Rabu, 27 Jun 2018

Najib, Rosmah akan disoal siasat kes barang rampasan, 1MDB

ISMA WEB

Wang, barang kemas dari kediaman bekas PM disimpan di Bank Negara


KUALA LUMPUR – Bukit Aman akan memanggil bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor untuk memberi keterangan berkaitan siasatan terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh berkata, kedua-duanya akan dipanggil secepat mungkin untuk disoal siasat, tetapi pihaknya akan memanggil individu lain terlebih dahulu.

Memberitahu sidang media di sini hari ini, beliau berkata, pasangan yang dikatakan ‘pemberi hadiah’ juga akan dipanggil untuk soal siasat.

“Setakat ini, kami telah merekodkan lebih 30 kenyataan berhubung siasatan itu,” katanya pada sidang media di Bukit Aman, hari ini.

Menyatakan bahawa beliau tidak tahu mengenai khabar angin mengatakan bekas Perdana Menteri ‘ditangkap’ semalam, Amar Singh berkata, setakat ini polis tidak melakukan apa-apa tangkapan.

Terdahulu, beliau mendedahkan jumlah keseluruhan nilai barangan dirampas di kediaman Najib adalah antara RM900 juta hingga RM1.1 bilion.

Katanya, polis mengambil masa 36 hari, termasuk ketika cuti Aidilfitri, untuk mengira dan menilai barang rampasan itu bermula 21 Mei hingga 25 Jun lalu.

Mengulas rampasan terbesar dalam sejarah Malaysia setakat ini, Amar Singh berkata, pengiraan dan pemeriksaan teliti mengambil masa yang lama kerana jumlah barangan yang dirampas terlalu banyak dan memerlukan pengesahan pakar.

“Lapan pasukan khas terdiri daripada pakar dan pegawai terbabit dalam pengiraan dan membabitkan 150 anggota,” katanya.

Beliau berkata, semua barang kemas dan wang yang dirampas itu kini disimpan di Bank Negara.

Katanya, polis juga menemui pelbagai dokumen di premis di Putrajaya dan masih menyiasat kaitannya dengan skandal 1MDB.


Tiada ulasan: