Sabtu, 30 Jun 2018

KU LI AKAN USAHA KEMBALIKAN WANG UMNO




Tengku Razaleigh Hamzah berikrar akan mengembalikan wang UMNO yang dibekukan secepat mungkin sekiranya beliau diangkat sebagai Presiden UMNO Sabtu nanti.

Calon Presiden UMNO itu berkata, tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu mengikut undang-undang dan setiap tindakan ada reaksi yang boleh diambil.

“Kita akan mencari jalan bagaimana boleh mencairkan (aset). Apa yang sah harta parti seberapa cepat yang boleh kita akan selamatkan,” katanya di kediamannya di Langgak Golf, Kuala Lumpur pada Khamis.

Sebelum itu, Pemangku Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan yang SPRM sudah membekukan akaun bank UMNO Malaysia dan UMNO Selangor.

Sementara itu, dalam ucapannya, Tengku Razaleigh menyatakan keyakinan bahawa UMNO mampu menebus kekalahan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) tanpa menunggu lima tahun.

“Kita mungkin boleh (kembali) berkuasa lebih awal jika bertindak dengan keinsafan, mengubah cara bertindak dan ‘berlagak’ dengan orang di akar umbi, ” katanya.

Beliau berkata, perjuangan UMNO yang ada tidak perlu diubah sebaliknya parti itu perlu memulangkan balik integriti dan kredibiliti parti.

“Kita perlu menarik kembali keyakinan dan kepercayaan orang ramai kepada kita. UMNO dalam aspek perjuangan sangat sempurna dan tidak perlu kita menimbang membuka UMNO kepada orang lain (bangsa lain).

“Kalau hendak menjadi parti yang pelbagai kaum, mereka boleh masuk DAP. UMNO adalah parti orang Melayu,” katanya.


Tiada ulasan: