Sabtu, 30 Jun 2018

Wawancara dengan Reuters 'sengaja disalah tafsir', dakwa Najib

MALAYSIAKINI

   
Datuk Seri Najib Razak mendakwa bahawa wawancaranya dengan Reuters baru-baru ini "sengaja disalah tafsir" oleh orang lain untuk memberikan gambaran bahawa beliau tidak tahu mengenai transaksi berkaitan 1MDB.

Dalam temu bual eksklusif dengan Malaysiakini, bekas perdana menteri itu berkata beliau tahu mengenai transkasi 1MDB, yang mana lembaga pengarah seharusnya telah memeriksanya sebelum beliau tandatangan.

Bagaimanapun, Najib mendakwa bahawa beliau tidak menyedari tentang sebarang salah guna dana selepas 1MDB telah membayar rakan usaha samanya (JV).

Najib juga berkata lembaga pengarah 1MDB seharusnya memantau dan berpuas hati dengan proses korporatnya yang sepatutnya, sebelum para pegawainya memintanya untuk secara rasmi menandatangani pelaburan atau transaksi yang dicadangkan.

"Apa yang saya maksudkan ialah saya menyedari tentang transaksi dan pelaburan utama, ya, tetapi sebaik sahaja transaksi dan pelaburan dibuat, selepas itu saya tidak tahu, kerana itu adalah tahap pelaksanaan, dan juga beberapa pelaburan dibuat di luar negara.

"Itulah yang saya maksudkan. Saya tidak bermaksud bahawa saya tidak tahu segala-galanya. Itu tidak betul.

"Apa yang saya maksudkan ialah selepas wang itu dibayar oleh 1MDB kepada pihak ketiga, saya tidak tahu apa yang berlaku kepada dana itu kerana ia di luar kawalan atau pengetahuan saya, terutamanya kerana pihak ketiga dan transaksi berada di luar negara..," katanya. .

Berikutan artikel Reuters itu, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad membidas Najib, yang merupakan pengerusi lembaga penasihat 1MDB, dengan menyatakan bahawa terdapat tandatangan Najib pada dokumen berkaitan.

"Sekiranya dia tidak tahu, mestinya dia tidak memahami apa maksud tandatangan," kata Dr Mahathir.

Reuters telah memetik Najib sebagai berkata bahawa beliau mengharapkan lembaga pengarah 1MDB memberitahunya jika ada apa-apa yang tidak kena.

Laporan itu berkata Najib mendakwa beliau tidak menyedari bahawa wang dalam akaun peribadinya adalah dari 1MDB, dan jika ia digunakan untuk membeli aset seperti kapal layar, lukisan, barang kemas dan hartanah.

Dalam temu bual dengan Malaysiakini, bekas perdana menteri itu juga mengulangi bahawa beliau tidak menyalahkan lembaga pengarah 1MDB.

"Apa yang saya katakan ialah semua orang mempunyai tanggungjawab tertentu dan lembaga pengarah dan pihak pengurusan mempunyai kewajipan fidusiari, dan saya mengharapkan mereka melakukan tugas mereka.

"Selagi mereka telah melakukan tugas mereka seperti yang dinyatakan oleh undang-undang, tak apa. Sepatutnya begitulah.

"Dan saya mempunyai tanggungjawab saya sendiri, itulah apa yang saya maksudkan. Jadi apa saja yang telah berlaku perlu dilihat dalam konteks bukti dan tanggungjawab ini yang ditetapkan oleh undang-undang," tambahnya.

Tiada ulasan: