Memaparkan catatan dengan label PENTADBIRAN. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label PENTADBIRAN. Papar semua catatan

Khamis, 3 September 2020

Itu bukan syarikat Musa, saya tak lulus permohonan tanah 20,000 ekar, kata bekas pengarah

Surat permohonan tanah seluas 20,000 ekar di Tongod yang 
didakwa dimohon syarikat milik Musa Aman pada 1997 yang 
tersebar di media sosial.

KOTA KINABALU: Bekas pengarah Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) Sabah, Osman Jamal menafikan beliau pernah meluluskan permohonan tanah seluas 20,000 ekar di Tongod kepada sebuah syarikat yang didakwa milik bekas ketua menteri, Musa Aman ketika menjadi pengerusi Yayasan Sabah pada 1997.

Beliau turut menyifatkan dakwaan Corak Nahkoda Sdn Bhd yang memohon tanah itu dimiliki Musa sebagai fitnah.

Katanya, syarikat itu sebenarnya dimiliki 3 dewan perniagaan, iaitu Dewan Perniagaan Bumiputera Sabah yang diwakili Musa sebagai pengerusi, Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kadazandusun yang diwakili Ajit Galun serta Dewan Perniagaan Cina Sabah yang diwakili Mohamad Sari Tan Anuar.

“Untuk makluman, pengarah Jabatan Tanah dan Ukur tidak mempunyai kuasa meluluskan permohonan tanah seluas 20,000 ekar, sebaliknya kuasa sedemikian adalah hak Kabinet negeri.

“Surat yang saya tandatangani juga bukan kelulusan, tetapi arahan pentadbiran memproses permohonan tanah yang lazimnya ditujukan kepada penolong pemungut hasil tanah di daerah berkaitan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baru-baru ini, surat permohonan tanah seluas 20,000 ekar di Tongod yang didakwa dimohon syarikat milik Musa pada 1997 ketika beliau menjadi pengerusi Yayasan Sabah tersebar di media sosial.

Surat itu turut mendedahkan syarikat yang memohon tanah itu mempunyai 3 pengarah, iaitu Musa, Ajit dan Sari.

Osman berkata, permohonan tanah itu diluluskan kerajaan negeri menerusi Kabinet, dengan geran tanah turut dikeluarkan dan didaftarkan.

Katanya, tanah itu diukur oleh jurukur berlesen yang dilantik Corak Nahkoda Sdn Bhd dan semua tanah adat penduduk kampung sudah dikeluarkan daripada kawasan syarikat terbabit.

Beliau yang juga Adun Balung berkata, Musa tidak pernah marah atau cemburu dengan tindakan Ketua Menteri, Shafie Apdal mengeluarkan geran tanah kepada penduduk kampung.

“Apa yang dibangkitkan Musa dan pihak pembangkang adalah teguran kerana Shafie mengaku dan mengelirukan rakyat bahawa semua itu adalah hasil usaha kerajaan Warisan.

“Kerajaan Warisan sekali lagi berbohong dan mengaku kononnya merekalah yang prihatin terhadap nasib penduduk kampung dalam menyegerakan pengeluaran geran kepada mereka dalam masa 2 tahun dan menuduh Barisan Nasional yang memerintah selama 23 tahun gagal menangani isu geran.”

Beliau berkata, hakikatnya geran yang diberikan Shafie ialah legasi kerajaan BN di bawah pimpinan Musa menerusi kaedah pemberi milikan tanah terancang “Fast Track” untuk pengeluaran geran komunal di bawah pindaan Seksyen 76 Ordinan Tanah Sabah pada 2009.

Katanya, kerajaan BN menerusi penubuhan Program Perkhidmatan Tanah Anak Negeri Sabah (Pantas) pada 2011 mengeluarkan hak milik tanah adat kapada penduduk kampung dan menjalankan pengukuran “sub division” geran komunal di bawah Seksyen 77 Ordinan Tanah untuk penerima yang mahu membangunkan sendiri lot mereka.

“Perbelanjaan untuk kos pengukuran dan pengurusan Pantas dibiayai peruntukan kerajaan persekutuan, oleh itu wajar bagi Musa menegur Shafie yang mendakwa semua geran kepada orang kampung adalah hasil usaha mereka.”

Vell Paari berhasrat perjuang hak kaum India

Muhammad Azizul Osman
MGF02092020_SENATOR-ANGKAT-SUMPAH01-1-681x454
Senator, Datuk Seri S. Vell Paari mengangkat sumpah pada 
Upacara Mengangkat Sumpah Ahli Dewan Negara sempena 
Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 Dewan 
Negara di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto HAZROL 
ZAINAL

KUALA LUMPUR – Datuk Seri S. Vell Paari yang baru mengangkat sumpah jawatan sebagai Senator Dewan Negara hari ini berikrar untuk terus memperjuangkan hak komuniti kaum India di negara ini.

Anak lelaki kepada Tun S. Samy Vellu itu bertekad merangka perancangan memastikan kaum itu turut mendapat peluang yang sama dalam semua sektor.

“Saya berhasrat untuk memperkasakan lagi komuniti India supaya turut diberi peluang sama rata dalam semua sektor seperti kaum lain,” katanya pada sidang media hari ini.

Vell Paari yang sebelum ini pernah menjadi Setiausaha Agung dan serta Bendahari Agung MIC mengangkat sumpah di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim.

Beliau adalah lantikan daripada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Turut mengangkat sumpah di hadapan Rais ialah Mohamad Apandi Mohamad, Ahmad Yahaya dan Datuk Wira Othman Aziz.

Mohamad Apandi lantikan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan serta Ahmad Yahaya dan Datuk Wira Othman Aziz merupakan lantikan DUN Kedah. – MalaysiaGazette

Mustahil saya luluskan RT tanpa pengetahuan Zuraida – Guan Eng

Norlaile Abd Rahman
MGF27082020_PC-GUAN-ENG10-681x454
Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR- Bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menafikan dirinya telah meluluskan Projek Sisa Pepejal Taman Beringin (PSPTB) secara rundingan terus tanpa pengetahuan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamarudin.

Menurut Ahli Parlimen Bagan itu, sudah menjadi amalan sejak sekian lama, kementerian yang bertanggungjawab akan membuat permohonan kepada Kementerian Kewangan untuk mana-mana projek rundingan terus (RT).

“Ini merupakan suatu perkara yang mustahil. Saya ingin tegaskan bahawa amalan biasa ialah kementerian yang bertanggungjawab (iaitu KPKT) akan memohon kepada Kementerian Kewangan (MoF) untuk mana-mana projek RT dijalankan.

“Justeru, semestinya akan ada surat daripada KPKT kepada MoF.

“Surat permohonan KPKT kepada MoF tersebut sepatutnya dihantar pada tahun 2018 oleh Ketua Setiausaha (KSU) KPKT memandangkan projek ini melibatkan jumlah besar sebanyak RM170.3 juta.

“KSU KPKT tidak mungkin menulis surat rasmi pada tahun 2018 kepada MoF tanpa pengetahuan atau restu menterinya iaitu Zuraida,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Malah menurut Setiausaha Agung DAP itu, sekiranya benar permohonan dibuat tanpa pengetahuan Zuraida, KSU boleh dikenakan tindakan disiplin.

“Saya tidak percaya bahawa KSU KPKT ialah seorang yang sanggup bertindak “khianat” sedemikian walaupun terhadap seorang menteri “pengkhianat” PH,” katanya.

Menurut Guan Eng, sehingga ke hari ini Ahli Parlimen Ampang itu masih gagal menafikan kewujudan surat permohonan daripada KSU KPKT kepada Kementerian Kewangan pada 2018.- MalaysiaGazette

Rabu, 2 September 2020

Terserah kepada rakyat untuk nilai pencapaian kerajaan PN – Muhyiddin

Mohd Zaini Samsu Hadi
MGF010920_KONVENSYEN-SETENGAH-TAHUN-PENTADBIRAN-PN-27-681x454
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bercakap sesuatu 
dengan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada 
Konvensyen Setengah Tahun Pentadbiran PN di Persatuan 
Alumni Universiti Malaysia (PAUM), Kuala Lumpur. foto 
SYAFIQ AMBAK,

KUALA LUMPUR – Ketiadaan manifesto dalam pentadbiran Perikatan Nasional (PN) tidak bermakna kerajaan yang baharu tertubuh itu tidak mempunyai kebertanggungjawaban kepada rakyat.

Sebaliknya, sebagai seorang muslim yang dipilih unutk memimpin, seseorang itu perlu bertanggungjawab ke atas orang yang dipimpinnya, kata Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, pembentukan kerajaan Perikatan Nasional bukanlah selepas diadakan pilihan raya seperti biasa, tetapi berdasarkan peruntukan di dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Oleh itu, kerajaan ini tidak mempunyai apa-apa manifesto atau akujanji yang biasanya dibentangkan kepada rakyat semasa kempen pilihan raya.

“Tanpa manifesto, saya fikir agak sukar untuk saudara-saudari menilai pencapaian kerajaan. Janji-janji mana yang telah tertunai dan mana yang belum tertunai tidak boleh disenaraikan satu-persatu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Konvensyen Setengah Tahun Pentadbiran Perikatan Nasional di Rumah Kelab Persatuan Alumni Universiti Malaya, di sini, hari ini.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang antara pemimpin paling awal menyokong beliau menjadi Perdana Menteri selepas Tun Dr Mahathir Mohamad meletak jawatan.

Katanya, ia kemudian diikuti pemimpin parti-parti lain yang membawa kepada pembentukan kerajaan PN.

“Saya dilantik sebagai Perdana Menteri oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong setelah mantan perdana menteri meletak jawatan dan saya mendapat sokongan majoriti Ahli-Ahli Parlimen dari parti PPBM, Barisan Nasional, PAS, GPS, STAR dan PBS.

“Antara yang paling awal menyokong saya ialah YB Tuan Guru Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang, Ahli Parlimen Marang dan Presiden PAS yang ada di sini pada hari ini. Terima kasih saya ucapkan,” katanya.

Muhyiddin berkata, beliau secara peribadi tidak menjangka dilantik sebagai perdana menteri ketika krisis politik berlaku hujung Februari.

“Tetapi oleh kerana berlakunya krisis politik yang agak rumit pada ketika itu, rakan-rakan pimpinan parti-parti yang membentuk kerajaan Perikatan Nasional hari ini mencadangkan nama saya sebagai Perdana Menteri.

“Setelah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong berpuas hati bahawa saya mendapat sokongan majoriti Ahli-Ahli Dewan Rakyat, maka jadilah saya Perdana Menteri.

“Keberadaan saya di sini hari ini selain daripada ketentuan Allah yang maha kuasa adalah kerana sokongan yang saya terima daripada Ahli-Ahli Dewan Rakyat.

“Sebagai Perdana Menteri, tugas saya yang pertama menurut Perlembagaan Persekutuan ialah membentuk Kabinet, maka saya telah membentuk Kabinet saya yang menggabungkan ahli-ahli Parlimen dari parti-parti yang menyokong saya, seorang ahli perbankan dan seorang mantan mufti.

“Kabinet inilah yang membentuk sebuah kerajaan yang dinamakan kerajaan Perikatan Nasional,” tambah beliau.

Menurut Muhyiddin lagi, tempoh enam bulan kerajaan PN satu jangka yang singkat untuk dinilai pencapaiannya.

“Dalam keadaan biasa, enam bulan adalah umpama tempoh percubaan atau probation period.

“Sudah pasti tempoh yang agak lebih lama diperlukan untuk membuat penilaian yang lebih komprehensif tentang pencapaian sesebuah kerajaan,” katanya.

Muhyiddin memaklumkan beliau kini menyerah kepada rakyat untuk menilai pentadbirannya.

Hadir sama pada konvensyen tersebut, Abdul Hadi yang mewakili Pas serta pimpinan kerajaan PN termasuk PPBM.

Muhyiddin dilantik sebagai perdana menteri, pada 29 Februari lalu selepas mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen terdiri daripada, BN, PPBM, Pas, GPS dan parti di Sabah dan Sarawak. – MalaysiaGazette

Rais Yatim dilantik Yang Dipertua Dewan Negara baharu

Muhammad Azizul Osman
MGF160620_ANGKAT-SUMPAH-AHLI-DEWAN-NEGARA_01-681x454
Pengerusi Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia 
(Bersatu) Negeri Sembilan, Tan Sri Dr Rais Yatim mengangkat 
sumpah semasa Upacara Mengangkat Sumpah Ahli Dewan 
Negara di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ 
AMBAK

KUALA LUMPUR – Pengerusi Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Negeri Sembilan, Tan Sri Rais Yatim terpilih menjadi Yang Dipertua Dewan Negara ke-18 hari ini.

Rais memegang jawatan itu bagi menggantikan Tan Sri S.A. Vigneswaran yang tamat perkhidmatan pada 22 Jun lalu mendapat undi tertinggi dalam persidangan Dewan Negara hari ini.

“Tan Sri Rais Yatim mendapat 45 undi, Senator Yusmadi mendapat 19 undi. Jumlah 64 orang dan seorang tidak hadir. Maka menurut saya dengan itu saya memashyurkan Rais Yatim dipilih menjadi Yang Dipertua Dewan Negara,” kata Timbalan Speaker Datuk Seri Abdul Halim Abd. Samad.

Mengikut Peraturan-Peraturan Mesyuarat Majlis Dewan Negara, apabila jawatan Yang Dipertua kosong maka majlis sebaik-baik cukup bilang ahli hendaklah memilih Yang Dipertua.

Sekiranya terdapat lebih satu nama, undian harus dilakukan sehingga seorang calon mendapat undi lebih berbanding undi calon atau jumlah undi calon-calon lain.

Selepas pemilihan itu, speaker dan empat Ahli Dewan Negara baharu iaitu Tan Sri Mohamad Apandi Mohamad (lantikan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan), Datuk Seri S. Vell Paari (lantikan Yang di-Pertuan Agong) serta Ahmad Yahaya dan Datuk Wira Othman Aziz (lantikan DUN Kedah) dijadualkan mengangkat sumpah.

Rais yang berasal dari Kuala Klawang, Negeri Sembilan, pernah menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan dari tahun 1978 hingga 1982 sebelum memegang beberapa jawatan penting di peringkat kerajaan pusat.

Antaranya jawatan Kabinet penting dipegang olehnya ialah Menteri Penerangan, Menteri Kebudayaan dan juga Menteri Luar.

Beliau pernah bersama Tengku Razaleigh Hamzah keluar UMNO dan menubuhkan Parti Semangat 46.

Bagaimanapun setelah Semangat 46 dibubarkan, beliau kembali ke pangkuan UMNO.

Rais sebelum ini mengangkat sumpah jawatan Senator pada Jun lalu.

Dewan Negara mempunyai 70 senator dengan 26 dilantik oleh 13 negeri manakala 44 lagi dilantik Yang di-Pertuan Agong termasuk dua bagi Wilayah Perkutuan Kuala Lumpur dan satu untuk Wilayah Persekutuan Labuan.

Tempoh jawatan adalah tiga tahun atau sepenggal dan seseorang senator hanya boleh dilantik semula sekali sahaja untuk dua penggal berturut. – MalaysiaGazette

Selasa, 1 September 2020

Sultan Johor hidupkan semula gelaran Mejar Cina

PETALING JAYA: Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenaan gelaran Mejar Cina yang pernah dikurniakan Sultan Abu Bakar sebelum ini dihidupkan semula sebagai kesinambungan sejarah Johor moden.

Justeru, Sultan Ibrahim berkenan melantik pengurus ladang sawit Mado’s, David Wong Khong Soon sebagai Mejar Cina berkuatkuasa hari ini.

Dalam kenyataan hari ini, Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor Abdul Rahim Ramli berkata, Mejar Cina Wong yang berketurunan Wang Ah Fook akan menjalankan tugas dan bekerjasama dengan Yayasan Sultan Ibrahim dan lain-lain Yayasan Diraja Johor serta pegawai daerah, wakil rakyat, penghulu dan ketua masyarakat dalam mengenalpasti penerima, menyelaras, mengatur dan melaksanakan pengagihan bantuan keperluan makanan kepada bangsa Johor khususnya masyarakat Cina.

“Dalam menjalankan tugas itu, Mejar Cina Wong tidak disifat sebagai wakil raja. Beliau tidak dibekalkan dengan apa-apa kuasa, hak, imbuhan, kemudahan atau keistimewaan,” katanya.

Pada 1840, Temenggong Daeng Ibrahim membenarkan pengikutnya daripada bangsa Cina berpindah dari Singapura ke Tanah Besar Johor dan membuka sebuah penempatan dinamakan kangkar di tebing sungai Tebrau.

Pada 1870, terdapat 29 kangkar di Johor.

Masyarakat Cina pada ketika itu dibenar menjalankan kegiatan pertanian dan ternakan, budaya dan agama tradisi mereka tanpa gangguan.

Temenggong melantik seorang ketua dalam kalangan penduduk kangkar sebagai ‘kangcu’ untuk mengurus dan mengawal keselamatan mereka.

Mereka yang berkebolehan dilantik sebagai kapitan Cina dan Mejar Cina.

Masyarakat Cina menghargai jasa Temenggong dan Mahajara Abu Bakar dan pada 1873, mereka membina dan menghadiahkan bangunan Dewan Cina di kawasan Istana Besar kepada Maharaja Abu Bakar untuk dijadikan tempat mesyuarat dewan negeri dan tempat perjumpaan Maharaja dengan kangcu setiap tahun menyambut ulangtahun Hari Kerajaan

Tiada rancangan pilihan raya mengejut di Kedah, kata MB

ALOR SETAR: Kedah tidak bercadang mengadakan pilihan raya mengejut kerana pentadbiran sedia ada stabil, kata Menteri Besarnya, Muhammad Sanusi Md Nor.

Katanya, tidak bijak untuk membuang masa atau sumber ke atas pilihan raya negeri ketika ini, sedangkan pilihan raya Parlimen sudah mencukupi.

“Kami sudah bersedia untuk pilihan raya Parlimen, Di peringkat negeri, kerajaan mempunyai 23 kerusi, manakala pembangkang 13 kerusi. Ia akan berlayar sehingga pelabuhan,” katanya ketika membentangkan kad laporan “100 hari pertama menjadi menteri besar” di Seri Mentaloon di sini, hari ini.

Terdapat 23 Adun Perikatan Nasional (PN) dalam 36 kerusi Dewan Undangan Negeri Kedah. PAS mempunyai 15 kerusi, PPBM (4), manakala Umno dan bebas masing-masing 2 kerusi.

Sanusi bagaimanapun berkata, jika pucuk pimpinan pusat PN mahu pembubaran DUN, beliau akan mengikut nasihat itu.

Terdahulu, Sanusi melancarkan Pelan Pembangunan Kedah 2035 dengan tema memakmurkan negeri dan sesuai didiami.

Muhammad Sanusi Md Nor melawat sebuah sawah padi di Jerlun 
semalam. (Gambar Facebook)

Pelan pembangunan itu akan menyaksikan 12 daerah dalam negeri itu memfokuskan sektor seperti pertanian dan industri bio.

Sanusi berkata, negeri itu juga akan meningkatkan kewibaannya sebagai pengeluar beras negara melalui peningkatan pengeluaran padi dan mendorong penanaman durian duri hitam dan jagung.

Katanya, penanaman kenaf di tanah seluas 300ha juga akan diteruskan untuk membantu komuniti terpinggir, bersama ladang buluh dengan keluasan mencecah 1,000ha yang dapat membawa pendapatan hampir RM14,000 sehektar.

Pelan rancangan itu turut bercadang memindahkan kilang kitar semula plastik dari Sungai Petani ke Bukit Selambau, yang dikatakan akibat kebimbangan terhadap pencemaran dan menutup tapak pelupusan sampah Semeling, yang sering berlaku kebakaran.

PBT sertai serbuan polis di kelab malam, ancam tarik balik permit operasi

PUTRAJAYA: Penguatkuasa pihak berkuasa tempatan akan menyertai operasi pematuhan perintah kawalan pergerakan pemulihan polis di kelab malam, selepas didapati semakin ramai orang berani mengingkari arahan pencegahan pandemik Covid-19.

Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata demikian selepas 600 individu dikenakan kompaun kerana aktiviti di kelab malam, yang sebenarnya masih lagi belum dibenarkan beroperasi.

“Kita akan kenakan tindakan tegas terhadap premis pusat hiburan yang beroperasi lebih masa termasuk menarik balik permit operasi membabitkan kelab malam,” katanya pada sidang media hari ini.

Ismail menjelaskan kuasa polis terhad kepada menahan individu, namun dengan penyertaan PBT, tindakan menutup premis boleh diambil.

Mengenai perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) di Kedah, kerajaan mengumumkan PKPD secara pentabiran di Aman Jaya, Kedah berkuatkuasa sehingga 10 Sept.

“Sehingga semalam, Kementerian Kesihatan menyaring 12,533 daripada 22,560 individu di zon Kenanga, Mawar dan Melur.

“Angka ini menunjukkan 50% individu disaring dan keputusan akan diterima selepas semua selesai,” katanya.

Pekebun haram Musang King perlu hormat undang-undang- MB

Norlaile Abd Rahman
DATUK SERI WAN ROSDY WAN ISMAIL
Wan Rosdy Wan Ismail.

KUALA LUMPUR – Pekebun haram durian Musang King di Raub, Pahang diminta mematuhi undang-undang dengan mengosongkan tanah kerajaan yang mereka duduki secara haram selama ini.

Tegas Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, kerajaan negeri tidak berhasrat untuk menindas pekebun-pekebun tersebut sebaliknya hanya bertindak mengikut undang-undang.

“Kerajaan Negeri terus bertegas tanpa kompromi dalam isu pekebun haram durian Musang King.

“Kerajaan Negeri mengulangi ketegasan dan komitmen untuk bertindak tegas ke atas tanah-tanah diusahakan secara haram oleh pekebun-pekebun durian Musang King di Raub, yang kini tertangguh ekoran keputusan Mahkamah Tinggi mengenainya baru-baru ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuantan, Datuk  Zainal Azman Ab Aziz pada 28 Ogos yang lalu membenarkan agar pendengaran permohonan kebenaran oleh 111 pekebun haram di Raub bagi semakan kehakiman untuk membatalkan notis pengosongan tanah yang melibatkan kebun-kebun berkenaan yang dikeluarkan oleh Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Raub dan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang, ditangguhkan sehingga 28 Oktober 2020.

Menurut Wan Rosdy, sehingga permohonan tersebut didengar dan diputuskan oleh Mahkamah Tinggi, kerajaan negeri terpaksa menangguhkan buat sementara semua tindakan bagi menguatkuasakan notis pengosongan berkenaan.- MalaysiaGazette

Filipina buka semula pejabat untuk tuntut Sabah

Agensi
locsin-681x454 
Teodoro Locsin Jr

KUALA LUMPUR – Setiausaha Luar Filipina, Teodoro Locsin Jr mengumumkan pembukaan semula pejabat di bawah Jabatan Hal Ehwal Luar yang berfungsi untuk menuntut Sabah selepas Malaysia mengeluarkan nota lisan terhadap tuntutan tersebut pada minggu lalu.

Akhbar, The Inquirer melaporkan Locsin menimbulkan isu Pejabat Hal Ehwal Borneo Utara yang tidak berfungsi itu berikutan beberapa siri hantaran dalam akaun Twitter yang mana beliau dakwa terdapat ‘tawaran berulang kali’ tuntutan ke atas Sabah digugurkan.

“Tertanya-tanya jika ia masih dilakukan. Akan dibuka atau dibuka semula,” katanya yang merujuk kepada pejabat itu.

Pada Ahad lalu, menerusi akaun Twitter, Locsin membayangkan terdapat ‘rasuah’ ditawarkan kepada para pegawai Filipina untuk menggugurkan tuntutan ke atas Sabah.

“Menerusi sejarah terdapat tawaran berulang kali untuk menggugurkan tuntutan ke atas Sabah daripada aspirasi calon Presiden sejak akhir 1970an, kebiasaannya pembangkang kerana mereka paling memerlukan dana kempen tetapi juga pentadbiran,” kata Locsin dalam hantaran Twitter.

Semalam, menerusi akaun Twitternya, beliau berkata: “Orang awam Filipina perlu mengetahui bahawa tawarannya besar, oleh itu cubaan untuk melakukan khianat adalah besar.

“Dalam hal ini, menyerahkannya kepada diplomat tidak mencukupi untuk memelihara kepentingan nasional.

“Terdapat cubaan tambahan untuk merasa dialu-alukan di negara tuan tumah,” katanya.

Terdahulu, Inquirer melaporkan, Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) telah menyerahkan nota lisan, satu bentuk komunikasi diplomasi, pada Jumaat lalu.

Nota lisan itu menyatakan: “Kuala Lumpur tidak pernah mengiktiraf tuntutan Republik Filipina ke atas negeri Sabah, yang dahulu dikenali sebagai Borneo Utara,”. – MalaysiaGazette

Kerajaan sekat pas jangka panjang warga asing

HARAKAHDAILY

KUALA LUMPUR: Kerajaan menyekat kemasukan pemegang pas jangka panjang membabitkan warga asing bermula 7 September ini.

Menteri Kanan (Pertahanan), Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob berkata, sekatan tersebut dilakukan ekoran kenaikan mendadak kluster warga asing di dalam negara berkaitan.

“Kerajaan telah membuat keputusan untuk mengenakan sekatan kepada pas jangka panjang bagi warganegara India, Indonesia dan Filipina.

“Sekatan ini merangkumi enam kategori, iaitu mereka berstatus pemastautin tetap (PR), Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H), ekspatriat termasuk pemegang pas lawatan profesional (PVP) dan pemegang pas residen,” katanya dalam sidang media di Putrajaya, hari ini.

Beliau berkata, jika warga asing dari tiga negara itu kembali ke negara asal, mereka tidak dibenarkan lagi memasuki Malaysia, meskipun individu tersebut pemegang pas.

“Kalau dulu saya umumkan kelonggaran kemasukan beberapa kategori untuk masuk ke Malaysia, namun kita tidak benarkan lagi.

“Buat masa ini, tiga negara itu sahaja yang disekat kemasukannya. Sekiranya negara lain turut mencatatkan kes COVID-19 secara mendadak, tindakan yang sama akan dikenakan,” kata Ismail Sabri. HARAKAHDAILY

Najib terawal bangkit isu teroka tanah kerajaan di Raub

Manzaidi Mohd Amin
MGF08052020_TEMUBUAL-DS-NAJIB-RAZAK_07-681x454
Najib Tun Razak

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Tun Razak menafikan beliau tidak pernah bersuara mengenai isu 111 pekebun durian yang meneroka tanah kerajaan negeri secara haram di sekitar Raub, Pahang.

Malah, kata bekas Perdana Menteri itu, beliau antara yang terawal membangkitkan atau menyentuh soal tanah ladang itu.

Katanya, selepas dibangkitkan, beliau dimaklumkan oleh Menteri Besar Pahang bahawa isu itu dalam perhatian dan sedang diteliti.

“Sebab itu, kita beri ruang yang sepatutnya kepada mereka untuk menjalankan tugas,” katanya dalam hantaran di Facebook beliau, hari ini.

Najib mengulas tuduhan yang dilempar kepadanya, konon beliau tidak menyentuh langsung isu tanah ladang durian yang diusaha pekebun terbabit secara tidak sah.

Jumaat lalu, media melaporkan 111 pekebun durian yang meneroka tanah kerajaan negeri, berjaya mendapat Perintah Pergantungan Sementara terhadap notis pengosongan tanah kebun dan pajakan mereka di beberapa lokasi sekitar Raub.

Peguam, Siew Choon Jern, yang mewakili kumpulan pekebun itu berkata, perintah berkenaan dikeluarkan Hakim Mahkamah Tinggi Kuantan, Datuk Zainal Azman Ab Aziz selepas mendengar hujahan daripada pemohon dan wakil responden berhubung tuntutan itu.

Pada 12 Ogos lalu, kerajaan negeri menerusi Unit Penguatkuasaan Pahang akan mengambil alih tanaman durian dan buah-buahan yang diusahakan secara haram di sekitar Kampung Sungai Ruan dan Kampung Chalit, Raub mulai 24 Ogos ini.

Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Pahang dalam kenyataan memaklumkan, ia berikutan keputusan kerajaan negeri yang hanya memberi kebenaran memasuki dan menduduki tanah kerajaan dan hutan simpan di sekitar kampung berkenaan kepada syarikat usaha sama kerajaan negeri sahaja. – MalaysiaGazette

Isnin, 31 Ogos 2020

Pelantikan anggota Jawatankuasa Teknikal Syarak dan Sivil dimuktamad beberapa hari lagi

Shawaliah Hadir
MGF30082020_ZUKIFLI-SEMARAK-DAKWAH08-681x454
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), 
Senator Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri berucap pada 
Program Semarak Dakwah 2020 anjuran YADIM di PPR Sri 
Pantai, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL

KUALA LUMPUR – Pelantikan anggota Jawatankuasa Teknikal Syarak dan Sivil akan dimuktamadkan dalam masa beberapa hari sahaja lagi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, ia bakal selesai dengan perbincangan berhubung beberapa perkara termasuk agenda yang akan dibawa dengan anggota baharu yang bakal menyertai jawatankuasa itu.

“Insyallah dalam dua tiga hari lagi saya akan bertemu dengan mereka untuk buat pelantikan dan perbincangan. Sebab ada beberapa perkara dalam proses akhir untuk pindaan-pindaan beberapa agenda yang kita buat

“Saya bercadang beberapa isu-isu terkini seperti Akta 505 (Akta Pentadbiran Undang-undang Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) dan juga wakaf untuk kita perhalusi, cuba bentangkan dalam persidangan Parlimen akan datang,” katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika ditemui di Surai Al Hijrah, Chow Kit di sini.

Surau tersebut merupakan salah satu destinasi kunjungan beliau selepas merasmikan program Semarak Dakwah yang digerakkan oleh Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim).

Dalam pada itu, Zulkifli tidak menolak akan ada anggota jawatankuasa berkenaan yang akan kembali menganggotainya semula.

Jawatankuasa Teknikal Undang-Undang Syarak dan Sivil yang ditubuhkan Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) bertujuan menilai dan menyeragamkan semua pindaan serta penggubalan undang-undang membabitkan hal ehwal Islam. -MalaysiaGazette

Agong: Rukun Negara asas perpaduan nasional, bukan hanya simbolik

Malaysiakini

Rukun Negara yang lahir 50 tahun lepas sebagai asas kepada perpaduan nasional dan pembentukan negara ini, bukan sekadar untuk dijulang secara simbolik menerusi bacaan setiap kali negara menyambut Hari Kebangsaan, titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdulllah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Sebaliknya, titah baginda, roh dan semangat rukun negara hendaklah dihayati dan diamalkan dalam setiap aspek kehidupan seharian.

“Lima prinsip Rukun Negara adalah formula bagaimana rakyat yang berbilang bangsa, agama, budaya dan bahasa boleh mengatasi segala perbezaan serta kepelbagaian tersebut, seterusnya hidup secara rukun dan damai.

“Rukun Negara juga menuntut sebuah negara bangsa yang dibentuk atas keteguhan pegangan agama yang kukuh, manakala rakyat pula dituntut untuk mencurahkan taat setia kepada raja yang menjadi payung dan lambang kedaulatan negara,” titah baginda.

Seri Paduka bertitah demikian dalam Titah Diraja bersempena sambutan 50 tahun Rukun Negara dan Hari Kebangsaan 2020 yang disiarkan secara langsung menerusi stesen televisyen tempatan termasuk Bernama TV hari ini.

Sambutan itu berlangsung di Putrajaya.

Titah Al-Sultan Abdullah, prinsip-prinsip teras yang terkandung dalam Rukun Negara bersifat sejagat dengan merentasi nilai-nilai murni semua bangsa, agama serta berupaya menjadi panduan hidup sebagai rakyat sebuah negara yang merdeka.

Oleh itu, prinsip tersebut seharusnya menjadi panduan serta amalan oleh semua pihak termasuk pemimpin negara, kerajaan dan rakyat Malaysia, titah Seri Paduka.

Pada masa sama Yang di-Pertuan Agong turut mengingatkan semua pihak supaya menghormati dan mempertahankan semua perkara dan hak keistimewaan yang telah disepakati sebelum ini dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Keadilan di negara ini adalah terikat kepada undang-undang yang wajib dihormati serta dipatuhi oleh setiap rakyat tanpa mengira pangkat dan darjat,” titah baginda.

Sementara itu dalam menyambut Hari Kebangsaan yang bertemakan ‘Malaysia Prihatin’ tahun ini, Al-Sultan Abdullah mengucapkan tahniah kepada kerajaan yang amat prihatin dalam usaha mengukuhkan semula ekonomi negara selain terus membela kebajikan rakyat sepanjang negara berdepan pandemik Covid-19.

Yang di-Pertuan Agong juga merakamkan ucapan terima kasih kepada rakyat kerana menzahirkan daya tahan dan semangat prihatin yang tinggi dalam menghadapi cabaran itu.

Bersempena sambutan Hari Kebangsaan dan Ulang Tahun ke-50 Rukun Negara kali ini, Seri Paduka mengajak seluruh rakyat untuk menghargai serta menjaga kemerdekaan dan keamanan yang dikecapi negara.

“Sesungguhnya keharmonian dan kerukunan hidup dalam sebuah masyarakat yang berbilang kaum merupakan tunjang kepada kekuatan negara.

“Beta berkeyakinan, jika semangat yang terkandung dalam Rukun Negara terus dihayati dan tersemat kukuh di setiap jiwa rakyat Malaysia, insya-Allah, negara kita akan terus kekal aman dan damai serta akan menjadi sebuah negara yang kukuh dan makmur dengan rakyat yang bersatu padu,” titah baginda.

Seri Paduka bersama-sama Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut mengambil kesempatan mendoakan supaya Malaysia terus dipelihara dan dilimpahi dengan keberkatan rezeki, kemakmuran, kesejahteraan rakyat serta keamanan dan perpaduan yang berkekalan.

Mengakhiri titah, baginda mengucapkan selamat menyambut Ulang Tahun ke-50 Rukun Negara dan selamat menyambut Hari Kebangsaan 2020 kepada seluruh rakyat Malaysia.-Bernama

Ahad, 30 Ogos 2020

Pelaksanaan e-kerajaan: Bilangan penjawat awam dijamin kekal

fazleensafina

 

Terdapat perubahan dalam tugas apabila sistem dilaksanakan

SANDAKAN  – Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini memberi jaminan jumlah penjawat awam seramai 1.6 juta di seluruh negara tetap dikekalkan, meskipun sistem kerajaan elektronik (e-kerajaan) dilaksanakan.

Beliau berkata, ini kerana penjawat awam masih diperlukan untuk melakukan tugas-tugas lain bagi meningkatkan lagi keberkesanan penyampaian perkhidmatan, justeru tidak timbul isu pengurangan jumlah sedia ada.

“Sebagai contoh, sebelum ini ada tiga orang untuk satu tugas, tetapi apabila e-government (e-kerajaan) dilaksanakan, hanya seorang akan menjalankan tugas itu, manakala dua orang lagi boleh buat tugas yang lain,” katanya pada satu majlis perjumpaan bersama penjawat awam Sandakan, di sini.

Muhyiddin berkata, penggunaan teknologi sememangnya tidak boleh dielakkan, namun pada masa sama tenaga penjawat awam diperlukan untuk meningkatkan lagi produktiviti dan kualiti perkhidmatan.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan seorang penjawat awam yang ingin tahu sama ada bilangan tenaga kerja sektor  awam sedia ada akan dikurangkan jika sistem e-kerajaan dilaksanakan.

Muhyiddin bagaimanapun mengakui akan terdapat perubahan dalam tugas penjawat awam apabila sistem itu dilaksanakan, namun teknologi itu akan memberi nilai tambah kepada penyampaian perkhidmatan.

Katanya, beliau juga berpuas hati dengan prestasi penjawat awam, namun yakin mutu dan prestasi dapat ditingkatkan lagi sejajar dengan perkembangan semasa.

Muhyiddin berada di Sabah dalam rangka lawatan rasmi dua hari bermula semalam. -Bernama

Kerana politik jaga kuasa, nasib bangsa dan agama tak berubah

Siti Hafidah

 

Ketika pembangkang berani, dah jadi kerajaan bayang pun hilang

BANGI – Kemenangan calon Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Slim semalam, hanyalah mukadimah drama politik dimainkan oleh politikus yang sudah usang dan gersang dalam konteks perjuangan bangsa dan agama.

Presiden gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Haji Aminuddin Yahaya berkata, sekiranya betul mereka pejuang agama dan bangsa, mereka dicabar untuk ke Raub dan pertahankan tanah kerajaan serta mengembalikan Tanah Rizab Melayu.

Katanya, mereka juga perlu membela nasib Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim, berjuang menghapuskan sekolah vernakular dan sebagainya seperti mana ketika mereka menjadi pembangkang dulu.

“Jika tidak, kemenangan di Slim hanyalah satu mukadimah kepada drama kerakusan kuasa yang akan terus bermaharajalela melalui seruan-seruan retorik membela agama dan bangsa sahaja.

“Lagi satu, jika benar kemenangan di DUN Slim – di bawah Parlimen Tanjung Malim – ini menunjukkan sokongan kaum bukan Melayu terhadap kerajaan, pastinya tiada masalah untuk parti-parti politik Melayu meletakkan calon di kerusi Parlimen Tanjung Malim.

“…yang kononnya menjadi kerusi tradisi MCA di mana majoriti pengundinya adalah orang Melayu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Haji Aminuddin menjelaskan bahawa saranan itu diusulkan susulan seringkali mendengar alasan ‘kerusi tidak cukup untuk perjuangkan agenda Melayu dan Islam di Parlimen’.

“Apakah kerusi ini akan hanya menjadi kuota ‘safe seat’ bagi MCA untuk ke Parlimen? Kita tunggu dan lihat sahajalah gelagat mereka ini,” katanya.

Pada perkembangan sama, Haji Aminuddin berkata, kemenangan BN semalam – majoriti 10,945 undi – tiada apa yang nak disorakkan sangat bahkan hanya kemenangan politik untuk menjaga kuasa.

“Selain daripada itu saya tak nampak ianya akan merubah sikap BN kepada semakin membela nasib bangsa dan agama negara. Mungkin ada yang marah dengan saya tapi saya tidak kisah kerana saya sudah melihat begitu banyak keadaan nasib bangsa dan agama tak berubah-ubah, tidak kira siapapun yang memerintah.

“Ya, satu aspek kita merasa lega kerana kini negara diperintah oleh ‘kerajaan Melayu’ tetapi apakah itu akan diterjemahkan dalam realiti membangunkan dan membela orang Melayu? Saya agak sangsi.

“Lihat sahaja kes Adib, kes judi haram, kes pencerobohan tanah haram, kes penghapusan tanah melayu, kes sekolah vernakular, kempen BMF, kes tulisan Jawi, kes UEC, kes arak dan banyak lagi yang merupakan antara sebahagian kes yang melihatkan gelagat parti-parti Melayu dalam kerajaan,” katanya.

Haji Aminuddin berkata, beliau tidak nampak kelibat parti ‘Melayu’ dan ‘Islam’ bangun membela sebagaimana mereka bangkit ketika menjadi pembangkang dahulu.

“Ketika menjadi pembangkang memang kita nampak keberanian mereka tetapi rupa-rupanya bila sudah memerintah jangankan taring dan belang hilang, bayang pun sudah tidak nampak.

“Saya tidak tahu mengapa, dan ini sangat mengecewakan,” katanya kesal.

Sabtu, 29 Ogos 2020

Filipina tuntut Sabah: Malaysia perlu 'reaksi keras'

Haspaizi Zain

Malaysiakini

Tindakan diplomatik tetapi "keras" yang digunakan kerajaan khususnya Kementerian Luar terhadap Filipina dalam menangani isu kedaulatan Sabah adalah satu tindakan wajar.

Pakar Kajian Strategik dan Antikeganasan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Dr Mizan Aslam, berkata "reaksi keras" adalah satu tindakan wajar bagi menunjukkan ketegasan negara menolak tuntutan Filipina.

"Tindakan diplomatik yang keras ini perlu, kita tak nak isu ini pergunakan untuk agenda peribadi, politik.

"Malaysia bantah isu tuntutan Filipina dengan memanggil dutanya, dan ini perlu dilakukan oleh kerajaan, ini soal kedaulatan.

"Kita ambil contoh isu Pulau Batu Putih dulu, Singapura masa itu bina rumah api, kita tak bantah, seolah-olah bersetuju (Pulau Batu Putih hak Singapura), jika tidak ada reaksi keras umpama ini bermakna kita setuju," katanya kepada Malaysiakini.

Empat hari lalu, Wisma Putra sekali lagi mengulangi pendiriannya bahawa Sabah adalah sebahagian dari Malaysia untuk selamanya.

Menteri Luar Hishammuddin Hussein berkata, Malaysia sudah membuat pendirian sebelum ini mengenai Sabah dan tiada persoalan lagi mengenainya.

"Sabah selamanya akan menjadi sebahagian daripada Malaysia," katanya menerusi ciapannya di Twitternya.

Dua hari lalu, Timbalan Menteri Luar, Kamarudin Jaffar menegaskan pihaknya tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas susulan keputusan Filipina meluluskan rang undang-undang (RUU) baru memasukkan Sabah dan Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) sejauh 200 batu sebagai sebahagian peta pasport negara itu.

Katanya, pihaknya juga sedang mempertimbangkan beberapa pilihan sebagai reaksi balas selain tindakan-tindakan yang telah diambil sebelum ini.

Mengulas perkara itu, Mizan berkata ia tindakan keterlaluan Filipina dan berpendapat perkara itu ditimbulkan demi kepentingan politik.

Beliau berkata, kerajaan mungkin boleh menggunakan semangat Asean bagi membantah tindakan itu.

Bagaimanapun kata Mizan, tuntutan yang berasaskan kepada fakta sejarah biasanya tidak berjaya.

"Tuntutan berasaskan sejarah tidak terpakai contohnya dalam kes Pulau Batu Putih, ia dikaitakan dengan kesultanan Johor, namun mahkamah antarabangsa (ICJ) membuat keputusan ia milik Singapura.

"Jika pemilikan berdasarkan sejarah, Johor layak untuk menuntut Riau, dahulukan pernah wujud Johor Riau," katanya lagi.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin hari ini berkata Malaysia tegas menyatakan tiada kompromi terhadap apa sahaja isu melibatkan kedaulatan Sabah dan akan mempertahankan negeri itu sehingga ke akhir.

"Baru-baru ini ada kenyataan daripada pihak Filipina nak buat peta baru yang antaranya telah dimasuk dalam passport...saya tak nak cakap panjang, kita tidak akan tunduk dengan tuntutan ini. Sabah kekal dalam Malaysia...Sabah sebahagian daripada Malaysia," katanya.

 

Tindakan diplomatik tetapi "keras" yang digunakan kerajaan khususnya Kementerian Luar terhadap Filipina dalam menangani isu kedaulatan Sabah adalah satu tindakan wajar.

Pakar Kajian Strategik dan Antikeganasan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Dr Mizan Aslam, berkata "reaksi keras" adalah satu tindakan wajar bagi menunjukkan ketegasan negara menolak tuntutan Filipina.

"Tindakan diplomatik yang keras ini perlu, kita tak nak isu ini pergunakan untuk agenda peribadi, politik.

"Malaysia bantah isu tuntutan Filipina dengan memanggil dutanya, dan ini perlu dilakukan oleh kerajaan, ini soal kedaulatan.

"Kita ambil contoh isu Pulau Batu Putih dulu, Singapura masa itu bina rumah api, kita tak bantah, seolah-olah bersetuju (Pulau Batu Putih hak Singapura), jika tidak ada reaksi keras umpama ini bermakna kita setuju," katanya kepada Malaysiakini.

Empat hari lalu, Wisma Putra sekali lagi mengulangi pendiriannya bahawa Sabah adalah sebahagian dari Malaysia untuk selamanya.

Menteri Luar Hishammuddin Hussein berkata, Malaysia sudah membuat pendirian sebelum ini mengenai Sabah dan tiada persoalan lagi mengenainya.

"Sabah selamanya akan menjadi sebahagian daripada Malaysia," katanya menerusi ciapannya di Twitternya.

Dua hari lalu, Timbalan Menteri Luar, Kamarudin Jaffar menegaskan pihaknya tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas susulan keputusan Filipina meluluskan rang undang-undang (RUU) baru memasukkan Sabah dan Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) sejauh 200 batu sebagai sebahagian peta pasport negara itu.

Katanya, pihaknya juga sedang mempertimbangkan beberapa pilihan sebagai reaksi balas selain tindakan-tindakan yang telah diambil sebelum ini.

Mengulas perkara itu, Mizan berkata ia tindakan keterlaluan Filipina dan berpendapat perkara itu ditimbulkan demi kepentingan politik.

Beliau berkata, kerajaan mungkin boleh menggunakan semangat Asean bagi membantah tindakan itu.

Bagaimanapun kata Mizan, tuntutan yang berasaskan kepada fakta sejarah biasanya tidak berjaya.

"Tuntutan berasaskan sejarah tidak terpakai contohnya dalam kes Pulau Batu Putih, ia dikaitakan dengan kesultanan Johor, namun mahkamah antarabangsa (ICJ) membuat keputusan ia milik Singapura.

"Jika pemilikan berdasarkan sejarah, Johor layak untuk menuntut Riau, dahulukan pernah wujud Johor Riau," katanya lagi.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin hari ini berkata Malaysia tegas menyatakan tiada kompromi terhadap apa sahaja isu melibatkan kedaulatan Sabah dan akan mempertahankan negeri itu sehingga ke akhir.

"Baru-baru ini ada kenyataan daripada pihak Filipina nak buat peta baru yang antaranya telah dimasuk dalam passport...saya tak nak cakap panjang, kita tidak akan tunduk dengan tuntutan ini. Sabah kekal dalam Malaysia...Sabah sebahagian daripada Malaysia," katanya.

PRK Slim: PN diyakini, PH makin ditolak

HARAKAH DAILY

KUALA LUMPUR: Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dr Azman Ibrahim dan Dr Rosni Adam sepakat merumuskan bahawa rakyat menunjukkan sokongan politik menerusi undi kepada gabungan yang diyakini mereka.

Mengulas kemenangan pada PRK DUN N.58 Slim, kedua-duanya mereka yang berlatarbelakang profesional dalam bidang sama iaitu doktor perubatan pergigian bersetuju bahawa Kerajaan Perikatan Nasional diterima rakyat.

Menurut Dr Azman, corak politik di Semenanjung Malaysia menunjukkan rakyat memilih calon yang didukungi suatu parti dengan asas perjuangan jelas, sekali gus bukan mudah untuk calon-calon bebas menempatkan diri.

“Mereka inginkan seorang wakil yang mampu berkhidmat dan bukannya seorang calon yang sekadar cuba-cuba nak uji populariti berselindung di sebalik bayangan parti yang belum sah lagi pun pendaftarannya.

“Ideologi politik calon perlu jelas. Tak gentleman bertanding atas calon nama Bebas, tapi pimpinan Pakatan Harapan (PH) mari kempen. Kenapa tak guna logo PH kalau betul nekad dan berani?

“Kemenangan ini ada suatu gambaran bahawa jalan sukar bakal dihadapi PH dalam PRU15 apabila mengambil kira untuk kali yang ke seterusnya calon Muafakat Nasional menang berturut-turut dalam siri PRK sebelum ini,” katanya.

Beliau turut melontarkan persoalan sama ada PH masih relevan dalam arena politik tanah air di mana perkara itu hanya akan ditentukan oleh masa terhadap nasib politik gabungan tersebut dalam arena negara.

Dr Rosni pula menegaskan bahawa kemenangan tersebut secara khusus juga menjadi sokongan rakyat kepada kerajaan memerintah hari ini iaitu Perikatan Nasional pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Tagline Sejahtera dan Prihatin yang digunakan oleh kerajaan benar-benar diterjemahkn dalam bentuk tindakan dan ia diterima baik oleh rakyat,” ujarnya.

Perkara sama turut disokong seorang lagi Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Ustaz Mohd Yusni Mat Piah yang menyifatkan bahawa rakyat juga semakin hilang kepercayaan kepada PH kerana ‘cakap tak serupa bikin’. HARAKAHDAILY

Malaysia tidak tunduk pada tuntutan Filipina terhadap Sabah – PM

Bernama
MGF18072020_MAJLIS-PELANCARAN-PROGRAM-JUALAN-MEGA07-681x454
Tan Sri Muhyiddin Yassin.

KOTA KINABALU – Malaysia tidak akan tunduk terhadap mana-mana tuntutan terhadap negeri Sabah, kata Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, Malaysia tegas menyatakan tiada kompromi terhadap apa sahaja isu melibatkan kedaulatan negeri itu dan akan mempertahankan Sabah.

“Baru-baru ini ada kenyataan daripada pihak Filipina nak buat peta baru yang antaranya telah dimasuk dalam pasport…saya tak nak cakap panjang, kita tidak akan tunduk dengan tuntutan ini. Sabah kekal dalam Malaysia…Sabah sebahagian daripada Malaysia.

“Jangan ada usaha untuk menarik Sabah keluar dari Malaysia dan jangan ada usaha orang lain daripada Malaysia, menuntut Sabah untuk menjadi sebahagian daripada wilayah mereka.” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Bersama Penjawat Awam Persekutuan Negeri Sabah di Pusat Konvesyen Antarabangsa Sabah, di Kota Kinabalu hari ini.

Kelmarin, Timbalan Menteri Luar Datuk Kamarudin Jaafar dilaporkan sebagai berkata cadangan memasukkan Sabah dan Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) sejauh 200 batu ke dalam peta pasport Filipina bukan langkah terbaharu atau pendirian rasmi kerajaan negara itu.

Perkara itu merupakan cadangan anggota Jawatankuasa Hal Ehwal Luar Dewan Perwakilan Filipina untuk mewujudkan rang undang-undang gantian bagi meminda, mengganti atau memansuhkan Akta Pasport Filipina 1996. -MalaysiaGazette

PRU-15: Saifuddin kata biar kepimpinan PN buat keputusan

Muhammad Azizul Osman
MGF29082020_RAPTAI-SAMBUTAN-HARI-KEBANGSAAN_09-681x454
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah 
bercakap kepada media selepas melihat Raptai Penuh Sambutan 
Hari Kebangsaan 2020 di Dataran Pahlawan, Putrajaya. foto 
ISKANDAR HAMIDI

PUTRAJAYA – Biar kepimpinan tertinggi Perikatan Nasional (PN)  membuat keputusan sama ada ingin mengadakan Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU-15) dalam masa terdekat atau tidak.

Itu jelas Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah mengulas kenyataan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang berkata perlu ada mandat bahau bagi menghapuskan label “kerajaan pintu belakang” kepada kerajaan PN.

“Tentu keputusan ini harus dibuat oleh pimpinan utama Perikatan Nasional. Saya pemain kecil sahaja, tidak boleh komen apa,” kata Saifuddin selepas mengadakan tinjauan persiapan sempena Sambutan Hari Kemerdekaan ke 63 di Dataran Pahlawan hari ini.

Beliau berkata sebarang keputusan yang akan dicapai oleh kerajaan harus mengikut keputusan yang dibuat oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Menteri Kabinet ikut (keputusan) Perdana Menteri sahaja,” katanya lagi.

Semalam, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata kerajaan PN pimpinan Muhyiddin memerlukan mandat baharu.

Ini kerana katanya, ia perlu dibuat bagi mengelakkan pelbagai tuduhan terus dilemparkan oleh pembangkang terhadap kerajaan yang memerintah pada hari ini.

Ahmad Zahid juga berkata, kerajaan yang ada pada hari ini tidak mempunyai pilihan selain menyegerakan untuk rakyat menggunakan kuasa memilih tampuk pemerintahan yang dimahukan.

PN yang mempunyai sokongan tipis di Dewan Rakyat dengan hanya 113 kerusi berbanding 109 kerusi pembangkang membuatkan kerajaan dilihat tidak stabil dan akan terus dipersendakan sebagai kerajaan pintu belakang. – MalaysiaGazette