Khamis, 23 Januari 2020

'Jho Low, pulanglah sambut Tahun Baru Cina, kami rindu'

ANNABELLE LEE




Ketika Jho Low masih dalam buruan pihak berkuasa, sekumpulan individu tampil menyeru ahli perniagaan itu pulang merayakan Tahun Baru Cina.

Seruan itu dibuat dalam bentuk dokumentari satira bertajuk Time To Come Home (Masa Untuk Pulang Rumah).

Dokumentari satira itu menampilkan beberapa personaliti tempatan yang berlakon sebagai keluarga, rakan, bekas kakitangan dan bekas teman wanita Jho Low.

Antara lain, ia memaparkan watak-watak berkenaan menyatakan rasa rindu terhadap Jho Low, selain terhadap wang, berlian dan kereta mewah yang dikatakan sering diberikan oleh ahli perniagaan dalam buruan itu kepada mereka.

Dalam satu babak, watak yang berlakon sebagai adik Jho Low duduk di dalam tab mandi merayu Jho Low pulang sambil 'mengeluh' terpaksa menjaga bunglow, Ferari dan jet peribadinya.

'Adik Jho Low' itu juga sambil menangis memohon maaf kerana membiarkan bot Jho Low - dipercayai merujuk kepada kapal layar mewah Equanimity - dirampas pihak berkuasa.

Selain dari klip video itu, sebuah laman web bertajuk Jho Please Come Home telah diwujudkan untuk orang ramai mengemukakan pesanan bertemakan Tahun Baru Cina kepada Jho Low untuk kembali ke Malaysia.

Salah satu mesej dari individu yang menggunakan nama 'Your Adviser' berkata, "Jho, can I advise you something?! Please come home." (Jho, bolehkah saya menasihati anda sesuatu?! Pulanglah rumah)

Bekas perdana menteri, Najib Razak, yang sedang dibicarakan di mahkamah atas dakwaan menyalahgunakan dana, menyalahkan Jho Low berhubung skandal 1MDB.

Jho Low, atau nama penuhnya Low Taek Jho, menafikan menjadi dalang dan menyifatkan semua tuduhan terhadapnya sebagai "pendakwaan politik".

Jho Low melarikan diri dengan mendakwa bahawa dia akan tidak mendapat perbicaraan yang adil di Malaysia.

Terdapat spekulasi yang mengaitkan keberadaan Jho Low di negara tertentu seperti China, Cyprus, Caribbean atau Timur Tengah.

Ketika dihubungi, pengarah dan produser, Derrik Yaw berkata dokumentari satira itu adalah pendekatan "ikhlas" untuk meyakinkan Jho Low pulang ke rumah.

"Semua orang mahu dia (Jho Low) kembali atas sebab-sebab tertentu jadi kami fikir kita harus mengubah strategi apabila meminta seseorang pulang ke rumah.

"Daripada memaksa pulang setiap tahun [...] apa kata kita menggunakan pendekatan yang lembut kali ini? Oleh itu, kami memutuskan mungkin kita patut buat rayuan dan minta simpati yang ikhlas.

"Harap-harapnya dia akan tersentuh dan pulang rumah," katanya kepada Malaysiakini.

Sementara itu, Yaw berkata, laman web berkenaan dicipta sebagai hiburan untuk orang ramai bagi menyampaikan pesanan mereka.

Klip video yang dimuat naik di YouTube "Demo TV" itu adalah kerjasama antara rumah produksi Yaw Graph Studio dan agensi pengiklanan Bolt KL. Skrip ditulis oleh Mo Nazmi.

Antara personaliti yang dipaparkan dalam video itu adalah Phoon Chi Ho, Ruby Ooi, Jin Joe, Steven Bones, Iedil Dzuhrie Alaudin, Jenn Chia, Dan Khoo, Ernest Ng, Joshua Desmond, Prakash Daniel dan Renny Tan.

LIHAT VIDEO DI SINI

Pilihan raya PBT bakal hakis kepentingan Melayu

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

 

Kekalkan status quo demi kestabilan politik, keharmonian negara

BANGI – Pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) yang dicadangkan DAP boleh menyebabkan bilangan orang Melayu dalam lembaga dan jawatankuasa pengurusan bandar semakin berkurangan.

Penganalisis politik, Dr Mazlan Ali berkata, walaupun jumlah Bumiputera dengan bukan Bumiputera di bandar hampir dapat dirapatkan, namun pilihan raya PBT tidak begitu sesuai diadakan pada masa kini.

Katanya, ini kerana penguasaan ekonomi dan pemilikan hartanah Bumiputera di bandar-bandar masih rendah.

“Pilihan raya tersebut memungkinkan polisi-polisi yang melibatkan kepentingan Bumiputera boleh terhakis.

“Jika orang Melayu sebagai bangsa pribumi dan kaum majoriti tidak menguasai pentadbiran dan pengurusan bandar, sebaliknya kaum bukan Bumiputera yang menguasainya, kita khuatir bahawa kestabilan politik dan keharmonian akan tergugat.

“Justeru, saya fikir status quo seperti yang sedia ada sekarang perlu dikekalkan,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Pilihan raya kerajaan tempatan diamalkan di Malaysia dahulu, sebelum ia dihentikan sekitar tahun 1964.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan tidak akan mengembalikan pilihan raya PBT buat masa ini kerana risau ada kebarangkalian ia akan menyemarakkan ketegangan kaum.

Namun, akhir tahun lalu, DAP mengulangi tuntutan untuk mengembalikan pilihan raya PBT dengan menjadikannya antara lapan resolusi yang diluluskan pada Konvensyen Tahunan DAP Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2019.

Mengulas lanjut, Mazlan menegaskan, pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB) oleh bekas Perdana Menteri, Tun Abdul Razak Hussein telah pun berjaya mengurangkan ketegangan kaum kerana keseimbangan sosio-ekonomi antara kaum dapat dirapatkan oleh kerajaan.

“Antara pembaharuan-pembaharuan yang dilakukan kerajaan untuk memulihkan negara dan hubungan rakyat berbilang kaum adalah membuka bandar-bandar baru, meningkatkan penyertaan Bumiputera dalam ekonomi dan menggalakkan integrasi antara bandar dan luar bandar.

“Lebih signifikan, penghapusan pilihan raya kerajaan tempatan dengan menggantikannya dengan sistem pentadbiran baru juga telah mengurangkan ketegangan kaum, manakala monopoli satu-satu kaum tertentu juga dapat dihentikan,” katanya

Cina pun ‘menyampah’ Dong Zong rasis

siti hafidah

 

'Patut bantu orang Cina jadi rakyat Malaysia bukan Tanah Besar'

BANGI – Tidak semua masyarakat Cina negara ini bersetuju dengan sikap kumpulan pendesak Cina, Dong Zong yang kerap mencetuskan kontroversi, termasuk membantah pembelajaran jawi di sekolah vernakular.

Tinjauan Ismaweb mendapati, rata-rata pengguna media sosial menyampah dengan kumpulan pendesak Cina itu malah menyarankan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengharamkan Dong Zong.

“Siapa Dong Zong untuk mendakwa mewakili masyarakat Cina? Adakah kita benarkan mereka mewakili kita? Tidak masuk akal,” kata Angelica Chay.

Sementara Toh Cheng See pula mengakui tidak pernah menyukai Dong Zong, bahkan meminta ‘keyboard warrior’ menghormati pendapat orang lain dan bersetuju setiap individu mempunyai idea yang berbeza.

“Sesetengahnya pelik, anda hanya mempunyai idea yang berbeza namun mereka akan mempersoalkan malah menghentam anda,” kata beliau.

Bahkan ada juga pengguna media sosial daripada kaum India membidas Dong Zong, berikutan tindakan biadab mereka membantah pengenalan pembelajaran jawi di sekolah vernakular.

“Kewujudan mereka tiada kredibiliti. Kebanyakan orang Cina fikir jawi adalah Islam.

“Jawi bukan Islam. Oleh itu, saya bersetuju dengan Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa Dong Zong rasis malah antikebangsaan.

“Dong Zong sepatutnya membantu orang Cina di Malaysia untuk menjadi lebih rakyat Malaysia bukan kepada Tanah Besar,” kata beliau.

Dong Zong sebelum ini mencetuskan kontroversi apabila membantah pengenalan pembelajaran jawi di sekolah vernakular.

Kumpulan pendesak Cina itu turut mengadakan petisyen membantah pembelajaran jawi dan khat yang dianggap sebagai langkah Islamisasi ke atas bukan Melayu di negara ini.

Tun Dr Mahathir menganggap pertubuhan itu sebagai rasis kerana tidak pernah bersetuju dengan dasar pendidikan negara, termasuk dalam isu pembinaan Sekolah Wawasan sebelum ini.

Katanya, sikap sama Dong Zong dapat dilihat apabila pertubuhan itu masih membantah pembelajaran jawi dan khat di sekolah vernakukar, sedangkan keputusan itu dibuat pada 2012 oleh kerajaan terdahulu.

Dr Mahathir tegas mempertahankan kenyataannya walaupun dinafikan oleh sesetengah pihak berhubung perkata itu malah berkata, Dong Zong rasis kerana selalu membuat kenyataan tanpa memikirkan perasaan kaum-kaum lain di negara ini

KDN ambil pendirian sama dengan kerajaan Sabah berhubung pembatalan PSS

THE MALAYSIAN TIMES



PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengambil pendirian yang sama dengan kerajaan negeri Sabah berhubung pembatalan Pas Sementara Sabah (PSS), menurut kementerian itu.

KDN dalam kenyataan hari ini berkata ia mengambil maklum keputusan kerajaan negeri Sabah membatalkan pelaksanaan PSS melalui mesyuarat Kabinet negeri yang diadakan semalam.

“Memandangkan keputusan pelaksanaan PSS ini merupakan persetujuan bersama kerajaan negeri Sabah dan kerajaan pusat melalui Mesyuarat Jawatankuasa Induk Pengurusan Warga Asing di Sabah (JKPWAS-Induk), maka pihak kementerian selaku penyelaras bersama mengambil pendirian yang sama dengan kerajaan negeri Sabah berhubung pembatalan PSS,” katanya.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal semalam mengumumkan pembatalan keputusan pelaksanaan PSS yang diputuskan pada mesyuarat jemaah menteri negeri itu, dan akan memaklumkannya kepada KDN.

Menurut KDN, perkara itu diputuskan kerajaan negeri Sabah setelah mengambil kira pandangan pelbagai pihak.

Pada September 2019, Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Induk Pengurusan Warga Asing di Sabah mengumumkan pelaksanaan PSS bermula 1 Jun tahun ini bagi menggantikan tiga dokumen dikeluarkan kepada warga asing tinggal lama di Sabah iaitu IMM13, Sijil Banci dan Kad Burung-Burung.

Mohd Shafie dilaporkan berkata selepas keputusan pelaksanaan PSS diumumkan pada September lepas, kerajaan negeri sentiasa mendengar apa yang disuarakan rakyat.

KDN dalam pada itu menegaskan tindakan penyelesaian berhubung isu pelarian di Sabah adalah komitmen bersama kerajaan negeri Sabah dan kerajaan pusat yang mesti dilaksanakan secara berterusan dengan lebih teliti dan berhati-hati tanpa menjejaskan hak warganegara, kepentingan dan keselamatan rakyat di Sabah.—Bernama 

Mahkamah Tinggi tangguhkan fatwa sesat terhadap Sisters In Islam

Irwan Muhammad Zain, Astro Awani
Mahkamah Tinggi tangguhkan fatwa sesat terhadap Sisters In Islam
Rozana berkata, buat masa ini Sisters in Islam akan meneruskan usaha mendapatkan hak terhadap wanita Islam dan kanak-kanak. - Gambar Astro AWANI/Shahir Omar
 
 
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan untuk menangguhkan pelaksanaan fatwa sesat yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Selangor dan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) terhadap Sisters in Islam (SIS) Forum (Malaysia).

Hakim Datuk Nordin Hassan memutuskan perkara berkenaan sehingga Mahkamah Rayuan membuat keputusan terhadap rayuan yang dikemukakan oleh SIS pada September tahun lalu.
 
Pengarah Eksekutif SIS, Rozana Isa menyambut baik keputusan mahkamah itu biarpun ia hanya bersifat sementara sehingga Mahkamah Rayuan membuat keputusan.

"Seperti yang dijelaskan oleh peguam kami, ini hanya sementara sehingga rayuan di Mahkamah Rayuan diputuskan.
 
"Buat masa ini (kami) menantikan perbicaraan itu dan kami gembira kes ini didengar dan berharap keadilan ditegakkan," katanya kepada pemberita di lobi mahkamah.

Rozana berkata, buat masa ini mereka akan meneruskan usaha mendapatkan hak terhadap wanita Islam dan kanak-kanak.

SIS diwakili oleh peguam Surendra Ananth dan Maizatul Amalina manakala Datuk Sulaiman Abdullah dan Datuk Zainul Rijal Abu Bakar mewakili Jawatankuasa Fatwa Selangor dan MAIS.

Pada Ogos tahun lalu, Mahkamah Tinggi menolak permohonan SIS untuk mencabar keputusan Jawatankuasa Fatwa Selangor dan MAIS yang mengisytiharkan pertubuhan itu sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam yang sebenar.

Mahkamah Tinggi ketika itu memutuskan bahawa isu fatwa berada dalam bidang kuasa eksklusif Mahkamah Syariah.

September lalu, SIS memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan mereka sebelum ini. 
 
 

Kaki bengkak, menggelembung dan sukar bernafas' - Bob Lokman

Raja Hisyam Raja Zaid, Astro Awani
'Kaki bengkak, menggelembung dan sukar bernafas' - Bob Lokman
Menurut Ahmad Ryan, sepanjang empat hari di hospital rakan taulan ayahnya itu turut menerima kunjungan daripada rakan-rakan ayahnya untuk memberikan sokongan moral. - Gambar fail
 
 
KUALA LUMPUR : Penulis lirik terkenal Bob Lokman atau nama sebenarnya Mohd Hakim Lokman sekali lagi dimasukkan ke hospital pada Ahad lalu dipercayai akibat masalah buah pinggang.

Bob, 55 tahun yang kini ditempatkan di Hospital UiTM Sungai Buloh ketika dihubungi berkata, dia kini sedang berehat dan doktor hospital itu terpaksa mengeluarkan air dari badanya.
 
"Saya kena masa berada di Terengganu.Rasa susah nak bernafas dan kaki saya bengkak selain timbul bintik-bintik merah. Ia membuatkan saya tak boleh tidur sehinggalah kawan membawa saya pulang ke Kuala Lumpur untuk ke Hospital di Sungai Buloh," katanya kepada Astro AWANI, pada Khamis.

Menurut anaknya, Ahmad Ryan Mohd Hakim, ayahnya itu ke Terengganu kerana memenuhi tanggungjawab dakwah dan jemputan kuliahnya selama sebulan.
 
Namun, keadaannya agak serius apabila ayahnya tidak mampu bernafas dengan baik, kata Ahmad Ryan yang bertanggungjawab menjaga ayahnya itu di hospital.

Malah, sukar untuk bergerak kerana kakinya yang mula membengkak.

"Ketika ini keadaan ayah agak lebih baik berbanding keadaannya ketika di Terengganu. Ayah juga sudah boleh tidur lena selepas di tempatkan di hospital ini. Ayah boleh bercakap namun agak perlahan dan tersekat-sekat selain cepat penat dan mengah," kata Ahmad Ryan.

Menurut Ahmad Ryan, sepanjang empat hari di hospital rakan taulan ayahnya itu turut menerima kunjungan daripada rakan-rakan ayahnya untuk memberikan sokongan moral.

Beliau turut berterima kasih kepada individu dan pelbagai pihak yang sudi menziarahi ayahnya. 
 
 

KKM siasat kes pelancong China suspek koronavirus di Sabah

Ruzaini Zulkepli, Astro Awani
KKM siasat kes pelancong China suspek koronavirus di Sabah
Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata, kes itu belum dapat disahkan dan pihaknya akan menyiasat perkara berkenaan. - Gambar fail/BERNAMA
 

KOTA KINABALU: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) masih menyiasat berhubung kes seorang pelancong warga China yang kononnya dikejarkan ke hospital di Sabah kerana dijangkiti koronavirus hari ini.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye ketika dihubungi Astro AWANI sebentar tadi berkata, kes itu belum dapat disahkan dan pihaknya akan menyiasat perkara berkenaan.

"Berhubung dakwaan seorang pelancong China di Kota Kinabalu, dia hanyalah suspek (jangkitan) tetapi belum ada sebarang pengesahan lagi.

"Kita masih menyiasat perkara ini sama ada betul atau tidak dan pihak kementerian akan membuat satu kenyataan dalam tempoh terdekat," katanya.
 
BACA: Koronavirus: Sabah tingkatkan pengawasan di KKIA

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai isu tular mendakwa seorang lelaki pelancong dari luar negara yang dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) kerana disyaki dijangkiti wabak itu,

Susulan penularan wabak koronavirus di Wuhan, China, Kerajaan Negeri Sabah kini meningkatkan pengawasan di  Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA).

Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Frankie Poon dalam kenyataan medianya pada hari ini berkata, langkah berjaga-jaga itu termasuk membuat ujian saringan kepada semua penumpang terutamanya melibatkan penerbangan antarabangsa.

"Orang ramai dinasihatkan agar tidak panik tetapi perlu berhati-hati dan mengamalkan langkah-langkah pencegahan dalam kehidupan seharian seperti memakai topeng muka, mencuci tangan secara kerap dan elakkan daripada kawasan yang sesak," katanya.

Terdahulu, beliau dan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Sabah, Datuk Christina Rundi turut berkesempatan berkunjung  ke KKIA pada jam 3 pagi tadi untuk melakukan pemantauan rapat terhadap ujian saringan 'Thermal Scanner’ yang ditempatkan di lapangan terbang tersebut.

Empat kes disyaki koronavirus di Malaysia dikesan

Astro Awani
Empat kes disyaki koronavirus di Malaysia dikesan
Aktiviti saringan di pintu masuk antarabangsa kini diperkukuh dan individu disyaki akan dirujuk untuk pemeriksaan lanjut. - Astro AWANI
 

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi satu kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan empat kes disyaki dijangkiti koronavirus (NCoV) dikesan di negara ini.

Ia selepas pihak Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) Kebangsaan menerima laporan berhubung kes berkenaan.

Kesemua suspek dimasukkan ke wad pengasingan bagi membolehkan rawatan dan penyiasatan lanjut dijalankan.

Ujian makmal ke atas sampel milik tiga orang pesakit pertama bagaimanapun didapati negatif bagi jangkitan n-CoV, manakala seorang lagi mangsa dilaporkan di Sabah dan telah dimasukkan ke wad pengasingan di sebuah hospital di negeri itu pada Rabu.

“Bagi baki satu lagi kes disyaki 2019-nCoV yang dimasukkan ke wad pengasingan di sebuah hospital di Sabah semalam (Rabu), beliau berada dalam keadaan stabil.

“Sampel bagi kes itu telah dihantar ke Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) untuk menjalani ujian pengesanan dan pengesahan. Keputusan ujian bakal diperolehi dalam masa terdekat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

2019-nCoV mula tersebar di Wuhan sejak awal bulan ini apabila beberapa individu memiliki simptom seperti pneumonia, sebelum Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengesahkan ia adalah wabak koronavirus yang baharu.

Beberapa kes di luar Wuhan mula dikesan kemudian, termasuk di Beijing, Shanghai dan Guangdong, selain Thailand, Jepun, Korea Selatan, Taiwan dan Amerika Syarikat. Pihak berkuasa China mengesahkan 571 kes dan 17 kematian dicatatkan setakat semalam (Rabu).

Sebuah pasar makanan laut dan haiwan eksotik di Wuhan dipercayai menjadi punca wabak itu, manakala beberapa media antarabangsa melaporkan ia berkemungkinan tersebar kepada manusia daripada ular, yang turut dijual di pasar berkenaan.

Mengulas langkah siap siaga dilaksanakan Kementerian Kesihatan selaras saranan WHO, Dr Noor Hisham memaklumkan, aktiviti saringan di pintu masuk antarabangsa kini diperkukuh dan individu disyaki akan dirujuk untuk pemeriksaan lanjut.

Jelasnya, saringan pesakit di klinik kesihatan dan hospital turut diperkukuh, manakala tatacara pengurusan kes disyaki wabak 2019-NCoV membabitkan fasiliti kesihatan dan swasta turut dikeluarkan.

Sementara itu, beliau turut menyarankan rakyat Malaysia menangguhkan perjalanan ke Wuhan, China bagi mencegah penularan wabak 2019-NCoV, namun jika terpaksa, mereka perlu mengelak mengunjungi tempat tumpuan umum atau bergaul rapat dengan individu yang memiliki gejala wabak berkenaan.

Jelasnya, mereka juga perlu mengamalkan tahap kebersihan yang tinggi, selain membawa penutup mulut dan hidung serta pencuci tangan untuk digunakan apabila perlu.

“Semasa dalam tempoh lawatan, elakkan daripada melawat ladang haiwan, pasar yang menjual haiwan hidup, tempat sembelihan haiwan atau menyentuh sebarang jenis haiwan serta mengelak memakan sebarang produk haiwan yang mentah atau tidak dimasak dengan sempurna.

“Mereka juga perlu segera mendapatkan rawatan perubatan sekiranya mengalami gejala jangkitan saluran pernafasan seperti demam, batuk mahupun sukar bernafas, dalam tempoh 14 hari selepas pulang daripada lawatan itu.

“Maklumkan mengenai sejarah perjalanan berkenaan kepada doktor yang merawat,” jelasnya.

Bakal jemaah haji wajib bayar visa

BERNAMA
 
 

KERAJAAN Arab Saudi akan mengenakan bayaran 300 Saudi Riyal (SAR) (RM326) ke atas jemaah haji bagi setiap visa dikeluarkan mulai musim Haji 1441H/2020M.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, kerajaan Arab Saudi menetapkan caj berkenaan yang juga syarat baharu diperkenalkan kepada jemaah haji seluruh dunia termasuk Malaysia.

“Ini (visa) benda baharu diperkenalkan oleh Arab Saudi dan (Malaysia) tiada pilihan melainkan untuk menerima keputusan dibuat negara itu.

“Di samping itu, Arab Saudi memansuhkan bayaran 2,000 Saudi Riyal (kira-kira RM2,171) yang dikenakan bagi jemaah haji berulang iaitu mengerjakan ibadah haji lebih daripada sekali,“ katanya kepada pada sidang media khas sejurus tiba di tanah air selepas lawatan tiga hari ke Arab Saudi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, tadi.

Mujahid berkata perkara itu dimaklumkan kepadanya semasa mengadakan pertemuan dan perbincangan bersama Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi Mohammad Saleh Taher Benten berhubung isu-isu berkenaan hal ehwal pengurusan dan persiapan jemaah haji dari Malaysia bagi musim haji 1441H.

Pada pertemuan itu, kedua-dua pihak menandatangani satu perjanjian bagi mengatur ketibaan jemaah dari Malaysia dan menguruskan perkhidmatan yang bakal disediakan untuk mereka sepanjang berada di Tanah Suci.

Mengulas lanjut, Mujahid berkata, perjanjian itu menyebut akan mengekalkan inisiatif 'Road to Makkah' iaitu fasiliti pra pelepasan di KLIA bagi memudahkan semua urusan para jemaah haji untuk menunaikan rukun Islam kelima itu pada musim haji 1441H.

"Antara sebab kenapa perkhidmatan ini dikekalkan kerana bagi pihak kita, khususnya TH serta agensi berkaitan seperti Jabatan Imigresen Malaysia dan keselamatan, kita memberikan kemudahan sama dengan sistem yang ada di Arab Saudi.

"Jadi mereka memilih kita sebagai satu destinasi pra pelepasan yang sangat berkesan dan menjadi contoh kepada negara lain untuk diikuti," katanya.

'Road To Makkah' adalah satu sistem pra pelepasan haji yang menyaksikan jemaah haji diambil cap jari dan pasport mereka akan dicap di negara di mana jemaah berlepas, dan kemasukan mereka ke Arab Saudi akan dipermudahkan seperti penerbangan domestik manakala bagasi mereka akan dihantar terus ke hotel penginapan mereka.

Projek perintis itu dikendalikan di Malaysia pada 2017 sebelum inisiatif berkenaan dilancarkan sepenuhnya pada 2018 di beberapa negara terpilih dan ia adalah sebahagian daripada Program Transformasi Nasional Kerajaan Arab Saudi (2020) untuk mencapai Wawasan 2030 negara itu.

Mujahid berkata kerajaan Arab Saudi juga bersedia meneruskan projek perintis EYAB iaitu inisiatif bagi memudahkan urusan perjalanan pulang jemaah haji ke negara masing-masing, yang akan disediakan di terminal khas di Lapangan Terbang Jeddah dan Madinah.

"Ini adalah satu lagi pencapaian dalam rundingan kita yang membuktikan tahap kepercayaan (Arab Saudi) kepada kita," katanya.

Pada 2019, Malaysia antara tiga negara dipilih kerajaan Arab Saudi untuk melaksanakan projek perintis EYAB iaitu inisiatif bagi memudahkan urusan perjalanan pulang jemaah haji ke negara masing-masing

Projek perintis EYAB, yang merupakan kesinambungan Makkah Route akan dilaksanakan sepenuhnya kepada semua penerbangan membawa jemaah haji Malaysia pada musim haji kali ini.

Tarikan harga mahal

Oleh Mohd Rafi Mamat
 


PEJABAT Hutan Daerah (PHD) Rompin sedang giat mengesan aktiviti melombong emas secara haram dalam hutan simpan kekal dan tanah kerajaan di daerah ini.

Antara lokasi tumpuan kegiatan itu di Hutan Simpan Ibam yang berkeluasan lebih 54,259 hektar.

Pegawai Hutan Daerah Rompin Shairani Mamat berkata, walaupun mengadakan operasi bersepadu setiap tahun namun kegiatan itu masih berlaku terutama kawasan hutan yang jauh dari laluan utama.

Katanya, ada antara kawasan yang memerlukan mereka menaiki kenderaan pacuan empat roda dan motosikal antara satu hingga dua jam melalui jalan balak.

“Biasanya pelombong berada di dalam hutan antara seminggu hingga dua minggu, mereka hanya akan keluar untuk menambah bekalan makanan selain menjual hasil emas diperoleh.

“Permintaan menggalakkan, selain harga tinggi iaitu antara RM150 hingga RM170 setiap satu gram emas bersih menjadi faktor utama kegiatan melombong emas banyak berlaku di daerah ini,” katanya dihubungi di sini, semalam.

Beliau berkata, selain masyarakat setempat terdapat juga individu dari luar daerah ini yang terbabit dalam kegiatan ini.

Shairani berkata, terbaharu, pihaknya menahan empat individu termasuk seorang wanita berusia antara 42 hingga 60 tahun dalam Operasi Degil di Sungai Charah dalam Hutan Simpan Ibam, awal bulan ini.

Katanya, mereka dikesan menjalankan aktiviti melombong secara haram di kawasan seluas 0.4 hektar.

“Kita percaya kegiatan itu sudah dilakukan sejak dua bulan lalu.

“Turut dirampas sebuah kenderaan pacuan empat roda dan tiga motosikal, empat unit enjin pam air dan lima unit pemotong kayu bergergaji serta dua unit palong kayu yang digunakan mengasingkan emas dengan bahan galian lain,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 47 Akta Perhutanan Negara (APN) 1984, dan mereka akan didakwa tidak lama lagi.

“Bahagian Penguat kuasa PHD Rompin akan terus menjalankan operasi lombong haram dalam memastikan kegiatan itu tidak terus berlaku.

“Ia bagi menjamin tidak berlaku pembukaan kawasan hutan hingga memusnahkan pelbagai spesies balak.

“Kerajaan negeri juga tidak berpeluang mendapat hasil cukai daripada pihak yang melakukan aktiviti melombong secara haram,” katanya yang yakin usaha berterusan dapat menyekat aktiviti melombong emas secara haram.

TERKINI : Isu Peralihan Kuasa PM Secara Terbuka Hanya Untung Pihak Lawan!! – Lim Guan Eng

Aqira Azemi
PUTRAJAYA – Soal peralihan kuasa Perdana Menteri yang dibicarakan secara terbuka ketika ini hanya menguntungkan pihak lawan.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berpendapat isu sepatutnya dibincangkan secara dalaman walaupun Pakatan Harapan (PH) mengamalkan budaya demokrasi.

“Perbincangan sepatutnya secara dalaman kerana apabila diperkatakan kepada umum ia akan memberi kelebihan kepada pihak lawan.

“Sebenarnya isu itu boleh diselesaikan secara dalaman,” katanya yang juga Menteri Kewangan.

Beliau berkata demikian pada sidang selepas membuat lawatan ke IOI City Mall Putrajaya sempena Pelancaran Inisiatif E-Tunai Rakyat di sini hari ini.

Beliau diminta memberi nasihat kepada ahli DAP yang kini selalu mendesak Tun Dr. Mahathir Mohamad meletakkan jawatan Perdana Mentari.

Malaysia ‘menjerit’ bawah PH – Annuar

Kumara Sabapatty
MGF26112019_SIDANG-MEDIA-UMNO-PAU_07
Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa.
 

KUALA LUMPUR – Malaysia dikatakan menerima balasan akibat perbuatan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang berulang kali menyinggung perasaan beberapa negara yang menjalinkan kerjasama dagang sehingga menjejaskan hubungan diplomatik yang selama ini terjalin.

Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, tindakan beberapa negara besar Asia iaitu India, China dan Timur Tengah, Arab Saudi yang menghentikan kerjasama dagangan dan pelaburan akibat tindakan kerajaan yang mencalar hubungan diplomatik sejak akhir-akhir ini.

Beliau merujuk kepada tindakan Arab Saudi yang menguatkuasakan kadar bayaran baharu untuk visa Haji berjumlah SAR300 bagi rakyat negara ini baru-baru ini.

“Sebagai balasan kepada PH yang berkali-kali menyinggung hubungan diplomatik dengan KSA..PH kencing rakyat yang hidu hancing,” kata dalam ciapan Twitter dengan melampirkan artikel berkaitan kenaikan caj visa berkenaan yang dilaporkan akhbar Inggeris tempatan NST.

anuar-musa

Malah dalam status sama beliau yang juga Annuar menjelaskan kesan dari negara lain yang diterima negara akibat perbuatan kerajaan PH sejak kebelakangan ini.

“PH usik syarikat Republik China, China mula membeli sawit Indonesia…PH singgung kerajaan India, India stop beli sawit Malaysia, SPRM main tape (pita video) perbualan telefon Putera UAE, UAE melabur di Jakarta 94 bilion.

“Malaysia singgung Raja Salman Saudi, 30,000 jemaah kita kena bayar SR300 seorang untuk visa…Malaysia menjerit di bawah PH!!!,” keluh beliau.- MalaysiaGazette

Jadikan PSS pengajaran, kerajaan jangan ego

Wartawan MalaysiaGazette
MGF08082018_DEWANRAKYAT_04
Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein


KUALA LUMPUR – Isu PSS perlu menjadi pengajaran paling berguna kepada kerajaan hari ini dan Pakatan Harapan (PH) supaya jangan jadi ego.

Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, PSS atau Pas Sementara Sabah itu kini dibatalkan selepas menerima signal rakyat pada PRK Kimanis.

“Sekarang, bila rakyat dah suarakan ketidakpuasan hati mereka ke dalam peti undi, baru gelabah nak ‘U-turn’ (pusingan-U)?

“Tahniah rakyat Sabah serta Kimanis kerana mengajar PH-Warisan apa itu nilai dan makna kuasa rakyat,” tegas Hishammuddin dalam satu catatan di Facebooknya hari ini.

Hishammuddin yang juga bekas Menteri Pertahanan memberitahu, kebimbangan rakyat negeri itu berkaitan pelaksanaan PSS mempunyai asas yang sangat kukuh tetapi Warisan menuduh BN mempolitikkan perkara tersebut.

“Masa berkempen di Kimanis minggu lepas, saya jumpa ramai pengundi, mereka sendiri luah kepada saya kebimbangan terhadap perancangan PH-Warisan untuk laksana PSS..

“Tetapi PH-Warisan tetap taksub pertahan PSS. Sampai sanggup tuduh BN jadikan PSS modal politik dan fitnah BN laksana PSS terlebih dahulu. Langsung tak peduli rintihan rakyat,” katanya.

Semalam kerajaan Sabah membatalkan PSS selepas ketua menterinya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mahu ia dikaji semula selepas mendapat bantahan rakyat pada PRK Kimanis.- MalaysiaGazette

Selamat jalan Abdul Aziz, perginya permata MAS!

Syahril A. Kadir

83284017_10157901876353050_71112976110714880_o

MAS itu adalah Aziz, dan Aziz itulah MAS.

Begitulah sinonimnya nama MAS dengan Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman, anak jati Kampung Pasir Pekan, Kota Bharu, Kelantan ini.

Apa tidaknya, insan inilah sewaktu menjawat jawatan Pengarah Urusan MAS dahulu telah meninggalkan syarikat itu dengan rizab tunai sebanyak RM5 billion sewaktu persaraannya sedangkan sewaktu memegang jawatan tersebut pada tahun 1982, MAS menanggung RM39 juta defisit dan memerlukan RM70 juta untuk dana operasi!

ss

Untuk rekod, MAS yang beroperasi pada Oktober 1972 kini mengalami kerugian hampir RM3 billion!

Kejadian melibatkan dua pesawatnya seperti yang kita tahu terus memburukkan lagi keadaan kewangan syarikat penerbangan itu yang semenangnya sudah meruncingkan.

Kerajaan melantik Christoph Mueller sebagai ketua pengarah urusan bagi membantu MAS pada 2016 tetapi beliau meletakkan jawatan sebelum tempoh tiga tahun perkhidmatan tamat.

Tempat beliau kemudiannya diganti oleh Peter Bellew, tetapi tempoh perkhidmatan Bellew juga singkat dan jawatan itu kemudiannya diserahkan kepada anak tempatan Izham Ismail sehingga kini.

Sebagai ‘orang lama’ MAS, Aziz adalah antara yang paling lantang membuat kritikan terhadap usaha-usaha yang dibuat oleh pihak kerajaan dalam memulihkan syarikat penerbangan berkenaan.
Beliau tidak faham bagaimana MAS dikatakan terus mencatatkan kerugian besar, walaupun mempunyai kadar muatan penumpang sebanyak 78%.

Beliau berkata, perkara itu tidak munasabah kerana sepanjang tempoh beliau mengetuai MAS, jika syarikat mencapai kadar muatan penumpang sebanyak 72 atau 73% maka ia sudah boleh meraih keuntungan berjuta dolar.

“Ini satu perkara yang aneh. Kita nak tengok akaun MAS. MAS juga baru-baru ini meraih anugerah syarikat penerbangan terbaik di Asia, tetapi rugi RM800 juta, sedangkan syarikat yang tidak dapat anugerah dapat keuntungan. Perlu ada penjelasan,” katanya tidak lama dulu.
MGF26102018_SIDANG-MEDIA-MPM_06
Ahli Lembaga Penasihat Majlis Perundingan Melayu (MPM), 
Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman bercakap pada sidang media 
khas MPM menolak cadangan kerajaan Pakatan Harapan 
menghapuskan Akta Hasutan di Wisma MPM, Taman Duta, 
Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL
Abdul Aziz suatu ketika dulu (sebelum perlantikan Izham) turut mempersoalkan tindakan pengurusan Malaysia Airlines yang masih bergantung harap dengan orang asing.

Menurutnya, MAS perlu memberi peluang kepada anak tempatan yang juga memiliki kepakaran dan pengalaman yang sama dengan orang asing.

“Sebelum ini saya pernah telefon Pengarah Urusan Khazanah Nasional, Tan Sri Azman Mokhtar berhubung orang asing menguruskan Malaysia Airlines.

“Beliau panggil saya berjumpa dan saya persoal isu itu namun beliau memberitahu pernah menemubual lima anak tempatan dan ke semuanya didapati tidak layak.

“Saya pun tidak tahulah siapa yang temubual mereka ketika itu,” katanya.

Beliau turut mempersoal langkah syarikat penerbangan yang bermasalah itu untuk membeli enam buah pesawat A380 yang pada pandangannya tidak akan digunakan sepenuhnya dan memerlukan kos operasi yang tinggi.

Ketika beliau menerajui MAS, syarikat itu bukan sahaja cemerlang dari segi kedudukan kewangan tetapi juga mendapat sanjungan kerana perkhidmatan dalam penerbangan yang cemerlang.

Menjelang persaraannya pada 1992, beliau sudah mengukir nama dalam industri penerbangan dunia.
Oleh itu tidak hairanlah sekiranya seorang perunding yang berpangkalan di New York menawarkan beliau untuk mengetuai Philippines Airlines untuk memulihkan syarikat yang “tenat” itu.

“Saya tolak tawaran itu kerana kalau terima bermakna saya perlu berpindah ke Manila dan isteri saya tak bersedia untuk ke sana,” Abdul Aziz memberitahu Bernama dalam wawancara di kediamannya di Bukit Damansara tidak lama dulu.

Bagi Abdul Aziz, usaha untuk menukar MAS daripada sebuah syarikat penerbangan kecil dengan hanya laluan penerbangan domestik kepada syarikat penerbangan bertaraf antarabangsa yang berjaya adalah pencapaian yang begitu membanggakan.

Sewaktu beliau menerajui MAS, syarikat itu mencatat pertumbuhan drastik dalam jumlah penumpang, kapal terbang serta laluan penerbangan. Syarikat itu melalui peringkat pengembangan operasi dan dilihat berada pada landasan yang betul.

“Saya melakukan beberapa langkah drastik termasuk menubuhkan pasukan petugas dengan matlamat meningkatkan keuntungan, memperkemas pasukan pekerja dan mengenal pasti laluan penerbangan yang menguntungkan,” kata beliau dalam temubual tersebut.
MGF19032019_MAS-FUTURE-MASRA06
President Persatuan Pesara Penerbagan Malaysia (MASARA), 
Kapten, Abdul Razak Hashim (dua kiri) diringi Bekas Pengarah 
Urusan MAS, Tan Sri Aziz Abdul Rahman (dua kanan) bercakap 
semasa sidang akhbar tentang masa depan MAS di Eastin Hotel 
Kuala Lumpur, Petaling Jaya. foto MUHAMMAD ZULHAIRI
Sayangnya Abdul Aziz pada MAS tidak ada noktah.

Tahun lalu, beliau dan Persatuan Pesara Penerbangan Malaysia (MASRA) yang dinaunginya telah mengadakan sidang akhbar khas bagi mengumumkan kesediaan mereka tampil untuk membantu memulihkan MAS.

Dalam sidang akhbar itu, Abdul Aziz berkata, MASRA berminat untuk membantu memulihkan semula syarikat penerbangan berkenaan.

“Kami mempunyai kepakaran, kami boleh memberi nasihat,” katanya bersungguh-sungguh.
Beliau berkata MASRA tidak mahu syarikat penerbangan itu yang dibangunkan sendiri oleh tenaga dan minda rakyat Malaysia, ditutup.

“Kami akan perjuangkannya dan menawarkan khidmat kami untuk memulihkan semula ikon dunia ini untuk semua rakyat Malaysia menikmati kebanggaan Golden Service yang terkenal ini,” katanya.

Namun takdir Allah tak siapa dapat mengatasinya. Hari ini dalam usia 87 tahun, lelaki yang sangat berjasa pada MAS khususnya dan negara amnya pergi untuk selama-lamanya.

Abdul Aziz meninggal dunia di Hospital Gleneagles Ampang.

ss-1

Beliau mungkin tak sempat menyaksikan MAS ‘bangkit’ semula daripada kegagalan namun sekurang-kurangnya beliau pernah meletakkan MAS dilandasan kecemerlangan.
Selamat jalan Tan Sri.

AL-FATIHAH. – Malaysiagazette.

Rabu, 22 Januari 2020

*RM50,000 UNTUK EXCO, “HABIS KUT TENGAH JALAN JER'

 
Hasil carian imej untuk bendera pas


1. Heboh satu Malaya apabila “netizen” menunjukkan kemarahan kepada Kerajaan Kelantan berkaitan wang *RM50,000* yang diberikan secara “pemberian khas” kepada *Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri*.

2. Saya menulis saat ini bukanlah untuk memberi jawapan kepada isu dan polemik yang sedang berlaku. Ianya sekadar *coretan peribadi* akan gerak kerja wakil-wakil rakyat di Kelantan khasnya ahli Exco Kerajaan yang mana wang dan hartanya akan dihabiskan untuk rakyat semata mata.

3. Contoh mudah, *YB Ustaz Haji Wan Roslan Wan Hamat*, Exco Belia, Sukan dan NGO Kelantan yang amat saya kasihi. Dia guru, dia pemimpin kami.

4. Disember bulan lepas (2019) banjir melanda Daerah Tumpat (DUN Pengkalan Kubor khasnya) sebanyak dua kali. Awal bulan dan sekali lagi bermula 20hb Disember. Dua kali banjir!

5. Antara yang terjejas teruk adalah Kg. Bendang Pak Yong, Kajang Sebidang, Teluk Jering, Simpangan dan beberapa yang lain melibatkan mangsa melebihi 3,000 ketua isi rumah. YB Ustaz Wan Roslan terpaksa berhutang di beberapa kedai runcit dan kedai borong untuk menyediakan 3,000 kit barangan keperluan dianggarkan bernilai RM50 setiap satunya. Nilainya amat besar. *(3000 X RM50 = RM150,000.00)*

6. Mujurlah pemberian khas RM 50,000 oleh kerajaan diberi kepadanya. Sebahagian hutang kepada kedai runcit berjaya dilangsaikan. Alhamdulillah.

7. Selain itu, beberapa NGO telah turut sama turun membawa barang sumbangan antaranya *Yayasan Amal Malaysia Cawangan Kelantan, Misi Kembara Dakwah, Al l’tisam Relief* dan lain lain. Ia telah meringankan bebanan Pusat Khidmat Dun yang terpaksa menguruskan bantuan banjir bagi dua kali gelombang.

8. Komitmen Ust Wan Roslan tidak terhenti di situ, Jumaat ini beliau anjurkan pula program *NGO Bersama Komuniti* di Pasar Rabu Kg Bendang Pak Yong. Apa tujuannya? Ia untuk meraikan pasukan NGO yang tekun membantu mangsa banjir di kawasannya sewaktu bah melanda bulan lepas.

Jamuan rakyat juga diadakan untuk mengeratkan hubungan antara orang kampung setelah penat lelah bergotong royong sepanjang Disember.

9. Minggu lepas, Ustaz Wan Roslan menyumbang *RM5,000 wang peribadinya* kepada keluarga yang mana rumahnya hangus terbakar dan langsung tiada tempat berteduh. YB dan rakyat berpisah tiada. Duka dikongsi bersama, kesusahan sama diringankan.

9. Ini hanya satu contoh sahaja bagi penggunaan wang yang tidak pernah cukup kepada rakyat di semua daerah. Perkara yang sama kita yakin berlaku kepada semua ahli majlis mesyuarat kerajaan yang lain dalam menyantuni rakyat.

10. Dari mana datangnya RM50,000 itu? Ia adalah “pemberian khas” yang diputuskan secara *SAH* dalam mesyuarat *RASMI* kerajaan. Untuk apa wang itu? Ia khas untuk kegunaan kebajikan rakyat bagi akhir 2019 dan awal tahun 2020.

11. Tiada peruntukan tambahan. Wang ini masih dalam peruntukan Bajet 2019 (*Bajet Luar Jangka*) yang telah diluluskan dalam Pembentangan Bajet melalui Persidangan DUN akhir tahun 2018 lagi. Ia bukan benda baharu.

12. Tambahan pula pada akhir Oktober lepas, peruntukan untuk Exco telahpun habis dan permohonan baru juga telah ditutup (kerana akhir tahun). Jadi disalurkan pemberian khas tersebut bagi membantu rakyat kepada ahli Exco kerajaan. Ia semudah itu sahaja.

13. Seperti kata rakan rakan saya, duit lima puluh ribu itu tidak besar pun, “*ia habis untuk rakyat kut tengah jalan jer*”, kata mereka.

* Coretan Petang, Nazman Che Iberahim

Ada yang terkejut saya pemimpin PAS


DEWAN Himpunan Pendukung PAS (DHPP) Sabah melahirkan rasa sangat gembira atas kemenangan Barisan Nasional dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) P.176 Kimanis.

Kesungguhan dan muafakat yang ditunjukkan oleh semua pihak khususnya Muafakat Nasional di antara Umno dengan PAS telah menunjukkan bibit yang terbaik di Sabah.

Saya secara khusus juga mengucapkan terima kasih kepada semua pengundi bukan Islam di Parlimen Kimanis yang memberi sokongan padu kepada BN.

Saya sempat menyertai beberapa program ziarah dan kunjungan rumah ke rumah yang telah disusun oleh jentera BN. Saya sempat juga mengunjungi semua Pusat Daerah Mengundi. Sehinggakan ada dalam kalangan pengundi yang kehairanan dan terkejut bila mengetahui saya adalah salah seorang pemimpin PAS di Sabah.

Saya sempat menceritakan soal keadilan dan kesaksamaan dan tiada sedikit pun penindasan dan ekstremisme dalam PAS.

Saya yakin pengundi Kimanis telah membuat pilihan tepat. Sekarang masanya untuk semua penduduk Kimanis bersatu dan bersama-sama eratkan silaturahim tidak kira agama ataupun bangsa.

SATAIL MAJUNGKAT
Pengerusi Dewan Himpunan Pendukung PAS Sabah

HARAKAHDAILY

Hina Islam di FB, pekerja Sri Lanka didenda lebih RM500,000

3 pekerja Sri Lanka di UAE didakwa membuat hantaran yang 
menyinggung agama Islam di Instagram dan Facebook.
 
PETALING JAYA: Tiga pekerja warga Sri Lanka yang bekerja di Emiriyah Arab Bersatu (UAE) didenda 500,000 dirham (RM553,310) selepas didakwa menghina Islam melalui media sosial, lapor portal Stepfeed.

Tertuduh yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah resort bertaraf 5 di Dubai, dikatakan membuat hantaran yang menyinggung agama Islam di Instagram dan Facebook.

“Saya mendapat tahu mengenai hantaran 3 pekerja itu pada Mei tahun lalu. Kami memanggil mereka untuk membuat siasatan dalaman. Mereka mengaku membuat hantaran tersebut di Facebook,” kata rakan sekerja mereka.

Ketika memberi keterangan di mahkamah, polis berkata pihaknya menyita bilik penginapan tertuduh serta merampas telefon bimbit dan komputer riba mereka, selain tangkap layar dan imej yang dihantar ke media sosial digunakan sebagai bukti dalam kes itu.

Mahkamah Dubai membicarakan ketiga-tiga mereka di bawah undang-undang anti-diskriminasi dan kebencian dan Kanun Keseksaan.

Mereka didenda 500,000 dirham dan akan dihantar pulang ke negara asal selepas membayar tersebut. Ketiga-tiga tertuduh tidak merayu bagi kes mereka dan keputusan terhadap mereka dianggap muktamad.

UAE mengharamkan semua jenis diskriminasi agama atau kaum di bawah undang-undang yang diluluskan pada 2015.

Undang-undang Anti-diskriminasi atau Anti-kebencian itu melarang semua perbuatan “yang membangkitkan kebencian agama dan atau menghina agama melalui apa-apa bentuk ungkapan, sama ada ucapan atau tulisan, buku, risalah atau melalui media atas talian.

Undang-undang itu bertujuan untuk menentang “diskriminasi terhadap individu atau kumpulan berdasarkan agama, kasta, doktrin, bangsa, warna atau asal etnik.”

Adun Gadek mengaku tak bersalah beri sokongan kepada LTTE





KUALA LUMPUR: Adun Gadek mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi hari ini atas pertuduhan memberi sokongan kepada kumpulan militan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) menggunakan aplikasi Facebook.

G Saminathan, 35, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan dalam bahasa Tamil di hadapan Hakim Muhammad Jamil Hussin.

“Minta dibicarakan,” kata Saminathan selepas Hakim Muhammad Jamil bertanya sama ada dia mengaku bersalah ataupun minta dibicarakan atas pertuduhan tersebut.

Dia didakwa memberi sokongan kepada LTTE dengan cara menggunakan Facebook atas nama “Gsami Nathan Siva“ di Pejabat Pegawai, Bahagian E8 (M) Cawangan Khas, Bukit Aman pada 9.30 malam, 8 Okt 2019.

Saminathan dituduh mengikut Seksyen 130J (1)(a) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum bawah peruntukan sama yang jika sabit kesalahan membawa hukuman penjara sepanjang hayat atau penjara maksimum 30 tahun atau denda dan boleh dirampas mana-mana harta yang digunakan atau diniat untuk digunakan untuk melakukan kesalahan itu.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mohd Firdaus Abu Hanipah memaklumkan mahkamah tertuduh mempunyai kes lain berkaitan LTTE di Mahkamah Tinggi berasingan.

“Mahkamah Tinggi sebelum ini menetapkan 11 Feb untuk sebutan kes, sehubungan itu saya memohon tarikh sama di mahkamah ini.

“Dalam masa sama, pihak pendakwaan akan membuat permohonan untuk menentukan mahkamah mana yang akan mendengar kes ini,” katanya.

Hakim menetapkan 11 Feb untuk sebutan kes Saminathan yang diwakili peguam Harshaan Zamani.

Pada 20 Jan lepas, Saminathan mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memiliki barang dan memberi sokongan berkaitan LTTE selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Ahmad Shahrir Mohd Salleh.

Dia dituduh memberi sokongan kepada kumpulan itu dalam satu majlis di Dewan Kasturi Ayer Keroh, Jalan Utama, Taman Ayer Keroh Heights, Melaka pada 8.30 malam hingga 10.50 malam, 28 Nov 2018.

Satu pertuduhan memiliki barang berkaitan LTTE di dalam sebuah telefon bimbit di Pejabat Exco Perpaduan Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna, Jabatan Ketua Menteri, Kompleks Seri Negeri, di Melaka, pada 10.25 pagi, 10 Okt 2019.

Kuota haji cecah 45,000 jika BN tadbir Putrajaya, kata Najib

Kuota rasmi haji Malaysia naik lebih 1,000 orang iaitu meningkat 
kepada 31,600 berbanding 30,200 jemaah tahun lepas.

PETALING JAYA: Bekas Perdana Menteri Najib Razak mendakwa, sekiranya Barisan Nasional (BN) masih mentadbir Putrajaya kuota haji bagi negara ini boleh mencecah 45,000 hasil hubungan baiknya dengan raja Arab Saudi.

Beliau berkata kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mujahid Yusuf Rawa bahawa kuota rasmi bagi haji di Malaysia naik lebih 1,000 tidak bermakna kerana ia meningkat berdasarkan populasi penduduk.

“Kekanda tidak berguna, ada kekanda pun bazir duit beras. Letak Khalid Samad, Teresa Kok juga kuota akan tetap naik. Letak Mohamad Sabu untuk buat sambal belacan juga kuota akan tetap naik.

“Cuma saya hendak kata semasa BN tahu tak berapa kuota haji kita dapat, sekurang-kurangnya 42,200. Saya congak, mungkin tahun ini dah boleh dapat kira-kira 45,000 kuota.

“Ini adalah hasil daripada hubungan baik saya dan BN dengan raja Arab Saudi,” katanya di Facebooknya, hari ini.

Terdahulu, Mujahid memberitahu kuota rasmi haji Malaysia naik lebih 1,000 orang iaitu meningkat kepada 31,600 berbanding 30,200 jemaah tahun lepas.

Perkembangan ini susulan daripada perbincangan mengenai hal ehwal jemaah haji antara Mujahid dan Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Mohammed Saleh Taher Benten di Mekah semalam.

“Kita diberikan kuota 30,200 jemaah berpandukan 0.01% penduduk yang diambil populasi kita yang tidak dikemas kini (iaitu populasi 30 juta) tetapi mengikut versi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada 2017, penduduk Malaysia telah meningkat iaitu 31,600,000,” kata Mujahid.

Pemilik suara rakaman audio diumum minggu ini – KPN

THE MALAYSIAN TIMES
 


IPOH: Pemilik suara rakaman audio yang didedahkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Latheefa Koya, dijangka diketahui minggu ini atau selewat-lewatnya minggu depan.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata Polis Diraja Malaysia akan memanggil individu berkenaan untuk memberi kenyataan sebaik sahaja nama mereka diketahui.

“Mereka yang didakwa suara di dalam rakaman audio itu, apabila dapat disahkan suara itu milik sesiapa, individu tersebut akan dipanggil untuk diambil kenyataan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara kepada lebih 400 anggota dan pesara polis di Briged Utara, Pasukan Gerakan Am, Ulu Kinta di sini hari ini.

Pada 8 Jan lepas, SPRM memutarkan rakaman audio perbualan yang didakwa kebocoran maklumat daripada Jabatan Peguam Negara kepada Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak semasa menjadi Perdana Menteri dan perbualan lain berkaitan siasatan terhadap 1Malaysia Development Berhad dan SRC International Sdn Bhd.

Klip audio itu dipercayai perbualan yang melibatkan isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor, bekas ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Dzulkifli Ahmad, seorang tokoh asing dan beberapa individu lain.

Dalam pada itu, Abdul Hamid berkata polis sedang giat menjalankan siasatan berhubung dakwaan terdapat komplot jenayah untuk menjatuhkan reputasi dan imej SPRM serta Ketua Pesuruhjayanya.

Pada 14 Jan lepas, SPRM membuat satu laporan polis terhadap beberapa individu termasuk seorang peguam yang didakwa menjadi dalang dalam komplot jenayah untuk menjatuhkan reputasi suruhanjaya itu Latheefa.

Menurut Latheefa laporan polis itu dibuat bagi memberi satu mesej yang jelas kepada dalang-dalang di sebalik komplot bahawa beliau tidak tergugat atau terancam dalam melaksanakan tugas sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM.—Bernama 

Lok-U meninggal dunia

MALAYSIAKINI




Pengarah muzik Faizal Uzir atau dikenali sebagai Lok-U meninggal dunia selepas pulang dari berjogging di sekitar kawasan kediamannya di Taman Puncak Jalil, Seri Kembangan, kira-kira jam 10 pagi hari ini.

Adik Allahyarham, Fairul Uzir memberitahu bahawa berita itu dimaklumkan isteri arwah, Jamariah Yusof.

“Saya terkejut sebaik dimaklumkan. Allahyarham sesak nafas dan rebah secara tiba-tiba selepas pulang dari berjogging. Kakak ipar kemudian menghubungi ambulans, namun abang disahkan meninggal dunia.

“Mungkin ia ada kaitan dengan jantung. Apapun, kena tunggu keputusan bedah siasat untuk mengetahui punca kematian,” katanya dipetik BH Online.

Fairul berkata, urusan pengebumian akan dilakukan selepas proses bedah siasat selesai.

“Buat masa ini, arwah masih berada di hospital. Jenazah akan dibawa dan disembahyangkan di Surau Al Falah, Taman Puncak Jalil.

“Arwah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam USJ22, Subang Jaya selepas solat Asar,” katanya.
Allahyarham meninggalkan empat cahaya mata, iaitu Adam Danial, Faris Danial, Ahmad Firhan Danial dan Yasmin Damia.

Allahyarham yang pernah bertugas sebagai pemuzik di Petronas, turut menimba pengalaman dengan mengiringi persembahan ramai artis popular.

Antaranya Siti Nurhaliza, Faizal Tahir, Dayang Nurfaizah, Aishah dan ramai lagi.


Bersatu benarkan kempen di kedai mamak, tak boleh taja umrah, golf

HASPAIZI ZAIN




Bersatu membenarkan calon yang bertanding dalam pemilihan parti itu untuk berkempen di kedai mamak sambil "minum teh tarik".

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP), Syed Hamid Albar, berkata ia dibenarkan selagi tidak berlaku rasuah ataupun politik wang.

"Individu nak berkempen, nak bawa (kempen) di kedai mamak (minum) teh tarik.

"Saya fikir yang kita boleh berkempen sejajar dengan amalan demokrasi, tapi jangan amalkan kemewahan, rasuah dan politik wang," katanya ketika sidang media di ibu pejabat parti itu di Petaling Jaya, hari ini.

Bagaimanapun Syed Hamid berkata calon yang bertanding tidak dibenarkan menaja apa juga perjalanan pelancongan, rombongan termasuk membiayai umrah dan bermain golf kepada ahli.

"Masa pemilihan tak boleh bayar umrah, tak boleh 'holiday', melancong seperti pergi Bangkok, Manila, Medan atau mana-mana destinasi popular.

"Main golf pun tak boleh. Main golf ini, anda memang datang dengan sengaja dan ada pemberian hadiah. Tak boleh ada pemberian hadiah," katanya.

Parti itu juga tidak menetapkan perbelanjaan kempen yang khusus bagi calon bertanding khususnya bagi Majlis Pimpinan Pusat (MPT).
Paling penting katanya, perbelanjaan yang digunakan calon bukan tujuan untuk merasuah, politik wang ataupun membeli undi.

Bersatu akan mengadakan perhimpunan agung selama empat hari bermula 25 Jun ini dan turut akan menjalankan pemilihan buat pertama kali sebelum perhimpunan itu.

Pencalonan bagi pemilihan parti akan bermula 26 Jan, disusuli mesyuarat peringkat cawangan mulai 15 Feb sehingga 29 Mac manakala mesyuarat di peringkat bahagian pada 18 April.

Sebanyak 189 bahagian layak bersidang, manakala jumlah ahli yang layak mengambil bahagian dalam persidangan adalah seramai 363,167 orang.

Persidangan bahagian pula akan memilih Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT), iaitu barisan kepemimpinan parti peringkat pusat.

Persidangan Srikandi dan Armada Bahagian pula perlu diadakan sebelum persidangan bahagian dan ia akan memilih Jawatankuasa Srikandi dan Jawatankuasa Armada pusat.

Jelas Syed Hamid, jika terdapat aduan berhubung salah laku oleh calon yang bertanding termasuk rasuah dan penyalahgunaan kuasa, pihaknya akan menilai kembali pencalonan individu berkenaan.

Katanya itu penting bagi melahirkan politik sihat selaras dengan amalan demokrasi yang diamalkan.

Mengulas mengenai pembabitan bekas ahli Umno dalam pemilihan itu nanti, Syed Hamid berkata mereka layak menyertai jika tersenarai.


Kalah di Kimanis, kami bertanggungjawab, bukan Mahathir - Shafie

MALAYSIAKINI




Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad tidak harus dipersalahkan susulan kekalahan Warisan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis, Sabtu lalu.

Ketua Menteri Sabah Mohd Shafie Apdal yang juga Presiden Warisan berkata, partinya mengambil sepenuh tanggungjawab berhubung kekalahan itu.

"Jangan salahkan sesiapa dengan apa yang berlaku di Kimanis, kami bertanggungjawab (atas kekalahan), bukan (Tun) Mahathir," katanya dalam satu sidang media di Kota Kinabalu, hari ini.
Iklan
Pada PRK Kimanis yang berlangsung 18 Jan lalu, calon BN calon BN, Mohamad Alamin menang dengan majoriti 2,029 undi.

Mohamad memperoleh 12,706 menewaskan calon Warisan, Karim Bujang yang memperoleh 10,677 undi.

PRK parlimen Kimanis diadakan selepas Mahkamah Persekutuan pada 2 Dis lepas mengekalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu yang membatalkan kemenangan Anifah Aman bagi kerusi itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lepas.

Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu pada 16 Ogos tahun lepas memutuskan kemenangan Anifah di kerusi itu sebagai tidak sah dan terbatal selepas mendapati ada kertas undi tambahan yang boleh menjejaskan keputusan pilihan raya.
Pada PRU 2018, Anifah memenangi kerusi itu dengan majoriti 156 undi.

Keputusan PRK Kimanis itu, menyaksikan perdana menteri menjadi sasaran pengkritik yang mahukan proses peralihan kuasa dilakukan segera ekoran kekalahan kali kelima berturut-turut parti kerajaan terhadap BN.

Sementara itu, Shafie berkata Warisan mendengar suara rakyat yang membuat keputusan di Kimanis menolak calon parti itu.

Katanya, beliau juga menerima kekalahan itu dan menghormati keputusan rakyat yang telah membuat pilihan.

"Kita akan teruskan perkhidmatan kita bukan hanya sekadar Parlimen Kimanis, tetapi seluruh negeri Sabah.

"Apa keputusan yang dilakukan pengundi Kimanis, yang bertanggungjawab adalah Warisan," katanya lagi.


Tujuh Pemuda DAP hentam Syed Saddiq

MALAYSIAKINI



Pemuda DAP membidas Syed Saddiq Abdul Rahman kerana menuduh beberapa pemimpin Pakatan Harapan (PH) mendesak Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berundur.

Dalam satu kenyataan bersama petang ini, tujuh pemimpin Pemuda DAP berkata Ketua Pemuda Bersatu itu tidak sepatutnya memberitahu orang lain memperbetulkan diri mereka.

Ini kata mereka, selepas serbuan polis terhadap penganjuran pesta dadah di sebuah kondominum yang turut melibatkan beberapa pemimpin Pemuda Bersatu baru-baru ini.

"Tengok siapa yang bercakap mahu memperbetulkan orang lain.

"Jika ada sesiapa yang perlu membetulkan diri mereka, ia adalah Syed Saddiq. Dia patutnya membetulkan sayap parti yang dia ketuai terlebih dahulu sebelum cuba menasihati orang lain," kata mereka.

Pemimpin-pemimpin DAP itu juga mempertahankan orang-orang yang dibidas Syed Saddiq kerana didakwa melancarkan serangan tidak berhenti-henti pada Mahathir sehingga menyukarkan perdana menteri untuk mentadbir negara.




"Syed Saddiq perlu baca kenyataan pemimpin itu sebelum mengulas mengenai isu itu. Dia juga menuduh pemimpin-pemimpin ini mendesak Mahathir meletak jawatan.

"Majoriti pemimpin yang disebut Syed Saddiq dalam kenyataannya tidak ada menyebut bahawa Mahathir perlu meletak jawatan serta-merta. Mereka hanya menyuarakan pandangan majoriti rakyat Malaysia.
"Rakyat Malaysia mahu peralihan kuasa secara aman tanpa kejutan. Pemimpin-pemimpin ini tidak kata Mahathir perlu segera meletakkan jawatan. Apa yang mereka minta ialah satu tarikh ditetapkan,"kata mereka.

Menurut tujuh pemimpin pemuda DAP berkenaan, tarikh peralihan yang ditetapkan dengan jelas akan menghapuskan kekeliruan ramai.

"Apa yang sukar bagi Syed Saddiq untuk faham? Syed Saddiq sendiri mengakui peralihan kuasa adalah sesuatu yang telah dibincangkan dan diputuskan oleh Majlis Presiden (Pakatan Harapan).

"Apa yang salah dalam meminta penjelasan dalam perkara ini? Komen mereka tidak lain hanyalah menyuarakan pendapat dan pandangan mereka, "kata tujuh pemimpin pemuda DAP berkenaan.

Mereka juga mendakwa Syed Saddiq, yang juga Menteri Belia dan Sukan, cuba mengalihkan perhatian daripada isu penangkapan beberapa anggota Pemuda Bersatu dalam serbuan membabitkan kes dadah baru-baru ini selain mengaitkan kenyataannya dengan pemilihan parti itu akan datang.

Antara yang ditahan dalam serbuan berkenaan ialah Adun Dengkil, Adhif Syan Abdullah dan seorang pegawai daripada kementerian Syed Saddiq.

"Oleh kerana pemilihan parti Bersatu makin hampir, kita dapat melihat kenyataan hero dari Syed Saddiq, yang sedang mempertahankan jawatannya," kata mereka.

Mereka juga mengingatkan menteri berkenaan bahawa "orang-orang yang tinggal di rumah kaca tidak perlu membaling batu."

Mereka yang menandatangani kenyataan bersama itu ialah Setiausaha Pemuda DAP antarabangsa, Satees Muniandy, Timbalan Ketua Chiong Yoke Kong, Setiausaha Eric Teh, Pengarah Pendidikan Politik Tan Tiong Yih; Setiausaha Penganjur Lee Wei Siang; bendahari Khoo Khim Han dan ahli jawatankuasa Woo Kah Leong dan Yu Ong Ching.

Kit Siang: Hentikan obsesi peralihan kuasa

Sementara itu, veteran DAP Lim Kit Siang meminta pemimpin dan anggota PH menghentikan obsesi mengenai peralihan kuasa antara Dr Mahathir dan Anwar.

"Anwar telah pun menasihatkan pemimpin Pakatan Harapan supaya tidak membincangkan isu peralihan kuasa secara terang-terangan dan menghormati persetujuan mengenai perkara yang dicapai pada Januari 2018.

"Marilah kita beralih daripada memberi penekanan dan obsesi setiap hari dengan peralihan kuasa dan memfokuskan segala usaha kita untuk menunaikan janji-janji kita pada pilihan raya umum 2018 serta tahun 2020 akan menjadi tahun penentuan untuk Pakatan Harapan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut anggota Parlimen Iskandar Puteri itu, peralihan kuasa antara Dr Mahathir dan Anwar sebagai bakal perdana menteri kelapan merupakan salah satu janji penting PH pada PRU14.

"Butiran peralihan kuasa perlu diberikan kepada Majlis Presiden Pakatan Harapan untuk memutuskan, walaupun tidak perlu mesyuarat khas berhubung perkara itu," tambahnya.

Pemimpin-pemimpin DAP yang dinamakan Syed Saddiq dalam kenyataannya semalam ialah Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II P Ramasamy, Ahli Parlimen Bukit Gelugor Ramkarpal Singh dan Adun Sungai Pelek, Ronnie Liu.

Manakala pemimpin-pemimpin PKR yang disebut beliau pula Naib Presiden Rafizi Ramli, Anggota Parlimen Kapar Abdullah Sani, Ketua Pemuda Akmal Nasir, Setiausaha Pemuda Syukri Razab dan bekas Timbalan Presiden Syed Husin Ali.

Syed Saddiq mendakwa pemimpin-pemimpin DAP dan PKR berkenaan sebagai penyokong kuat Presiden PKR Anwar Ibrahim, yang telah ditetapkan sebagai pengganti Mahathir.

Sebelum ini, Anwar menggesa semua pemimpin PH untuk memastikan perbincangan mengenai isu peralihan kuasa itu diadakan secara tertutup.