Oleh Syed Iskandar Syed Jaafar Al Mahdzar
Dengan keputusan peguam negara untuk mengiktiraf wang derma berbilion ringgit kepada pegawai
tinggi kerajaan sebagai tidak melakukan sebarang kesalahan maka
memudahkan para pengamal undang-undang yang membela anggota polis, JPJ
dan kakitangan kerajaan lain yang dituduh menerima rasuah.
Para peguam temasuk penulis tidak akan ragu berhujah dalam mahkamah
yang anak guam masing-masing cuma menerima derma saja bukannya suapan.
Sekalipun
derma adalah satu kesalahan mengikut Akta SPRM 2009 namun disebabkan
keputusan peguam negara yang terbaru maka ia boleh menjadi satu asas
yang kukuh untuk memohon kepada mahkamah yang mulia supaya membebaskan
anak guam masing-masing.
Dengan pengumuman peguam negara juga, para penerima rasuah boleh lah
terus menerus menerima rasuah seperti biasa dan menyimpan wang tunai di
setiap sudut rumah dan juga ditanam di dalam tanah tanpa ragu kerana
mereka tahu yang mereka kini akan terlepas daripada hukuman selepas
mereka didakwa di mahkamah nanti.
Malah pernah ada kes yang satu bilik khas dalam rumah digunakan untuk menyimpan wang tunai.
Kini golongan ini tidaklah perlu risau lagi.
Pegawai pejabat tanah yang terlibat dengan kes bauksit pun tidak perlu
risau lagi, tenangkan fikiran kerana mengetahui mereka akan dibebaskan
bila tiba hari bicara di mahkamah nanti.
Semalam satu kes
dibawa ke Mahkamah Rayuan di hadapan panel 3 hakim Mahkamah Rayuan di
mana peguambela Manjit Singh Dhillon dalam kes berkenaan merayu agar
perayu dibebaskan daripada hukuman rasuah kerana menerima derma politik
ketika negeri Selangor di bawah Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai menteri
besar, perayu adalah pegawai khas menteri besar Selangor ketika itu.
Malah peguambela membacakan hansard Parlimen kepada Mahkamah Rayuan di
mana seorang menteri berkata tiada sebarang undang-undang yang
mengatakan menerima derma politik itu satu kesalahan.
Mahkamah Rayuan menangguhkan keputusan rayuan.
Perlu disebut yang timbalan pendakwaraya bagi pihak SPRM cuba berhujah
yang perayu yang menerima derma politik juga membuka akaun yang
berbeza yang menunjukkan unsur tidak jujur untuk menerima derma
politik.
Namun perayu tetap tidak perlu bimbang kerana kes
terbesar berbilion ringgit yang diputuskan peguam negara juga penerima
derma politik tidak memasukkan wang ke akaun partinya tetapi sebaliknya
kepada beberapa akaun peribadinya sendiri juga dianggap tiada kes
malah peguam negara mengarahkan kes berkenaan ditutup.
Malaysia ini menjadi negara paling bertuah untuk pegawai kerajaan
menerima wang sekalipun dengan kadar yang banyak yang cuma perlu
dianggap derma bukan lagi suapan.
Justeru, adalah dicadangkan
peguam negara membawa pindaan kepada Akta SPRM 2009 untuk membatalkan
derma dan menerima derma sebagai pemegang amanah sebagai satu kesalahan
.
Perlembagaan Persekutuan juga dicadangkan dipinda untuk
memudahkan seseorang yang tiada kelulusan undang undang hatta darjah 6
sahaja sekalipun layak dilantik menjadi peguam negara memandangkan
semakin bodoh peguam negara semakin mudah segala bentuk perbuatan
jenayah tidak lagi dikategorikan sebagai jenayah.
Kriteria
baru paling penting untuk menjadi peguam negara selepas pindaan
Perlembagaan ialah pernah aktif dalam parti politik dan pernah
bertanding dalam pilihan raya umum mewakili mana-mana parti politik .
Peguam negara juga berkata mana-mana pihak yang tidak berpuas hati
dengan keputusannya boleh merujuk kepada Mahkamah Persekutuan untuk
tafsiran.
Mahkamah Persekutuan ialah tempat berkerja asal
peguam negara selepas dinaikkan pangkat secara ekspres selepas menjadi
persuruhjaya kehakiman pada 2003.
Justeru Mahkamah Persekutuan mungkin forum yang kurang sesuai untuk tujuan itu.
Satu mekanisma baharu perlu diluluskan Parlimen contohnya biarlah
peguam negara menjawab terus kepada ahli Parlimen walaupun ramai yang
dungu namun Dewan Rakyat masih ada Rafizi , Tony Phua, Nurul Izzah, Lim
Kit Siang dan lain yang sekalipun berhujah dengan fakta tetap akan
ditewaskan dengan sekadar undi golongan yang tidak mempunyai akal yang
waras kecuali menurut arahan ketua semata mata ataupun jika tidak
diarahkan sekalipun mempunyai semangat kesukanan mengampu yang tinggi.
Majulah mengampu untuk negara.
Inilah transformasi yang paling berjaya iaitu menghalalkan jenayah
suapan sebagai derma halal yang boleh diterima dan dipulangkan bakinya
tanpa pengetahuan penderma , sekalipun taklimat tertutup dan kenyataan
terbuka beberapa orang pemimpin parti berkenaan pernah mengisytiharkan
keseluruhan wang derma berbilion ringgit dibelanjakan untuk pilihan
raya. Wallahualam.
*Dr Syed Iskandar Syed Jaafar Al Mahdzar adalah peguambela dan peguamcara.