Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Tampan itu berkata ia bagi memberi semangat kepada wakil rakyat Umno dan BN yang mungkin tertekan selepas mengalami kekalahan teruk pada Pilihan Raya Umum ke 14.
“Saya berpendapat pucuk pimpinan kena sentiasa ada hubungan dari masa ke semasa. Yang di Perak kita ada kumpulan Whatapps 25 Adun dan dalam itu kita bincang walaupun tak dapat kerap berjumpa kita bincang.
“Tetapi pada saya, saya dah beritahu pada Datuk Seri (Ahmad) Zahid Hamidi agar kerapkan perjumpaan dengan wakil rakyat ini sebab mata berpandangan, dari mata turun ke hati.
“Kalau biarkan dia bersendirian, dia akan berasa tertekan dan rasa keseorangan. Tapi kita kalau duduk ramai kita akan rasa kita kuat,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan Ahli Parlimen Bagan Serai Dr Noor Azmi Ghazali keluar Umno dan menyokong kepimpinan Dr Mahathir dan Pakatan Harapan Perak semalam.
Beliau yang telah memaklumkan perkara tersebut kepada pemangku Presiden Ahmad Zahid Hamidi berharap perkara sebegini diambil perhatian serius.
Dalam pada itu, Adun Bota, Khairul Shahril Mohamed berkata sudah tiba masanya kerajaan menggubal perlembagaan untuk menghalang mana-mana wakil rakyat lompat parti.
“Kita rasa benda ini mengkhianati pengundi dan parti. Pada saya patutnya Parlimen dah gubalkan perlembagaan buat satu syarat bahawa wakil rakyat yang menang tak boleh lompat parti. Kalau lompat parti gugurlah jawatan sebagai wakil rakyat.
“Saya kecewa kenapa kerajaan tak gubal dari dulu,” katanya yang juga Pemuda Umno Perak.
Semalam, Calon Presiden Umno, Khairy Jamaluddin berkata Umno dan Barisan Nasional perlu mempunyai identiti yang jelas untuk mengelakkan isu wakil rakyatnya keluar parti berlaku.
Ahli Parlimen Rembau itu berkata antara sebab beliau mahu merebut jawatan nombor satu parti adalah untuk membimbing parti itu ke arah lebih jelas.
“Kepimpinan Umno BN mesti menunjukkan identiti yang jelas agar ahli-ahli parlimen kita tidak lompat,” katanya.
Dr Noor Azmi adalah wakil rakyat BN yang ketiga keluar parti di Perak selepas dua wakil rakyat,
Zainol Fadzi Paharuddin (Adun Sungai Manik) dan Nolee Ashiling Mohammed Radzi (Adun Tualang Sekah) meninggalkan Umno seminggu selepas PRU14.
Keputusan itu juga dibuat sehari selepas Gerakan mengumumkan keluar BN dan dua minggu selepas BN kehilangan rakan kongsinya di Sarawak.
Penganalisis politik menjangkakan lebih ramai lagi ramai wakil rakyat Umno dan BN akan ikut jejak langkah mereka kerana Umno kini dilihat lemah dan masih dalam peringkat memulihkan parti.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan