Khamis, 31 Julai 2008

Rakan Ezam Mohd Nor sertai PAS

Basiron Abdul Wahab

BANDAR JENGKA - Bekas Pengarah Gerak Demokrasi dan Anti-Korupsi (Gerak) Pahang, Zukri Akasah 36, yang juga bekas Exco Angkatan Muda KeADILan semasa Ezam Mohd Nor menjadi ketua, mengambil keputusan untuk menjadi ahli PAS.

"Saya mengikut Ezam meninggal KeADILan dan menubuhkan Gerak tetapi bila Ezam menyertai Umno saya tarik brek lah," katanya.

Dilahirkan di Kuala Terengganu, kini beliau menetap di Kuantan, Pahang.

Beliau memiliki Ijazah Sarjana dan Ijazah Sarjana Muda dengan Kepujian dalam bidang Pentadbiran Perniagaan.

Zukri terlibat dalam runding cara latihan dan pengurusan semenjak tahun 2001 lagi. Dari segi profesionnya, Zukri menyandarkan kepada keahliannya dalam beberapa institut pengurusan antarabangsa, termasuklah Asian Institute of Management Science (AIMS) dan juga sebagai Board Member kepada Licensed International Financial Analyst (LIFA) dan International Research Association (the-ira.org).

Beliau juga sedang dalam proses mendaftarkan dirinya sebagai ahli kepada International High IQ Society (highiqsociety.org) setelah lulus ujian IQ kemasukan dengan skor 131.

Di samping sibuk dengan kerja hariannya, Zukri juga telah dipilih dan dilantik sebagai Pengerusi Biro Latihan, Pembangunan Cawangan dan Pemasaran untuk Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (Perdasama) Negeri Pahang.

Beliau juga dikenali sebagai seorang penulis, hampir setiap keluaran akhbar lidah rasmi parti, Suara Keadilan (semasa di dalam parti itu) memuatkan tulisan-tulisan beliau.

Tulisan beliau juga biasa diterbitkan di dalam portal-portal berita internet seperti Malaysiakini, Malaysia Today, Agenda Daily, Harakahdaily, juga oleh lain-lain laman web bebas. - mns_

Tokoh PKR ditahan 'dalam 48 jam'

Malaysiakini


PKR hari ini meramalkan penasihatnya Datuk Seri Anwar Ibrahim akan ditahan dalam "tempoh 48 jam" berhubung kes dakwaan meliwat bagi menghalangnya bertanding dalam pilihanraya kecil di Permatang Pauh.

Ketua penerangannya Tian Chua berkata PKR tidak menolak kemungkinan Anwar ditahan dalam tempoh terdekat.

"Kelihatannya mereka merancang mendakwanya (di mahkamah) pada Isnin depan," katanya agensi berita AFP.

"Mereka mungkin menangkapnya dalam tempoh 48 jam akan datang. Ia bertujuan menyekatnya bertanding dalam satu pilihanraya kecil."

(Mutakhir)

Azizah kosongkan Permatang Pauh, Anwar tanding

Oleh G. MANIMARAN dan NURUL AIN HUSSAIN

KUALA LUMPUR: Penasihat Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan beliau akan bertanding di kawasan Parlimen pada pilihan raya kecil Permatang Pauh.

Ia berikutan tindakan isterinya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail mengosongkan kerusi itu berkuat kuasa hari ini.

Ia diumumkan pada sidang media di sini sebentar tadi.

Dr. Wan Azizah merupakan Ahli Parlimen kerusi itu sejak pilihan raya umum 1999 iaitu selepas selepas Anwar dipecat daripada parti dan kerajaan setahun sebelum itu dan dihadapkan di mahkamah.

Kini Dr. Wan Azizah merupakan Ketua Pembangkang di Parlimen.

"Hari ini saya secara rasmi meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh bagi membolehkan Datuk Seri Anwar bertanding dalam satu pilihan raya kecil secepat mungkin," kata Dr. Wan Azizah.

Dalam pada itu, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman memberitahu mStar Online bahawa pihak "telah dimaklumkan secara informal" mengenai kekosongan tetapi menunggu makluman rasmi daripada Speaker Dewan Rakyat.

Kata beliau, SPR akan menentukan tarikh sesuai mengadakan pilihan raya kecil sebaik sahaja dimaklumkan mengenai kekosongan itu secara rasmi.

Jelas beliau, pihaknya akan mengadakan pilihan raya kecil dalam tempoh 60 hari untuk mengisi kekosongan itu.

Ketika ditanya sama ada pilihan raya kecil akan diadakan meskipun kerusi itu dikosongkan atas 'kehendak sendiri', Abdul Rashid memberitahu, bagi pihaknya cara kekosongan itu tidak penting.

"Yang penting apabila ada kekosongan, kekosongan itu akan diisi (dengan diadakan pilihan raya kecil)," katanya.

PAS tolak kerjasama dengan BN bentuk kerajaan - Presiden PAS

Nyza Ayob dan Intan Abdullah

KUALA LUMPUR - PAS menolak mengadakan sebarang rundingan dengan Barisan Nasional (BN) bagi mewujudkan kerajaan sama ada di peringkat pusat atau negeri.

Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata sebarang tawaran untuk mewujudkan kerjasama politik tidak lagi berbangkit.

"PAS akan terus terbuka untuk mengadakan sebarang perbincangan dengan parti-parti politik, badan bukan kerajaan, institusi ataupun mana-mana individu demi kepentingan agama dan rakyat," ujarnya dalam sidang media di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut hari ini.

PAS mengulangi pendiriannya untuk terus kekal bersama pakatan Rakyat dan akan memainkan peranan aktif dan positif termasuk perjuangan bersama untuk membuat perubahan.

"Kita mengajak ahli-ahli parlimen BN untuk menyertai Pakatan Rakyat untuk sama-sama sokong dan dokong perubahan yang hendak dilaksanakan," katanya.

Ditanya mengenai tindakan yang akan diambil oleh parti tersebut terhadap mana-mana pimpinan yang mengadakan pertemuan sulit dengan BN, katanya, "tiada yang sulit lagi, kita mengatakan boleh mengadakan pertemuan dengan syarat ia dimaklumkan kepada parti."

PAS juga katanya menghargai sokongan bukan Islam dan mereka akan diberikan peranan lebih pada masa akan datang dalam arena politik bersama PAS.

Dalam pada itu, Ustaz Abdul Hadi turut menyatakan bahawa pihaknya turut menyatakan sokongan dalam isu Penasihat KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim.

"Isu tersebut hendaklah diselesaikan mengikut syariat Islam, berdasarkan perlembagaan 121 yakni kes yang berkaitan dengan agama Islam hendaklah dirujuk kepada Mahkamah Syariah.

"Saya tidak mahu isu ini dipolitikkan. Kalau sekiranya ia tidak boleh (dirujuk kepada mahkamah syariah) Umno kena buat perubahan.

"Ya, saya membela siapa yang kena zalim termasuk Dato' Seri Anwar," ujarnya.

Sidang media tersebut diadakan sebaik selesai Mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS yang dibuat secara bulanan, dengan turut dihadiri Majlis Syura Ulama' yang dipengerusikan Ustaz Abdul Hadi.

Turut serta dalam mesyuarat tersebut ialah Musyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat, kata Setiausaha Agung PAS, Dato' Kamarudin Jaffar dalam sidang media tersebut.

Hadir sama, Ketua Muslimat PAS, Ustazah Nuridah salleh. - mns_

Tiada maaf bagimu Pak Lah...

Mohd Noor


Umno cawangan Kampung Tua dalam bahagian Langkawi tidak dapat memaafkan presiden parti itu, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kerana kekalahan teruk Umno dan Barisan Nasional (BN) dalam pilihanraya umum lalu.

Lantaran itu, cawangan tersebut mengusulkan Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak bertanding jawatan presiden dalam pemilihan Umno Disember ini.

Dalam mesyuaratnya pada 26 Julai lalu, cawangan tersebut turut mengusulkan Tan Sri Muhyiddin Yassin bertanding jawatan timbalan presiden.

"Datuk Seri Abdullah perlu bertanggungjawab terhadap kekalahan tersebut...beliau perlu mengundurkan diri," kata ketua cawangan tersebut, Mansor Hashim.

"Kita mahu orang lain dan pada pandangan ahli-ahli cawangan, orang yang paling layak menjadi presiden parti ialah Najib dan timbalannya pula ialah Muhyiddin," katanya.

Najib dan Muhyiddin masing-masing merupakan timbalan presiden dan naib presiden Umno.

Keputusan tersebut, kata Mansor, dibuat oleh semua 41 ahli Umno cawangan Kampung Tua yang hadir dalam mesyuarat agungnya pada 26 Julai lalu.

"Tiada seorang pun yang membantah usul tersebut," katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Sebelum ini, dua cawangan Umno di Pahang - Bukit Kuantan 3 (bahagian Paya Besar) dan Kampung Ubai (bahagian Pekan) mahu Najib bertanding jawatan presiden dalam pemilihan Umno Disember depan.

Sehingga ini, kata Mansor, 13 cawangan daripada 91 cawangan dalam bahagian Langkawi telah mengadakan mesyuarat masing-masing.

Beliau mendakwa, ada beberapa cawangan lagi yang akan mengusulkan Najib untuk jawatan presiden dan Muhyiddin sebagai timbalan.

Bagaimanapun, katanya, sebahagian mereka tidak berani berbuat demikian kerana sebab-sebab tertentu.

Sementara itu, ketua bahagian sekarang, Datuk Abu Bakar Taib dijangka ditentang oleh timbalannya, Datuk Nawawi Ahmad dalam pemilihan ketua bahagian September ini.

Ahli jawatankuasa (AJK) bahagian, Mohd Amin Bahari memberitahu, sehingga ini Abu Bakar mendapat empat pencalonan, manakala Nawawi sembilan.

Abu Bakar merupakan ahli Parlimen Langkawi manakala Nawawi adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuah.

Abu Bakar juga sudah empat penggal menjadi ketua bahagian Langkawi, manakala Nawawi tiga penggal sebagai timbalan ketua bahagian.

Wakil rakyat Selangor dilarang campuri urusan ahli PBT

Saidah Hairan

SHAH ALAM- Ahli Parlimen dan Adun negeri Selangor tidak perlu mencampuri hal ehwal Majlis Perbandaraan negeri ini bagi mengelak penyelewangan berulang sebagaimana ketika di bawah pentadbiran Umno-BN.

Menurut exco kerajaan negeri, Iskandar A Samad terdapat laporan di mana wakil-wakil rakyat telah mengambil bahagian dalam jawatankuasa-jawatankuasa kecil Majlis Perbandaraan.

Beliau menegaskan, wakil rakyat tidak sepatutnya mencampuri hal ehwal Majlis Perbandaraan dan perlu memberi peluang kepada ahli-ahli Majlis menjalankan tugas mereka.

Katanya, jika wakil rakyat campurtangan dalam urusan Majlis Perbandaraan ia bertentangan dengan polisi kerajaan negeri yang melarang semua Adun dan Ahli Parlimen Selangor menjadi ahli Majlis.

"Ahli-ahli Majlis perlu diberi kepercayaan untuk berperanan dengan baik tanpa ada campurtangan daripada pihak tertentu," tegasnya.

Beliau merupakan Adun Chempaka berkata, wakil rakyat hanya boleh hadir sebagai pemerhati dalam setiap mesyuarat Majlis Perbandaraan.

Katanya, berikanlah peluang yang sepenuhnya kepada ahli-ahli majlis untuk mereka menjalankan tanggungjawab.

Iskandar menegaskan keputusan dibuat agar tidak ada campurtangan mana-mana wakil rakyat dan mereka perlu menghormati keputusan kerajaan negeri. - lanh _

Debat kedua, Saifuddin sedia berdepan dengan Khairy

Zuharman Mohd Nor

PASIR PUTEH - Mungkinkah debat pusingan kedua diadakan lagi selepas ini, biar pun Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek dikatakan gagal menggalas harapan Umno pada debat pertama.

Anggota Parlimen Machang, Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihak penganjur debat ada menghubunginya mempelawa tampil dalam agenda debat pusingan kedua.

"Saya telah menyatakan kesediaan untuk berdebat dengan siapa sahaja dari kalangan pemimpin Umno termasuk juga menantu Perdana Menteri, Khairy Jamaluddin," katanya pada satu ceramah di Kampung Air Tawar, Semerak, baru-baru ini.

Hadir sama pada program itu Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Adun Semerak, Wan Hassan Wan Ibrahim, Adun Limbongan, Zainudin Awang Hamat dan Adun Gaal, Dr Nik Mazian Nik Mohamad.

Baru-baru ini debat yang membahaskan topik 'Hari ini bentuk kerajaan, esok turun harga minyak' menyaksikan pertemuan antara Ketua Umum Parti KeADILan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Menteri Penerangan Malaysia.

Pada debat itu rata-rata orang ramai yang menonton melalui siaran lansung di TV9 memuji kemantapan hujah bekas timbalan perdana menteri berbanding Shabery yang lebih emosi.

Sehubungan itu Saifuddin mengulangi beliau bersedia berdebat pada bila-bila masa dan di mana sahaja tempat.

"Saya sanggup, tidak ada masalah. Sekarang saya tunggu kad jemputan secara rasmi," kata beliau.

Saifudin yang juga Pengarah Strategik KeADILan berkata, kesanggupan berdebat bukan kerana mahu publisiti, sebaliknya mahu memartabatkan falsafah keadilan dan kebenaran selepas kehidupan rakyat terbeban setelah harga minyak dinaikkan Jun lalu.

Sementara itu, Tuan Guru Nik Aziz menegur sikap sesetengah pihak khususnya pemimpin politik yang membeza-bezakan di antara politik dan agama.

"Keadaan sebegini memisahkan politik dari agama menyebabkan mudahnya berlaku perkara negatif dalam pentadbiran seperti rasuah dan penyalahgunaan kuasa," katanya. - mj _

Tawaran Tajol bentuk kerajaan, 2 cawangan Pemuda PAS buat laporan polis

KOTA BAHARU: Dua cawangan Pemuda PAS Kelantan, hari ini masing-masing membuat laporan polis mendakwa kenyataan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak, Datuk Seri Mohd Tajol Rosli Ghazali yang mengajak PAS bergabung dengan Umno bagi membentuk kerajaan sebagai berunsur rasuah politik.

Ketua Pemuda PAS cawangan Kubang Kerian, Mohamad Nuri @ Nuri Mat Yaacob dan Ketua Pemuda PAS cawangan Kota Baharu, Mohd Baharuddin Mohd Noor, masing-masing membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Baharu di sini pada kira-kira 2.30 petang.

Mereka diiringi kirakira 15 anggota Pemuda PAS dari kedua-dua cawangan itu.

Tajol Rosli dalam kenyataannya semalam mengajak Pas bergabung membentuk kerajaan negeri yang lebih kukuh dengan wakil PAS akan terus memegang jawatan Menteri Besar dan keanggotaan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) diagihkan mengikut kesesuaian antara parti gabungan.

Bercakap kepada pemberita selepas membuat laporan itu, Mohamad Nuri berkata, mereka membuat laporan itu bagi meminta polis menyiasat tawaran Tajol Rosli itu yang didakwanya berunsur rasuah.

"Ini satu budaya rasuah politik yang perlu dikekang kerana ia boleh menggugat kedudukan mana-mana pihak dan kami berpendirian untuk membuat laporan polis untuk mendapatkan siasatan lanjut berkenaan tawaran itu," katanya.

Sementara itu, Ketua Pemuda PAS pusat Salahuddin Ayub menyifatkan kenyataan Tajol Rosli itu sebagai tidak bijak dan tidak menghormati PAS.

"Beliau tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan itu yang seolah-olah tidak faham dan tidak menghormati PAS sekarang bersama dengan Pakatan Rakyat.

"PAS menghormati beliau (Tajol Rosli) dengan Barisan Nasional (BN)... kenapa mesti beliau buat begitu (menawarkan jawatan) untuk PAS meninggalkan Pakatan Rakyat," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Mengulas berkenaan laporan polis yang dibuat oleh dua cawangan Pemuda PAS itu, Salahuddin berkata Pemuda PAS Perak juga akan mengambil langkah yang sama.

"Mereka juga akan buat laporan polis, mungkin petang ini atau esok," katanya. BERNAMA

Terengganu: BPR siasat projek Taman Tamadun Islam, Piala Monsun

KUALA TERENGGANU: Badan Pencegah Rasuah (BPR) akan menyiasat dakwaan berlakunya penyelewengan dalam pelaksanaan projek Taman Tamadun Islam (TTI) di Pulau Wan Man dan kejohanan kapal layar Piala Monsun di Pulau Duyung jika terdapat asas dan bukti yang kukuh berhubung perkara itu.

Pengarah BPR negeri Sharuddin Sapian berkata, BPR sentiasa mengamalkan dasar telus dan responsif terhadap perkara yang dilaporkan dan tidak pernah mengamalkan dasar pilih kasih dalam menjalankan siasatan.

"Kita akan teliti dahulu (laporan)...kalau ada asas yang kukuh berhubung perkara yang berkaitan, kita akan siasat," katanya ketika dihubungi di sini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas gesaan Dewan Pemuda PAS serta Angkatan Muda Keadilan (AMK) Terengganu yang meminta BPR menyiasat mengenai projek TTI dan Kejohanan Kapal Layar Piala Monsun.

Laporan itu dilakukan oleh Ketua Dewan Pemuda Azman Shapawi Abdul Rani dan Ketua AMK Fariz Musa di Wisma Persekutuan di sini, Selasa.

Sebelum itu, kira-kira pukul 11 pagi, Azman Shapawi hadir bersama dua lagi anggota parti itu membuat laporan meminta BPR menyiasat kenyataan Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Said serta dua projek berkenaan yang disiarkan dalam akhbar.

Bercakap kepada pemberita selepas membuat laporan itu, beliau berharap BPR menyegerakan tindakan untuk menyiasat perkara tersebut kerana ia melibatkan kepentingan awam dan harta rakyat.

Sementara itu Fariz bersama empat lagi anggota PKR pula membuat laporan kepada pejabat BPR meminta siasatan segera dilakukan terhadap kedua-dua projek terbabit selain kes penyelenggaraan melampau Proton Perdana V6, kehilangan wang royalti petroleum sejumlah RM3 bilion dan kes rasuah projek Bandar Baru Kijal di Kemaman.

Dipercayai seorang ahli politik di negeri ini terbabit dengan dakwaan penyelewengan itu dan meminta BPR bertindak dengan jujur, telus, berintergriti serta profesional untuk mengambil tindakan tanpa mengira pangkat dan darjat. BERNAMA

Wakil rakyat SAPP tetap mahu sokong usul tidak percaya Perdana Menteri

KOTA KINABALU: Sekalipun Parti Maju Sabah (SAPP) mengambil langkah untuk menjawab surat tunjuk sebab Barisan Nasional (BN) pada tarikh akhir hari ini, seorang daripada dua anggota Parlimennya menegaskan parti itu tetap akan menyokong sebarang usul tidak percaya di Dewan Rakyat terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Setiausaha Agung SAPP, Datuk Richard Yong berkata, jawapan kepada surat itu yang dikeluarkan oleh BN selepas SAPP memutuskan pada mesyuarat Majlis Tertingginya pada 20 Jun bahawa ia akan menyokong sebarang usul tidak percaya terhadap
Abdullah, akan dihantar pada bilabila masa hari ini dan akan menjelaskan tindakan
SAPP sebagaimana dikehendaki oleh Dewan Tertinggi BN.

"Kami belum menetapkan waktu untuk menghantar surat itu. Tetapi bila-bila masa saja hari ini oleh kerana hari ini adalah hari terakhir tempoh 30 hari untuk menjawab.

"Kami akan hantar mengikut cara ia diterima," kata beliau. BN menghantar surat tunjuk sebab itu menerusi kurier.

Yong enggan mengumumkan kandungan penuh jawapan itu tetapi berkata ia mengulangi "pendirian awal" parti komponen BN itu.

Sementara itu, Timbalan Presiden SAPP dan MP Sepanggar Datuk Eric Enchin Majimbun, bila dihubungi Bernama, berkata parti itu akan menyokong sebarang usul tidak percaya di Dewan Rakyat terhadap Abdullah.

"Kami hanya mahu menjelaskan dalam surat (jawapan kepada surat tunjuk sebab) bahawa kami adalah tegas dalam pendirian kami. Apa yang kami buat adalah demi rakyat Sabah.

"Ya, kami (SAPP) telah hilang keyakinan terhadap perdana menteri. Tetapi ini tidak bererti bahawa kami mesti mengemukakan usul tidak percaya di Parlimen.

"Kami akan lihat bila masa sesuai (mengemukakan usul tidak percaya), jika terdapat keperluan," kata beliau.

Seorang lagi MP SAPP ialah Naib Presiden parti, Datuk Dr Chua Soon Bui, yang mewakili Tawau. Pemimpin berkenaan tidak dapat dihubungi untuk komen. BERNAMA

Penculik Sharlinie berkeliaran ?

Oleh WAN NOOR HAYATI WAN ALIAS

KUALA LUMPUR - Polis meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian penculikan melibatkan seorang remaja perempuan berusia 13 tahun di Klang, pada 26 Julai lalu, supaya tampil memberi maklumat.

Dalam kejadian itu, remaja perempuan berkenaan dilarikan oleh lima lelaki menaiki van di satu perhentian bas dekat Sungai Kapar Indah, Klang.

Bagaimanapun, gadis sunti berkenaan berjaya melarikan diri ketika pintu van itu terbuka di satu selekoh.

Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar berkata, setakat ini, polis belum menerima maklumat daripada mana-mana saksi kejadian yang dapat membantu siasatan.

"Tiada sebarang lakaran fotofit, pengecaman atau tangkapan dilakukan pada masa ini.

"Sokongan dan bantuan orang awam amat diperlukan bagi membantu pihak polis dalam usaha mengesan suspek-suspek kes culik," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Khalid ketika diminta mengulas laporan akhbar mengenai dakwaan remaja perempuan itu yang mendakwa dirinya diculik lima lelaki dan dibawa menaiki sebuah van tetapi berjaya melepaskan diri.

Remaja berkenaan turut mendakwa, dia melihat gambar mangsa culik, Sharlinie Mohd. Nashar, 6, yang hilang sejak 9 Januari lalu di samping beberapa foto kanak-kanak lain yang ditanda 'X' dalam van tersebut.

Khalid menambah, polis juga akan meneruskan siasatan ke atas kes-kes lama berhubung penculikan kanak-kanak di negeri ini termasuk kes Sharlinie.

"Polis tidak pernah tutup kes-kes lama sebaliknya akan teruskan mencari mangsa," katanya.

Sharlinie hilang dipercayai diculik ketika dalam perjalanan pulang selepas bermain bersama kakaknya, Sharliena di padang permainan yang terletak kira-kira 200 meter dari rumah mereka di Taman Medan, Petaling Jaya pada 9 Januari lalu.

Muhamad Asmawi atau Awie pula hilang ketika pulang dari sebuah taman permainan berdekatan rumahnya di Lot 127, Jalan Permai Tujuh, Lembah Pantai di sini, 9 Mac lalu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed memberitahu Utusan Malaysia, pihaknya akan bekerjasama dengan polis Klang memandangkan terdapat maklumat berkaitan Sharlinie dalam kes terbaru tersebut.

Rabu, 30 Julai 2008

Cabaran perkongsian kuasa dalam pembentukan kerajaan Pakatan Rakyat
Mohd Rashidi Hassan

PAS tetap komited dengan Pakatan Rakyat. Itulah jaminan pemimpin-pemimpin PAS dan kehendak ahli serta penyokong PAS keseluruhannya.

Harus diingatkan, bahawa pemimpin, ahli dan penyokong PAS memberikan kerjasama yang tidak berbelah bahagi sejak penubuhan Barisan Alternatif (BA) yang menggabungkan PAS, KeADILan, PRM dan DAP semasa al-Marhum Dato' Fadzil Mohd Noor menjadi Presiden PAS lagi.

Komitmen tinggi ahli-ahli PAS dengan semangat berpasukan yang jitu, mereka sanggup bekerja bertungkus lumus untuk kempen pilihan raya yang ditandingi calon dari rakan pembangkang, walaupun PAS lebih dominan di kawasan tersebut.

Tanpa mengira penat lelah, tanpa meminta sebarang upah, jentera pilihan raya PAS, tanpa mengira agama, bangsa dan fahaman ideologi, atas nama demokrasi dan keadilan, turut sama menjulang pemimpin pembangkang sama ada dari KeADILan, PSM, hatta DAP sekali pun!

Komitmen ini tidak harus dipertikaikan! Dan, dengan rasa rendah diri, Ahli-ahli Parlimen dan Adun Pakatan Rakyat harus mengakui, tanpa sumbangan dan kerja keras ahli-ahli PAS, kita semua tidak berada dalam kedudukan sekarang.

Justeru, dengan berlatarbelakangkan keikhlasan dalam perjuangan, PAS sama sekali tidak pernah meninggalkan gabungan atau pakatan pembangkang sebelum ini.

Dalam politik negara, rakyat menyaksikan pasca Pilihan Raya Umum 1999, DAP yang meninggalkan BA. Apa pun alasan yang diberikan itu hak DAP.

Namun dalam keadaan sekarang, pemimpin-pemimpin DAP tidak berhak mempertikaikan keikhlasan pemimpin dan ahli-ahli PAS dalam Pakatan Rakyat.

Jaminan kepada golongan bukan Melayu dan bukan Islam

Jika pun PAS berbincang dengan Umno sama ada atas nama muzakarah atau muqabalah, untuk kepentingan agama Islam dan bangsa Melayu, ianya tidak sesekali menyalahi dasar perjuangan parti PAS.

Walaupun PAS diterajui majoriti orang-orang Melayu dengan dasar perjuangan Islam, namun hak, peluang dan keadilan terhadap golongan bukan Melayu dan bukan Islam tetap dipelihara sebaik-baiknya.

Pengalaman PAS menerajui Kelantan, Terengganu (1999-2004) dan Kedah waktu kini, membuktikan bahawa PAS tidak pernah menyisihkan sama sekali golongan bukan Melayu dan bukan Islam.

Jika dipersoalkan mengenai kepentingan bangsa, apakah MCA, Gerakan dan DAP, walaupun ada pemimpin bukan Cina seperti Karpal Singh, tidak pernah memperjuangkan chauvanisme bangsa?

Terlalu banyak desakan dibuat oleh pemimpin dari ketiga-tiga parti ini, ada kalanya menyentuh soal kedaulatan Raja-raja Melayu, kesucian agama Islam dan kepentingan bangsa Melayu.

Namun, orang-orang Melayu, khususnya dari PAS tidak melatah dan cuba melihatnya dari sudut yang rasional.

Maka apabila PAS dan Umno bercakap soal agenda Islam dan Melayu, kaum-kaum lain tidak harus memandangnya dari sudut yang negatif.

Sesuai dengan dasar perjuangannya, PAS harus memastikan kedudukan majoriti Melayu dan kedaulatan Islam sebagai agama rasmi negara terpelihara sebaik-baiknya.

Masalah yang dihadapi negara cukup besar, ianya adalah manifestasi daripada kegagalan kerajaan Barisan Nasional memastikan kesejahteraan agama dan perpaduan antara kaum terpelihara.

Ketegangan agama dan perpecahan kaum akan membawa kepada ketidakstabilan politik, ini yang harus disedari.

Matlamat PAS jelas, PAS mahu memelihara kestabilan politik dengan peranan serta ruang yang diberikan dalam sistem demokrasi yang diamalkan dalam negara.

Dan, PAS sudah memberi jaminan bahawa PAS sama sekali tidak akan bergabung dengan BN, walaupun wujud pelbagai tawaran.

Jika pemimpin PAS 'tamak kuasa', sudah tentu awal-awal lagi PAS menerima tawaran Dato' Seri Mohd Khir Toyo untuk membentuk kerajaan campuran di Selangor, sejurus selepas PRU, 8 Mac lepas.

Sebaliknya PAS kekal dengan persefahaman Pakatan Rakyat. PAS bekerjasama membentuk kerajaan yang diketuai Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dari parti KeADILan.

Walaupun banyak tawaran dari Umno, sama ada di Perak, Pahang, Terengganu atau di mana sahaja untuk berkongsi kuasa dengan PAS, namun pemimpin dan ahli-ahli PAS sama sekali tidak bersetuju.

Usaha merencatkan pembentukan kerajaan Pakatan Rakyat

Tidak dinafikan usaha pembentukan kerajaan Pakatan Rakyat tergendala seketika beberapa minggu, ekoran tercetusnya isu-isu seperti dakwaan liwat terhadap Ketua Umum KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim dan muzakarah PAS-Umno.

Momentum ke arah itu sudah bermula dua bulan lalu, berikutan pengumuman hilang keyakinan anggota komponen Barisan Nasional, Parti Maju Sabah (SAPP) terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Tambahan pula, ramai ahli Parlimen BN, sama ada dari parti komponen BN dari Sabah dan Sarawak, hatta dari Umno sekalipun sudah berunding secara serius dengan Anwar untuk menyertai Pakatan Rakyat.

Umno-BN sudah mulai gelabah. Timbul pula ura-ura usul undi tidak percaya terhadap kerajaan pimpinan Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi, yang bakal dikemukakan di Parlimen.

Seluruh Kuala Lumpur menjadi 'havoc' seketika dengan pelbagai sekatan jalan raya akibat kegusaran pemimpin BN, yang entah dari mana mendapat maklumat perhimpunan besar akan diadakan menjelang pembentangan usul berkenaan.

Sehingga polis terpaksa menggunakan mahkamah untuk menghalang kehadiran Anwar ke Parlimen.

Hakikat sebenarnya, rakyat tidak berurusan dengan khabar angin. Segala perancangan ke arah pembentukan kerajaan Pusat oleh Pakatan Rakyat menjelang 16 September depan sudah direncanakan.

Sebaik sahaja pengumuman ketidakpercayaan kepada PM, beberapa orang ahli Parlimen BN sudah bersedia untuk mengumumkan untuk menyertai Pakatan Rakyat.

Kemudiannya, ia akan disusuli dengan pengumuman Anwar untuk bertanding di kerusi Parlimen.

Ada kemungkinan pemimpin sudah menghidu momentum ke arah itu. Maka pelbagai usaha dilakukan untuk merencatkan pembentukan kerajaan Pakatan Rakyat.

Namun apa pun halangan yang hamparkan oleh Umno-BN, Anwar tetap komited dengan agenda beliau. Dalam beberapa minggu ini dijangka pelbagai anjakan positif bagi Pakatan Rakyat akan dilakukan.

Cabaran perkongsian kuasa

Masalah utama kepada gabungan PAS, KeADILan dan DAP ialah bagaimana membentuk serta menyusun sebuah kerajaan yang boleh memuaskan hati semua pihak.

Tidak dinafikan, masing-masing ada agendanya yang tersendiri. Namun asas kepada pembentukan sesebuah kerajaan ialah keadilan, ketelusan, pertanggungjawaban dan amanah kepada semua rakyat.

Dalam merencana agenda masing-masing. Semua pihak tidak harus mempertegaskan kepentingan sesuatu bangsa atau memperjuangkan matlamat politik masing-masing tanpa mengambil kira kepentingan majoriti rakyat, khususnya orang-orang Melayu yang beragama Islam. Inilah dasar yang jelas dan harus difahami.

Sememangnya diperakui, Pakatan Rakyat memperjuangkan dasar perkongsian yang samarata (equal sharing). Equal sharing dalam perkongsian kuasa politik, bukan seperti kiraan subjek matematik.

Ia tidak merujuk kepada semuanya harus dibahagi tiga, atas sifat perkongsian tiga parti PAS, KeADILan dan DAP.

Di Selangor misalnya dalam penyusunan ahli majlis sama ada Majlis Bandaraya Shah Alam atau Majlis Perbandaran atau Majlis Daerah, walaupun Exco yang terbabit, Ronnie Liu mewakili DAP, beliau tidak seharusnya dilihat membahagi-bahagikan jawatan dengan melebihkan kaum Cina.

Misalnya di Majlis Perbandaran Subang Jaya yang merangkumi kawasan Puchong, Serdang dan Kelana Jaya, daripada 24 orang ahli majlis, hanya 8 orang sahaja yang beragama Islam sedangkan majoriti penduduk orang-orang Melayu yang beragama Islam.

Begitu juga di Shah Alam yang merangkumi Parlimen Shah Alam dan Kota Raja. Perlantikan Ahli Majlis harus mewakili peratusan penduduk, bukan dibahagi tiga antara tiga parti atau dilantik daripada NGO yang bukan Melayu/ Islam.

Ini amalan dasar kesamarataan yang silap dan membangkitkan sensitiviti orang-orang Melayu. Harus diingat rakyat akan membandingkan senarai keanggotaan majlis PBT di antara zaman BN dengan Pakatan Rakyat.

Jangan sesekali benarkan rakyat menuding jari kepada DAP di Selangor yang hanya dilihat cenderung untuk 'protect' bangsa Cina sahaja. Jangan sesekali dibenarkan nama Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, dipalitkan dengan tuduhan orang Melayu yang tidak 'protect' bangsanya sendiri.

Pakatan Rakyat seharusnya menutup ruang kelemahan ini dari serangan BN. Orang-orang Melayu tidak pernah meminta lebih atau dimanjakan seperti zaman pemerintahan BN, apa yang perlu hak dan keistimewaan asas mereka sebagaimana yang diperuntukkan dalam perlembagaan, terpelihara.

Kita boleh berikan alasan bahawa kita baru sahaja empat bulan berkongsi kuasa. Tetapi kita harus sedar dan mengelak berperangai seperti Umno/BN yang kita serang habis-habisan akibat pengamalan dasar korupsi, kronisme dan nepotisme.

Walaupun berkongsi kuasa, rakan dari KeADILan juga tidak harus dilihat mengulangi perangai Umno, khususnya dalam pembahagian jawatan-jawatan politik dalam anak-anak syarikat kerajaan negeri Selangor misalnya.

Jangan sesekali dilihat terlalu ghairah hendak merebut 'ghanimah' yang besar. Dalam hal ini, tidak dinafikan wujud tindakan dan perlantikan jawatan dibuat tanpa mengambil kira kepentingan PAS dan orang-orang Melayu.

Juga, kaum bukan Melayu atau bukan Islam, mereka tidak harus sewenang-wenangnya menuntut pembesaran kuil, tokong atau rumah ibadat sebagaimana keperluan orang-orang Islam yang mendirikan masjid dan surau.

Pembesaran dan penambahbaikan rumah ibadat tidak disekat sama sekali, tetapi seharusnya dibuat mengikut population atau jumlah penduduk yang bersesuaian.

Berlaku sebuah kampung di Klang, di mana tidak sampai 5 buah keluarga bukan Islam tinggal di situ, menuntut dibuat rumah ibadat untuk mereka. Bukanlah tuntutan ini tidak wajar dan hanya akan membangkitkan sensitiviti orang Melayu/ Islam?

Dan, jika rakyat mengajukan kepada PAS, mengapa pada zaman Umno/BN tuntutan sebegini tidak pernah dilayan, sedangkan pada zaman Pakatan Rakyat dibenarkan tanpa mengambil kira sensitiviti kaum, PAS hanya akan berdiam diri?

Banyak contoh cabaran-cabaran sebegini wujud. Penulis tidak perlu menyenaraikan kesemuanya. Namun apa pun, Tan Sri Khalid seharusnya memperbetulkan keadaan ini segera, jika mahu gabungan Pakatan Rakyat terus utuh.

Menguruskan sebuah negeri maju seperti Selangor bukannya mudah, Khalid adalah orang korporat yang masih memerlukan bimbingan orang-orang politik. Setakat ini, walaupun wujud pelbagai cabaran, kerajaan Pakatan Rakyat terus utuh.

Apapun bebanan Khalid sebagai Menteri Besar Selangor amat besar. Jika Selangor mahu dijadikan asas perkongsian kuasa yang adil, Dato' Seri Anwar harus memberikan sedikit lebihan tumpuan kepadanya._

Kerajaan BN terus tekan kehidupan rakyat
Saidah Hairan

KLANG - Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Mariah Mahmood sedih dan kesal dengan tindakan kerajaan BN yang terus mahu menekan kehidupan rakyat dengan menaikkan tambang bas ekspres yang akan diumumkan sebelum hari raya Aidilfitri

Menurut beliau, kenaikan tambang bas ekspres itu sudah dijangka ekoran harga minyak petrol dan diesel yang naik terlalu tinggi.

Beliau yang ditemui dalam majlis bersama rakyat Dun Taman Sri Andalas, Klang sedih dengan nasib kehidupan rakyat yang sudah terhimpit dengan kenaikan harga minyak kini ditambah dengan harga tambang bas ekspres.

Mesyuarat Majlis Inflasi Negara meluluskan permohonan Persatuan Bas Seluruh Malaysia untuk menaikkan kadar tambang tetapi bukan kenaikan 100 peratus.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Dato' Noh Omar berkata kenaikan itu akan dibuat dalam masa terdekat.

Bagaimanapun, katanya peratusan kadar kenaikan yang dibenarkan akan diumumkan kelak.

Mengulas kenaikan tambang bas itu Dr Mariah berkata, golongan wanita merupakan orang yang lebih tertekan kerana mereka terpaksa mengambil langkah lebih berjimat untuk perbelanjaan harian.

"Saya minta golongan wanita supaya membuat keutamaan dalam berbelanja menjelang hari raya dan utamakan persekolahan anak-anak," jelasnya.

Apa yang lebih memilukan kata beliau, rakyat yang miskin akan terus terhimpit dan terseksa kerana mereka memang tidak boleh berjimat sebagaimana yang disarankan oleh kerajaan BN.

Beliau berkata, dalam sidang Dewan Rakyat, pihaknya sudah mengetengahkan nasib rakyat jika kerajaan tidak berusaha menurunkan harga minyak.

Ini kerana tambah beliau kesan kenaikan harga minyak akan menyebabkan kos barang-barang keperluan lain bertambah naik dan akan terus menghimpit kehidupan rakyat.

Menurut beliau, jika Singapura boleh menurunkan harga minyak mengapa Malaysia tidak boleh?

Sehubungan itu beliau mendesak kerajaan BN supaya lebih prihatin dengan nasib rakyat dan mendesak supaya harga minyak diturunkan segera. - mns_

19,139 penduduk dapat bekalan air percuma
Johari Jaafar


IPOH - Pengumuman Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Perak sebelum ini akan memberikan air percuma untuk 20 meter padu pertama kepada golongan miskin tegar terbukti apabila 19,139 penduduk miskin tegar dan berpendapatan kurang RM700 akan dapat menikmatinya mulai Ogos ini.

Golongan miskin teger tersebut telah dikenal pasti daripada mereka yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) dan Majlis Agamma Islam dan Adat Istiadat Melayu Perak (MAIAMP).

Menteri Besar Perak Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat Lembaga Air Perak (LAP) di sini kelmarin.

Daripada 19,139 penduduk tersebut, 5,000 daripadanya adalah golongan miskin tegar yang akan dapat menikmati bekalan air percuma pada kadar 20 meter padu pertama.

"Kesan daripada pemberian air percuma itu, keuntungan LAP akan menurun sebanyak RM2 juta setahun," katanya.

Keputusan Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Perak memberikan air percuma kepada golongan miskin tegar adalah kerana kerajaan negeri yang baru mahu berusaha mengurangkan bebanan mereka yang terbabit berikutan kenaikan inflasi, harga barang dan petrol dan sebagainya, katanya.

Menurut beliau lagi, pelaksanaan pemberian air percuma itu akan dijalankan mengikut beberapa fasa kerana ada kemungkinan golongan lain akan dimasukkan sebagai senarai yang layak termasuk mereka yang tinggal di rumah pangsa

"Pemberian air percuma akan disemak dari semasa ke semasa pada setiap enam bulan sekali, kerana itu orang ramai terutama mereka yang mendapat air percuma perlu menggunakan air secara berjimat cermat dan mengelakkan pembaziran.

"Dalam masa sama LAP akan mengambil beberapa langkah perlu bagi mengurangkan kadar air tanpa hasil (NRM) di negeri ini yang dilihat agak tinggi sehingga mencecah 30 peratus," katanya.

Hadir sama pada sidang media itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Kewangan, Infrastuktur dan Kemudahan Awam, Tenaga Air dan Hal Ehwal Bukan Islam, Dato' Nge Koo Ham dan Pengurus LAP Perak, Dato' Mohd Yusof Mohd Isa. - mns_

Tawaran Tajol Rosli tidak bermaruah
Nyza Ayob

KUALA LUMPUR - Generasi Ilmuan Perak United Kingdom Ireland, (GEMARAK) menyifatkan kenyataan bekas Menteri Besar Perak, Dato' Seri Mohamad Tajol Rosli Ghazali menawarkan pembentukan kerajaan baru diantara Umno dan PAS adalah satu bentuk pembelian prisip yang tidak bermaruah

Setiausaha Gemarak, Raja Ahmad Al-Hiss dalam kenyataannya kepada Harakahdaily mengangggap sebagai sebuah badan non-partisan, Gemarak mengalu-alukan sebarang bentuk perbincangan dan pertemuan kerajaan negeri untuk kebaikan rakyat negeri Perak khususnya.

Bagaimanapun katanya, Gemarak melihat mandat dan amanah yang diberikan oleh rakyat perlulah diselenggarakan secara berhemah dan teliti.

Jelasnya, keputusan Pilihan raya Umum ke-12 baru-baru ini jelas menzahirkan suara rakyat Perak apabila Dato' Seri Nizar mendapat sebanyak 442,660 undi DUN (52.45%) berbanding Barisan Nasional yang memperolehi 399,565 undi DUN (47.34%). Manakala undi di peringkat Parlimen, Pakatan rakyat memperolehi 449,193 undi (53.32%) berbanding Barisan Nasional 391,461 undi (46.47%).

Keputusan tersebut katanya sangat jelas menunjukkan rakyat Perak berkehendakkan Pakatan Rakyat yang didukungi oleh PAS, KeADILan dan DAP sebagai kerajaan untuk memimpin mereka selepas pilihan raya tersebut.

"Walaupun demokrasi membenarkan sebarang bentuk perbincangan dan perundingan. Namun demokrasi ala-Malaysia perlulah diselangi dengan asas akhlak dan prinsip perjuangan.

"Kerajaan Pakatan Rakyat perlulah menilai mandat rakyat yang berani membuat perubahan ekslusif baru-baru ini. Pilihan rakyat Perak untuk menjadi rakyat di bawah Kerajaan Pakatan Rakyat juga mendapat perkenan Ke bawah Duli Sultan Perak, selaku pemerintah Negeri Perak,"katanya.

Sehubungan itu katanya, Gemarak berharap para pemimpin kerajaan Pakatan Rakyat Perak perlulah sentiasa berwaspada akan mandat yang diberi oleh rakyat untuk bersama kerajaan Pakatan Rakyat.

Pada 28 Julai lalu, Tajol Rosli yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri Perak menawarkan kepada PAS cadangan untuk menubuhkan kerajaan negeri di Perak yang jika dapat direalisasikan bakal menjadi simbol perpaduan politik Melayu dan Islam.

Beliau menyatakan, Umno juga bersedia menerima wakil PAS sebagai Menteri Besar Perak yang mana beliau sendiri tidak akan memegang sebarang jawatan dalam kerajaan kerana tidak mahu dikata hendak menguasai pentadbiran negeri.

Menurut beliau, Perak boleh menjadi medan terbaik untuk PAS dan Umno memulakan kerjasama antara kedua-dua parti itu memandangkan penduduk negeri ini terdiri daripada pelbagai kaum berbanding Kelantan yang majoriti penduduknya adalah orang Melayu.

Kenyataan Tajol rosli itu menerima bantahan banyak pihak. - mks. _

Selasa, 29 Julai 2008

50 ahli Umno Jelutong keluar parti
Malaysiakini


Seramai 50 anggota Umno bahagian Jelutong hari ini mengumumkan keluar parti kerana kecewa dengan pembubaran 17 cawangan di bahagian itu baru-baru ini.

Anggota dari cawangan Kampung Paya, Ahmad Din yang mewakili kumpulan itu, mendakwa tindakan Umno Pulau Pinang menutup cawangan itu dilakukan tanpa usul periksa.

"Kami kesal kerana mereka (Umno Pulau Pinang) menutup cawangan kami tanpa usul periksa," katanya dalam laporan Bernama.

"Kami kesal kerana mereka (Umno Pulau Pinang) menutup cawangan kami tanpa usul periksa dan Datuk Azhar Ibrahim (Setiausaha Badan Perhubungan Umno negeri) menipu pemberita mengatakan beliau telah menyiasat keanggotaan cawangan terlibat dengan menghantar surat kepada anggota cawangan tersebut," dakwanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahmad mencabar Azhar untuk menunjukkan surat itu, beserta bukti penghantaran dan cop tarikh surat yang didakwa dihantarnya kepada anggota cawangan itu.

Majlis Tertinggi Umno yang bermesyuarat tiga minggu lepas memutuskan membubarkan 17 cawangan Umno bahagian Jelutong berikutan pelbagai masalah termasuk anggota yang tidak wujud walaupun nama mereka ada dalam senarai cawangan berkenaan.

Malah Azhar sebelum ini menjelaskan pembubaran cawangan terbabit bagi memulihkan bahagian itu berikutan pelbagai masalah termasuk keanggotaan dan penyelewengan.

Berikutan keputusan Umno untuk membubarkan 17 cawangan itu, kesemua cawangan yang terlibat pada 15 Julai lepas telah mendesak MT Umno menarik balik pembubaran tersebut dalam tempoh seminggu.

"Sekiranya MT tidak menghiraukan desakan ini, kami yang mempunyai seramai 4,000 anggota akan menentukan arah mana halatuju politik kami dan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan mahkamah," kata bekas Naib Ketua Umno Bahagian Jelutong Syed Hussin Syed Mohamed.

Sebelum ini, Umno bahagian Jelutong mempunyai 42 cawangan dengan keanggotaan seramai 13,102 orang, dan selepas pembubaran itu ia kini mempunyai 25 cawangan.
Kerajaan Negeri Timbang Longgarkan Syarat Mohon Bantuan Masuk IPT
NOOR ALLIA KASSIM


SHAH ALAM - Kerajaan negeri menimbang untuk melonggarkan syarat bagi permohonan hadiah kemasukan ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT) bermula tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali berkata syarat sedia ada sekarang iaitu pendapatan keluarga pemohon sebanyak RM1,500 ke bawah mungkin dinaikkan sehingga RM3,000.

“Saya sedang mencuba untuk memberikan bantuan pelajaran ini kepada mereka yang mempunyai pendapatan keluarga mencecah RM3,000, ia mungkin tahun depan,” katanya.

Beliau berkata cadangan itu akan dibawa dalam mesyuarat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco).

Katanya, ia mungkin direalisasikan dalam fasa kedua agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) selepas pengenalan beberapa dasar antaranya Tabung Warisan Anak Selangor (Tawas) dan Caruman Takaful Warga Emas.

Bermula bulan ini, kerajaan negeri memberi bantuan RM1,000 kepada pelajar IPT awam dan swasta yang datang dari keluarga berpendapatan RM1,500 ke bawah.

Bantuan itu diberi kepada pelajar yang mengikuti pengajian kali pertama peringkat Diploma dan Ijazah Pertama bagi kemasukan Julai.

Kira-kira 8,500 pelajar dianggarkan layak menerima bantuan melalui peruntukan RM10 juta yang disediakan kerajaan negeri
Empat program bantu usahawan
Sinar Harian


DENGKIL – Empat program yang disediakan oleh Kerajaan Negeri Selangor untuk membantu usahawan di negeri ini dijangka dapat meningkatkan industri perniagaan yang diceburi dan menggelakkan berlakunya kerugian.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pemodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan, Yaakob Sapari berkata, program ini melibatkan mereka yang baru menunjukkan minat untuk menjadi usahawan dan juga usahawan yang sedia ada di negeri ini.

“Bagi mereka yang belum berniaga, mereka perlu menyertai seminar sehari yang dinamakan Program Pembudayaan Keusahawanan (PPK),” katanya sewaktu ditemui selepas merasmikan Majlis Gotong-royong, Hari Keluarga dan Sukaneka, Taman Dengkil Jaya, di sini semalam.

Beliau berkata, mereka yang menyertainya akan diberi pendedahan dan motivasi mengenai keusahawanan serta diberi ujian psikologi.

“Mereka yang berjaya dalam ujian ini akan dibawa ke Program Pembangunan Usahawan (LPU) selama seminggu dan bagi yang gagal akan diberi projek perniagaan kecil-kecilan.

Menurut Yaakob lagi, pada program tersebut, mereka perlu mengenal pasti bidang perniagaan yang diminati dan perlu mengikuti program mentor mentee selama enam bulan hingga setahun sebelum mereka yang berjaya diberi tunjuk ajar.

“Program-program ini dilakukan dalam jangka masa yang panjang bagi mengurangkan kelemahan yang ada pada bakal usahawan kerana berdasarkan pengalaman kita, ramai yang gagal berniaga dalam tempoh dua tahun,” katanya.

Yaakob yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Anggerik berkata, mereka yang dilatih ini akan dilepaskan secara perlahan-lahan untuk menguruskan perniagaan mereka.

Beliau berkata, bagi mereka yang sudah bergelar usahawan pula, terdapat program yang disediakan untuk meningkatkan perniagaan mereka dengan memberi pelbagai kursus kemahiran seperti kursus pengurusan, pemasaran dan perakaunan.

“Bagi usahawan yang sudah berjaya ke peringkat global, kerajaan negeri akan membantu mereka meningkatkan perusahaan dengan mencari peluang pasaran yang lebih luas dan menjadikannya berstandard antarabangsa.

“Kerajaan negeri juga akan menyediakan jaringan kepada industri kecil yang ada dengan pasaran bagi meningkatkan perniagaan mereka,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Yaakob berkata, ‘Ops Statik’ yang dilancarkan pada 23 Julai lalu bagi mengekang kes kecurian pasir di negeri ini berjaya mencapai objektif yang diharapkan.

“Laporan yang diperoleh amat menggalakkan dan aktiviti mencuri pasir didapati menurun dengan banyak,” katanya.

Beliau juga berkata, pengawalan kes kecurian pasir ini hanya dapat dibendung sekiranya amalan rasuah tidak berlaku dan ‘Ops Statik’ yang dilancarkan adalah bertujuan bagi mengawal aktiviti ini.

Isnin, 28 Julai 2008

Doktor: Tiada kesan Saiful diliwat
Malaysiakini


Tiada bukti Mohd Saiful Bukhari Azlan, yang mengadu diliwat Datuk Seri Anwar Ibrahim, pernah mengalami hubungan seks luar tabie seperti itu - demikian hasil pemeriksaan seorang doktor di sebuah hospital swasta, kira-kira empat jam sebelum membuat laporan polis sebulan lalu.

Menurut salinan laporan perubatan terhadap bekas pembantu Anwar itu, Mohd Saiful ke Hospital Pusrawi mengadu mengalami "tenesmus" - kesukaran dan kesakitan membuang air besar.

Dipercayai pemuda 23 tahun itu mendapatkan rawatan di hospital di Jalan Tun Razak itu kira-kira jam 2 petang pada 28 Jun sebelum diminta ke sebuah hospital kerajaan dan kemudian membuat laporan polis.

Ketika di Hospital Pusrawi, pemuda itu diperiksa oleh Dr Mohamed Osman Abdul Hamid.

Dalam laporannya itu, doktor tersebut menyatakan pesakit itu mendakwa diserang dengan dijolok bahan "plastik" di bahagian duburnya.

Mohamed Osman, seperti tercatat dalam laporannya yang direkodkan pada jam 2.14 petang, mendapati dubur Mohd Saiful "tidak mengalami pendarahan aktif", "tiada kesan ulser atau nanah", dan "tiada kesan koyak atau calar".

Beliau juga menyatakan pemuda itu kelihatan "jaga", "selesa", "tidak pucat" dan tidak menunjukkan sebarang tanda demam.
Empat program bantu usahawan
Sinar Harian


DENGKIL – Empat program yang disediakan oleh Kerajaan Negeri Selangor untuk membantu usahawan di negeri ini dijangka dapat meningkatkan industri perniagaan yang diceburi dan menggelakkan berlakunya kerugian.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pemodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan, Yaakob Sapari berkata, program ini melibatkan mereka yang baru menunjukkan minat untuk menjadi usahawan dan juga usahawan yang sedia ada di negeri ini.

“Bagi mereka yang belum berniaga, mereka perlu menyertai seminar sehari yang dinamakan Program Pembudayaan Keusahawanan (PPK),” katanya sewaktu ditemui selepas merasmikan Majlis Gotong-royong, Hari Keluarga dan Sukaneka, Taman Dengkil Jaya, di sini semalam.

Beliau berkata, mereka yang menyertainya akan diberi pendedahan dan motivasi mengenai keusahawanan serta diberi ujian psikologi.

“Mereka yang berjaya dalam ujian ini akan dibawa ke Program Pembangunan Usahawan (LPU) selama seminggu dan bagi yang gagal akan diberi projek perniagaan kecil-kecilan.

Menurut Yaakob lagi, pada program tersebut, mereka perlu mengenal pasti bidang perniagaan yang diminati dan perlu mengikuti program mentor mentee selama enam bulan hingga setahun sebelum mereka yang berjaya diberi tunjuk ajar.

“Program-program ini dilakukan dalam jangka masa yang panjang bagi mengurangkan kelemahan yang ada pada bakal usahawan kerana berdasarkan pengalaman kita, ramai yang gagal berniaga dalam tempoh dua tahun,” katanya.

Yaakob yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Anggerik berkata, mereka yang dilatih ini akan dilepaskan secara perlahan-lahan untuk menguruskan perniagaan mereka.

Beliau berkata, bagi mereka yang sudah bergelar usahawan pula, terdapat program yang disediakan untuk meningkatkan perniagaan mereka dengan memberi pelbagai kursus kemahiran seperti kursus pengurusan, pemasaran dan perakaunan.

“Bagi usahawan yang sudah berjaya ke peringkat global, kerajaan negeri akan membantu mereka meningkatkan perusahaan dengan mencari peluang pasaran yang lebih luas dan menjadikannya berstandard antarabangsa.

“Kerajaan negeri juga akan menyediakan jaringan kepada industri kecil yang ada dengan pasaran bagi meningkatkan perniagaan mereka,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Yaakob berkata, ‘Ops Statik’ yang dilancarkan pada 23 Julai lalu bagi mengekang kes kecurian pasir di negeri ini berjaya mencapai objektif yang diharapkan.

“Laporan yang diperoleh amat menggalakkan dan aktiviti mencuri pasir didapati menurun dengan banyak,” katanya.

Beliau juga berkata, pengawalan kes kecurian pasir ini hanya dapat dibendung sekiranya amalan rasuah tidak berlaku dan ‘Ops Statik’ yang dilancarkan adalah bertujuan bagi mengawal aktiviti ini.
Umno gagal gugat Pakatan Rakyat – Anwar
Wan Nordin Wan Yaacob


KUALA LUMPUR - Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Dato' Seri Anwar Ibrahim menegaskan, bahawa Umno gagal menggugat muafakat dalama Pakatan Rakyat.

"Semalam di Bandar Tun Razak dan malam ini di Kulim saya memperakui kenyataan sebenar bersabit isu pembentukan Kerajaan Negeri Selangor selesai Pilihan Raya Umum ke-12, 8 Mac lalu.

"Saban hari saya berhubungan terus dengan pimpinan PAS khususnya Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan juga pimpinan DAP. KeADILan, PAS dan DAP tidak berganjak dari ketetapan memperkukuh muafakat Pakatan Rakyat," katanya.

Anwar berkata demikian hari ini dalam satu ulasannya mengenai isu kerjasama Pakatan Rakyat dalam keadaan Umno cuba memecahbelahkan pakatan tersebut.

Justeru itu ujar beliau, Pakatan Rakyat harus waspada dengan muslihat Umno, termasuk dakwaan bekas Menteri Besar Selangor, Dato' Seri Dr Mohd Khir Toyo yang menyelar beliau sebagai penghalang utama ke arah pembentukan kerajaan PAS-Umno di Selangor.

"Ternyata Umno terdesak lemas lantaran pergelutan dalaman dan kegagalan mengatasi kemelut politik dan kegawatan ekonomi," tegas Anwar.

Perlu dijelaskan bahawa sehingga kini beliau tidak dapat mengesan sebarang langkah atau kenyataan dari pimpinan ketiga parti induk Pakatan Rakyat yang boleh ditafsirkan sebagai keretakan, katanya.

"Malah dalam perbualan telefon saya pagi Ahad (27 Julai) dengan Ustaz Hadi Awang, saya singkap perundingan di antara kami dan DAP tatkala memutuskan cadangan perlantikan Tan Sri Khalid Ibrahim selaku Menteri Besar Selangor," ujar Anwar lagi.

Ketika itu Tuan Guru Abdul Hadi menghubunginya, Anwar menolak desas desus dan menegaskan bahawa beliau telah pun mengirim faks mengesahkan keputusan PAS menyokong pencalonan Tan Sri Khalid.

Justeru Anwar mengulangi kenyataannya bahawa kerjasama dalam Pakatan Rakyat sehingga kini tidak menunjukkan sebarang keretakan, malah Umno sebenarnya gagal menggugat pakatan. _
Pengusaha Restoran Di Selangor Dibenarkan Letak Meja Di Luar Kedai


SHAH ALAM -- Semua pengusaha restoran di Selangor dibenarkan meletak meja di kawasan kaki lima dan tempat letak kereta di depan kedai berikutan kecenderungan rakyat negara ini yang lebih gemar makan di tempat terbuka.

Bagaimanapun, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan Selangor, Ronnie Liu berkata pengusaha restoran perlu memohon dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di kawasan masing-masing terlebih dahulu serta mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan.

"Kita telah ambil keputusan untuk benarkan tetapi setiap pekedai kena buat permohonan kepada PBT masing-masing dengan syarat-syaratnya seperti menjaga keselamatan pelanggan dan kebersihan kawasan masing-masing," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat exco kerajaan negeri di sini petang ini.

Ronnie berkata pada 2005, kerajaan negeri sebelum ini pernah menetapkan garis panduan untuk memberi peluang pengusaha restoran meletakkan meja dan kerusi di luar kedai tetapi mengehadkannya kepada restoran yang terletak di unit tepi bangunan.

Dalam perkembangan lain, Ronnie berkata kerajaan negeri memberi tempoh sebulan kepada pemilik kabin yang dibina secara haram di atas padang atau padang permainan di kawasan perumahan untuk mengosong atau merobohkan bangunan masing-masing.

Ini kerana, banyak kabin dibina secara haram tanpa kelulusan PBT terutama oleh parti-parti politik yang menjadikannya sebagai pusat khidmat masyarakat, katanya.

"Mengikut undang-undang dan peraturan sedia ada, ianya jelas bahawa tiada sesiapa yang berhak untuk membina apa jua struktur binaan tanpa kebenaran PBT. Jadi kita tegaskan bahawa kita akan ambil tindakan jika kita dapati masih ada pemilik kabin yang enggan mengosongkan tempat masing-masing," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin negeri, Dr. Xavier Jayakumar berkata kerajaan negeri akan memperluaskan sistem demerit restoran yang sebelum ini diperkenalkan dalam kawasan Majlis Bandaraya Shah Alam ke kawasan PBT lain di Selangor.

Beliau berkata ia bagi membolehkan semua restoran di negeri itu dinilai secara seragam dalam usaha memastikan setiap pengusaha restoran menyediakan makanan serta minuman yang bersih kepada pelanggan.

"Jika ada restoran yang mencatatkan demerit tinggi, perkhidmatan mereka akan digantung," katanya.

Sementara itu, Xavier meminta Kementerian Kesihatan menambah perbelanjaan untuk hospital di negeri itu berikutan pertambahan jumlah pesakit sejak akhir-akhir ini ekoran kenaikan harga minyak.

"Dulu kalau 70 peratus penduduk ke hospital kerajaan untuk rawatan tetapi sekarang kita lihat ada kenaikan kira-kira 10 peratus. Jadi kita nak minta kerajaan pusat untuk meningkatkan perbelanjaan untuk hospital di semua tempat sebab kita nampak sekarang peruntukan itu tidak mencukupi," katanya.-- BERNAMA
Selangor peruntuk RM30 juta carum insurans warga emas
Ramli Yamat


BESUT - Kerajaan Selangor memperuntukkan sebanyak RM30 juta sebagai pendahuluan bagi menubuh tabung insurans kematian kepada warga emas di negeri tersebut.

Pengarah Strategik KeADILan, Saifuddin Nasution Ismail berkata, kerajaan negeri berkenaan bersetuju mengikut jejak langkah Kelantan bagi membiayai insurans kematian kepada 371,800 warga emasnya melalui Takaful Kifalah.

Katanya, bagi menjayakan pelan insurans tersebut, kerajaan Selangor telah memintanya dan pegawai Tabung Amanah Tok Kenali memberi tunjuk ajar kepada kerajaan Selangor.

“ Kerajaan Selangor menaruh kepercayaan penuh kepada saya dan pegawai Tabung Amanah Tok Kenali untuk menubuh tabung yang serupa di negeri itu memandangkan kejayaan kami di Kelantan,” katanya pada satu program di sini.

Saifuddin yang juga bekas Pengerus Tabung Tok Kenali berkata, peruntukan yang dilulus kerajaan Selangor banyak berbanding pendahuluan RM1 juta disediakan kerajaan Kelantan ketika menubuhkan Tabung Amanah Tok Kenali.

“ Walaupun peruntukan pendahuluan hanya RM1 juta, namun kami dapat menguruskanya dengan baik untuk faedah 97,682 warga emas di negeri Kelantan,” katanya yang juga anggota parlimen Machang.

Katanya, peruntukan besar disediakan kerajaan Selangor membuktikan kerajaan terbabit mengambil berat soal kebajikan rakyatnya khususnya warga emas.

Kerajaan Kelantan mewujudkan Takaful Kifaalah sejak dua tahun lalu di mana pampasan sebanyak RM2,500 dibayar kepada pencarum yang meninggal dunia. - mj

Ahad, 27 Julai 2008

Islam Hadhari: Satu konsep yang mengeliru dan mengugat akidah umat Islam Malaysia
Oleh Tuan Guru Haji Abdul Hadi


Latarbelakang - Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi telah memperkenalkan dan mempelopori satu gagasan baru kepada rakyat Malaysia sejak tahun 2003, yang dinamakan sebagai Islam Hadhari, atau dalam bahasa Melayunya "Islam Bertamaddun". Islam Hadhari atau Islam Bertamaddun mempunyai rukun-rukunnya tersendiri yang baharu berjumlah 10 kesemuanya. Islam asal yang diturunkan Allah swt melalui RasulNya Nabi Muhammad saw pula mempunyai 6 rukun.

Niat dan matlamat sebenar Islam Hadhari menjadi keliru sejak awal lagi. Nama nya yang bermaksud Islam Bertamaddun menggambarkan seolah-olah ianya adalah Islam yang baharu yang lebih bertamaddun dari Islam Al Quran yang asal. Ianya tambah mengelirukan kerana mempunyai rukun yang tidak sama dengan rukun Islam asal.

Permasalahan

Islam Hadhari sejak penubuhannya lebih banyak membawa kekeliruan dan masalah kepada pemahaman Islam di kalangan rakyat. Bukan sahaja mereka yang bukan Islam bertambah menjadi sangat keliru, mereka yang beragama Islam, khususnya golongan muda dan mereka yang tidak berpendidikan tinggi menjadi kelam kabut. Antara perkara-perkara yang membawa kekeliruan ini ialah:


1. Penerusan Malaysia sebagai pusat pengeluaran arak, perjudian,dan lumba kuda terbesar di Asia Tenggara. Kegiatan-kegiatan ibu kemaksiatan ini terus berkembang dan dilesenkan oleh pentadbiran Islam Hadhari.

2. Konsert dan program hiburan yang melampau secara "live" dan melalui media massa meningkat lebih 100% sejak Islam Hadhari dilancarkan.

3. Isu murtad. Bilangan orang-orang Islam yang mengisytiharkan keluar dari Islam (murtad) secara rasmi meningkat dari tahun ke tahun. Setakat belum ada sebarang inisiatif dari pentadbiran Islam Hadhari untuk mengekang masalah dan menjaga kemurnian akidah rakyat secara jelas. Bahkan cadangan PAS di parlimen ditolak mentah-mentah.

4. Gejala maksiat dikalangan pimpinan. Kebejatan moral yang begitu parah di kalangan pimpinan kerajaan UMNO/BN sendiri, khasnya dari mereka beragama Islam yang diketahui umum tidak menggambarkan kesungguhan diperingkat tertinggi dalam menghayati Islam hadhari.

Penegasan dan Gesaan

Cara Islam Hadhari diperkenalkan, kandungannya yang kosong, perlaksanaan yang terlalu bercelaru, sokongan kepimpinan sendiri yang tidak lebih dari tepian bibir mulut, pertentangan secara jelas dengan syariat dan akidah Islam ajaran Al Quran, benar-benar telah mengelirukan rakyat. Bahkan ia juga mudah membawa kepada kegelinciran aqidah Islam sebenar.

Dengan demikian, PAS dan rakyat Islam yang perihatin serta menyintai kemurnian akidah dan syariat Islam dengan tegasnya menggesa agar rakyat Malaysia seluruhnya menolak segala usaha yang membawa kepada kekeliruan dan kerosakan aqidah dan kembali kepada Islam yang sebenarnya.
Dolah & Najib Takut Jumpa Akhbar
Ibnu Khuzaimah


Mengapa Presiden UMNO Dolah Badawi dan Timbalannya Najib melarikan diri dari akhbar selepas mesyuarat Majlis tertinggi UMNO semalam?

Adakah malu untuk menjawab mengapa PAS menolak jemputan mereka untuk bermuzakarah?

Kali ini UMNO cuba atas nama Islam. Lupakan sekejap isu perpecahan Melayu. UMNO masih mahu, mengajak PAS, bagai hidung tak mancung pipi tersorong-sorong? Aduhai, ibarat calar diurut air garam! “Rejection is surely painful”.

Apakah Dolah dan Najib juga malu besar bila suara antarabangsa melempar ke muka Dolah dan Najib supaya berpegang kepada prinsip “rule of law” dalam konspirasi liwat Anwar Ibrahim?

“Paaap!”. Seperti tamparan tepat ke muka. Malaysia tidak akan mampu untuk menolak pandangan antarabangsa kecuali ia duduk dalam liga yang sama dengan Myammar atau Zimbabwe.

Oh, Najib! Adakah bimbang jadi gabrah bila ditekan oleh akhbar/press akan pendedahan terbaharu Raja Petra bahawa Najib dan Saiful Bukhari telah merancang tuduhan sodomi terhadap Anwar? Pasti Najib akan gabrah bila bertalu-tallu diminta komen bahawa RPK punya rakaman video berkaitan perjumpaan Najib dan Saiful. (ada saksi lain).

Jarang sekali dua tokoh besar parti dan pemimpin utama negara menghindari press selesai sahaja mesyuarat. Malahan biasanya suka benar bila dinanti pihak akhbar selepas mesyuarat.

Melewati akhbar sama tidak menghormati kehadiran mereka yang sentiasa menanti tak kira waktu untuk memberi liputan. Biasanya mesyuarat MT UMNO bermula bermula awal malam dan berakhir tak tahu masanya malahan hingga jam 1 pagi pun ada. Saya arif benar kerana pernah mengalaminya.

Waktu menanti inilah para jurnalis berkumpul, bergosip dan mengemaskini sesama rakan akan perkembangan semasa. Dalam senario kini, mereka menanti apakah rencana kepala-kepala negara untuk memperlekeh dan memperbodohkan rakyat jelata.

Entah apa strategi/rahsia besar mereka masakini sehinggakan mereka tiada apa yang hendak dikatakan setelah bermesyuarat panjang kecuali “no comment” dan cabut lari?

Harapan kita, mereka segera keluar dan dinyahkan dari kehidupan rakyat Malaysia secepat mereka mencari pintu dengan frasa “no comment”
Selangor terap budaya cintakan ilmu melalui Pesta Buku
Harakahdaily


KUALA LUMPUR - Kerajaan negeri Selangor menjadikan Pesta Buku Selangor 2008 yang dibuka dengan rasminya hari ini sebagai wadah berguna untuk menanam budaya cintakan ilmu di kalangan masyarakat setempat.

Pesta ini adalah usaha proaktif kerajaan negeri dengan kerjasama Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) dan beberapa agensi kerajaan antaranya Jabatan Pelajaran Negeri, Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri, Majlis Buku Kebangsaan Malaysia, Jabatan Penerangan, Majlis Buku Kanak-kanak dan Remaja Malaysia dan pelbagai agensi yang lain.

Ketua Bahagian Maklumat dan Penyelidikan PPAS Sarwani Abdul Jalal dalam satu laporan Bernama hari ini berkata, pesta buku seumpama ini merupakan medium terbaik dalam usaha membudayakan masyarakat berilmu di Selangor khususnya.

Pesta Buku ini akan berlangsung selama 10 hari di Kompleks PKNS Shah Alam dari 10 pagi hingga 9 malam dan majlis perasmian dijangka disempurnakan oleh Menteri Besar Selangor Tan Sri Abd Khalid Ibrahim hari ini./wann _
Persefahaman dengan bukan Islam demi perpaduan
Ekmal Yusof


IPOH - Presiden PAS, Tuan Guru Dato' Seri Abdul Hadi Awang berkata, PAS bersedia mengadakan persefahaman dengan rakan-rakan bukan Islam demi perpaduan.

Persefahaman itu katanya berpandukan kepada spiritual dan kerohanian serta kesucian Islam yang dituntut oleh Allah.

"PAS bersedia mengadakan persefahaman dengan rakan-rakan berlainan ideologi dan berlainan agama dengan kita," tegasnya semasa berucap merasmikan Konvensyen PAS Perak Ke-13 di Dewan Orang Ramai Rapat Setia dekat sini semalam.

Beliau memetik firman Allah, "Allah tidak menghalang kamu untuk berbuat baik kepada orang-orang bukan Islam yang bersikap baik kepada kamu. Yang tidak menghalau kamu dan yang tidak memusuhi kehidupan kamu".

Sehubungan itu tegas beliau, hendaklah berlaku adil dengan mereka dengan sebaik-baiknya.

"Dengan dasar-dasar inilah PAS mengadakan persefahaman, pemufakatan yang diluluskan oleh Majlis Syura Ulama, untuk mengadakan persefahaman dengan parti-parti lain walau pun berbeza ideologi, kefahaman kehidupan dan agama tetapi disana ada titik persamaan," jelasnya./wann _

Sabtu, 26 Julai 2008

Liwat: Rice bertegas isu Anwar bukan isu dalaman, mahu ditangani telus
MSTAR ONLINE


KUALA LUMPUR: Dalam perkembangan yang kemungkinan menyinggung Malaysia sekali lagi, Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Condoleezza Rice hari ini menggesa Malaysia supaya bertindak telus dan mematuhi lunas undang-undang apabila mengendalikan tuduhan meliwat, yang kedua membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam tempoh 10 tahun.

"Amerika Syarikat telah lama bercakap (mengenai isu ini) dan akan terus bercakap mengenai kes-kes yang kami merasakan perlu disentuh dari segi kedudukan politik," kata Rice yang berada di Singapura untuk menghadiri persidangan keselamatan serantau sempena Mesyuarat Menteri-menteri Luar ASEAN.

"Kami hendak melihat ketelusan dan undang-undang dipatuhi sepenuhnya di sini," kata beliau hari ini.

Beliau yang dipetik AP menambah, AS sentiasa bercakap mengenai hak asasi manusia dan politik tetapi dilakukan dalam semangat menghormati Malaysia.

Dalam ulasannya itu Rice menolak pendirian tegas Malaysia bahawa kes Anwar adalah isu dalaman negara ini.

"Amerika Syarikat tidak menganggap ini sebagai hal ehwal dalaman apabila keadaan seperti ini muncul, tetapi kami akan terus bekerjasama dengan Malaysia," katanya.

Ia merupakan respons Rice yang pertama sejak Malaysia mengemukakn nota bantahan kepada AS awal bulan ini ekoran campur tangannya dalam isu terbaru Anwar ini.

Pada 4 Julai lalu, Rais berkata,Kementerian Luar telah menghantar surat bantahan kepada Jabatan Negara Amerika Syarikat.

Menurut Rais, surat yang dikeluarkan oleh Wisma Putra itu telah dihantar kepada Rice.

Surat tersebut dihantar bagi menyatakan rasa dukacita Kuala Lumpur berhubung kenyataan yang dibuat oleh jurucakap Jabatan Negara Amerika Syarikat, Tom Casey mengenai dakwaan liwat ke atas Anwar.

Kelmarin Anwar telah memberi taklimat kepada 38 orang duta asing berhubung dakwaannya bahawa kerajaan Malaysia mahu mengekang penglibatannya dalam politik.

Semalam laporan Bernama yang memetik Menteri Luar Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, AS bersetuju dengan pandangan Malaysia berkenaan kedaulatan undang-undang.

"Sewaktu mesyuarat dengan Amerika Syarikat hari ini, Malaysia membangkitkan fakta bahawa kami mengiktiraf peranan Amerika Syarikat sebagai kuasa dunia dan kami menghargai apa yang diberikan dari segi bantuan, dan apa yang bermakna kepada kebebasan, persamaan, demokrasi dan sebagainya.

"Bagaimanapun kami menekankan kepada kedaulatan undang-undang - sistem di setiap negara yang perlu dihormati. Ini kami nyatakan dengan jelas kepada Setiausaha Negara Amerika (Dr Condoleeza) Rice dan beliau memberi maklum balas dengan berkata itu adalah hak setiap negara dan demokrasi mestilah dilihat dilaksanakan berdasarkan hak sesebuah negara," katanya.
Gerak-geri Anwar di IPK KL dirakam, peguam pertikai tindakan polis
Oleh ZANARIAH ABD MUTALIB


KUALA LUMPUR: Peguam Datuk Seri Anwar Ibrahim, R. Sivarasa mendakwa, gerak-geri Anwar ketika beliau ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur pada 16 Julai lalu telah dirakamkan menggunakan kamera video dan melalui kamera litar tertutup.

Sivarasa berkata, ketika beliau mengiringi Anwar yang dibawa polis ke tingkat tujuh IPK tersebut, beberapa anggota polis telah merakam gerak-geri Anwar menggunakan kamera video.

“Menurut Datuk Seri Anwar sendiri, mereka turut merakam pergerakan beliau di dalam lokap termasuk ketika beliau sedang bersembahyang dan hendak ke bilik air.

“Malah, di dalam lokap itu juga ditempatkan beberapa kamera litar tertutup (CCTV) bertujuan merakam gerak-geri Datuk Seri Anwar ketika beliau bermalam di dalam lokap tersebut,” katanya kepada media selepas memberi keterangan berhubung akuan bersumpah P. Balasubramaniam di Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, di sini, hari ini.

Sivarasa berkata, rakaman itu turut dilakukan sehingga Anwar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk menjalani pemeriksaan.

Bagaimanapun, mereka tidak menjalankan rakaman ketika pemeriksaan kesihatan itu terhadap Anwar dijalankan.

Sivarasa berkata, tindakan merakam gerak-geri Anwar menimbulkan banyak persoalan kerana pihaknya tidak akan membuat apa-apa tuduhan jika pihak polis tidak melakukan apa-apa kesalahan termasuk keganasan terhadap Anwar.

“Dulu Anwar dipukul... mengapa polis rasa tidak selamat? Itu pun (rakaman video) nampak keterlaluan kerana tidak patut sampai ke bilik air pun, ada kamera yang mengikut,” katanya.

“Saya tidak tahu kenapa ia dilakukan kerana sepanjang 21 tahun menjadi peguam, saya tidak pernah dengar ada tahanan yang dirakam pergerakannya di dalam lokap.

“Kini saya dapat tahu pula, lokap di tingkat tujuh itu telah dikosongkan pada tengah hari Anwar ditahan kerana sehari sebelum itu, semua lokap di tingkat tersebut berpenghuni.

“Lokap itu tetap dikosongkan walaupun pihak polis telah memberi jaminan Anwar akan dilepaskan dengan jaminan polis pada hari yang sama,” katanya.

Selain itu, katanya, menurut sumber dalaman polis yag enggan didedahkan beliau, sekumpulan pasukan forensik polis telah masuk ke lokap tempat Anwar bermalam bagi mengumpul kesan-kesan yang ditinggalkan bekas timbalan Perdana Menteri itu.

“Kita dapat tahu pasukan forensik telah masuk ke lokap Anwar ditahan dan menyapu kesan-kesan yang ditinggalkannya seperti rambut, sel kulit dan sebagainya.

“Apa relevannya mereka (polis) melakukan demikian? Saya percaya tujuan Anwar ditahan semalaman bukanlah kerana beliau perlu memberi kenyataan tambahan keesokan harinya tetapi kerana polis mahu mendapatkan kesan-kesan itu,” katanya.

Sivarasa berkata, jika kesan yang didapati dari lokap itu digunakan sebagai bukti di mahkamah, beliau akan membantahnya kerana ia diambil secara tidak sah dan kemungkinan telah bercampur dengan kesan-kesan penghuni lain sebelum ini.

Ketika ditanya sama ada beliau akan menyuarakan hal itu kepada polis, Sivarasa berkata, beliau tidak akan berbuat demikian kerana polis tahu apa yang dilakukan mereka.

"Bagaimanapun, kita akan beritahu kepada orang ramai melalui ceramah-ceramah yang dianjurkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengenai apa yang telah dilakukan kepada Anwar ini. Biar rakyat menilai," katanya.

Pada pukul 1 petang 16 Julai lalu, Anwar telah ditahan polis kira-kira 50 meter dari rumahnya dan kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur untuk disoal siasat bermula pukul 2.50 petang.

Pada pukul 8.35 malam, Anwar yang disoal siasat di Tingkat 7 IPK, dibawa oleh polis ke HKL untuk menjalani ujian DNA di Wad Diraja hospital itu. Bagaimanapun, Anwar menolak untuk diambil sampel darahnya bagi tujuan itu sebaliknya hanya bersetuju dilakukan pemeriksaan biasa tanpa melibatkan pengambilan sebarang sampel.

Anwar bebaskan keesokan harinya dengan jaminan polis kira-kira pukul 9.45 pagi selepas ditahan hampir 21 jam di IPK.

Anwar kini berdepan dengan dakwaan oleh bekas pembantunya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan, 23, yang dia diliwat oleh bekas majikannya itu.

Pada 28 Jun lalu, Mohd. Saiful membuat laporan di Pondok Polis HKL, mendakwa Anwar meliwatnya beberapa kali termasuk kali terakhir di sebuah kondominium di Damansara, dua hari sebelumnya.

Jumaat, 25 Julai 2008

Muzakarah tenggelamkan isu minyak, pembunuhan Atantunya
Ustaz Idris Ahmad


Bijak sungguh media perdana melarikan isu rakyat. Semua orang bercakap isu muzakarah. Kalau dulu sambil bubuh minyak, ada maki Umno-BN, kerana minyak mahal. Kadang-kadang penjaga pam yang tidak berdosa pun kena marah kerana minyak mahal. Dia tidak berdosa yang berdosanya pemimpin dan orang yang mengundi BN kerana pemimpinnya telah menindas rakyat dan mencekik darah rakyat.

Memang pemimpin Umno ini daripada awal lagi tidak boleh percaya. Sejarah pengkhianatan Umno pada Islam dan Melayu amat banyak. Umno yang sudah berumur 62 tahun, kalau ikut umur umat Nabi Muhammad s.a.w. nampaknya umurnya semakin hujung usia.

Umno lemas sekarang, kalau ada buaya di depan pun ia akan berpaut. Ia memerlukan talian hayat kerana nyawa sebenarnya sudah tidak ada. Umno menghidap penyakit kritikal, kencing manis, darah tinggi, jantung, gaut. Sudah nazak, untuk ditalkin sahaja.

Apa yang berlaku pada hari ini adalah mainan media yang menjadi kuda tunggangan Umno untuk menghancurkan perpaduan parti dan menimbulkan rasa curiga di kalangan Pakatan Rakyat. Mereka cuba menimbulkan keraguan supaya Pakatan Rakyat berpecah sesama sendiri.

Akhbar dan media perdana melaporkan (20 Julai), Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi mendedahkan ada tiga kali pertemuan dengan pimpinan tertinggi PAS membincang masalah Islam dan Melayu.

Maka malam 20 Julai, Harakahdaily menyiarkan kenyataan Presiden PAS memang ada pertemuan selepas PRU ke-12 yang diwakili oleh YB Timbalan Presiden, Ustaz Nasharudin Mat Isa; Dato’ Mustafa Ali (Ketua Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat) dan YB Khalid Samad iaitu Timbalan Pesuruhjaya Selangor.

Persoalannya kenapa Abdullah mendedahkan perkara ini kepada media. Apa perlu beliau membuat kenyataan ini. Daripada awal lagi kita sudah melihat pemimpin Umno tidak jujur. Di sini kita boleh andaikan bahawa tujuan dia untuk memecahbelahkan perpaduan Pakatan Rakyat dan menimbulkan kerisauan pengundi PAS yang kononnya PAS hendak masuk BN.

Presiden Umno juga hendak menunjukkan kepada rakyat walaupun nampak lembik macam tidak cukup zat besi, "Aku berjaya menundukkan PAS yang boleh dianggap 'Singa Malaya' untuk ikut aku. Maka tertolaklah hujah yang mangatakan aku tidak bermaya seperti yang selalu dihujah oleh musuh politik dalam Umno sendiri."

Saya mengharapkan penyokong PAS dan pengundi PAS, jangan bimbang. PAS bukan parti 'Hasan Putu Mayong' tetapi PAS adalah jamaah yang ada prinsip, rujukan yang kemas dan organisasi yang mantap sehingga ke pelosok kampung.

Sebarang keputusan yang PAS hendak buat, tidak boleh secara peribadi. Ia mesti dirujuk kepada parti dahulu. Setakat artikel ini ditulis tidak pernah sepatah kita bincang untuk masuk BN (wali'yazubillah) dalam mesyuarat PAS Pusat.

Pandangan peribadi tidak boleh diterima dan dipaksa untuk jamaah. Percayalah PAS tidak akan mengkhianat amanah umat. Kita berpegang kepada hadis Nabi s.a.w. "orang Islam berpegang kepada janjinya." Insya-Allah sejarah persahabatan kita dengan orang lain, bukan kita yang meninggalkan kawan.

Saya mengharapkan program menganyang Umno-BN diteruskan. Talian hayat Umno mesti dikerat, bekalan oksigen mesti diputuskan supaya PAS sebagai penggantinya.

Umno jangan cuba untuk jadi juara Melayu dan Islam. Kerana Umnolah menyebabkan pemetaan politik rosak, sistem kehakiman, pengurusan ekonomi jahanam. Ayoh rakyat tumpukan agenda rakyat yang sedang menghimpit rakyat dengan tekanan hidup dengan harga barang keperluan yang naik setiap minit, bukan lagi setiap hari. - lanh
Eksklusif: Bandar Tun Razak?
Wartawan KLpos.com


BERITA terbaru ini boleh dikategorikan sebagai khabar angin. Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim bakal bertanding pada pilihanraya kecil Parlimen Bandar Tun Razak.

Sumber memberitahu KLpos.com Parlimen Bandar Tun Razak yang kini di sandang oleh Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Ijok dikhabarkan akan dikosongkan pada bila-bila masa dari sekarang.

Ini berikutan PKR mahu memberi laluan kepada penasihatnya untuk bertanding di parlimen tersebut.

Menurut sumber dari PKR Bahagian Bandar Tun Razak, mesyuarat tergempar telah pun diadakan beberapa hari lepas bagi membincangkan gerak kerja untuk menghadapi pilihanraya kecil tersebut.

Lebih menguatkan spekulasi tersebut, KLpos.com diberitahu satu ceramah umum Datuk Seri Anwar Ibrahim bakal diadakan pada malam 26 Julai ini (Sabtu) di Desa Petaling, Kuala Lumpur.

"Anwar dijangka akan umumkan penyertaan beliau dalam pilihanraya kecil Parlimen Bandar Tun Razak pada malam itu" kata sumber terbabit.

Pada pilihanraya umum ke-12 8 Mac lalu, calon PKR Khalid Ibrahim berjaya mendapat undi sebanyak 28,123 mengalahkan calon BN dari MCA Datuk Tan Chai Ho yang mendapat undi sebanyak 25,608 dengan majoriti 2,515 undi.

Tan Chai Ho memenangi kerusi parlimen tersebut sejak 1999 dan pada 2004 beliau mengalahkan calon PKR Dr Rosli Ibrahim dengan majoriti 17,527 undi.

Pengundi-pengundi di Parlimen Bandar Tun Razak terdiri daripada 52.7 peratus pengundi Melayu, hampir 40 peratus pengundi Cina dan selebihnya pengundi berbangsa India dan lain-lain.

Anwar sejak 8 Mac lalu sering mengulangi Pakatan Rakyat akan membentuk kerajaan persekutuan pertengahan September ini.

Kulim-Bandar Baharu

Bagaimanapun Malaysiakini melaporkan Anwar Ibrahim tidak menolak kemungkinan bertanding di kerusi parlimen Kulim-Bandar Baharu jika mahkamah memutuskan kemenangan calon PKR tidak sah.

Zulkifli Noordin, yang berkelebihan majoriti 5,583 undi, kini berdepan dengan petisyen pilihanraya daripada calon BN, Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir.

Mahkamah Pilihanraya akan mendengar petisyen itu bulan depan selepas menangguhkan prosiding itu yang asalnya dijadualkan minggu ini.

Menurut mantan timbalan perdana menteri itu, beliau telah membincangkan perkara itu dengan Zulkifli.

Anwar juga sering disebut-sebut bertanding di kerusi asalnya Permatang Pauh yang dimenangi isterinya dan juga presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Bandar Tun Razak (Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim) dan Lembah Pantai (anaknya Nurul Izzah).

Abdul Khalid, kini menteri besar Selangor, juga memenangi kerusi negeri Ijok.

Anwar berkata, belilau juga telah memberitahu pucuk pimpinan PAS dan DAP mengenai perkara tersebut.

Katanya, beliau memutuskan untuk bertanding kerusi Kulim-Bandar Baru tiga minggu lalu sebelum Mahkamah Pilihanraya membuat keputusan Ahad lalu.

Bercakap dalam dalam sidang media di ibu pejabat parti di Petaling Jaya hari ini. Anwar berkata, bagaimanapun, mahkamah telah menangguhkan petisyen itu didengar pada 19 Ogos depan.

Dalam sidang media itu juga, Anwar mengumumkan penyertaan bekas Timbalan Menteri Penerangan, Datuk Fauzi Abdul Rahman dalam PKR.

Perjumpaan Umno-PAS

Anwar juga diminta mengulas mengenai perbincangan antara Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dengan pucuk pimpinan PAS sejak pilihanraya umum lalu.

"Tiada sebab untuk mempersoalkan kepimpinan PAS, mereka mahu kekal dalam Pakatan Rakyat.

"Kerjasama dan komitmen mereka masih kuat dan Pakatan masih kuat," katanya.

Khamis, 24 Julai 2008

Kemahuan ambil alih kerajaan bukan kerana gila kuasa – Anwar
Wan Nordin Wan Yaacob


KUALA LUMPUR - Ketua Umum KeADILan, Dato' Seri Anwar IBrahim berkata, kemahuan Pakatan Rakyat untuk mengambil alih kerajaan bukannya bertunjangkan ketamakan kekayaan dan sifat gila kuasa.

Sebaliknya Pakatan Rakyat komited untuk melaksana agenda perubahan yang menyeluruh meliputi aspek ekonomi, kebudayaan, pendidikan dan politik.

"Rakyat adalah keutamaan kita. Perubahan yang kita perjuangkan adalah demi rakyat seluruhnya, melewati batas kaum dan agama.

"Beberapa hari kebelakangan, media milik Umno-BN sedaya mungkin berusaha untuk mengelirukan rakyat. Dakyah dangkal kononnya Pakatan Rakyat sedang mengalami masalah dipintal sejahat mungkin agar rakyat terpengaruh," ujar Anwar dalam satu ulasannya semalam.

Menurut Anwar, agen-agen anti perubahan ini seperti tidak belajar dari kesilapan lalu dan tidak mengerti bahawa badai besar 8 Mac ialah kemahuan yang kuat agar perubahan terlaksana.

"Tengahari tadi (23 Julai) saya randau dengan lebih 100 pengusaha muda terkemuka negara. Saya mengambil kesempatan ini untuk memperjelas Agenda Ekonomi Baru, menjawab persoalan berkaitan agenda tersebut serta gagasan perubahan Pakatan Rakyat.

"Sudah tentu persoalan pertuduhan fitnah terhadap diri saya juga dibangkitkan. Saya menegaskan, ini merupakan usaha terdesak segelintir yang tidak mengambil berat keadaan negara dan rakyat. Wacana segar terus dipupuk di kalangan mereka yang nyata optimis dengan politik baru yang didukung oleh KeADILan dan Pakatan Rakyat," tegasnya.

Keluh kesah di kalangan mereka, khususnya mengenai tahap pemberdayaan ekonomi yang lemah kini jelas menggambarkan pelaksanaan dasar yang tidak tepat kerana kepimpinan yang tidak wibawa, katanya.

Pastinya yang terus terkesan ialah rakyat yang semakin tersepit dengan kos sara hidup yang semakin meninggi, katanya.

"Biar sehebat mana fitnah diacu terhadap diri saya, namun kita perlu terus istiqamah memandang ke depan, agar rakyat terus menang di akhir persimpangan," ujarnya. _
Khir Toyo berusaha jatuhkan Pakatan Rakyat Selangor
Saidah Hairan


SHAH ALAM - Pendedahan mantan Menteri Besar, Dato' Seri Dr Mohd Khir Toyo yang mendakwa Umno dan PAS Selangor ada usaha pakatan untuk membentuk kerajaan negeri merupakan strategi Umno untuk terus memecahbelahkan sokongan rakyat terhadap Pakatan Rakyat.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor II, Iskandar A. Samad menegaskan, apa perlu Khir mengungkit pertemuan itu kerana PAS bertemu Umno hanya untuk mendengar apa yang dikehendaki oleh Barisan Nasional (BN).

Menurut beliau,pengakuan Khir menunjukkan bahawa beliau hendak memecahbelahkan Pakatan Rakyat sebab Umno sedang dilanda masalah kurang mendapat sokongan daripada orang Melayu.

Sebab itu katanya, Umno menggunakan pendekatan 'muzakarah' untuk menarik PAS berbincang tentang perpaduan Melayu atau Islam.

Beliau menegaskan jika benar Umno ikhlas untuk berbincang perkara tersebut sepatutnya sudah dilakukan ketika Umno mencapai kemenangan besar dalam pilihan raya umum tahun 2004.

"Umno tidak ikhlas untuk membincangkan masalah orang Melayu tetapi muzakarah itu hanya mahu dijadikan medan menaikkan imej Umno supaya mendapat sokongan semula daripada orang Melayu," tegasnya ketika ditemui Harakahdaily di Pejabat Suk semalam.

Iskandar berkata, kononnya selepas pentadbiran Pakatan Rakyat orang Melayu tertindas tetapi jika dilihat banyak polisi-polisi Umno yang meminggirkan orang Melayu.

"Bagaimana dengan polisi perumahan, siapa yang merobohkan masjid dan surau bukankah itu semua kerja Umno?

"Umno tidak layak untuk bercakap soal perpaduan Melayu sebab Umno merupakan parti yang memecahbelahkan perpaduan orang Melayu," katanya.

Beliau berharap sebelum PAS mahu bergabung dengan Umno perlu dilihat sejarah lalu seperti tragedi Memali begitu juga dengan Akta Hasutan Dalam Negeri (ISA) yang membuktikan bahawa Umno sememangnya jahat.

"Sia-sialah pengorbanan kita kalau kita hendak bergabung dengan Umno," katanya.
Mengulas tentang media yang sengaja membesarkan isu muzakarah katanya, memang Umno buat untuk mengucar kacirkan keadaan Pakatan Rakyat.

Sebelum isu muzakarah katanya, Umno membesarkan isu Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang akan dihapuskan oleh kerajaan Pakatan Rakyat di Pulau Pinang tetapi tidak berjaya.

Tambahnya,Umno terpaksa menggunakan isu liwat oleh Ketua Umum KeADILan, Dato' Anwar Ibrahim tetapi menimbulkan banyak masalah dan akhirnya muzakarah dijadikan gelanggang untuk memecahbelahkan kesepakatan Pakatan Rakyat.

Beliau berkata, Umno akan serang satu demi satu untuk melemahkan Pakatan Rakyat dan isu muzakarah merupakan strategi Umno untuk terus memerangkap PAS.

"Ini adalah rentetan perangkap yang sengaja dibuat oleh BN kepada parti -parti komponen dan PAS tidak sepatutnya terpedaya dengan perangkap ini," katanya lagi.

Beliau mengingatkan rakyat khususnya ahli PAS jika hendak mengetahui tentang apa yang berlaku di Selangor tanya dengan orang yang terlibat dalam pentabdiran kerajaan negeri.

"Jangan dengar kata-kata orang luar bahawa berlaku perpecahan dalam Pakatan Rakyat dan PAS dianaktirikan oleh kerajaan. Dengar sendiri daripada exco dan Adun Selangor," jelasnya.

Beliau mendakwa ada pihak yang cuba memberi laporan yang tidak tepat terhadap PAS negeri Selangor dengan mendakwa bahawa PAS telah terpinggir dan sebagainya dalam kerajaan Pakatan Rakyat.

Sehubungan itu Iskandar berharap ahli PAS di Selangor perlu bertenang dan tetap dengan pendirian bahawa sebelum dan selepas pilihan raya ahli PAS Selangor tetap berdiri di belakang Mursyidul Am PAS, Dato' Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat. - mks._
Fauzi antara 3 sertai PKR hari ini
Oleh ARIFFUDDIN ISHAK


KUALA LUMPUR: Tiga pemimpin Umno termasuk seorang bekas timbalan menteri pusat hari ini mengumumkan untuk menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Mereka terdiri daripada Datuk Fauzi Abdul Rahman, bekas Ketua Umno Bahagian Kuantan; Dr. Abdul Hadi Derani, bekas Ahli Parlimen Kota Star dan Datuk Mat Lazim Derani, bekas Timbalan Ketua Bahagian Mentakab.

Pendirian mereka diumumkan pada sidang akhbar di Ibu Pejabat PKR di sini sebentar tadi.

Fauzi merupakan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dari 1997 hingga 1999 ketika era kepimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang turut hadir pada sidang akhbar mengumumkan penyertaan ketiga-tiga mereka berkata, "kehadiran Fauzi akan dapat membantu menguatkan PKR di Pahang dan juga di peringkat pusat."

Anwar juga tidak menolak akan ada pengumuman penyertaan pemimpin Umno yang lain ke dalam PKR kelak.

Fauzi, yang berehat dari politik sejak lima tahun berkata, melihat pada keadaan politik semasa adalah masa yang sesuai untuk rakyat bangun dan mencari perubahan kepada sistem politik dua parti.

“Saya dah berehat panjang dan lihat terlalu banyak perlakuan tidak sihat berlaku dalam negara, kini masa untuk rakyat bangun dan suarakan pandangan mereka,” katanya.

Fauzi turut melahirkan rasa kesal kerana Malaysia sekarang seolah-olah dilihat sebagai sebuah negara polis.

“Bayangkan jika suatu masa nanti anak-anak kita membuat laporan polis mengenai sesuatu jenayah, kemungkinan mereka akan dipukul.

“Mereka juga berkemungkinan akan dipaksa menerima sebarang kenyataan atau tuduhan yang mereka tidak lakukan. Sebab itulah saya putuskan untuk menjadi sebahagian daripada masyarakat reformasi,” katanya.

Ditanya sama ada beliau menyertai PKR kerana merajuk setelah tidak menyandang jawatan dalam Umno, beliau berkata perkara itu tidak timbul.

“Semasa kes dakwaan liwat terhadap Anwar pada tahun 1998, Dr. Mahathir (Perdana Menteri ketika itu) meminta semua menteri, timbalan menteri dan setiausaha parlimen supaya mempercayai dakwaan tersebut.

“Hanya saya yang membantah. Jika saya patuh pada arahan itu, sudah pasti saya sudah dilantik sebagai menteri penuh dan kekal hingga kini,” katanya.
(Dikemas kini)

PAS tolak muzakarah, syor muqabalah dengan Umno
Oleh G. MANIMARAN dan NURUL AIN HUSSAIN


PETALING JAYA: Empat hari selepas Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mendedahkan tiga pertemuan telah diadakan membabitkan beliau dan tiga pemimpin PAS sejak pilihan raya umum 8 Mac lalu, pemimpin-pemimpin PAS petang ini sebulat suara menolak muzakarah antara Umno-PAS.

Sebaliknya, pemimpin-pemimpin kanan PAS yang bertemu di Kelantan petang ini mengesyorkan diadakan muqabalah sahaja - pertemuan bersemuka.

Perkembangan ini menandakan PAS menolak sebarang dialog kerjasama politik kedua-dua parti.

Majlis Tertinggi Umno akan mengadakan mesyuarat petang esok.

Sambil menegaskan PAS sememangnya berminat untuk mengadakan pertemuan dan bersemuka dengan pemimpin Umno bagi membincangkan mengenai masa depan umat Islam, pemimpin-pemimpin parti itu berkata, perbincangan yang disyorkan perlu diadakan secara bersemuka berbentuk "muqabalah" dan bukannya dalam bentuk perdebatan yang dinamakan muzakarah seperti diminta oleh Umno.

Justeru, kata Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, sekarang beliau menutup fail berhubung syor "muzakarah" tetapi membuka konsep "muqabalah".

"Apa yang saya dimaklumkan ialah pertemuan-pertemuan (sebelum ini) dengan Umno hanya diadakan atas dasar peribadi. Kesemua itu adalah benar dan ia dilakukan untuk memperkukuhkan Islam," kata beliau kepada pemberita

Kata sepakat itu dicapai dalam satu pertemuan yang diadakan kira-kira tiga jam di kediaman Menteri Besar Kelantan itu di Kota Bharu.

"Saya mahukan muzakarah itu ditukarkan kepada muqabalah dalam membincangkan isu berkaitan umat Islam kerana ianya lebih sesuai," kata Nik Abdul Aziz.

Pertemuan itu diadakan tiga hari selepas beliau menyatakan pendirian tidak bersetuju dengan pertemuan bersifat muzakarah antara pemimpin Umno-PAS.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Timbalan Presiden PAS Nasharudin Mat Isa turut hadir pada mesyuarat itu.

Nasharudin merupakan antara tiga pemimpin yang telah menemui Abdullah dalam tiga pertemuan lalu.

Abdul Hadi mengetuai rombongan empat wakil Majlis Syura menemui Nik Abdul Aziz bagi menerangkan isu muzakarah dan tiga pertemuan yang telah diadakan dengan Umno.

Kelmarin, Nik Abdul Aziz melahirkan pandangan bahawa sebarang usaha untuk mengadakan muzakarah antara PAS dan Umno perlu dihentikan segera kerana jika ia diteruskan, parti berteraskan Islam itu bakal menghadapi perpecahan.

Beliau mendakwa muzakarah itu merupakan gimik Umno semata-mata untuk menjatuhkan PAS.

"Saya nak tanya kepada orang PAS sama ada nak jaga PAS atau Islam. Kalau nak jaga PAS, ini (muzakarah) bukan caranya dan jika nak jaga Islam juga bukan ini caranya kerana berkawan dengan Umno seperti menghancurkan Islam," katanya.

Nik Abdul Aziz berkata jika muzakarah itu menjadi realiti, PAS akan menjadi seperti "kera sumbang" dan tidak lagi dipercayai oleh sekutunya daripada Pakatan Rakyat termasuk penyokong PAS sendiri.

Pada Ahad lalu, Perdana Menteri mendedahkan Umno telah mengadakan pertemuan sebanyak tiga kali dengan PAS bagi membincangkan beberapa isu berkaitan dengan keagamaan dan orang Melayu.

Abdullah berkata, bagaimanapun pertemuan dengan pemimpin tertinggi PAS itu tidak disertai Nik Aziz.

Nik Abdul Aziz berkata, tidak timbul isu pertemuan PAS dan Umno akan membawa kepada penggabungan kedua-dua parti kerana pertemuan itu lebih berbentuk kerjasama demi satu matlamat dan turut menafikan isu muzakarah itu telah memecahbelahkan kepimpinan PAS.

Abdul Hadi yang dipetik Bernama pula berkata, muzakarah yang dinamakan oleh Umno lebih kepada bentuk perdebatan sedangkan apa yang dimahukan oleh Umno adalah muqabalah iaitu perbincangan untuk selesaikan masalah rakyat.

Beliau berkata, PAS boleh menjalinkan kerjasama dengan Umno berdasarkan satu matlamat iaitu membincangkan masa depan Umat Islam di negara ini.

Kata beliau, adalah menjadi satu kewajipan agama bagi PAS untuk mengadakan perbincangan itu kerana PAS sememangnya parti yang memperjuangkan Islam demi kepentingan orang Islam dan bukan Islam.

Abdul Hadi menafikan bahawa pertemuan itu akan menyebabkan PAS menyertai Umno kerana PAS mampu memenuhi kehendak politik rakyat berdasarkan sokongan rakyat yang dicerminkan dalam pilihan raya umum lepas.

"Walaupun berbeza pendirian politik ia tidak akan menjadi halangan untuk PAS dan Umno duduk berbincang," katanya.

Jelas beliau, pertemuan untuk mengadakan perbincangan secara muqabalah itu telah dipersetujui oleh Majlis Syura Ulama dan Jawatankuasa PAS Pusat sejak April lalu.

Abdul Hadi turut menafikan pertemuan tiga pemimpin PAS sebelum ini dengan Abdullah selaku Perdana Menteri dan Presiden Umno dilakukan atas arahan beliau.

"Tiga pertemuan itu dilakukan atas usaha Presiden Umno dan bukan Presiden PAS," katanya.