Jumaat, 29 Jun 2018

Isu projek hibrid: Pengarah syarikat direman 5 hari

THE MALAYSIAN TIMES
 


PUTRAJAYA: Seorang pengarah sebuah syarikat yang berpangkalan di Bintulu direman lima hari bagi membantu siasatan kes penyelewengan pemberian kontrak projek hibrid solar untuk 369 sekolah pedalaman di Sarawak.

Majistret Shah Wira Abdul Halim mengeluarkan perintah tahanan reman terhadap pengarah syarikat itu mulai hari ini hingga 3 Julai bagi membolehkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan.

Suspek yang berumur 39 tahun itu ditahan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya kira-kira pukul 7.45 malam tadi selepas hadir untuk memberi keterangan.

Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 16 (a) (A) Akta SPRM 2009 kerana meminta rasuah.
Pengarah syarikat yang berbaju lokap SPRM itu tiba di perkarangan mahkamah pada 9.20 pagi dengan bergari.

Suspek merupakan individu ketiga yang ditahan SPRM. Dua hari lepas, seorang pengarah urusan dan peguam syarikat itu direman enam hari bagi membantu siasatan.

Pada awal Jun, sebuah portal melaporkan kemungkinan wujud penyelewengan dalam pemberian kontrak projek hibrid solar bernilai RM2.5 bilion di Sarawak yang didakwa diberikan melalui penganugerahan kontrak secara terus di bawah arahan seorang bekas pemimpin tertinggi negara.

Pemimpin berkenaan turut didakwa mengarahkan Kementerian Pendidikan pada Januari tahun lepas agar melantik sebuah syarikat perniagaan kereta sewa di Bintulu bagi projek hibrid solar untuk 369 sekolah pedalaman di Sarawak.

Pada 11 Jun, Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik berkata Kementerian Pendidikan telah memulakan proses siasatan dalaman bagi mengenal pasti individu yang terlibat dalam isu penyelewengan pemberian kontrak membekal tenaga solar dan diesel di 369 sekolah di Sarawak.

Terdapat 369 sekolah di negeri itu yang tidak mempunyai bekalan elektrik tetap dan hanya menggunakan genset diesel untuk menjana elektrik.

Sebelum 2017, bekalan diesel kepada sekolah adalah daripada beberapa kontraktor yang dibekalkan secara kontrak.

Bermula 1 Jan 2017, Jepak Holding Sdn Bhd, yang asalnya satu daripada kontraktor terlibat, telah diberikan kontrak membekalkan elektrik kepada semua 369 sekolah itu bagi tempoh tiga tahun sehingga 31 Dis 2019 dengan nilai ‘melebihi RM1 bilion’ termasuk Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Selain membekalkan diesel di sekolah-sekolah pedalaman di Sarawak, syarikat itu juga memasang sistem hibrid solar dan penyelenggaraan generator di 369 sekolah pedalaman selama tiga tahun.– Bernama

Tiada ulasan: