Pejabat
Perdana Menteri hari ini mengumumkan pemberian bantuan khas kewangan
sebanyak RM500 kepada penjawat awam dari Gred 56 dan ke bawah yang
berjumlah hampir 2 juta orang.
Pemberian itu adalah sempena persiapan sambutan Aidilfitri yang akan diraikan bulan depan.
“(Bayaran)
termasuk kepada kakitangan Contract Of Service, Contract For Service,
Pegawai Sambilan Harian serta lantikan di bawah MySTEP dan RM250 kepada
pesara kerajaan.
“Pemberian ini adalah bagi menghargai jasa dan
pengorbanan penjawat awam dalam menggalas tanggungjawab menyampaikan
perkhidmatan kepada rakyat terutamanya semasa negara mengharungi tempoh
yang penuh cabaran ini.
“Pembayaran bagi bantuan khas ini akan
dibuat bersama dengan pembayaran gaji bulan Mei iaitu pada 6 Mei ini,”
kata kenyataan itu.
Pejabat Perdana Menteri juga menyebut
pengumuman pemberian bantuan khas kewangan pada tahun ini dibuat lebih
awal daripada tahun-tahun sebelum atas keprihatinan kerajaan dalam
membantu mereka membuat persiapan awal menjelang Aidilfitri.
“Kerajaan
berharap dengan pemberian bantuan khas ini dapat meringankan beban
kewangan kepada penjawat awam dan pesara serta dijadikan sebagai
pemangkin kepada mereka untuk terus berkhidmat dengan penuh dedikasi,”
kata kenyataan itu.
Gambar
bersama Abdullah yang dikongsi Reezal Merican dalam satu hantaran FB
miliknya hari ini. Foto FB Reezal Merican Naina Merican
Kuala Lumpur: Bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi berada dalam keadaan sihat dan masih seperti dahulu.
Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican
berkata demikian selepas menziarahi Abdullah atau lebih mesra disapa Pak
Lah di rumahnya hari ini.
"Lazimnya saya akan menziarahi Ayahanda Tun Pak Lah dua kali sebulan.
Cuma sejak empat ke lima bulan lalu, saya tidak berkesempatan
melakukannya lantaran situasi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat
Covid-19.
"Ayahanda Tun Pak Lah sihat walafiat dan masih tetap seperti dulu.
Ada sahaja gurau senda beliau tatkala kami mengimbau memori dan kenangan
bersama.
"Semestinya juga perjalanan politik saya banyak dipandu dan dibentuk
oleh beliau. Malah saya mewarisi satu legasi yang cukup besar yang
dibina oleh beliau di Kepala Batas," katanya menerusi hantaran di
Facebook rasmi beliau, hari ini.
Baju yang dirampas polis berkaitan satu pertubuhan tidak berdaftar di Port Dickson pada 18 April lalu. Foto Ihsan PDRM
Port
Dickson: Lima lelaki yang disyaki menganggotai kumpulan haram atau
pertubuhan tidak berdaftar ditahan polis di Dataran Segar, Lukut pada 18
April lalu.
Ketua Polis Daerah Port Dickson Superintendan Aidi Sham Mohamed
berkata, pada mulanya sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah
(IPD) Port Dickson menahan seorang lelaki kerana disyaki menganggotai
pertubuhan tidak berdaftar pada 11.45 pagi.
"Penahanannya dibuat berdasarkan maklumat melalui gambar yang dimuat
naik oleh ahli kumpulan terbabit di media sosial sebagai memperingati
penubuhan kumpulan terbabit.
"Pada hari yang sama, sekumpulan individu tempatan dipercayai
mengadakan upacara pemotongan kek yang dihadiri beberapa ahli kumpulan
yang lain," katanya melalui satu kenyataan media hari ini.
Menurutnya, susulan itu polis menahan empat lagi lelaki dan kesemuanya berusia antara 30 hingga 58 tahun.
"Pihak polis masih dalam tindakan untuk mengesan beberapa orang lagi untuk melengkapkan siasatan.
"Kami merampas sehelai baju bercetak logo syiling bertindih dan lambang Nazi yang melambangkan kumpulan tersebut.
"Turut dirampas adalah dua telefon bimbit milik suspek yang memiliki
bukti upacara yang dijalankan oleh ahli kumpulan itu," katanya.
Aidi Sham berkata, semakan rekod lampau mendapati seorang daripada suspek itu mempunyai dua rekod jenayah.
"Mereka direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 52(3) Akta
Pertubuhan 1966 yang boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih lima
tahun atau denda tidak lebih RM15,000, jika disabitkan kesalahan.
"Pihak polis memandang serius terhadap sebarang pertubuhan yang tidak
berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) dan tindakan
tegas akan diambil terhadap mana-mana Individu yang berkaitan," ujarnya.
Menurutnya, orang ramai juga dinasihati agar tidak terbabit dengan
sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang atau menganggotai
mana-mana pertubuhan yang tidak diiktiraf.
Melaka:
Pelajar tahfiz berdepan detik cemas apabila perutnya tertusuk besi
kepala paip di Kampung Serkam Timur di sini, hari ini.
Ketika kejadian pada 8.40 malam itu, pelajar lelaki berusia 14 tahun
itu dipercayai ingin mengambil wuduk sebelum kakinya tersadung.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Merlimau Mohamad Faisal Fuad
berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 8.42 malam sebelum
tujuh anggota bergegas ke lokasi.
"Ketika pasukan bomba tiba, mangsa berada dalam keadaan stabil dengan
bahagian perutnya tertusuk kepala paip tembaga," katanya ketika
dihubungi.
Beliau berkata, pasukan bomba mengambil masa kira-kira lima minit untuk kerja pemotongan sebahagian besi kepala paip itu.
"Kerja pemotongan menggunakan pemotong hidraulik sebelum mangsa
diserahkan kepada pasukan perubatan untuk dikejarkan ke hospital bagi
menerima rawatan.
"Operasi menyelamat mangsa tamat pada 9.36 malam," katanya.
Seorang pekerja hospital di Itali mendapat bayaran gaji penuh meskipun ponteng kerja sejak 2005. - Getty
CATANZARO,
Itali – Seorang lelaki mendapat gelaran “Raja Ponteng” apabila tidak
pernah hadir bekerja selama 15 tahun namun masih berjaya mendapatkan
gaji bulanannya, lapor akhbar Daily Star, kelmarin.
Lelaki itu mula ponteng kerja di
Hospital Pugliese Ciaccio sejak 2005 dan perbuatannya itu dikatakan
memecahkan rekod kebangsaan tidak datang bekerja di Itali.
Polis memaklumkan pekerja hospital
itu masih menerima gaji bulanan selama 15 tahun itu yang berjumlah
dibayar gaji bulanan berjumlah £464,000 (RM2.7 juta) walaupun tidak
datang bekerja setiap hari sepanjang tempoh itu.
Suspek berusia 67 tahun itu kini berdepan tuduhan penyalahgunaan pejabat, pemalsuan dan peras ugut yang serius.
Enam pengurus di hospital itu turut disiasat kerana disyaki berperanan untuk membantu suspek mengelak hadir bekerja.
Dikatakan orang yang tidak datang bekerja adalah masalah di sektor awam Itali.
Siasatan yang diberi nama Part Time
menyaksikan polis mengumpulkan bukti daripada rekod gaji, laporan
kehadiran dan bercakap dengan saksi seperti rakan sekerja.
Pada 2005, lelaki itu didakwa telah
mengugut pengarah hospital ketika itu daripada membuat laporan disiplin
berhubung ketidakhadirannya.
Tidak lama kemudian, pengarah itu
bersara dan kegiatan ponteng suspek terus berleluasa kerana tiada
pegawai daripada pihak pengurusan hospital memeriksa laporan kehadiran
bekerja suspek.
Pada 2016, kerajaan Itali memperketat
undang-undang terhadap mereka yang gemar ponteng kerja selepas beberapa
siasatan polis berprofil tinggi mengetahui sebilangan besar masalah
berkenaan berlaku di sektor awam. – Agensi
Jonathan
Tan Tee Hoe diburu polis selepas dikenalpasti terlibat dalam sebaran
video mempromosikan aktiviti perjudian online yang tular di laman sosial
baru-baru ini.
KUALA
LUMPUR – Seorang lelaki kini menjadi buruan pihak Polis Diraja Malaysia
selepas dikenal pasti terlibat dalam sebaran video mempromosikan
aktiviti perjudian online yang tular di laman sosial baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal
Abdullah berkata, suspek yang dikehendaki dikenali sebagai Jonathan Tan
Tee Hoe dan berusia 34 tahun.
“Suspek ini dikehendaki bersabit siasatan melibatkan satu kes di
bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan
Multimedia (AKMM) dan Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953
kerana terlibat dalam sebaran video mempromosikan perjudian online yang
viral di laman sosial.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menghubungi
Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan Zairil Hazly Zulkifli di talian
017-458 9997 atau boleh juga menghubungi mana-mana balai polis
berhampiran,” katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini. – K!
ONLINE
Keadaan
dua unit kediaman di sebuah kondominium yang dijilat api dalam satu
kebakaran di Bukit OUG Condo, Bandar Bukit Jalil hari ini.
KUALA
LUMPUR – Dua unit kediaman di sebuah kondominium musnah dijilat api
dalam satu kebakaran di Bukit OUG Condo, Jalan 4/155, Bandar Bukit Jalil
di sini hari ini.
Komander Operasi Kanan, Pegawai Bomba Mohamad Hafidz Yaacob berkata,
pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 9.14 malam sebelum
mengejarkan anggota ke lokasi kejadian.
“Sebanyak empat jentera dan sebuah lori tangki dengan kekuatan
seramai 45 anggota dari Balai Polis dan Penyelamat (BBP) Bukit Jalil
dibantu BBP Jalan Hang Tuah, BBP Sri Petaling dan BBP Seputeh telah
digerakkan ke lokasi bagi melakukan pemadaman.
“Setibanya di lokasi, anggota bertugas mendapati kebakaran melibatkan dua unit kondominium di tingkat 12 bangunan tersebut.
“Rumah pertama dianggarkan mengalami kemusnahan sebanyak 90 peratus
manakala rumah kedua pula terbakar 60 peratus,” katanya menerusi satu
kenyataan di sini hari ini.
Menurut Mohamad Hafidz, anggota bertugas kemudiannya memulakan
operasi pemadaman kebakaran dengan menggunakan teknik ‘attacking’ dan
‘offensive fire fighting’ sebelum api dapat dikawal.
“Kebakaran dapat dikawal pada pukul 10.10 malam dan berjaya dipadamkan sepenuhnya pada pukul 10.31 malam.
“Kejadian tidak melibatkan sebarang mangsa dan punca kebakaran masih dalam siasatan,” ujar beliau. – K! ONLINE
Kecederaan yang dialami murid tahun tiga sebuah sekolah di Kuala Kedah didakwa akibat dipukul guru.
ALOR SETAR –
Seorang ibu membuat laporan polis mendakwa anak lelakinya yang
merupakan murid tahun tiga sebuah sekolah di Kuala Kedah di sini
mengalami kecederaan akibat dipukul guru.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat
Akhir memberitahu, wanita berusia 32 tahun itu membuat laporan berhubung
kejadian pada pukul 4.36 petang ini.
“Pengadu mendakwa dia menyedari kecederaan dialami anaknya yang
berusia sembilan tahun ketika mahu menjemputnya pulang dari sekolah
kira-kira pukul 1 tengah hari tadi.
“Kecederaan melibatkan bahagian lengan sebelah kiri, jari kiri dan muka sebelah kiri anaknya,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, mangsa kemudian mendakwa seorang guru memukulnya menggunakan pembaris kerana tidak menyiapkan kerja sekolah.
“Proses siasatan masih dijalankan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan,” tambahnya. – K! ONLINE
MOHD.
Zawawi (tengah) bersama Muhammad Zikril Azan (kiri) menunjukkan harga
barang terkawal sewaktu Walkabout Perlaksanaan Skim Harga Maksimum musim
perayaan 2021 di Pusat Membeli Belah AEON Shah Alam Selangor pada hari
ini. UTUSAN/ZULFADHLI ZAKI
SHAH
ALAM: Kerajaan negeri masih menunggu laporan berhubung aduan
membabitkan penduduk di Graham Garden, Eco Grandeur, Bandar Puncak Alam,
Kuala Selangor kelmarin.
Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam,
Pengguna dan Industri Halal negeri, Mohd. Zawawi Ahmad Mughni berkata,
buat masa ini, pihaknya telah meminta wakil rakyat di situ untuk
mengadakan dialog bersama penduduk di situ untuk mencari jalan
penyelesaian.
Menurutnya, isu tersebut tidak
seharusnya timbul memandangkan terdapat garis panduan pada 2017 yang
membenarkan surau dan masjid melaungkan azan menggunakan pembesar suara
di Selangor.
“Saya mendapat aduan ini menerusi
media sosial. Kita hidup dalam keadaan masyarakat berbilang kaum dan
seharusnya hal seperti ini dibincangkan oleh penduduk.
“Perkara ini seharusnya tidak
dihebohkan sehingga boleh menyebabkan salah faham dan akhirnya
membuatkan orang awam membincangkannya secara di luar konteks,” katanya.
Mohd. Zawawi berkata demikian
berhubung isu penduduk Graham Garden, Eco Grandeur, Bandar Puncak Alam
yang mengatakan pihak surau tidak boleh azan menggunakan pembesar suara
di kawasan itu yang diterima oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)
Jeram, Mohd. Shaid Rosli.
Penduduk mendakwa, sekiranya pihak
surau mahu menggunakan pembesar suara, mereka perlu menunggu mesyuarat
yang diadakan bagi membincangkan kebenaran azan menggunakan pembesar
suara.
Terdahulu, Mohd. Zawawi hadir ke sesi walkabout Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Aidilfitri 2021 di Aeon Mall, Seksyen 13 di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Selangor, Muhamad Zikril Azan Abdullah.
Pada masa sama, Mohd. Zawawi
mengingatkan para peniaga di negeri itu agar mematuhi peraturan di bawah
skim SHMMP ini bagi mengelak tindakan tegas dikenakan terhadap mereka.-
UTUSAN ONLINE
KUALA
TERENGGANU: Sebanyak 52 notis dikeluarkan kepada peniaga bazar Ramadan
di negeri ini atas pelbagai kesalahan membabitkan kompaun sebanyak
RM5,450.
Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Nor
Azimi Yunus berkata, jumlah tertinggi melibatkan daerah Besut dengan 14
notis diikuti Marang (12), Setiu (sembilan), Kuala Nerus (tujuh), Kuala
Terengganu (tiga), Dungun (tiga), Kemaman (tiga) dan Hulu Terengganu
(satu).
Katanya, kesemua notis berkenaan
dikeluarkan mengikut Seksyen 32B Akta Makanan 1983 kerana kesalahan yang
melanggar Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 (PPKM).
“31 notis membabitkan kesalahan tidak
memakai apron manakala 11 notis lagi ialah peniaga atau pekerja tidak
mengikuti kursus pengendalian makanan, kebersihan diri yang tidak
memuaskan (lapan) dan lain-lain kesalahan (dua),” katanya ketika
dihubungi pemberita di sini hari ini.
Menurut Nor Azimi, operasi yang
dijalankan itu dalam masa sama bertujuan mencegah kejadian penyakit
bawaan makanan seperti keracunan makanan, kolera dan kepialu.
Katanya, pemantauan akan diteruskan
sehingga akhir Ramadan dan sampel makanan yang dijual turut diambil
secara rawak bagi memastikan tahap keselamatan hidangan.
“Orang ramai turut diingatkan agar
sentiasa memilih gerai jualan yang bersih, makanan yang bertutup di
samping menggunakan kaedah hidu dan rasa sebelum membeli juadah,”
katanya.- UTUSAN ONLINE
ZAHIDI Zainul Abidin melawat makmal komputer pada Program Jelajah
Pembudayaan Literasi dan Khidmat Komuniti Masyarakat Orang Asli Dalam
Norma Baharu di Perkampungan Orang Asli, Kampung Jeram Kedah, Ulu
Beranang, Seremban hari ini. - UTUSAN/MUHAMMAD IZZAT TERMIZIE.
SEREMBAN:
Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin
menyokong jika ada cadangan daripada kerajaan untuk menyekat pengguna
media sosial yang menjadikan platform tersebut bagi mencerca institusi
diraja dan pemimpin negara serta mengeruhkan hubungan antara kaum.
Tindakan sekatan tersebut jelas beliau adalah sebagai usaha mendidik terutama dalam kalangan generasi muda.
“Apa salahnya kita hentikan, kalau mengutuk pemimpin, mengutuk
raja-raja Melayu, mengutuk antara kaum, memang kita sekat lah, saya
sokong untuk menyekat untuk mendidik terutama anak muda.
“Kita ada internet, ICT dan sebagainya untuk kebaikan, kalau dapat
kepada mereka yang mahu mengutuk sahaja , untuk apa? baik kita sekat,”
katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program
Jelajah Pembudayaan Literasi ICT dan Khidmat Komuniti Masyarakat Orang
Asli Dalam Norma Baharu di Perkampungan Orang Asli Kampung Jeram Padang,
Ulu Beranang dekat sini hari ini.
Zahidi Zainul yang juga Ahli Parlimen Padang Besar menambah, pengguna
media sosial di negara ini masih bebas berbanding negara-negara lain
meskipun cercaan mereka membabitkan perkara yang tidak sewajarnya.
“Saya akan cadang sekat, kalau di luar negara ini kalau kamu kutuk
kerajaan sahaja, sebulan dia sekat, padam terus. Masalah sekarang ini,
kita nak komen, tapi kita kutuk kepada yang tidak sepatutnya, orang muda
ini, raja pun dia kutuk, pemimpin pun dia kutuk, kalau ada orang mati,
bukannya simpati,” katanya lagi.
Sementara itu, jelasnya, penganjuran Program Jelajah Pembudayaan
Literasi ICT dan Khidmat Komuniti Masyarakat Orang Asli Dalam Norma
Baharu adalah bertujuan untuk mempertingkatkan pengetahuan ilmu ICT
dalam kalangan masyarakat tersebut supaya tidak ketinggalan dengan
masyarakat lain.
“Di sini merupakan lokasi pertama bagi program ini dan ia akan
diperluaskan ke seluruh negara, bukan hanya perkampungan orang Asli
tidak di kawasan luar bandar yang lain.
“Kalau boleh juga kita mahu program ini diadakan bersama dengan
program (penerangan) vaksin. Kalau Kementerian Kesihatan boleh turun
juga bagi memberikan pengetahuan mengenai pemberian vaksin juga kerana
ketika ini masyarakat orang Asli masih lagi takut mengenai vaksin,”
katanya. – UTUSAN ONLINE
KOTA BHARU:
Jabatan Kesihatan negeri akan membuka satu lagi Pusat Kuarantin dan
Rawatan Covid-19 (PKRC) khas bagi menempatkan pesakit kluster
pendidikan, iaitu kumpulan pelajar sekolah yang disahkan positif
pandemik itu.
Pengarah kesihatan negeri, Datuk Dr. Zaini Hussin berkata, PKRC
ketujuh dibuka di Kelantan itu susulan bilangan katil yang hampir penuh
akibat peningkatan kes Covid-19 secara mendadak di negeri ini.
“Kita telah mengadakan perbincangan dengan Jabatan Pendidikan Negeri
(JPN) untuk menjadikan asrama sekolah sebagai PKRC khas bagi menempatkan
pelajar yang disahkan positif dari seluruh Kelantan.
“PKRC berkenaan membabitkan sebuah sekolah menengah di Salor dan ia akan dibuka hari ini atau selewat-lewatnya esok.
“Pelajar lelaki dan perempuan turut akan ditempatkan di lokasi
berkenaan membabitkan dua blok berasingan” katanya selepas menghadiri
Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri (JKKN) di sini hari ini.
Kes harian positif Covid-19 di Kelantan hari ini mencecah 662 kes,
tertinggi di negara ini mengatasi Selangor 633 dan Sarawak 474.
Media sebelum ini melaporkan, Kelantan merekodkan tujuh kluster
pendidikan membabitkan 464 individu positif Covid-19 membabitkan guru,
kakitangan dan pelajar.
Mengulas lanjut, Dr. Zaini berkata, PKRC baharu berkenaan mampu menampung 300 pesakit dalam satu masa.
Dalam perkembangan lain, Dr Zaini berkata, suntikan vaksin fasa dua
yang bermula hari ini membabitkan 120 warga emas yang berusia 60 tahun
ke atas dan berisiko berjalan lancar. – UTUSAN ONLINE
MELAKA:
Jabatan Kesihatan negeri tidak akan mengecualikan pihak pengurusan
sekolah dan akan mengenakan tindakan kompaun sekiranya mendapati berlaku
pengabaian prosedur operasi standard (SOP) sehingga menyebabkan
peningkatan kes Covid-19.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Datuk Rahmad
Mariman berkata, ia susulan berlaku peningkatan kes positif dalam
kalangan pelajar termasuk kejadian 37 pelajar kolej vokasional yang
disahkan positif Covid-19, semalam.
Katanya, daripada jumlah tersebut, 18 pelajar adalah kontak rapat kes
import B, iaitu seorang pelajar lelaki yang bergejala dan pulang ke
institusi pengajian itu dari kawasan zon merah.
“Semalam, kita merekodkan peningkatan 63 kes, dengan 37 kes daripada
Kluster Pengkalan Batik, iaitu kes di kolej berkenaan yang berpunca dari
kes import B.
“Kesemua pelajar berusia 16 hingga 17 tahun itu disahkan positif
disebabkan pergaulan rapat di asrama tanpa mempratikkan prosedur operasi
standard SOP, ” katanya ketika sidang akhbar di Jawatankuasa
Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Ayer Molek
di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau memberitahu, hari ini sebuah kelas di Sekolah
Kebangsaan (SK) Bertam turut diarahkan tutup serta-merta selepas salah
seorang murid didapati positif Covid-19 hasil ujian Kit Ujian Rapid
Antigen (RTK-Ag).
“Kita telah mengarahkan kesemua 38 murid kelas tersebut pulang ke
rumah masing-masing dan pihak Jabatan Kesihatan masih menunggu keputusan
calitan Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction
(RT-PCR) murid terbabit.
“Murid terbabit dikesan positif ketika sedang mendapatkan rawatan di
Hospital Melaka dan punca jangkitan masih dalam siasatan sama ada ia
melibatkan kes import B atau tidak,” jelasnya.
Ujarnya lagi, tindakan kompaun terhadap sekolah itu akan diambil
seperti mana dikenakan terhadap individu atau pihak-pihak lain sekiranya
didapati berlaku pengabaian SOP.
“Ini bukan satu tindakan berat sebelah atau sebagainya, tetapi
berdasarkan peruntukan undang-undang bagi mengekang penularan pandemik
Covid-19 di negeri ini khususnya, apatah lagi berpunca daripada kes
import B.
“Pada 20 April lalu, 19 kes positif direkodkan di negeri ini dan 15
kes adalah kontak rapat kes import B. Perkara ini amat membimbangkan
kerana kita lihat kebanyakan kes positif yang berlaku di negeri ini
berpunca daripada kes import B,” katanya. – UTUSAN ONLINE
GEORGETOWN:
Universiti Sains Malaysia (USM) di sini menduduki tempat ke-39 dalam
penarafan atau ranking impak global Times Higher Education (THE) 2021
dalam pelaksanaan amalan kelestarian.
Di peringkat Asean, USM secara keseluruhannya menduduki tangga kedua
dalam penarafan ranking itu dan kelima di Asia di belakang Chulalongkorn
University, Thailand (23 dunia).
Ini berdasarkan pengumuman terbaharu oleh badan berkenaan yang
dikeluarkan kelmarin membabitkan lebih 1,200 institusi di 98 negara dan
rantau di seluruh dunia.
Kedudukan tersebut merupakan yang tertinggi di antara kesemua
institusi pengajian tinggi negara ini setelah melonjak dari kedudukan 65
tahun lalu.
USM dalam kenyataan di sini hari ini berkata, pencapaian terbaharu
itu semakin mengukuhkan kedudukan universiti berkenaan sebagai antara
institusi terbaik dunia dalam menyelesaikan cabaran globalisasi
berkaitan kemanusiaan.
“Selain berada di kedudukan 50 teratas dalam ranking keseluruhan, USM
juga menunjukkan prestasi yang membanggakan iaitu di kedudukan kelapan
sunia untuk SDG16 (Keamanan, Keadilan dan Institusi yang Kukuh),”
demikian menurut kenyataan itu.
Antara universiti terkenal lain yang tersenarai dalam ranking
terbaharu itu adalah King Abdulaziz University, Arab Saudi (46); Trinity
College Dublin, Republik Ireland (57); University of Liverpool, United
Kingdom (72); Massachusetts Institute of Technology, Amerika Syarikat
(76) dan Deakin University, Australia (79).
Ini adalah tahun ketiga berturut-turut USM menyertai Ranking Impak
THE yang menilai pelbagai usaha berkaitan kelestarian yang dilakukan
oleh universiti di seluruh dunia.
University of Manchester, United Kingdom berada pada kedudukan
pertama keseluruhan sementara kedudukan 10 teratas dikuasai oleh
universiti dari Australia. – UTUSAN ONLINE
PETALING
JAYA: Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Azizah Mohd. Dun
mengarahkan siasatan dijalankan berhubung dakwaan mengatakan sebuah
sekolah melakukan ‘pemeriksaan datang bulan’ terhadap pelajar perempuan
bagi mengenal pasti mereka yang ponteng solat dan puasa.
Beliau berkata, Mara memandang serius dakwaan tersebut kerana ia melibatkan pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).
Katanya lagi, Mara tidak berkompromi dengan sebarang salah laku
melibatkan anggota kerjanya demi keselamatan pelajar di Institusi
Pendidikan Mara.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang didapati terbabit
mengikut peruntukan peraturan sedia ada demi memastikan persekitaran
pembelajaran yang kondusif, selamat dan bebas daripada sebarang ancaman
termasuk gangguan seksual, eksploitasi wanita dan kanak-kanak.
“Mara juga akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa
untuk memastikan imej dan kredibiliti Institusi Pendidikan Mara (IPMA)
sentiasa terpelihara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, Kementerian Pendidikan dan Mara digesa untuk menyiasat dakwaan penderaan dan gangguan seksual guru kepada pelajar.
All Women’s Action Society (AWAM), Sisters In Islam (SIS) dan
Pertubuhan Pembangunan Kendiri Wanita dan Gadis (WOMEN:girls)
menyifatkan dakwaan alat sulit pelajar diperiksa bagi memastikan tiada
barangan larangan dibawa adalah satu perkara yang membimbangkan. –
UTUSAN ONLINE
TIGA laras 'pump gun’ yang dirampas polis di Hospital Alor Gajah, Melaka. - UTUSAN/DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
ALOR
GAJAH: Polis menahan dua pengawal keselamatan selepas dipercayai
menyimpan tiga laras ‘pump gun’ di tempat yang tidak diwartakan di
Hospital Alor Gajah di sini.
Kedua-dua suspek berusia 30 dan 34
tahun itu ditahan kira-kira pukul 5 petang oleh sepasukan polis dari
Bahagian Perlesenan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, semalam.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah,
Superintendan Arshad Abu berkata, hasil pemantauan, pasukan tersebut
telah membuat pemeriksaan di ruang memunggah barang hospital dan
menjumpai tiga laras ‘pump gun’ milik syarikat keselamatan berkenaan.
“Syarikat keselamatan berdaftar itu
didapati telah melanggar syarat lesen iaitu tiga laras senjata api telah
disimpan di tempat yang tidak diwartakan.
“Susulan itu, kita telah menahan dua pengawal keselamatan untuk membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Tambahnya, dalam pemeriksaan itu
juga, polis merampas ketiga-tiga senjata tersebut bersama 30 butir
peluru 12 bore, sebuah van syarikat keselamatan, tiga sarung senjata
warna hitam dan tiga kotak peluru.
Jelasnya, kes disiasat di bawah
Seksyen 8 (B) Akta Senjata 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara
tujuh tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua duanya sekali,
jika sabit kesalahan. – UTUSAN ONLINE
Mohamad Amirul Hakim, pelajar Malaysia di Sudan. - Gambar FB Mohamad Amirul
BOLEH umat Islam di negara kita amat beruntung. Ini kerana tempoh
menjalani puasa tidak terlalu lama dan juga sentiasa berada dalam
keadaan yang selesa sama ada di rumah, pejabat atau sekolah.
Bagaimanapun, bagi rakyat Malaysia yang di perantauan, terutama para
pelajar, mereka perlu menjalani ibadat puasa dalam suasana persekitaran
budaya berbeza dan ia menjadi satu cabaran besar apatah lagi ketika
dunia bergelut dengan pandemik COVID-19.
Misalnya, bagi mereka yang berpuasa di benua Afrika, keadaannya
sangat mencabar kerana cuaca panas yang mencecah 41 darjah Celsius
ketika ini dan perlu menjalani ibadah itu bagi tempoh 15 hingga 16 jam
sehari.
Pelajar tahun dua Universiti Antarabangsa Afrika di Sudan, Muhammad
Amirul Hakim, 20, berkata mengharungi cuaca panas serta tempoh berpuasa
yang panjang merupakan cabaran utama sepanjang Ramadan sekali gus
memberikan pengalaman manis dan pahit.
“Puasa di benua Afrika cepat letih, cepat dahaga. Kalau sebelum ini
di Sudan, musim puasa lagi meriah daripada sambutan Aidilfitri.
Masyarakat di Sudan selalu mengajak buka puasa di rumah ataupun di
kawasan lapang tanpa mengira bangsa dan kaum.
“Solat Tarawih juga tidak semeriah dulu sebab prosedur operasi
standard (SOP) COVID-19,” kata pelajar Jurusan Syariah dan Undang-Undang
itu kepada Bernama melalui interaksi di laman Facebook hari ini.
Amirul juga berkongsi pengalaman kawasan didiaminya tiada bekalan
elektrik pada waktu siang berikutan arahan kerajaan Sudan dan ini
menyukarkan mereka untuk melakukan aktiviti pada sebelah pagi termasuk
bersahur.
Bernama.com melaporkan, sementara di Sweden pula, Rini Sabir Massgard
berkata pada tahun ini, beliau dan keluarganya berpuasa selama 17 jam
berikutan musim bunga di negara itu.
“Siang semakin panjang. Bangun sahur pada 1 pagi dan berbuka pada
8.30 malam. Namun masih boleh urus kerana sekarang bekerja dari rumah
dan cuaca tidak panas sangat. Cuma menunggu untuk waktu berbuka puasa
sangat lama,” kata beliau yang sudah lapan tahun menetap di negara itu.
Pengurus Kumpulan sebuah syarikat swasta itu menjelaskan bahawa
berpuasa sewaktu pandemik tiada beza, cuma orang ramai digalakkan supaya
tidak berkumpul melebihi lapan orang.
Katanya suasana Ramadan di barat tidak mempunyai sebarang perbezaan
dengan hari biasa dan tiada penganjuran Bazar Ramadan mahupun Solat
Tarawih seperti di Malaysia.
Nur Hananie Azhar, yang merupakan pelajar jurusan Syariah Universiti
Al al-Bayt di Mafraq, Jordan pula berkata beliau mampu menunaikan ibadat
puasa dengan sempurna walaupun terpaksa menjalani perintah berkurung
pada setiap Jumaat.
Pelajar berusia 19 tahun itu berkongsi bahawa berpuasa selama 15 jam
dengan cuaca panas yang mencecah suhu 35 darjah Celsius tidak melemahkan
semangatnya untuk meneruskan ibadat mulia tersebut.
“Cabaran ketika ini ialah kami tidak dapat menunaikan solat fardu mahupun tarawih di masjid berikutan pandemik.
“Tiada Bazar Ramadan dan sambutan Aidilfitri juga kurang meriah
kerana rakyat Jordan menyambut Hari Raya Haji dengan meriah,” katanya.
Umat Islam di Sudan, Sweden dan Jordan mula berpuasa pada 13 April lepas sama seperti di Malaysia.
Tular di media sosial pertengkaran antara suspek dengan penghantar makanan sejak semalam./ Gambar media sosial
BANYAK dilema jadi rider sama ada penghantar makanan atau kurier.
Salah satunya, sudah sampai depan rumah pelanggan tetapi selepas beberapa minit, pintu tak dibuka-buka.
Sedangkan, ekosistem kerja semuanya berdasarkan komisen yang bermakna masa itu emas.
Maka sebab itu kadang-kadang berlakulah insiden ‘luahan rasa’ terhadap sikap pelanggan.
Bagaimanapun, ini boleh menyebabkan terjadi kes lain antara rider dan pelanggan seperti mana yang sering tular di media sosial.
Dan terbaharu semalam, seorang penganggur ditahan kerana disyaki
memukul penghantar makanan dalam kejadian di pekarangan sebuah
pangsapuri di Bayan Lepas.
Kejadian itu menyebabkan mangsa menerima sembilan jahitan di kepala akibat dipukul dengan penukul besi.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong
berkata, terdahulu ketika kejadian, mangsa yang juga lelaki berusia 40
tahun menghantar makanan yang ditempah seorang wanita iaitu pada 4.10
petang.
Sebaik tiba, penghantar makanan terbabit menunggu lama pelanggannya itu di lokasi bagi menyerahkan makanan.
“Penghantar makanan itu menghubungi wanita berkenaan berkali-kali
bagi memaklumkan bahawa dia sudah tiba di lokasi namun panggilan tidak
dijawab.
“Wanita terbabit datang bagi mengambil makanan 10 minit kemudian sebelum penghantar makanan berkenaan beredar pulang,” katanya.
Soffian berkata, kira-kira 20 minit kemudian, mangsa berusia 31 tahun
dihubungi suspek yang juga suami wanita itu, kononnya mahu memulangkan
semula makanan.
Ketika tiba di perkarangan rumah suspek, berlaku pertengkaran antara pengganggur itu dengan mangsa.
“Suspek menuduh mangsa memarahi isterinya berkaitan penghantaran makanan dan berlaku pertengkaran antara kedua-duanya.
“Suspek kemudian dipercayai memukul kepala mangsa dengan menggunakan penukul besi,” katanya.
Susulan laporan polis yang dibuat mangsa, Soffian berkata, suspek ditahan di rumahnya pada 11.15 malam tadi.
“Turut dirampas ialah penukul besi yang digunakan sebagai senjata
bagi memukul mangsa. Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan
dan permohonan reman akan dibuat ke atas suspek bagi membolehkan
siasatan lanjut dijalankan,” katanya.
Pasukan bomba memadamkan kebakaran pada bangunan panggung lama yang terbakar, awal pagi tadi. NSTP/Foto ihsan Bomba
SEREMBAN:
Sebuah bangunan lama yang pernah menjadi lokasi panggung opera sekitar
tahun 1910 di Jalan Dr Krishnan di sini, musnah dalam kebakaran, awal
pagi tadi.
Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa berlaku dalam kebakaran kira-kira jam 4 pagi itu.
Ketua Balai Bomba Seremban, Mohammad Idris, berkata pasukan anggota
dari dua balai bomba iaitu Balai Bomba Seremban dan balai bantuan dari
Seremban 2, digerakkan ke lokasi sebaik menerima panggilan pada jam 4.08
pagi dan tiba 10 minit kemudian.
"Kebakaran membabitkan lima unit bangunan kedai dua tingkat yang berukuran 24X70 kaki persegi setiap satu lot.
"Ketika operasi pemadaman, bangunan lama berkenaan kosong dan musnah 100 peratus.
"Operasi pemadaman tamat jam 8.40 pagi. Punca kejadian masih dalam siasatan," katanya di sini, hari ini.
KUALA
LUMPUR: Seorang duda anak enam dijatuhi hukuman gantung sampai mati
oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah mengedar
149.5 gram dadah jenis methamphetamine, tiga tahun lalu.
Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Azhar Abdul Hamid menjatuhkan hukuman itu
ke atas Shahfary Sabri, 47, selepas mahkamah berpuas hati tiada
keraguan munasabah yang ditimbulkan oleh pihak pembelaan.
Shahfary dituduh mengedar dadah itu di sebuah bilik hotel, di sini,
pada 19 Oktober 2018, mengikut Seksyen 38B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya
1952 dan dihukum di bawah Seksyen 39B (2) akta sama, yang membawa
hukuman gantung sampai mati.
Dalam prosiding perbicaraan sebelum ini, mahkamah diberitahu bahawa
tertuduh ditahan pihak polis di kawasan lobi hotel sebelum dibawa naik
ke sebuah bilik hotel itu untuk pemeriksaan lanjut.
Siasatan polis menemukan dadah dibungkus di dalam sebuah plastik
hitam bertulis perkataan 'Thank You' di celah pinggang seluar tertuduh.
Lima saksi pendakwaan dan satu saksi pembelaan iaitu tertuduh memberi
keterangan pada perbicaraan yang bermula pada 3 September 2020.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Annur Atiqah Abd Hadi,
manakala tertuduh diwakili peguam Haris Salleh Hamzah. – BERNAMA
Pemandu
lawan arus meninggal duniaKereta jenis Toyota Corola Atlis dinaiki tiga
beranak remuk teruk selepas bertembung dengan kereta jenis Honda City
yang dipandu secara melawan arus dalam nahas di KM13.0 Lebuhraya
Lingkaran Luar (LLB) arah Bagan Ajam, Rabu minggu lalu. - NSTP/ Ihsan
PDRM
BUTTERWORTH:
Lelaki yang memandu secara melawan arus hingga bertembung dengan
kenderaan dinaiki tiga beranak di Kilometer (KM) 13.0 Lebuhraya
Lingkaran Luar Butterworth (LLB) arah Bagan Ajam di sini minggu lalu,
dilaporkan meninggal dunia tengah malam tadi.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy
Mohd Noor, berkata lelaki berusia 43 tahun itu disahkan meninggal dunia
pada jam 12.30 tengah malam selepas seminggu menerima rawatan di unit
rawatan rapi (ICU) Hospital Seberang Jaya (HSJ).
"Berdasarkan laporan bedah siasat, punca kematian disebabkan
kecederaan parah dan kegagalan pelbagai organ berfungsi susulan impak
kemalangan berkenaan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Dalam kejadian jam 8.20 malam Rabu minggu lalu, lelaki itu yang
memandu kereta jenis Honda City secara melawan arus merempuh sebuah
kereta Toyota Corolla Altis dinaiki tiga beranak dan sebuah motosikal.
Nahas menyebabkan penumpang wanita berusia 31 tahun dalam Toyota
Corolla Altis itu meninggal dunia selepas dua hari menerima rawatan di
HSJ.
Suami dan anak wanita itu dipindahkan ke sebuah hospital swasta di Georgetown untuk rawatan lanjut.
Penunggang dan pembonceng motosikal yang terbabit dalam kejadian itu tidak mengalami kecederaan.
Noorzainy berkata, pemandu kereta dilanggar berusia 35 tahun itu
dilaporkan stabil manakala anak perempuannya berusia tiga tahun sudah
dibenarkan keluar wad.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Alexander (dua kanan) mengadakan tinjauan pematuhan peniaga sempena SHMMP di Presint 9 Putrajaya. - Foto NSTP/Samadi Ahmad
PUTRAJAYA:
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP)
memberi jaminan bekalan ayam mencukupi walaupun selepas Aidilfitri.
Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata pengguna
tidak perlu bimbang kerana kementerian sudah mengadakan perbincangan
dengan beberapa pengeluar ayam terbesar dan mereka memberi jaminan
bekalan mencukupi.
"Semalam saya menghubungi seorang pengusaha ladang ternakan ayam
terbesar dan beliau memberi jaminan bekalan mencukupi bagi memenuhi
permintaan pasaran.
"Oleh kerana bekalan ayam mencukupi tiada alasan bagi pengusaha dan
peniaga untuk tidak mematuhi harga (siling) ayam yang ditetapkan dalam
Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) yang berkuatkuasa semalam,"
katanya selepas mengadakan tinjauan terhadap pematuhan peniaga sempena
SHMMP di MyFarm Outlet Presint 9 hari ini.
Mengenai rungutan peniaga ayam yang tidak berpuas hati dengan harga
siling RM7.90 sekilogram bagi ayam standard di bawah SHMMP kerana
didakwa tidak menguntungkan mereka, Nanta berkata, pihaknya telah
mendapatkan nasihat daripada pelbagai pihak sebelum membuat penetapan
harga.
Harga ayam dan telur telah ditetapkan dari peringkat ladang dan
tidak sepatutnya peniaga atau peruncit berdepan dengan masalah harga
tinggi apabila membeli dari pemborong.
"Di seluruh negara, 12 item dalam SHMMP Hari Raya Puasa 2021, dari
runcit ke borong mesti ikut harga yang kami tetapkan di setiap
peringkat. Sebab itu peruncit ini tak sepatutnya kehilangan margin atau
keuntungan mereka kerana kami sudah teliti dengan mendalam dan pastikan
peniaga tidak sepatutnya terjejas," katanya.
Alexander (dua kanan) mengadakan tinjauan pematuhan peniaga sempena SHMMP di Presint 9 Putrajaya. - Foto NSTP/Samadi Ahmad
SHMMP 2021 selama 30 hari dilancarkan di seluruh negara bermula
semalam, iaitu 22 hari sebelum Aidilfitri, 1 Syawal dan tujuh hari
selepas itu. Skim ini membabitkan 12 jenis barangan keperluan utama
dalam empat kategori ayam, telur ayam, daging dan hasil laut bagi
pelaksanaan fasa pertama berdasarkan Akta Kawalan Harga dan
Antipencatutan 2011.
Alexander berkata, pada hari pertama pelaksanaan SHMMP, KPDNHEP
menerima dua aduan berkenaan kenaikan harga ayam dan pada peringkat
awal, pihaknya mengambil pendekatan menasihati peniaga supaya mematuhi
skim yang ditetapkan.
Mengenai desakan sesetengah pengusaha daging tempatan yang mahu
harga siling dikaji semula, beliau berkata, kementerian tidak berhasrat
mengkaji semula harga siling semua 12 item di bawah SHMMP itu kerana
harga yang ditetapkan telah dipersetujui pihak berkepentingan seperti
pemain industri dan kementerian berkaitan.
"Buat masa sekarang saya belum nak buat perubahan (harga siling).
Saya berharap semua pihak jangan mempolitikkan hal ini. Kita nak jaga
semua bukan nak menganiaya mana-mana pihak. Kami jaga pengguna dan
peniaga juga," katanya.
Alexander berkata, kerajaan juga hanya menetapkan harga siling
untuk bahagian tertentu daging dan bukan keseluruhan lembu, jadi peniaga
bebas untuk menjual bahagian lain lembu pada harga yang difikirkan
sesuai.
Dalam pada itu, beliau berkata pelaksanaan SHMMP Hari Raya Puasa
2021 adalah tepat pada waktunya. Ada yang kata KPDNHEP terlalu lambat
melaksanakan skim itu.
"Bukan lambat, tapi kami pantau dulu dan buat libat urus dengan
semua pihak. Selepas seminggu memang kami letakkan strategi sepertimana
sedia maklum, ia dibuat secara berperingkat iaitu hanya 12 item dahulu
yang merangkumi daging, ayam, telur dan ikan.
"Bagi sayur masih belum ditetapkan lagi harga siling kerana buat
masa sekarang belum ada indikator yang menunjukkan harga sayur yang
biasanya dikawal sudah naik harga," katanya.
Orang
ramai mengunjungi Jalan Tuanku Abdul Rahman untuk membeli belah sempena
persiapan sambutan Aidilfitri di Jalan Tuanku Abdul Rahman di Kuala
Lumpur. - Foto fail NSTP
KUALA
LUMPUR: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam
(CUEPACS) memohon kerajaan mempertimbang pemberian bantuan khas kewangan
bersempena Aidilfitri kepada semua penjawat awam dan pesara kerajaan.
Presidennya, Adnan Mat, berkata secara tradisi kerajaan setiap tahun
akan memberi sejumlah bantuan khusus untuk penjawat awam dan juga pesara
kerajaan bagi membeli barangan keperluan sebagai persiapan menyambut
Aidilfitri.
Beliau berkata, pemberian bantuan kewangan Aidilfitri itu perlu
diteruskan sebagai tanda penghargaan kepada semua penjawat awam
disamping meringankan beban mereka.
"Pemberian ini juga wajar diberi memandangkan kali terakhir penjawat
awam menerima bonus adalah pada 2012 dan selepas itu hanya bantuan khas
kewangan sahaja diterima.
"CUEPACS sudah menghantar surat kepada Perdana Menteri (Tan Sri
Muhyiddin Yassin) mengenai perkara ini dan terpulang kepada pertimbangan
(Perdana Menteri) untuk meluluskan permintaan berkenaan," katanya dalam
kenyataan, hari ini.
Adnan berkata, CUEPACS pada masa sama berharap kerajaan negeri turut
memberi bantuan khas kewangan Aidilfitri kepada penjawat awam yang
bertugas di peringkat negeri termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT),
badan berkanun dan syarikat berkaitan kerajaan negeri.
Ketika ini, katanya, hanya kerajaan Johor yang bersetuju memberikan
bantuan khas kewangan Aidilfitri kepada penjawat awam di negeri itu.
"CUEPACS mengucapkan terima kasih di atas keprihatinan kerajaan Johor
dan berharap ia diikuti oleh kerajaan Persekutuan dan lain-lain
kerajaan negeri," katanya.
Pada masa sama, Adnan berharap semua pihak berlapang dada dan tidak
mempertikaikan jika kerajaan bersetuju memberikan bantuan Aidilfitri
kepada penjawat awam.
Kerajaan, katanya, adalah majikan kepada penjawat awam justeru tidak
menjadi kesalahan untuk golongan itu meminta bantuan daripada majikan
sendiri.
"Daripada aspek lebih luas, pemberian bantuan khas kewangan ini
secara tidak langsung turut memberi impak yang positif kepada ekonomi
dan rakyat apabila wang tersebut beredar di pasaran.
"Ia pasti dibelanjakan bagi membeli barangan keperluan dan
memanfaatkan peniaga kecil, pasar raya besar dan sektor ekonomi yang
lain," katanya.
Jabatan
Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Johor menahan
kontena yang membawa masuk 'Frozen Pork Belly' seberat 27 tan di
Pelabuhan Tanjung Pelepas, Johor Bahru.NSTP/Ihsan MAQIS Johor
JOHOR
BAHRU: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS)
Johor menahan kontena yang membawa masuk 'Frozen Pork Belly' seberat 27
tan di Pelabuhan Tanjung Pelepas, di sini.
Pengarah MAQIS Johor, Hizzuan Hasim, berkata produk bernilai
RM315,520 itu dibawa masuk dari Denmark sebelum ditahan pihaknya yang
menjalankan pemeriksaan kira-kira jam 10.30 pagi, kelmarin.
Katanya, hasil pemeriksaan lanjut, kontena itu didapati membawa produk seberat 27,200 kilogram (kg).
"Hasil pemeriksan mendapati 'seal' pada kontena terbabit tidak sama
seperti dalam 'bill of lading' yang dikemukakan kepada pegawai penguasa
MAQIS.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 13 Akta Perkhidmatan Kuarantin dan
Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) kerana melakukan pengisytiharan
yang mengelirukan pihak berkuasa.
"Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau
dipenjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya," katanya dalam
kenyataan hari ini.
Beliau berkata, bagi kesalahan kedua atau berikutnya, jika sabit
kesalahan, boleh didenda tidak lebih RM75,000 atau dipenjara tidak lebih
lima tahun atau kedua-duanya.
Katanya, semua pengimport dan pengeksport diingatkan supaya mengikut
peraturan ditetapkan kerajaan bagi memastikan kawalan penyakit haiwan,
ikan, tumbuhan serta jaminan keselamatan makanan Malaysia, terpelihara.
Chung
Chee Yang (depan) dan Choo Hin Voon (belakang) diiringi pegawai polis
untuk didakwa ke Mahkamah Majistret, Klang atas lima pertuduhan
berhubung kes dua pengawal peribadi dipukul dan diacu pistol kerana
berpuasa. - NSTP/MUHD ASYRAF SAWAL
KLANG:
Majikan kepada dua pengawal peribadi yang diugut dengan pistol dan
dipukul kerana berpuasa bersama pembantunya, didakwa di Mahkamah
Majistret di sini, hari ini.
Ahli perniagaan, Chung Chee Yang, 43, didakwa dengan lima pertuduhan
manakala pembantunya, Choo Hin Voon, 43, berdepan dua pertuduhan.
Untuk pertuduhan pertama, Chee Yang didakwa menakutkan secara jenayah
terhadap Mohd Azminizam Zulkepli, 44, dengan ugutan ingin menyebabkan
kecederaan parah sambil mengacukan pistol ke arah mangsa.
Dia dituduh melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 506 Kanun
Keseksaan yang jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara sehingga
tujuh tahun dan denda atau kedua-duanya sekali.
Tertuduh turut menghadapi dua pertuduhan bersubahat bersama Hin Voon
dengan mengarahkannya mencederakan Ahmad Shamsuri Zailani, 27, dan Mohd
Azminizam menggunakan rotan.
Untuk itu, dia didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dan
dibaca bersama Seksyen 324 kanun sama yang memperuntukkan hukuman
penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua
daripada hukuman itu bagi setiap pertuduhan.
Tertuduh juga didakwa mengeluarkan kenyataan dengan niat yang
disengajakan untuk melukakan perasaan keagamaan terhadap Mohd Azminizam
dan Ahmad Shamsuri.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 298 Kanun
Keseksaan yang jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara setahun atau
denda atau kedua-duanya sekali.
Dia juga didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana sengaja
menyebabkan kecederaan ke atas Mohd Azminizam yang memperuntukkan
hukuman penjara setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya
sekali.
Hin Voon pula didakwa dengan dua pertuduhan kerana menyebabkan kecederaan terhadap Mohd Azminizam dan Ahmad Shamsuri.
Bagi setiap pertuduhan, dia didakwa melakukan kesalahan mengikut
Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga 10
tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu.
Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di luar halaman
rumah No 2A Lorong 9L, Jalan Batu Nilam, Bandar Bukit Tinggi di sini,
antara jam 10.30 hingga 11.30 malam, 13 April lalu.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Ashyraf Ashy'ari
Kamaruzaman dan Mohd Fakhrurazi Ahmad di hadapan Majistret P Sarulatha.
Kedua-dua tertuduh diwakili peguam, Jacky Loi dan Abdul Hakeem Aiman.
Terdahulu, Ashyraf Ashy'ari memohon mahkamah mengena ikat jamin
RM200,000 bagi setiap pertuduhan terhadap Chee Yang dan RM100,000 bagi
setiap pertuduhan ke atas Hin Voon, selain kedua-dua tertuduh perlu
menyerahkan pasport kepada mahkamah serta melaporkan diri di balai
polis.
Bagaimanapun, peguam tertuduh merayu jumlah ikat jamin itu
dikurangkan kerana kedua-duanya perlu menyara keluarga selain menjaga
ibu bapa yang sakit.
Sarulatha bagaimanapun mengarahkan tertuduh pertama membayar RM50,000
untuk semua lima pertuduhan manakala tertuduh kedua dikenakan ikat
jamin RM20,000.
Mahkamah menetapkan 23 Jun ini sebagai tarikh sebutan semula kes.
Bazar Ramadan Bukit Nyamuk, Kuala Nerang, ditutup hari ini. NSTP/Foto ihsan MDPT
PADANG
TERAP: "Kami terkejut diberi notis arahan penutupan bazar Ramadan
kira-kira jam 4 petang semalam. Perasaan kecewa tak dapat saya gambarkan
kerana ketika Ramadan inilah kami mahu cari duit lebih," kata Norazira
Azizan, 39.
Peniaga bazar Ramadan Bukit Nyamuk, Kuala Nerang di sini, berkata dia
sudah membuat persiapan membeli barang berniaga hari ini, namun
terpaksa akur dengan arahan Majlis Daerah Padang Terap (MDPT) semalam.
Katanya, dia menyediakan buku pendaftaran dan alat pengesan suhu di
gerainya, namun tidak menafikan ada peniaga tidak mengikut prosedur
operasi standard (SOP) termasuk membawa kanak-kanak ketika berniaga.
"Penganjur menyediakan meja pendaftaran dan saringan suhu di satu
tempat sahaja, sepatutnya ada dua meja dan ada tali laluan keluar masuk.
"Saya sudah berniaga di sini sejak lebih 10 tahun lalu. Tahun lalu
semua tak dapat berniaga kerana arahan kerajaan, jadi tahun ini saya
memang berharap rezeki lebih, tetapi apakan daya, tak ada rezeki nak
berniaga di sini lagi," katanya yang menjual bihun sup dan murtabak di
bazar berkenaan.
Malam tadi, media melaporkan bazar Ramadan Bukit Nyamuk, Kuala
Nerang, menjadi bazar pertama di negeri ini diarah tutup berkuat kuasa
hari ini.
Yang Dipertua MDPT, Datuk Md Shuhaime Abd Rahman, berkata arahan
penutupan bazar itu dibuat selepas pihaknya mengesan ketidakpatuhan
arahan ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Peniaga ayam bakar, Mohd Azam Mustafa, 30, berkata sumber
pendapatannya terjejas berikutan arahan penutupan operasi di bazar
berkenaan.
Katanya, dia tidak menerima sebarang nasihat atau amaran pematuhan
SOP terlebih dahulu sebelum notis arahan penutupan operasi bazar dibuat
semalam.
"Saya memang terkilan kerana dapat notis tutup begitu sahaja tanpa
amaran terlebih dahulu. Modal sudah banyak dikeluarkan untuk berniaga di
sini.
"Setiap tahun bazar di sini mendapat sambutan daripada penduduk
sekitar, apabila sudah terlalu ramai pengunjung abaikan SOP, sukar nak
kawal kecuali penganjur dan MDPT bekerjasama untuk kawal dan pantau di
sini setiap petang," katanya.
Bapa kepada tiga anak ini berkata sekiranya dia terpaksa berniaga di
gerai asalnya, pendapatan yang diperoleh tidak akan sama berniaga di
bazar berkenaan.
Justeru, dia sangat berharap pihak MDPT dapat mempertimbangkan semula
supaya peniaga terus dapat berniaga di bazar berkenaan dengan
pemantauan ketat daripada penguat kuasa.
Difahamkan penganjur dan beberapa peniaga mengadakan pertemuan dengan
Md Shuhaime di pejabat daerah berkenaan hari ini bagi membuat rayuan
untuk beroperasi semula.
PUTRAJAYA:
Selepas tujuh jajahan di Kelantan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan
(PKP) sejak 16 Julai lalu, kini baki tiga lagi jajahan di negeri itu
dilaksanakan PKP mulai esok melibatkan Jajahan Jeli, Kuala Krai dan Gua
Musang, sekali gus seluruh Kelantan kini telah berada dalam perintah
itu.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata,
ia susulan peningkatan kes positif Covid-19 secara mendadak di negeri
itu termasuk tiga lagi jajahan.
Sebelum itu, PKP sudah dilaksanakan di Jajahan Kota Bharu, Pasir Mas,
Tumpat, Bachok, Tanah Merah, Pasir Puteh dan Machang selama dua minggu
sehingga 29 April ini, namun berlaku peningkatan kes aktif sebanyak 83.9
peratus di baki tiga jajahan dalam tempoh 14 hari lalu daripada 18 kes
kepada 112 kes.
Justeru katanya, setelah dibuat penilaian risiko dengan pelbagai
agensi, kerajaan bersetuju melaksanakan PKP di tiga jajahan itu dan akan
berakhir serentak dengan tujuh jajahan lain.
“Pelaksanaan PKP ini jelas beliau, untuk mengawal pergerakan penduduk
di setiap jajahan bagi mengelakkan berlaku penularan jangkitan baharu
wabak Covid-19 ke kawasan lain pula,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Ismail Sabri memaklumkan, tiga taman perumahan di
Daerah Lahad Datu, Bahagian Tawau, Sabah dikenakan PKP Diperketatkan
(PKPD) bermula esok hingga 5 Mei ini melibatkan Taman Aman 3, Taman Aman
Jaya dan Taman Palm Height yang secara keseluruhan sebanyak 45 kes
positif sudah direkodkan di tiga lokaliti tersebut.
Kementerian Kesihatan ujar beliau, melaporkan penularan kes dalam
kalangan penghuni taman berkenaan dan kebanyakan kes baharu pandemik itu
membabitkan jangkitan serumah.
Dalam pada itu, katanya, PKPD di Perumahan Komuniti Bersepadu Pulau
Serai, Daerah Pekan, Pahang yang dijadualkan tamat esok akan dilanjutkan
lagi sehingga 29 April susulan masih berlaku penularan berterusan dalam
kalangan penduduk dan terdapat 47 sampel daripada 545 ujian saringan
dilaksanakan sedang menunggu keputusan makmal.
Bagaimanapun, beliau turut memaklumkan PKPD di Kampung Menuang Baru,
Bahagian Limbang, Sarawak bakal ditamatkan seperti dijadualkan pada 24
April ini.
“Keputusan makmal untuk proses saringan kedua didapati kesemuanya
adalah negatif dan tiada lagi sampel saringan baharu yang masih menunggu
keputusan,” katanya. – UTUSAN ONLINE
ANGGOTA
polis Unit Pemusnah Bom (UPB) memeriksa sebahagian peluru mortar yang
ditemui di tapak pembinaan projek perumahan SP Saujana Fasa 6, Sungai
Petani, semalam.
SUNGAI
PETANI: Sebanyak dua butir bom mortar dan 77 peluru meriam dipercayai
tinggalan zaman Perang Dunia Kedua ditemukan di tapak projek perumahan
SP Saujana Fasa 6 di sini, petang semalam.
Bahan letupan itu ditemukan pekerja kontrak yang melakukan kerja-kerja mengorek tanah kira-kira pukul 5.58 petang.
Mereka kemudian melaporkan penemuan itu kepada polis.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah
berkata, sepasukan anggota polis kemudian bergegas ke lokasi tersebut
sebelum mendapati terdapat bom mortar dan peluru meriam yang dipercayai
masih aktif.
“Bom mortar itu dianggarkan seberat kira-kira 225 kilogram (kg)
dengan panjang 1.3 meter (m) dan ukur lilit 1.15 m,” katanya di sini
hari ini.
Menurut Adzli, peluru meriam jenis Artillery pula berukuran 42.5 sentimeter (cm) dengan ukur lilit 30 cm.
“Kedua-dua bahan letupan itu diselaputi lumpur dan berkarat,” ujarnya.
Menurut beliau, Unit Pemusnah Bom (UPB) Ibu Pejabat Polis Kontinjen
(IPK) Kedah kemudiannya telah mengambil bom dan peluru meriam itu untuk
disimpan sementara di Rumah Magazin, Balai Bukit Selambau untuk tujuan
penyiasatan.
Tambahnya, selepas siasatan selesai, bom mortar dan peluru meriam itu akan diletupkan untuk tujuan pemusnahan. – UTUSAN ONLINE
SEORANG
lelaki yang juga pelanggan restoran berkenaan ditahan penguat kuasa
JAIM di Bukit Baru, Melaka. - UTUSAN DIYANATUL/ATIQAH ZAKARYA
MELAKA:
Tindakan seorang peniaga nasi campur menyediakan khidmat pesanan pandu
lalu kepada umat Islam yang tidak berpuasa berjaya dihidu penguat kuasa
apabila ditahan dalam serbuan Op Tak Puasa, di Bukit Baru di sini,
semalam.
Dalam operasi kira-kira pukul 1 petang itu, peniaga berusia 62 tahun
itu dicekup Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) bersama-sama seorang
pelanggan berusia 53 tahun.
Pengarahnya, Datuk Che Sukri Che Mat berkata, hasil pemeriksaan,
peniaga tersebut didapati menjual nasi campur pelbagai lauk dan air
minuman yang telah siap dibungkus untuk dibeli secara pandu lalu oleh
pelanggan.
Beliau berkata, peniaga tersebut pada awalnya menafikan menjual
makanan kepada umat Islam, namun, mengaku setelah salah seorang
pelanggannya ditahan ketika menunggu pesanan makanannya siap.
“Pegawai Penguatkuasa Agama (PPA) telah melakukan penyamaran berjaya
mengesan aktiviti membeli makanan secara pandu lalu di sebuah restoran
di Bukit Baru.
“Ketika serbuan dijalankan, beberapa pelanggan telah melarikan diri
meninggalkan restoran tersebut dan kita hanya berjaya menahan seorang
lelaki yang merokok di kawasan itu,” katanya ketika dihubungi Utusan
Malaysia.
Mengulas lanjut, beliau berkata, hasil soal siasat, lelaki berusia 53
tahun itu memberitahu berada di kawasan itu bagi menunggu makanannya
siap, dan alasan tidak berdaya untuk berpuasa disebabkan menghidap
kencing manis.
“Bagaimanapun, kita lihat alasan diberikan tidak relevan dengan tindakannya yang menghisap rokok di tempat awam.
“Peniaga tersebut kemudian diberikan surat perintah hadir bagi
membantu siasatan mengikut Seksyen 49 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri
Melaka 1991,” ujarnya.
Jelasnya, sabit kesalahan, warga emas itu boleh dikenakan hukuman denda maksimum RM1,000 atau penjara sehingga enam bulan.
Tambahnya, pelanggan tersebut yang melakukan kesalahan merokok pada
waktu siang di bulan Ramadan dikenakan tindakan mengikut Seksyen 49
Enakmen Kesalahan Syariah (Negeri Melaka) 1991, yang memperuntukkan
hukuman denda maksimum RM500 atau dipenjara sehingga tiga bulan.
Katanya, pihaknya akan terus melakukan pemantauan dan rondaan secara
berkala pada waktu siang sepanjang bulan ini di lokasi-lokasi ‘panas’
yang dikesan di negeri ini.
“Umat Islam di Melaka juga diingatkan agar terus memelihara kesucian
agama dan tidak mencemarkannya serta menghormati bulan yang mulia dan
penuh keberkatan ini,” katanya. -UTUSAN ONLINE
RAE
Morn Verak (kanan) melakukan pemantauan di bazar Ramadan di Pekarangan
Stadium Darul Aman di sini hari ini. - UTUSAN/NUR ANATI JUHARI
ALOR SETAR:
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP)
Kedah mendapati banyak peniaga di bazar Ramadan di negeri ini gagal
mempamerkan tanda harga di gerai mereka.
Pengarahnya, Rae Morn Verak berkata, pihaknya sebelum ini selalu
mengeluarkan arahan supaya mempamerkan tanda harga makanan, minuman dan
barangan yang dijual bagi mengelakkan daripada dikenakan tindakan.
Bagaimanapun, menurutnya, sejak pemeriksaan dilakukan pada 13 April
lalu, tiada kompaun yang dikeluarkan terhadap peniaga bazar Ramadan di
negeri ini.
Katanya, pihak KPNDHEP akan beri masa kepada mereka untuk pamer tanda
harga dan sekiranya masih gagal berbuat demikian, tindakan susulan akan
diambil.
“KPDNHEP negeri akan terus menjalankan pemantauan di semua bazar
Ramadan, bazar Hari Raya dan lokasi tumpuan yang lain bagi semakan harga
serta memantau pematuhan prosuder operasi standard (SOP),” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan pemantauan di bazar Ramadan di Pekarangan Stadium Darul Aman di sini hari ini.
Rae Morn berkata, pihaknya juga menjalankan Penguatkuassan Prihatin
yang dilancarkan pada 5 Mac lalu bagi membantu peniaga dari kumpulan
sasar yang terkesan akibat pandemik wabak Covid-19.
“Kita ingin mendapatkan maklum balas daripada peniaga untuk
mengetahui apa yang boleh kita bantu selain turut memberikan nasihat dan
rundingan kepada mereka yang terjejas,” katanya. -UTUSAN ONLINE
MELAKA:
Kolej Vokasional Datuk Seri Mohd. Zain (KVDSMZ) Alor Gajah dekat sini
ditutup serta-merta selama dua minggu bermula hari ini selepas 37
pelajarnya disahkan positif Covid-19.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Datuk Rahmad
Mariman berkata, pada 16 April lalu pihak Jabatan Kesihatan negeri telah
menerima notifikasi berhubung hasil saringan dilakukan seorang pelajar
kolej tersebut yang bergejala dan didapati positif.
Beliau berkata, virus itu tular selepas pelajar tersebut yang dari kawasan zon merah pulang ke pusat pengajian terbabit.
“Berikutan itu, saringan segera ke atas 196 orang kontak rapat kepada
kes positif tersebut yang melibatkan rakan kolej dan guru telah
dijalankan.
“Sehingga hari ini, hasil saringan mengesahkan terdapat 37 pelajar
kolej positif Covid-19. Semua pelajar yang positif telah diasingkan dan
dirujuk untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan.
Tambahnya, kesemua kontak rapat yang disaring telah diberikan arahan kuarantin dan dipakaikan gelang kuarantin.
“Susulan terdapat pertambahan kes hari ini, penilaian seterusnya
telah mengenal pasti seramai 430 kontak rapat kepada kes-kes positif
yang lain dan saringan Covid-19 akan dijalankan dalam masa terdekat oleh
pihak kesihatan.
“Penutupan sementara KVDSMZ bermula hari ini sehingga 4 Mei depan.
Pemantauan berterusan bagi kontak rapat kes-kes positif di blok terlibat
akan diteruskan,” jelasnya.
Ujarnya lagi, proses disinfeksi premis telah dijalankan dengan
kerjasama pasukan bomba dan semua pihak sedang mengambil langkah-langkah
sewajarnya bagi mengekang penularan virus tersebut. -UTUSAN ONLINE
PETALING
JAYA: Seorang pegawai kanan berpangkat Asisten Superintenden Polis (ASP)
ditahan bagi membantu siasatan berhubung kumpulan jenayah terancang
diketuai ahli perniagaan Datuk Seri Nicky Liow Soon Hee.
Pegawai berusia 40 tahun dan memegang jawatan sebagai ketua bahagian
di salah satu jabatan di sebuah Ibu Pejabat Polis Daerah di Kuala Lumpur
itu ditahan kira-kira pukul 11.30 malam tadi oleh sepasukan pegawai dan
anggota dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor Bahru.
Mendedahkan kepada Utusan Malaysia, sumber memberitahu, suspek kemudian dibawa ke IPK Johor untuk siasatan lanjut.
Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur , Datuk Azmi Abu Kassim ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu.
Pada 15 April lalu, Utusan Malaysia mendedahkan Deputi Superintenden
Polis (DSP) dan ASP antara kira-kira 34 nama anggota dan pegawai polis
yang telah dikenal pasti menjadi tali barut kumpulan jenayah terancang
Geng Nicky.- UTUSAN ONLINE
JEMPOL:
Polis membuka kertas siasatan berhubung kejadian surat sepucuk surat
bertulisan tangan yang dihantar ke Masjid Jamek Bahau dengan isi
kandungan surat yang antaranya mengaitkan kehadiran jemaah ke masjid
menjadi punca kes positif Covid-19 meningkat.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook berkata,
kandungan surat itu tular dalam media sosial sejak pukul 10.30 pagi ini
dan ia turut mengaitkan seorang pemilik restoran di Bahau dekat sini.
“Pihak jawatan kuasa masjid telah membuat laporan polis supaya
siasatan dapat dijalankan. Laporan polis dari pemilik restoran berkenaan
menafikan dakwaan penglibatannya.
“Polis telah mengambil keterangan kedua-dua pihak berkenaan bagi
menjalankan siasatan lanjut dan kertas siasatan akan dibuka dibawah
Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia
dan Seksyen 298 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Hari ini tular sepucuk surat bertulisan tangan dengan isi
kandungannya mempersoalkan bunyi kuat di masjid setiap hari dan ramai
orang berkumpul di masjid yang menjadi punca peningkatan kes Covid-19.
Sementara itu, Chang Hook berkata, susulan kejadian berkenaan,
pihaknya menasihatkan kepada orang ramai supaya tidak melakukan apa-apa
tindakan yang boleh menganggu ketenteraman awam serta tidak mengambil
tindakan menyalahi undang-undang. – UTUSAN ONLINE
Beriya dekati orang Islam melalui pemberian zakat dilihat meloyakan
BANGI
– Rakyat diingatkan supaya tidak tertipu dengan ‘topeng’ kebaikan yang
dipakai parti tamak haloba, DAP melalui pemberian bantuan khususnya pada
bulan Ramadan.
Apatah lagi, parti berkenaan sangat sinonim dengan perjuangan liberal demokratik dan menolak agama Islam.
Maka, semua
bantuan yang diberikan oleh pemimpin parti rasis itu hanyalah muslihat
untuk menarik minat orang kepada mereka, kata Naib Presiden (Biro
Dakwah) Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Mohd Noor Azib Asmangi.
“Berapa
banyak kenyataan yang keluar daripada mulut mereka sebelum ini telah
menghina agama Islam dan mempertikaikan undang-undang Islam.
“Kita harap
agar masyarakat tidak tertipu dengan topeng kebaikan yang dipakai. Itu
semua hanya muslihat untuk menarik minat orang kepada mereka,” katanya
dalam kenyataan, hari ini.
Beliau
berkata demikian susulan tular program pengagihan baucer zakat oleh Ahli
Parlimen DAP (Batu Kawan), Kasthuri Patto, baru-baru ini.
Mengulas
perkara itu, Mohd Noor Azib menyifatkan tindakan pemimpin DAP yang
beriya-iya mendekati umat Islam melalui pemberian zakat sebagai sesuatu
yang meloyakan.
“Sebelum ini
heboh kononnya mulia benar seorang pemimpin DAP memberikan bantuan
motosikal dan juadah berbuka puasa kepada seorang anak muda.
“Sedangkan beribu lagi bantuan yang sama atau lebih baik yang disalurkan oleh individu atau badan agama sendiri.
“Pendek
kata, orang nak bagi kita terima. Tapi jangan sesekali terpedaya dengan
kata-kata manis dan muslihat politik mereka,” katanya.