RAKYATNEWS
KUALA LUMPUR - Berikut ialah kronologi operasi Mencari dan
Menyelamat (SAR) pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH370
selepas hampir 11 bulan terputus hubungan dengan Menara Kawalan Trafik
Udara pada 2.40 pagi, 8 Mac 2014.
Pesawat itu hilang di 120 batu nautika dari timur Kota Kinabalu di Laut
China Selatan, dan tiada sebarang isyarat kecemasan diterima daripada
pesawat B777-200 itu yang membawa 239 orang.
Pesawat itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) pada
12.41 tengah malam dan dijadual mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari
sama.
Penumpang terdiri daripada 38 warganegara Malaysia, China (153),
Indonesia (tujuh), Australia (tujuh), Perancis (tiga), Amerika Syarikat
(tiga), New Zealand (dua), Ukraine (dua), Kanada (dua), Rusia (seorang),
Itali (seorang), Taiwan (seorang), Belanda (seorang), dan Austria
(seorang).
Susulan kejadian itu, Malaysia melancarkan operasi SAR antarabangsa dan
sehingga hari ini, pencarian pesawat itu masih dijalankan.
Berikut ialah urutan peristiwa operasi SAR MH370 :-
* 8 Mac (Hari 1) - Operasi SAR bagi mencari pesawat MH370 dilancarkan
pada 5.30 pagi, yang melibatkan 15 pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia
(TUDM) termasuk empat Hercules C130, sebuah CN235, empat EC725 dan dua
helikopter Augusta, serta sembilan kapal terdiri daripada enam kapal
Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan tiga kapal Agensi Penguatkuasaan
Maritim Malaysia (APMM) di Laut China Selatan.
* 9 Mac (Hari 2) - Panglima Angkatan Tentera Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin
berkata kawasan carian diperluaskan dari Laut China Selatan ke Selat
Melaka.
- Beberapa negara termasuk Singapura, Vietnam, Indonesia, China dan
Amerika Syarikat mengerahkan anggota dan aset mereka untuk membantu
carian itu.
- Radar TUDM merekodkan pesawat MH370 (dan disahkan kemudian) menuju ke
arah pantai barat Semenanjung Malaysia melalui Selat Melaka sebelum ia
hilang 200 batu nautika dari barat laut Pulau Pinang pada 2.15 pagi.
* 10 Mac (Hari 3) - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berjanji
bahawa kerajaan akan melakukan yang terbaik dalam operasi SAR MH370. -
APMM menerima keputusan ujian tumpahan minyak yang dikesan di luar
pantai Vietnam. Ia menunjukkan keputusan negatif untuk bahan api
pesawat. Minyak itu digunakan sebagai bahan api kapal kargo.
* 12 Mac (Hari 5) - Menteri Pengangkutan dan Pemangku Menteri
Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menjelaskan beberapa isu:
kemungkinan MH370 terbang melepasi Selat Melaka, kerjasama pakar-pakar
penerbangan antarabangsa dan manifes Penerbangan MH370.
* 14 Mac (Hari 7) - carian antarabangsa diperluaskan ke arah barat
Lautan Hindi. - USS Kid milik Armada Ketujuh Tentera Laut Amerika
Syarikat (AS) tiba di seksyen barat laut Selat Melaka untuk membantu
usaha carian.
* 15 Mac (Hari 8) - Perdana Menteri Malaysia berkata komunikasi terakhir
pesawat MH370 dengan satelit kemungkinan berlaku di satu daripada dua
koridor iaitu koridor utara meliputi kawasan utara Thailand ke sempadan
Kazakhstan dan Turkmenistan atau koridor selatan merangkumi Indonesia ke
selatan Lautan Hindi
- Najib berkata pesawat itu diterbangkan selama berjam-jam secara
'perlahan yang konsisten' selepas ia hilang daripada radar utama.
- Najib berkata misi SAR memasuki fasa baharu di koridor utara dan
koridor selatan. Australia dan Indonesia menegetuai carian di kawasan
masing-masing. Sejumlah 26 negara terlibat dalam operasi carian itu.
- Najib berkata operasi SAR ditamatkan di Laut China Selatan.
* 16 Mac (Hari 9) - Hishammuddin berkata pegawai-pegawai Malaysia saling
berhubung dengan 15 negara di sepanjang koridor utara dan koridor
selatan untuk mendapatkan bantuan berhubung pesawat MH370.
* 17 Mac (Hari 10) - Hishammuddin berkata operasi multinasional SAR
melibatkan 26 negara bermula di koridor utara dan koridor selatan.
* 18 Mac (Hari 11) - Hishammuddin berkata kawasan operasi SAR di koridor
utara dan koridor selatan adalah sejumlah 2.24 juta batu nautika
persegi.
- Beliau berkata operasi carian memberi tumpuan kepada empat tugasan;
mengumpul maklumat daripada pengawasan satelit; analisis data radar
pengawasan; meningkatkan aset udara dan darat selain menambah pakar
teknikal dan pakar bidang berkaitan.
- Tiga juta orang menyertai satu daripada usaha penyumberan terbesar
yang diketuai oleh pengendali satelit, DigitalGlobe, untuk mencari di
kawasan SAR MH370 seluas 24,000 kilometer, dengan lebih banyak imej
diberikan setiap hari termasuk kawasan di Lautan Hindi.
* 19 Mac (Hari 12) - Hishammuddin menolak laporan yang mendakwa pesawat MH370 dilihat terbang rendah di Maldives.
* 20 Mac (Hari 13) - Perdana Menteri Australia Tony Abbot menghubungi
Najib pada 10 pagi untuk memberitahu objek yang mungkin berkaitan dengan
MH370, dikesan di selatan Lautan Hindi, yang terletak kira-kira 2,500
kilometer dari barat daya Perth.
- Hishammuddin berkata operasi SAR diteruskan walaupun dengan penemuan objek oleh Australia, sehingga pengesahan lanjut dibuat.
* 21 Mac (14 Hari) - Malaysia masih menunggu maklumat daripada pihak
berkuasa Australia sama ada objek yang dilihat di selatan Lautan Hindi
pada Khamis berkaitan dengan penerbangan MH370.
* 22 Mac (Hari 15) - Hishammuddin berkata tiada objek dikesan seperti
yang dikenal pasti pihak berkuasa Australia di kira-kira 2,500 kilometer
barat daya Perth.
* 23 Mac (Hari 16) - Hishammuddin berkata Malaysia menyampaikan cerapan
imej baharu satelit daripada pihak berkuasa Perancis kepada pusat
penyelarasan carian Australia.
* 26 Mac (Hari 19) - Najib berkata Malaysia dan China akan terus bekerjasama rapat dalam carian MH370.
- Hishammuddin berkata imej baharu satelit mengesan 122 objek berpotensi
yang mungkin berkaitan dengan pesawat MH370 di kira-kira 2,557
kilometer dari Perth, Australia.
* 27 Mac (Hari 20) - Hishammuddin berkata Malaysia bersedia untuk
menghantar pasukan ke Perth, Australia yang merangkumi DCA (Jabatan
Penerbangan Awam), MAS, TLDM dan TUDM.
- Lembaga Keselamatan Maritim Australia (AMSA) berkata 11 pesawat dan
lima kapal pasukan carian multinasional ditugaskan mencari pesawat
Boeing 777-200ER di selatan Lautan Hindi.
- Carian dibahagikan kepada dua kawasan dalam jarak sama meliputi 78,000 kilometer persegi.
* 28 Mac (Hari 21) - AMSA berkata kawasan carian MH370 beralih kepada
lokasi 1,100 kilometer ke timur laut berdasarkan nasihat terkini oleh
pasukan penyiasat antarabangsa di Malaysia.
- Kawasan carian baharu adalah kira-kira 319,000 kilometer persegi dan
sekitar 1,850 kilometer di barat Perth. - Amerika Syarikat menghantar
pesawat kedua P-8 Poseidon Patrol dari Armada Ketujuh ke Perth,
Australia untuk membantu usaha carian.
* 31 Mac (Hari 24) - Pihak berkuasa mempunyai kira-kira seminggu untuk
mencari bukti fizikal terutamanya kotak hitam MH370 kerana isyarat yang
dipancarkan daripada kotak hitam bergantung kepada kuasa bateri yang
hayatnya berakhir selepas 30 hari.
- Operasi carian multinasional telah mengenal pasti kawasan seluas
254,000 kilometer persegi di Lautan Hindi, kira-kira 1,850 kilometer di
barat Perth, Australia, sebagai kawasan kemungkinan pesawat itu
berakhir.
- Hishammuddin berkata 10 termasuk satu pesawat awam dan 10 kapal
meninjau kawasan carian untuk mencari serpihan yang mungkin berkaitan
dengan MH370.
* 1 April (Hari 25) - AMSA berkata 10 pesawat dan sembilan kapal sedang
mencari MH370 dengan kawasan carian meliputi kira-kira 120,000 kilometer
persegi.
- Kerajaan Australia melancarkan Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC) untuk menyelaraskan carian MH370.
* 2 April (Hari 26) - AMSA berkata 10 pesawat dan sembilan kapal mencari MH370 di kawasan seluas 221,000 kilometer persegi.
* 3 April (Hari 27) - Najib tiba di Perth, Australia untuk melihat
sendiri operasi carian MH370 dan mengadakan pertemuan dengan Abbott.
- JACC berkata kawasan carian meliputi kira-kira 223,000 kilometer
persegi iaitu kira-kira 1,680 kilometer barat-utara-barat Perth,
Australia dengan melibatkan lapan pesawat dan sembilan kapal.
* 4 April (Hari 28) - JACC berkata carian MH370 memasuki fasa baharu
dengan pendekatan operasi dasar laut di selatan Lautan Hindi untuk
mengesan 'pinger' kotak hitam.
* 5 April (Hari 29) - JACC berkata pengesan kotak hitam yang digunakan
oleh kapal peronda Haixun 01 milik China mengesan dua isyarat detik di
selatan Lautan Hindi.