Jumaat, 29 Jun 2018

Najib: Presiden baru Umno mesti dapatkan semula kepercayaan ahli, rakyat

 


EKSKLUSIF | Keputusan mengenai siapakah tokoh dalam Umno yang bakal menerajui parti Melayu itu akan diketahui esok.

Tidak seperti tujuh presidennya yang lalu, presiden baru parti itu akan memikul tangggungjawab dan amanah yang berat terhadap tiga juta anggotanya selepas mengalami kekalahan terburuk pada pilihan raya umum ke-14 lalu.

Menyedari Umno kini berdepan laluan sukar, bekas presidennya, Datuk Seri Najib Razak menegaskan bahawa penggantinya kelak mestilah seorang pemimpin yang dapat mengembalikan semula keyakinan anggota parti dan rakyat Malaysia khususnya terhadap parti berkenaan.

"Ini adalah peluang bagi kami untuk mendapatkan semula kepercayaan berkenaan. Jadi individu itu harus merupakan orang yang boleh melakukannya supaya Umno menjadi sebuah parti yang lebih kuat," katanya dalam temu bual eksklusif dengan Malaysiakini.

Najib meletakkan jawatan sebagai presiden Umno dan menyerahkan tugas itu kepada timbalannya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi selepas pilihan raya umum lepas.

Beliau berkata sesiapa sahaja yang terpilih mesti meneruskan perjuangan Umno.

"Saya menyerahkan parti ini kepada Zahid, saya yakin beliau atau sesiapa yang dipilih sebagai presiden pada hujung minggu ini boleh meneruskan perjuangan Umno dan membantu Umno memulihkan kepercayaan rakyat," katanya.

Memandangkan Umno masih kekal sebagai parti terbesar dengan memperoleh 52 kerusi parlimen, perjuangan Umno untuk melakukan perubahan dalam landskap politik semasa mencetuskan perbezaan pandangan dalam parti.

Bagaimanapun, Najib tidak percaya persaingan bagi merebut jawatan presiden akan memecahbelahkan Umno.

"Saya tidak fikir ada perpecahan, Umno tidak akan berpecah seperti pada tahun 1987. Saya percaya sesiapa yang menang, mereka yang kalah akan menerima keputusan dan mereka yang menang juga harus menerima orang yang kalah," katanya.

Ditanya sama ada beliau kecewa apabila ada pemimpin Umno tertentu secara terbuka menyalahkannya berikutan kekalahan pada PRU lalu, Najib berkata ia merupakan sesuatu yang telah dijangkakan.




Bawa perubahan dalam Umno

Najib juga mengimbau semula peranan beliau dalam membawa pembaharuan terhadap Umno selepas mengambil alih kepimpinan parti itu daripada Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 2009.

Beliau juga menceritakan bagaimana pendahulunya, termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad meletakkan syarat bahawa sesiapa yang ingin bertanding jawatan presiden memerlukan 56 undi daripada bahagian.

Najib berkata perkara ini menjadikannya mustahil kepada sesiapa untuk mencabar penyandang jawatan berkenaan.

"Di bawah sistem sebelumnya, beliau (Mahathir) boleh kekal sebagai presiden parti selama-lamanya, dan saya boleh kekal (selama-lamanya) jika saya memilih sistem itu.

"Saya adalah orang yang membuatnya (Umno) lebih terbuka, jadi saya menghapuskan (sistem itu), dan kini hari ini, 160,000 orang mengambil bahagian dalam pemiihan terbuka.

"Saya adalah presiden Umno pertama yang dipilih melalui sistem berkenaan. Malangnya saya tidak diberi banyak kredit untuk ini," katanya.

Sambil mengingatkan semula gagasan 1Malaysia, Najib juga berkata beliau telah memimpin Umno ke arah kesederhanaan semasa menjadi presiden.

"Sebagai presiden, saya memimpin Umno untuk menjadi parti yang sederhana dan progresif.

"Konsep 1Malaysia adalah untuk menunjukkan bahawa walaupun kita memiliki Umno dan Umno adalah mengenai orang Melayu dan bumiputera, kita juga memastikan dasar kita adil kepada yang lain," katanya merujuk kepada Pelan Tindakan Masyarakat India (MIB) dan usaha mengekalkan sekolah aliran Cina di bawah pentadbiran beliau.

Najib juga berkata beliau meneruskan konsep 1Malaysia walaupun mendapat tentangan kuat daripada Mahathir yang ketika itu berada di platform PERKASA.

"Ini adalah perkara-perkara yang saya lakukan dan tidak ada persengketaan atau konfrontasi kaum yang besar ketika saya memegang jawatan," katanya.

Apabila Malaysiakini menimbulkan isu mengenai Ketua Umno bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos yang mengetuai pergerakan Baju Merah, Najib berkata beliau akan campur tangan sekiranya perkara itu melampaui batas.

"Jamal adalah Jamal.  Dia bukanlah seorang yang dianggap penting oleh pemimpin.

"Jelas orang ramai bertolak ansur kepadanya. Jika perkara itu melampau, saya akan campur tangan," katanya.


Tiada ulasan: