Sabtu, 30 Jun 2018

Saya antara sebab Umno kalah PRU14, kata Najib

THE MALAYSIAN INSIGHT
Bekas presiden Umno Najib Razak menggambil tanggungjawab terhadap kegagalan partinya memenangi Pilihan Raya Umum ke-14, sambil mengakui yang beliau adalah antara faktor yang menyebabkan kekalahan itu. – Gambar fail The Malaysian Insight
 
BEKAS presiden Umno Najib Razak mengambil tanggungjawab terhadap kegagalan partinya memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), sambil mengakui yang beliau adalah antara faktor yang menyebabkan kekalahan itu.

Katanya, ia juga adalah sebab mengapa beliau melepaskan jawatan presiden Umno meskipun terdapat kelemahan di setiap peringkat parti.

“Ya… memang parti lawan serang kita dan buat pelbagai janji palsu, tetapi kita juga ada kelemahan dalaman. Walaupun saya terima tanggungjawab moral kekalahan ini dengan meletakkan jawatan, tetapi hakikatnya kelemahan dan kepincangan berlaku berlaku semua peringkat dalam parti.

“Saya yang menanggung, yang lain semuanya senyap sepi. Tetapi tak mengapalah, mereka tidak perlu letak jawatan, kalau semua letak jawatan, lumpuhlah,” kata bekas perdana menteri itu dalam ucapan perasmian mesyuarat Umno bahagian Pekan, hari ini.

Beliau turut menggesa ahli Umno untuk kembali kepada asas perjuangan parti Melayu itu.

“(Kita) juga (perlu) ubah sikap, nilai, pendekatan, perilaku kita dan segalanya supaya kita ini kembali rakyat,” katanya.

Beliau berkata sudah tiba masanya untuk ahli Umno meninggalkan amalan politik wang.

“Semasa PRU lalu, kita tewas kepada parti yang tidak mengeluarkan belanja yang banyak, pejabat bahagian pun entah di mana, pondok panasnya tutup yang paling awal, tetapi kita walaupun berpusu-pusu ke bangsal (semasa kempen), tetapi kalah.

“Kita apabila tak dapat duit merajuk, apabila bagi duit, dah dapat duit, kata belum dapat. Ada pula calon tidak belanja dan sorok peruntukan, macam mana kita tidak kalah, jika kita ada sikap sebegini, maknanya kita sendirilah sebenarnya punca kekalahan parti,” katanya.

Beliau dalam pada itu turut mempersoalkan tindakan kerajaan membekukan akaun Umno.

Najib menyifatkan tindakan itu sebagai keterlaluan kerana Umno sebagai parti politik tidak seharusnya dihukum

“Barisan Nasional dan Umno sudah tewas dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 baru-baru ini. Hari ini, kita berdepan pula akibatnya termasuk membekukan akaun Umno, akaun beberapa parti dalam BN dan Umno Negeri.

“Jika mereka mahu melakukan siasatan teruskan, tetapi kenapa perlu membekukan akaun berkenaan. Sepatutnya tindakan diambil terhadap individu dan bukannya parti dan ahlinya.

“Umno adalah parti politik di bawah sistem demokrasi dan mempunyai tanggungjawab ke atas rakyat…kita tidak menubuhkan parti ini untuk suka-suka, tetapi perlu menguruskan daripada peringkat akar umbi di cawangan, bahagian dan negeri,” katanya.

Tiada ulasan: