Sabtu, 30 Jun 2018

Exco Melaka gesa henti pembangunan laut dekat Perkampungan Portugis

THE MALAYSIAN INSIGHT
Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan Melaka Muhamad Jailani Khamis berkata cadangan menghentikan projek pembangunan oleh sebuah syarikat swasta di perairan Selat Melaka itu akan dibawa ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dalam masa terdekat. – Gambar EPA
 
PROJEK pembangunan di perairan negeri Melaka khususnya berhampiran Perkampungan Portugis di Melaka perlu dihentikan kerana ia dilihat lebih memberi kesan buruk terhadap kawasan perairan, perkampungan berkenaan dan industri pelancongan negeri.

Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan Melaka Muhamad Jailani Khamis berkata cadangan menghentikan projek pembangunan oleh sebuah syarikat swasta di perairan Selat Melaka itu akan dibawa ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dalam masa terdekat.

“Perkampungan Portugis merupakan satu daripada ikon pelancongan negeri Melaka serta negara kerana keunikan masyarakat berkenaan hanya ada di sini dan ia menjadi tarikan pelancongan yang popular dahulu.

“Namun  pembangunan yang dilaksanakan di perairan berhampiran Perkampungan Portugis memberi kesan negatif kepada  alam sekitar dan perkampungan itu juga, sekali gus melumpuhkan pelbagai aktiviti penduduk,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Pesta San Pedro di Melaka, malam tadi.

Beliau berkata kerakusan pemaju atau syarikat swasta membangunkan projek mereka di perairan tersebut menyebabkan hakisan, perubahan struktur muara sungai dan mendapan lumpur sehingga memberi kesan kepada aktiviti perikanan yang menjadi sumber pendapatan sebahagian besar penduduk perkampungan itu.

​​​​​​Katanya pemaju yang terlibat perlu menitikberatkan tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka, memastikan kesan pembangunan yang dilakukan dikurangkan dengan mendalamkan laut agar tiada mendapan lumpur berlaku dan aliran air lancar.

Muhamad Jailani berkata isu pencemaran dan kerosakan di kawasan perkampungan berkenaan telah lama berlaku dan diperjuangkan penduduk berkenaan sejak dahulu namun tidak mendapat perhatian atau tindakan khususnya menyelesaikannya.

Justeru beliau berkata aspek undang-undang dan peraturan sedia ada bagi melindungi perkampungan itu daripada kemusnahan secara perlahan akan turut dilihat sekiranya pendekatan lain tidak berkesan.

Sementara itu, beliau berkata pihaknya akan merujuk penganjuran Pesta San Pedro yang menjadi  satu daripada perayaan utama yang diraikan masyarakat Portugis di perkampungan itu kepada Kementerian Pelancongan untuk mendapatkan dana. – Bernama

Tiada ulasan: