Ahad, 31 Oktober 2021

Malaysia bakal buka empat pintu sempadan baharu

HAMZAH Zainudin (kanan) mendengar penerangan daripada Pengarah Urusan Datasonic Berhad, Wan Zalizan Wan Jusoh (kiri baju putih) semasa lawatan kerja ke CIQ Desaru Coast, Johor, hari ini.

MALAYSIA akan membuka empat pintu sempadan antarabangsa baharu menjelang akhir tahun ini atau suku pertama tahun hadapan.

Perkara tersebut diumumkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin dalam sidang akhbar selepas meninjau Terminal Feri Antarabangsa Desaru Coast, Johor, hari ini.

Menurut Hamzah, empat pintu sempadan itu membabitkan Terminal Feri Antarabangsa Desaru Coast; Telok Melano dan Baleh di Sarawak serta Lembah Silika di Terengganu.

Hamzah berkata, pembukaan empat pintu sempadan antarabangsa itu bukan sahaja sebagai persediaan kemasukan pelancong, malah mampu melonjakkan ekonomi di kawasan berkenaan.

“Bagi Terminal Feri Antarabangsa Desaru Coast, Kota Tinggi, ia sudah bersedia untuk dibuka sepenuhnya dengan tinjauan hari ini mendapati semua agensi juga bersedia ditempatkan di kemudahan ini.

“Kita hanya tunggu pengumuman pembukaan sempadan sahaja bagi terminal ini beroperasi dan kita jangkakan menjelang Tahun Baharu Cina ia sudah boleh dibuka,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro.

Hamzah memaklumkan, Terminal Feri Antarabangsa Desaru Coast turut dilengkapi sistem e-gate automatik imigresen dua arah pertama di Malaysia.

Kata beliau, sistem e-gate generasi baharu itu menawarkan pintu buaian berganda dengan ciri keselamatan menjadikan pemeriksaan imigresen lebih pantas ketika waktu puncak.

“Bagi pintu sempadan antarabangsa di Telok Melano dan Baleh (laluan darat) serta Lembah Silika, Terengganu (pintu masuk laut) pula, ia masih lagi dalam pembinaan dan dijangka siap tahun depan,” jelas beliau.

Bajet 2022 yang dibentangkan Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz semalam menyaksikan sektor pertahanan dan ketenteraman awam terus diutamakan selepas kerajaan meluluskan empat pintu masuk imigresen baharu.

Antara pintu masuk baharu yang diumumkan antaranya di Telok Melano dan Baleh, Sarawak bagi memenuhi keperluan peningkatan pergerakan melalui imigresen susulan perubahan ibu negara Indonesia ke Kalimantan dan pembukaan Lebuh Raya Pan Borneo jajaran Telok Melano.

Dilengkapi sepenuhnya dengan kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) serta kemudahan maritim, Terminal Feri Desaru Coast akan melancarkan perjalanan antarabangsa ke Malaysia dengan akses terus dari Singapura, kepulauan Riau di Batam dan Kepulauan Bintan.

Terminal Feri Desaru Coast akan memulakan operasinya dengan Terminal Feri Tanah Merah, Singapura, pada 60 hingga 90 hari selepas pengumuman pembukaan semula sempadan antarabangsa.

Ia mampu memproses kemasukan 300 penumpang pada setiap waktu ketibaan dengan jangkaan kira-kira 102,000 kemasukan penumpang setahun.

DISYORKAN UNTUK ANDA:

 MEDAN BERITA POLITIK DALAM KEMBAR BLOG  ' AR RISALAH    

Dadah RM4.2 juta dirampas, suami isteri dalang utama ditahan – JSJN

Razarudin Husain menunjukkan dadah yang dirampas hasil empat serbuan baru-baru ini pada sidang media di IPK Johor hari ini./ Gambar FB Polis Johor

SEBANYAK RM4.2 juta dadah berjaya dirampas hasil empat serbuan di sekitar Johor Bahru pada 21 hingga 28 Oktober lalu.

Dadah tersebut termasuk syabu seberat 115.1 kilogram selain turut merampas dadah lain dalam kuantiti lebih kecil seperti pil yaba, ekstasi dan ketamin.

RAZARUDIN HUSAIN./ Gambar FB Polis Johor.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Razarudin Husain berkata, dalam empat serbuan itu, polis telah menahan tujuh individu.

Katanya, ini termasuk mastermind yang merupakan sepasang suami isteri dan enam daripada tujuh suspek didapati positif dadah.

Menurut beliau, kesemua tangkapan berusia 39 hingga 48 tahun ini telah ditahan reman dan berakhir esok.

“Lima suspek yang ditahan mempunyai kesalahan jenayah lampau antaranya berkait dadah dan jenayah lain,” katanya dalam sidang media di IPK Johor.

Selain siasatan di bawah Seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya, kata Rizarudin, tindakan melucutkan hak suspek juga akan dilakukan selain Langkah-Langkah Pencegahan Khas.

Katanya, antara yang disita dan lucut hak ialah lima kenderaan, 11 akaun, wang tunai dan barang kemas yang berjumlah RM689,000.

“Turut akan disita ialah hartanah milik suspek berupa bangunan,” jelasnya.

Kata beliau, mereka yang ditahan itu sudah lama terlibat dengan pengedaran dadah.

“Kita juga percaya jenayah mereka turut melibatkan pasaran antarabangsa.

“Mereka terlibat membuat pembungkusan semula,” ujarnya.

Lumayan, wang kertas RM50 edisi khas terjual dengan harga RM708,000

Wang kertas RM50 edisi khas yang dikeluarkan sempena sambutan Hari 
Kebangsaan ke-50.

PETALING JAYA: Mungkin ramai yang terpaksa menghentikan aktiviti pelaburan seketika akibat pandemik Covid-19, namun ia tidak menjejaskan aktiviti pengumpul syiling dan wang kertas apabila koleksi lama itu terus dilelong pada harga yang tinggi ketika ini.

Menurut Pengarah Trigometric Auctions, Hann Boom, sekeping wang kertas RM50 edisi khas keluaran 2007 berjaya dijual dengan harga RM708,000 dalam sebuah acara lelongan pada Julai.

Pada lelongan minggu lalu pula, wang kertas Sarawak $25 keluaran 1929 dijual pada harga RM212,400 dan wang kertas $1 Malaya 1940 yang dikeluarkan ketika pentadbiran British, terjual pada harga RM188,800.

Acara itu saja telah berjaya menjana pulangan berjumlah RM8 juta yang disertai oleh kira-kira 700 pembeli.

“Semua wang kertas ini dibeli oleh mereka sendiri, mungkin sebagai pelaburan. Mereka mungkin menyimpannya seketika dan menjual semula pada harga lebih tinggi. Wang kertas RM50 itu adalah edisi khas yang dikeluarkan sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-50,” katanya kepada FMT.

Mengenai wang kertas Sarawak itu pula, Hann berkata sebenarnya hanya terdapat 10 keping wang itu di seluruh dunia dan lima daripadanya telah digred oleh syarikat bebas berpangkalan di Amerika Syarikat (AS).

“Kami menghantar syiling atau wang kertas kepada syarikat ini yang akan menilai dan melakukan penggredan. Harganya juga bergantung kepada bagaimana ia disimpan oleh pemiliknya. Ia disimpan dalam sarung supaya tidak terdedah dengan udara dan objek lain yang boleh merosakkan wang kertas itu,” katanya.

Han berkata, sekeping syiling 10 sen asli Malaysia yang dikeluarkan pada 1971 pernah terjual pada harga lebih RM2,000 kerana ia terhad dan jarang ditemui.

Katanya, ramai yang menceburi perniagaan membabitkan hiburan malam dan gimnasium sebelum ini beralih kepada pelaburan itu selepas terjejas teruk akibat pandemik.

“Ada sebahagiannya memang pengumpul barangan lama termasuk wang lama manakala sebahagian lain melakukannya sebagai satu pelaburan.”

Katanya, mata wang yang digunakan ketika kewujudan Negeri-Negeri Selat dan zaman penjajahan Jepun juga mampu meraih harga yang lumayan namun ia bergantung kepada keadaan dan cara penggredannya.

Hann juga seorang pengumpul tegar sejak kecil dan katanya hanya terdapat kira-kira 20 pengumpul sepertinya di Malaysia manakala 600 lagi melakukannya secara sambilan dan berhasrat menjual koleksi mereka selepas ini.

446 mangsa banjir di Kedah, 5 lagi PPS dibuka

Jumlah keseluruhan mangsa banjir di Kedah setakat pagi ini ialah seramai 
446 orang daripada 139 keluarga, menurut Bahagian Sekretariat Jawatankuasa 
Pengurusan Bencana APM. (Gambar Bernama)

ALOR SETAR: Lima lagi pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Kedah iaitu masing-masing melibatkan tiga PPS di daerah Baling manakala selebihnya di Pokok Sena.

Ketua Bahagian Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah Mohd Muaz Mohd Yusof berkata PPS di Baling itu ialah di Sekolah Kebangsaan (SK) Tengku Putera, SK Pulai dan SK Keda, manakala di Pokok Sena ialah PPS Surau Permatang dan Masjid Sungai Durian.

“Jumlah keseluruhan mangsa banjir di Kedah setakat pagi ini ialah seramai 446 orang daripada 139 keluarga termasuk mereka yang ditempatkan di PPS sedia ada di Dewan Rakan Sukan, Tanah Merah yang dibuka di daerah Pendang,” katanya dalam kenyataan.

“Setakat pagi ini, tujuh PPS di Baling menempatkan seramai 234 mangsa daripada 80 keluarga dan 36 orang daripada 14 keluarga ditempatkan di dua PPS di Pokok Sena manakala 176 orang daripada 45 keluarga berada di PPS yang dibuka di Pendang,” katanya.

Empat lagi PPS di Baling merangkumi SK Tanjung Pari, SK Siong, Dewan Orang Ramai Banggol Derom dan SK Titi Gantung.

15 pengunjung Pulau Pangkor dikompaun RM23,000 langgar SOP

Seramai 12 individu gagal mendaftar masuk premis menggunakan aplikasi 
MySejahtera dan tiga lagi tidak memakai pelitup muka, menurut polis. 
(Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Lupa dan tidak tahu mengimbas kod QR MySejahtera antara alasan 15 pengunjung Pulau Pangkor yang dikompaun RM23,000 kerana melanggar pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.

Ketua Polis Daerah Manjung Nor Omar Sappi berkata, kompaun bernilai keseluruhan RM23,000 itu dikenakan hasil pemantauan ke atas pengunjung di kedai makan, premis membeli-belah dan lokasi pelancongan sekitar pulau bebas cukai berkenaan.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati masih ada pengunjung yang tidak memakai pelitup muka dan tidak mendaftar masuk menggunakan aplikasi MySejahtera.

“Daripada jumlah kompaun yang dikeluarkan itu, 12 individu gagal mendaftar masuk premis menggunakan aplikasi MySejahtera dengan ada yang memberi alasan lupa dan tidak tahu (perlu) untuk mengimbas di aplikasi berkenaan,” katanya menurut laporan Sinar Harian.

Omar berkata, tiga lagi individu dikenakan kompaun kerana tidak memakai pelitup muka di tempat awam.

Tambah beliau, pemeriksaan bermula jam 10 pagi itu dibuat untuk memastikan semua pengunjung mematuhi SOP Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang masih berkuatkuasa.

“Orang ramai dinasihatkan untuk terus kekal mematuhi SOP sekali gus melaksanakan kawalan kendiri sebaik mungkin dalam menghadapi cabaran penularan virus ini,” katanya.

Ahmad Fadhli terajui Pemuda PAS penggal 2021-2023

Ahmad Fadhli Shaari yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas sebelum ini adalah 
Timbalan Ketua Pemuda PAS Pusat. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari diumumkan sebagai Ketua Pemuda PAS yang baharu bagi penggal 2021 hingga 2023, selepas penyandang sebelum, Khairil Nizam Khirudin tidak mempertahankan jawatan berkenaan.

Timbalannya pula Afnan Hamimi Taib Azamuddin yang sebelum ini bertindak sebagai Naib Ketua Pemuda PAS, manakala jawatan berkenaan diisi oleh Hanapi Zulkifli.

Keputusan itu diumumkan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pemilih Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) , Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman yang juga anggota Exco kerajaan Terengganu pada hari terakhir muktamar DPPM ke-62 sebentar tadi.

Pengundian secara e-pengundian diadakan petang semalam, disertai 636 daripada 709 perwakilan bermula jam 5.30 petang hingga 7.30 malam.

Seramai 90 perwakilan mengundi secara atas talian di Corus Paradise Resort Port Dickson, lokasi muktamar pada tahun ini.

Nurkhuzaini juga mengumumkan jawatan Pengerusi Tetap dan Timbalan Pengerusi Tetap menang tanpa bertanding, masing-masing disandang Riduan Mohd Nor dan Nor Azariza Mohd Alawi.

Pemeriksa Kira-Kira pula Mohd Ali Rajae dan Shahrir Abu Hassan.

Berikut adalah senarai penuh Ahli Jawatankuasa Dewan Pemuda PAS Malaysia Sesi 2021-2023:

KETUA PEMUDA
Ahmad Fadhli Shaari

TIMBALAN KETUA PEMUDA
Afnan Hamimi Bin Taib Azamuddin

NAIB KETUA PEMUDA
Hanafi Zulkapli

12 AHLI JAWATANKUASA

  1. Hafez Sabri (610 undi)
  2. Ahmad Nawfal Mahfodz (511 undi)
  3. Hanif Haron (483 undi)
  4. Muhd Khidhir Izaidin (479 undi)
  5. Khairul Nadzir (470 undi)
  6. Wan Abu Bakar (433)
  7. Arifiriazul Paijo (425 undi)
  8. Abdul Malik Abd Razak (424 undi)
  9. Hilmi Ismail (412 undi)
  10. Nurul Amin Hamid (412 undi)
  11. Mohd Saifuddin Hassan (376 undi)
  12. Ahmad Bilal Rahudin (355 undi)

Bilangan jemaah Solat Jumaat dinaikkan, kata Sultan Selangor

Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah akan boleh menerima kehadiran 
sehingga 3,500 jemaah berbanding 2,000 jemaah ketika ini.

SHAH ALAM: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menitahkan supaya jumlah ketetapan bilangan jemaah untuk Solat Jumaat bagi masjid-masjid dan surau-surau dengan kebenaran Solat Jumaat di Selangor, dinaikkan.

“Sebagai contoh, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah akan boleh menerima kehadiran sehingga 3,500 jemaah berbanding 2,000 jemaah ketika ini.

“Masjid-masjid Daerah dinaikkan kepada antara 700 hingga 1,000 jemaah bergantung kepada jumlah kapasiti masing-masing, manakala masjid-masjid Institusi pula ditambah kepada antara 500 hingga 1,200 jemaah, sementara Masjid Pengurusan antara 400 hingga 700 jemaah,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian setelah meneliti data-data terbaharu penularan wabak Covid-19 yang memperlihatkan statistik kematian harian telah menurun kepada satu digit bagi Selangor, menerusi kenyataan yang dimuat naik di Facebook Selangor Royal Official hari ini.

Mengikut statistik, sehingga 27 Okt 2021, jumlah kematian akibat Covid-19 di Selangor berjumlah 9,581 orang, di mana separuh daripadanya terdiri daripada orang Melayu beragama Islam.

Bagaimanapun, dengan kelonggaran terbaharu ini, baginda dengan tegas mengingatkan para jemaah agar mengambil serius dan terus berhati-hati serta sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan dan Jabatan Agama Islam Selangor ketika beribadat di dalam masjid.

Dalam masa sama, baginda berharap agar semua rakyat jelata sama-sama menggalas tanggungjawab untuk mengatasi penularan wabak Covid-19 ini.

“Kita mesti menang dan kembali menjalani kehidupan seperti sediakala dan beta tidak mahu kelalaian dalam mematuhi SOP ini menjadi punca kes positif Covid-19 kembali meningkat dan seterusnya memungkinkan berulangnya pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan,” titah baginda.

Baginda menzahirkan bahawa rakyat tidak mampu lagi berdepan dengan satu lagi ‘lockdown’ seperti yang berlaku sebelum ini, yang ternyata menyusahkan kehidupan seharian rakyat sehingga menjejaskan sumber pendapatan.

Untuk itu, baginda menyeru sekalian rakyat khususnya umat Islam agar menunaikan solat dan terus memohon doa ke hadrat Allah SWT, agar negeri dan negara yang kita kasihi ini dijauhi daripada wabak penyakit, bala dan malapetaka.

Kedah tak pernah ditadbir Siam, kata pakar sejarah

Pulau Pinang pernah menjadi wilayah Kedah dan ia adalah satu fakta yang 
diakui oleh penjajah British sendiri, menurut Ahmad Murad Merican.

GEORGE TOWN: Dakwaan yang mengatakan Kedah pernah dikuasai Thailand, yang ketika itu dikenali sebagai Siam dan sebab itu ia tidak mempunyai tuntutan sah ke atas Pulau Pinang, adalah tidak benar, kata seorang profesor tamadun Melayu.

Ahmad Murad Merican dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berkata, Pulau Pinang pernah menjadi wilayah Kedah dan ia adalah satu fakta yang diakui oleh penjajah British sendiri.

“Jika Kerajaan Siam mempunyai kedaulatan dan kuasa ke atas Kedah, mengapa Francis Light dan Syarikat Hindia Timur Inggeris bertemu sultan untuk menduduki Pulau Pinang?

“Kenapa Light tidak bertemu dengan raja Siam? Hakikatnya ialah Kedah adalah negeri berdaulat yang diiktiraf, walaupun oleh British sendiri,” katanya kepada FMT.

Murad yang mengetuai Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam berkata demikian ketika mengulas kenyataan Ahli Majlis Persatuan Warisan Pulau Pinang (PHT), Clement Liang yang berkata, Kedah adalah negeri di bawah Kerajaan Siam, dan Siam menyerahkan Pulau Pinang dan Province Wellesley kepada British dalam perjanjian pada tahun 1826.

Sambil memetik buku teks sejarah Thai dan muzium negara di Bangkok, Liang berkata Pulau Pinang atau Koh Mak adalah wilayah Siam pertama yang terlepas kepada kuasa Barat.

Katanya, Perjanjian Burney 1826 menyaksikan Kedah dan tiga negeri lain diiktiraf sebagai wilayah Siam, manakala Pulau Pinang dan Province Wellesley berada di bawah British.

Murad berkata tindakan Liang itu salah apabila beliau merujuk cerita sejarah Thailand sambil menjelaskan Siam dan British telah menandatangani perjanjian tanpa melibatkan raja Melayu di Kedah.

“Kenapa kita bergantung kepada perspektif dari negara lain mengenai sejarah kita?

“Ia adalah bersifat khianat dan menghasut apabila PHT membuat dakwaan seperti itu berdasarkan sejarah diceritakan oleh negara lain.”

Murad berkata, Kedah memiliki sejarah kesultanan tertua di dunia dan pada zaman kegemilangannya, ia memerintah dari Phuket ke Beruas di Perak dengan sebuah keluarga tunggal yang menduduki takhta hingga ke hari ini.

“Siam mungkin mempunyai sedikit kuasa ke atas Kedah pada satu ketika tetapi dakwaan mengatakan ia mempunyai kedaulatan ke atas Kedah adalah salah.

“Siam bukanlah jiran yang baik. Mereka telah merampas tanah daripada Melayu menerusi naratif dan perjanjian mereka. Mereka sentiasa menjadi musuh kepada orang Melayu,” katanya.

Sambil menyifatkan Siam sebagai “perompak tanah”, beliau berkata jika diberi peluang, mereka mungkin merampas seluruh Semenanjung Tanah Melayu.

Murad berkata, sebenarnya Pulau Pinang diduduki secara haram, dirompak dan dirosakkan oleh British, kerana ia adalah penempatan orang Melayu di bawah kesultanan Kedah.

Katanya, sehingga kini, tidak ada bukti kononnya berlaku perjanjian pajakan antara Francis Light dan sultan kedah ketika itu, Sultan Abdullah ketika pertama kali tiba di pulau itu pada 1786.

“Perjanjian itu kekal sebagai mitos.”

Fokus kerja, bukan sibuk hal nama produk, Teresa Kok bidas Tuan Ibrahim

Tuan Ibrahim Tuan Man seharusnya berpegang kepada objektif dan fungsi 
kementeriannya, menurut Teresa Kok.

PETALING JAYA: Seorang pemimpin DAP mengkritik tindakan Menteri Alam Sekitar dan Air Tuan Ibrahim Tuan Man yang mengeluarkan kenyataan di luar bidang kementeriannya susulan kontroversi arak jenama “Timah”.

Timbalan Setiausaha Agung DAP, Teresa Kok berkata, Timbalan Presiden PAS itu seharusnya berpegang kepada objektif dan fungsi kementeriannya, selain meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap perlindungan alam sekitar dan perubahan iklim.

Katanya, ketika ini Menteri Alam Sekitar negara luar sedang menghadiri Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Glasgow, Scotland namun Tuan Ibrahim bukan saja tidak hadir ke persidangan berkenaan malah keprihatinannya lebih kepada nama arak yang dikeluarkan oleh syarikat tempatan.

“Saya rasa lucu membaca kenyataannya. Saya tidak pasti sama ada Tuan Ibrahim faham tentang cabaran global dan tempatan yang dihadapi oleh kementeriannya di dalam kerajaan, dan sama ada beliau komited terhadap misi kementeriannya.

“Apakah ini menjadi tanggungjawab Menteri Alam Sekitar dan Air? Apakah nama wiski Malaysia ini akan menyumbang kepada pelepasan karbon ataupun mencemarkan sumber air di Malaysia?,” soal Ahli Parlimen Seputeh itu.

Kok juga mempersoalkan sama ada prestasi Tuan Ibrahim selari dengan kehendak prestasi Jemaah Menteri dalam tempoh 100 hari seperti diumumkan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini.

“Apakah dia akan membentangkan senarai jenama produk yang dianggap sensitif kepada Muslim dan menghalang produk-produk ini dijual dalam pasaran sebagai KPI beliau dalam 100 hari sebagai Menteri Alam Sekitar dan Air?,” soalnya lagi.

Ketika berucap merasmikan Muktamar Pemuda PAS Malaysia ke-62 di Port Dickson, Negeri Sembilan, semalam, Tuan Ibrahim berkata Jemaah Menteri bersetuju untuk tidak membenarkan pengeluaran sebarang produk yang menimbulkan keresahan rakyat dalam konteks agama dan bangsa, berikutan kontroversi jenama arak Timah.

Sebelum ini Tuan Ibrahim dilaporkan berkata orang Islam perlu menjauhi arak dalam setiap keadaan, namun hak bukan Islam untuk meminumnya “juga perlu dilihat”.

Beliau berkata, penggunaan perkataan Timah sebagai jenama arak keluaran syarikat tempatan itu “mengelirukan” selain kesal kerana ada pihak menggunakan isu itu untuk menyerang PAS walaupun ia mengambil pendirian tegas.

Selain nama, pengkritik mendakwa imej Kapten Speedy pada label arak berkenaan menyerupai lelaki berjanggut dan memakai penutup kepala, seolah-olah imej seorang lelaki Islam alim yang sedang memakai kopiah.

Undi18 dilaksana mulai Januari 2022

azrulhakimie

Kabinet telah membuat keputusan untuk tidak merayu keputusan berkenaan

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata Undi18 akan dilaksanakan bermula 1 Januari tahun hadapan sepertimana diputuskan Mahkamah Tinggi Kuching, Sarawak sebelum ini.

Beliau berkata Kabinet telah membuat keputusan untuk tidak merayu keputusan berkenaan walaupun sebelum ini pihak Suruhanjaya Pilihan Raya dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa persediaan ke arah pelaksanaannya hanya boleh dibuat menjelang Sept tahun hadapan.

“Bila mahkamah buat keputusan, kerajaan boleh merayu keputusan ini, tetapi bagi menghargai dan menghormati anak-anak muda, Kabinet telah putuskan kita tidak akan merayu keputusan dibuat Mahkamah Sarawak.

“Tidak merayu bermakna keputusan kekal, bermakna tarikh akhir 31 Disember (Untuk laksanakan Undi18), dan 1 Januari bermulalah pendaftaran automatik untuk pengundi 18 tahun,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Belia Negara peringkat Kebangsaan, di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu. – Bernama

Lembah Klang bakal kembali jadi ‘hotspots’ Covid-19, kes melonjak

 

Lembah Klang bakal mengulangi status sebagai ‘hotspots’ Covid-19 di negara ini jika kes harian, terutama di Selangor, menyaksikan ianya kekal melonjak.

Dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi, Lembah Klang yang merangkumi Selangor, Kuala Lumpur serta Putrajaya, menyumbang 1,739 kes baharu Covid-19.

Dalam tempoh itu Selangor merekodkan jumlah tertinggi nasional sebanyak 1,401 kes berbanding 1,328 kes semalam, manakala Kuala Lumpur mencatat 309 kes berbanding 299 semalam, dan Putrajaya 29 kes baharu (44 semalam).

Sementara itu berdasarkan maklumat Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi laman sesawang COVIDNOW, kumulatif kes positif di Lembah Klang sejak awal tahun lalu hingga hari ini adalah sebanyak 910,442 kes. Sehingga semalam, seramai 881,783 pesakit dilaporkan telah sembuh.

Sehingga semalam, terdapat 18,364 kes aktif di Lembah Klang, dengan 15,309 pesakit menjalani kuarantin di rumah, 1,626 ditempatkan di PKRC, 1,315 dirawat di hospital dan 114 pesakit dimasukkan ke unit rawatan rapi dengan 73 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Sehingga semalam, Lembah Klang mencatat 12,165 kematian, termasuk 2,711 pesakit yang meninggal dunia sebelum dibawa ke hospital atau brought in death (BID).

Sementara itu, selain Selangor dan Kuala Lumpur yang merekodkan peningkatan kes hari ini, Sabah, Sarawak dan Terengganu turut merekodkan pertambahan jangkitan baharu.

Sabah merekodkan 650 kes baharu hari ini berbanding 589 semalam, diikuti Sarawak (646 kes baharu, 566 semalam); dan Terengganu (266 kes baharu, 251 semalam).

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata hanya dua kluster baharu dikesan dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi, menjadikan keseluruhannya 5,765 kluster dengan 5,327 telah ditamatkan dan 438 lagi masih aktif.

Menurutnya, dua kluster yang dikesan itu membabitkan kumpulan berisiko tinggi di Jalan Puncak Iskandar, Perak Tengah dengan seramai tujuh individu daripada 40 saringan disahkan positif.

Sementara satu lagi iaitu kluster tempat kerja iaitu Kluster Industri Batu Berendam 2 yang menular di tiga daerah membabitkan Alor Gajah, Jasin dan Melaka Tengah dengan 148 individu daripada 370 yang disaring, dijangkiti Covid-19.

Beliau juga memaklumkan daripada keseluruhan 5,854 kes baharu hari ini, 79 pesakit atau 1.3 peratus melibatkan kategori 3, 4 dan 5, manakala 5,775 pesakit atau 98.7 peratus lagi adalah pesakit kategori 1 dan 2.

PRN Melaka: Tentera siber UMNO mula kempen fitnah Muhyiddin


Tentera siber UMNO mula menabur fitnah terhadap Perikatan Nasional (PN), khususnya Pengerusi PN, apabila mendakwa Tan Sri Muhyiddin Yassin mula menyogok pengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Berdasarkan gambar yang mereka peroleh tentera siber UMNO menuduh bekas Perdana Menteri itu yang berada di Melaka hari ini, memberi wang secara terang-terang walaupun RM5.

Antara tentera siber UMNO yang membuat fitnah Muhyiddin memberi wang kepada orang ramai di Melaka ialah Rafi Awg Kechik dan Akmar Hisham Mokhles. Kedua-duanya memuat naik fitnah itu di laman Facebook masing-masing sebagaimana gambar di atas.

Bagaimanapun, Pengerusi PN Melaka, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen berkata pihak terbabit sengaja berniat jahat untuk memburuk-burukkan Muhyiddin dengan membawa persepsi negatif sempena PRN Melaka.

“Gambar yang disebarkan itu adalah gambar ketika Tan Sri Muhyiddin Yassin singgah di sebuah Gerai Prihatin Rakyat di mana beliau membantu memulangkan baki wang yang dibeli oleh rakyat Melaka yang bernilai RM5 ke atas jualan Gerai Prihatin Rakyat anjuran sebuah NGO di Melaka.

“Saya harap pihak yang tidak bertanggungjawab harus menghentikan fitnah dan rakyat Melaka harus menilai taktik jahat pihak tertentu ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, Presiden Bersatu itu sebenarnya memulangkan wang baki selepas penunggang motosikal berkenaan membeli barangan asas di Gerai Prihatin Rakyat secara pandu lalu.

“Gambar yang disebarkan itu ketika Muhyiddin singgah di Gerai Prihatn Rakyat dan pulangkan baki wang sebanyak RM5,” katanya.

Terdahulu, Muhyiddin dalam siri melawat ke program Gerai Prihatin Rakyat di Kampung Tersusun Jus Permai, Selandar dan Pantai Klebang.

Sementara itu, satu laporan polis akan dibuat oleh Bersatu Melaka berhubung kiriman yang dimuat naik oleh pihak berkenaan.

Ketua Penerangan Bersatu Negeri Datuk Hishamuddin Abdul Karim berkata laporan polis itu akan dibuat di Balai Polis Air Keroh.

“Saya akan membuat laporan polis terharap mereka hari ini. Tindakan tidak bermoral ini perlu dihentikan dan harus diambil tindakan tegas,” katanya.

DISYORKAN UNTUK ANDA:

  MEDAN BERITA POLITIK DALAM KEMBAR BLOG  ' AR RISALAH    

14 rumah terjejas banjir kilat di Tanjung Rambutan

 Oleh SAYED HESHAM IDRIS

SEBUAH kereta meredah banjir kilat yang berlaku di Tanjung Rambutan di Ipoh hari ini. - UTUSAN/MEDIA SOSIAL

IPOH: Sebanyak 14 buah rumah terjejas akibat banjir kilat di Kampung Chee, Tanjung Rambutan dekat sini petang tadi berikutan hujan lebat.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri berkata, paras air di kawasan kejadian naik sehingga paras satu meter namun setakat ini kejadian tidak melibatkan pemindahan mangsa.

Katanya, pihaknya menerima panggilan mengenai banjir kilat yang berlaku pada pukul 7.11 petang.

“Jentera JBPM yang tiba di tempat kejadian mendapati berlaku kejadian banjir kilat di Kampung Chee disebabkan hujan sebab petang tadi.

“Paras air naik sehingga satu meter dan kejadian melibatkan 14 buat rumah. Setakat ini tiada pemindahan mangsa dilakukan dan operasi memantau sedang dijalankan di kawasan kejadian,” katanya dalam kenyataan di sini.

Sementara itu, video keadaan banjir di kawasan kejadian termasuk di Kinding dekat sini dikongsi dalam media sosial Facebook dan WhatsApp yang antara lain merakamkan kenderaan meredah air banjir yang melimpahi jalan berdekatan sebuah stesen minyak.

Remaja ditemukan lemas, bapa akui pandangan jadi gelap tiba-tiba

Oleh MUHAMMAD ZIKRI
ANGGOTA bomba mengangkat mayat mangsa yang ditemukan mati lemas setelah terjatuh di Sungai Benut di Pontian, Johor. -UTUSAN/MUHAMMAD ZIKRI

PONTIAN: Remaja lelaki yang dilaporkan hilang selepas bot dinaiki bersama bapanya terbabas kerana terlanggar tunggul kayu ditemukan lemas di Sungai Benut, petang tadi.

Mayat Mohd. Akmal Jamaludin, 17, ditemukan oleh unit penyelam bomba pada pukul 4.07 petang kira-kira 50 meter daripada lokasi mangsa dipercayai terjatuh.

Sementara itu, bapa mangsa, Jamaluddin Jamil, 53, yang menceritakan semula kejadian itu berkata, pandangannya menjadi gelap secara tiba-tiba sebelum bot mereka terlanggar tunggul kayu terbabit.

“Keadaan itu menyebabkan anak saya tercampak dan bot kami terbabas ke dalam kawasan pokok bakau.

“Pada awalnya arwah boleh berenang tetapi selepas dua tiga minit dia mula tenggelam dan saya berusaha untuk menyelamatnya dengan meminta tolong tetapi tidak terdaya,” katanya ketika ditemui di pekarangan Hospital Pontian, hari ini.

Terdahulu bomba menerima panggilan kecemasan pada pukul 11.59 pagi sebelum menghantar tujuh anggota ke lokasi kejadian yang berhampiran Pasar Awam Benut.

Tambah Jamaludin, anaknya sebelum ini tidak pernah mengikut dia menjaring udang di Sungai Pinggan, namun hari ini arwah menyatakan keinginan untuk turut sama sebelum mereka bertolak dari Jeti Nelayan Tampok Laut, pada 9 pagi.

Katanya, ketika sedang menjaring udang, arwah mengalami sakit perut sebelum mereka mengambil keputusan untuk pulang ke rumah di Kampung Permatang Sepam Darat.

“Tangkapan ketika ini pun tidak banyak lagi, tetapi disebabkan arwah menghadapi masalah itu, saya bercadang balik ke rumah melalui Sungai Benut,” katanya.

Tambah Jamaludin, Mohd. Akmal baru sahaja keluar dari Hospital Sultanah Aminah (HSA) tiga minggu lalu setelah terlibat kemalangan motosikal yang menyebabkan dia perlu menjalani pembedahan di bahagian kepala.

Sementara itu ibunya, Jamaliah Sahlan, 52, berkata, pemergian arwah menjadikan dia kini hanya mempunyai tiga anak selepas abang Mohd. Akmal juga telah meninggal dunia beberapa tahun lalu.

Katanya, arwah yang merupakan anak bongsu adalah harapan kepada keluarga memandangkan seorang lagi abangnya mengalami sakit angin ahmar dan tidak mampu untuk melakukan sebarang pekerjaan.

“Nasib kami seperti jatuh ditimpa tangga, arwah adalah harapan kami menggantikan peranan abangnya yang sakit selain kakaknya tetapi arwah juga telah dijemput Allah hari ini,” jelasnya.

JKN Perak siasat remaja meninggal dunia sehari selepas terima dos kedua

Oleh ASLIZA MUSA
 
DING LAY MING

IPOH: Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak menunggu laporan lengkap bedah siasat terhadap seorang remaja lelaki berusia 15 tahun yang meninggal dunia Ahad lalu, iaitu sehari selepas menerima dos kedua vaksin Covid-19.

Pengarahnya, Datuk Dr. Ding Lay Ming berkata, kesemua sampel tisu dalam badan remaja itu telah dihantar untuk pemeriksaan lanjut oleh Pakar Perubatan Forensik Patologi Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).

“Laporan bedah siasat ini dikategorikan masih belum lengkap kerana masih terdapat keputusan ujikaji yang belum diterima.

“Pihak kami masih menunggu laporan bedah siasat yang lengkap bagi mengetahui punca sebenar kematian remaja terbabit,” katanya dalam kenyataan yang dimuat naik di Facebook JKN Perak di sini hari ini.

Beliau memberitahu, pihaknya dimaklumkan mengenai kematian remaja itu pada Ahad lalu selepas dia disahkan meninggal dunia di sebuah hospital swasta di Ipoh.

Katanya, remaja itu menerima dos kedua vaksin Covid-19 pada Sabtu lalu di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gunung Rapat dan dilaporkan hanya mengalami sakit di tempat suntikan selepas vaksinasi.

“Remaja itu dimaklumkan tidak mempunyai sebarang alahan terhadap vaksin atau ubat dan tidak diketahui mempunyai sebarang penyakit kronik.

“Dia juga tidak memaklumkan sebarang masalah atau komplikasi selepas menerima suntikan dos pertama,” katanya.

Beliau berkata, pada pukul 9.30 pagi Ahad lalu iaitu sehari selepas suntikan vaksin tersebut, remaja itu ditemui dalam keadaan sesak nafas dan tidak sedarkan diri di rumahnya.

“Remaja itu telah dibawa ke sebuah hospital swasta di Ipoh untuk rawatan kecemasan namun disahkan telah meninggal dunia pada pukul 10.40 pagi.

“Bedah siasat telah dijalankan pada hari sama pukul 3.40 petang dan mendapati terdapat penyempitan saluran paru-paru (Spontaneous Bronchospasm),” katanya.

Polis serbu pusat hiburan salah guna lesen

Oleh SAFINA RAMLI
POLIS menyerbu sebuah pusat hiburan di Georgetown, Pulau Pinang malam tadi selepas didapati menyalahgunakan lesen premis berkenaan.

GEORGETOWN: Cubaan sebuah pusat hiburan di pusat bandar di sini yang menggunakan lesen restoran untuk menjalankan aktiviti hiburan mengundang padah apabila diserbu oleh pihak polis, semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11 malam itu, seramai 15 warga asing yang mengunjungi pusat hiburan berkenaan ditahan di bawah Seksyen 269 Kanun Keseksaan.

Selain itu, empat lagi wanita warga asing yang bekerja sebagai GRO  turut ditahan menjadikan jumlah tangkapan seramai 19 orang.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner Rahimi Ra’ais berkata, kompaun turut dikeluarkan kepada 39 orang pengunjung warga tempatan manakala penjaga premis di tangkap atas kesalahan menggaji pekerja asing tanpa permit sah dan juga dikenakan tindakan kompaun.

Katanya, semasa serbuan dibuat, premis tersebut sedang memainkan muzik dengan kuat dan tiada sebarang penjarakan fizikal semasa sedang beroperasi.

“Modus operandi premis berkenaan yang menyalahgunakan lesen restoran adalah dengan menjalankan perniagaan makanan restoran pada awal operasi.

“Kemudian mereka menukar aktiviti menjadi aktiviti seperti pusat hiburan dua jam sebelum premis ditutup pada pukul  12 tengah malam,” katanya di sini hari ini.

Menurutnya, kesemua tangkapan di bawa ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut untuk siasatan lanjut.

“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 269 kanun Keseksaan, Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 15(1)(C) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 6(1)(C)  Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Tidak perlu kelulusan kerajaan negeri, PDRM masuk ke Sabah mulai Isnin

 Siti Hafidah

Patuhi syarat lengkap terima vaksin, keputusan ujian RTK negatif

KOTA KINABALU – Jawatankuasa Pengurusan Bencana COVID-19 Sabah hari ini memutuskan, tiada lagi keperluan mendapatkan kelulusan kemasukan daripada kerajaan negeri Sabah dan Polis Diraja Malaysia untuk mereka bukan berasal dari Sabah bermula Isnin ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata, sehubungan itu hanya dua syarat yang perlu dipatuhi bagi kemasukan ke Sabah iaitu lengkap menerima vaksin COVID-19 dan keputusan ujian saringan Rapid Test Kit (RTK) negatif.

Jurucakap COVID-19 Sabah itu berkata, langkah berkenaan selaras dengan keputusan kerajaan negeri membenarkan rentas negeri bermula Isnin depan.

“Kemaskini SOP (prosedur operasi standard) akan diumum kemudian,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Pada 13 Oktober lepas, Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor dilaporkan sebagai berkata, kerajaan negeri bersetuju membenarkan rentas negeri berkuat kuasa Isnin ini, dan kemasukan ke Sabah meliputi lawatan sosial dan pelancongan adalah dibenarkan dengan beberapa syarat. – Bernama

Kedah tubuh pasukan tentukan isu pajakan P. Pinang

 azrulhakimie

Pihak dipelawa menyertai pasukan itu telah menyatakan komitmen

KULIM – Kedah sedang dalam proses menubuhkan sebuah pasukan yang terdiri daripada sejarawan, pakar akademik dan wakil persatuan sejarah bagi menentukan bahawa Pulau Pinang benar-benar dipajak daripada Kedah.

Menteri Besar Muhamad Sanusi Md Nor berkata pihak yang dipelawa menyertai pasukan itu telah pun menyatakan komitmen masing-masing untuk membantu Kedah dalam perkara itu.

“Kita bentuk satu pasukan dan kita wujudkan satu sahaja pandangan tentang Kedah dan Pulau Pinang. Asasnya memang Pulau Pinang adalah pajakan daripada Kedah, kerana itulah daripada dulu kita dibayar RM10,000. Kalau tidak, bayaran RM10,000 itu untuk apa?

“Mulai 2018, Kerajaan Persekutuan tambah RM10 juta, jadi kita terima RM10 juta RM10,000, mai mana duit itu kalau bukan disebabkan pajakan? Saja-Saja nak bagi ka, ingat baik sangat orang nak bagi RM10 juta dan RM10,000? Tentu ada pasai, ada punca,” katanya ketika ditemui pada majlis pecah tanah fasiliti pembuatan AT&S di Kulim Hi-Tech Park hari ini.

Justeru, beliau berharap perkara itu dapat dikaji semula dan Kedah diberikan bayaran lebih setimpal berbanding jumlah RM10 juta dan RM10,000 yang diterima ketika ini.

Rabu lepas, Muhammad Sanusi berkata Kerajaan Negeri Kedah menuntut bayaran royalti sebanyak RM100 juta daripada Kerajaan Persekutuan bagi pajakan tanah di Pulau Pinang dan berharap ia diumumkan dalam Bajet 2022 yang dibentangkan semalam.

Bagaimanapun, pembentangan bajet oleh Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz di Dewan Rakyat tidak mempunyai peruntukan bagi tujuan itu.

Mengulas perkara itu, Muhammad Sanusi berkata Kerajaan Persekutuan mungkin tidak bersedia mempertimbang tuntutan tersebut dalam bajet kali ini.

Beliau berkata pihaknya akan terus membangkitkan isu itu pada masa yang lain. – Bernama

Kabinet putus tiada lagi kebenaran keluar produk berunsur sensitiviti

 Siti Hafidah

Keputusan dibuat susulan kontroversi arak jenama 'Timah'

BANGI – Kerajaan memutuskan untuk tidak membenarkan pengeluaran sebarang produk yang menimbulkan keresahan rakyat dalam konteks agama dan bangsa.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, keputusan itu dibuat Kabinet berikutan isu arak jenama tempatan, Timah.

“Kami memanggil syarikat pengeluaran arak (Timah) untuk menyatakan bantahan kami.

“Kabinet sudah buat keputusan tidak boleh lagi mana-mana pengeluaran yang apa saja pengeluaran yang boleh menimbulkan keresahan rakyat termasuk dalam konteks bangsa atau agama.

“Ini adalah dasar selepas kami membantahnya,” katanya seperti dilapor media tempatan, hari ini.

Sebelum ini, penggunaan jenama ‘Timah’ pada arak keluaran tempatan itu menimbulkan perasaan kurang senang dalam kalangan umat Islam serta turut dibincangkan dalam Sidang Dewan Negara.

Terdahulu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi memaklumkan, syarikat pengeluar arak itu memohon tempoh selama seminggu bagi menukar nama dan imej pada label produk keluaran mereka.

Katanya, keputusan itu dicapai hasil perbincangan kerajaan dengan wakil syarikat pengeluar arak terbabit – Winepark Corporation (M) Sdn Bhd.

“Melalui perbincangan yang diadakan, syarikat ini memohon tempoh seminggu untuk berbincang dengan pemegang saham dan lembaga pengarah bagi menukar nama dan imej pada label produk arak keluaran mereka,” katanya.

 

Persefahaman UMNO-PAS: Terserah PAS untuk putuskan – Muhyiddin

azrulhakimie

PN akan meneruskan strategi yang telah dibincangkan dan dirancang

MELAKA – Perikatan Nasional (PN) menyerahkan kepada kebijaksanaan pimpinan PAS untuk membuat keputusan berhubung keputusan Majlis Tertinggi UMNO untuk meneruskan persefahaman dengan parti itu bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata gabungan itu akan meneruskan strategi yang telah dibincangkan dan dirancang serta bersedia dengan untuk pertembungan tiga penjuru.

“UMNO di Perhimpunan Agung dia telah buat keputusan tak nak bekerjasama dengan Bersatu. Jadi kita tak akan tunggu dan teruskan persiapan kita untuk pilihan raya negeri ini.

“Sama ada tiga penjuru ke, empat penjuru ke, kerana bagi saya ini adalah cabaran dan kita berusaha untuk menawarkan pilihan yang terbaik untuk negeri Melaka,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis minum petang bersama profesional Melaka di sini hari ini.

Khamis lepas, UMNO memutuskan untuk meneruskan persefahaman dengan PAS bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, 20 November ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi PRN Melaka pada 20 November manakala penamaan calon pada 8 November dan undi awal pada 16 November ini. – Bernama

Sabtu, 30 Oktober 2021

i-Citra jadi i-Kecewa, netizen kecam harapan palsu Pemuda, Asyraf Wajdi


Rakyat marah! Bukan disebabkan Menteri Kewangan Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz tidak mengumumkan pengeluaran i-Citra RM10,000 secara one-off, tetapi kerana harapan palsu dijanjikan Ketua Pemuda UMNO Datuk Asyraf Wajdi Dusuki.

Sebelum ini, Asyraf dan pergerakan itu beria-ia memberi janji manis kepada puluhan ribu individu berkenaan pengeluaran one-off itu, namun ternyata ia tidak disebut langsung dalam Bajet 2022.

Asyraf begitu yakin bahawa kerajaan pimpinan Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan mendengar desakan Pemuda bagi meluluskan pengeluaran i-Citra one-off itu.

Sebab itu, apa sahaja pertemuannya dengan KWSP, Menteri Kewangan, hatta dengan Perdana Menteri sekali pun, dimuat naik dalam laman sosialnya bagi memberi harapan kepada orang ramai.

Sebelum pembentangan Bajet 2022 semalam, boleh dikatakan setiap hari netizen disajikan dengan keyakinan akan dapat membuat pengeluaran RM10,000 daripada akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Tak berkelip mata netizen menunggu depan televisyen untuk mendengar Bajet 2022. Fokus mereka kepada pengeluaran i-Citra RM10,000 secara one-off sebagaimana yang diuar-uarkan Asyraf dan Pemuda UMNO.

Namun, sehingga ke penamat ucapan Tengku Zafrul, i-Citra tidak juga muncul. Walaupun, Menteri Kewangan menyentuh juga sedikit mengenai KWSP tetapi bukan one-off RM10,000.

Pagi tadi ketika mengulas Bajet 2022 itu menerusi laman Facebooknya, Asyraf melahirkan kekecewaannya kerana pengeluaran one-off RM10,000 tidak disentuh dalam ucapan dan dokumen belanjawan untuk tahun depan.

Susulan itu, netizen terus melenting dan menyerang beliau dengan teruk, malah ada yang memaki hamun kerana berpendapat mereka telah ditipu.

Sesetengah netizen yang begitu kecewa turut menyifatkan Asyraf dan Pemuda UMNO tidak boleh dipercayai. Apa yang mereka harapkan ialah i-Citra RM10,000 one-off, tetapi yang mereka dapat ialah i-Kecewa dan tuala wanita one-off.

Ada yang menyindir Asyraf dan Pemuda UMNO dengan mengatakan kerajaan Ismail Sabri tidak melayan pergerakan itu, sedangkan ketika zaman kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebelum ini, permintaan mereka diterima, termasuk pengeluaran i-Citra yang sehingga sekarang dilaksanakan.

Pada 28 Jun lalu, Perdana Menteri ketika itu Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Kerajaan PN menerusi KWSP memperkenalkan kemudahan pengeluaran baharu iaitu i-Citra bagi meringankan beban kewangan ahli yang terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurutnya, menerusi i-Citra, seramai 12.6 juta ahli KWSP boleh membuat pengeluaran sehingga RM5,000 dengan kadar bayaran tetap RM1,000 sebulan untuk tempoh lima bulan tertakluk kepada jumlah simpanan ahli.

“Pelaksanaan i-Citra dijangka dapat menyalurkan RM30 bilion kepada rakyat untuk menampung keperluan harian,” katanya ketika melancarkan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH).

Sebaliknya, Asyraf yang pernah menjadi calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu tetapi kalah kepada calon PAS, adalah antara muka-muka dalam UMNO yang kuat menentang kerajaan PN.

Selepas kerajaan PN tumbang, Asyraf dan Pemuda UMNO menggariskan tuntutan baharu, kononnya tuntutan rakyat, kepada kerajaan Ismail Sabri yang antara lainnya ialah pengeluaran i-Citra RM10,000 secara one-off.

Namun, jawapan telah diperoleh dalam ucapan Tengku Zafrul semalam yang tidak menyebut langsung mengenai one-off RM10,000.

DISYORKAN UNTUK ANDA:

  MEDAN BERITA POLITIK DALAM KEMBAR BLOG  ' AR RISALAH    

Keluarga anak yatim mangsa Covid-19 lega keprihatinan kerajaan


Peruntukan RM25 juta kepada Yayasan Keluarga Malaysia yang diumumkan menerusi Bajet 2022 hari ini bagi memastikan masa depan anak-anak yang kehilangan ibu bapa akibat Covid-19 di negara ini terus terjaga, melegakan keluarga kanak-kanak terbabit.

Mohd Ariff Hafizan Abdul Razak melahirkan rasa syukur dan lega dengan bantuan itu kerana ia menjanjikan masa depan lebih baik kepada lima anak saudaranya yang kehilangan ibu bapa mereka akibat jangkitan virus tersebut.

Beliau kini bergilir-gilir dengan ahli keluarganya yang lain untuk menjaga Hannan Humaira Mohd Nasir, 3, Hawwas, 6, Harraz, 8, Husna Humaira, 9, dan Hadrami, 11.

Bapa kelima-lima beradik iaitu Mohd Nasir Tahal meninggal dunia pada 11 Ogos lepas manakala ibu mereka Ida Haryanie Abdul Razak, yang juga kakak Mohd Ariff, menghembuskan nafas terakhir pada 7 Okt selepas pasangan suami isteri itu menerima rawatan di Hospital Putrajaya.

“Saya bersyukur dengan pengumuman Bajet 2022 ini sebab masa depan dan pendidikan mereka akan terjamin serta terbela dan tahu kerajaan nak bantu mereka sampai umur 18 tahun.

“Kami bukan daripada keluarga yang senang… datuk dan nenek mereka pun umur dah lanjut dan tiada pendapatan. Jadi bantuan ini sangat-sangat membantu untuk kami membesarkan lima beradik ini,” katanya lapor Bernama.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, ketika pembentangan Bajet 2022 di Dewan Rakyat, berkata kerajaan menyediakan peruntukan itu kepada Yayasan Keluarga Malaysia bagi memimpin usaha melindungi kebajikan, pendidikan dan masa depan kanak-kanak terbabit.

Mohd Ariff juga berkata bantuan itu akan diguna untuk memberi pendidikan terbaik dan menyediakan keperluan asas harian kepada mereka.

Pengasas Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Semarak Syed Mohd Bakri Syed Ishak pula berkata pihaknya menyambut baik peruntukan itu selain menyifatkan ia tepat pada masanya di kala virus Covid-19 meragut nyawa ramai ibu bapa yang mempunyai anak-anak kecil di negara ini.

Beliau turut berpandangan bahawa biarpun kerajaan menyediakan peruntukan itu, pihak NGO perlu terus membantu sekadar yang mampu.

“Kalau sudut kewangan mereka sudah selesai, NGO pula boleh beri bantuan dari sudut pendidikan dan pembelajaran kepada anak-anak yatim terbabit,” katanya sambil menambah pendidikan kanak-kanak terbabit antara perkara yang perlu diutamakan kerana ia adalah penentu masa depan mereka.

Sejak wabak Covid-19 melanda negara, lebih 4,700 kanak-kanak telah hilang tempat bermanja apabila ibu bapa mereka meninggal dunia akibat dijangkiti virus itu.

Pada 23 Okt lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melancarkan Yayasan Keluarga Malaysia sebagai sebuah institusi bagi membantu anak-anak Keluarga Malaysia dalam mendapatkan sokongan terutama dari aspek pendidikan sehingga mereka mencapai usia 18 tahun.

Noh pecat ahli Bersatu pegang jawatan agensi bawah kementeriannya


Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Tan Sri Noh Omar didakwa memecat semua ahli Bersatu yang memegang jawatan dalam agensi bawah Kementerian Pembangunan Usahawan & Koperasi (MEDAC) yang diterajuinya.

Menteri MEDAC itu menamatkan perkhidmatan beberapa lantikan dari kalangan pemimpin Bersatu di dalam agensi-agensi bawah kementerian itu seperti Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) dan Yayasan Bank Rakyat.

Perkara itu didedahkan Naib Ketua Bersatu Bahagian Puchong, Ts. Shaik Shaszari Shaik Sulaiman dalam satu kenyataan yang membidas tindakan Noh itu cuba mengugat keharmonian dalam kerajaan pusat yang diterajui Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Saya turut mempersoalkan adakah langkah ini diambil bagi digantikan dengan lain-lain pemimpin UMNO?” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Langkah yang diambil oleh pemimpin UMNO Selangor itu menurut Shaik Shaszari juga dibuat secara tergopoh-gapah walaupun kontrak lantikan masih belum tamat, malah langkah itu secara tidak langsung akan memecahbelahkan keharmonian yang dibina antara Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin dan Ismail Sabri dalam kerajaan pusat.

“Saya secara peribadi mempersoalkan rasional yang diambil dalam masa sama kementerian-kementerian termasuk MEDAC sedang mencapai KPI 100 hari dan saya percaya ahli-ahli Lembaga Pengarah tersebut sedang bersama-sama dalam agensi-agensi bawah MEDAC untuk membantu pihak menteri dalam mencapai KPI 100 hari dan seterusnya.

“Namun sebaliknya tindakan ini secara tidak langsung makin memecahkan keharmonian yang sedang dibina antara Pengerusi Perikatan Nasional Tan Sri Muhyiddin Yassin dan pemimpin Parti UMNO antaranya Datuk Seri Ismail Sabri selaku Perdana Menteri,” katanya lagi.

Beliau turut memberi senarai pemimpin Bersatu yang ditamatkan kontrak lebih awal, antaranya Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Muhammad Faiz Na’aman selaku Ahli Lembaga Pengarah SKM yang sepatutnya tamat kontrak pada Disember 2022, Ahli Lembaga Amanah TEKUN ialah Puan Najwah Halimah (Timbalan Pengerusi Tekun Nasional), Puan Mizmah Appehdullah (Exco Srikandi Pusat Bersatu), Datuk Wan Shaharir bin Wan Jalil (mantan Ketua Badan Perhubungan Bersatu Pahang) serta beberapa pemimpin lain lagi.

Untuk rekod, Noh merupakan salah seorang ahli kumpulan 15 Ahli Parlimen (MP) UMNO yang menarik sokongan terhadap Muhyiddin dan setia bersama Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Bagaimanapun, Ismail Sabri pada saat akhir bertindak melantik Noh dalam Kabinetnya selepas mengangkat sumpah sebagai PM baharu.

Bajet 2022 paling aman tanpa jeritan pembangkang, dijangka lulus mudah


Pembentangan Bajet 2022 kali ini dibawah Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob merupakan yang paling aman tanpa sebarang jeritan pembangkang yang sering mencetuskan kekecohan sebelum ini di Parlimen.

Berbeza dengan pembentangan sebelum ini, reaksi pemimpin sebelah pembangkang yang selalunya cepat mengeluarkan kritikan dan kecaman terhadap kerajaan juga tidak lagi kedengaran, malah status media sosial Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini berjawatan setaraf Menteri juga tidak kedengaran.

Berbeza dengan Anwar sebelum ini yang tidak berjawatan setara dengan Menteri, tiada lagi kritikan atau cemuhan terhadap kerajaan mungkin kerana sudah mendapat habuan hasil daripada persefahaman dengan kerajaan.

Untuk rekod, Anwar paling banyak mengkritik dan memberikan buah fikiran sama ada dalam media sosial atau ceramah-ceramah politik kini nampaknya lebih tunduk da berlembut dengan kerajaan pimpinan UMNO diterajui Ismail Sabri.

Pada 11 Oktober, Ismail Sabri menyerahkan surat pengesahan untuk menaik taraf Pejabat Ketua Pembangkang menjadi setaraf dengan Pejabat Menteri, ia bermakna Anwar juga mendapat elaun dan keistimewaan sama dengan seorang Menteri Kabinet.

Tawaran sama sebelum ini dibuat oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa kerajaan Perikatan Nasional (PN) memerintah tetapi ditolak Anwar dengan berlagaknya atas alasan terhina jika menerima tawaran itu.

Kerajaan dan blok pembangkang, Pakatan Harapan (PH) menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) pada 13 September lalu yang menyaksikan kedua-dua pihak mencapai persefahaman dalam beberapa aspek bagi mencapai kestabilan politik dalam negara.

Melalui MOU itu kerajaan menjanjikan beberapa pembaharuan termasuk reformasi Parlimen, Undi18, had jawatan seseorang PM dan kebebasan badan kehakiman.

Sebagai balasan, PH – yang menjadi blok pembangkang terbesar di Dewan Rakyat – akan menyokong atau berkecuali dalam undian Bajet 2022 dan undang-undang perbekalan atau kewangan berkaitan dengannya.

Mengambil kira keadaan dan senario yang tenang semasa pembentangan Bajet 2022 semalam, kerajaan diterajui Ismail Sabri dijangka tidak bermasalah untuk meluluskan peruntukan belanjawan yang akan dibahas di setiap peringkat kementerian selepas ini.

Walaupun kritikan terhadap Ismail Sabri semakin kuat terhadap layanan yang istimewa melibatkan Kluster Mahkamah sehingga pasport pun sudah dipulangkan, pembangkang nampaknya tidak mengkritik mahu pun mempersoalkan tindak tanduk kerajaan diterajui UMNO ketika ini.

Malah, PH juga sanggup menerima kemasukkan dua pemimpin UMNO yang menjadi punca krisis politik di Melaka untuk bertanding atas tiket mereka, ia sekaligus mencerminkan kejayaan MOU yang dimerterai antara kerajaan dan PH.

Bajet 2022 bertema “Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera” yang dibentang Menteri Kewangan Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz semalam adalah terbesar dalam sejarah negara yang bernilai RM332.1 bilion.

Peruntukan itu lebih tinggi RM10 bilion (8.59%) berbanding belanjawan bagi 2021.

Untuk rekod, Bajet 2021 yang dibentang kerajaan Perikatan Nasional (PN) bernilai RM314.8 bilion (disemak semula).

Pembentangan Bajet kali ini yang kedua oleh kerajaan semasa berdepan cabaran pandemik Covid-19 dan adalah yang pertama dibawah kerajaan baharu yang dipimpin Ismail Sabri.

5,864 kes baharu Covid-19 hari ini


Sebanyak 5,864 jangkitan baharu Covid-19 dikesan di seluruh negara dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi, turun sedikit berbanding 6,060 yang dicatat dalam tempoh sama semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata jumlah itu menjadikan keseluruhan kes positif sejak wabak Covid-19 melanda negara awal tahun lalu kepada 2,466,663 kes.

Berdasarkan rekod Kementerian Kesihatan (KKM) sehingga semalam, empat negeri merekodkan jumlah tertinggi keseluruhan kes positif melebihi 200,000 iaitu Selangor, Sarawak, Johor, dan Sabah.

Selangor mencatat 710,709 kes positif diikuti, Sarawak (239,513 kes); Johor (216,864 kes); dan Sabah (216,743 kes).

Semalam, lima negeri merekodkan kenaikan jumlah jangkitan baharu Covid-19 dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari iaitu Kedah, Pahang, Kuala Lumpur, Melaka, dan Putrajaya.

Kedah mencatat 470 jangkitan, berbanding 362 kes kelmarin, diikuti Pahang (367 kes baharu, 343 kelmarin); Kuala Lumpur (299 kes baharu, 262 kelmarin); Melaka (264 kes baharu, 253 kelmarin); dan Putrajaya (44 kes baharu, 31 kelmarin).

Dalam tempoh itu, Selangor merekodkan jumlah tertinggi jangkitan harian iaitu sebanyak 1,328 kes, namun ianya turun berbanding 1,431 yang dilaporkan semalam.

Maklumat mengenai pecahan kes hari ini akan dimaklumkan apabila memperoleh laporan daripada Jabatan Kesihatan Negeri.

Mengenai kadar kebolehjangkitan Covid-19 atau Ro/Rt, Dr Noor Hisham berkata, jangkaan mengikut kes seharian pada 29 Oktober 2021 untuk seluruh negara adalah 0.95.

Berdasarkan kepada data yang dikongsi oleh beliau, tiga negeri mencatat RT 1 ke atas iaitu Negeri Sembilan dengan RT 1.04; Putrajaya (1.00); dan Kuala Lumpur (1.00).

Sarawak mencatat kadar kebolehjangkitan terendah iaitu RT 0.83.

Jika China boleh ‘berbaik’ dengan Taliban, mengapa tidak Malaysia, soal Pemuda PAS

China menyalurkan dana berbilion ringgit untuk mengukuh ‘Belt and Road 
Initiative’ (BRI) di Afganistan, kata Khairil Nizam Khirudin. (Gambar 
Facebook Dewan Pemuda PAS Malaysia – DPPM)

PETALING JAYA: Pemuda PAS mencadangkan agar kerajaan Malaysia memulakan hubungan dua hala dengan pemerintahan Taliban, selepas China bertindak ke depan mengadakan rundingan diplomasi peringkat tertinggi dengan negara Islam berkenaan.

Ketuanya, Khairil Nizam Khirudin yang mempersoalkan pendirian Putrajaya terhadap pemerintahan Taliban berkata, Malaysia mempunyai kepakaran diplomatik aras tinggi dan diyakini mampu memudahkan penerimaan komuniti antarabangsa terhadap Afganistan melalui prinsip tadbir urus yang inklusif dan kesyumulan Islam.

“Apa yang membingungkan, tatkala negara umat Islam masih terkial-kial, China telah mengambil kesempatan mengadakan rundingan diplomasi peringkat tertinggi antara Menteri Luar, Wang Yi dengan Naib Ketua Taliban, Mullah Abdul Ghani Baradar.

“China menyalurkan dana berbilion ringgit untuk mengukuh ‘Belt and Road Initiative’ (BRI) di Afganistan,” katanya ketika berucap sempena Muktamar Pemuda PAS Malaysia ke-62 di Port Dickson, Negeri Sembilan.

Tegasnya, konflik berterusan di negara Islam itu tidak akan menguntungkan sesiapa melainkan segelintir “military-industrial-complex” yang dahagakan darah demi “tembolok mereka sahaja”.

“Jika China Komunis boleh menghulurkan tangan kepada Afghanistan di bawah Taliban, mengapa tidak kita sebagai saudara se-Islam?

“Apakah dasar luar Malaysia terhadap Afghanistan di bawah pemerintahan Taliban?,” soal beliau.

Pada 21 Sept, Menteri Luar Saifuddin Abdullah di Dewan Rakyat berkata, Malaysia mengambil pendirian berhati-hati dan sedang meneliti perkembangan terkini di Afghanistan selepas Taliban mengambil alih Kabul pada 15 Ogos lepas.

Saifuddin berkata, sehingga kini masih tiada negara luar yang mengiktiraf kerajaan sementara Taliban termasuk negara jiran Afghanistan.

Katanya, terdapat beberapa pertimbangan atau faktor yang perlu diperhalusi sebelum kerajaan membuat keputusan muktamad berhubung isu pengiktirafan termasuk tahap penerimaan rakyat Afghanistan sendiri terhadap penguasaan dan penubuhan kerajaan oleh Taliban di negara itu.

“Kita dapati bahawa kerajaan sementara yang dibentuk Taliban masih tidak bersifat inklusif dengan tidak merangkumi penyertaan golongan etnik utama lain, serta peranan wanita dan anak perempuan,” katanya.

Selepas kontroversi Timah, kerajaan tidak benarkan sebarang produk sentuh sensitiviti agama, kata Tuan Ibrahim

PETALING JAYA: Jemaah Menteri dikatakan bersetuju untuk tidak membenarkan pengeluaran sebarang produk yang menimbulkan keresahan rakyat dalam konteks agama dan bangsa.

Ia adalah respon kerajaan kepada kontroversi jenama wiski buatan tempatan, Timah.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Tuan Ibrahim Tuan Man, memaklumkan perkara itu kepada para perwakilan PAS ketika merasmikan mesyuarat tahunan sayap Pemuda parti itu di Port Dickson, Negeri Sembilan.

“Jemaah Menteri sudah buat keputusan tidak boleh lagi mana-mana pengeluaran yang apa saja pengeluaran yang boleh menimbulkan keresahan rakyat termasuk dalam konteks bangsa atau agama,” katanya.

Tuan Ibrahim menyifatkan perkembangan ini sebagai “berita gembira”.

“Kita nak khabarkan berita gembira. Menteri agama kita (Idris Ahmad) adakan pertemuan dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dan Kementerian Perpaduan (Negara), kita panggil sekali syarikat pengeluaran arak (Timah) dan kita nyatakan bantahan.”

Tuan Ibrahim mengambil maklum sesetengah pihak menggunakan isu arak untuk menyerang PAS.

“Tetapi akhirnya ia ‘backfire’ (memakan diri sendiri) kepada mereka balik,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan kerajaan juga bersetuju untuk tidak menggunakan botol plastik dalam semua mesyuarat penting kerajaan.

Bajet dibentang Tengku Zafrul ‘abai’ MoU PH-Ismail, bidas TKM P Pinang

(Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Bajet 2022 yang dibentang Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz tidak mencerminkan langkah ke arah transformasi dan kestabilan yang dikehendaki memorandum persefahaman antara Pakatan Harapan dan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, kata Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang.

P Ramasamy berkata MoU itu dilihat hanya menguntungkan pihak pemerintah berbanding pembangkang.

“Ia gagal menghormati dan membalas sokongan yang diberikan pembangkang. Ia tidak mengurangkan kesan buruk ekstremisme kaum dan agama,” katanya dalam kenyataan.

Beliau yang juga seorang pemimpin DAP berkata belanjawan itu sepatutnya mencerminkan semangat dan intipati MoU berkenaan, lagi-lagi dengan adanya hubungan kerja yang baik antara kerajaan dan pembangkang.

P Ramasamy.

Beliau berdukacita hubungan itu diambil mudah tanpa timbal balik.

“Nampaknya, walaupun dengan adanya MoU, kerajaan masih belum mahu mengubah watak perkauman dan keagamaannya.”

Ramasamy berkata, tidak salah untuk dikatakan komuniti etnik yang telah menyumbang kepada pembangunan dan kesejahteraan negara dilayan seperti “sampingan” kepada sistem.

Ini kerana, sumbangan kepada sekolah vernakular dan beberapa komuniti etnik terpinggir – yang disifatkan sekadar tanda pengiktirafan – tidak menangani rungutan secara berkesan.

“Masalah asasnya bukan bajet semata-mata tetapi sistem politik dan ekonomi yang menentukan dasar,” katanya.

Beliau mendakwa belanjawan itu bertujuan mengukuhkan kuasa penyandang dan bukan untuk menangani rungutan sosial dan ekonomi rakyat keseluruhan.

Katanya, belanjawan kali ini nampak lebih baik dari segi luaran berbanding bajet sebelum ini, walaupun peningkatan kewangan “sana sini” yang sedikit itu tidak menunjukkan kepada rakyat kebergunaan seluruh rancangan fiskal itu.

Guna saja lambang bulan di Melaka, Tuan Ibrahim beritahu parti berbalah Umno, Bersatu

PETALING JAYA: Tuan Ibrahim Tuan Man bertindak mencadangkan barisan parti pemerintah menggunakan lambang PAS pada Pilihan Raya Negeri Melaka nanti, memandangkan dua parti yang berbalah, Umno dan Bersatu, masing-masing mahu bersama parti Islam itu.

Beliau yang juga timbalan presiden PAS mencadangkan perkara itu pada satu mesyuarat khas pemimpin tiga parti semalam.

“Malam tadi kita adakan mesyuarat dengan tiga parti, PAS-Umno-Bersatu. Nampaknya PAS dikehendaki oleh semua parti – Umno buat keputusan dia setuju bersama dengan PAS dan pada waktu sama Bersatu pun nak bersama kita.

“Lalu saya cadangkan guna saja lambang PAS,” katanya ketika merasmikan Muktamar Pemuda PAS Malaysia ke-62 di Port Dickson, Negeri Sembilan.

Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan apakah reaksi Umno dan Bersatu terhadap cadangan itu.

Tuan Ibrahim mengingatkan kerjasama antara tiga parti itu bukan soal pembahagian kerusi semata-mata. Katanya, kepentingan orang Melayu dan Islam akan terjejas sekiranya ketiga-tiga parti itu tewas dalam pilihan raya.

Atas kesedaran itu, PAS mahu menunjukkan kepada Umno dan Bersatu akan pengalamannya yang panjang dalam politik.

“Presiden kita (Abdul Hadi Awang) menekankan soal asas kita jauh lebih besar dari soal kerusi…tidak ada parti yang ada pengalaman muafakat politik sehebat PAS. Kita boleh kompromi luar biasa yang jarang orang lain sanggup,” katanya.

“Kita pernah bagi kerusi kepada parti lain, bahkan dengan parti-parti lain, nak sebut pun geram,” tambahnya.

Bajet 2022: Pulihkan keyakinan rakyat, bukan sekadar gula-gula pilihan raya, kata Bersatu Sarawak

Pengumuman Bajet 2022 adalah susulan hasil kejayaan program imunisasi 
Covid-19 dirancang di bawah kepimpinan Muhyiddin Yassin, sebelum ini, 
kata Pengerusi Bersatu Sarawak Jaziri Alkaf Suffian.

PETALING JAYA: Kerajaan perlu mengembalikan keyakinan rakyat menerusi Bajet 2022, bukan sekadar menabur gula-gula menjelang pilihan raya, kata Pengerusi Bersatu Sarawak Jaziri Alkaf Suffian.

Beliau yang juga Senator, berkata tumpuan utama kerajaan adalah memulihkan ekonomi, serta sosial rakyat negara ini dan bukan sekadar berpolemik.

“Apa yang penting kita perlu kembalikan keyakinan rakyat dan pulihkan ekonomi serta sosial negara, dan bukan sekadar polemik atau gula-gula untuk rakyat untuk persediaan pilihan raya.

“Walau apapun rakyat perlu diutamakan dan jangan lagi biarkan ada mereka yang masih kelaparan dan tidak bekerja. Itu lebih penting ketika ini,” katanya dalam kenyataan.

Jaziri ketika mengulas lanjut, berkata pengumuman Bajet 2022 oleh Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz, semalam, susulan daripada hasil kejayaan program imunisasi Covid-19 dirancang di bawah kepimpinan Muhyiddin Yassin, sebelum ini.

“Rakyat sudah menikmati hasilnya sekarang serta mula lega dan bebas bergerak selain ekonomi kembali rancak bersama beberapa sektor lain yg sudah turut menarik nafas lega,” katanya.

Semalam, Tengku Zafrul mengumumkan pembentangan Bajet 2022 berjumlah RM332.1 bilion, sekaligus menjadi bajet terbesar pernah dibentangkan kerajaan dalam usaha mendepani era pascapandemik.

Jaziri berkata, Sarawak masih memerlukan peruntukan besar dalam membina dan menaik taraf kemudahan infrastruktur terutama di kawasan luar bandarnya.

“Namun, saya juga faham akan keadaan negara ketika ini yang baharu bernafas kembali, setelah dilanda pandemik hampir dua tahun yang amat memberi kesan kepada rakyat dan negara. Pada masa sama saya berharap tumpuan lebih dapat diberikan kepada Sarawak pada masa hadapan,” katanya.