenaikan harga telur ayam ketika ini adalah disebabkan oleh kenaikan harga makanan ayam dan kos ditanggung oleh pengeluar telur.

“Selain itu, kenaikan harga sayuran pula adalah disebabkan keadaan cuaca penghujung tahun iaitu musim tengkujuh yang memberi kesan kepada kekurangan bekalan akibat kerosakan hasil pertanian,” katanya dalam satu kenyataan.

Bagaimanapun, beliau berkata, kenaikan harga sayuran adalah bersifat sementara dan dijangka mengalami penurunan semula selepas keadaan cuaca bertambah baik.

Empat pemborong ayam itu adalah daripada sebanyak 41 peniaga peringkat borong dan runcit yang turut diberikan surat pemberitahuan mengikut surat pemberitahuan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga Anti Percatutan (AKHAP) 2011.

“Hasil pemantauan kami, bukan semua pasar awam dan pasar raya menaikkan harga sayur. Masih terdapat peniaga menjualnya dengan harga murah,” katanya.

Beliau memaklumkan, seramai 116 anggota dan pegawai penguat kuasa digerakkan setiap hari bagi membuat pemeriksaan harga dan bekalan di seluruh negeri berserta 59 Pegawai Pemantau Harga (PPH) untuk memantau harga barangan keperluan.

Dalam pada itu, beliau berkata, pengguna disarankan untuk berbelanja secara bijak dengan memilih premis yang menawarkan barang pada harga berpatutan.

“Pengguna boleh merujuk aplikasi Price Catcher yang disediakan pihak KPDNHEP untuk membuat perbandingan harga mengikut lokasi pilihan atau tempat tinggal masing-masing.

“Aplikasi ini boleh dimuat turun di Google PlayStore dan Apple AppStore secara percuma,” katanya.

Pada masa sama, Saharuddin berkata, KPDNHEP Terengganu mengalu-alukan kerjasama daripada para pengguna untuk menyalurkan sebarang maklumat salah laku atau aduan melalui saluran yang disediakan bagi memastikan para peniaga sentiasa mematuhi undang-undang yang ditetapkan.

Papan tanda Jawi: ‘Abang besar’ baru berdehem, Hang Soon laju bagi arahan

 Ainul Illia

Apakah skop kerja Timbalan Menteri Pendidikan I jaga sistem sekolah vernakular?

BANGI – Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) mempersoalkan tindakan Timbalan Menteri Pendidikan I campur tangan dengan begitu cepat selepas beberapa sekolah rendah bantuan kerajaan beraliran Cina di Pekan, Pahang menerima papan tanda nama sekolah baharu yang mempunyai tulisan Jawi dan tanpa aksara Cina.

Pengerusi PEMBELA, Haji Aminuddin Yahaya berkata, beliau berasa ‘kagum’ dengan kepantasan Senator Datuk Dr Mah Hang Soon bertindak apabila wakil bangsa mereka mengadu mengenai papan tanda itu.

“Isu papan tanda Jawi yang menjadi isu hangat terutamanya di akhbar-akhbar Cina baru-baru ini nampaknya sudah ‘membuahkan hasil’ buat mereka.

“Mereka hanya memerlukan beberapa wakil rakyat DAP buat kecoh di media dan ‘abang besar’ Dong Zong ‘berdehem’ sahaja. 

“Laju sahaja timbalan menteri bertindak tanpa perlu fikir perasaan UMNO, PAS mahupun Bersatu apatah lagi memikirkan apa pendirian menteri sendiri. Kalau nak langgar, dia langgar sahaja. 

“Saya kagum. Jika mereka mahukan sesuatu, mereka hanya perlu gertak sikit sahaja. Yang punyai kuasa terus bertindak,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini. 

Keadaan ini, katanya, membuatkan orang ramai mempersoalkan sama ada Timbalan Menteri Pendidikan I sudah tiada kerja lain yang lebih mustahak di kementerian.

“Saya rasa menteri sedang sibuk mengenai pembukaan semula sesi persekolahan yang perlukan pelbagai pertimbangan, kajian dan aturan-aturan teknikal yang rumit.  

“Kasihan pula saya tengok Dr Radzi Jidin selaku Menteri Pendidikan yang dilihat tergapai-gapai menakhodai kementeriannya keseorangan ketika ini. 

“Timbalannya pula, sibuk fikir hal papan tanda sekolah pula. Memanglah malang nasib Pak Menteri,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau menegaskan, sepatutnya seorang timbalan menteri menjadi ejen membela polisi serta penguatkuasaan yang ditetapkan oleh kerajaan, selaras dengan falsafah pendidikan kebangsaan dan bukan sebaliknya.

“Saya terfikir, mungkin ada benarnya juga kata sesetengah orang, timbalan menteri memang skop kerjanya adalah untuk jaga sistem sekolah vernakular. Setiap kali Mah Hang Soon keluar berita, pasti mengenai sekolah vernakular,” katanya.

Hang Soon dilaporkan telah mengarahkan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pahang membina papan tanda baharu yang mengandungi aksara Cina dan Tamil, manakala papan tanda nama sekolah sedia ada tidak perlu diturunkan.

Bercakap kepada akhbar harian berbahasa Cina itu, beliau menjelaskan perkara berkenaan berpunca daripada dasar kerajaan Pahang di mana papan tanda agensi kerajaan perlu mengandungi tulisan Jawi.

“Pengarah bersetuju (dengan cadangan saya) dan juga bersetuju membenarkan kontraktor mengeluarkan papan tanda barharu dengan nama Cina dan Tamil untuk sekolah Cina dan Tamil.

“Jabatan pendidikan akan memasangnya selepas papan tanda baru siap,” katanya.

USIM bangunkan aplikasi kesan ijazah palsu

Graduan USIM menunjukkan aplikasi TAS bagi mengesan ketulenan ijazah dikeluarkan universiti berkenaan. - NSTP/USIM.
Graduan USIM menunjukkan aplikasi TAS bagi mengesan ketulenan ijazah dikeluarkan universiti berkenaan. - NSTP/USIM.

NILAI: Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di sini membangunkan aplikasi dinamakan Tasdiq Al-Syahadah (TAS) bagi mengesahkan ketulenan ijazah dikeluarkan universiti berkenaan.

Inisiatif itu bagi menyahut cadangan Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud yang juga Cancelor USIM yang mahu universiti itu menerokai teknologi rantaian blok atau 'blockchain'.

Naib Canselor USIM, Prof Datuk Dr Mohamed Ridza Wahiddin, berkata ia adalah aplikasi mudah alih berasaskan teknologi 'blockchain' dengan kos pembangunan yang jauh lebih rendah serta dibangunkan melalui kepakaran dalaman.

Pembangunan aplikasi itu diterajui Pejabat Ketua Pegawai Maklumat (CIO), Pusat Pembangunan Sistem dan Kejuruteraan (SDEC) USIM dengan kerjasama iExploTech dan Sekretariat Institusi Pendidikan Tinggi Malaysia (IPTM) DLT Network.

"Tindakan proaktif ini diambil dalam usaha mencegah ijazah palsu bagi menjaga reputasi dan integriti sijil akademik universiti.

"Selaras tema konvokesyen USIM kali ini, 'Pandemik COVID-19 Pemangkin Prosumer Muslim Yang Berdisiplin' yang menggunakan konsep 'prosumerisme', USIM bekerjasama dengan Cyber Security Academia Malaysia (CSAM) untuk proses penilaian aplikasi ini.

"Panel penilaian dianggotai pakar-pakar keselamatan siber universiti awam dan swasta. Aplikasi ini turut dinilai oleh wakil pakar keselamatan Cyber Security Bristol, United Kingdom.

"Semakan maklumat skrol digital ini hanya boleh dibuat ke atas graduan yang telah memberi kebenaran kepada aplikasi TAS USIM bagi tujuan perkongsian maklumat sesuai dengan Akta Perlindungan Data Peribadi (PDPA)" katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Dr Mohamed Ridza berkata, bagi menjamin ketulenan dan keselamatan aplikasi TAS, pihaknya menggunakan perkhidmatan Galeri Aplikasi Mudah Alih Kerajaan Malaysia (GAMMA) yang disediakan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU).

"Ia mampu menempatkan aplikasi mudah alih yang dibangunkan oleh mana-mana agensi kerajaan secara berpusat sebelum dimuatnaik di Google Playstore, " katanya.

Sementara itu, Pengarah Pusat Komunikasi Strategik USIM, Dr Hammad Farhi Mohd Saudi, berkata bakal majikan atau pihak berkepentingan boleh memuat turun aplikasi TAS USIM di Google Playstore mulai hari ini.

Bagi pengguna selain android, katanya, versi web TAS USIM berasaskan 'blockchain' sedang dibangunkan dan dijangka dapat dicapai sebelum penghujung tahun ini.

Merdeka 118 pemangkin ekonomi

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. - Foto BERNAMA
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Pembinaan Merdeka 118, iaitu menara kedua tertinggi selepas Burj Khalifa, akan memberi manfaat kepada Keluarga Malaysia dengan menjadi pemangkin baharu ekonomi, bagi Kuala Lumpur.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata Merdeka 118 dengan ketinggian 678.9 meter membawa semangat Keluarga Malaysia kerana memberi peluang masyarakat setempat membangunkan perniagaan.

"Selain itu, mereka juga dapat mengadakan program atau aktiviti untuk menambahkan daya tarikan di kawasan sekitar Merdeka 118 menerusi Program Geran Komuniti Merdeka 118.

"Pembangunan Merdeka 118 juga dapat memberi peluang kepada masyarakat setempat, terutamanya di kawasan yang berdekatan seperti Petaling Street, Kampung Attap serta Pudu untuk menjana ekonomi," katanya selepas merasmikan penyempurnaan puncak menara Merdeka 118, di sini hari ini.

Pembinaan Menara Merdeka 118 setinggi 118 tingkat oleh Permodalan Nasional Berhad (PNB) sudah mencapai 85 peratus dan dijangka siap sepenuhnya sebelum hujung tahun depan.

Pada masa sama, Ismail Sabri berkata, permohonan Geran Merdeka 118 dibuka pada 28 Jun sehingga 20 Ogos 2021, dan Keluarga Malaysia boleh memohon untuk mendapatkan tiga jenis geran iaitu sukan, seni dan komuniti perniagaan.

Budak autisme hilang sejak Ahad ditemui lemas

Anggota bomba dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) membawa mayat Muhd Ramadhan Muhd Ridhwan untuk dihantar ke hospital. -NSTP/MOHD ROJI KAWI
Anggota bomba dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) membawa mayat Muhd Ramadhan Muhd Ridhwan untuk dihantar ke hospital. -NSTP/MOHD ROJI KAWI

KUCHING: Kanak-kanak austisme yang dilaporkan hilang di Kampung Rantau Panjang, Batu Kawa, di sini pada Ahad lalu, ditemui lemas di Sungai Sarawak, hari ini.

Mayat Muhd Ramadhan Muhd Ridhwan, 8, dijumpai tersangkut pada pukat nelayan, kira-kira lima kilometer dari pos kawalan bomba (PKB) di Kampung Rantau Panjang, sekitar jam 7.20 pagi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Batu Lintang, Raffy Saibi, berkata anggota yang terbabit dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) menaiki bot bergegas ke lokasi penemuan.

"Mayat mangsa kemudian dibawa ke PKB dan disahkan oleh ibu dan bapanya. Keadaan mayat sempurna tanpa ada sebarang kesan kecederaan," katanya.

Menurutnya, mayat kemudian diserahkan kepada polis untuk dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Umum Sarawak (HUS) bagi bedah siasat.

Mangsa disedari hilang dari kediaman di Kampung Rantau Panjang, Batu Kawa, kira-kira 2 petang, Ahad lalu. Ketika kejadian, dia tinggal di rumah bersama ibu saudaranya, manakala bapanya keluar berniaga.

BBP Batu Lintang menerima maklumat berhubung kejadian itu pada 7 malam sebelum sepasukan anggota dikerah ke lokasi bagi operasi SAR.

Pertingkat intervensi awal bendung Omicron - Khairy

- Foto hiasan.
- Foto hiasan.

KUALA LUMPUR: Langkah intervensi berdasarkan kaedah kesihatan awam perlu ditingkatkan bagi membendung risiko penularan jangkitan varian baharu, Omicron.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata pandekatan itu meliputi pemakaian pelitup muka, penjarakan fizikal dan penjagaan kebersihan menggunakan cecair pembasmi kuman.

Selain itu, katanya, aspek aliran udara dalam bangunan wajar ditambah baik memandangkan kajian sebelum ini mendapati partikel virus berupaya kekal di persekitaran untuk tempoh lebih lama jika menggunakan pendingin hawa.

"Kita tahu Omicron berkemungkinan lebih mudah merebak berbanding Delta, tetapi kita belum tahu mengenai virulens (kemampuan mengundang penyakit) varian baharu ini. Apa yang kita boleh lakukan buat sementara waktu ini ialah dengan meningkatkan intervensi kesihatan awam.

"Pastikan warga emas berada dalam keadaan selamat dan ambil suntikan penggalak jika ditawarkan kepada anda," katanya menerusi kenyataan di Twitter, hari ini.

Varian B.1.1.529 yang kini diberi nama Omicron mula dikesan merebak di Afrika Selatan pada 9 November lalu, sebelum dilaporkan kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kira-kira dua minggu kemudian iaitu 24 November.

Menerusi penelitian awal, varian berkenaan mengundang kebimbangan orang ramai kerana ia mempunyai 32 mutasi protein pepaku, peningkatan dua kali ganda berbanding Delta.

Laporan setakat ini menunjukkan jangkitan varian Omicron hanya menyebabkan gejala sederhana kepada penduduk di Afrika Selatan, meskipun negara terbabit mempunyai kadar liputan imunisasi yang rendah.

50 lokaliti dikenal pasti atasi miskin tegar

Gambar hiasan
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR: Kerajaan menerusi Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) sedang melaksanakan pemutihan data kemiskinan menerusi eKasih bagi mengenal pasti kumpulan miskin tegar.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata ICU juga bercadang mengenal pasti kira-kira 50 lokaliti di seluruh negara pada pertengahan Disember ini, seterusnya diverifikasi dengan kerjasama kerajaan negeri, hujung bulan ini.

"Pada Januari 2022, program dan strategi akan dirangka berdasarkan keperluan mengikut kesesuaian lokaliti masing-masing, sementara pada Februari, pembentangan strategi dan program pembasmian kemiskinan tegar fasa pertama kepada Jemaah Menteri.

"Pada Mac depan, pelaksanaan program bagi fasa pertama 50 lokaliti di seluruh negara akan bermula," katanya menjawab soalan Chang Lih Kang (PH-Tanjong Malim) pada sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata, pelaksanaan pendekatan baharu ini akan dipantau setiap tiga bulan bagi memastikan intervensi yang berkesan sekiranya pencapaiannya kurang memuaskan.

"Selain 50 lokaliti terpilih ini, program sedia ada bagi kelompok dan keluarga miskin lain di seluruh negara akan diteruskan. Dengan pendekatan secara keseluruhan negara dan holistik, kerajaan beriltizam miskin tegar dihapuskan pada 2025 seperti disasarkan dalam RMK-12," katanya

Dalam pada itu, katanya, bagi menjamin pelaksanaan lebih berfokus juga, unit kemiskinan yang khusus dicadangkan ditubuhkan di peringkat persekutuan, negeri dan daerah.

"Unit Kemiskinan sudah pun ditubuhkan di Unit Perancang Ekonomi (EPU) JPM pada 8 November lalu. Beberapa negeri sudah mengambil inisiatif menubuhkan Unit Kemiskinan di peringkat negeri dan daerah," katanya.

Beliau berkata, di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), strategi menyeluruh meliputi projek dan program ekonomi, keusahawanan, pendidikan dan kesihatan akan dilaksanakan bagi menghapuskan kemiskinan tegar pada 2025.

"Pembasmian kemiskinan tegar akan dilaksanakan tanpa mengira jantina, etnik, status sosioekonomi dan lokasi, sama ada bandar atau luar bandar.

"Kemiskinan tegar adalah isi rumah yang berpendapatan RM1,169 sebulan dan ke bawah, berdasarkan kepada kos pembelian makanan asas, bagi isi rumah dengan empat ahli keluarga," katanya.

PM sifatkan lawatan rasmi ke Singapura berjaya

BH ONLINE
Ismail Sabri (dua, kanan) melihat spesis hibrid anggerik baharu dinamakan sempena nama beliau sambil diperhatikan rakan sejawatnya Hsien Loong (kanan) di Istana hari ini. FOTO BERNAMA
Ismail Sabri (dua, kanan) melihat spesis hibrid anggerik baharu dinamakan sempena nama beliau sambil diperhatikan rakan sejawatnya Hsien Loong (kanan) di Istana hari ini. FOTO BERNAMA

SINGAPURA: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyifatkan lawatan rasmi pertamanya ke Singapura sebagai berjaya.

Perdana Menteri, turut menyampaikan penghargaan kepada kerajaan Singapura terutama rakan sejawatannya Lee Hsien Loong terhadap sambutan sangat mesra dengan semangat kekeluargaan.

"Hubungan kedua-dua negara sangat rapat, sebagai negara jiran yang mempunyai sejarah begitu lama," katanya pada sidang media bersama petugas media Malaysia selepas lawatan berakhir.

Ini lawatan rasmi pertama Ismail Sabri ke republik Singapura sebagai Perdana Menteri, sebagai memenuhi undangan Hsien Loong.

Ia juga lawatan kedua Ismail Sabri ke negara jiran sejak mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia kesembilan pada 21 Ogos lalu.

Beliau yang tiba di sini awal pagi ini turut bersama Hsien Loong melancarkan Laluan Perjalanan Vaksinasi (VTL) melalui udara dan sempadan darat antara Malaysia dan Singapura di Woodlands Checkpoint.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, dalam pertemuan empat mata bersama Hsien Loong, pembukaan VTL laut yang menghubungkan Tanah Merah ke Desaru dan juga 'cruise' dari Singapura ke Pelabuhan Klang dan Langkawi turut dibincangkan.

"Kita percaya pembukaan lebih banyak akan memberi faedah kepada seluruh negara, bukan saja dari segi pelancongan yang terjejas teruk akibat penutupan sempadan malah kepada perdagangan," katanya.

Beliau berkata, pembukaan sempadan bersama Singapura yang juga rakan dagangan Malaysia terbesar diyakini memberi tempias kepada Johor, khususnya dan kawasan bersempadan seperti Melaka yang juga destinasi pilihan rakyat Singapura.

Perdana Menteri juga berkata, kategori pengguna bagi VTL darat mungkin akan diperluas selepas 23 Disember ini, namun ia bergantung kepada kesan pembukaan fasa pertama VTL darat.

"Ia sebagai 'trial basis' atau percubaan awal untuk melihat kesan kepada pembukaan ini. Kita tidak mahu juga selepas pembukaan, timbul kes meningkat. Kita akan pantau dan kita akan buka lebih banyak lagi.

Ismail Sabri melakukan kunjungan hormat ke atas Halimah di Istana. FOTO BERNAMA
Ismail Sabri melakukan kunjungan hormat ke atas Halimah 
di Istana. FOTO BERNAMA

"Jika kes tidak meningkat, lebih banyak ruang yang akan kita berikan untuk melonggarkan perjalanan rakyat kedua-dua negara," katanya.

Ketika ini inisiatif VTL darat hanya membenarkan pengguna yang warga Malaysia, Singapura dan pemastautin serta pemilik Pas Jangka Panjang Singapura dan Malaysia.

Ditanya adakah skim VTL akan diperluas ke negara lain selain Singapura, Ismail Sabri berkata, beliau berharap perbincangan dapat dilakukan dengan negara jiran di utara, Thailand.

Beliau juga berharap untuk mewujudkan lebih banyak laluan seperti 'green travel bubble' dengan Australia, New Zealand, Jepun, Korea Selatan dan sebahagian wilayah di China, yang kes COVID-19 di negara masing-masing dilihat terkawal.

Ismail Sabri (kiri) dan rakan sejawatnya Hsien Loong merasmikan pelaksanaan VTL melalui udara dan sempadan darat antara kedua-dua negara di Woodlands Checkpoint hari ini. FOTO BERNAMA
Ismail Sabri (kiri) dan rakan sejawatnya Hsien Loong merasmikan 
pelaksanaan VTL melalui udara dan sempadan darat antara 
kedua-dua negara di Woodlands Checkpoint hari ini. FOTO 
BERNAMA

Dalam lawatan rasminya ke Singapura hari ini, Ismail Sabri menghadiri majlis sambutan di Istana di sini dengan memeriksa kawalan kehormat dan seterusnya menandatangani buku pelawat.

Perdana Menteri turut diberi penghormatan apabila satu spesis hibrid anggerik baharu dinamakan sempena namanya dan beliau kemudiannya membuat kunjungan hormat ke atas Presiden Singapura, Halimah Yacob.

Turut hadir, Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dan Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah. – BERNAMA

DISYORKAN UNTUK ANDA:

  MEDAN BERITA POLITIDK DALAM KEMBAR BLOG  ' AR RISALAH 

Operasi sekolah antara tumpuan Dewan Rakyat

BH ONLINE
Ahli Parlimen dijangka berbahas mengenai operasi sekolah, hari ini. - Foto hiasan NSTP/AZRUL EDHAM MOHD AMINUDDIN
Ahli Parlimen dijangka berbahas mengenai operasi sekolah, hari ini. - Foto hiasan NSTP/AZRUL EDHAM MOHD AMINUDDIN

KUALA LUMPUR: Perkembangan terkini operasi sekolah sejak pembukaan secara berperingkat dijangka dibangkitkan dalam Waktu Pertanyaan Menteri pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat, soalan itu diajukan Abdul Latiff Abdul Rahman (PAS-Kuala Krai) kepada Menteri Pendidikan yang bertanyakan mengenai penerimaan guru, murid dan ibu bapa secara umum mengenai pembukaan sekolah.

Turut terkandung dalam sesi itu soalan Lim Guan Eng (PH-Bagan) kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna mengenai tindakan kerajaan bagi menurunkan harga barang dan meminta punca pihak berkuasa gagal, berdepan ledakan harga ini.

Tumpuan juga dijangka terarah kepada soalan Rubiah Wang (GPS-Kota Samarahan) kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat ketika sesi soal jawab lisan mengenai inisiatif dan pertimbangan kementerian menyediakan skim insurans sebagai bantuan kewangan kepada warga emas, bagi menampung kos sara hidup mereka pada masa depan.

Harga beberapa barang makanan meningkat dan gagal dikawal oleh agensi kerajaan. - Foto hiasan NSTP/DANIAL SAAD
Harga beberapa barang makanan meningkat dan gagal dikawal 
oleh agensi kerajaan. - Foto hiasan NSTP/DANIAL SAAD

Selepas sesi itu, persidangan diteruskan dengan sambungan sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 peringkat Jawatankuasa bagi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, diikuti Kementerian Kerja Raya.

Semalam, sesi perbahasan peringkat Jawatankuasa membabitkan Kementerian Belia dan Sukan dengan Dewan Rakyat meluluskan peruntukan Rang Undang-undang Perbekalan 2022 sebanyak RM622,025,400 dan anggaran perbelanjaan mengurus berjumlah RM1,120,915,300 yang diperuntuk kepada Kementerian Tenaga dan Sumber Asli dalam Bajet 2022 diluluskan dengan lebih suara menyokong.

2 vaksin tempatan dalam proses ujian klinikal

BH ONLINE
Dr Adham (kanan) hadir Program Buletin Bernama di Wisma Bernama, hari ini.- Foto Bernama
Dr Adham (kanan) hadir Program Buletin Bernama di Wisma Bernama, hari ini.- Foto Bernama

KUALA LUMPUR: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) sedang dalam proses menjalankan dua ujian klinikal terhadap vaksin dihasilkan dalam negara melalui penubuhan Institut Genom dan Vaksin Malaysia (MGVI).

Menterinya, Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata dua vaksin itu ialah vaksin kanser kepala dan leher atau "nasopharyngeal cancer" serta vaksin kolera, yang masing-masing akan melalui ujian klinikal di United Kingdom (UK) dan India, seawal tahun depan.

"Kita juga kini dalam proses pembangunan vaksin COVID-19 yang sedang dijalankan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) dengan kerjasama Universiti Malaya (UM).

Kita yakin dengan adanya MGVI ini, Malaysia mampu menjadi hab pengeluaran vaksin yang dapat digunakan secara domestik dan juga dieksport ke luar negara," katanya dalam rancangan Ruang Bicara Aspirasi Keluarga Malaysia terbitan Bernama TV di sini, hari ini.

Pada 1 November lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melancarkan Pelan Hala Tuju Pembangunan Vaksin Negara (PPVN) dan MGVI dalam usaha menjadikan negara sebagai antara hab pengeluar vaksin.

"MGVI akan menjadi sebuah badan yang menjalankan koordinasi antara pakar, industri dalam dan luar negara, serta pembangunan bakat yang perlu untuk menjadi tunjang kepada pembangunan vaksin di masa akan datang," katanya.

Sementara itu, Dr Adham berkata, peranti mudah alih saringan COVID-19, i-Breath yang kini memasuki fasa akhir praklinikal dijangka dapat dikomersialkan menjelang Jun tahun depan, selepas melalui ujian klinikal.

"i-Breath akan masuk ke fasa ujian klinikal membabitkan beberapa fasa dalam tempoh enam bulan, sebelum ia selesai dan boleh dikomersialkan dan dipasarkan.

"Kita harap ada pihak antarabangsa yang akan mendapatkan peranti ini untuk kegunaan mereka kerana kita menyasarkan penggunaan i-Breath ini bukan saja di peringkat domestik tetapi juga di peringkat antarabangsa," katanya.

MOSTI memperuntukkan dana sejumlah RM1.05 juta dalam pembangunan peranti i-Breath dengan kerjasama Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang boleh mengesan COVID-19 dengan sensitiviti sehingga 93 peratus dengan hanya perlu bernafas menggunakan peranti mudah alih itu. – BERNAMA

Kinabatangan catat kes tertinggi di Sabah

Pengunjung meluangkan masa di Taman Prince Phillip Tanjung Aru, selepas Kota Kinabalu mencatat penurunan kes COVID-19. - Foto NSTP/MOHD ADAM ARININ
Pengunjung meluangkan masa di Taman Prince Phillip Tanjung Aru, selepas Kota Kinabalu mencatat penurunan kes COVID-19. - Foto NSTP/MOHD ADAM ARININ

KOTA KINABALU: Daerah Kinabatangan mencatat jumlah baharu kes COVID-19 tertinggi di Sabah, semalam iaitu sebanyak 85 kes.

Jurucakap perkembangan harian COVID-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun, berkata peningkatan jumlah kes di daerah terbabit berpunca daripada satu kluster yang sedia ada.

"Jumlah yang tinggi ini berpunca daripada Kluster Sawit Mania yang menyumbang 84 kes baharu.

"Kes yang melibatkan Kluster Sawit Mania ialah kes yang berlaku dua hari lalu tetapi baru direkodkan semalam selepas pengesahan keputusan ujian," katanya.

Masidi berkata, sebanyak 20 daerah di Sabah mencatatkan kes satu angka dengan lima daripadanya mencatatkan sifar kes.

"Enam daerah mencatatkan penurunan signifikan iaitu Kota Kinabalu 59 kes, Ranau (8) kes; Tuaran (44); Beluran (0); Penampang (25) dan Kota Belud (23) kes.

"Hanya tiga daerah di Sabah mencatatkan peningkatan kes baharu, iaitu Keningau (11) kes dan Tenom (7) kes, termasuk Kinabatangan yang mencatatkan pertambahan yang tinggi daripada Kluster Sawit Mania.

"Empat lagi daerah kekal seperti yang direkodkan pada Ahad lalu, iaitu Tawau sebanyak lima kes. Daerah Semporna, Nabawan dan Kunak masing-masing mencatatkan sebanyak sifar kes," katanya dalam kenyataan, semalam.

Dalam pada itu, Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Menteri Kewangan II negeri berkata, jumlah kes harian COVID-19 semalam kekal mencatatkan sebanyak tiga angka.

"Berdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Sabah, jumlah kes positif baharu COVID-19 pada hari ini (semalam) sebanyak 342 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 232,832 kes.

"Sebanyak dua kes kematian dilaporkan pada hari ini iaitu masing-masing satu kes di Kota Marudu dan Ranau.

"Bilangan pesakit COVID-19 sembuh ialah 323 menjadikan jumlah kumulatif 222,251 orang.

"Seramai 1,435 pesakit sedang menerima rawatan, iaitu 620 orang di hospital, 789 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam, 24 orang di pusat tahanan sementara dan dua orang di fasiliti swasta," katanya.

SPRM tahan pengurus besar

TAWAU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang pengurus besar sebuah agensi kerajaan di negeri ini kerana disyaki menerima suapan berjumlah RM8,000.

Lelaki berusia dalam lingkungan 40-an itu ditahan kira-kira jam 9 pagi semalam oleh SPRM Cawangan Tawau.

Menurut sumber, suspek berkenaan menggunakan kedudukannya untuk meluluskan baucar bayaran pada tahun 2018, sedangkan tugas itu dilakukan suspek sendiri.

Difahamkan lelaki terbabit dilepaskan dengan bon jamin SPRM sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu.

Beliau berkata, lelaki itu ditahan mengikut Seksyen 23 (1), Akta SPRM 2009 dan akan dituduh di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Tawau pada Jumaat ini.

Pakatan Harapan syor subsidi haji bersasar, jemaah tertentu sahaja


Jawatankuasa Agama dan Rahmatan Lil Alamin Pakatan Harapan (PH) mencadangkan kerajaan hanya memberi subsidi haji kepada jemaah tertentu sahaja, bukan semua yang terpilih menunaikan Rukun Islam ke lima itu.

Ahli jawatankuasa berkenaan, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata tindakan itu membolehkan Tabung Haji (TH) mengurangkan beban kewangan yang ditanggung untuk pemberian subsidi hampir RM380 juta setahun dan pada masa sama, dapat memberikan subsidi kepada mereka yang benar-benar memerlukan.

Menurutnya, sudah tiba masa subsidi haji dinilai semula, terutama ketika kos haji pasca pandemik Covid-19 dijangka meningkat kepada RM30,000.

“Mekanisme bagi subsidi bersasar ini perlu diberikan supaya mereka yang memerlukan subsidi untuk melaksanakan haji ini ialah yang kurang berkemampuan, selain kita tidak mahu TH menanggung beban kerana semua mendapat subsidi.

“Isu kos haji meningkat ini tidak perlu dijadikan isu politik kerana ia akan menimbulkan kebimbangan,” katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.

Sebelum ini, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata kerajaan menjangka kos mengerjakan haji meningkat kepada lebih RM30,000, peningkatan sehingga 50 peratus berbanding RM23,000 sebelum ini.

Katanya, peningkatan itu disebabkan Cukai Nilai Tambah (VAT) diperkenal kerajaan Arab Saudi naik 15 peratus, berbanding lima peratus sebelumnya, selain penambahan kos bagi pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) yang baharu, susulan pandemik Covid-19.

Ketika ini, jemaah haji Malaysia hanya perlu membayar RM9,980 untuk mengerjakan ibadah, manakala bakinya ditanggung TH.

Mujahid berkata, beliau pernah membawa isu subsidi haji ke Kabinet ketika menjadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada 2019, susulan kos subsidi berkenaan tidak pernah dinilai sejak 2009, sedangkan kos sebenar haji meningkat setiap tahun, iaitu daripada kira-kira RM12,000 pada 2009 kepada kira-kira RM22,000 pada 2019.

“Kita sudah bentangkan dan buat mekanisme seperti jumlah pendapatan (bakal jemaah) dan simpanan dalam TH. Cuma Kabinet pada waktu itu menganggap, kita perlu buat perkara ini secara berperingkat dan memberi penerangan yang kos subsidi haji ini perlu dinilai semula.

“Apabila hanya kenaikan kos kepada RM30,000 diumumkan tanpa ada mekanisme, ia hanya menimbulkan kebimbangan dalam kalangan rakyat,” katanya.

Kes Guan Eng: Nazri Aziz akui terima RM500k tapi untuk baiki sekolah


Bekas Menteri Pelancongan, Datuk Seri Nazri Aziz memberitahu beliau berkawan dengan Pengarah Consortium Zenith Beijing Urban Construction Group Sdn Bhd (CZBUCG), Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli, sejak 1990-an lagi.

Membacakan pernyataan saksi dalam kes rasuah bekas Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini, veteran UMNO itu memberitahu beliau tidak mempunyai hubungan rapat dalam urusan perniagaan mahupun politik.

Namun, katanya Zarul pernah menyuarakan hasratnya untuk bertemu ‘orang yang berkuasa’ di Pulau Pinang bagi melaksanakan projek di negeri berkenaan.

“Saya tidak pasti bila beliau berkata demikian. Saya mengambil inisiatif menghubungi Lim dan memaklumkan kepadanya ada seseorang yang mahu menemuinya,” katanya.

Pertemuan antara Lim dan Zarul berlaku di Hotel Shangri-La, Kuala Lumpur, pada awal Januari 2011. Lim dan Zarul kemudian sekali lagi berjumpa di sebuah restoran Itali di Kuala Lumpur pada Mac 2011.

Ahli Parlimen Padang Rengas itu juga memberitahu beliau tidak pernah menerima wang daripada Zarul sebagai balasan memperkenalkannya kepada Guan Eng bagi mendapatkan apa-apa projek di Pulau Pinang.

Sebaliknya, beliau berkata, Zarul yang pernah memberikan wang kepada beliau untuk disumbangkan kepada sekolah-sekolah agama di daerah Pattani, Selatan Thailand.

Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin, Nazri berkata, beliau mula mendapatkan sumbangan untuk sekolah-sekolah agama di Pattani sejak 1990-an.

Saksi pendakwaan ke-14 itu beliau berasal dari Hulu Perak dan berketurunan Pattani kerap mengadakan lawatan di daerah itu dan mendapati sekolah-sekolah agama di sana dalam keadaan daif.

Nazri memberi keterangan pada perbicaraan Guan Eng atas pertuduhan pindaan menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan wang RM3.3 juta sebagai tindakan membantu syarikat milik Zarul dilantik melaksanakan projek itu yang bernilai RM6.3 bilion.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di antara bulan Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, KOMTAR.

Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung esok.

Bossku! Usah lihat salah orang saja, lihat juga ‘Bapa Ekonomi Meleset’

107 Najib Razak Photos - Free & Royalty-Free Stock Photos from Dreamstime

Kekadang kalau kita hendak berbicara, kena pandang kiri dan kanan, atas dan bawah. Walaupun disajikan dengan fakta, apakah ia selari dengan keadaan sebenar atau situasi realiti?

Apabila kita tengok Datuk Seri Najib Razak menyajikan ekonomi meleset terutama pada waktu Tan Sri Muhyiddin Yassin, apakah dia tidak menyedari bahawa Malaysia sahaja ke yang mengalami ekonomi yang sangat teruk?

Dunia dan ASEAN tidak mengalami ke? Apakah pandemik Covid-19 hanya melanda negara ini sahaja?

Kekadang nampak macam pandai tetapi tidak bijak! Apa cerita 1MDB ?

Kerana 1MDB, rosak reputasi dan imej negara. Semua ini gara-gara Pak Najib and the geng. Punca ekonomi teruk ialah bermula dari 1MDB.

Kerana 1MDB, pelabur hilang kepercayaan. Najib tahu ke tidak ni? Yang dia tahu hanyalah troll posting orang lain. Sekarang, punca sebenar ekonomi merudum secara teknikal ialah bermula dari Bapa Ekonomi Meleset.

Siapa lagi kalau tidak lain, Bossku kita…jom pakat makan super ring ramai-ramai nak tengok Najib ditroll pula.

Saya cuma nak beritahu bahawa Abah bukan sahaja mengubah isu kesihatan Covid-19 untuk menjadi peluang membuktikan kemampuannya sebagai Perdana Menteri malah berusaha memulihkan ekonomi negara dan menstrukturkan semula kitaran ekonomi.

Tindakan pertama yang dilakukan dalam menghadapi cabaran itu ialah melantik pakar-pakar ekonomi untuk mengetuai Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) yang berperanan merangka dasar fiskal jangka pendek dan panjang bagi menangani krisis kemelesetan ekonomi.

Kemuncak krisis ekonomi negara adalah ketika kerajaan memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac 2020 yang telah mengganggu keseluruhan kitaran ekonomi domestik berikutan penutupan aktiviti perkilangan, perniagaan dan pekerjaaan.

PKP yang dilaksanakan demi membendung penularan jangkitan Covid-19 bukan sahaja telah menjejaskan permintaan dalam pasaran barang serta penawaran dalam pasaran faktor yang ditunjangi oleh pekerja malah memberi kesan negatif kepada pendapatan negara, perniagaan syarikat dan perbelanjaan rakyat.

Secara realiti, pelaksanaan PKP merupakan ancaman ekonomi paling besar dihadapi oleh pentadbiran kerajaan. Ia merupakan cabaran ekonomi paling berat yang tidak pernah dihadapi oleh semua Perdana Menteri Malaysia sebelum ini.

Krisis ekonomi yang disebabkan oleh Covid-19 adalah jauh lebih besar daripada krisis kewangan 1998 dan kemelesetan ekonomi di era 1980-an.

Bagaimanapun pelancaran Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) bernilai RM250 bilion yang diumumkan dalam tempoh 10 hari sebaik sahaja PKP berkuat kuasa telah membuktikan komitmen dan keprihatinan kerajaan di bawah pimpinan perdana menteri untuk memulihkan ekonomi negara.

Ia telah disifatkan sebagai satu tindakan yang pantas dan tepat pada masanya untuk mengimbangi usaha membendung penularan pandemik Covid-19 dan proses pemulihan ekonomi, dengan jumlah yang jauh lebih besar daripada peruntukan kerajaan untuk pelan pemulihan ekonomi pada 2009 iaitu sebanyak RM67 bilion.

Pentadbiran kerajaan Malaysia dengan pimpinan Muhyiddin telah berupaya untuk tidak bergantung kepada Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) ketika banyak negara (sekurang-kurangnya 80 negara) telah memohon bantuan daripada tabung berkenaan untuk memulihkan ekonomi negara mereka. Pak Najib taknak beritahu point ini pun.

Ramai menyedari kesukaran usaha pemulihan ekonomi yang melibatkan perdagangan antarabangsa memandangkan ekonomi dunia juga telah dilumpuhkan oleh Covid-19, namun Abah menumpukan aspek pembangunan ekonomi domestik untuk memperlahan dan mengurangkan penyusutan mendadak dalam perbelanjaan dan pelaburan swasta.

Selepas pakej ekonomi Prihatin, Muhyiddin mengumumkan pula Pakej Prihatin Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) (Tambahan) bernilai RM10 bilion yang bertujuan memastikan sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dapat meneruskan operasi mereka dalam keadaan mencabar serta mengurangkan risiko pemberhentian pekerja secara besar-besaran.

Kemudahan seperti subsidi upah, bantuan kepada PKS dan kredit mikro telah membantu syarikat-syarikat untuk kekal bertahan dalam industri walaupun tidak dapat beroperasi sepenuhnya.

Ia bukan sahaja usaha untuk melindungi rakyat melalui pengurangan beban serta menjamin pekerjaan malah sebagai sokongan kepada perniagaan dengan meningkatkan aliran tunai, walaupun ia tidak dapat menggantikan nilai aliran tunai sebenar namun masih memberi ruang kepada rakyat untuk berbelanja.

Walaupun Covid-19 telah merosakkan ekonomi dunia tetapi tindakan pantas dan betul oleh kerajaan di bawah pimpinan Muhyiddin berjaya mengelakkan kesan ekonomi yang lebih buruk.

Kelonggaran sekatan pergerakan menerusi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan pembukaan aktiviti ekonomi secara berperingkat telah memberi ruang dan peluang untuk aktiviti ekonomi bergerak semula dan melakukan penyesuaian di era pasca-Covid-19.

Peningkatan indeks petunjuk pasaran Bursa Malaysia setakat ini merupakan satu isyarat keyakinan pelabur untuk kembali menyumbang kepada ekonomi dan mempercepat proses pemulihan.

Ini baru mukadimmah Bossku. Jangan nak nampak salah orang sahaja, salah sendiri pun kita tengok-tengokkan jua. - AGENDA DAILY

(*) TokLi
AMPT Bersatu

Siapa ADUN Selangor bakal lompat ke Warisan Semenanjung 17 Disember?


Siapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Selangor yang bakal menyertai Parti Warisan Sabah (Warisan) apabila parti itu mengembangkan sayapnya di Semenanjung 17 Disember ini masih menjadi teka-teki.

Presiden Warisan Datuk Seri Shafie Apdal hanya memberi bayangan bahawa seorang ADUN akan menjadi individu pertama yang akan menyertai Warisan Semenanjung.

“Ya… ada ADUN yang akan menyertai (Warisan)… beliau seorang YB,” katanya memberi bayangan kepada media selepas merasmikan mesyuarat perwakilan Warisan Bahagian Putatan, malam tadi.

Bagaimanapun, khabar angin bertiup kencang menyatakan ADUN terbabit mewakili Dewan Undangan Negeri (DUN) di Selangor.

Selangor mempunyai 56 ADUN meliputi 19 daripada PKR; DAP (15); masing-masing enam daripada Bersatu dan Amanah; Barisan Nasional (lima); Pejuang (tiga) dan masing-masing satu mewakili PAS dan Bebas.

Mengulas lanjut, Shafie berkata pelancaran Warisan Semenanjung pada 17 Disember ini akan memberi tumpuan kepada kawasan tertentu.

Langkah itu bagi memastikan Warisan mempunyai masa mencukupi untuk membuat persediaan di kawasan yang boleh memberi impak pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

“Saya akan memaklumkan jawatankuasa dan ketua di beberapa negeri. Saya sudah mempunyai senarai yang telah diberikan.

“Kita perlu bersifat selektif maka, ada kawasan yang kita tidak akan buka cawangan kerana kita tidak mempunyai masa yang mencukupi.

“Bagaimanapun, kita sudah melakukan proses yang sepatutnya. Jadi, tiada masalah untuk merealisasikannya,” kata Ahli Parlimen Semporna itu.

Menurutnya, parti itu tidak mahu melebihi had yang ada kerana PRU akan diadakan pada bila-bila masa pada tahun depan atau pada 2023.

ASNB umum agihan pendapatan 2.74 sen seunit bagi ASN Imbang 1


Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB) hari ini mengumumkan pengagihan pendapatan 2.74 sen seunit bagi ASN Imbang (Mixed Asset Balanced) 1 (ASN Imbang 1) untuk tahun kewangan berakhir 30 November 2021.

Ia melibatkan pembayaran pengagihan pendapatan berjumlah RM27.46 juta bagi unit amanah harga berubah itu, lapor Bernama.

Permodalan Nasional Bhd (PNB) menjelaskan pengagihan, yang diumumkan syarikat pengurusan unit amanah milik penuhnya itu, adalah bersamaan hasil dividen sebanyak 2.85 peratus berdasarkan Nilai Aset Bersih (NAB) terkini dana.

“Jumlah pengagihan pendapatan yang diisytiharkan adalah bersamaan 2.74 sen seunit yang memberi manfaat kepada 44,752 pemegang unitnya dengan pelaburan berjumlah 1.00 bilion unit,” menurutnya dalam kenyataan.

Setakat 26 November 2021, ASN Imbang 1 mencatatkan jumlah pulangan sebanyak 6.92 peratus, mengatasi penanda aras 50 peratus Indeks 100 Teratas FTSE Bursa Malaysia (FBM 100) dan 50 peratus deposi tetap 12 bulan Maybank sebanyak 7.13 peratus, tambahnya.

Menurut PNB, pengagihan yang diisytiharkan akan dilaburkan semula secara automatik ke dalam akaun pemegang unit pada 1 Disember 2021.

Dalam tempoh yang sama, ASN Imbang 1 mencatatkan pendapatan bersih direalisasikan sebanyak RM31.20 juta, sebahagiannya didorong oleh strategi kepelbagaian pelaburan ke pasaran antarabangsa, jelasnya.

“Sehingga kini, dana ini memperuntukkan sekitar 21 peratus daripada asetnya dalam ekuiti global yang menyumbang 61 peratus kepada pendapatan kasar.

“PNB akan meneruskan momentum usaha mempelbagaikan portfolionya agar institusi ini dapat memberikan pulangan yang mampan kepada para pemegang unit,” tambahnya.

Urus niaga di semua cawangan dan ejen ASNB untuk ASN Imbang 1 telah ditangguhkan buat sementara waktu dari 26 hingga 30 November 2021 bagi memudahkan pengiraan pengagihan pendapatan.

Pemegang unit boleh menyemak dan mengemas kini akaun mereka di portal myASNB (www.myasnb.com.my), melalui aplikasi mudah alih myASNB, atau di mana-mana cawangan dan ejen ASNB di seluruh negara apabila urus niaga beroperasi semula pada 1 Disember 2021.

Saksi beritahu tiada kesilapan besar dalam perjanjian awal projek terowong


Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur diberitahu bahawa tiada kesilapan besar dalam kandungan dokumen Perjanjian Awalan Bagi Projek Penswastaan Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang yang ditandatangani kerajaan negeri dan syarikat Consortium Zenith Beijing Urban Construction Group Sdn Bhd pada 2013.

Menurut laporan Bernama, perkara itu disahkan oleh Pesuruhjaya Kehakiman Adlin Abdul Majid, 47, ketika memberi keterangan dalam kes rasuah membabitkan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng yang berdepan empat pertuduhan membabitkan pembinaan terowong dasar laut dan projek pembinaan jalan utama di negeri itu bernilai RM6.3 bilion.

Ketika disoal balas peguam Gobind Singh Deo, yang mewakili Guan Eng, Adlin berkata ketika itu, beliau merupakan peguam di Tetuan Lee Hishammuddin Allen & Gledhill dan telah dilantik oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk menyediakan draf perjanjian tersebut.

Saksi pendakwaan ke-12 itu berkata draf perjanjian awal tersebut telah dibawa ke mesyuarat exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang pada 4 Okt 2013 yang turut dihadiri bekas Penasihat Undang-Undang negeri Datuk Faiza Zulkifli, 61.

Beliau berkata draf itu telah dibentang dan mendapat kebenaran exco selain persetujuan mereka untuk pindaan tertentu dibuat dalam perjanjian tersebut.

Adlin berkata tiada sebarang bantahan dikemukakan semasa mesyuarat exco berhubung perjanjian itu.

Gobind: Rakan saya yang bijaksana mendakwa terdapat ‘kesilapan besar’ dalam perjanjian itu. Adakah anda tahu mengenai sebarang kesilapan besar yang berlaku dalam perjanjian itu? Adlin menjawab “Tidak.”

Gobind: Datuk Faiza Zulkifli berkata terdapat kesilapan besar ketika merujuk kepada perenggan tertentu (dalam draf perjanjian itu). Adakah anda setuju bahawa terdapat kesilapan besar pada bahagian itu dalam perjanjian tersebut?

Adlin: Saya tidak setuju.

Saksi itu juga bersetuju dengan pembelaan bahawa kepentingan kerajaan negeri telah dilindungi melalui perjanjian itu kerana ia perlu melalui jawatankuasa tertentu sebelum dilaksanakan.

Adlin juga berkata Faiza tidak pernah memaklumkan kepada beliau mengenai sebarang ‘kesilapan besar’ dalam perjanjian itu.

Pada prosiding sebelum ini, saksi pendakwaan ke-11 iaitu Faiza memberitahu mahkamah bahawa terdapat kesilapan besar dalam kandungan dokumen itu yang membabitkan lot tanah.

Terdahulu, saksi pendakwaan ke-13 Datin Seet Chin Leng, 55, memaklumkan mahkamah bahawa kali terakhir beliau berjumpa suaminya iaitu mendiang Datuk Ewe Swee Keng ialah pada 1 pagi sebelum mangsa maut terjatuh dari kondominium di Jalan Kelawi, Georgetown pada 5 pagi 5 Okt lepas.

Mendiang Swee Keng, saksi pendakwaan yang sepatutnya memberi keterangan dalam kes rasuah membabitkan Guan Eng, dilaporkan maut selepas terjatuh dari kondominium itu dan kes dilaporkan sebagai mati mengejut.

Chin Leng berkata beliau tidak tahu suaminya telah ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk memberi keterangan kerana perkara itu tidak pernah dimaklumkan oleh mendiang.

Guan Eng didakwa menggunakan kedudukan sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang untuk menerima rasuah RM3.3 juta sebagai tindakan membantu syarikat milik Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli mendapatkan projek pembinaan bernilai RM6,341,383,702.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, Komtar, George Town antara Januari 2011 dan Ogos 2017.

Mengikut pertuduhan pindaan kedua, Guan Eng didakwa meminta suapan daripada Zarul Ahmad sebanyak 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh syarikat itu sebagai penghargaan mendapatkan projek tersebut berhampiran The Garden Hotels, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City, Kuala Lumpur pada Mac 2011.

Setiausaha Agung DAP itu turut berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua plot tanah bernilai RM208.8 juta milik Kerajaan Negeri Pulau Pinang dilupuskan kepada dua syarikat yang didakwa mempunyai kaitan dengan projek terowong dasar laut itu.

Guan Eng didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat Tanah dan Galian Pulau Pinang, Tingkat 21, Komtar pada 17 Feb 2015 dan 22 Mac 2017.

Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung esok.

WHO keluar amaran baharu berkaitan varian Omicron


Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) hari ini mengeluarkan amaran kepada seluruh dunia bahawa varian baharu Omicron, menimbulkan risiko penularan dan jangkitan sangat tinggi sekiranya pandemik Covid-19 melonjak sekali lagi.

“Jika satu lagi lonjakan besar Covid-19 berlaku yang didorong oleh Omicron, akibatnya mungkin teruk,” kata WHO dalam nota teknikal memberitahu ahlinya sebelum sesi khas persidangan bagi menangani keperluan untuk perjanjian pandemik antarabangsa.

Peningkatan kes, tanpa mengira perubahan dalam keterukan, mungkin menimbulkan permintaan yang luar biasa terhadap sistem penjagaan kesihatan dan boleh menyebabkan peningkatan morbiditi serta kematian, kata nota itu.

Ketua Pengarah WHO, Tedros Ghebreyesus berkata kemunculan varian Omicron yang sangat bermutasi menggariskan betapa bahaya dan tidak menentu keadaan sekarang ini.

“Varian Omicron menunjukkan mengapa dunia memerlukan persetujuan baharu mengenai pandemik, dan sistem tidak balas,” katanya sambil menjelaskan bahawa sudah tiba masanya membuat pilihan untuk melabur dalam memastikan kesihatan yang terbaik, dan selamat pada masa depan.

Jumaat lalu, WHO menamakan varian baharu yang mula dikesan di Afrika Selatan pada 24 November lalu setelah sampel diperoleh pada 19 November, sebagai Omicron.

“Kita patut berterima kasih kepada Afrika Selatan dan Botswana kerana berjaya mengesan dan melaporkan varian itu,” katanya setelah Eropah dan Amerika Utara mengenakan sekatan terhadap negara-negara di Afrika.

Ghebreyesus berkata saintis masih belum mengetahui sama ada Omicron dikaitkan dengan lebih banyak penularan, dan jangkitan yang lebih teruk.

“Wabak ini, yang boleh dicegah, dikesan dan dirawat, terus membayangi dunia,” katanya.

Berdasarkan kepada ciri-ciri varian baharu itu, WHO memberi amaran mungkin terdapat lonjakan Covid-19 pada masa hadapan, yang boleh membawa akibat teruk, bergantung kepada pelbagai faktor, termasuk lokasi lonjakan mungkin berlaku.

“Risiko global secara keseluruhan yang dikaitkan dengan Omicron dinilai sebagai sangat tinggi,” kata WHO. – Agensi

Projek HSR: Najib gembira Ismail Sabri ikut cakap, gesa tuntut RM320 juta


Datuk Seri Najib Razak mungkin menjadi orang paling gembira apabila kerajaan bersetuju menghidupkan semula perbincangan mengenai Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura, yang dibatalkan ketika Pakatan Harapan (PH) memerintah.

Najib yang kini dikatakan telah berada di Singapura, serentak pada hari Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melawat negara itu, berkongsi kegembiraan dalam Facebook beliau.

Dalam kenyatannya hari ini bekas PM itu berharap Ismail Sabri menuntut semula RM370 juta yang telah dibuat oleh Malaysia kepada Singapura sebelum ini kerana membatalkan projek berkenaan.

“Alhamdulillah! Ada sinar harapan. Terbaik PM9. Harap boleh tuntut balik pampasan RM50 juta dibayar oleh PH dan RM320 juta dibayar oleh PN kepada Singapura,” kata Najib.

Sebelum ini, Najib telah berkali-kali mendesak Ismail Sabri berbincang dengan Singapura untuk menyambung semula projek yang dilancarkan ketika beliau menjadi PM pada 13 Disember 2016, setelah dibatalkan kerajaan PH pada 1 Januari lalu.

Malah ketika membahaskan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) pada sidang Dewan Rakyat baru-baru ini, Najib juga mendesak projek itu disambung semula selepas Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO menjadi PM.

Najib turut menyalahkan kerajaan PH yang membatalkan projek itu hingga negara terpaksa membayar pampasan kepada Singapura, termasuk RM320 juta yang dibayar oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Terdahulu, PM Singapura Lee Hsien Loong hari ini berkata republik itu terbuka menerima cadangan baharu dari Malaysia berkaitan projek HSR dan Kementerian Pengangkutan kedua-dua negara akan berbincang kebih lanjut.

“Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) mencadangkan perbincangan mengenai HSL dihidupkan semula dan saya menjawab bahawa Singapura dan Malaysia telah mencapai persetujuan sebelum ini untuk menamatkan projek HSR, dan ini telah diselesaikan secara baik.

“Bagaimanapun, Singapura terbuka menerima cadangan baharu dari Malaysia mengenai projek HSR dan kementerian pengangkutan kedua-dua negara akan membincangkan perkara itu,” kata Hsien Loong pada sidang media bersama Ismail Sabri hari ini yang juga disiarkan secara langsung menerusi laman Facebook rasmi beliau.

Keputusan Ismail Sabri mencadangkan Hsien Loong untuk menyambung semula rundingan projek itu sekali gus dilihat beliau ‘terpaksa’ mengikut desakan Najib yang sebelum ini diuar-uarkan bakal dilantik menjadi Penasihat Ekonomi oleh Ismail Sabri.

Sejak kebelakangan ini Najib begitu aktif di dalam memberi pelbagai cadangan dari sudut ekonomi kepada kerajaan walaupun tidak secara rasmi dilantik menjadi Penasihat Ekonomi.