Ahad, 30 Jun 2019

Pencemaran: Sekolah di Pasir Gudang kembali terjejas

tyrazalhe  

 

Beberapa guru, pelajar pengsan dan alami sesak nafas, muntah

JOHOR BAHRU– Baru beberapa jam sesi persekolahan di kawasan Pasir Gudang bermula setelah semua sekolah di situ diarahkan tutup Selasa lepas, gangguan kesihatan berupa sesak nafas dan muntah-muntah kembali menghantui beberapa sekolah di kawasan sama.

Wartawan Bernama yang ditugaskan untuk membuat liputan sekolah dibuka di Sekolah Kebangsaan (SK) Kopok pada kira-kira 8.30 pagi tadi, menyaksikan sendiri insiden itu yang mana beberapa pelajar dan guru pengsan, di depan mata.

Selain sekolah itu, difahamkan turut terjejas ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Puteri Resort, SMK Seri Alam Dua, SK Taman Pasir Putih, SK Jenis Kebangsaan Tamil Ladang Sungai Plentong, SMK Taman Nusa Damai dan SK Taman Cendana.

Sekurang-kurangnya tiga ambulans daripada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Hospital Sultan Ismail dikejarkan ke sekolah berkenaan dipercayai untuk membawa keluar pelajar yang terjejas.

Ibu bapa pelajar juga turut kelihatan membawa anak mereka pulang ke rumah masing-masing.
Sehingga kini, tiada pengesahan berapa jumlah pelajar yang terlibat.

Beberapa mangsa pula kini, dipercayai sudah dibawa ke Stadium Tertutup Majlis Perbandaran Pasir Gudang dan klinik kesihatan terdekat untuk diberi rawatan awal.

Stadium itu sebelum ini dijadikan oleh pihak berkuat kuasa sebagai Bilik Operasi Gerakan Pemantauan kes terbabit.

Sementara itu, usaha untuk menemu bual kakitangan dan guru terlibat tidak berjaya kerana mereka dilarang untuk memberi sebarang kenyataan.- Bernama



Tanah Rizab Melayu Johor bertambah 557,518 hektar

siti hafidah  

 

Kerajaan negeri komited memelihara kepentingan Bumiputera: MB

ISKANDAR PUTERI– Keluasan tanah rizab Melayu di negeri ini bertambah kepada 557,518 hektar sehingga April lepas berbanding 557,287 hektar pada Disember tahun lepas.

Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata, Kulai adalah daerah yang merekod keluasan tanah rizab Melayu tertinggi iaitu 75.64 hektar, diikuti Kota Tinggi seluas 49.354 hektar manakala Pengerang seluas 34.54 hektar.

“Dalam rekod yang ada pada saya, sehingga April 2019 pertambahan jumlah keluasan tanah rizab Melayu sejak Pakatan Harapan (PH) meneraju kepimpinan Johor adalah sebanyak 230.24 hektar,” katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Johor di sini, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Muhamad Said Jonit (PH-Mahkota) yang ingin tahu jumlah tanah rizab Melayu sejak kerajaan PH mengambil alih kepimpinan negeri.

Dr Sahruddin menegaskan kerajaan negeri amat komited dalam soal memelihara kepentingan Bumiputera.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga akan terus berusaha memastikan tanah rizab Melayu terpelihara kerana perkara berkenaan amat penting dalam menjaga hak orang Melayu, sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, khususnya dalam bidang hartanah dan perumahan.

“Walaupun negeri Johor adalah pilihan pelabur dalam dan luar negara ke negeri ini tetapi kerajaan negeri sedar akan kepentingan untuk memelihara dan memastikan rizab Melayu ini terus menjadi keutamaan kerajaan negeri,” katanya. – Bernama


Abdul Azeez sedia serah kerusi pada PAS

MALAYSIAKINI

   

Ahli Parlimen Baling Abdul Azeez Abdul Rahim menyatakan kesediaan melepaskan kerusi yang disandangnya kepada PAS pada pilihan raya umum (PRU) ke-15 kelak.

Menurutnya, penyatuan ummah antara Umno dan PAS amat penting demi agama, bangsa dan tanah air dan bukan demi kepentingan mana-mana individu.

"PRU bila-bila masa, sama ada tiga tahun daripada sekarang, esok atau tahun depan. Saya yakin dan percaya rakyat sudah tahu siapa mereka ingin pilih.

"Saya sendiri, jika perlu korbankan diri saya demi rakyat pada masa depan berkenaan kerusi, saya rela, sanggup reda dan ikhlas," katan Abdul Azeez dipetik Sinar Online.

Pada PRU14, Abdul Azeez mempertahankan kerusi parlimen Baling dengan majoriti 1,074 undi menewaskan calon PAS dan Bersatu.

Penyandang parlimen Baling selama dua penggal itu turut mahu Kedah terutamanya di kawasannya menjadi model terbaik penyatuan ummah dan kerjasama PAS dan Umno dalam menghadapi PRU.

"Dengan izin Allah juga Kedah akan jadi satu negeri contoh.

"Saya juga melihat kerjasama antara PAS dan Umno sangat baik dengan menerima sambutan ahli yang memberangsangkan setiap kali program bersama dianjurkan.

“Saya yakin dan percaya ini petanda cukup baik kerana perpaduan ummah ini untuk agama, bangsa, agama dan tanah air," Abdul Azeez dilaporkan sebagai berkata.

Isu berkaitan penyerahan kerusi antara PAS dan Umno timbul selepas Pengerusi PKR Terengganu, Azan Ismail dilaporkan membuat cabaran itu semalam.

Azan berkata Umno dan PAS perlu saling menyerahkan kerusi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang dimenangi pembangkang bagi membuktikan keikhlasan kerjasama yang dicapai dan bukan sekadar retorik semata-mata.

Jelasnya, kegagalan berbuat demikian hanya membuktikan Umno dan PAS sekadar bersandiwara kepada penyokong dan seluruh rakyat Malaysia dan bukan berusaha murni ke arah ta’awun seperti yang dijanjikan.


MT perlu bincang jika Zahid mahu kembali terajui UMNO

siti hafidah 

 

Beri tempat kepada golongan baharu ubah imej kepimpinan: KJ

BANGI– Sekiranya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ingin kembali aktif dalam politik, perkara itu sewajarnya perlu dibawa dan dibincangkan dalam mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO terlebih dahulu, kata bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata, pihaknya kurang bersetuju sekiranya keputusan ingin kembali menerajui UMNO hanya diputuskan Ahmad Zahid sahaja berikutan sepanjang tempoh beliau bercuti, tugas itu telah digalas MT dan Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan.

“Walaupun bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak sebelum ini menyatakan bahawa perkara ini tidak perlu dibincangkan dalam MT kerana mengikut perlembagaan Ahmad Zahid sememangnya presiden yang sah, itu betul.

“Namun, dari segi moral dan politik, perkara ini perlu dibincangkan kerana sepanjang Ahmad Zahid bercuti, MT dan timbalan presiden yang jalankan tugas beliau. Jadi tak adil jika MT tak ada pandangan yang boleh dipertimbangkan dalam perkara ini,” katanya seperti dilapor media tempatan.

Ahmad Zahid pada 18 Disember tahun lalu mengumumkan beliau bercuti daripada jawatan Presiden UMNO dan menyerahkan tugas itu kepada Timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Semalam, Najib memaklumkan bahawa Ahmad Zahid boleh kembali menerajui semula parti walaupun tanpa persetujuan pihak lain termasuk MT.

Kata beliau, keputusan sama ada Ahmad Zahid mahu kembali ataupun tidak adalah terpulang sepenuhnya kepada presiden UMNO itu sendiri.

Dalam pada itu, Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau berkata, parti perlu memberi tempat kepada golongan baharu berikutan ini adalah masa yang sesuai untuk melakukan satu perubahan terhadap imej kepimpinan UMNO.

Katanya, langkah ini adalah bagi membolehkan rakyat melihat UMNO melakukan perubahan terhadap saf kepimpinan utama parti itu.


Annuar Musa bertanding kerusi presiden Kafa

 
   

Annuar Musa dicalonkan semula sebagai presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) dan bakal berdepan dengan tiga lagi individu pada Kongres Agung Luar Biasa (EGM) persatuan itu, 6 Julai ini.

Annuar, bekas presiden selama dua penggal iaitu pada 2007 hingga melepaskan jawatan itu pada November 2016, merupakan antara nama diterima selepas pencalonan ditutup pada jam 12 tengah hari tadi.

Pemangku Presiden Kafa Afandi Hamzah mengesahkan pencalonan Annuar bersama tiga lagi calon bagi menggantikan Bibi Ramjani IIias IKhan yang melepaskan jawatan presiden secara sukarela pada 18 Jun lalu.

Tiga lagi calon presiden ialah Naib Presiden Bersatu Abdul Rashid Abdul Rahman, Pengerusi Amanah Kelantan Wan Abdul Rahim Wan Abdullah dan ahli perniagaan Amril Aiman Abdul Aziz.

“Pertandingan empat penjuru jawatan presiden merupakan perkembangan positif berikutan masih ramai yang sayangkan persatuan dan bola sepak Kelantan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Jawatan timbalan presiden pula bakal menyaksikan pertandingan empat penjuru iaitu Afandi, naib presiden Persatuan Bola sepak Malaysia (FAM) Rosmadi Ismail, ahli perniagaan Mohd Zumridi Tambi dan bekas Ketua Pemuda Umno Bahagian Pasir Puteh Muhammad Yusri Ismail.

Bagi tiga jawatan naib presiden, pertandingan sembilan penjuru iaitu antara Ahmad Muzakir Hamid, Rowi Dollah, Shaari Mat Hussain, Effendy Yahya, Hassan Hasbullah, Azman Ibrahim, Muhammad Affiq Kamaruzaman, Prof Dr Zaliman Sauli dan Wan Rekemi Wan Zahari.

Dalam pada itu, Kafa menerima 29 pencalonan untuk merebut 10 kerusi anggota exco.

Afandi berkata kesemua calon diberi masa sehingga Rabu ini untuk membuat pengesahan penerimaan pencalonan dan sekretariat Kafa akan menghubungi mereka untuk membuat pemakluman terlebih dahulu.-Bernama


'Fatwa' wajib jatuhkan PH hanya petunjuk untuk ahli PAS - Mat Hasan


   
Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan tampil membela PAS berkenaan 'fatwa' wajib menjatuhkan Pakatan Harapan (PH) yang dikritik sejumlah pihak.

Mohamad berkata apa yang dinyatakan Ketua Dewan Ulama PAS, Dr Nik Zawawi Salleh berkenaan perkara itu hanyalah petunjuk untuk anggota PAS.

“Saya tak dapat pula fatwa sebab saya bukan pakar dalam bidang itu.

“Tapi PAS nyatakan fatwa begitu untuk ahli dia, sebab ahli PAS ini dia memerlukan petunjuk daripada pemimpin, mereka sangat walak kepada pemimpin mereka.

“Jangan pula kita salah faham... Orang selalu fikir bila fatwa ini sahaja soal halal atau haram, tapi fatwa ini (maksudnya) adalah petunjuk,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan mesyuarat perwakilan Umno bahagian Sepang di Sepang, hari ini.

Ketika sesi peggulungan Muktamar PAS ke-65 pada 23 Jun lalu, Nik Zawawi berkata wajib untuk menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan tiada pertikaian berkenaannya.

"Parti kita, PAS, berhadapan dengan PH hukumnya adalah wajib. Menjatuhkan kerajaan yang sedia ada ketika ini hukumnya wajib," katanya.

Ia dibidas Menteri Pertahanan yang juga Presiden Amanah Mohamad Sabu yang menyifatkannya sebagai "fatwa mengarut".

Mufti Kelantan Mohamad Shukri Mohamad pula berkata kenyataan Zawawi itu hanyalah pandangan seorang ahli politik dan sesuatu perkara hanya dianggap fatwa apabila ia ditetapkan oleh mufti.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata Umno tidak perlu mengikut setiap keputusan dan langkah PAS walaupun kini bekerjasama dengan parti itu.

"Kita cuma bekerjasama (dan) tidak bergabung, sebab itu dalam piagam kita adalah Umno, PAS pula PAS.

"Tak semestinya apa yang PAS buat kita kena ikut, tidak sampai tahap itu. Tahap (hubungan) ialah bekerjasama menyusun strategi," katanya lagi.

Orang Asli dapat semula akses kepada tanah pusaka di Gua Musang

Peguam G Ragumaren (atas kiri) dan David Ragumaren meraikan 
kemenangan mereka dengan defendan Orang Asli di luar Mahkamah
Tinggi Kota Baru hari ini.
 
PETALING JAYA: Orang Asli suku Temiar i 10 petempatan di Pos Simpor, Gua Musang, memperoleh kemenangan besar ke atas sebuah syarikat kerana menceroboh tanah pusaka mereka.

Mahkamah Tinggi di Kota Baru hari ini membatalkan pernyataan tuntutan M7 Plantation Bhd dan satu injunksi terhadap “wakil” Orang Asli Mustafa Along.

Pesuruhjaya Kehakiman Wan Ahmad Farid Wan Salleh berkata, terdapat merit dalam hujahan Orang Asli dan Mustafa untuk membatalkan tuntutan dan dilepaskan perintah sekatan.

Beliau berkata, fakta yang dihujahkan oleh M7 Plantation dalam pernyataan tuntutannya adalah kosong dan tidak khusus.

“M7 juga menamakan Mustafa sebagai pihak yang salah dalam tindakan mereka kerana beliau hanyalah jurucakap bagi Orang Asli di petempatan berkenaan,” kata Wan Ahmad.
Mustafa adalah pengerusi Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan.

Hakim juga berkata, beliau bersetuju dengan peguam defendan bahawa M7 tidak mengemukakan keterangan bagi menyokong dakwaan bahawa kerajaan Kelantan atau agensinya memberikan lesen kepada mereka untuk menjalankan aktiviti komersil, termasuk menanam pokok durian.

M7 memfailkan tindakan undang-undang terhadap Orang Asli dan Mustafa apabila mereka menghalang laluan masuk ke tanah pusaka mereka pada Ogos tahun lepas.

Pada 6 Nov 2018, Mahkamah Tinggi memberikan injunksi antara pihak kepada syarikat yang menyebabkan hadangan dan sekatan yang didirikan oleh Orang Asli bagi menghalang M7, kakitangannya dan syarikat lain daripada memasuki dan menebang hutan bagi menjalankan aktiviti mereka diruntuhkan.

Bagaimanapun pada Mac tahun ini, pihak defendan memfailkan satu permohonan bagi membatalkan saman M7 dan injunki tersebut atas hujahan bahawa tindakan mereka adalah remeh, menyusahkan dan menyalah guna proses mahkamah.

Peguam G Ragumaren yang mewakili defendan berkat, penghakiman hari ini bermakna Orang Asli boleh menaikkan semula hadangan dan sekatan bagi menghalang mana-mana syarikat persendirian daripada menceroboh tanah berkaitan.

“Ia merupakan kemenangan besar bagi Orang Asli yang selama ini menentang syarikat persendirian yang mahu mengeksploit tanah mereka dan menyebabkan ketidakseimbangan ekologi” kata beliau yang dibantu oleh David Ragumaren.

Awal tahun ini, kerajaan persekutuan memfailkan saman bagi melindungi hak tanah adat Orang Asli.

Saman pertama dalam sejarah itu menamakan kerajaan Kelantan pimpinan PAS, pengarah tanah dan galian negeri dan pengarah jabatan perhutanan negeri sebagai defendan.

Ia juga menamakan 5 syarikat, iaitu M7 Plantation Bhd, Koperasi Kijang Mas Negeri Kelantan Bhd, KPG Maju Enterprise Sdn Bhd, Ringgit Saksama (M) Sdn Bhd dan Precision Sdn Bhd

Putrajaya mahu mendapatkan satu injunksi bagi menghalang syarikat persendirian daripada mencerobohi tanah pusaka Orang Asli bagi menjalankan aktiviti komersil, selain beberapa deklarasi lain.

Kerajaan negeri Kelantan dan agensinya memberikan lesen membalak kepada syarikat persendirian dan membenarkan mereka memasuki tanah adat Orang Asli suku Temiar di Pos Simpor.
Dilaporkan kawasan hutan yang luas ditebang untuk peladangan durian dan getah.

Dalam pernyataan tuntutannya, Putrajaya berkata, tindakan itu menyebabkan Orang Asli suku Temiar kehilangan tanah adat dan sumber, selain menyebabkan hakisan meluas, pencemaran dan kemusnahan kekal ke atas ekologi dan landskap Pos Simpor.

Mahkamah Tinggi di Kota Baru akan mendengar permohonan kerajaan negeri untuk membatalkan saman tersebut pada 21 Julai depan.

Kerajaan Kelantan berhujah bahawa Putrajaya tidak mempunyai hak di sisi undang-undang untuk memfailkan kes berkenaan, dan bahawa Mahkamah Tinggi tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar saman berkenaan atas asas perlembagaan.

Sijil halal: Tak susah jika tahu prosedur, piawaian

tyrazalhe 

 

Usahawan IKS perlu bimbingan untuk tepati standard persijilan Jakim

KUANTAN – Proses kelulusan mendapatkan sijil halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) tidak sukar dan hanya mengambil masa dua minggu daripada tarikh permohonan jika memenuhi piawaian yang ditetapkan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh, bagaimanapun, mengakui ada pengusaha khususnya dalam industri kecil dan sederhana (IKS) sukar untuk mendapatkan pengiktirafan halal kerana kurang mengetahui prosedur atau tidak dapat memenuhi piawaian ketat JAKIM.

“JAKIM menetapkan standard yang tinggi dalam sijil halal kerana konsepnya halalan toyyiban iaitu bukan hanya halal, tetapi juga suci. Standard ini diguna pakai oleh 45 negara dan 78 agensi di seluruh dunia.

“Prosesnya tidak susah namun ada perkara yang perlu ditepati dan mungkin ada antara IKS yang tidak tahu,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Kuantan. di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Menteri Pembangunan Usahawan Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof semalam, bahawa ada usahawan IKS sukar menda[pat sijil halal walaupun sudah lama mengusahakan perniagaan.

Misalnya, Fuziah berkata, ada IKS yang mengusahakan perniagaan kerepek memproses produk itu di dapur rumah mereka, sedangkan kriteria yang ditetapkan JAKIM memerlukan mereka mengasingkan dapur produk dengan dapur rumah.

Justeru, beliau berpandangan usahawan IKS memerlukan bimbingan daripada pihak sewajarnya supaya dapat menepati piawaian persijilan JAKIM yang sekali gus boleh menjadi nilai tambah kepada produk mereka.

“Tugas untuk membantu IKS bukan di bawah JAKIM, sebaliknya pihak yang terlibat secara langsung dengan mereka yang boleh memberi tunjuk ajar, memberi dana, membuat kertas kerja, pembungkusan dan sebagainya,” katanya.- Bernama


Tarik balik kenyataan ‘buta tuli’ terhadap umat Islam Xinjiang

Oleh Athirah Huda Zalhe 

 

Pendirian Mujahid boleh jejas hubungan dengan negara Islam lain: Isma

BANGI– Kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mujahid Yusuf Rawa berhubung lawatannya ke Xinjiang, China baru-baru ini, disifatkan sebagai ‘membuta tuli’ dan tidak wajar terhadap apa yang berlaku ke atas umat Islam di wilayah itu.

Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Aminuddin Yahaya berkata, kenyataan yang dibuat menteri agama Malaysia itu tidak langsung mewakili pendirian dan suara hati rakyat Malaysia, khususnya umat Islam di negara ini.

Justeru, beliau mendesak Mujahid untuk menarik balik kenyataan yang dikeluarkan di Facebooknya pada 26 Jun lalu.

“Terdapat pelbagai kajian, pengakuan, pendedahan dan laporan yang telah dibuat oleh pelbagai pihak di seluruh dunia yang menjadi bukti kepada penindasan umat Islam di China. Atas kajian dan bukti apa Mujahid membuat kenyataan dan kesimpulan sebegini?

“Adakah dan apakah Mujahid telah ‘termakan budi’ dengan negara China?,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Mujahid di Facebook berhubung lawatannya ke ‘pusat latihan dan vokasional bagi masyarakat Uyghur’ – istilah yang digunakan Beijing bagi menempatkan ribuan orang Islam yang mengkritik dasar China di Xinjiang.

Kenyataan Mujahid yang mengatakan beliau dibawa melawat pusat latihan dan vokasional itu seolah-olah hidup dengan harmoni tanpa ditindas, mencetuskan kritikan pengguna media sosial.

Bahkan, beliau turut teruk dikecam netizen apabila dalam ucapannya menyifatkan laporan mengenai penindasan umat Islam di China sebagai ‘berita palsu’

Mengulas lanjut, Aminuddin berkata, kenyataan ‘liar’ yang dibuat Mujahid itu akan menyebabkan pandangan dunia terhadap Malaysia menjadi buruk.

“Pandangan beliau ini secara tidak langsung akan mencalarkan imej negara serta boleh menjejaskan hubungan dengan negara-negara Islam yang lain, yang sepakat menyatakan berlakunya penindasan di sana umat Islam di sana,” katanya.


Zahid bakal berdepan cabaran ‘tanggapan moral’, kata penganalisis

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dijangka berdepan cabaran 
untuk membuktikan keberkesanan kepimpinannya berikutan 
pengumuman beliau hari ini untuk kembali aktif setelah bercuti 
selama 6 bulan.

PETALING JAYA: Seorang penganalisis politik berkata, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi akan berdepan isu “tanggapan moral” di samping masalah keberkesanan dalam menjalankan semula tugas memimpin parti itu bermula hari ini.

Kamarul Zaman Yusoff dari Universiti Utara Malaysia (UUM) berkata, pihak luar seperti sesetengah ahli PAS, malah sesetengah pimpinan dan ahli Umno juga mungkin tidak bersetuju dengan perkembangan itu kerana menganggap parti itu dipimpin oleh individu yang terpalit dengan rasuah.

“Akan ada pihak yang mempersoalkan (kepimpinan Zahid) dari segi moral kerana beliau sedang berdepan dengan banyak pertuduhan di mahkamah.

“Jadi persoalan yang bermain di fikiran sesetengah pihak adalah bagaimana dakwaan rasuah yang tergantung di atas kepala Zahid ini, dan apakah dia boleh melaksanakan tugas dengan efektif,” katanya kepada FMT.
Kamarul Zaman Yusoff.
Terdahulu hari ini, Zahid mengumumkan akan kembali aktif memimpin Umno selepas bercuti selama 6 bulan sebelum ini.

Beliau membuat pengumuman itu pada satu majlis Hari Raya di Sungai Sumun di Perak, bersempena 1 tahun dipilih sebagai presiden Umno.

Dalam ucapannya, Zahid mengingatkan khalayak bahawa beliau dipilih, bukannya dilantik, sebagai presiden Umno setahun lepas.

Dalam pada itu, Kamarul berkata, keputusan Zahid untuk meneruskan tugasnya itu bukanlah satu masalah kerana tiada pihak atau peraturan yang boleh menghalangnya daripada berbuat demikian.

Beliau berkata, Zahid juga masih boleh berlindung di sebalik kenyataan bahawa beliau tidak bersalah selagi mahkamah tidak membuat keputusan sebaliknya.

“Beliau (Zahid) masih boleh berlindung di sebalik prinsip bahawa seseorang tidak bersalah selagi tidak dibuktikan bersalah di mahkamah seperti yang dipegang oleh PAS,” katanya.

Kamarul berkata, Zahid juga berdepan cabaran untuk meneruskan apa-apa yang telah dilakukan oleh Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan, seperti kerjasama dengan parti pembangkang, terutama PAS.

Beliau berkata, Zahid berdepan tugas sukar untuk memastikan kemenangan dalam pilihan raya kecil (PRK) yang mungkin diadakan selepas ini kerana banyak kemenangan PRK sebelum ini diperoleh ketika Mohamad menjalankan tugas memimpin parti itu dan Barisan Nasional (BN).

Zahid kini berdepan 87 pertuduhan di mahkamah membabitkan rasuah, pecah amanah dan penggubahan wang haram.

Tok Mat: Zahid kembali pimpin Umno tangkis usaha lagakan pemimpin

Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan.
 
SEPANG: Keputusan Ahmad Zahid Hamidi untuk kembali meneruskan tugasnya sebagai presiden Umno dapat menangkis persepsi negatif dimainkan sesetengah pihak yang berhasat melaga-lagakan pemimpin dalam parti, kata Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan.

Katanya, beliau menyambut baik keputusan Zahid untuk kembali menjalankan tugas memandangkan mereka dapat bersama-sama meneruskan agenda memperkasa parti dan menyusun strategi bagi menghadapi pilihan raya umum ke-15.

“Elok juga dia buat keputusan begitu untuk hendak kembali. Kerana banyak sangat cakap-cakap, maka tidak elok. Jadi, beliau hendak kembali menjalankan tugas, alhamdulillah.

“Ia akan mematikan cakap-cakap yang selama ini diada-adakan untuk mengadu domba pemimpin. Apabila beliau kembali bertugas, parti boleh diurus secara saksama.

“Secara tidak langsung kita dapat meneruskan agenda memperkasakan parti dan menyusun strategi hadapi PRU15,” katanya, yang lebih mesra dengan panggilan Tok Mat, sewaktu ditemui selepas merasmikan mesyuarat perwakilan Umno Sepang di sini, hari ini.

Terdahulu, Zahid mengumumkan akan kembali aktif memimpin parti itu selepas bercuti selama 6 bulan sebelum ini.

Beliau bahkan turut mengingatkan ahli bahawa dirinya dipilih oleh ahli, bukannya dilantik sebagai presiden Umno pada setahun lepas.

Mohamad berkata, keputusan Zahid untuk kembali aktif itu juga tidak akan menganggu usaha yang beliau jalankan sebelum ini sewaktu mengambil peranan dan menjalankan tugas presiden Umno.

Beliau juga tidak melihat sebarang masalah untuk Zahid memimpin Umno, walaupun berdepan 87 pertuduan di mahkamah membabitkan rasuah, penggubahan wang haram dan pecah amanah.

“Tidak ada pula menganggu. Umno akan terus berjalan di samping Zahid meneruskan pembelaan bersama dengan peguamnya. Kesnya ketika ini sedang berjalan dan saya rasa tidak banyak yang perlu beliau lakukan untuk hadapi kes tersebut.

“Melainkan bila ada perbicaraan, itupun perbicaraan dibuat semasa hari bekerja. Pada hari tidak bekerja, dia boleh turun ke padang sebagai presiden Umno dan berjumpa anak buah di setiap negeri,” katanya.

Zahid membuat penampilan rasmi pertama di pentas Umno selepas lebih 6 bulan bercuti sejak Disember tahun lalu dengan merasmikan mesyuarat perwakilan Umno bahagian Kepong pada 22 Jun lalu.

Sehari kemudian, Zahid dilihat hadir merasmikan mesyuarat perwakilan Umno bahagian Masjid Tanah, di Melaka.

Pada 21 Jun, Mohamad menegaskan bahawa Zahid tidak disekat ripada merasmikan sebarang mesyuarat perwakilan Umno bahagian meskipun sedang bercuti.

Malah katanya, sesiapa saja boleh datang untuk merasmikan mesyuarat parti itu di peringkat bahagian.

Kadir Jasin: AirAsia mampu selamatkan MAB dari berkubur


   

Syarikat penerbangan tambang rendah, AirAsia Group Bhd (AirAsia) dilihat sebagai pengendali penerbangan berjaya yang mampu menyelamatkan penerbangan nasional, Malaysia Airlines Bhd (MAB) daripada 'berkubur.'

Menurut wartawan veteran, A Kadir Jasin, AirAsia juga telah memiliki satu elemen menyamai MAB iaitu cabang penerbangan jarak jauh, AirAsia X Bhd.

"Mereka ada pengalaman itu kerana memiliki AirAsia X yang melakukan penerbangan jauh sehingga ke Jeddah serta destinasi lain seperti Jepun, Korea Selatan dan China.

"Sudah pasti, struktur harga (tambang) mereka berbeza.

"Atas dasar itu, mereka memang berpengalaman namun sama ada boleh mengambilalih MAB dan dijadikan sebahagian AirAsia atau mengekalkan MAB sebagai syarikat penerbangan tambang penuh, merupakan keputusan untuk ditentukan oleh mana-mana pihak yang berminat dengan MAB," katanya kepada Bernama, baru-baru ini.

Kadir berkata demikian sebagai mengulas jika AirAsia boleh mengendalikan kedua-dua syarikat penerbangan tambang penuh dan rendah pada masa sama.

Ini susulan cadangan beliau menerusi catatan di Facebook pada Jumaat lepas bahawa "adalah lebih baik untuk MAB 'berkahwin' (disatukan) dengan AirAsia daripada sewenang-wenangnya membiarkan jenama ikonik itu berkubur."

Mengulas lanjut, beliau berkata : "Di Eropah, terdapat sebuah syarikat yang mengendalikan penerbangan tambang penuh dan rendah pada masa sama. Malah ada banyak syarikat penerbangan besar lain di Eropah dan Amerika Syarikat (AS) yang cuba memiliki penerbangan tambang rendah, tetapi secara amnya tidak berjaya."

Untuk rekod, pada Disember 2007, syarikat penerbangan berpangkalan di Jerman, Lufthansa membeli 19 peratus kepentingan dalam JetBlue Airways dan menandatangani perjanjian perkongsian kod dengan syarikat itu.

Ini merupakan pelaburan penting pertama oleh sebuah syarikat penerbangan Eropah ke atas syarikat penerbangan AS sejak termeterainya Perjanjian Langit Terbuka AS-AS berkuatkuasa pada 2008.

Bagaimanapun pada Mac, 2015, Lufthansa bertindak menjual kepentingannya dalam JetBlue.

Elemen monopoli
 
Dalam catatannya, Kadir turut membangkitkan bahawa AirAsia pernah 'berkahwin' atau bersama dengan Malaysia Airlines sebelum ini - merujuk kepada perjanjian pertukaran saham dua syarikat itu pada 8 Ogos, 2011.

Malangnya, perjanjian itu tidak bertahan lama apabila ditamatkan lapan bulan kemudian.

Kadir berpendapat, perjanjian MAB-AirAsia itu tidak berjaya kerana cadangan yang tidak jelas selain bedepan banyak bantahan daripada pihak awam.

"Namun itu berlaku beberapa tahun lepas dan keadaan telah berubah. Kita juga telah melihat kerajaan melakukan banyak cubaan untuk memulihkan Malaysia Airlines tetapi malangnya, ada persepsi ramai bahawa MAB tidak dapat dipulihkan dan sesuatu perlu dilakukan," katanya.

Bagaimanapun, sama ada AirAsia mampu berjaya mengendalikan MAB sebagai sebuah syarikat tambang penuh dan jika ia benar-benar berminat untuk menggalas tanggung jawab itu adalah sesuatu yang perlu dipertimbangkan oleh syarikat tambang rendah tersebut, katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) AirAsia Tan Sri Tony Fernandes sebelum ini dilaporkan berkata, pihaknya tidak merancang untuk membeli MAB kerana berhasrat melakukan usaha transformasi sebagai sebuah syarikat yang diterajui oleh teknologi.

Mengulas sama ada 'perkahwinan' atau penyatuan AirAsia dan MAB akan mencetuskan kebimbangan mengenai monopoli dalam industri penerbangan tempatan, Kadir berkata akan wujud elemen monopoli atau duopoli antara AirAsia dan Malindo Airways dalam masa terdekat ini.

"Namun hari ini ianya bukanlah semudah itu untuk syarikat penerbangan bertindak menetapkan harga tambang kerana perbuatan itu adalah satu kesalahan dan saya fikir kita kini mempunyai jaminan dalam bentuk perdagangan yang adil.

"Bagaimanapun, saya yakin dalam persaingan antara dua syarikat, harga itu tidaklah semurah persaingan antara tiga syarikat atau lebih," katanya.

Sementara itu, penganalisis yang juga Penganalisis Penerbangan Endau Analytics, Shukor Yusof, pula berpendapat Fernandes tidak mungkin mengambil alih MAB pada masa ini.

"Seperti yang dikatakan oleh Tony Fernandes secara terbuka sebelum ini bahawa tangannya sudah penuh pada masa ini dan saya tidak nampak sebarang alasan untuk AirAsia untuk mengambil alih MAB," kata Shukor sewaktu dihubungi Bernama.

Menerusi catatan blog beliau bertajuk 'Singapore Airlines to invest in Malaysia Airlines?' (Singapore Airlines Mahu Melabur Dalam Malaysia Airlines?) baru-baru ini, Shukor berkata MAB mencatat kerugian lebih RM2.4 bilion (US$580 juta) bagi tempoh antara 2015 dan 2017 walaupun telah menerima suntikan dana RM6 bilion daripada Khazanah Nasional Bhd pada 2014.

"Awal minggu ini, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan sedia mempertimbang untuk menjual MAB jika terdapat pembeli yang dapat memulihkan penerbangan nasional itu dan mengekalkan identiti Malaysia yang ada," katanya.

Topik mengenai kemungkinan penjualan MAB kembali hangat dan menjadi tajuk utama media selepas Dr Mahathir yang juga Pengerusi Khazanah, menyatakan kesediaan Malaysia menjual syarikat penerbangan itu sekiranya terdapat tawaran baik untuk syarikat itu.

Jika diimbas, Perdana Menteri membangkitkan perkara itu buat pertama kalinya pada Mac lepas apabila berkata kerajaan sedang mempertimbang sama ada mahu menutup, menjual atau membiayai semula MAB selepas syarikat itu kekal mencatat kerugian berikutan beberapa faktor termasuk kekurangan anak kapal pada separuh kedua 2018.

Idea untuk menutup syarikat penerbangan itu bagaimanapun telah mencetuskan bantahan pelbagai pihak, termasuk bekas perdana menteri Najib Razak dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAB sendiri, Kapten Izham Ismail.

Syarikat penerbangan nasional itu telah mencatat kerugian sebelum tragedi kehilangan pesawat MH370 dan seterusnya pesawat MH17 yang ditembak jatuh.

Pada 2014, ia mengumumkan pelan pemulihan lima tahun dengan matlamat untuk kembali mencatat keuntungan menjelang 2018.

Bagaimanapun syarikat itu gagal mencapai sasaran itu berikutan persekitaran perniagaan yang mencabar seperti persaingan sengit, kenaikan harga bahan api, kadar pertukaran asing dan kekurangan anak kapal.- Bernama


Najib: Dulu kalahkan komunis, takkan hari ini takut lawan PH


   
Dalam meniupkan kata-kata semangat kepada ahli Umno untuk terus melawan PH, bekas perdana menteri Najib Razak mengingatkan ahli parti itu tentang sejarah penentangan terhadap penjajah dan komunis.

Berucap di mesyuarat agung tahunan Umno Gombak hari ini, Najib menyeru agar ahli partinya tidak membiarkannya "berseorangan dalam perjuangan".

"Kita mesti berani lawan, kalau tak berani lawan, kita bukan lah parti yang terbenam dalam sejarah bangsa kita dan Malaysia.

"Siapa suatu ketika dulu berani menentang British, berani menentang komunis, kalau tidak pendahulu-pendahulu, pendekar-pendekar kita," katanya.

Tambah Najib, ketika era berkenaan, Umno berjaya mengalahkan komunis kerana bersatu dengan sekutunya.

"Hari ini takkan kita tak sedia lagi, takkan kita tak berani lawan? Lawan jangan takut.
"Takut apa? Jangan biar saya seorang dalam perjuangan," katanya.

Umno Gombak merupakan Umno bahagian yang ketiga menjemput Najib merasmikan mesyuarat agung tahunan selepas Umno Jeli dan Umno Parit Sulong.

Sejumlah 191 Umno bahagian akan mengadakan mesyuarat agung tahunan dari 15 Jun hingga 15 Ogos.

Jumaat, 28 Jun 2019

RON97 naik 11 sen

siti hafidah

 

Harga runcit RON95, diesel tak berubah

BANGI– Harga runcit bagi petrol RON97 naik 11 sen kepada RM2.49 seliter, manakala RON95 dan diesel kekal tidak berubah, berkuatkuasa 12.01 tengah malam ini hingga 5 Julai depan.

Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan, hari ini berkata, harga runcit petrol RON 95 kekal pada paras RM2.08 seliter, sementara diesel kekal pada paras RM2.18 seliter.

Katanya, berdasarkan pengiraan di bawah formula Automatic Pricing Mechanism (APM), harga runcit produk petrol RON95 dan diesel bagi tempoh 29 Jun sehingga 5 Julai 2019 sepatutnya adalah sebanyak RM2.19 seliter dan RM2.28 seliter masing-masing.

“Namun, harga runcit bagi kedua-dua produk dikekalkan pada paras RM2.08 seliter dan RM2.18 seliter selaras dengan keputusan kerajaan untuk menstabilkan harga runcit bagi produk petroleum dan mengurangkan kos sara hidup rakyat.

“Anggaran subsidi yang perlu ditanggung oleh kerajaan dalam tempoh itu adalah berjumlah RM75.16 juta,” katanya.


Tommy Thomas, henti campur tangan dan berundurlah!

siti hafidah  

 

Tak sampai setahun pegang jawatan, prestasi Peguam Negara buruk

SEJAK belakangan ini, terlalu banyak isu panas yang berlaku di negara kita setiap hari. Bagaimanapun, isu kematian Adib masih lagi segar dalam ingatan setiap rakyat Malaysia.

Sudah 6 bulan, iaitu setengah tahun Allahyarham meninggalkan kita. Namun, keadilan buat diri dan keluarganya masih lagi tiada. Malah, ada pihak yang berkepentingan cuba campur tangan dalam isu ini sehingga mengelirukan rakyat secara umumnya.

Pada 24 Disember 2018, dilaporkan bahawa pihak polis, melalui kenyataan Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid, empat orang suspek telah dikenal pasti dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan membunuh. Namun, semua suspek telah dilepaskan. Siapa dan apa status mereka sekarang, kita pun tidak tahu.

Selepas itu, dibuat pula inkues bagi menyiasat punca kematian sebenar Adib. Saya memang sejak daripada awal lagi menolak agar inkues ini dibuat. Akhirnya, inkues hanya menimbulkan pelbagai kekeliruan sahaja. Malah, sebelum selesainya inkues, Tommy Thomas selaku Peguam Negara sudahpun mengeluarkan afidavit.

Akhirnya naratif baru pula wujud, iaitu Adib tidak mati dibunuh tetapi dilanggar oleh trak bomba. Apa pula terjadi dengan kenyataan Timbalan Ketua Polis Negara bahawa Adib dibunuh dan suspek telahpun dikenal pasti? Adakah Tommy Thomas mengatakan bahawa pihak polis telah membuat kesilapan?

Terbaru, peguam bagi keluarga Adib, KPKT dan pihak bomba iaitu Puan Syazlin Mansor mengaku bahawa terdapat campur tangan daripada pihak Peguam Negara dalam kes ini. Malah, beliau juga diarahkan oleh Pejabat Peguam Negara agar menarik diri daripada kes ini dengan alasan yang tidak munasabah. Ini salah satu lagi bukti rosaknya integriti Tommy Thomas.

Ini belum pula disentuh mengenai kesungguhan kerajaan yang mahu memansuhkan hukuman mati mandatori termasuk kesalahan membunuh secara tiba-tiba akhir-akhir ini. Apakah ada kaitannya dengan kes kematian Adib ini? Atau hanya satu kebetulan?

Persoalannya di sini, kenapa terlalu banyak tanda tanya timbul dan ia bertambah pada setiap hari?

Apa yang Tommy Thomas cuba sembunyikan?

Baik. Mungkin ada juga yang tidak bersetuju atau agak ‘reserved’ jika kita katakan bahawa Tommy Thomas ada menyembunyikan sesuatu dalam kes ini, tetapi saya yakin kita semua boleh bersetuju bahawa Tommy Thomas perlu berhenti daripada melakukan campur tangan dalam kes ini.

Malah, adil juga untuk kita tuntut agar Tommy Thomas meletakkan jawatannya sebagai Peguam Negara berdasarkan ‘performance’ buruk beliau sepanjang menjawat jawatan ini. Lihat sahaja kontroversi-kontroversi lain yang membabitkan beliau.

Tidak sampai setahun pun, tetapi sangatlah banyak terutamanya isu ICERD, Statut Rom, UEC, kes rasuah banglo Lim Guan Eng dan pelbagai lagi.

Oleh itu, Tommy Thomas perlu berundur segera!

*Aminuddin Yahaya- Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma)

Alhamdulillah syukur, kata Azmin

Muhammad Azizul Osman
Datuk Seri Azmin Ali
Datuk Seri Azmin Ali. foto FAREEZ FADZIL

KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang diseret dalam dakwaan video lucah sebelum ini melahirkan rasa syukurnya, hari ini.

Azmin yang juga merupakan Menteri Hal Ehwal Ekonomi dilihat memuat naik satu status di Twitternya sebentar tadi.

“Alhamdulillah syukur,” katanya ringkas.

Ahli Parlimen Gombak itu dipercayai memuatnaik status berkenaan beberapa jam selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengeluarkan kenyataan yang membersihkan nama beliau.

Kenyataan satu muka surat itu rata-rata menafikan dakwaan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Adam bahawa ada transaksi meragukan oleh sebuah syarikat pembinaan ke akaun peribadi Azmin Ali.

Malah Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki, turut menafikan kewujudan sebuah akaun di luar negara pada 2012 milik menteri berkenaan.

SPRM hari ini membersihkan nama Azmin dengan berkata, tuduhan menyembunyikan RM300 juta di luar negara tidak benar sama sekali.

Beliau merujuk surat layang ditulis seseorang yang menggunakan nama “Toyol of Selangor” dengan mendakwa Azmin memiliki wang bernilai ratusan juta dalam pelbagai mata wang dan disimpan dalam 54 akaun bank di Malaysia, Indonesia, Singapura, Dubai, Hong Kong, India, Shanghai, Abu Dhabi, Australia, Zurich dan Amerika Syarikat.

Baru-baru ini, tersebar dakwaan bahawa deposit AS$741,000 yang dicatatkan dari akaun Maybank milik UEM Group ke akaun Deutsche Bank Azmin di luar negara.

Dakwaan itu tersebar dengan empat video lucah yang dikaitkan dengan dirinya pada 12 Jun lalu. -MalaysiaGazette

Gas aneh dikesan di Pasir Gudang – Bee Yin


Nizam Zain


Yeo Bee Yin

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin

PUTRAJAYA – Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) mengesan kehadiran gas methyl mercaptan dalam insiden pencemaran udara di Pasir Gudang, Johor.

Menterinya, Yeo Bee Yin menyifatkan kehadiran gas itu sebagai satu keganjilan menyebabkan persekitran udara di Pasir Gudang menjadi tepu dan berisiko tinggi kepada kanak-kanak dan penghidap asma.

Lebih mengejutkan, katanya, apabila gas acrylonitrile dan acrolein di Pasir Gudang itu adalah gas yang sama dikesan ketika kes pencemaran di Sungai Kim-Kim beberapa bulan lalu.

“Bagaimanapun, ketiga-tiga gas itu tidak dikesan dalam sampel darah dan air kencing pesakit,” katanya dalam sidang media bersama Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad di Kementerian Kesihatan di sini hari ini.

Pada 20 Jun lalu, 14 pelajar dan dua dewasa dari Sekolah Agama Taman Mawar (SATM), manakala 13 lagi murid Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Gudang (4), mengalami sesak nafas, loya dan muntah, dipercayai akibat pencemaran udara.

Kejadian itu menyusul hanya kira-kira tiga bulan selepas kawasan sepanjang 1.5 kilometer di Sungai Kim Kim tercemar akibat pembuangan sisa toksik yang menjejaskan hampir 6,000 penduduk.

Ketika ini, Pasir Gudang mempunyai 2,005 kilang berlesen dan 250 daripadanya berasaskan bahan kimia.

Beliau juga berkata, pihaknya telah mengambil langkah segera termasuk melupuskan penyumbang kepada kehadiran semua gas berkenaan dan meneruskan usaha penguatkuasaan dan pemantauan ke atas kilang-kilang berasaskan bahan kimia.

Katanya, insiden pencemaran udara di Pasir Gudang baru-baru ini juga akibat pembangunan kawasan itu yang tidak lestari memberi kesan jangka panjang negatif terhadap alam sekitar.

“Kepesatan pembangunan dan kepadatan industri kimia yang tinggi di Pasir Gudang menjadi penyumbang utama kepada impak ‘loading capacity’ persekitaran termasuk udara, tanah dan sungai.

“Pembangunan tidak lestari ini menyebabkan alam sekitar menjadi tepu dengan pelbagai gas atau wap yang terampai di udara, pelepasan afluen yang tidak dikawal rapi di perparitan dan saliran, sekali gus menyebabkan persekitaran tidak stabil dan amat sensitif.

“Pembangunan Pasir Gudang yang tidak lestari juga menyebabkan ketiadaan zon penampan antara industri berasaskan bahan kimia dengan kawasan sekolah, perumahan dan pusat aktiviti masyarakat, sekali gus mendedahkan penduduk kepada risiko bencana kimia,” katanya.

Katanya lagi, pihaknya akan membina stesen pencerapan gas automatik yang dapat memberi amaran bencana kimia lebih cekap dan pantas.

“Ini dapat membantu pihak berkuasa bertindak lebih proaktif. Pasir Gudang akan menjadi kawasan industri berat pertama mempunyai sistem pemantauan kualiti persekitaran secara automatik di negara ini.

“Reka bentuk struktur dan sistem stesen pemantauan ini akan ditentukan berdasarkan kajian yang akan dijalankan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette