Beliau berkata tindakan membekukan akaun itu dibuat selepas beliau bertemu Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan Daim Zainuddin pada 19 Jun lepas yang bertanya jika Umno Pahang menerima bantuan daripada ibu pejabat parti pada Pilihan Raya Umum Ke-13.
“Saya katakan betul bahawa Umno Pahang ada menerima dua keping cek dan nilainya telah saya beritahu kepada Tun (Daim). Cek itu dimasukkan ke dalam akaun parti, bukan akaun peribadi saya.
“Saya ada menyimpan salinan imbasan cek dan penyata banknya. Ini memudahkan pihak berkenaan mendapatkan butiran dalam siasatan yang dijalankan,” katanya kepada pemberita selepas Persidangan Perwakilan Umno Bahagian Bentong di Dewan Arena Bentong hari ini.
Adnan yang juga ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pelangai mengakui beliau pada awalnya “hairan” dengan tindakan membekukan akaun Umno Bentong namun, bersikap terbuka selepas mengetahui sebabnya.
Menurutnya, Bendahari Umno Bentong Noor Azmi Jaafar memaklumkan bahawa Umno Bentong juga menerima sekeping cek sebagai bantuan daripada ibu pejabat Umno.
“Kalau begitu, wajar juga untuk membekukan akaun Umno Bentong. Ini semua untuk memudahkan siasatan dan kita terbuka. Kita akan siapkan semua dokumen yang diperlukan dan beri kerjasama,” katanya.
Adnan yang juga bekas menteri besar Pahang mengakui Umno Pahang mengalami “sedikit kesukaran” untuk bergerak ekoran pembekuan akuan tersebut tetapi mereka perlu belajar untuk hidup dengan apa seadanya.
“Saya bukan menteri besar yang berniaga, tapi ada beberapa anggota dalam parti yang ada perniagaan dan kewangan yang kukuh sanggup menyumbang kepada parti. Kita pun bergerak setakat yang termampu.
“Umno dahulu pun bermula bukan terus senang tapi kita ada semangat. Jika semangat itu kita pegang, sanggup bersusah maka, tidak akan menjadi masalah untuk kita bangkit semula,” katanya.
Pada persidangan itu, Adnan mempertahankan jawatan ketua Umno Bahagian Bentong yang disandangnya sejak 1987 selepas memperoleh 296 undi menewaskan pencabarnya Kapten (B) Shamsuddin Moner yang mendapat 51 undi.
Sementara itu, perwakilan Bentong juga memilih Mohamad Zaini Salleh sebagai timbalan ketua bahagian dan Johari Harun sebagai naib ketua.
Adnan berkata ahli Umno harus menerapkan tiga aspek bagi mengembalikan semula martabat parti itu supaya kembali mendapat kepercayaan rakyat pada masa depan.
“Tiga aspek itu adalah mempunyai jiwa kuat dalam perjuangan, ubah penampilan dan ketrampilan sesuai dengan rakyat serta mempunyai kelakuan baik iaitu tidak sombong, elitis dan peduli dengan rakyat,” katanya. – Bernama,
Tiada ulasan:
Catat Ulasan