Khamis, 28 Jun 2018

Sukar untuk Bersatu tembusi Sarawak, kata pakar

Penganalisis politik berkata sukar untuk parti yang diasaskan di semenanjung hendak bertahan dan berjaya menawan pengundi di Sarawak. – Gambar AFP, 

TIDAK ada apa yang dapat menghalang Bersatu datang ke Sarawak tetapi Dr Mahathir Mohamad dan partinya patut belajar satu, dua perkara daripada sekutunya, PKR tentang bagaimana keadaannya menubuhkan pangkalan di negeri itu, kata pemerhati politik.

Penganalisis politik Jeniri Amir berkata logistik di Sarawak sangat berbeza berbanding di semenanjung.

“Bukan senang untuk buka cawangan di Sarawak,” katanya.

Pensyarah Universiti Malaysia Sarawak itu berkata PKR mengambil masa 19 tahun sebelum ia dapat menang mana-mana kerusi Parlimen.

PKR yang bertanding kali pertama di negeri itu pada PRU 1999, masih belum menang satu pun kerusi Melayu.

Bukti betapa sukarnya perjuangan, bekas timbalan pengerusi PKR Sarawak Abang Zulkifli Abang Engkeh melepaskan jawatannya untuk bertanggungjawab atas kekalahan parti memenangi satu kerusi Melayu pada pilihan raya negeri 2011.

Jeniri mengulas kenyataan Dr Mahathir yang juga pengerusi Bersatu bahawa parti itu bercadang menyertai politik Sarawak kerana “semua parti Pakatan Harapan (PH) sudah berada di Sarawak”.

“Tidak ada alasan untuk Bersatu tidak ikut serta,” kata perdana menteri.

Jeniri berkata padang dalam merebut undi Melayu juga semakin sesak kerana selain Bersatu, parti Melayu baharu, Parti Sedar Rakyat Sarawak (Sedar) juga berharap menyertai pilihan raya negeri 2021.

Sedar dilaporkan ada kaitan dengan PKR.

Dengan Bersatu bercadang untuk ke Sarawak, ada juga pendapat mengatakan Umno mungkin melakukan perkara yang sama kerana barisan pemerintah sudah keluar daripada Barisan Nasional.

Jeniri berkata beliau ragu-ragu sama ada Bersatu akan dapat menarik undi Melayu dalam keadaan sesak seperti itu.

Katanya, satu lagi sebab kenapa Bersatu akan mendapati masuk ke Sarawak itu sukar ialah kerana faktor kebimbangan bahawa masyarakat Melayu akan berpecah dan hilang kuasa.

Beliau merujuk kepada kedudukan orang Melayu yang walaupun membentuk 24% daripada 2.4 juta populasi di negeri itu, tetapi mereka memegang kedudukan dalam kerajaan dan perkhidmatan awam.

“Itu faktor kebimbangan yang menyebabkan Melayu terus menyokong PBB. Dan ini menyebabkan parti berasaskan semenanjung seperti PKR atau PAS tidak begitu menarik dan memberikan PBB dapat memegang sokongan Melayu berdekad lamanya,” kata Jeniri.

Jeniri berkata kajian yang dibuatkan tahun lalu mendapati 92% Melayu tidak mahu Umno membuka cawangan di Sarawak.

Penganalisis politik James Chin, berkata ia langkah yang baik untuk Bersatu membuka cawangan di negeri itu.

Pengarah Institut Asia Universiti Tasmania, Australia itu berkata mungkin sudah tiba masanya untuk PBB berdepan persaingan sebenar.

Beliau bagaimanapun berkata parti berasaskan semenanjung perlu menyelesaikan dulu masalah mereka.

Chin berkata untuk Bersatu diterima, ia sangat bergantung pada siapa pemimpin Bersatu Sarawak terutama ketua perhubungan negeri.

Katanya, jika Bersatu boleh menampilkan tokoh senior terkemuka daripada masyarakat Muslim di negeri itu atau pemimpin kanan daripada PBB untuk menyertai mereka, maka mereka akan dapat membina satu momentum.

Beliau berkata cara terbaik ialah mula mencari ahli PBB dan GPS yang mahu keluar parti.

“Itu caranya bagaimana Bersatu bermula, (dengan bekas pemimpin Umno). Mereka boleh guna taktik sama di Sarawak.”

Chin berkata ujian sebenar untuk Bersatu dan PH ialah pada pilihan raya negeri 2021

Tiada ulasan: