Jumaat, 29 Jun 2018

Rakyat Malaysia rai demam Piala Dunia dengan siaran percuma

Piala Dunia Fifa 2018 di Rusia bermula 14 Jun lalu dan perlawanan akhir dijadual diadakan pada 15 Julai. – Gambar EPA
 
RAKYAT Malaysia terutama sekali golongan pelajar dan pemilik restoran benar-benar terkena demam Piala Dunia yang berpunca daripada siaran langsung percuma beberapa perlawanan, ketika pertandingan bola sepak terbesar dunia itu memasuki pusingan kalah mati esok.

Agensi penyiaran negara, Radio Televisyen Malaysia (RTM) akan menyiarkan 41 daripada 64 perlawanan dari Rusia, 27 disiarkan secara langsung manakala 14 lagi siaran tertunda.

Keputusan untuk menyiarkan perlawanan ini di RTM disambut baik oleh rakyat Malaysia yang tidak melanggan siaran kabel berbayar Pay TV Astro yang merupakan stesyen rasmi Malaysia untuk Piala Dunia Fifa 2018.

Nasi Kandar Relak Bistro, sebuah restoran di Kuala Lumpur mula menayangkan perlawanan di RTM kepada pelanggannya sejak Piala Dunia bermula.

Thabagaran, pemilik restoran berkata perlawanan percuma memberi kelegaan besar kepadanya kerana beliau memutuskan untuk tidak melanggan pakej sukan Astro untuk Piala Dunia.

“Pakej sukan Astro untuk rumah dan restoran (komersial) berbeza. Apabila saya periksa, pakej sukan yang ditawarkan untuk kedai saya hampir RM700 sebulan dan saya tak ambil,” kata Thabagaran.

Katanya, walaupun RTM tidak menayangkan semua perlawanan, beliau masih menghargai inisiatif kerajaan itu.

“Walaupun semua perlawanan tak ditayangkan, kita wajar berterima kasih kepada kerajaan kerana buat semua ini dengan percuma,” katanya.

G Rubendren, seorang pelajar jurusan perubatan di Johor pula berkata, pelajar sepertinya menanti-nanti perlawanan Piala Dunia dan biasanya pilihan menonton adalah pergi ke restoran.

“Kami pelajar tak mampu menonton Piala Dunia di Astro. Usaha kerajaan memberi manfaat kepada pelajar kerana sekarang kita ada peluang untuk tengok perlawanan di RTM, malah boleh tengok juga di MyKlik (laman sesawang RTM) secara percuma,” katanya.

Bagaimanapun, bagi sebilangan golongan muda yang sudah bekerja, tayangan langsung percuma tidak mengujakan mereka kerana masih ramai yang memilih untuk menonton semua perlawanan, bukannya hanya perlawanan terpilih.

Muhd Iqwan, 31, seorang eksekutif jualan dari Selangor berkata tayangan terpilih RTM mungkin memberi manfaat kepada mereka yang berada di kawasan pedalaman yang terhad pilihannya, tetapi tidak banyak beri kesan kepada mereka di bandar kerana golongan bandar mahu mengikuti perkembangan terkini Piala Dunia.

“Orang bandar mahu menonton semua perlawanan secara langsung, bukannya yang terpilih dan siaran tertunda.

“Rakyat mahu dapat jaringan dan progres terkini. Jadi, ada yang tak kisah melanggan Astro atau mereka menontonnya dalam talian,” kata Iqwan yang menonton Piala Dunia di Astro Go.

Kerajaan berkata kos penuh penyiaran 41 perlawanan Piala Dunia di RTM adalah RM30 juta, semua kos itu dibayar melalui tajaan yang disumbang Maxis dan AirAsia.

Piala Dunia Fifa 2018 di Rusia bermula 14 Jun lalu dan perlawanan akhir dijadual diadakan pada 15 Julai.

Tiada ulasan: