Sabtu, 30 Jun 2018

Kami perlu wang itu untuk urusan pentadbiran, kata Zahid kepada SPRM

Firdaus Azil, Astro Awani
Kami perlu wang itu untuk urusan pentadbiran, kata Zahid kepada SPRM
Wang itu penting untuk menampung perbelanjaan parti seperti urusan pembayaran gaji staf, penyewaan bangunan dan kos urusan pentadbiran yang lain.
 
 
BAGAN DATUK: Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi telah mengarahkan para peguam yang mewakili parti untuk memfailan rayuan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) agar menyahbekukan sebahagian akaun UMNO.

Beliau yang kini menjalankan Tugas-Tugas Presiden berkata, wang itu penting untuk menampung perbelanjaan parti seperti urusan pembayaran gaji staf, penyewaan bangunan dan kos urusan pentadbiran yang lain.
 
“Ia telah dikemukakan oleh Setiausaha Agung (Datuk Seri Tengku Adnan Mansor) kepada pihak SPRM dan kita harap SPRM memberikan pertimbangan sewajarnya kerana tentunya kita mahu supaya gaji, sewaan dan kos-kos pentadbiran lain dapat terus diberikan pertimbangan kerana ianya bukan digunakan untuk tujuan lain,” katanya di Dewan Perdana Bagan Datuk, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas selesai berucap merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Bagan Datuk serta Pemilihan Parti peringkat Bahagian dan Majlis Tertinggi bagi penggal 2018/21.

Sebelum ini media melaporkan, Pasukan Petugas Khas SPRM telah membekukan sejumlah akaun milik individu dan beberapa organisasi termasuk UMNO serta parti-parti politik lain, dipercayai bersangkutan dengan penyelewengan dana 1MDB.

Hari ini seramai 165,000 perwakilan dari 191 bahagian akan mengadakan pemilihan bagi memilih pucuk pimpinan tertinggi, termasuk Presiden, Timbalan Presiden dan tiga Naib presiden. 
 
 

Tiada ulasan: