Sabtu, 15 Mei 2021

Kematian Haziq akibat jantung, tiada bukti kaitan vaksin – KKM

Kematian Haziq akibat masalah saluran jantung seperti dimaklumkan pakar forensik KKM./ Gambar FB KBS

MASALAH besar di Malaysia adalah penyebaran cerita yang bukan-bukan sampai mendahului pihak berkuasa.

Ini seperti berita kematian mengejut pemanah negara, Haziq Kamaruddin awal pagi semalam.

Atlet Olimpik berusia 27 tahun itu rebah selepas selesai subuh dan sepantas kilat juga di media sosial ada yang cuba mengaitkan dengan vaksin yang diterima Allahyarham.

Hari ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menegaskan hingga kini tiada bukti menunjukkan bahawa kematian Haziq berkait langsung dengan vaksinasi COVID-19.

Sebaliknya kenyataan KKM yang memetik Ketua Perkhidmatan Perubatan Forensinya, Datuk Dr Zahari Noor, kematian Haziq adalah disebabkan komplikasi salur darah jantung tersumbat akibat daripada perubahan arterosklerosis.

“Proses bedah siasat selesai dilakukan setelah ujian calitan COVID-19 yang diambil menunjukkan keputusan negatif bagi virus tersebut.

“Hasil bedah siasat menunjukkan kepada kematian disebabkan komplikasi salur darah jantung tersumbat akibat daripada perubahan arterosklerosis.

“Walau bagaimanapun, siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk menunggu beberapa keputusan analisis makmal,” kata Pakar Perunding Kanan Perubatan Forensik itu.

Haziq pernah mewakili negara ke Sukan Olimpik London 2012 dan Rio 2016 dan sedang memburu tempat untuk ke Olimpik Tokyo tahun ini.

Allahyarham dilaporkan rebah di rumahnya pada kira-kira jam 8 pagi semalam, sebelum dikejarkan ke Hospital Kajang dan disahkan meninggal dunia pada 9.37 pagi.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Taman Koperasi Serkam Darat, Merlimau, Melaka pada 1.40 pagi tadi selepas selesai dibedah siasat di Hospital Kajang malam tadi.

Haziq antara lebih 200 atlet dan pegawai yang terlibat dalam persediaan ke Sukan Olimpik dan Paralimpik Tokyo yang melengkapkan dos suntikan vaksin Pfizer-BioNTech pada 4 Mei lalu.

Sepanjang sedekad mewakili negara, Haziq pernah meraih pingat emas pada Grand Prix Asia 2011 di Laos dan gangsa Piala Asia 2019 di Filipina.

Allahyarham juga meraih empat emas dan dua perak menerusi acara individu dan berpasukan di Sukan SEA sejak edisi 2011 hingga 2019.

Kejadian tular polis masuk beraya kini dalam siasatan

Tangkap layar satu hantaran mengenai kejadian polis masuk beraya tular sejak malam tadi./ Gambar media sosial

SEJAK malam tadi tular gambar beberapa anggota polis lengkap berpakaian seragam menikmati hidangan raya di meja makan.

Lebih jadi perhatian, anggota terlibat asalnya membuat pemeriksaan di rumah berkenaan berhubung kepatuhan larangan ziarah Aidilfitri yang menjadi SOP PKP 3.0.

Dilaporkan, ini setelah mereka mendapati ada beberapa kereta di rumah tersebut yang terletak di Shah Alam.

Dan yang memuat naik kisah berkenaan ialah tuan rumah itu sendiri sebelum dipadam di media sosial kemudiannya.Namun, satu laporan polis telah dibuat kejadian berkenaan.

Polis Daerah Shah Alam dalam satu kenyataan memaklumkan, kertas siasatan dibuka terhadap kejadian seperti dalam gambar yang tular di media sosial itu.

Ia melibatkan bekas pegawai kanan polis yang didakwa melanggar SOP PKP.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, pemilik akaun Facebook tersebut telah bersara pada tahun 2007 dengan jawatan terakhirnya ialah Timbalan Pengarah di Bukit Aman.

“Berdasarkan gambar yang dimuat naik di Facebook, kelihatan enam orang anggota polis dilihat sedang menikmati juadah dan gambar tersebut dipercayai dirakam pada hari raya pertama.

“Siasatan kini dijalankan di bawah Per.17 P.U (A) 225/2021 (Melanggar SOP PKP).

“Jika sabit kesalahan boleh dikenakan kompaun sebanyak RM2,000 ke atas pengunjung dan RM 10,000 kepada pemilik rumah.

DISYORKAN UNTUK ANDA:

 MEDAN BERITA POLITIK DALAM KEMBAR BLOG  ' AR RISALAH '

Diarah berhenti main, polis pula dilontar mercun

Ketua Polis Daerah Sentul, Beh Eng Lai./ Gambar fail dari FB IPD Sentul 2 Mac lalu.

EMPAT lagi individu terdiri daripada remaja belasan tahun ditahan susulan kes melontar mercun ke arah polis yang meminta mereka menghentikan aktiviti bermain mercun.

Kejadian tersebut berlaku Khamis lalu di Pangsapuri Sri Perak, ibu negara.

Berikutan itu, lapan individu ditahan setakat ini dengan terbaru empat lagi ditahan semalam.

Kesemua suspek yang terdiri daripada pelajar sekolah berusia antara 14 hingga 16 tahun itu ditahan dalam serbuan di pangsapuri berkenaan pada 10 malam semalam hingga 3 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisoner Beh Eng Lai berkata, hasil soal siasat ke atas kesemua suspek, mereka mengaku terlibat dalam kejadian itu dengan ada antara mereka menyalakan dan membaling mercun bola ke arah anggota polis.

Beliau berkata, mereka mengaku membaling mercun berkenaan kerana tidak berpuas hati dengan tindakan pihak polis yang menghentikan aktiviti bermain mercun di kawasan berkenaan.

“Kesemua suspek berkenaan direman selama tiga hari bermula hari ini hingga 17 Mei ini untuk siasatan lanjut,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul hari ini.

Eng Lai berkata, pihaknya mengambil tindakan tegas dalam isu berkenaan kerana kejadian sedemikian boleh mendatangkan kecederaan kepada orang ramai atau kebakaran jika tidak ditangani.

“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak melakukan aktiviti membakar mercun kerana ia adalah perbuatan yang dilarang,” katanya.

Sebelum ini, polis menahan empat individu bagi siasatan kes membakar mercun yang dilarang dan melontarnya ke arah anggota polis dalam kejadian di kawasan Pangsapuri Sri Perak, Bandar Baru Sentul.

54 diuji, 35 positif, Kg Paya Teh Jerantut dikena PKPD

ismail
ISMAIL SABRI YAAKOB

TIGA lagi kawasan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dengan dua daripadanya di Pahang.

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, salah satunya ialah Kampung Paya Teh, Jerantut.

Katanya, sehingga kini, Kementerian Kesihatan (KKM) telah melaksanakan 54 ujian saringan ke atas penduduk di lokaliti tersebut dan 35 daripadanya disahkan positif COVID-19.

“KKM juga melaporkan berlaku peningkatan kes dalam tempoh seminggu dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi di lokaliti itu.

“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, Kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di Kampung Paya Teh, Jerantut berkuat kuasa 17 Mei sehingga 30 Mei 2021.

“Pelaksanaan PKPD ini adalah untuk memudahkan KKM menjalan pengesanan awal kes COVID-19 supaya dapat diasingkan secepat mungkin serta menyekat penularan jangkitan ke kawasan luar,” jelasnya dalam kenyataan hari ini.

Satu lagi kawasan dikenakan PKPD di Pahang ialah PKPD Seri Kemunting, Kuantan yang berkuat kuasa dari 17 hingga 30 Mei.

Sehingga kini katanya, KKM telah melaksanakan 62 ujian saringan ke atas penduduk di lokaliti tersebut dan 16 daripadanya disahkan positif COVID-19.

PKPD ketiga yang turut bermula dari tarikh berkenaan ialah di Kampung Sungai Langgas, Kunak, Sabah.

“Sehingga 15 Mei 2021, sebanyak 17 kes positif telah dikesan hasil daripada ujian saringan dilakukan oleh KKM ke atas 34 individu di lokaliti tersebut,” kata Ismail Sabri.

Dalam pada itu, kata beliau, seramai 551 individu ditahan atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan semalam.

Ismail Sabri berkata, daripada jumlah itu, seramai 519 individu dikompaun manakala 32 lagi direman.

“Antara kesalahan direkodkan ialah gagal merekod butiran diri/daftar masuk premis (124), tidak patuh arahan kawalan pergerakan (101) dan tiada penjarakan fizikal (92).

“Turut diambil tindakan kesalahan tidak memakai pelitup muka (80), rentas negeri/daerah tanpa kebenaran (3) dan lain-lain (151),” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Tambah beliau, Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah melakukan 59,827 pemeriksaan semalam bagi memantau dan menguatkuasakan pematuhan SOP PKP.

Sumbangan rakyat Malaysia disalur terus ke Palestin, tegas Aman Palestin

 Siti Hafidah

Tidak guna duta sebagai orang tengah, ada cawangan rasmi di Gaza

BANGI – Aman Palestin Berhad (Aman Palestin) sekali lagi menegaskan sumbangan untuk rakyat Palestin disalurkan secara terus tanpa melalui pihak kedutaan mereka.

Pengurus Aman Palestin, Mohd Hanif Mohd Shaidi berkata, sememangnya pertubuhan bukan kerajaan (NGO) negara ini tidak menyalurkan dana kepada Duta Palestin di Malaysia untuk Masjid al-Aqsa kerana tanggungjawab penyelenggaraan adalah di bawah Kementerian Wakaf Kerajaan Jordan.

“Aman Palestin mempunyai cawangan rasmi di Gaza dan penyaluran dana dari kami adalah ‘direct’ melalui akaun cawangan rasmi di sana yang dihulurkan terus kepada rakyat Palestin yang memerlukan tanpa mengira ideologi politik dan lain-lain selagi ianya layak.

“Pihak kami tidak menggunakan khidmat Duta Palestin tersebut sebagai orang tengah untuk penyaluran dana,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata demikian bagi menjawab isu lama yang kembali bangkit di media sosial bahawa sumbangan orang ramai tidak sampai ke Palestin.

Menepis dakwaan itu, Mohd Hanif berkongsikan pautan video YouTube berhubung kejayaan projek yang telah dilaksanakan Aman Palestin dengan dana daripada amanah penyumbang.

Antaranya pembinaan masjid terbesar di Gaza, Masjid as-Syafie; pembinaan sekolah Quran (Tahfiz) di Gaza; pembinaan semula sekolah anak yatim Dar el-Fadeelah; pembinaan telaga dan tangki air Syria serta penyaluran Ramadan bersama Palestin.

Pada Februari tahun lalu, Duta Palestin di Malaysia, Walid Abu Ali memaklumkan sumbangan rakyat Malaysia kepada Palestin untuk tujuan pembangunan dan pembebasan Masjid al-Aqsa tidak sampai kepada pihak pengurusan di negara itu.

Beliau dilaporkan berkata, sumbangan rakyat Malaysia kepada Palestin untuk pembangunan dan pembebasan Masjid al-Aqsa tidak sampai kepada Jabatan Wakaf Baitulmaqdis yang ditadbir oleh Kementerian Wakaf Jordan.

Susulan itu, 10 NGO yang terbabit dalam kerja kebajikan rakyat Palestin dilaporkan menuntut duta negara berkenaan memohon maaf berikutan kenyataannya itu.

Ini kerana kenyataan Walid itu hanya memberi kesan buruk kepada NGO seperti mereka dan dibimbangi akan memberi impak kepada kerja kebajikan di Palestin selain menggugat keyakinan penderma.

Mereka juga mendesak Walid menarik balik kenyataan itu jika tidak dapat memberikan bukti.

Sementara itu, Wisma Putra mengambil maklum kenyataan NGO yang antara lain menyatakan dana kutipan rakyat Malaysia dan bantuan kepada rakyat Palestin disalurkan terus melalui rakan-rakan NGO masing-masing di Palestin.

Malaysia perlu gerak PBB, OIC tekan pengganas Israel

Athirah Huda Zalhe

Perjuangan Palestin bebaskan Baitulmaqdis sah ikut undang-undang antarabangsa

BANGI – Malaysia perlu menggerakkan semua kesatuan antarabangsa termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) untuk memberi tekanan ke atas pengganas Israel.

Pada masa sama, kerajaan juga perlu bersatu dengan negara-negara Islam lain dalam  membela nasib rakyat Palestin dan menjaga kesucian Masjid Al-Aqsa daripada terus dicemari oleh kebobrokan serta kekejaman Zionis.

Atas sebab itu, Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) menggesa, Kementerian Luar untuk terus membantu rakyat Palestin dalam memberikan tekanan kepada rejim Israel untuk menghentikan pembunuhan dan pengeboman ke atas orang awam, yang terdiri daripada wanita serta kanak-kanak.

Timbalan Presiden PPMM, Muhamad Hisham Marzuki berkata, pihaknya kekal berpendirian bahawa perjuangan rakyat Palestin ke arah membebaskan Baitulmaqdis dan keseluruhan negara sebagai sah mengikut undang-undang antarabangsa serta hak mempertahankan diri daripada kekejaman Zionis.

“PPMM juga mengutuk dengan keras segala tindakan oleh rejim Zionis Israel yang jelas merupakan suatu pelanggaran hak asasi manusia dan undang-undang antarabangsa.

“PPMM turut menzahirkan penghargaan kepada Kementerian Luar Negara Malaysia yang terus konsisten di dalam mengutuk dan mengeji tindakan kejam rejim Zionis terhadap rakyat Palestin,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya berpendirian tegas bahawa perjuangan rakyat Palestin sebagai suatu tanggungjawab bersama bagi setiap muslim sejagat dalam mempertahankan Masjid Al-Aqsa.

Bahkan, Muhamad Hisham turut menyifatkan kekejaman berterusan Israel jelas menzahirkan kegagalan idea penyelesaian dua negara kerana Zionis tidak pernah mengiktiraf Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara Palestin.

“Palestin perlu kemerdekaan penuh dan ditadbir secara bebas oleh orang Islam sebelum kedatangan Zionis Israel.

“Mahkamah Jenayah Antarabangsa juga perlu memulakan prosiding keganasan Israel terhadap Palestin,” katanya.

Beliau turut menghargai setiap tindakan rakyat Malaysia yang membantah kekejaman Israel, meskipun sekadar melalui medium media sosial menerusi kempen anti-Zionis atau bantuan kewangan.

“Mudah-mudahan kesemua usaha ini dinilai oleh Allah SWT sebagai ibadah kepadaNYA.

“Kami saf pimpinan dan ahli PPMM berdoa agar kekejaman di Palestin dapat diakhiri dan Islam kembali memerintah Palestin dengan adil dan ihsan,” katanya.

Malaysia suara pendirian teguh menentang keganasan Israel

 

 azrulhakimie

Akan sertai Mesyuarat Tergempar OIC pada Ahad

KUALA LUMPUR – Malaysia akan menggesa Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) untuk lebih tegas dan melaksanakan usaha semaksimum mungkin demi melindungi rakyat Palestin daripada keganasan Israel, pada Mesyuarat Tergempar pada Ahad.

Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang akan mewakili Malaysia berkata negara ini sentiasa teguh berdiri dan bersolidariti dengan rakyat Palestin.

“Pada mesyuarat itu esok, saya akan menyuarakan pendirian tegas dan tidak berbelah bahagi Malaysia mengenai perkara ini kepada OIC.

“Saya juga akan menyuarakan gesaan Malaysia supaya OIC mengambil tindakan lebih tegas dan melaksanakan usaha semaksimum mungkin demi melindungi rakyat Palestin daripada keganasan Israel,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Mesyuarat Tergempar Terbuka secara maya Jawatankuasa Eksekutif OIC Peringkat Menteri-Menteri Luar itu diadakan bagi membincangkan mengenai keganasan Israel, pencerobohan dan pendudukan kuasa rejim itu di wilayah Palestin terutamanya di Al-Quds AlShareef.

Dalam perkembangan lain, Hishammuddin berkata beliau telah berhubung dengan Menteri Luar Negeri II Brunei Darussalam, Datuk Seri Setia Haji Erywan Mohd Yusof dan Menteri Luar Indonesia, Retno Marsudi bagi mencapai kata sepakat antara negara-negara Islam Asia Tenggara mengenai Palestin.

“Secara kolektif, kami bertiga mengecam sekeras-kerasnya serangan tentera penjajah Isreal terhadap rakyat Palestin dan mahu Israel hentikan serta merta tindakan pencerobohan di seluruh wilayah Palestin,” katanya. Bernama

Facebook, Israel bekerjasama wujud laman ‘palsu’ sokongan netizen?

Athirah Huda Zalhe

Ramai marah, dakwa tersenarai sebagai pengikut tanpa keizinan

BANGI – Bukan hanya terdesak cuba menggambarkan diri sebagai mangsa keadaan melalui propaganda di media sosial, pengganas Israel juga ‘gigih’ bekerjasama dengan Facebook demi meraih sokongan.

Terbaharu, tular satu laman Facebook yang dinamakan ‘Jerusalem Prayer Team’ didakwa diwujudkan demi meraih sokongan ke atas puak penjajah itu.

Apa yang mengejutkan, laman yang baru sahaja diwujudkan itu sudah mendapat lebih 70 juta pengikut, yang didakwa dibuat secara automatik tanpa kebenaran pemilik akaun.

Ini kerana, beberapa pengguna media sosial mendedahkan bahawa terdapat senarai akaun mereka dan rakan Facebook lain sebagai pengikut, sedangkan tidak pernah menekan butang ‘suka’ atau ‘follow’ pada laman berkenaan.

“Facebook telah dengan cara kotor membuat satu page menyokong Israel Jerusalem Prayer Team dan secara automatik memberikan lebih 70 juta followers kepada page tersebut tanpa keizinan termasuk saya sendiri dan beberapa rakan lain,” tulis Faiq Khalifa.

Bukan hanya dirinya, pemilik akaun terbabit turut mendakwa beberapa rakan serta kakaknya juga tersenarai sebagai pengikut.

Turut berkongsi perkara itu, Presiden Pertubuhan Ikatan Wanita Antarabangsa bagi Institusi Keluarga dan Pendidikan Berkualiti (WAFIQ), Prof Madya Dr Rafidah Hanim Mokhtar turut meminta orang ramai, terutama umat Islam menyemak semula laman Facebook berkenaan.

“Sila periksa jika anda tiba-tiba telah ‘like’ page ini,” katanya.

Malaysia terus hulur bantuan kepada Palestin

azrulhakimie

Ulangi pendirian konsisten memberi sokongan padu kepada Palestin dan perjuangan mereka

KUALA LUMPUR– Malaysia akan terus memberikan sumbangan secara dua hala kepada Palestin selain sumbangan kepada badan-badan antarabangsa bagi membantu rakyat negara itu yang ditindas dan dizalimi oleh rejim Israel.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengulangi pendirian berprinsip Malaysia yang sentiasa konsisten memberi sokongan padu kepada Palestin dan perjuangan rakyatnya dari segi politik, ekonomi dan moral.

Beliau berkata melalui Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP) seliaan Kementerian Luar, Malaysia menyumbang sebanyak US$10,000 kepada Masjid Al-Aqsa pada tahun lepas yang disalurkan kepada Kementerian Awqaf, Jordan.

Selain bantuan kemanusiaan, beliau berkata Malaysia turut menghulurkan bantuan bagi membantu Palestin membendung pandemik COVID-19.

“Kerajaan Malaysia turut menghulurkan bantuan kepada Palestin dalam bentuk barangan perubatan iaitu sejuta pelitup muka, 500,000 pelindung muka dan 500,000 sarung tangan getah. Sumbangan tersebut dihantar menerusi pesawat sewaan khas ke Amman, Jordan pada 10 Mei tahun lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Perutusan Khas Mengenai Palestin yang disiarkan secara langsung oleh Bernama TV dan stesen TV tempatan lain, hari ini. – Bernama

Gambar tular keluarga anggota polis beraya di SJR, tiada pelanggaran SOP

azrulhakimie

IPD Putrajaya tak kompromi sekira wujud pelanggaran SOP PKP

PUTRAJAYA – Hasil siasatan polis mendapati gambar tular di media sosial melibatkan keluarga yang didakwa tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan isteri membawa anak-anak melawat suami bertugas di sekatan jalan raya (SJR) adalah anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya yang bertugas dan tinggal di daerah ini bersama keluarga dan anak.

Ketua Polis Daerah Putrajaya ACP Mohd Fadzil Ali berkata gambar tular itu disahkan berlaku pada 13 Mei, kira-kira 1 tengah hari di SJR Persiaran Selatan menghala keluar ke Dengkil, melibatkan anggota IPD Putrajaya yang bertugas dan tinggal di daerah Putrajaya bersama keluarga dan tiga orang anak berumur 11 tahun, 10 tahun dan 5 tahun.

“Kehadiran isteri dan anak anggota pada hari tersebut adalah bagi memberi sokongan moral kepada anggota berkenaan kerana bertugas di pagi raya di samping menyerahkan juadah hari raya. Selesai bersalaman, keluarga anggota tersebut telah beredar pulang ke rumah. Pemeriksaan mendapati tiada pelanggaran SOP PKP dilakukan oleh mana-mana pihak,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata imej polis tercalar ekoran gambar yang tular semalam pada 11 pagi yang menunjukkan keluarga anggota tersebut tidak patuh SOP PKP dengan melawat suami yang bertugas di SJR Putrajaya.

Mohd Fadzil menegaskan pihak IPD Putrajaya tidak akan berkompromi sekiranya wujudnya pelanggaran SOP PKP dan mengucapkan ribuan terima kasih kepada masyarakat di atas maklumat yang disalurkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan pematuhan SOP dipatuhi.

Beliau turut menasihati orang awam sentiasa merujuk kepada sumber sahih sebelum membuat perkongsian di media sosial. – Bernama

Gergasi media sosial dunia sengaja padam kandungan berkait Palestin

Athirah Huda Zalhe

Guna alasan kononnya mempunyai bahan, kandungan berbahaya

BANGI – Platform media sosial gergasi antarabangsa – Facebook, Twitter dan Instagram – dipercayai adalah antara pihak yang berada di belakang dasar untuk memadam semua perkongsian dan maklumat berkaitan penderitaan serta keganasan yang berlaku ke atas Semenanjung Gaza. 

Semua syarikat gergasi itu mendakwa bahawa perkongsian membabitkan isu Palestin  sebagai ‘bahan dan kandungan berbahaya’ yang dijadikan alasan untuk melaksanakan dasar berkenaan. 

Ini termasuk kandungan yang mempunyai kata-kata seperti Al-Aqsa, perjuangan atau pengkebumian mangsa yang syahid.  

Bukan setakat itu, semua platform media sosial terbabit turut memadam sebahagian besar penerbitan mengenai Palestin dan menutup akaun aktivis serta penyokong Palestin. 

Bagaimanapun, berbeza keadaan bagi media sosial Israel, rata-rata kandungan bersifat retorik hasutan, kebencian dan perkauman terhadap rakyat Palestin tidak disekat dan dipadamkan tanpa tapisan. 

“Pagi ini saya tergesa-gesa bertemu dengan pengarah dasar awam untuk Facebook yang berpusat di London, Ebele Okobi dan mengemukakan aduan rasmi yang sangat jelas dan memberi amaran bahawa sifat prejudis itu perlu segera dibaiki.

“Berdepan ujian memutarbelitkan dan mendiamkan diri tidak kurang penting ya untuk perjuangan di lapangan, dan saya mengajak golongan muda di mana sahaja untuk bertempur dengan yakin dan tekad terhadap perubahan serta kemenangan,” kata penulis yang tidak mendedahkan namanya.

Polis terima laporan dakwaan Mohamed Azmin langgar SOP ziarah Aidilfitri

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Mohamed Azmin 
Ali didakwa melanggar SOP berkait larangan ziarah sempena Aidilfitri.

PUTRAJAYA: Ketua Polis Daerah Putrajaya Mohd Fadzil Ali mengesahkan satu laporan polis diterima semalam berhubung dakwaan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Mohamed Azmin Ali melanggar prosedur operasi standard (SOP) berkaitan larangan kunjung-mengunjung atau ziarah Aidilfitri.

Beliau berkata laporan itu diterima pada 3 petang berhubung hantaran di Facebook atas nama Ummi Hafilda Ali yang tular di media sosial mendapat perhatian netizen yang mendakwa ahli keluarga Mohamed Azmin merentas daerah dan berkumpul bagi meraikan sambutan Hari Raya Aidilfitri yang melanggar SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di bawah Peraturan 17 P.U (A) 225/2021.

Mohd Fadzil berkata Mohamed Azmin serta ahli keluarga, anggota Pasukan Gerakan Am yang bertugas di kediaman beliau dan pemilik akaun Facebook Ummi Hafilda Ali serta saksi-saksi yang lain akan dipanggil untuk memberikan keterangan bagi membantu siasatan.

“Maklumat awal mendapati sambutan dan jamuan raya tersebut hanya dalam kalangan ahli keluarga Mohamed Azmin yang mendiami kediaman tersebut.

Keterangan petugas yang menjaga pos kawalan kediaman rasmi tersebut juga mengesahkan pada 13 Mei tiada pergerakan keluar masuk tetamu seperti yang didakwa dalam hantaran Facebook yang tular di media sosial,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Kejadian tersebut didakwa berlaku pada 13 Mei lebih kurang 8 pagi di kediaman rasmi Mohamed Azmin di alamat No 3, Jalan Presint 10/7, Presint 10.

Beliau turut menasihati pengguna media sosial yang lain supaya berhati-hati semasa mengeluarkan kenyataan atau komen yang boleh menjatuhkan imej, kredibiliti dan maruah seseorang ataupun jabatan.

Tawar RM1 juta pun tak jual...

AHMAD Baihaki menunjukkan koleksi jeans berusia lebih 100 tahun yang dimilikinya. FOTO Saifullizan Tamadi
AHMAD Baihaki menunjukkan koleksi jeans berusia lebih 100 tahun yang dimilikinya. FOTO Saifullizan Tamadi

Bangi: Siapa sangka seluar jean pertama dan tertua di dunia kini berada di Malaysia yang dibeli seorang lelaki daripada pelelong di Amerika Syarikat (AS).

Seluar jean Levis keluaran pertama 1890 itu dibeli seorang pemilik bundle Tokor Amerika, Ahmad Baihaki Hussin, 40, selepas melihat satu dokumentari di YouTube.

Sejak itu dia mula menjadi 'pemburu' jean berusia 130 tahun itu dan mencarinya di sekitar AS.

Bukan saja itu, dia pernah ditawarkan RM1 juta oleh pengumpul koleksi dari Jepun dan Thailand untuk membeli jean koleksinya namun ditolak mentah-mentah.

"Jean poket satu ataupun yang dikenali sebagai First Blue Jeans ini dibeli daripada seorang pelelong di AS pada 2018.

"Saya mengetahui mengenai kewujudan seluar ini selepas melihat satu dokumentari di YouTube menyebabkan tergerak hati ke AS.

"Pertama sekali saya ke Maine, Portland sebelum diberitahu pemilik sebenar jeans berkenaan berada di Tucson," katanya kepada Harian Metro.

PELANGGAN bertanya sesuatu kepada Ahmad Baihaki. FOTO Saifullizan Tamadi
PELANGGAN bertanya sesuatu kepada Ahmad Baihaki. FOTO 
Saifullizan Tamadi

Menurutnya, dia kemudian menemui tapak rumah asal pemilik jean itu dan diberitahu rumah berkenaan sudah dijual.

"Saya dapat nombor telefon individu yang memegang seluar itu dan cuba menghubungi dan e-mel setiap hari sepanjang berada di sana namun tiada sebarang jawapan.

"Kemudian, saya pulang semula ke Ibu Pejabat Levis terletak di San Francisco sebelum dihubungi individu yang juga pelelong jeans berkenaan.

"Saya menawarkan untuk membeli jean itu dengan harga yang berpatutan bagi sehelai jeans yang berusia lebih daripada 100 tahun dan akhirnya dia bersetuju untuk menjualnya.

"Maksud harga yang bepatutan adalah harga yang diketahui umum bagi pengumpul barangan vintage seluruh dunia," katanya.

Ahmad Baihaki berkata, dia diberitahu jean pertama Levis itu dengan kondisi terbaik milik seorang lelaki berasal dari Jerman dengan saiz 44.

"Seluar ini dipercayai ditemui cucunya dalam satu bekas kayu dan disebabkan itu kondisinya masih elok.

"Saya kira jean yang saya miliki ini adalah yang tertua di dunia dengan kondisi terbaik," katanya.

AHMAD Baihaki melihat koleksi pakaian di kedainya. FOTO Saifullizan Tamadi
AHMAD Baihaki melihat koleksi pakaian di kedainya. FOTO 
Saifullizan Tamadi

Menurutnya, dia dan rakannya turut memiliki jean model tahun 1922 yang dibeli di Jepun pada 2018.

"Jean Nevada ini adalah model pertama Levis berusia 1873 juga dibeli di Amerika," katanya.

Menceritakan lebih lanjut, Ahmad Baihaki berkata, mereka ditawarkan RM1 juta untuk menjual dua jean miliknya namun menolaknya berikutan pakaian itu susah untuk diperoleh.

"Bukan tidak pentingkan duit, tetapi koleksi yang kami ada sangat unik, kemungkinan kalau jumpa koleksi sama saya akan lepaskan yang ini, siapa tahu," katanya.

Akuinya, perniagaan bundle juga satu pelaburan, tetapi membabitkan pakaian yang unik saja.

"Bagaimanapun, ia bergantung kepada lokaliti juga contohnya sehelai baju T band rock seperti Nirvana kadang-kadang boleh mencecah harga RM3,000 hingga belasan ribu.

"Bergantung kepada permintaan di lokaliti dan juga trend semasa," katanya.

AHMAD Baihaki di depan kedai Tokor Amerika miliknya. FOTO Saifullizan Tamadi
AHMAD Baihaki di depan kedai Tokor Amerika miliknya. 
FOTO Saifullizan Tamadi

Perniagaan bundle beri pulangan 100 peratus

Margin keuntungan sehingga 100 peratus menjadikan perniagaan pakaian terpakai atau bundle terus menjadi pilihan peniaga.

Pelbagai pakaian import dari Amerika Syarikat (AS), Kanada, Jepun dan Korea menjadi pilihan peminat bundle sejak puluhan tahun lalu.

Imej berpakaian bundle sudah diterima masyarakat sebagai satu cabang fesyen yang dianggap klasik kerana rekaan dan material pakaian yang seasoned.

Perkara itu diakui pemilik Save & Save Bundle, Muhd Firdaus Mohamad yang memaklumkan perniagaan bundle ini mempunyai potensi yang besar untuk berkembang kerana permintaan yang terus stabil.

Beliau berkata, walaupun dijual pada harga serendah RM5 sehelai namun peniaga masih mampu meraih keuntungan.

"Pakaian bundle dijual secara pukal dengan anggaran harga bermula RM500 hingga RM1,800 mengikut gred pakaian.

"Satu pukal dianggarkan berat 45 kilogram dengan 200 hingga 300 baju-T untuk setiap pukal manakala seluar jean sebanyak 100 helai," katanya ketika ditemui.

MUHD Firdaus. FOTO Hazreen Mohamad
MUHD Firdaus. FOTO Hazreen Mohamad

Katanya, harga pula akan ditentukan peniaga berdasarkan kondisi, corak dan material pakaian berkenaan.

Tambahnya, baju-T bercorak selain seluar jean dengan kain yang tebal dan warna yang baik akan dijual pada harga yang tinggi.

"Pakaian bundle boleh dijual dengan pelbagai variasi harga membolehkan peniaga meraih keuntungan bagi setiap pukal.

"Permintaan pula terus kekal baik dan peniaga tidak perlu memiliki kedai kerana boleh mempromosikan barangan jualan mereka menerusi laman sosial," katanya.

Beliau yang juga pengedar pakaian bundle untuk pasaran tempatan mempunyai beberapa pembekal di luar negara untuk membekalkan stok setiap bulan.

Katanya, kebersihan terus menjadi keutamaan dan pakaian yang dijual akan dibasuh dan digosok supaya nampak lebih kemas.

DISYORKAN UNTUK ANDA:

 MEDAN BERITA POLITIK DALAM KEMBAR BLOG  ' AR RISALAH '

Akaun Facebook Nadir Al-Nuri, rakyat Malaysia di Gaza disekat

Kuala Lumpur: Akaun Facebook (FB) milik rakyat Malaysia tunggal di Semenanjung Gaza Muhammad Nadir Al-Nuri Kamarulzaman disekat, semalam.

Muhammad Nadir berkata, akaun FB miliknya itu disekat selepas membuat hantaran berkenaan seorang kanak-kanak Gaza yang lari mengejar jenazah ayahnya.

"Kejadian ini adalah pertama kali, tindakan pertama adalah komen disekat.

"Kini saya sedang membangunkan kumpulan di aplikasi Telegram dan Instagram," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, dia juga membuat akaun FB baharu dengan nama sama iaitu Nadir Al-Nuri.

"Saya tidak akan putus asa dan akan sentiasa membuat akaun baru jika masih lagi disekat," katanya.

Muhammad Nadir juga adalah Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia satu-satunya rakyat Malaysia yang berada di Semenanjung Gaza.

Difahamkan laman sosial beliau disekat susulan sering memaklumkan perkembangan terkini berhubung keadaan semasa di Palestin di medium berkenaan.

Kepada yang ingin mengikuti akaun Telegram Muhammad Nadir, klik di sini atau, layari https://t.me/nadiralnuri.

'Sabar aku ada had' - Bekas suami Zarina Anjoulie

Kuala Lumpur: Bekas suami pelakon Zarina Anjoulie, Eilyas Azhar meminta bekas isterinya itu supaya berhenti menabur fitnah secara berterusan kepada dirinya dan keluarga sejak mereka bercerai kali kedua, baru-baru ini.

Kisah perceraian itu dikongsikan kedua-dua mereka di hantaran media sosial masing-masing pada awal Mei lalu sehingga menjadi perhatian netizen.

Terbaharu, Eilyas atau mesra disapa Yas menerusi perkongsian hantaran di Instagram meluahkan rasa bengang kepada bekas isterinya itu yang didakwa sering menjadikan dia 'content' hingga menjadi tular.

"Aku rasa Anju ni dah boleh berhenti dah nak buat aku ni jadi 'content' dia. Jangan gunakan aku untuk jadi 'content' kau nak tular lah. Kau fitnah aku, malukan aku ngan family apa lagi tak cukup?

"Faham tak apa maksud fitnah? Fitnah ni maksud dia benda yang tak ada tapi, diada-adakan. Aku ni cukup baik la kena fitnah tapi masih lagi jaga aib kau. Tau aib tu apa? Aib tu benda yang kau memang buat, wujud dan memalukan," tulisnya.

Menurut Eilyas, tahap kesabarannya ada had dan dia meminta supaya Zarina tidak berterusan melakukan provokasi ke atasnya termasuk hingga membabitkan keluarga.

"Janganlah nak beriya sangat. Nanti aku 'counter' segala fitnah kau pada aku dan keluarga aku ni. Takut kau jadi gila ja mental. Segala pelusuk musuh kau ambil peluang ni, jadi 'point'. Aku senyap bukan bermakna aku bersalah, aku kalah or aku takut.

"Aku fikir panjang je ni, tambah keluarga aku suruh jaga aib. So, janganlah provoke provoke aku lagi bab biawak bab nafkah bab baju raya bab sesikit ugut cerai bab aib bab barang. Takkan la aku nak kupas kat 'public', buka semua cerita baru kau nak diam," tulisnya.

Ujar Eilyas, dia tidak mahu hingga bertindak demikian dan membuatkan Zarina menghadapi tekanan berikutan sudah hilang sabar serta menceritakan segala hal sebenar kepada semua orang.

"Biar je la orang semua tengok aku jahat. Tak perlu aku buka pekung kau. Tapi, tolonglah jangan cabar provokasi aku siap libatkan keluarga. Sabar aku ada had.

"Tolong nasihat anak/akak kalian. Cukup aku dah malu dengan fitnah anak/akak korang ni. Aku diam janganlah keterlaluan ambil kesempatan dalam kebaikan aku ni. Aku pun tak hingin nak 'up' benda ni sebab memalukan menjijikkan, tapi darah daging korang ni makin lama makin melampau," katanya.

Dalam pada itu, Eilyas turut menjawab pertanyaan seorang pengikutnya yang meminta dia bersabar lagi meski sudah muak melihat tindakan menjengkelkan yang dibuat oleh Zarina di media sosialnya.

"Nangis nangis tu bukan baju raya pun, semua netizen kena bodoh bodoh je ngan tangisan pelakon dia. Tu baju dah beli sebelum puasa.Tu baju nak pergi 'wedding' adik dia. Sama ngan baju bapa dia pakai. Colour biru.

"Dia beriya nangis cakap baju raya. Itu baju nak pergi kahwin adik dia sebelum puasa. Aku yang beli baju raya untuk aku dan Martin minggu lepas. Baju dia ikutkan nak beli bila aku cuti kerja. Korang kena 'game' aku pula yang dapat malu," tulisnya.

Eilyas dan Zarina yang juga ibu tunggal kepada seorang anak lelaki,  Awangku Gabriel Martin Ezra, berusia lima tahun, bernikah pada 17 Julai tahun lalu. 

Bagaimanapun, Zarina menerusi hantaran di Instagram pada 27 Januari lalu memaklumkan mereka sudah bercerai, dan dalam perkongsiannya di Instagram pada 2 Mac lalu pula memaklumkan sudah rujuk semula dengan Eilyas.

Orang ramai degil masih kunjungi Pantai Klebang

Oleh AMRAN MULUP
KEADAAN di Pantai Klebang, Melaka yang dipenuhi orang ramai meskipun negeri ini sedang dalam fasa PKP. - UTUSAN/AMRAN MULUP

MELAKA: Degil! Itulah gambaran sikap segelintir orang ramai yang tidak mengendahkan larangan beriadah atau bersantai di Pantai Klebang dekat sini sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, kereta terus berpusu-pusu memasuki kawasan pantai pada Hari Raya Aidilfitri kedua sejak pukul 4 petang tadi.

Mereka seolah-olah tidak ambil peduli peningkatan kes positif Covid-19 terutama di Melaka yang terus mencatatkan kenaikan daripada 67 kes semalam kepada 107 kes hari ini.

Tidak kurang juga ibu bapa yang dilihat berani membawa anak-anak kecil bermain di pantai dan taman permainan kanak-kanak.

Ada pula yang membentang tikar dan berkelah di kawasan tersebut.

Semalam, pihak polis dari Balai Batang Tiga meminta orang ramai yang berada di pantai untuk segera meninggalkan kawasan tersebut.

Sewaktu PKP Januari lalu, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) telah menutup dua laluan masuk ke kawasan pantai berkenaan.

Malangnya tinjauan hari ini mendapati, tidak ada langsung pagar besi dipasang oleh pihak berkuasa tempatan (PBT), lantas menyebabkan orang ramai terus memasuki kawasan rekreasi itu.

Sementara itu, anggota polis bertugas memberitahu, pihaknya telah melakukan rondaan dari semasa ke semasa.

“Kita minta mereka balik tetapi selepas kami meronda di tempat lain, orang ramai kembali memasuki semula kawasan pantai,” katanya. UTUSAN

Warga emas terus jadi korban terbanyak akibat Covid-19

Oleh PETAH WAZZAN ISKANDAR

PUTRAJAYA: Malaysia merekodkan peningkatan kes kematian akibat Covid-19 seramai 34 orang dengan 25 daripadanya adalah warga emas yang melibatkan pelbagai latar belakang penyakit.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, kematian yang direkodkan melibatkan di Selangor, Johor, Kuala Lumpur, Kelantan, Kedah, Sabah, Melaka, Sarawak, Perak dan Terengganu.

Katanya, seramai 26 lelaki dan lapan wanita berusia antara 45 hingga 84 tahun menjadi korban pandemik Covid-19 dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

“Kematian hari ini melibatkan lapan kes di Selangor, Johor (6), Kuala Lumpur (6), Kelantan (4), Kedah (3), Sabah (2), Melaka (2), Sarawak (1), Perak (1) dan Terengganu (1).

“Antara penyakit yang dikesan iaitu kencing manis, darah tinggi, gout, buah pinggang kronik, jantung, obesiti, dislipidemia, strok, kanser, hati kronik, paru-paru dan tuberkulosis,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, Malaysia turut mencatatkan penurunan kes positif baharu Covid-19 namun masih melebihi 4,000 kes iaitu 4,113 kes yang diatasi kes sembuh iaitu 4,190 kes dengan 13 kluster baharu dikesan.

Katanya, kes aktif menunjukkan sedikit penurunan iaitu 41,471 kes berbanding semalam, 41,582 kes manakala sebanyak 482 kes memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 250 kes memerlukan bantuan pernafasan.

“Selangor masih merekodkan kes positif tertinggi iaitu 1,269 kes diikuti Sarawak, 533 kes; Kelantan, 371 kes; Johor, 335 kes; Kuala Lumpur, 306 kes; Pulau Pinang, 266 kes; Kedah, 228 kes; Pahang, 178 kes, Terengganu, 165 kes; Perak, 147 kes; Negeri Sembilan, 124 kes dan Melaka, 107 kes.

“Hanya satu negeri dan satu Wilayah merekodkan kes dua angka iaitu Sabah, 53 kes dan Putrajaya, 20 kes manakala Labuan, enam kes dan Perlis, lima kes,” katanya.

Mengulas mengenai 13 kluster baharu, Dr. Noor Hisham berkata, pihaknya mencatatkan empat kluster tempat kerja iaitu Kluster Jalan Perindustrian Balakong di Hulu Langat, Selangor, 138 kes; Kluster Tanjung Dungun melibatkan Setiu, Marang, Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Kemaman, Dungun, dan Besut, Terengganu, 42 kes; Kluster Menara Jalan Putra di Kuantan, Pahang, 29 kes dan Kluster Persiaran Utara di Kota Tinggi, Johor, 16 kes.

Kluster Komuniti pula merekodkan empat kluster katanya, Kluster Bukit Pauh melibatkan Dungun, Kuala Nerus, Kuala Terengganu, Terengganu; Kuantan, Pahang dan Petaling, Selangor, 36 kes; Kluster Sungai Lebai di Pekan, Pahang, 26 kes; Kluster Sungai Rayah di Meradong, Sarawak, 13 kes dan Kluster Jalan Mawar Pasak di Kota Tinggi, Johor, 11 kes.

“Kluster keagamaan pula dua kluster iaitu Kluster Dah Mahsuri di Kubang Pasu, Kedah, 50 kes dan Kluster Kampung Batu Muda di Kepong, Kuala Lumpur, 17 kes.

“Kluster pendidikan juga merekodkan dua kluster iaitu Kluster Jalan Tegas melibatkan Petaling, Gombak, Klang, dan Hulu Langat, Selangor, 23 kes dan Kluster Lebuh Lembah Permai melibatkan Seberang Perai Tengah, Timur Laut, dan Barat Daya, Pulau Pinang, 15 kes manakala kluster Kumpulan Berisiko Tinggi hanya satu kluster iaitu Kluster Lebuh Katz di Timur Laut, Pulau Pinang, 36 kes,” katanya. UTUSAN

39 kompaun rentas daerah dikeluarkan di Sabah

Oleh SURAIDAH ROSLAN
HAZANI GHAZALI

KOTA KINABALU: Sebanyak 39 individu dikompaun atas kesalahan merentas daerah tanpa kebenaran polis setakat hari kedua Aidilfitri.

Untuk hari ini sahaja, empat kompaun dikeluarkan atas kesalahan merentas daerah berbanding 35 kompaun yang dikeluarkan semalam.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali berkata, daripada tujuh kompaun melanggar prosedur operasi standard (SOP) hari ini, empat kompaun bagi kesalahan merentas daerah tanpa kebenaran.

Pada hari pertama Aidilfitri, daripada 65 kompaun melanggar SOP dikeluarkan, separuh daripadanya adalah kesalahan merentas negeri atau daerah tanpa kebenaran.

Secara keseluruhan, tahap pematuhan SOP Perintah Kawalah Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Sabah pada hari kedua Aidilfitri adalah 96 peratus.

Sementara itu, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Masidi Manjun berkata, daripada 17,910 buah kenderaan diperiksa dalam 53 sekatan jalan raya (SJR) di seluruh Sabah hari ini, 218 kenderaan diarah berpatah balik.

Untuk hari pertama Aidilfiri, sebanyak 22,322 buah kenderaan diperiksa dan 218 kenderaan di arah berpatah balik.

Hari ini, sebanyak 44 hebahan melalui kereta peronda dilakukan dan tiada tangkapan dilakukan. UTUSAN

Zionis bom terowong bawah tanah, lumpuhkan pergerakan Hamas

Oleh Adlinahani Binti Khalil

GAZA: Jumlah korban melibatkan penduduk Palestin terus meningkat kepada 119 orang hari ini, dengan 31 daripadanya adalah kanak-kanak dan lebih 800 cedera ketika tentera Israel mempertingkatkan serangan udara serta melepaskan tembakan ke arah kubu pergerakan Hamas.

Terbaharu, tentera Zionis mendakwa pihaknya mengebom sejumlah terowong bawah tanah milik Hamas.

Jurucakap tentera Israel, Jonathan Conricus memaklumkan anggota tentera darat turut terlibat dalam serangan yang berlangsung selama 40 minit itu, namun tiada di antara mereka merentasi ke Semenanjung Gaza.

Katanya, sebanyak 160 pesawat termasuk beberapa kenderaan perisai digunakan untuk menyerang kubu Hamas.

“Ini merupakan penglibatan anggota tentera terbesar sejak pertempuran berlaku pada Isnin lalu.

“Tentera Hamas menggunakan terowong bawah tanah untuk melakukan pergerakan dan kami menyasarkan kesemua infrastruktur itu untuk melumpuhkan pergerakan mereka,” katanya.

Dalam pada itu, sebagai membalas serangan Zionis, pejuang Hamas melancarkan serangan roket ke arah selatan wilayah itu.

Selain itu, pegawai kesihatan di utara Gaza pula memaklumkan seorang wanita dan tiga anaknya terbunuh ketika tentera Israel melancarkan serangan udara dan kesemua jenazah ditemukan di bawah runtuhan rumah mereka. UTUSAN

Padah rentas daerah ke pusat beli-belah, 2 lelaki dikompaun RM5,000

Oleh KHUZAIRI ISMAIL

GEORGETOWN: Keseronokan dua lelaki merentas daerah mengunjungi sebuah pusat beli-belah di daerah Barat Daya di sini hari ini membawa padah apabila mereka masing-masing dikompaun sebanyak RM5,000.

Kedua-dua lelaki berusia 26 dan 33 tahun itu dikompaun ketika sepasukan polis melakukan pemeriksaan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 di pusat beli-belah tersebut pukul 3.23 petang.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintenden A. A. Anbalagan berkata, ketika diperiksa kedua-dua lelaki berkenaan didapati tinggal di Perak Road dan Jalan Veterinary di daerah Timur Laut di sini.

“Mereka gagal mengemukakan dokumen kebenaran merentas daerah ketika diminta berbuat demikian dan memberi alasan mahu berbelanja di pusat beli-belah itu.

“Sehubungan itu, Pegawai Kompaun telah mengeluarkan kompaun berjumlah RM5,000 kepada kedua-dua mereka berdasarkan Jadual Nilai Kompaun Magnitud Kesalahan yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan,” katanya kepada pemberita di sini malam ini. – UTUSAN ONLINE

Isteri sering didera suami meninggal dunia

Oleh NUR SYAZWANA MANSOR
SITI KHODIJAH AB MANAF

SUNGAI PETANI: Hasrat empat beradik beraya bersama ibu mereka tidak kesampaian apabila wanita kesayangan itu meninggal dunia selepas 26 hari koma dipercayai akibat mengalami pendarahan dalam kepala.

Ibu mereka, Siti Khodijah Ab Manaf, 32, dilaporkan meninggal dunia pada pukul 2.50 pagi tadi di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), dan jenazahnya dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar untuk bedah siasat.

Mangsa sebelum ini didakwa sering didera oleh suaminya sepanjang tempoh lapan tahun perkahwinan mereka.

Wanita terbabit meninggalkan empat orang anak yang masih kecil iaitu, Nur Alyaa Nadrah Qaisara Ab Salam, 8; Abdul Raqiz, 5; Abdul Wafiy, 4; dan Irfan Arshad, 2, yang kini dijaga oleh nenek mereka, Rokiah Bahari, 68.

Ibu saudara mereka, Hafizah Ibrahim, 41, berkata, arwah yang juga anak keempat daripada lima beradik tiba-tiba pengsan pada pukul 4 pagi, 18 April lalu ketika hendak membancuh susu anaknya.

Hafizah berkata, sejak dirawat di HSAH, arwah tidak sedarkan diri dan cuma dua hari lalu, dia menunjukkan perubahan apabila menggerakkan jari dan tangan kirinya.

“Kami mengharapkan dia sembuh dan kembali ke sisi anak-anak, namun hari ini kami dikejutkan dengan berita pemergiaanya buat selamanya,” katanya ketika ditemui di rumah ibu arwah di Kampung Teluk Wang, Sungai Pasir, di sini, hari ini.

Utusan Malaysia pada 2 September tahun lalu melaporkan, polis menahan seorang lelaki kerana memukul isterinya sehingga cedera selepas menuduh mangsa berlaku curang dalam kejadian di rumah mereka di Taman Bandar Puteri Jaya di sini.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, mangsa berusia 30 tahun dan merupakan suri rumah membuat laporan polis setelah mendakwa suaminya yang berusia 36 tahun sering memukulnya.

Hafizah memberitahu, dia sempat membawa empat anak arwah ke pasar raya untuk membeli pakaian untuk sambutan Hari Raya Aidilfitri pada minggu lalu.

“Kami sekeluarga reda dengan apa yang berlaku terutama ketika dalam suasana hari raya, kami kehilangan arwah,” katanya.

Tambahnya, kesemua anak arwah demam dan batuk pada hari raya pertama semalam disebabkan terlalu rindukan ibu mereka.

Difahamkan jenazah akan dibawa pulang ke rumah mereka di Kampung Teluk Wang, di sini, sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Teluk Wang sebaik sahaja selesa bedah siasat.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Adzli Abu Shah mengesahkan berhubung kematian mangsa, namun masih menunggu laporan bedah siasat berkaitan punca kematian wanita berkenaan.

“Saya berharap tiada mana-mana pihak yang membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian ini kerana siasatan masih sedang dilakukan,” jelasnya. UTUSAN

Arwah Haziq selamat dikebumikan

Oleh HADI AB MANAP
ALLAHYARHAM Haziq Kamaruddin selamat dikebumikan di kampung halaman isterinya di Tanah Perkuburan Taman Koperasi Serkam Darat, Melaka. - UTUSAN/HADI AB. MANAP

JASIN: Jenazah pemanah kebangsaan, Allahyarham Haziq Kamaruddin selamat dikebumikan di kampung halaman isterinya di Tanah Perkuburan Taman Koperasi Serkam Darat di sini, kira-kira pukul 1.40 pagi tadi.

Jenazah Allahyarham sebelum itu disembahyangkan di surau kampung berkenaan yang hanya dihadiri ahli keluarga terdekat dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ketat diawasi polis dari Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin.

Haziq, 28, selesai menjalani bedah siasat di Hospital Kajang, Selangor kira-kira pukul 9.30 malam semalam dan jenazahnya dimandikan serta dikafankan di sana.

Antara yang dilihat mengiringi jenazah ialah balu Allahyarham, Shahira Abdul Halim; Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail dan Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintenden Mispani Hamdan.

Haziq disahkan meninggal dunia secara mengejut pagi semalam di rumahnya di Kajang, Selangor.

Allahyarham merupakan anggota skuad memanah recurve kebangsaan sejak 10 tahun dan pernah beraksi dalam Olimpik 2012 di London serta Rio 2016.

Haziq menjadi taruhan negara untuk layak ke temasya Olimpik Tokyo dalam acara berpasukan, seterusnya mengikuti jejak rakan pasukan, Khairul Anuar Mohamad.

Difahamkan Allahyarham membuat permintaan khas untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama isterinya yang bersendirian di rumah mereka di Kajang pada hari pertama perayaan. UTUSAN

Jumaat, 14 Mei 2021

Selepas RTM, The Star pula guna istilah ‘militan’ pada Hamas

Athirah Huda Zalhe

Adakah sengaja butakan diri dari ambil tahu sejarah penjajahan oleh Zionis?

BANGI – Selepas Berita Mandarin, TV2 Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM),  akhbar berbahasa Inggeris, The Star pula menyiarkan laporan berita yang menggelar Pergerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas) sebagai militan.

Penggunaan istilah itu digunakan The Star menerusi berita dunia yang disiarkan semalam bertajuk ‘Fear replaces holiday joy in Gaza as fight with Israel escalates’.

Berita berkenaan dipercayai merujuk pada laporan Reuters, di mana perenggan keempatnya menyatakan, “ Tembakan roket dan peluru berpandu berbalas serangan sejak Isnin di antara militan Hamas di Gaza dan tentera Israel di sempadan, susulan ketegangan terbaharu berkaitan konflik pemilikan tanah di Baitulmaqdis”.

Meskipun laporan berkenaan sudah dipadamkan, mantan Naib Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Prof Dr Zainur Rashid Zainuddin kecewa kerana istilah asal yang digunakan salah dan terpesong. 

Beliau menyifatkan media Malysia yang didukungi cauvinis, evangelis dan pro-Liberal Barat sememangnya menyokong agenda Israel berbanding perjuangan Palestin.

“Mereka sengaja membutakan diri daripada mengetahui sejarah penjajahan oleh Zionis Israel yang didukung oleh Barat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, berita Mandarin yang disiarkan RTM mencetuskan kontroversi sama apabila menggunakan istilah militan yang merujuk kepada Hamas dalam pelaporan berita berkaitan serangan udara Israel terhadap Palestin.

Susulan itu, Editor Meja Mandarin dan Ketua Editor Berita Mandarin, TV2 dipanggil memberikan penjelasan, termasuk mengenakan Surat Tunjuk Sebab (STS) ke atas pegawai yang terlibat.

DISYORKAN UNTUK ANDA:

   MEDAN BERITA POLITIK DALAM KEMBAR BLOG  ' AR RISALAH '

Ayuh! Guna media sosial ‘perang’ propaganda dengan Israel

Siti Hafidah

PEMBINA ajak mahasiswa agresif bersolidariti untuk Palestin

BANGI – Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) meminta mahasiswa lebih agresif bersolidariti untuk Palestin yang tatkala ini diserang rejim Zionis Israel.

Gesaan itu susulan melihat pihak yang menyokong negara pengganas berkenaan mula bertindak agresif menyampaikan propaganda bagi menekan propaganda yang sedang dimainkan oleh umat Islam sedunia ketika ini.

Sebagai serangan balas, Presiden PEMBINA, Wafiq Azman menyarankan media sosial dimainkan untuk menyerang kembali propaganda tersebut.

“Dalam zaman serba canggih dan pantas hari ini, informasi, maklumat, solidariti dan sokongan kita akan mudah sampai kepada umat Islam di sana.

“Gunakan seberapa banyak platform yang boleh seperti Twitter, Facebook dan Instagram untuk berperang propaganda menentang propaganda yang dimainkan oleh Zionis Israel.

“Anda adalah mahasiswa, gunakan kreativiti dan inovasi masing-masing untuk sampaikan informasi mengenai situasi umat Islam di sana,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, beliau turut meminta sumbangan berterusan oleh umat Islam di Malaysia kepada badan-badan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Palestin seperti Aman Palestin Berhad – rakan strategik Pembina – serta doa.

“Ianya sedikit sebanyak memberikan sokongan dan solidariti yang kukuh untuk mereka mempertahankan kiblat pertama umat Islam iaitu Masjid Al-Aqsa,” katanya.

Serangan Israel tanpa henti ke atas Gaza mengorbankan 87 orang termasuk 17 kanak-kanak dan hampir 500 yang lain cedera.

Telefon pintar ‘rahmat’ atau ‘bencana’ ketika PKP Raya?

Siva Selan 

Walaupun peranti pintar tidak lagi boleh dielak dalam era digital ketika ini, namun penggunaan melampau boleh menjejaskan perkembangan fizikal, mental, sosial dan psikologi seseorang.

Ketika semakin ramai menghabiskan berjam-jam lamanya dengan alatan elektronik dan peranti pintar, tanpa sedar mereka menjadi semakin jauh dan mula terpisah daripada menghabiskan waktu bersama keluarga malahan ketika meraikan lebaran yang sepatutnya merapatkan lagi hubungan sesama mereka.

Hari Raya Aidilfitiri tahun ini sekali lagi diraikan dalam suasana pandemik, jauh dari keluarga ekoran larangan perjalanan rentas negeri dan daerah yang sebelum ini memainkan peranan penting dalam merapatkan hubungan kekeluargaan.

Sekali lagi, telefon pintar menjadi alat untuk berkomunikasi dengan keluarga tercinta.

Seorang pensyarah psikologi di Universiti Segi Mariani Md Nor berkata penggunaan media sosial untuk berkomunikasi dengan keluarga dan rakan-rakan adalah satu cara terbaik yang boleh dilakukan ketika ini kerana tiada pilihan melainkan terpaksa duduk berdiam di rumah.

Bagaimanapun, dia berkata penggunaan peranti pintar yang tidak dikawal boleh menjadikan seseorang ketagihan sehingga boleh menghilangkan semangat perayaan Aidilfitri kerana lebih suka menghadap telefon untuk mengemaskini status di media sosial daripada menyambut perayaan dengan tradisi kekeluargaan.

“Orang ramai biasanya teruja pada awal raya sahaja, kemudian mereka sibuk dengan telefon, cuba menghubungi kawan-kawan dalam talian dengan memencilkan diri dari keluarga sendiri,” katanya kepada MalaysiaNow.

Mariani berkata hal “pandemik telefon pintar” ini bukan sahaja masalah orang muda, bahkan ia juga turut merebak kepada orang yang lebih tua dalam masyarakat.

“Penggunaan telefon adalah aktiviti rutin yang kemudian menjadi tabiat. Penggunaan berpanjangan boleh menyebabkan ketagihan,” katanya.

Fauziah Mohd Sa’ad dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) turut bersetuju peningkatan ketagihan penggunaan telefon pintar dalam kalangan orang ramai sudah semakin meningkat ketika terpaksa duduk di rumah sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP).

“Orang ramai duduk di rumah tak ada banyak benda nak dibuat. Jadi, mereka habiskan waktu dengan telefon pintar termasuklah ketika sambutan raya.

“Namun penggunaan telefon boleh menyebabkan ketagihan. Ia menghalang kita daripada berinteraksi dengan orang lain secara bersemuka,” katanya kepada MalaysiaNow dan menambah mengehadkan penggunaan telefon adalah kunci utama bagi menangani masalah kompleks tersebut.

“Saya fikir penggunaan telefon ini okey saja kalau ia digunakan bagi tujuan yang betul dan boleh gembirakan kita. Namun perlu ada hadnya.

“Jangan guna telefon sehingga ia menjejaskan anda secara fizikal, psikologi dan sosial. Utamakan kesihatan dan keluarga dahulu,” katanya.

Mariani dan Fauziah turut berkata ketagihan penggunaan telefon dalam kalangan anak-anak yang membesar dengan peranti di samping kurangnya interaksi dengan orang lain.

Fauziah bahkan berkata ramai ibu bapa yang “merasuah” anak mereka dengan memberikan telefon pintar supaya anak-anak tidak “mengganggu”.

Namun, katanya, dengan melakukan perkara demikian, anak-anak akhirnya akan merasakan alat peranti adalah lebih menyeronokkan daripada berinteraksi dengan orang lain sehingga menyebabkan kurang kemahiran bersosial.

“Anak-anak ini nantinya tidak mampu membawa diri ketika berziarah ke rumah orang dan mereka jadi sukar berinteraksi dengan orang yang mereka temui.”

Selain itu, katanya, ada juga risiko anak-anak terdedah dengan kandungan tidak senonoh dalam internet seperti video porno dan ganas.

Justeru, Fauziah mengingatkan ibu bapa untuk sentiasa memantau telefon anak-anak.

Sementara Mariani pula menasihatkan ibu bapa untuk mengawal penggunaan peranti elektronik dalam kalangan anak-anak dan diri mereka sendiri demi menunjukkan teladan untuk diikuti.

“Ibu bapa muda perlu pantau perkembangan fizikal, emosi dan sosial anak-anak. Kawal penggunaan peranti elektronik anak-anak dan diri kita sendiri sebagai ibu bapa.

“Kita tak mahu anak-anak kita mengikut teladan yang tabiatnya sama macam robot dan kemudian menjejaskan mereka pada masa akan datang,” katanya dan menambah ibu bapa perlu merancang masa anak-anak dengan memastikan jadual aktiviti mereka seimbang.

“Hadkan masa anak-anak dengan telefon pintar dengan cara kita berkomunikasi dengan mereka. Rancang masa mereka di rumah, dan pastikan mereka membesar dalam suasana positif.”

Atlet memanah negara, Haziq Kamaruddin meninggal dunia pada usia 27 tahun

Bernama

Haziq tiba-tiba rebah sejurus keluar dari bilik air selepas solat Subuh dan terus tidak sedarkan diri.

Arena sukan tanah air hari ini dikejutkan dengan berita pemergian atlet memanah negara Haziq Kamaruddin yang meninggal dunia awal pagi tadi.

Menurut seorang ahli keluarganya yang enggan dikenali, pemanah recurve berusia 27 tahun itu rebah di rumahnya di Kajang selepas menunaikan solat Subuh pagi tadi.

“Arwah tiba-tiba rebah sejurus keluar dari bilik air selepas solat Subuh dan terus tidak sedarkan diri,” kata wanita itu ketika dihubungi Bernama.

Menurutnya, Haziq kemudian digegaskan ke Hospital Kajang namun disahkan meninggal dunia sejurus ketibaan di hospital itu.

Pemanah berasal dari Johor itu pernah mewakili negara ke temasya Olimpik sebanyak dua kali, iaitu pada edisi London 2012 serta Rio 2016 di Brazil dan kini sedang mengejar slot kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo yang dijadualkan berlangsung dari 23 Julai hingga 8 Ogos depan.

Haziq yang sedang menjalani persiapan untuk kelayakan ke temasya di Tokyo itu sudah sedekad mewakili negara di pelbagai peringkat, termasuk meraih pingat emas Grand Prix Asia 2011 di Laos dan gangsa semasa Piala Asia 2019 di Filipina.

Pencapaian lain Allahyarham yang pernah dinobatkan sebagai Olahragawan Terbaik Sekolah Sukan Bukit Jalil pada 2011 itu ialah meraih empat pingat emas dan dua perak dalam acara individu serta berpasukan sepanjang penyertaannya di Sukan SEA sejak edisi 2011 hingga 2019.

Sementara itu, rakan sepasukannya Zulfadhli Ruslan merupakan antara yang terawal memaklumkan tentang pemergian Haziq menerusi laman Facebooknya.

“Assalamualaikum dan salam sejahtera, dukacita dimaklumkan sahabat saya, Haziq Kamaruddin pergi mengadap llahi pagi tadi. Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama orang beriman. Minta semua rakan-rakan saya mendoakan. Al-Fatihah,” menurut catatan beliau.

34 korban akibat Covid-19, kes baru catat angka 4,113

Staff Writers  MALAYSIA NOW

Selangor catat kes harian tertinggi hari ini sebanyak 1,269.

Malaysia mencatat 4,113 kes baru Covid-19 hari ini menjadikan kes keseluruhan Covid-19 meningkat sebanyak 462,190 kes.

Selangor kekal mencatat kes harian tertinggi sebanyak 1,269 kes disusuli Sarawak (533), Kelantan (371), Johor (335) dan Kuala Lumpur (306).

Hanya Labuan (6) dan Perlis (5) sahaja yang mencatatkan kes satu digit hari ini.

Negara juga mencatat sebanyak 4,190 kes sembuh menjadikan jumlah keseluruhan kes sembuh meningkat kepada 418,897.

Kes aktif dengan kebolehjangkitan pula kini berjumlah 41,471.

Dalam pada itu, 482 pesakit ditempatkan di Unit Rawatan Rapi termasuk 250 orang memerlukan bantuan alat pernafasan.

Malaysia turut mencatat 34 lagi korban akibat Covid-19, menjadikan jumlah mangsa yang maut meningkat kepada 1,822.

K'jaan Kelantan umum sumbangan RM100,000 kepada Palestin

MALAYSIAKINI

Malaysiakini

Kerajaan Kelantan hari ini mengumumkan sumbangan berjumlah RM100,000 melalui Tabung Serambi Mekah sebagai tanda kebersamaan perjuangan membebaskan bumi Palestin daripada kebejatan Zionis.

Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob berkata sumbangan tersebut akan disampaikan secara terus kepada rakyat Palestin yang sangat memerlukan bantuan kewangan pada masa ini.

Beliau berkata perlakuan rejim Zionis bukan sahaja suatu tindakan zalim dan tidak berperikemanusiaan bahkan telah melanggari prinsip kemanusiaan serta mencabuli dasar hak asasi tajaan barat itu sendiri.

"Saya mengikuti perkembangan secara dekat situasi yang dihadapi rakyat Palestin, perjuangan rakyat Palestin sudah tentu memerlukan doa dan munajat umat Islam dari seluruh pelusuk dunia. Perjuangan rakyat Palestin juga wajib disusuli dengan infak dan sumbangan daripada kita semua.

"Atas solidariti tersebut, kerajaan negeri Kelantan melalui Tabung Serambi Mekah akan menyalurkan sumbangan RM100,000 sebagai tanda kebersamaan perjuangan membebaskan bumi Palestin daripada kebejatan Zionis," katanya dalam satu kenyataan, di Kota Bharu hari ini.

Ahmad berkata selain itu, orang ramai juga dipelawa untuk membuat sumbangan kepada rakyat Palestin melalui Tabung Serambi Mekah.

Beliau berkata sumbangan ini akan dibuka selama tujuh hari mulai hari ini hingga Rabu depan (19 Mei).

"Sumbangan boleh disalurkan melalui Tabung Amanah Kebajikan Darulnaim (Tabung Serambi Mekah) 03018010080024 (Bank Islam). Hantarkan maklumat sumbangan Al-Aqsa melalui WhatsApp kepada Mohd Roshdi Ismail (013-9015602)," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Akhbar kepada Menteri Besar Mohd Khairul Padli Baduldin berkata sebagai menyahut seruan sumbangan kepada umat Islam di Palestin, Ahmad akan membuat sumbangan peribadi berjumlah RM10,000 melalui Tabung Serambi Mekah.- Bernama

SURAT | Kudeta Myanmar: Tuntutan artis kepada menteri luar M'sia

MALAYSIAKINI

Malaysiakini

Ke hadapan Menteri Luar Hishammuddin Hussein.

Kami, Transnational Coalition for the Arts atau Transnation — sebuah gabungan dengan lebih 45 organisasi artis serta individu di Malaysia serta di luar negara – mendesak agar kerajaan Malaysia mengambil langkah tegas bagi membendung keganasan tentera di Myanmar.

Sejak bermulanya kudeta tentera pada 1 Februari 2021, lebih 750 orang awam sudah terbunuh. 

Junta tentera, diketuai oleh Jeneral Min Aung Hlaing, tidak menunjukkan sikap menghormati hak asasi.

Penunjuk perasaan tanpa senjata dipukul dan dibunuh, anak-anak kecil serta pekerja kesihatan ditembak, rumah dan sekolah dibom tanpa dipedulikan.

Walaupun berdepan keganasan tentera, rakyat Myanmar meneruskan protes terhadap kudeta, yang jelas menandakan bahawa junta tentera tidak mempunyai keabsahan politik mahu pun keutuhan moral.

Oleh yang demikian, kami menggesa kerajaan Malaysia serta Asean sepatutnya menyatakan tuntutan bagi menghentikan keganasan tentera Myanmar, menghentikan hubungan dengan junta tentera, serta memperakui dan bekerjasama terus dengan Kerajaan Perpaduan Nasional yang ditubuhkan oleh Jawatankuasa Perwakilan Pyidaungsu Hluttaw (CRPH).

Malaysia, selaku anggota pengasas Asean, mempunyai kapasiti untuk meredakan keadaan bagi memastikan keselamatan serantau.

Kami terkesan dengan kurangnya komitmen dari Asean bagi menghentikan perilaku ketidakmanusiaan ini saatnya peluru terus ditembak serta rakyat Myanmar terus merana dan hidup dalam ketakutan.

Persetujuan lima perkara yang dicapai di Persidangan Asean yang diadakan pada 24 April 2021 di Jakarta, tampaknya tidak memberi kesan.

Diplomasi tanpa campur tangan sesungguhnya menemui kegagalan.

Sementara kami memuji tuntutan dari kementerian anda yang menuntut agar “keganasan dihentikan serta-merta, tanya syarat serta pembebasan secepat mungkin semua tahanan politik, serta meneruskan dialog inklusif melibatkan semua pihak yang terlibat bagi sebuah peralihan yang aman terhadap krisis yang berterusan dengan Myanmar dan rakyatnya menjadi keutamaan”, kami beranggapan kenyataan ini tidak lagi mencukupi.

Dengan mengambil kenyataan dari Dr Sasa (Menteri Kerjasama Antarabangsa NUG serta utusan CRPH) serta Tom Andrews (Pelapor Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu), hanya tindakan yang jelas dan tegas dapat menyelamatkan Myanmar.

Kami menggesa pihak kerajaan agar menjayakan respon yang lebih tersusun bagi menamatkan krisis, serta mendukung dan mengetuai usaha berkenaan ke arah:

  • Menyokong tuntutan untuk mengenakan embargo senjata api global yang menyeluruh ke atas Myanmar;
  • Menarik balik semua pelaburan awam di Myanmar, serta tidak menggalakkan pelaburan swasta di Myanmar oleh syarikat-syarikat berdaftar di Malaysia melalui peruntukan fiskal strategik;
  • Untuk berurusan terus dengan NUG serta mendukung Piagam Demokrasi Persekutuan serta hala tuju bagi membentuk kerajaan yang demokratik dan inklusif;
  • Mengecam junta tentera serta menuntut pegawai tentera untuk diadili ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) atas dakwaan melakukan jenayah kemanusiaan.

Kami menantikan dengan penuh harapan bagi menerima respon positif serta keputusan bijak bagi menjamin keselamatan rakyat di Myanmar dan serantaunya.


TRANSNATION ialah gabungan lebih 45 organisasi artis serta individu di Malaysia serta di luar negara.