Jumaat, 29 Jun 2018

Wan Azizah sahkan ada yuran untuk bertanding pemilihan PKR

THE MALAYSIAN TIMES
 


SHAH ALAM: Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengesahkan bahawa parti itu mengenakan yuran mengikut kadar tertentu terhadap mana-mana individu yang ingin bertanding di peringkat kepimpinan pusat atau cabang pada pemilihan PKR tahun ini.

Dr Wan Azizah yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata penetapan kadar yuran itu telah dipersetujui secara rasmi dalam mesyuarat parti sebelum ini.

“Perkara ini ada dalam pekeliling dan kita tiada agensi kerajaan yang tanggung kerana ini urusan parti. Parti buat peraturan untuk kita sama-sama tanggung kos pemilihan itu,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Hari Terbuka Aidilfitri Institut Darul Ehsan (IDE) di sini, hari ini.

Kira-kira 200 tetamu hadir pada majlis itu yang turut dihadiri Menteri Besar Selangor Amirudin Shari, Pengerusi IDE Prof Datuk Dr Siddiq Fadzil dan Timbalan Pengerusinya Prof Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman.

Baru-baru ini, tular di media sosial mengenai yuran pemilihan PKR 2018 bagi jawatan presiden dan timbalan presiden yang masing-masing dikatakan sebanyak RM25,000 dan RM20,000 manakala bagi jawatan naib presiden yuran yang dikenakan RM10,000 dan anggota majlis pimpinan pusat sebanyak RM5,000.

Sementara di peringkat sayap pusat, jawatan ketua dikenakan yuran RM10,000, timbalan ketua (RM7,000), naib ketua (RM5,000) dan jawatan ahli majlis pimpinan sebanyak RM3,000.– Bernama

Tiada ulasan: