Jumaat, 29 Jun 2018

Suspek terakhir ditangkap, kes bunuh pemandu Grab boleh diselesai segera

THE MALAYSIAN TIMES
 


KLANG: Kes pembunuhan pemandu Grab, Aiman Nosri pada Sabtu lepas boleh diselesai segera susulan penangkapan seorang kelindan lori malam tadi dipercayai suspek terakhir kejadian itu, kata Ketua Polis Selangor Datuk Mazlan Mansor.

Beliau berkata lelaki warga asing berumur lingkungan 20-an terbabit ditahan pukul 12.15 pagi di sekitar Gombak dekat sini, menjadikan jumlah tangkapan keseluruhan adalah enam suspek termasuk seorang wanita.

“Suspek direman tujuh hari hingga Khamis depan. Saya percaya tangkapan malam tadi adalah yang terakhir dan ia boleh menghala kepada penyelesaian kes pembunuhan ini.

“Kita yakin yang boleh bantu siasatan hingga selesai kes adalah dua tangkapan terakhir (termasuk semalam) namun polis sedang melengkapkan siasatan untuk mencari motif sebenar pembunuhan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Aidilfitri anjuran Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan, di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Polis Daerah Klang Selatan, ACP Shamsul Amar Ramli.

Dalam kejadian itu, Aiman, 27, ditemui mati tertungkup di tempat duduk belakang kereta jenis Perodua Myvi miliknya dipercayai dibunuh dengan kesan jerutan pada leher, di parkir Taman Selayang Makmur, Selayang, dekat sini.

Berdasarkan rekod, mangsa dikatakan kali terakhir membawa penumpang dari Jalan Tun Tan Cheng Lock menuju ke Selayang Baru.– Bernama

Tiada ulasan: