Aksi Himpunan 1 Mei di Dataran Merdeka akan menggegar ibu kota , Detik penuh mendebarkan
ini bagai tidak sabar untuk dinantikan oleh seluruh rakyat khasnya anak
muda di bandar yang sangat terkesan dengan keputusan kerajaan mahu
melaksanakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) selain penyertaan
dalam Perjanjian Perdagangan Trans-Pasifik (TPPA).
Dataran
Merdeka akan sekali lagi menjadi ‘padang luas’ untuk aksi ini
berjalan.Bagi mendapatkan pandangan mengenai kerahan anak muda ke
himpunan ini, wartawan Harakah, ROY RASUL mengutip pandangan Pengarah
Pilihan Raya Dewan Pemuda PAS Malaysia, Mohd Sany Hamzan pada 23 April
lalu. Beliau menyeru semua pemuda termasuk Umno turun dalam perhimpunan 1
Mei ini. Perhimpunan aman itu bagi menyuarakan ketidakpuasan hati
tentang pelaksanaan GST yang diibaratnya ‘bencana’ kepada rakyat.
HARAKAH: Boleh jelaskan mengapa rakyat mesti menyertai Himpunan 1 Mei nanti?
SANY HAMZAN: Himpunan ini adalah satu himpunan rakyat sebab ia
bertujuan bagi menyatakan pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan
(GST).
Sebab ia membebankan rakyat. Apabila dilaksanakan semua
rakyat akan terpalit. Oleh sebab itu, kita kira ini satu gerak gempur
menolak malapetaka atau bencana kepada rakyat.
Jadi sebagai
rakyat Malaysia perlu keluar untuk membantah secara aman pelaksanaan
cukai GST yang akan dikena oleh kerajaan kepada seluruh rakyat di negara
ini. Tidak kira mereka berada di kampung atau bandar.
Begitu
juga sama ada nelayan, buruh, petani, pemandu teksi kita semua akan
dikenakan GST. Kita akan dibebankan dengan GST kerana kita adalah
pengguna.
Cuma yang menjadi masalah kepada kita sepatutnya
apabila kerajaan menyatakan mahu menggunakan cukai kita melihat
sepatutnya kerajaan Umno- BN perbaiki sistem urus tadbir negara.
Ketua Audit Negara mengatakan duit tiris setiap tahun hampir RM20 hingga
RM30 bilion.
Sepatutnya hasil kewangan negara banyak tetapi disebabkan
ketirisan berlaku itu yang menyebabkan kerajaan terpaksa mengenakan
cukai untuk mendapat kewangan negara. Jadi kita melihat bagi mengelakkan
bebanan itu mereka mengenakan cukai kepada rakyat.
Di beberapa buah negara, GST telah dilaksanakan, jadi apa masalahnya jika GST dilaksanakan di Malaysia?
Di sesetengah negara walaupun GST diperkenalkan tetapi mungkin kos
hidupnya murah. Tiada dikenakan tol malah harga kenderaan mereka pun
murah. Pendidikannya percuma. Harga minyak pun murah, jika dibandingkan
di Malaysia ini kehidupan rakyat kita semakin hari semakin dibebankan
dengan pelbagai kos kenaikan. Kenaikan harga barangan, perkhidmatan dan
sebagainya. Jika dibandingkan dengan negara luar contoh harga kereta, di
Thailand lebih murah daripada Malaysia.
Di Thailand pula negara
mereka ada tol. Jadi kalau hendak banding dengan Malaysia juga ada
negara-negara harga minyaknya murah. Tetapi di Malaysia yang kita tahu
harga minyaknya tidak turun.
Jadi dia ada perbezaan walaupun
cukai GST di perkenalkan kos sara hidup di setengah-tengah negara kos
sara hidupnya murah. Ini bezanya Malaysia berbanding negaranegara lain
yang mengenakan GST.
Pakatan Rakyat meletakkan syarat
agar kerajaan menghentikan penyelewengan, ketirisan sebelum melaksanakan
GST. Adakah kesedaran rakyat dalam soal penyelewengan BN ini sekata?
Masalah di Malaysia ini yang saya nampak terutamanya di bandar
masyarakat sedar sebab mereka mengakses media baharu seperti internet
dan sebagainya.
Tetapi yang menjadi masalah ialah kepada mereka yang tinggal di kampung-kampung.
Mereka lebih banyak didoktrinkan dengan bahan hebahan media pro kerajaan.
Jadi mereka tidak dapat maklumat alternatif kedua.
Macam di bandar pula, mereka ada internet untuk akses media baharu dan
sebagainya. Mereka dapat bahan ataupun mereka dapat berita kedua.
Sebab itu kita lihat Umno dan BN menang di kawasan kampung dan Felda yang masyarakat tidak terdedah dengan maklumat.
Masyarakat masih tidak terdedah dengan maklumat sebenarnya tentang apa yang berlaku dalam negara.
Sebab itu, Pakatan Rakyat sentiasa turun berjumpa rakyat malah
peringkat Dewan Pemuda PAS sentiasa turun bertemu masyarakat bagi
menrang tentang kenaikan kos harga barang, GST bahkan baru-baru ini kita
turun di Baling, Kedah kerana harga getah turun.
Tujuan kita untuk menyedar masyarakat. Itu sahaja alternatif yang kita ada.
Namun begitu, rakyat masih lesu daripada bercakap tentang kerosakan oleh Umno- BN ini? Apakah puncanya?
Sebagaimana saya katakan tadi, satunya kerana masyarakat kita ini
mungkin tidak sama dengan masyarakat di negara Indonesia. Lebih-lebih
lagi Umno menggula-gulakan mereka dengan pemberian.
Bantuan Rakyat 1Malasia (BR1M) mereka jadi diam dan tidak bangkit bersuara dengan penyelewengan dan sebagainya.
Masyarakat di luar bandar khususnya tidak terdedah dengan berita-berita yang disiarkan media baharu.
Jadi Himpunan 1 Mei ini boleh jadi medan kesedaran baharu rakyat?
Insya-Allah, walau tidak banyak kita akan dapat sedikit.
Contohnya semasa himpunan Bersih dahulu walaupun kita tidak lepas semua
yang kita tuntut, paling tidak pun daftar pemilih, soal undi pos,
dakwat kekal ada juga diterima oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan
kerajaan. Tetapi soal tuntutan tidak boleh hanya dalam sekali
perhimpunan kerajaan terus menerima.Maksudnya tuntutan itu kena
berterusan dan parti politik, Badan Bukan Kerajaan (NGO) kena sentiasa
bangkit dan menyuara tentang ketidakpuasan hati kepada kerajaan.
Hebahan himpunan ini juga nampaknya sedikit lesu. Mengapa?
Saya rasa tidak kerana melalui media-media baharu seperti Facebook,
Whatsapp, blog dan lain-lain mereka bercakap tentang himpunan itu.
Mungkin kaedah kita lebih mengguna penyebaran melalui media-media maya.
Kita tidak mengguna cara tradisi seperti banner, poster, emel dan
lain-lain. Tetapi kalau kita lihat dalam emel, blog-blog mereka bercakap
mengenai perhimpunan GST.
Apa saranan saudara mengenai perhimpunan 1 Mei nanti?
Saya minta semua pemuda tidak kira PAS, KeADILan, DAP atau Umno
sekalipun dan semua pemuda Malaysia keluar untuk cetuskan rasa tidak
puas hati kepada kerajaan yang mahu melaksanakan GST. Perhimpunan aman
itu sebagai tanda solidariti kita semua.