WWF Malaysia menggesa restoran, peruncit dan hotel untuk mengamalkan dasar dengan ‘mengharamkan’ sirip ikan yu daripada menu makanan mereka atau menggantikannya dengan bahan ramuan alternatif.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Dr Dionysius S.K. Sharma berkata permintaan tinggi menjadi sebab utama penangkapan ikan yu gagal dihentikan, dan inisiatif tersebut adalah untuk mengurangkan impak manusia terhadap ekosistem haiwan tersebut dan ekosistem marin.
“Menurut kajian, didapati bahawa 85 peratus hidangan sup sirip ikan yu adalah berkaitan dengan perayaan seperti majlis perkahwinan di restoran atau hotel.
“Dengan menggesa mereka menghentikan pembelian sirip ikan yu daripada pembekal, ia akan memberi kesan kepada pembekal dan mereka yang menangkap ikan yu dalam rantaian bekalan itu.
“Lama-kelamaan sirip ikan yu tidak akan mendapat permintaan tinggi bagi mereka yang menangkap ikan tersebut, sekali gus dapat menghentikan pembunuhan ikan tersebut,” katanya semasa pelancaran projek ‘Majlis Perkahwinan Tanpa Sirip Ikan Yu’ semalam dipetik Bernama.
Beliau berkata ikan yu adalah penting dalam menstabilkan ekosistem marin dan menjadikan lautan dapat mengekalkan populasi sihat ikan lain.
“Bagaimanapun populasi ikan yu kian merosot akibat penangkapan ikan yang keterlaluan serta berikutan permintaan tinggi terhadap sirip ikan yu,” katanya.
Sementara itu, Presiden AWP Leticia Hsu berkata pengguna dan pemain industri memerlukan lebih kesedaran terhadap bahan ramuan alternatif untuk menggantikan sup sirip ikan yu pada majlis perkahwinan.
“Usaha untuk menamatkan pengambilan sirip ikan yu di seluruh dunia mengambil masa yang panjang dan sukar, maka kami bersemangat untuk memberi kesedaran ini kepada pengguna terhadap perkara tersebut.
“Dengan membuat keputusan yang wajar, pengantin baharu boleh memainkan peranan besar dalam mengubah trend untuk tidak menghidangkan sup sirip ikan yu semasa majlis perkahwinan,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan