Khamis, 28 Jun 2018

KKM kawal selia jenama sardin luar negara


THE MALAYSIAN INSIGHT
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata tidak ada individu yang menjadi mangsa selepas termakan sardin berkenaan.– Gambar Youtube
 
KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) sudah mengambil tindakan kawal selia ke atas  jenama sardin dari China yang dilaporkan mengandungi cacing, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata tidak ada individu yang menjadi mangsa selepas termakan sardin berkenaan.

“Tidak ada orang yang menjadi mangsa. Cacing yang terdapat di dalam sardin itu sudah mati dan bukannya cacing hidup,” katanya kepada pemberita selepas sidang media pascakabinet Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad di Kementerian Kesihatan, di Putrajaya hari ini.

Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) dilaporkan menemui cacing yang boleh menyebabkan penyakit anisakiasis kepada manusia di dalam sampel tin sardin dari China yang dibawa masuk menerusi North Butterworth Container Terminal (NBCT) Pulau Pinang pada 14 Mei lalu.

Ketua Pengarah MAQIS Mokhtaruddin Husain berkata cacing terbabit ditemui menerusi pemeriksaan fizikal dan persampelan ke atas beberapa tin sardin yang tiba di dalam dua kontena berisi ‘Canned Mackerel in Tomato Sauce’ jenama RANESA yang ditahan di NBCT dengan anggaran berat 36,720 kilogram bernilai RM199,797.24.

Cacing terbabit berkemungkinan daripada genus Anisakis spp yang menyebabkan penyakit anisakiasis kepada manusia yang biasanya berlaku apabila manusia memakan makanan laut seperti ikan mentah atau tidak dimasak sepenuhnya yang dijangkiti parasit terbabit.

 Anisakiasis adalah penyakit parasit dan zoonotik bawaan ikan yang disebabkan oleh nematode Anisakis spp (cacing) yang menyerang sistem gastrointestinal seperti perut dan usus manusia dan boleh menyebabkan masalah atau simptom gastrointestinal seperti sakit perut, cirit-birit, loya dan muntah.– Bernama

Tiada ulasan: