Selasa, 31 Disember 2019

Rakyat bakal berdepan kenaikan harga perkhidmatan digital

Perkhidmatan digital di negara ini bakal berdepan kenaikan caj langganan perkhidmatan.


SHAH ALAM - Lebih 10 juta pengguna perkhidmatan digital di negara ini bakal berdepan kenaikan caj langganan perkhidmatan kesan daripada pelaksanaan Cukai Perkhidmatan Digital dikuatkuasakan bermula hari ini.

Pelaksanaan cukai perkhidmatan digital sebanyak enam peratus itu diumumkan kerajaan sebelum ini selepas Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-undang Cukai Perkhidmatan (Pindaan) 2019.

Antara penyedia perkhidmatan digital popular dikenakan cukai ini termasuk Netflix, Spotify, Amazon, pengiklanan di platform media sosial seperti Facebook dan Instagram, pengkomputeran awan, aplikasi dan permainan di telefon pintar.

Susulan itu, beberapa penyedia perkhidmatan asing berkenaan sudah mengumumkan kenaikan caj langganan perkhidmatan kepada pengguna di negara ini bermula tahun hadapan.

Sebagai contoh, Facebook (FB) baru-baru ini mengumumkan akan mengenakan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sebanyak enam peratus kepada semua pelanggannya.

Berdasarkan notis pengebilan cukai dimuat naik oleh Facebook menyatakan bahawa ia membabitkan pengiklan yang mempunyai alamat di negara ini.

Cukai perkhidmatan ini ditambah untuk setiap kali pengguna dicaj bagi iklan dimuat naik dan ia tidak mengambil kira sama ada iklan itu dibeli menerusi Facebook atau tujuan perniagaan atau peribadi.

Selain itu, pengenaan nilai caj SST sama turut diguna pakai Adobe kepada mana-mana pelanggan yang menggunakan perkhidmatan Adobe Creative Cloud.

Syarikat Adobe menjelaskan pelanggan akan dikenakan caj tambahan ini apabila memperbaharui pelan mereka sama ada bulanan atau tahunan.

Begitu juga dengan syarikat enjin carian terkemuka global, Google yang akan mula mengenakan caj cukai perkhidmatan 6 peratus bagi perkhidmatan dan urus niaga digital membabitkan pelanggan negara ini.

Google dalam satu kenyataan disiarkan Nikkei Asian Review berkata, kutipan cukai itu dilaksanakannya bagi mematuhi undang-undang cukai di negara ini.

Terbaharu, penyedia servis penstriman video terkenal, Netflix, telah mengumumkan kenaikan harga tiga daripada empat pakej langganan yang ditawarkan.

Penyelarasan harga itu akan bermula 9 Januari 2020 ini susulan pelaksanaan Cukai Perkhidmatan Digital di negara ini bermula esok.

Tiga pakej langganan terlibat kenaikan harga terdiri pakej Netflix Basic daripada RM33 kepada RM55 sebulan, Netflix Standard (RM42 kepada RM45 sebulan) dan Netflix Premium (RM51 dinaikkan kepada RM55 sebulan).

Bagaimanapun, harga pelan Netflix Mobile masih tidak berubah dan kekal pada harga RM17 sebulan.

Bagi pandangan sebilangan rakyat, pengumuman kenaikan caj langganan perkhidmatan berkenaan memberi petanda jelas beban pelaksanaan Cukai Perkhidmatan Digital akhirnya ditanggung pengguna negara ini sendiri.

Bahkan, ada pihak menyuarakan kebimbangan berlakunya pengenaan cukai berganda (cascading effect) kepada pengguna susulan cukai SST turut dikenakan kerajaan selain Cukai Perkhidmatan Digital terbabit.

Bagaimanapun, Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan menjelaskan kerajaan sudah menetapkan beberapa layanan bagi memastikan tidak ada masalah penyedia perkhidmatan dan pengguna tempatan dikenakan cukai berganda.

Antaranya, kerajaan menyediakan kemudahan 'group relief' kepada pengimportan perkhidmatan bercukai yang layak daripada syarikat pemberi perkhidmatan tempatan, yang merupakan syarikat dari kumpulan sama berada di luar negara.

"Dengan kata lain, penyedia perkhidmatan tempatan tidak perlu dikenakan cukai perkhidmatan ke atas perkhidmatan bercukai diimport daripada syarikat penyedia luar negara berada dalam kumpulan sama.

"Selain itu, kerajaan turut memperkenalkan pengecualian dari mengakaunkan dan membayar cukai perkhidmatan berdasarkan kaedah 'self-recipient accounting' ke atas pengimportan perkhidmatan profesional dan perkhidmatan pengiklanan (B2B),"katanya.

Kementerian Kewangan turut menegaskan penyedia perkhidmatan tempatan yang membayar cukai perkhidmatan kepada penyedia perkhidmatan asing ke atas pengimportan perkhidmatan digital boleh membuat tuntutan pembayaran balik daripada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (Kastam).

Menurutnya, perkhidmatan pendidikan jarak jauh bagi semua peringkat termasuk latihan profesional dan vokasional disediakan secara atas talian tidak dikategorikan sebagai perkhidmatan bercukai dan tidak dikenakan cukai perkhidmatan.

"Inisiatif sama juga dilaksanakan terhadap perkhidmatan atas talian seperti e-newspaper dan bahan bacaan berkaitan pendidikan, aspek teknikal, saintifik, serta mempunyai nilai sejarah atau budaya,"katanya.

Terdahulu, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng sewaktu membentangkan Belanjawan 2020 menjelaskan Cukai Perkhidmatan Digital dilaksanakan bagi memastikan satu ekosistem seimbang diwujudkan di mana tidak adil bagi penyedia perkhidmatan dalam negara dikenakan cukai, tetapi mereka di luar negara terlepas daripada pembayaran cukai.

Menurutnya, langkah kerajaan dalam mengenakan cukai perkhidmatan digital juga akan mewujudkan 'level playing field' atau pentas persaingan seimbang kepada syarikat tempatan.

"Pelaksanaan cukai digital sebanyak enam peratus kepada penyedia perkhidmatan digital asing di Malaysia dijangka berpotensi menjana RM449 juta kepada kerajaan," katanya.

Mana-mana penyedia perkhidmatan digital asing yang gagal berdaftar walaupun telah mencapai nilai ambang lebih RM500,000 setahun boleh didenda tidak melebihi RM30,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun.

Hukuman itu berdasarkan Seksyen 56C Akta Cukai Perkhidmatan 2018.

Ini kerajaan retorik guna air liur sahaja, jangan terlalu berharap – MIC

Kasthuri Jeevendran
 
Veeran


KUALA LUMPUR – Jelas sekali apabila bab bercakap retorik, kerajaan Pakatan Harapan (PH) memang menonjol.

Bagaimanapun apabila tiba masa untuk melaksanakan apa yang telah dijanjikan seperti yang terkandung dalam manifesto, mereka juga antara yang paling banyak membuat pusingan U atau terus ghaib.

Berikutan itu, Ahli Majlis Tertinggi MIC Pusat (CWC), Veeran Muniandy, tidak terkejut dengan pengumuman penangguhan Program Subsidi Petrol (PSP) yang sepatutnya bermula esok.

Kata Veeran yang juga Timbalan Ketua MIC Bahagian Taiping, kerajaan PH yang didominasi oleh pimpinan barisan pembangkang sejak lebih 60 tahun hanya tahu bercakap dan berjanji atas angin sahaja, untuk merealisasikannya adalah mustahil.

“PSP ini hanya satu daripadanya. Saya pasti semua janji-janji serta pelaksanaan inisiatif lain juga akan terbantut separuh jalan. Sudah hampir 20 bulan PH menerajui negara, apa hasilnya? Habuk pun tiada.

“Ingat lagi cerita kereta terbang yang kononnya Wawasan 2020 itu? Akhirnya hanya jadi bahan jenaka. PTPTN, Lynas, penempatan matrikulasi, pendidikan percuma, pemansuhan tol, mansuh GST ganti SST tapi harga tidak dapat diturunkan, malah lebih mahal lagi. Harga minyak?

“Lagi banyak rumah ibadat dirobohkan, lebih ramai yang ditangkap bawah Sosma sedangkan individu itu juga bantu kerajaan PH menang besar pada PRU lepas. Reformasi apa yang dapat dilakukan? Bagaimana pula dengan media? Banyak sangat syarikat tutup dan beribu sudah hilang kerja.

“Sebenarnya senarai ini panjang, kamu sendiri boleh sambung jika mahu.

“Banyak sangat janji tetapi tidak ada satu yang mampu mereka laksanakan. PSP ini untuk membantu golongan yang sangat memerlukan iaitu M40 dan B40. Apakah kerajaan tidak kasihan? Kamu sebenarnya telah hampakan mereka yang percayakan kamu.

“2019 juga sudah tutup tirai, tapi retorik kamu tidak berkesudahan wahai PH,” katanya.

Sementara itu, Veeran tertarik dengan ‘cerita’ baharu yang mengatakan kenderaan rasmi Menteri dan pegawai tinggi adalah Vellfire dan Honda.

“Saya tidak pasti tentang berita ini, jika benar, saya tidak tahu hendak cakap apa. Pencapaian entah ke mana tetapi keselesaan wakil rakyat ini lebih di utamakan daripada apa yang sepatutnya dilakukan untuk rakyat.

“Ada niat untuk lakukan potongan elaun kritikan tetapi elaun untuk para Menteri dianggap berbaloi. Bukankah kerajaan PH ini jauh lebih prihatin dengan rakyat jika hendak di bandingkan dengan kerajaan dahulu?

“Ingat lagi awal-awal tentang bagaimana para Menteri ini naik kelas ekonomi, naik bas dan segala macam gimik kononnya rakyat lagi penting. Apa sudah jadi kini? Keselesaan anda lebih utama bukan jadi rakyat bagaimana? Kena ikat perut begitu? Sudahlah,” ujarnya.

Veeran mendakwa kerajaan PH hanya layak dilabel sebagai ‘kaki kencing’ dan ‘kaki pusingan U’ kerana tidak ada apa-apa yang mampu mereka lakukan untuk rakyat.

“Paling-paling, mereka hanya boleh terus berjanji sakan seperti biasa. Seperti ucapan Tahun Baharu Setiausaha Agung DAP merangkap Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang menuntut kerajaannya sendiri untuk menunaikan segala janji kepada rakyat sebelum wujud rasa ragu lebih mendalam kelak.

“Selama 20 bulan ini anda tidak mampu berbuat apapun, cuma tuding jari sahaja. Kepada BN, kepada MIC, kepada MCA, UMNO dan banyak lagi. Saya pasti tuding jari ini akan berterusan.

“Hutang negara akan bertambah, ekonomi juga akan merudum apatah lagi adanya para Menteri bijak pandai dalam kabinet ketika ini, pelabur asing juga takut dan sudah mula melarikan diri ke negara lain.

“Tidak cukup itu, ada pula campur tangan kita dengan hal ehwal negara luar. Banyak sangat negara sudah menjauhkan diri dengan kita sebenarnya sejak PH ambil alih, tetapi kita terus disajikan dengan cerita-cerita dongeng oleh PH.

“Juga tidak lupa dengan pelbagai macam skandal pemimpin PH yang sehingga kini masih lagi belum diketahui statusnya. Janji bukan main sakan tetapi sehingga kini kerajaan belum bertindak. Semua kes masih samar-samar atau ghaib sahaja.

“Rakyat juga bukanlah seperti yang di sangka-sangka, pastinya ramai sudah membuka mata mereka, semoga pengajaran daripada ini akan memberikan mesej kepada semua supaya tidak terlalu teruja dengan janji retorik mahupun fitnah sesuka hati pada pilihan raya akan datang,” tegasnya. –MalaysiaGazette

Hishammudin mahu terus beri tekanan kepada PH

Wartawan MalaysiaGazette
MG211019_SIDANG-DEWAN-RAKYAT01-1
Hishammuddin Tun Hussein

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Hishammuddin Hussein bertekad mahu terus memberi tekanan kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada tahun depan.

Ahli Parlimen Sembrong itu berkata , ia merupakan visi peribadinya.

“Secara peribadi, visi saya untuk tahun 2020 ini ialah, saya mahu fokus terhadap usaha untuk memberi lebih tekanan kepada kerajaan PH agar membentangkan lebih banyak polisi yang menguntungkan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan sempena tahun baru hari ini.

Menurut Hishammuddin, untuk tahun 2020 beliau berharap matawang ringgit semakin kukuh, ekonomi negara semakin stabil, harga barang lebih berpatutan, harga komoditi meningkat, peluang pekerjaan khususnya untuk anak muda bertambah serta pelbagai lagi pencapaian yang menjamin kesejahteraan rakyat dan kemajuan negara.

“Saya percaya, seandainya semua pihak memainkan peranan masing-masing serta bijak membezakan antara kepentingan rakyat, kepentingan parti dan kepentingan peribadi, insyaAllah tahun 2020 akan menjadi tahun yang jauh lebih cemerlang daripada tahun ini dan tahun-tahun sebelumnya,” ujarnya.

Terdahulu, Hishammuddin berkata, sejak dari awal tahun, bukannya sedikit perbalahan dan polemik baru yang sebahagian besarnya berpunca daripada isu yang remeh temeh.

Lebih menyedihkan, ia bukan sahaja berlaku dalam Pakatan Harapan, tetapi juga dalam UMNO dan Barisan Nasional (BN).

“Kita seakan-akan lupa, sebahagian besar kita ialah pemimpin. Yang telah diamanahkan untuk berjuang serta berkhidmat dengan ikhlas, jujur, amanah dan bertanggungjawab demi jutaan rakyat di luar sana. Malangnya, segelintir kita lebih taksub, lebih ghairah dan lebih rela berbalah, asalkan agenda peribadi tercapai. Akhirnya, yang jadi mangsa ialah rakyat jua!

“Saya sendiri telah berjumpa dan berbicara dari hati ke hati dengan warga #SembrongKita serta masyarakat di kawasan-kawasan yang telah diadakan Pilihanraya Kecil (PRK). Sejujurnya, saya amat sedih mendengar luahan mereka yang ternyata sudah terlalu kecewa, marah dan lesu dengan situasi politik negara hari ini,” katanya lagi.

Justeru, jangan sesekali kita menganggap kemarahan rakyat sebagai petanda keyakinan mereka terhadap parti kita telah bertambah. Kita mesti sedar dan insaf, segelintir rakyat masih turut marahkan UMNO dan BN, katanya.

“Jadi, siapa pun kita dan apa jua jawatan serta peranan kita dalam parti, berusahalah sedaya upaya bagi meredakan kekecewaan serta kemarahan rakyat,” katanya.- MalaysiaGazette

Jeti Bagan Nakhoda Omar runtuh

Hamizar menunjukkan keadaan Jeti Nelayan BNO yang roboh pagi tadi.
 
SABAK BERNAM - Sebahagian struktur Jeti Nelayan Simpang Empat Bagan Nakhoda Omar (BNO) sepanjang kira-kira enam meter di sini runtuh pagi tadi.

Kejadian jam 9 pagi itu bagaimanapun tidak mengakibatkan sebarang kecederaan atau kehilangan nyawa dilaporkan.

Ahli Majlis, Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) Zon BNO-Air Manis, Mohd Fahrul Fuad Anuar berkata, pihak kerajaan negeri diminta tampil membantu mempercepatkan permohonan baik pulih jeti itu segera.

"Kami menggesa tindakan segera dilakukan bagi memudah dan mempercepatkan lagi kerja baik pulih jeti ini yang menjadi sumber rezeki kepada kira-kira 60 nelayan pesisir pantai di kawasan ini setiap kali turun ke laut," katanya.

Sementara itu, Penyelaras Pusat Khidmat Peduli Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Air Tawar, Hamizar Sulaiman berkata, beliau dimaklumkan Persatuan Nelayan BNO tentang kejadian runtuhan itu pagi tadi.

"Jeti ini runtuh dan didapati strukturnya tidak lagi selamat dan berharap kepada mana-mana agensi kerajaan segera menghulurkan bantuan bagi kerja baik pulih.

"Kita yakin kerajaan Pakatan Harapan yang memimpin negara pada hari ini sedia membantu menyelesaikan masalah rakyat," katanya.

Ibu hantar anak ke sekolah Tamil

 
Nurul Fadznie bersama anak sulungnya, Siti Nur Husna ketika orientasi tahun satu di SJKT, Karak pada Sabtu lalu.


BENTONG - Bagi memenuhi hasrat ibu mentua yang mahu cucu-cucunya menguasai pelbagai
bahasa mendorong Nurul Fadznie Ashikin Hairul, 27, mengambil keputusan menghantar anak sulungnya belajar di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT).

Nurul Fadzie Ashikin berkata, dia dan suaminya, Alifdin Latif, 28 dari Taman Perdana, Karak memilih untuk menghantar Siti Nur Husna Alifdin yang bakal memasuki tahun satu ke SJKT Karak.

"Saya dan suami tidak kisah anak belajar di SJKT kerana anak akan menguasai bahasa lain dan kelebihan komunikasi.

"Keputusan itu juga bagi memenuhi hasrat ibu mertuanya, Sharifah Ismail, 60, yang mahukan cucu-cucunya menguasai bahasa lain," katanya.

Dia berkata, anak saudaranya juga dihantar ke Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) demi memenuhi impian ibu mentuanya itu.

"Saya tahu sukar buat anak jika tiada asas bahasa Tamil. Jadi pada peringkat pra-sekolah lagi anak (Husna) telah dihantar ke tadika menggunakan bahasa pengantar Tamil sebagai persediaan awal.

"Memang di tadika, dia (Husna) satu-satunya pelajar Melayu dan di sekolah kali ini pun situasi sama," katanya.

Ditanya penerimaan Husna yang juga anak sulung daripada tiga beradik itu, dia memberitahu, anaknya gembira dan teruja serta tidak kekok belajar di sekolah Tamil dan bergaul dengan rakan- rakan berbangsa India.

"Ketika di tadika lagi, Husna mudah bergaul dan peramah dan kini sudah mampu berkomunikasi dalam bahasa Tamil walaupun masih belum fasih sepenuhnya.

"Buat masa ini saya dan suami tidak pernah mendengar kritikan atau kata-kata kurang enak dengan keputusan kami menghantar anak ke sekolah Tamil sebaliknya terima kata-kata positif dan rangsangan daripada ahli keluarga lain serta jiran-jiran," katanya.

Nurul Fadzie Ashikin berkata, dia juga merancang untuk menghantar dua anaknya lain ke sekolah berbeza sama ada aliran agama atau bahasa selain Tamil dan Cina agar masing- masing dapat menguasai kemahiran berlainan.