Datuk Seri Najib Razak mendakwa isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor sendiri terkejut dengan jumlah rampasan yang diumum pihak polis pada sidang media khas semalam.
Bercakap dalam wawancara eksklusif di pejabat portal berita Malaysiakini, bekas Presiden Umno itu berkata, seperti para suami yang lain, beliau tidak tahu secara menyeluruh sebanyak mana koleksi barang kemas dan barangan lain yang dimiliki Rosmah.
“Saya fikir penilaian itu… dia (Rosmah) tidak percaya jumlahnya seperti itu. Dan beberapa barangan juga, seperti barangan kemas, ia mempunyai rekod bahawa ia dikirim.
“Jadi kita perlu mengenal pasti barang-barang itu dan memulangkannya (kepada pengirim),” dipetik dari Malaysiakini.
Bekas Perdana Menteri selama sembilan tahun sebelum partinya kalah teruk pada PRU-14 itu turut mendakwa, terdapat barangan kemas yang dirampas bukan milik isterinya.
Bahkan, jelasnya, terdapat juga barangan yang dirampas milik anak perempuannya Nooryana Najwa beserta suami serta ibu mertuanya.
Untuk rekod, Nooryana Najwa Najib berkahwin dengan warga Kazakhstan, Daniyar Kessikbayev ketika masing-masing berusia 27 tahun pada 2015. Majlis resepsi perkahwinan pasangan itu di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pernah mengundang kontroversi termasuk larangan kepada tetamu untuk membuat rakaman.
Walau bagaimanapun, beberapa foto yang tersebar di Facebook menyaksikan suasana majlis berlangsung begitu mewah. Malah, Mahathir pernah mendakwa perbelanjaan bagi hiasan bunga-buangan sahaja mencecah RM3 juta.
Semalam, rakyat Malaysia gempar apabila polis mendedahkan nilai barangan rampasan di enam premis yang dikaitkan dengan Najib pada bulan lalu berjumlah RM1.1 bilion.
Jumlah tersebut melibatkan wang tunai dari pelbagai negara bernilai RM116.7 juta, 567 beg tangan (RM51.3 juta), 423 jam tangan (RM78 juta), 234 kacamata (RM374,000) dan 12,000 barang kemas dengan nilai RM440 juta.
Mengulas lanjut tentang rampasan itu, Najib berkata, pemilik barang kemas yang menghantar barangan itu kepada pihaknya untuk tujuan tontonan kini menuntut supaya barangan tersebut dipulangkan semula.
“Janganlah kita terus membuat kesimpulan. Benarkan kami memeriksa barangan tersebut secara individu,” katanya yang sedang berdepan skandal menggemparkan dunia, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Tambahnya, selepas senarai barangan disita itu diperiksa, terdapat beberapa perkara lain yang perlu diambil kira antaranya seperti tarikh pembelian dan harga sesebuah batu yang perlu dinilai terlebih dahulu.
Najib turut menyebut tentang isteri bekas presiden Amerika Syarikat Barrack Obama ketika ditanya tentang adakah beretika apabila seseorang yang mempunyai jawatan menerima hadiah yang berharga.
Ujarnya, Michelle turut menerima hadiah berjumlah berjuta-juta daripada bekas pemerintah Arab Saudi, Raja Abdullah Abdulaziz Al Saud.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan