Selasa, 30 Jun 2020

Ayob Khan terima ancaman sindiket penyeludupan PATI

JOHOR BAHRU: Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay menerima beberapa ancaman daripada sindiket Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) antarabangsa berikutan ketegasan Polis Johor menggempur rangkaian sindiket berkenaan di negeri ini.

Bagaimanapun, Ayob Khan menyifatkan ancaman yang diterimanya itu adalah lumrah anggota penguat kuasa.

Beliau menegaskan tidak akan sesekali tunduk dengan ancaman yang diterima, malah akan terus memperhebatkan operasi bagi mengekang kegiatan penyeludupan masuk atau keluar PATI.

"Memang ada usaha untuk mengambil tindakan ke atas saya termasuk ancaman diberikan. Ada menerusi WhatsApp, mesej dan Facebook juga.

"Itu adalah lumrah. Apa yang penting kita berhati-hati dalam apa juga tindakan, kita berjaga-jaga dan yang selebihnya serah pada Allah. Selagi kita ikhlas berkhidmat, jangan takut. Kalau takut jangan jadi pegawai polis.

"Jadi guru, jadi wartawan pun ada yang terima ancaman. Itu biasa, jadi tuan-tuan jangan bimbang jangan takut," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini, hari ini.

Sehingga kini, polis Johor sudah menahan lebih 20 pegawai dan anggota agensi penguat kuasa di negeri ini termasuk pegawai kanan polis, pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) selain pegawai Jabatan Imigresen berikutan mereka bersengkongkol dengan rangkaian sindiket antarabangsa menyeludup PATI dan jenayah.

Mengulas lanjut, Ayob Khan berkata, kekerapan operasi bersepadu mengekang sindiket menyeludup PATI di Pantai Timur Johor kini menjadikan hampir 95 peratus kawasan itu kini bersih daripada kegiatan penyeludupan migran.

"Kita akan menumpukan pula usaha untuk melumpuhkan kegiatan sindiket imigran di Pantai Barat Johor pada masa ini, " katanya.

Pelan tindakan Pasar Borong KL sudah di peringkat akhir

Mohd Zaini Samsu Hadi
MGF30062020_ANNUAR-LAWAT-PASAR-KL10-681x454
Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa bertanyakan sesuatu daripada peniaga sambil diiringi Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan (tengah) ketika meninjau keadaan semasa di Pasar Borong Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL,

KUALA LUMPUR – Pelan tindakan untuk membangunkan Pasar Borong Kuala Lumpur (PBKL) yang lebih moden dan sesuai sudah di peringkat akhir.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, pelan itu disediakan oleh  Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan pelaksanaannya dianggarkan menelan kos sehingga RM200 juta hingga RM300 juta.

Kos itu membabitkan pembinaan bangunan berteknologi hijau serta penggunaan lebih banyak jentera, dengan mengambil contoh model pasar borong di Jepun, Korea dan beberapa negara maju lain.

“Kita mahu menyediakan tempat berniaga yang lebih baik untuk semua, termasuk peniaga dan pengguna. PBKL ini sudah hampir 30 tahun dan bangunannya sudah tentu perlu diperbaharui.

“Ini tanah DBKL dan mereka boleh memutuskan kaedah manakala bangunan lama tidak semestinya perlu diusik. Kita ada ruang untuk membina,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke PBKL di sini hari ini.

Hadir sama pada sesi lawatan tersebut, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham A Dahlan.

Menurut Annuar lagi, projek tersebut dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh setahun dari tarikh mula pembinaannya.

Dalam pada itu Annuar berkata, DBKL sedang meneliti beberapa kaedah pelaksanaan, termasuk cara kreatif untuk menampung kos pembinaan bagi meminimumkan penggunaan dana daripada kerajaan. – MalaysiaGazette

Abu Zahar antara 24 individu dilantik ahli bebas SPRM

Kumara Sabapatty

PPPR-new-small-1-681x488

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini mengumumkan pelantikan seramai 24 ahli badan bebas agensi tersebut yang telah menerima surat cara dan pelantikannya.

Bekas Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang dan bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar antara ikon popular yang membarisi badan tersebut.

Dalam kenyataan hari ini, SPRM berkata, seramai tujuh ahli Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) telah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong berkuat kuasa mulai 21 Mei 2020 sehingga 20 Mei 2023.

Pelantikan tersebut adalah dibuat atas nasihat Perdana Menteri mengikut Seksyen 13 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009 (Akta 694).

Ahli-ahli LPPR terdiri daripada tujuh orang dipengerusikan oleh Abu Zahar Ujang iaitu Ismail Omar bekas Pengerusi Bernama, Datuk Seri Azman Ujang; Presiden Persatuan Fraud Bertauliah Malaysia Datuk Seri Akhbar Satar,Pengarah Urusan The IA Group Datuk Dr Hamzah Kassim;Pengarah Urusan DC&A Group Datuk David Chua Kok Tee dan akhirnya Ahli Akademik Universiti Kebangsaan Malaysia, Professor Madya Dato’ Dr Mohammad Agus Yusoff.

Sementara itu, seramai 12 ahli Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR) dan lima ahli Panel Penilaian Operasi (PPO) turut dilantik oleh Perdana Menteri secara pentadbiran.

Tempoh PPPR berkuat kuasa adalah mulai 1 Jun 2020 hingga 31 Mei 2022 manakala PPO berkuat kuasa mulai 1 April 2020 hingga 30 Mei 2022.

Para ahli PPPR terdiri daripada bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Borhan Dolah selaku pengerusi,Pengarah Urusan Berita Dan Hal Ehwal Semasa Kumpulan Rangkaian Televisyen Media Prima Datuk Manja Ismail;Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) Datuk Prof. Dr. Azizan Baharuddin;Profesor Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran, Universiti Malaya Prof. Dr Edmund Terence Eric Boniface Gomez.

Turut tersenarai tokoh terkemuka dunia kewartawanan iaitu Pengerusi Malaysian Press Institute (MPI) Datuk Chamil Wariya, Presiden Persatuan Karyawan Malaysia Datuk Freddie Fernandez,Presiden Majlis Belia Malaysia Jufitri Joha,bekas Ketua Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara Datuk Dr.Siti Norlasiah Ismail

Selain itu, Pengerusi Pertubuhan Ekonomi Wanita dan Kebajikan Norita Che Ali,Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan;Pengarah Urusan Skop Productions Sdn. Bhd. Datuk Md Yusof Md Aslam dan Peguambela & Peguamcara di Shukor Baljit & Partners Datuk Baljit Singh Sidhu

Manakala Ahli-ahli PPO terdiri daripada lima orang iaitu dipengerusikan oleh Bekas Timbalan Ketua Bahagian II Bahagian Pendakwaan Jabatan Peguam Negara Datuk Ahmad Rosli Mohd Sham (Pengerusi),Bekas Timbalan Pengarah Bahagian Perisikan Kewangan dan Penguatkuasaan, Bank Negara Malaysia Dr. Mazlan Haji Ahmad;Bekas Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pematuhan), Lembaga Hasil Dalam Negeri,Datuk Abdul Manap Dim;Bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Mohd Faudzi Che Mamat dan Bekas Timbalan Ketua Pengarah ( Penguatkuasaan dan Pematuhan), Kastam, Datuk Azimah Abdul Hamid.

Tambah SPRM, kesemua 24 ahli yang dilantik tersebut terdiri daripada golongan profesional serta pakar pelbagai bidang yang mewakili pelbagai lapisan masyarakat bagi memantau pelaksanaan fungsi dan operasi SPRM.

Surat cara dan pelantikan bagi kesemua individu yang menganggotai LPPR, PPO serta PPPR itu telah disampaikan oleh Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Azam Baki di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya hari ini.-MalaysiaGazette

Tiada maaf bagimu – Pemuda UMNO

Manzaidi Mohd Amin
MGF05122019_PERSIDANGAN-PEMUDA03-681x454
Dr Asyraf Wajdi Dusuki

KUALA LUMPUR – Pemuda UMNO Malaysia mahu tindakan tegas diambil ke atas pihak yang melakukan penghinaan terhadap lambang kedaulatan negara, termasuk Jata Negara.

Ketuanya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, tidak semudah itu lafaz maaf boleh diterima setelah penghinaan terhadap negara diperlakukan sedemikian rupa.

“Kami baca kenyataan pengarah dan pengasas syarikat penerbitan Gerakbudaya, Chong Ton Sin yang dilaporkan Malaysiakini pagi ini, bahawa pihaknya tiada niat untuk menghina Jata Negara.

“Dia kata, walaupun tak sengaja, kalau sudah buat sesiapa rasa kurang senang, ada menyinggung perasaan mereka, itu saya minta maaf. Bagi Pemuda UMNO, ini bukan soal “sesiapa rasa kurang senang”.

“Malah, tidak semudah itu lafaz maaf boleh diterima setelah penghinaan terhadap lambang kedaulatan negara diperlakukan sebegitu rupa. Oleh itu, permohonan maaf  tidak boleh diterima,” katanya dalam kenyataan di sini.

Chong Ton Sin dalam kenyataannya kepada portal berkenaan, telah membuat permohonan maaf dengan menyatakan, pihaknya tiada niat untuk menghina lambang negara.

“Satu, kami memang tak sengaja mahu hina atau apa-apa. Kedua, walaupun kami tak sengaja, kalau sudah buat sesiapa rasa kurang senang, ada menyinggung perasaan mereka, itu saya minta maaf,” katanya.

Dr. Asyraf Wajdi mengingatkan individu terbabit, bahawa martabat dan maruah negara tidak sesekali boleh diperlekehkan sewenang-wenangnya.

Bahkan, katanya, undang-undang jelas memperuntukkan Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) Pindaan 2016, yang mengenakan hukuman penjara sehingga tiga tahun dan denda sehingga RM 20,000 bagi kesalahan penggunaan lambang negara termasuk jata negara secara tidak wajar.

“Prinsip Undang-undang ada menyebut ‘Ignorantia Juris Non Excusat’ (Ignorance of the Law is No Excuse), bermaksud kejahilan terhadap undang-undang bukan suatu alasan,” katanya.

Sementara itu, Exco Pemuda UMNO, Mustafa Shah Abdul Hamid berkata, perbuatan menghina Jata Negara adalah tindakan tidak patriotik dan tidak boleh dimaafkan kerana jelas mencabar perkara berkait kedaulatan negara.

Ujarnya, pihak berkuasa perlu menjalankan siasatan terperinci terhadap perbuatan itu dan tindakan tegas berdasarkan peruntukan undang-undang perlu diambil sekiranya terbukti bersalah.

“Walaupun penerbit buku itu telah tampil memohon maaf, kita tetap mahukan siasatan dan tindakan diambil jika terbukti berlaku perbuatan menghina Jata Negara.

“Perbuatan ini tidak boleh diselesaikan hanya dengan permohonan maaf saja. Ini soal simbol yang menjadi kedaulatan negara yang tidak seharusnya dihina ataupun dipersenda sebegitu rupa.

“Sebagai warganegara Malaysia, jata negara harus dihormati, bukan diperlecehkan meskipun sebagai cara untuk menyampaikan protes,” katanya. – MalaysiaGazette

Tun M serba salah, bukan beliau cadang Mukhriz jadi TPM2

Shawaliah Hadir
MGF18052020_PC-TUN-M16-1-681x454
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bersama Datuk Seri
Mukhriz Mahathir.

KUALA LUMPUR – Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui terbit rasa serba salah dalam dirinya apabila nama anaknya dicadangkan menjadi Timbalan Perdana Menteri 2.

Bekas perdana menteri itu mendedahkan cadangan tersebut bukan daripada dirinya sendiri, sebaliknya nama Datuk Seri Mukhriz sudah disebut sebelum beliau mengeluarkan kenyataannya kelmarin.

Dr Mahathir dalam kenyataannya mengesahkan sokongan terhadap Datuk Seri Shafie Apdal sebagai Perdana Menteri manakala Datuk Seri Anwar Ibrahim dinamakan sebagai Timbalan Perdana Menteri I dan Mukhriz Timbalan Perdana Menteri II.

Pengesahan tersebut dibuat selepas satu pertemuan tidak rasmi dibuat bersama Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng pada 22 Jun yang lalu.

“Cadangan ini tidak datang dari saya. Dalam kenyataan bersama Mohamad bin Sabu, Ketua Parti Amanah dan Lim Guan Eng, DAP pada 22 Jun, pelantikan Mukhriz sebagai TPM II sudahpun disebut.

“Saya berada dalam keadaan serba salah. Di waktu saya jadi Perdana Menteri kali pertama saya telah larang anak saya dari bergiat dalam politik, khusus sebagai ahli parti Kerajaan. Saya tidak hendak dituduh mengamal nepotisme, memberi keistimewaan kepada keluarga saya,” katanya menerusi kenyataan.

Artikel berkaitan: Shafie calon PM, Anwar TPM1, Mukhriz TPM2

Dr Mahathir juga berkata, beliau tidak pernah menghalang anak-anaknya bergiat aktif dalam politik dan membiarkan semua anaknya bergantung kepada diri sendiri.

Namun beliau dalam masa yang sama tidak mempunyai hak untuk menentang cadangan agar Mukhriz dilantik sebagai TPM II.

“Tetapi apabila saya tidak lagi menjadi Perdana Menteri, tanggungjawab menjaga nama saya, tidak sepatutnya dipikul berterusan oleh anak saya. Mereka dibebas untuk berpolitik. Jaya atau tidaknya politik mereka bergantung kepada diri mereka.

“Apabila nama Mukhriz dicadang untuk jawatan-jawatan tertentu, saya tidak ada hak untuk menentang kerana kepentingan diri saya,” tambah Ahli Parlimen Langkawi itu.

Artikel berkaitan: Sudah jelas Dr Mahathir mahu anaknya jadi PM – Ronnie

Menyedari cadangan ini dikritik hebat, bekas Perdana Menteri ketujuh itu walaubagaimanapun tidak memaksa sesiapa untuk percaya kepada penjelasannya hari ini.

“Sama ada penjelasan saya ini dipercayai atau tidak, terpulanglah kepada masing-masing. Sudah tentu orang yang bermusuh dengan saya, akan bercakap sinis. Ini saya terima kerana memang pun ia adalah naluri manusia,” ujarnya lagi.

Sehingga kini Mukhriz masih belum memberikan respon berkaitan pencalonan dirinya.-MalaysiaGazette

PKR tolak kombo Shafie-Anwar-Mukhriz

MalaysiaGazette
BAKAL_PM_TPM1_TPM2-681x403
Datuk Seri Shafie Apdal dinamakan sebagai calon baharu perdana menteri
Pakatan Harapan.

PETALING JAYA – PKR menolak cadangan Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk mengangkat Datuk Seri Shafie Apdal sebagai Perdana Menteri (PM) manakala Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Sinchew Daily melaporkan, PKR bertegas supaya Anwar menjadi calon PM dan pendirian itu tidak tergoyang oleh cadangan alternatif oleh Dr. Mahathir.

“Tindakan Dr. Mahathir ini adalah untuk memalukan Anwar, bukannya ikhlas mengangkat Shafie sebagai PM.

“Jangan lupa bahawa parti yang dipimpin Shafie adalah parti pelbagai kaum, bukannya parti Melayu,” kata sumber kepada Sinchew Daily.

Kata sumber itu, mengikut prosedur, PKR hanya akan berbincang tentang cadangan gandingan baharu sekiranya ia dibangkitkan dalam Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) oleh parti komponen.

Katanya, Majlis Pimpinan Pusat PKR yang bermesyuarat pada Ahad justeru tidak membincangkan cadangan Shafie sebagai PM secara rasmi, tetapi isu itu hanya dibangkit secara ringkas dalam mesyuarat.

“Daripada pemimpin yang berbicara dalam mesyuarat, tiada seorang pun yang menyokong Shafie sebagai PM.

“PKR tidak membincangkan isu ini secara rasmi, kami tidak peduli melainkan DAP atau Amanah membangkitkannya dalam mesyuarat Majlis Presiden PH.

“Pendirian kami justeru adalah selari dengan keputusan yang dibuat sebelum ini, iaitu menyokong Anwar sebagai PM,” katanya.

Menurut sumber, Sekretariat PH akan memanggil mesyuarat pada 2 Julai dan isu gandingan Shafie-Anwar-Mukhriz mungkin dibincangkan jika ada parti komponen yang membangkitkannya.

Selepas melepasi Sekretariat PH, isu itu akan dimasukkan dalam agenda mesyuarat Majlis Presiden PH.

Dalam pada itu, seorang lagi pemimpin PKR berkata, mesyuarat pada Ahad tertumpu kepada isu disiplin parti dan persediaan menghadapi pilihan raya kilat, sementara isu Shafie sebagai PM tidak dibincang secara rasmi. – MalaysiaGazette

Azhar sudah lepas jawatan Pengerusi SPR?

Muhammad Azizul Osman
MGF19062020_PENGERUSI-SPR-LAWATAN-PUSAT-PENAMAAN-CALON-CHINI17-681x454
Azhar Azizan Harun

CHINI – Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Azhar Azizan Harun dipercayai tidak akan hadir semasa pengumuman keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini pada hari Ahad ini.

Malah sumber-sumber Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan, Azhar juga tidak akan menghadirkan diri untuk mana-mana program suruhanjaya itu lagi.

Ini kerana beliau telah melepaskan jawatan sebagai Pengerusi SPR semalam.

Ketiadaan beliau pagi ini ketika proses undi awal yang sedang berlangsung di Balai Polis Chini mengukuhkan lagi kenyataan sumber tersebut.

Setakat berita ini ditulis, MalaysiaGazette dimaklumkan peletakan jawatannya masih belum mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Artikel berkaitan: Usul tukar Speaker tidak bercanggah dengan doktrin pemisahan kuasa

Usul singkir Speaker elak undi tidak percaya PM – Vui Keong

Usul tukar Speaker, undi tidak percaya dan percaya pada 13 Julai

Azhar disebut-sebut akan menggantikan Speaker Dewan Rakyat yang baharu, menggantikan Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof.

Baru-baru ini, Sinchew Daily melaporkan sidang Dewan Rakyat yang akan bersambung pada 13 Julai ini dijangka dramatik kerana Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan mengusulkan Speaker dan Timbalan Speaker yang baharu untuk menggantikan Mohamad Ariff dan Nga Kor Ming.

Bagaimanapun perubahan itu tidak melibatkan Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohd. Rashid Hasnon yang menyokong Kerajaan Perikatan Nasional.- MalaysiaGazette

'Bukan isu kos PRU, tapi kos manifesto bulan bintang'- Pensyarah UPM

Desakan agar pilihan raya umum (PRU) disegerakan bagi memecah ketidaktentuan majoriti di parlimen, dilihat sesetengah pihak sebagai tidak kena pada masanya, di kala negara masih di fasa awal pemulihan daripada kesan wabak Covid-19.

Terutamanya, kesan ekonomi yang memberi tempias kepada bukan sedikit rakyat akibat perintah kawalan pergerakan (PKP) yang mula-mula dikuasakan pada 18 Mac lalu, sedangkan kos mengadakan PRU bakal menelan belanja yang tidak sedikit.

Bagaimanapun, Pensyarah Kanan Putra Business School Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata kos PRU bukan menjadi kebimbangannya.

Tetapi katanya, kos untuk melunaskan janji manifesto “bulan dan bintang” yang bakal diketengahkan ahli-ahli politik bagi memancing sokongan pengundi.

Selain itu, katanya, persoalan yang lebih penting, adalah perubahan dasar dan polisi yang selain menjejaskan pelaksanaan pelan rangsangan ekonomi bagi menangani kesan Covid-19 sedia ada, dijangka turut meningkatkan kos pelaksanaan dasar baru.

“Takut, demi nak mendapatkan populariti bila berlaku PRU ini, setiap pihak akan menjanjikan bulan dan bintang. Jadi bila menang, mereka akan perkenalkan polisi baru. Ini akan menyebabkan semua pelaksanaan terganggu.

“Isu saya lebih kepada kesinambungan pelaksanaan polisi dasar berdasarkan pelan rangsangan yang terkini ini. Sebab apa saja benda yang baru nak diperkenalkan akan mengambil masa dari segi pembentukan polisi dan juga dari segi kos.

“Dan kita sedia maklum apa saja janji mana-mana pihak, memang akan melibatkan tambahan kos,” kata Dr Ahmed (gambar, bawah) ketika dihubungi hari ini.

Setakat ini, kerajaan sedang melaksanakan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana), dengan jumlah keseluruhan RM295 bilion.

Daripada jumlah itu, RM45 bilion akan disuntik terus oleh kerajaan.

Pada Februari lalu, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Azhar Azizan Harun menganggarkan kos antara RM750 juta hingga RM800 juta untuk pelaksanaan PRU, lebih tinggi berbanding kos RM500 juta pada PRU-14.

Jumlah itu adalah anggaran sebelum amalan norma baru gara-gara Covid-19.

Ahmed Razman pula menganggarkan kos pilihan raya umum boleh mencecah sehingga RM1 bilion, jika mengambil kira pertambahan bilangan pengundi muda yang berumur antara 18 ke 21 tahun.

“(Tapi) Isunya bukan RM1 bilion (anggaran kos PRU). Isu dia lebih kepada perubahan polisi dan dasar, yang tentunya melibatkan berpuluh-puluh lagi bilion di situ.

“Yang itu akan berlaku selepas mana-mana pihak dilantik (menjadi kerajaan). Jadi itu isu yang besar sebenarnya. Sebab disebabkan janji-janji yang mungkin akan nampak macam terlalu populis,” jelas beliau.

RM1 bilion kerajaan mampu tanggung

Ahmed Razman meramalkan parti politik akan memfokuskan janji manifesto mereka terhadap perkara-perkara yang diberikan perhatian di bawah pakej rangsangan ekonomi, seperti antaranya, peluang pekerjaan dan bantuan sara hidup tunai.

Sementara itu, dari segi kos PRU pula, Ahmed Razman berkata peruntukan sebanyak RM1 bilion merupakan angka yang masih boleh ditanggung kerajaan dan tidaklah terlalu besar.

PN dan PH kini sedang berada dalam kedudukan sengit berhubung sokongan majoriti di parlimen, dengan PH sedang dalam usaha merampas semula pentadbiran kerajaan.

Berdasarkan susunan kerusi dalam sidang parlimen pada Mei, Muhyiddin dipercayai hanya mempunyai majoriti dua kerusi di Dewan Rakyat, namun jumlah itu bertambah menjadi tiga apabila seorang ahli parlimen PKR keluar parti.

Rundingan dikatakan masih terus berlaku di kedua-dua belah pihak berhubung sokongan di Dewan Rakyat, dan dalam proses itu, perselisihan juga nampaknya semakin ketara hatta di dalam blok yang sama.

Sementara PH sehingga kini masih berselisih soal calon perdana menteri, kerjasama PN pula sering dibayangi isu hubungan antara Bersatu dengan PAS dan Umno.

Semalam, Dr Mahathir Mohamad menyatakan sokongannya kepada Shafie Apdal untuk menjadi calon perdana menteri blok pembangkang.

Pengalaman pahit golongan marhaen

Sebelum ini beberapa pemimpin Umno menyuarakan desakan serupa, dengan kelmarin, Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan menggesa parlimen dibubar untuk memberi ruang PRU disegerakan, namun cadangan itu disifatkan Setiausaha Agung BN Annuar Musa sebagai “tidak berbangkit”.

Semalam pula, PAS mengemukakan usul undi percaya terhadap Muhyiddin bagi menzahirkan sokongan terhadap Muhyiddin, namun bagi sebahagian pemimpin pembangkang, langkah itu dilihat seperti muslihat untuk menyegerakan PRU.

Bagi Profesor Ulung Ekonomi di Institut Asia-Eropah, Universiti Malaya, Prof Dr Rajah Rasiah (gambar, atas) beliau melihat PRU sebagai “pilihan terbaik” bagi mengatasi ketidakpastian ekonomi yang melanda negara kini.

Katanya, ketegangan politik telah menyebabkan isu keperluan rakyat tidak dipandang berat oleh ahli politik, menyebabkan rakyat terpaksa berdepan pelbagai masalah dan pengalaman pahit.

“Saya lihat pilihan raya sebagai pilihan terbaik untuk mengatasi ketidakpastian berleluasa yang wujud kini dalam ekonomi negara.

“Pandangan demikian berasaskan ketegangan hubungan di antara ahli parlimen parti PN dan PH yang semakin memperlihatkan arus kurang sihat sehinggakan hal ehwal keperluan asas rakyat mendapat layanan yang ringan.

“Antara masalah yang saya perhatikan termasuklah kenaikan bil elektrik dan air, ketidaksetaraan dalam perhakiman berasaskan kelas, kenaikan dalam pengangguran, dan penutupan firma kecil dan sederhana yang membawa pengalaman yang pahit kepada golongan marhaen,” katanya kepada Malaysiakini.

Populariti Dr M di kalangan Melayu merudum, dakwa penganalisis politik

Sokongan merudum terhadap Dr Mahathir Mohamad bukan sahaja berlaku dalam Bersatu tetapi juga dalam kalangan pengundi Melayu yang sebelum PRU14 menyokong beliau, kata penganalisis politik.

Menurut Prof Dr Azmi Hassan dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), sokongan terhadap bekas perdana menteri itu menurun sejak beliau mentadbir kerajaan Pakatan Harapan lagi, atas faktor prestasi menteri di bawahnya.

“Apabila beliau letak jawatan perdana menteri, populariti Dr Mahathir semakin merundum dan ditambah persengketaan terbuka dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Saya melihat pengaruh Mahathir terhadap pengundi Melayu bukan sahaja di luar bandar tapi di bandar juga berada dalam tahap yang agak minimum,” katanya kepada Malaysiakini.

Prof Dr Rusdi Omar dari Universiti Utara Malaysia (UUM) turut sependapat dengan Azmi, berkata kaum Melayu memandang tinggi terhadap Mahathir sebelum ini, sehinggalah beliau menyatakan hasratnya untuk menjadi perdana menteri buat kali ketiga.

'Bila PKR tolak, politik Dr M sampai ke penghujung'

“Tahap populariti Tun M semakin berkurangan berbanding sebelum ini. Tak sepatutnya beliau menggunakan sentimen Melayu-Cina bagi meraihkan popularitinya kembali,” katanya yang merujuk kepada temubual Mahathir dengan Asian Times.

Dalam temubual tersebut, Mahathir menjelaskan tentang jurang kekayaan antara dua kaum itu di Malaysia dan mendakwa masyarakat Cina telah menjadi sangat kaya dan boleh dikatakan "memiliki semua bandar di Malaysia."

“Sebelum ini orang Melayu hormat beliau tetapi bila beliau masih bercita-cita mahu jadi perdana menteri untuk kali ketiga macam ada 'something wrong' (ada yang tak kena) dengan tindakan beliau.

“Politik Mahathir dah sampai penghujung bila mana Anwar dan PKR menolak pencalonan Mahathir sebagai perdana menteri kali ketiga.

“Mungkin Mahathir ada agenda lain tak mahu Anwar jadi perdana menteri. Langkah Anwar adalah langkah tepat untuk tidak menerima Mahathir sebagai perdana menteri sekali lagi,” kata Rusdi.

Kurang sokongan lepas dipecat Bersatu

Prof Mohd Azizuddin Mohd Sani dari UUM pula merasakan sokongan utama Mahathir yang sebelum ini datang dari Melayu luar bandar semakin berkurangan setelah beliau dipecat dari Bersatu.

“Mahathir sekarang tiada platform politik selepas terkeluar dari Bersatu. Mahathir belum secara rasmi adalah sebahagian daripada PH. Mahathir perlukan platform politik,” jelasnya.

Bagaimanapun, Azizuddin berkata sokongan kepada Anwar yang terdiri daripada golongan Melayu Islamik bandar yang progresif, Melayu profesional serta belia bawah 40 tahun telah terjejas.

“Ini dengan meningkatnya sokongan orang Melayu kepada Umno dan PAS setelah sentimen kemelayuan yang dimainkan kedua-dua parti,” katanya.

Bagaimanapun, Rusdi dan Azmi melihat populariti Anwar di kalangan Melayu tidak banyak perbezaan sejak beliau menubuhkan PKR pada tahun 1998.

Gambar fail.

Azmi berkata presiden PKR itu kemungkinan berdepan dengan kekurangan sokongan pengundi Melayu kini, tetapi tidak begitu ketara berbanding Mahathir.

Ini kerana menurutnya, kekuatan politik Anwar tidak banyak bergantung kepada sokongan pengundi Melayu sejak dari era reformasi sehingga kini.

“Tapi politik Malaysia bukan hanya berkisar dengan pengundi Melayu dan senario sebegini memberi kelebihan politik kepada Anwar.

“Senario Anwar tidak banyak bergantung kepada pengundi Melayu beri kelebihan kerana ketika ini pengundi Melayu lebih selesa dengan Muafakat Nasional (MN).

“Jadi PH untuk tarik pengundi Melayu akan terkekang tetapi Anwar mampu tarik minat bukan Melayu dan ini kelebihan Anwar berbanding Dr Mahathir,” katanya.

Anwar kerjasama PM Muhyiddin

Beliau turut menjelaskan bahawa penerimaan Melayu terhadap Perikatan Nasional (PN) jauh lebih baik berbanding PH, tetapi mengingatkan bahawa kekuatan PN banyak disumbang oleh MN.

Rusdi pula berpendapat, meskipun populariti Anwar di kalangan orang Melayu masih seperti dahulu, namun beliau berkata ahli parlimen Port Dickson itu mampu meningkatkannya melalui kerjasama dengan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

“Populariti Anwar di kalangan orang Melayu masih macam dahulu cuma beliau perlu mengawal orang sekeliling beliau (supaya) jangan melampau sangat.

“Mungkin sokongan ini akan bertambah bila beliau bersama Muhyiddin dalam menangani isu Covid-19 dan ekonomi negara tanpa perlu memikirkan sangat tentang agenda Mahathir untuk merampas kembali kerajaan dari PN dan abaikan terus Mahathir kerana beliau dilihat tidak ikhlas dengan Anwar,” katanya.

Beku pekerja asing: MTUC syor gaji wajar RM2,700 untuk warga tempatan

MALAYSIAKINI

Malaysiakini

Susulan pembekuan pengambilan pekerja asing dan penambahan sekatan terhadap kalangan mereka yang telah bekerja di Malaysia, ia telah membuka lebih banyak peluang pekerjaan untuk warga tempatan.

Bagi menggalakkan penyertaan lebih ramai warga tempatan, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dilaporkan mencadangkan gaji kehidupan sebanyak RM2,700, terutama bagi pekerja di bandar besar.

Laman Free Malaysia Today memetik Setiausaha Agung MTUC J Solomon sebagai berkata, gaji itu antara langkah yang boleh diambil kerajaan dan majikan bagi memastikan tiada kekurangan tenaga kerja dalam sektor yang menggunakan ramai pekerja asing.

"Jika pekerja dibayar lebih baik, dan keadaan tempat kerja ditambah baik, tiada masalah untuk mendapatkan warga tempatan bagi kerja yang biasa dibuat oleh warga asing.

"Ribuan warga Malaysia dalam sektor kerja-kerja 3D (kotor, bahaya, sukar) di negara luar, seperti di Singapura, Australia dan Korea Selatan," katanya.

Terdahulu, Menteri Sumber Manusia M Saravanan mengumumkan pembekuan pengambilan pekerja asing sebagai langkah meningkatkan peluang pekerjaan warga tempatan yang terkesan dengan wabak Covid-19.

Bagaimanapun Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF) menyuarakan kekhuatiran bahawa pembekuan secara menyeluruh boleh menyekat pengembangan beberapa industri.

Solomon berkata lagi, kerajaan patut berusaha ke arah pelaksanaan gaji kehidupan berdasarkan kos sara hidup di kawasan pekerja tersebut.

"Misalnya, bagi mereka yang bekerja di Kuala Lumpur, Johor Bahru dan Pulau Pinang, gaji bersih yang dibawa pulang sepatutnya tidak boleh kurang daripada RM2,000.

Ini bermakna gaji kasar sekurang-kurangnya RM2,700," katanya.

Selain itu, beliau berkata pekerja dalam 3D juga perlu diambil secara sepenuh masa dan bukannya menerusi kontrak jangka pendek, agar mereka boleh mendapat faedah seperti caruman KWSP, perlindungan Perkeso, perubatan dan tempat tinggal.

"Jabatan Tenaga Kerja perlu efektif dalam pemeriksaan mereka dan penguatkuasaan undang-undang bagi melindungi pekerja," katanya lagi seperti dipetik.

Pekerja asing di sejumlah sektor seperti pembinaan dan pembuatan kini tertakluk dengan peraturan yang lebih ketat susulan usaha kerajaan untuk mengekang Covid-19.

Di peringkat pentadbiran, DBKL telah melarang pengambilan pekerja asing di pasar borong Kuala Lumpur, dengan kekosongan dilaporkan telah diisi warga tempatan.

Azhar Harun - dari SPR ke Dewan Rakyat?

MALAYSIAKINI

Malaysiakini

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Azhar Azizan Harun dikatakan akan dipilih sebagai speaker Dewan Rakyat yang baru, menggantikan Mohamad Arif Md Yusof.

Ketua Penerangan BN Selangor Isham Jalil hari ini menulis status terbuka kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin di media sosial berkaitan perkara itu.

Isham bagaimanapun menyuarakan rasa tidak selesanya dengan perkembangan itu.

“Saya baru mendapat maklum bahawa YAB Tan Sri telah mencadangkan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Azhar Harun sebagai Speaker Dewan Rakyat yang baru.

“Jika ini benar, ia adalah sesuatu cadangan yang janggal kerana Azhar Harun adalah lantikan Dr Mahathir dan PH dahulu dan sememangnya penyokong tegar PH,” tulisnya.

Katanya, kemungkinan langkah itu diambil kerana Muhyiddin dan kerajaan ingin mendapatkan sokongan blok pembangkang ketika pemilihan speaker dan timbalan speaker baru.

“Dengan segala hormat, tanpa prejudis dan dengan hati yang terbuka dan ikhlas saya ingin bertanya: Adakah YAB perdana menteri tidak yakin yang kerajaannya akan mendapat cukup undi di parlimen sehingga perlu melantik speaker yang berkecondongan pembangkang (PH)?

“Mohon YAB Tan Sri memberi pencerahan dengan ikhlas dan hati yang terbuka juga,” tulisnya.

Malaysiakini sudah menghubungi Azhar dan sedang menunggu penjelasannya.

Penuhi kriteria, kata Annuar

Sementara itu, Setiausaha Agung BN, Annuar Musa, menyifatkan tiada perkara luar biasa berhubung pencalonan Azhar Azizan.

Annuar yang juga menteri Wilayah Persekutuan berkata Azhar mempunyai latar belakang undang-undang selain memenuhi kriteria.

Idrus Harun 

Selain itu, katanya, tidak wajar pencalonan Azhar dikaitkan dengan Peguam Negara Idrus Harun yang juga abangnya.

"Saya rasa tak adil kaitkan pencalonan Azhar dengan abangnya sebagai peguam negara. Beliau dilantik sebagai pengerusi SPR sebelum lantikan peguam negara dan menunjukkan khidmat baik serta cemerlang di SPR.

"Bagaimanapun, saya rasa semua pihak boleh berspekulasi sehingga perkara ini disahkan. Seseorang yang hendak dilantik ke jawatan ini memang perlu melepaskan semua jawatan, termasuk dalam parti politik atau mana-mana badan lain.

"Beliau harus melaksanakan tanggungjawab bersesuaian dengan status dan kedudukan sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat.

"Proses ini saya anggap biasa tetapi pelantikan akan berlaku ketika dewan bersidang selepas mendapat majoriti mudah daripada ahli parlimen," beliau dipetik sebagai berkata oleh Berita Harian pada sidang media di Kuala Lumpur, hari ini.

Annuar Musa

Malaysiakini juga sedang menghubungi Annuar untuk mendapatkan maklumat lanjut berkaitan perkara itu.

Akhbar itu melaporkan Azhar yang juga dikenali sebagai peguam hak asasi manusia sudah melepaskan jawatannya sebagai pengerusi SPR, semalam.

Muhyiddin dilapor menghantar usul menggantikan speaker dan timbalannya Nga Kor Ming pada 26 Jun lalu, dan dijangka membentangkannya pada persidangan yang dijadual berlangsung 13 Julai ini.

Cadang kenduri kahwin lebih 250 orang diadakan pada sesi berlainan – Persatuan

Bernama
MGF25062020_PERSIAPAN-DEWAN-PERKAHWINAN_3-681x454
Gambar Hiasan. foto MOHD ADZLAN,

KUALA LUMPUR – Persatuan Pengusaha Majlis Perkahwinan Malaysia (PPMPM) mencadangkan majlis perkahwinan atau kenduri dengan lebih 250 orang tetamu yang diadakan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dibahagikan kepada beberapa sesi.

Timbalan Presidennya, Daeng Syamsalleh Hamzah berkata, langkah itu bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) penganjuran majlis sosial yang ditetapkan kerajaan termasuk majlis perkahwinan dengan kapasiti kehadiran tidak melebihi 250 orang pada satu-satu masa.

“Walaupun banyak mana kapasiti ruang dewan atau tempat untuk sesuatu majlis perkahwinan diadakan, namun yang ditetapkan kerajaan hanya 250 kerusi sahaja dalam satu-satu masa dan tertakluk kepada saiz tempat majlis.

“Jika jemputan tetamu melebihi 250 orang, majlis itu mestilah diadakan dalam sesi berlainan dengan mengambil kira faktor jarak masa dan hari yang berlainan seperti pagi dan malam atau Sabtu dan Ahad,” katanya kepada Bernama selepas sesi penerangan SOP bersama lebih 200 pengusaha majlis perkahwinan di sini, hari ini.

Sebelum ini timbul pertanyaan mengenai bagaimana menyelesaikan isu pakej majlis perkahwinan atau kenduri melibatkan jumlah besar tetamu seperti yang telah dipersetujui antara pengguna dan pengusaha majlis perkahwinan dalam terma pakej perkahwinan sebelum SOP majlis sosial dikeluarkan kerana ancaman COVID-19.

“Sedia maklum, majlis perkahwinan yang telah dirancang lebih awal sebelum COVID-19 dan jemputan biasanya melebihi 1,000 orang termasuk persetujuan mengenai tetapan jumlah bayaran mengenai pakej perkahwinan.

“Jadi apabila jumlah tetamu dikurangkan dalam tempoh PKPP, pengusaha berkenaan haruslah bijak dengan menambah pakej seperti fotografi dan majlis akad nikah sesuai dengan bayaran yang dikenakan bagi pakej perkahwinan yang telah dipersetujui asal itu,” katanya.

Pada 24 Jun lepas, kerajaan telah mengumumkan kebenaran penganjuran majlis sosial termasuk majlis perkahwinan, majlis pertunangan dan majlis berkaitan keagamaan seperti tahlil, akikah dan doa selamat mulai 1 Julai ini. – Bernama

Operasi bas hidrogen di Kuching akan disambung selepas penyelenggaraan

Bernama
bus-1-681x360
Gambar Hiasan

KUCHING – Penyambungan semula perkhidmatan bas yang menggunakan hidrogen sebagai bahan api di bandar raya Kuching, hanya akan diumumkan selepas semua bas berkenaan telah melalui kerja-kerja penyelenggaraan berjadual sepenuhnya oleh juruteknik dari pengeluarnya yang berpangkalan di China, Foshan Feichi Automobile Co. Ltd.

Pengerusi Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC), Tan Sri Abdul Aziz Husain dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan bahawa perkhidmatan bas hidrogen pertama negara itu dihentikan buat sementara pada 18 Mac lepas, selaras dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berpunca daripada pandemik COVID-19.

“Ketika ini bas-bas hidrogen masih tidak dibenarkan beroperasi sehingga juruteknik daripada pengeluar bas berkenaan, Foshan Feichi Automobile Manufacture Co., Ltd (Feichi) di China, dapat menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan berjadual sewajarnya, dan bas berkenaan masih dalam jaminan pengeluar.

Menurutnya juruteknik yang dijadualkan tiba di Kuching Mac lepas, masih tidak dapat memasuki Sarawak disebabkan sekatan perjalanan yang dikenakan sejak permulaan PKP.

Beliau berkata, selain memberikan perkhidmatan sokongan yang masih dalam jaminan, pengeluar bas itu juga dijadualkan menyiapkan jadual latihan untuk juruteknik tempatan di Kuching, sebagai sebahagian daripada obligasi berterusan kepada SEDC di bawah perjanjian sokongan teknikal.

“Malangnya rancangan itu juga terpaksa ditangguhkan disebabkan sekatan perjalanan yang berkaitan dengan COVID-19, memandangkan kebolehpercayaan dan keselamatan penumpang kami adalah keutamaan palong tinggi. Oleh yang demikian perkhidmatan bas berkenaan hanya akan dibenarkan kembali beroperasi apabila setiap kenderaan dibuktikan selamat sepenuhnya untuk berada di jalan raya,” katanya.

Abdul Aziz berkata, sebaik sahaja perkhidmatan itu disambung semula, orang ramai boleh terus menggunakan perkhidmatan bas menggunakan hidrogen sebagai bahan api itu secara percuma.

“Kami gembira mendengar orang ramai amat berminat dengan penyambungan semula perkhidmatan itu, dan mereka masih boleh menggunakan perkhidmatan itu secara percuma,” katanya dan menambah perkhidmatan bas itu dilancarkan secara rasmi oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Openg pada 21 Jan lepas.

Perkhidmatan bas itu menerima sambutan yang amat menggalakkan dari warga kota serta pelancong asing, yang dapat menggunakan perkhidmatan itu untuk melancong di sekitar bandar raya, dan juga Pantai Dalam, serta Santubong pada hujung minggu.

Beliau memberi jaminan bahawa perkhidmatan bas itu akan disambung semula supaya penduduk tempatan dan pelancong akan dapat terus menikmati perkhidmatan pengangkutan awam yang mesra alam dan selesa, sekali lagi. – Bernama

Suspek ke-8 kes bunuh, culik ‘Datuk Seri’ ditahan

POLIS menahan seorang lagi suspek dalam kes culik dan bunuh seorang ahli perniagaan bergelar Datuk Seri yang mayatnya ditemukan di kawasan belukar di Jalan Rawang Bestari Raya pada Sabtu lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Datuk Fadzil Ahmat berkata lelaki warga tempatan berusia 26 tahun tersebut yang juga suspek kelapan diberkas setakat ini, ditangkap di Bukit Sentosa, Kuala Kubu Bharu dekat sini pada 7.30 malam semalam.

“Suspek direman selama tujuh hari sehingga 5 Julai ini dan polis kini sedang menjejaki individu lain yang telah dikenal pasti dapat membantu siasatan. Individu berkenaan dikenali sebagai N. Vikneswarar atau nama timangan sebagai Thamby atau Vinod berusia 28 tahun dan bernombor kad pengenalan 920716-14-6331.

“Individu yang dikehendaki ini mempunyai alamat terakhir di 587-144 New Green Park, 48000 Rawang, Selangor,” katanya kepada Bernama hari ini.

Fadzil meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan individu itu menghubungi pegawai penyiasat kes ASP Farouq Fakhzan Mohd Nordin di talian 017-2251403 bagi membantu siasatan.

Sebelum ini, Bernama melaporkan polis menahan tujuh lelaki termasuk seorang warga Bangladesh bagi membantu siasatan kes culik seorang ahli perniagaan bergelar Datuk Seri yang disusuli penemuan mayat lelaki itu di kawasan belukar Batu 27, Jalan Rawang Bestari Jaya, dekat sini.

Mangsa sebelum itu dipercayai diculik ketika bersenam di kawasan taman permainan di Jalan Persiaran Perdana, Bandar Sri Damansara, Petaling Jaya pada 10.30 pagi, 10 Jun lepas.

SPRM cari lelaki Myanmar

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perak sedang mengesan seorang lelaki warganegara Myanmar bagi membantu satu siasatan kes SPRM.

Lelaki tersebut, Mohd Yunus Habi Rahman, 24, dikesan mempunyai alamat terakhir di Jalan Taman Tenaga, Taman Tenaga Maluri Cheras, Kuala Lumpur.

Sehubungan itu, orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat mengenai Mohd Yunus diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Penolong Penguasa Gray Lee Yadon di talian 019-840 8395 / 05-526 7000 atau e-mel ke alamat graylee@sprm.gov.my. -SM

Beri mandat kepada rakyat untuk elak elit politik ‘mencari faedah’

APABILA ketidaktentuan politik berlaku cara terbaik adalah dengan menyerahkan semula kuasa penentuan kepada rakyat untuk memutuskan pihak yang patut menerima mandat yang baru.

Ketua UMNO Bahagian Johor Bharu Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata, keadaan yang tidak menentu hanya akan memberi peluang kepada elit politik untuk mencari faedah.

“Kalau berlengah pihak elit politik dan konco kayaraya mereka akan berusaha mencari faedah dari keadaan tidak ketentuan itu.

“Kerajaan Tan Sri Muhyiddin adalah kerana ketidaktentuan politik PH sehingga berlaku perpecahan dalam PPBM dan PKR,” kata Shahrir.

Menurutnya, penyertaan BN, PAS dan GPS dalam Perikatan Nasional hanya membantu untuk menstabilkan keadaan supaya negara boleh berdepan dengan wabak pandemik Covid-19 secara berkesan.

Shahrir berkata, walaupun terdapat dakwaan kononnya penyertaan BN hanya mencari peluang untuk dimanfaatkan pemimpin-pemimpin yang sedang didakwa namun tidak berlaku campurtangan terhadap kes yang dihadapi mereka.

“Bukan macam Lim Guan Eng. Kes Reza Aziz pun bermula dengan persetujuan Tommy Thomas dan tindakan Gopal Sri Ram.

“Musa Aman pula mendapat munafaat dari sokongan secara affidavit Tan Sri Gani Patail, bekas Peguam Negara yang digugurkan jawatan semasa Datuk Seri Najib menjadi PM dan bekas pegawai-pegawai tertinggi SPRM.

“Bukan macam Tun Dr. Mahathir dan Lim Guan Eng, kedua-dua kes Reza Aziz dan Musa Aman tidak melibatkan Muhyiddin atau Ahmad Zahid apalagi Najib,” kata Shahrir.

Menurut Shahrir keadaan ketika ini turut dikelirukan dengan persoalan antara Dr. Mahathir dan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim siapa yang lebih layak untuk menjadi perdana menteri.

“112 ahli Dewan Rakyat! Berbanding pengundi yang berjuta. Kalau beralih dua tiga ahli Dewan Rakyat kerajan boleh berubah!

“Apa pula kesan pengaruh dari berbagai jenis pujukan. Semuanya membuat keadaan tidak menentu.
Maka, lebih baik kalau dikembalikan balik kuasa kepada rakyat untuk menentukan kerajaan baru mereka.

Barulah Tun Dr. Mahathir dan penyokongnya terhenti meroyan mereka,” kata Shahrir.

Jelasnya dengan mandat baru negara dan rakyat boleh bergerak ke hadapan dengan sebuah kerajaan yang mampu mengurus ekonomi negara dan ekonomi rakyat.-SM

Covid-19 terlalu jauh untuk berakhir, kematian setengah juta orang – WHO

PANDEMIK Covid-19 masih terlalu jauh untuk dikatakan sudah berakhir.

Pertubuhan Kesihatan Seduni (WHO) memberi amaran wabak maut itu masih merupakan satu ancaman global apabila kematian akibat virus itu kini telah mencecah setengah juta orang.

“Kita semua mahu ini berakhir. Kita semua ingin meneruskan hidup kita. Tetapi kenyataannya ialah terlalu jauh untuk kita katakan ianya hampir berakhir,” kata Ketua Pengarah WHO  Tedros Adhanom Ghebreyesus hari ini.

Covid-19 masih mengganas di seluruh dunia dengan 10,395,601 jangkitan dan 507,411 kematian.

Amerika Syarikat negara tertinggi jangkitan dengan 2,678,395 jangkitan termasuk 41,318 kes baharu dalam tempoh 24 jam. Negara itu turut mencatatkan jumlah kematian tertinggi iaitu 128,762 orang.

Negara kedua yang paling teruk dilanda adalah Brazil yang mencatatkan 1,368,195 kes dengan pertambahan 22,941 kes baharu. Seramai 58,314 orang meninggal dunia di negara itu akibat Covid-19.-SM

Polis panggil pihak penerbitan buku hina Jata Negara

HARAKAH DAILY

KUALA LUMPUR:Polis Bukit Aman membuka kertas siasatan berhubung penerbitan buku tulisan Kean Wong yang didakwa menghina Jata Negara.

Timbalan Pengarah Siasatan dan Perundangan Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Deputi Komisioner Mior Faridalathrash Wahid mengesahkan pihaknya telah menerima laporan polis berhubung pengubahsuaian Jata Negara berkenaan.

Ujarnya seperti dipetik dari laporan Harian Metro hari ini, pihaknya akan memanggil semua pihak yang terlibat dalam penerbitan buku yang bertajuk ‘Rebirth :Reformasi, Resitance, And Hope In New Malaysia.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tak Wajar)(Pindaan)2016, Seksyen 4(1)Akta Hasutan 1948, Seksyen 233, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 8 (1)Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984,” katanya seperti dipetik dari Harian Metro, hari ini.

Terdahulu, muka hadapan buku tulisan Kean Wong yang didakwa mengubahsuai Jata Negara telah menimbulkan kegusaran dan kemarahan rakyat.

Susulan itu, hari ini beberapa laporan polis telah dibuat oleh parti-parti politik antaranya pemuda PAS, MIC, Umno, MCA termasuk badan-badan bukan kerajaan (NGO).

Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ir Khairil Nizam Khirudin dalam satu kenyataan hari ini mengeluarkan arahan menggesa semua ahli pemuda PAS supaya membuat laporan polis di seluruh negara berhubung perkara itu.- HARAKAHDAILY

Dibela manusia yang baik tanpa perkauman

MUHAMAD MAT YAKIM

KALAU ada yang terfikir Menteri Besar (MB) Kedah turun padang mendekati rakyat seperti sengaja dibuat-buat untuk raih sokongan, atau sekadar sandiwara yang bersifat sementara, fahamilah ini bukan baru bagi beliau.

Sebagai Pegawai Persatuan Pengguna Pulau Pinang, sebagai Pengarah PASRelief, beliau sudah lama aktif membantu mereka yang bermasalah termasuk mangsa bencana dalam dan luar negara yang jauh lebih dahsyat.

Kalau ada yang curiga soal pandangannya terhadap Rohingya, sudah bertahun-tahun beliau terlibat secara langsung membantu mereka secara dekat.

Daripada pengalaman itu, beliau punya pemahaman mengenai etnik Rohingya yang ternyata lebih daripada kita. Sebagai kelompok manusia, Rohingya juga ada yang baik, dan ada yang buruk. Macam kitalah juga!

Sudah tentu, yang dibela adalah yang baik, yang teraniaya, yang jadi mangsa dan amat-amat memerlukan pembelaan.

Yang sering jadi punca salah faham, bukan semua etnik Muslim dari Myanmar itu Rohingya. Ada juga warga Myanmar bukan-Islam yang pegang kad UNHCR berada di negara ini. Dari segi rupa, hampir sama dan sukar dibezakan oleh kita yang tidak mendekati mereka.

Etnik Kela (Muslim)! Misalnya, juga dari Myanmar. MB juga seperti kita, sayangkan negara dan orang-orang kita sendiri. Jadi berpada-padalah dalam mencurigai supaya kita terhindar daripada dosa memfitnah, untuk kebaikan kita sendiri juga.

Dulu, beliau semata-mata aktivis. Sekarang sebagai ketua kerajaan, dalam mengambil langkah tindakan, ada limitasi dalam pembahagian kuasa antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan.

Ada yang boleh dan tidak boleh dilakukan mengikut undang-undang. Sudah tentu, dalam apa jua tindakan, beliau akan utamakan rakyat Kedah yang 2.2 juta ini.

*MUHAMAD MAT YAKIM-Setiausaha Akhbar Menteri Besar Kedah – HARAKAHDAILY

'Rekod belanja RM1.013 juta ketika PRK Sungai Besar dilupuskan'

'Rekod belanja RM1.013 juta ketika PRK Sungai Besar dilupuskan'
Tengku Adnan didakwa didakwa menerima untuk dirinya wang berjumlah RM2 juta daripada Pengarah Aset Kayamas Sdn Bhd, Tan Sri Chai Kin Kong melalui cek Hong Leong Islamic Bank milik Aset Kayamas. - Gambar fail

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu, tarikh dan rekod perbelanjaan dilupuskan selepas sebulan Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar, Selangor berlangsung.

Ketika pemeriksaan balas oleh Timbalan Pendakwa Raya, Julia Ibrahim bagi kes rasuah sebanyak RM2 juta membabitkan bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, saksi, Datuk Rizalman Mokhtar berkata, dia hanya menyimpan semua resit perbelanjaan selama tempoh itu sebagai rujukan, sekiranya timbul sebarang isu berbangkit.

Saksi pembelaan ketiga itu berkata, rekod perbelanjaan yang diserahkan kepada mahkamah hari ini adalah berdasarkan ingatannya.

Julia: Siapa yang sediakan laporan perbelanjaan itu

Rizalman: Saya yang sediakan. Jumlah yang diterima adalah sebanyak RM1.013 juta. Laporan belanja keseluruhan yang saya sediakan ini berdasarkan ingatan saya atau lebih kurang.

Julia: Lepas PRK, ada buat laporan sebenar (rasmi)?

Pada 23 Januari tahun lalu, Tengku Adnan mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim, Mohamed Zaini Mazlan atas pertuduhan sebagai seorang penjawat awam iaitu Menteri Wilayah Persekutuan yang didakwa menerima untuk dirinya wang berjumlah RM2 juta daripada Pengarah Aset Kayamas Sdn Bhd, Tan Sri Chai Kin Kong melalui cek Hong Leong Islamic Bank milik Aset Kayamas.

Cek itu didepositkan ke dalam akaun CIMB Bank milik Tadmansori Holdings Sdn Bhd yang Tengku Adnan mempunyai kepentingan, yang diketahui syarikat Aset Kayamas ada perhubungan dengan kerja-kerja rasminya di CIMB Bank Berhad, Cawangan Pusat Bandar Damansara, di sini pada 14 Jun 2016.

Dia didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Tengku Adnan juga menghadapi pertuduhan lain atas dakwaan menerima suapan iaitu wang berjumlah RM1 juta daripada ahli perniagaan, Datuk Tan Eng Boon melalui cek Public Bank milik syarikat Pekan Nenas Industries Sdn Bhd yang didepositkan ke dalam akaun CIMB Bank kepunyaan Tengku Adnan.

Perbuatan itu didakwa dilakukan sebagai upah untuk membantu permohonan Nucleus Properties Sdn Bhd (sekarang dikenali sebagai Paragon City Development Sdn Bhd) bagi menaikkan ratio plot berkaitan dengan pembangunan Lot 228, Jalan Semarak, Kuala Lumpur diluluskan oleh DBKL.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Berhad, cawangan Pusat Dagangan Dunia Putra, Tingkat 2, Blok Podium, Pusat Dagangan Dunia Putra, Jalan Tun Ismail, di sini pada 27 Disember 2013.

Pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda daripada jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Tengku Adnan turut menghadapi pertuduhan pilihan iaitu didakwa menerima wang berjumlah RM1 juta yang merupakan barangan berharga daripada Eng Boon tanpa sebarang balasan melalui cek ke dalam akaun tertuduh mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Rizalman: Tidak, sebab jika menang biasanya tiada laporan.

Julia: Jika kalah?

Rizalman: Saya simpan, selama sebulan, selepas tempoh itu ia akan dilupuskan. Kita tak simpan.

Julia: Kenapa tidak simpan

Rizalman: Tidak simpan memandangkan tiada isu yang ditimbulkan.

Semasa menjawab soalan peguam, Datuk Tan Hock Chuan yang mewakili Tengku Adnan, Rizalman yang juga Ketua UMNO Bandar Tun Razak berkata, wang yang diberi oleh Tengku Adnan selaku Pengerusi UMNO Wilayah Persekutuan itu habis diguna sepenuhnya sepanjang PRK berlangsung.

Terdahulu, menerusi pernyataan rasmi yang disediakan, Rizalman mengakui pihaknya merangka bajet sebanyak RM1.3 juta namun Tengku Adnan mengurangkan kadar itu kepada RM1.013 juta.

“Saya menerima wang itu daripada Setiausaha Politik Tengku Adnan iaitu Datuk Mohd Rafi Alli Hassan di Ibu Pejabat UMNO, PWTC.

“Berdasarkan pengetahuan saya, diketahui secara umum bahawa UMNO Wilayah Persekutuan tidak memperoleh dana daripada Ibu Pejabat UMNO tetapi daripada (dana) Datuk Seri,” katanya.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan ditangguh esok.

Imbas suhu badan sekali sahaja [METROTV]

Hafidzul Hilmi Mohd Noor
Gambar hiasan. FOTO Arkib NSTP
Gambar hiasan. FOTO Arkib NSTP

PENGUNJUNG pusat beli-belah kini hanya perlu mengimbas suhu badan di pintu masuk pusat itu sahaja.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Mesyuarat Khas Menteri-Menteri bersetuju saringan suhu badan tidak perlu dilakukan di setiap kedai di dalam pusat beli-belah.

"Namun pengunjung tetap perlu memberi butiran peribadi di setiap premis yang dimasuki di pusat beli-belah berkenaan bagi tujuan pengesanan kontak.

"Ia boleh dilakukan secara manual atau menerusi aplikasi MySejahtera selain cecair nyah kuman di setiap premis," katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.

Beliau berkata, perkongsian nama dan nombor telefon perlu dilakukan kerana memudahkan proses pengesanan jika ada antara pelanggan adalah pembawa Covid-19.

"Kita tidak tahu ke mana hala tuju mereka, kalau ada kes Covid-19 dalam kalangan pelanggan, kita masih boleh membuat pengesanan orang yang bersama dengan individu positif Covid-19 tadi.

"Mungkin dia pembawa, kalau didapati melalui pengesanan mereka, akan mudah dihubungi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Sebab itulah, kita masih lagi mewajibkan (memberi butiran peribadi) mereka sama ada secara manual atau menerusi aplikasi MySejahtera.

"Suhu badan pula diambil sekali di pintu masuk pusat beli-belah," katanya.

Menurutnya, peraturan sama juga buat hotel yang terdapat premis menjual cenderahati, restoran dan lain-lain, yang mana saringan suhu hanya di pintu masuk hotel sahaja.

Kebenaran konvoi mungkin ditarik jika gagal patuhi SOP [METROTV]

Hafidzul Hilmi Mohd Noor

SEBANYAK 358 saman dikeluarkan polis dalam operasi di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Lanchang dan R&R Chenor di Lebuhraya Pantai Timur (LPT) dekat Temerloh pada 28 Jun. FOTO arkib NSTPSEBANYAK 358 saman dikeluarkan polis dalam operasi di kawasan Rehat dan Rawat
(R&R) Lanchang dan R&R Chenor di Lebuhraya Pantai Timur (LPT) dekat Temerloh
pada 28 Jun. FOTO arkib NSTP

KEBENARAN aktiviti berkonvoi kenderaan mungkin akan ditarik semula jika peserta berterusan gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Ia susulan penahanan sekumpulan penunggang motosikal yang berkonvoi dan berkumpul di Pahang, semalam.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bagaimanapun penahanan semalam adalah kes terpencil dan kejadian pertama berlaku.

"Setiap peserta konvoi perlu memastikan kawalan kendiri dan mempraktikkan SOP yang ditetapkan.

"Namun, jika perkara ini berterusan, kebenaran yang kita berikan ini akan ditarik semula. Bukan mustahil untuk kerajaan menarik semula kebenaran yang diberikan," katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.

Beliau berkata, masyarakat boleh melihat premis perniagaan seperti restoran yang ditutup kerana melanggar SOP.

"Kalau terlalu banyak kesalahan dilakukan akan menyebabkan keseluruhan konvoi di seluruh negara tidak dibenarkan.

"Saya harap ini adalah kali pertama dan terakhir mereka lakukan," katanya.

Sementara itu, mengulas berhubung pematuhan SOP di Pilihan Raya Kecil (PRK) Chini, Ismail Sabri berkata, pasukan pemantau diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan berada di mana-mana saja bagi memastikan SOP dipatuhi.

"Saya tidak tahu berapa banyak laporan mengenai pelanggaran SOP di Chini namun saya ingin mengingatkan kepada semua di Chini tidak kira calon, petugas, orang ramai, penyokong dan pengundi bahawa kegagalan pematuhan SOP boleh diambil tindakan," katanya.

Isnin, 29 Jun 2020

Ketua cawangan Serian keluar parti kerana tak dipilih jadi calon PRN, kata DAP

Chong Chieng Jen menjangkakan Edward Andrew Luwak akan membantu calon
baru dan muda untuk PRN akan datang.

KUCHING: DAP hari ini berkata, Ketua Cawangan Serian, Edward Andrew Luwak keluar parti kerana kepimpinan negeri tidak memilihnya sebagai calon pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen berkata beliau sudah memberi bayangan kepada Luwak beberapa bulan lalu yang parti akan meletakkan calon baru untuk salah sebuah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Serian.

“Beliau kelihatan tidak gembira mengenainya dan itu mungkin alasannya keluar parti,” kata Chong pada sidang media di sini, hari ini.

Semalam, Luwak mengumumkan beliau meninggalkan DAP berkuat kuasa serta-merta.

“Keputusan keluar parti dinyatakan dalam surat yang diberikan kepada parti. Saya tidak perlu menyatakan dengan terperinci, tetapi saya hanya mahu kata saya telah hilang keyakinan terhadap pucuk kepimpinan parti,” kata Luwak yang berusia 67 tahun.

Katanya, beliau tidak akan berundur daripada arena politik, tetapi belum memutuskan untuk menyertai parti lain.

Luwak mewakili DAP di kerusi Parlimen Serian pada pilihan raya umum 2013 dan kerusi Bukit Semuja pada PRN 2016.

Beliau bertanding semula di Serian pada PRU 2018, tetapi tewas kepada Richard Riot daripada Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP).

“Disebabkan parti sudah menyalurkan sumber untuk membantu beliau ketika bertanding dalam 3 pilihan raya lalu, beliau patut membalasnya dengan membantu ahli baru dan muda yang ingin menawarkan khidmat mereka,” kata Chong.

Beliau berkata, jawatankuasa DAP Sarawak melantik Ketua Pemuda Serian, Brolin Nicholson mengambil alih pengurusan cawangan itu sehingga perhimpunan agung tahunan parti yang dijangka diadakan bulan depan atau Ogos ini.

Chong mengucapkan terima kasih kepada Luwak atas semua sumbangannya kepada parti dan kawasan Parlimen itu.

Polis diarah siasat buku didakwa hina jata negara, kata menteri

Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin berkata, kerajaan tidak akan berkompromi
terhadap mana-mana pihak yang melakukan perbuatan yang tidak patriotik dan
bertanggungjawab.

PETALING JAYA: Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin memaklumkan bahawa polis telah diarahkan menyiasat dan mengambil tindakan tegas dengan segera berhubung buku yang didakwa menghina jata negara.

Hamzah berkata, Seksyen 3(1)(a) Akta Lambang dan Nama (1963) memperuntukkan bahawa adalah menjadi kesalahan bagi sesiapa meniru lambang yang serupa lambang kerajaan persekutuan, iaitu jata negara.

“Kerajaan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang melakukan perbuatan tidak patriotik dan bertanggungjawab ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Manakala itu, timbalan pengarah (Siasatan dan Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Faridalathrash Wahid dilaporkan berkata, pihaknya sudah menerima maklumat berhubung penerbitan buku itu dan sedang menjalankan siasatan.

Memetik laporan Harian Metro beliau berkata, mana-mana pihak yang dipercayai terbabit dalam penghasilan buku itu termasuk pengarang, editor dan penerbit akan dipanggil bagi membantu siasatan pihak berkuasa.

Menurutnya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tak Wajar) (Pindaan) 2016, Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 233, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 8 (1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

Terdahulu, Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap penulis, penyunting dan penerbit sebuah buku yang didakwa merendah-rendahkan martabat jata negara dan menghina lambang rasmi Malaysia.

Asyraf berkata, buku bertajuk “Rebirth: Reformasi, Resistance, And Hope In New Malaysia” mempamerkan sebuah logo mirip jata negara, yang didakwa sudah diubah suai dan dijadikan penghias muka hadapan buka berkenaan.

Beliau berkata, lukisan mirip jata negara itu meletakkan seorang kanak-kanak berbogel di atas bulan dan bintang, serta mengubah suai bentuk 2 ekor harimau, selain menambahkan bentuk seekor buaya di bahagian bawahnya.

Keluarga percaya Mohd Sharim boleh jadi ADUN yang baik

Muhammad Azizul Osman
MGF21062020_TEMUBUAL-CALON-BN-PRK-CHINI01-681x454
Temubual eksklusif bersama calon Barisan Nasional (BN), Mohd Sharim
Md Zain sempena sempena Pilihan Raya Kecil N. 23 Chini di Pusat Latihan
Chini, Pahang. foto AFFAN FAUZI

CHINI – Bapa mana yang tidak bangga dengan pencapaian anak sendiri.

Md Zain Hashim, bapa kepada calon Barisan Nasional (BN), Mohd Sharim berkata, dia pada mulanya tidak percaya anaknya dipilih sebagai calon mewakili Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini.

Peneroka Felda generasi pertama itu berkata, besar harapannya agar anaknya boleh mengikut jejak Allahyarham Datuk Seri Abu Bakar Harun menjadi ADUN yang bagus kerana beliau sungguh sayang kepada Mohd Sharim.

Ke mana sahaja Allahyarham pergi Mohd Sharim akan ada bersamanya.

“Saya percaya dia boleh jadi ADUN yang bagus kalau ada orang yang bijak pandai mengajar dia cara menjadi wakil rakyat.

“Pak cik sungguh bangga. Hanya tuhan yang tahu apa dalam hati saya ketika ini.,” katanya eksklusif kepada MalaysiaGazette.

Md Zain berkata, beliau perasan tentang minat untuk terjun ke bidang politik apabila anak keduanya itu sering bersama Abu Bakar sehinggalah menjadi orang kanan kepada Allahyarham.

“Saya nasihatkan dia supaya menjalankan tugas dengan baik jika dipilih sebagai ADUN. Saya yakin dia boleh boleh bawa gelaran ADUN jika dia menang sebab dia sudah lama bersama bekas ADUN Chini,” katanya lagi.

MGF20062020_TEMUBUAL-IBUBAPA-ISTERI-CALON-BN-PRK-CHINI07-1024x683
Temubual eksklusif bersama bapa calon Barisan Nasional,
Md Zain Hashim sempena Pilihan Raya Kecil N. 23 Chini
di Felda Chini 3, Pahang. foto AFFAN FAUZI,

Individu lain yang paling berbangga dengan pencapaian Mohd Sharim pastinya isteri beliau, Norhiliyana Abd Hamid, 27 tahun.

Norhiliyana memberitahu beliau tahu tentang pencalonan suaminya itu menerusi siaran live Facebook.

“Dia maklumkan kepada saya selepas pengumuman calon.

“Saya tengok live Facebook sahaja, memang mengalir air mata sebab tak sangka dan terkejut sangat.

“Sepanjang dia menguruskan PDM, dia ada juga berkongsi cerita. Tapi dia pun tak sangka dicalonkan,” katanya.

MGF20062020_TEMUBUAL-IBUBAPA-ISTERI-CALON-BN-PRK-CHINI03-1024x680
Temubual eksklusif bersama isteri calon Barisan Nasional,
Norhiliyana Abd Hamid sempena Pilihan Raya Kecil N. 23
Chini di Felda Chini 3, Pahang. foto AFFAN FAUZI

Sementara ibu Mohd Sharim pula berkata, anaknya berkelakuan aneh pada malam sebelum nama calon diumumkan.

Sopaih Mat, 68, berkata: “Saya tengok pada malam Rabu, dia tidak dapat tidur. Dia tak pernah peluk bapa dia tiba-tiba malam itu dia peluk. Apa jadi dengan anak aku”.

Ternyata firasatnya betul apabila anaknya itu dipilih sebagai calon pengganti Abu Bakar.

Menceritakan perihal Mohd Sharim, Sopaih berkata, anaknya hanya meminati bidang sukan di sekolah dan tidak dalam bidang politik.

Bagaimanapun, beliau mengetahui niat anaknya untuk terjun dalam bidang politik selepas menunaikan ibadah umrah.

“Dia minat politik bila dia balik umrah dan dia bagitahu saya dia berhajat nak jadi pemimpin pada masyarakat, itu yang buat saya terkejut.

”Dia rapat dengan Allahyarham Datuk Seri Abu Bakar, dia pernah beri amanat kalau tidak ada orang lain jadi pengganti dia, awaklah yang ganti saya,” jelas Sopaih.

MGF20062020_TEMUBUAL-IBUBAPA-ISTERI-CALON-BN-PRK-CHINI11-1024x680

Temubual eksklusif bersama ibu calon Barisan Nasional, Sopiah Mat sempena Pilihan Raya Kecil N. 23 Chini di Felda Chini 3, Pahang. foto AFFAN FAUZI, 25 JUN 2020Mohd Sharim diumumkan sebagai calon BN pada 18 Jun lalu.

Beliau berdepan dua lagi pencabar dari bebas iaitu Mohd Shukri Mohd Ramli dan Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 4 Julai depan sebagai tarikh pembuangan undi dan 30 Julai sebagai tarikh undi awal.

Terdapat 20,990 pengundi berdaftar, termasuk 18 pemilih awal dalam DUN Chini.

DUN Chini merupakan kubu BN sejak PRU ke-11 pada 2004 menerusi penyandangnya, Datuk Seri Abu Bakar Harun yang meninggal dunia akibat serangan jantung pada 7 Mei lalu. – MalaysiaGazette

Calon PM: Shafie akan buat keputusan tidak lama lagi

Bernama
MGF13012020_HIMPUNAN-ANAK-MUDA-KIMANIS_27-1-681x454
Mohd Shafie Apdal

PENAMPANG – Presiden Parti Warisan Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal akan membuat keputusan dalam tempoh terdekat berhubung cadangan pencalonannya sebagai Perdana Menteri seperti yang dinyatakan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini.

Mohd Shafie, yang juga Ketua Menteri Sabah, berkata, beliau akan mengumumkan keputusan itu selepas mengambil kira pelbagai aspek termasuk membuat perbincangan bersama pemimpin tertinggi Warisan.

“Saya sangat bersyukur kerana cadangan itu datang daripada Tun Dr Mahathir Mohamad. Itu satu cadangan dan saya perlu menelitinya secara mendalam termasuk mengadakan perbincangan bersama Timbalan Presiden Warisan (Datuk Darell Leiking) dan Ketua Penerangan Warisan (Datuk Dr Yusof Yacob).

“Ini satu cabaran besar untuk saya. Saya melihat ini secara serius. Beri saya sedikit masa (untuk membuat keputusan) dan (ia) tidak mengambil masa lama,” katanya kepada pemberita selepas melawat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Peter Mojuntin di sini, hari ini.

Mohd Shafie berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan mencalonkan beliau sebagai perdana menteri.

Dr Mahathir, yang juga Ahli Parlimen Langkawi, berkata keputusan memilih Mohd Shafie yang juga Ahli Parlimen Semporna itu dicapai sebulat suara dalam satu pertemuan dengan sekutunya (Parti Amanah Negara, Warisan dan DAP) di Rumah Tetamu Sabah dekat sini pada Khamis (25 Jun).

Menurutnya dalam pertemuan itu, mereka juga bersetuju untuk mencadangkan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Timbalan Perdana Menteri 1, dan bekas Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai calon Timbalan Perdana Menteri II.

Bagaimanapun, menurut Parti Amanah Negara dan DAP cadangan untuk Mohd Shafie sebagai calon perdana menteri masih perlu dibincangkan di peringkat kepimpinan pusat Amanah dan DAP serta Pakatan Harapan (PH) terlebih dahulu.

Mengulas lanjut, Mohd Shafie berkata, cadangan yang datang daripada Dr Mahathir itu adalah satu penghargaan buatnya sebagai individu dan ahli politik yang turut mempunyai pengalaman cukup luas.

“Saya tidak memintanya (untuk menjadi perdana menteri). Saya telah menyebutkan perlunya saya untuk menguruskan Sabah. Tapi ini (cadangan) satu penghargaan sebagai seorang individu dan ahli politik di negara ini kerana kita pun banyak pengalaman,” katanya.

Mohd Shafie sudah berkecimpung dalam dunia politik lebih 30 tahun selain menjadi ahli Parlimen selama enam penggal dan bertugas di tujuh kementerian di peringkat Persekutuan.

Ditanya mengenai soal kebolehpercayaannya terhadap Dr Mahathir, Mohd Shafie berkata, ia bukan menjadi masalah besar meskipun terdapat beberapa isu membabitkan politik Sabah termasuk kemasukan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebelum ini.

Mohd Shafie yakin keputusan berkenaan dicapai menerusi perbincangan bersama pemimpin Bersatu pada ketika itu.

Pada 6 April, 2019, Bersatu melebarkan sayap ke Sabah meskipun Dr Mahathir yang pada ketika itu menggalas peranan sebagai Pengerusi Bersatu berjanji untuk tidak bertapak di negeri bawah bayu berkenaan. – MalaysiaGazette

Ada kemungkinan buku hina jata negara dilulus ketika zaman PH – ABATA

IMG_20200629_125309-681x341

PETALING JAYA – Penerbitan buku Rebirth: Reformasi, Resistance, And Hope In New Malaysia yang menggunakan logo mirip jata negara yang diubahsuai dipercayai diluluskan ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

Pengerusi Aktivis Belia Tanah Air (ABATA), Adnan Abu Bakar menegaskan kemungkinan itu wujud kerana buku itu mengajak golongan anak muda menuntut Malaysia baharu yang dilaung-laungkan pemimpin PH sebelum ini.

“Ada kemungkinan buku ini diluluskan ketika PH memerintah sebab untuk mengeluarkan sebuah buku ada proses dan ambil masa tertentu untuk dihasilkan.

“Kalau tengok buku ini, ia tak mungkin boleh siap dalam tempoh sebulan, untuk keluarkan buku, nak dapatkan lesen dia (ISDN).

“Sebelum buku ini boleh diterbitkan, ia perlu diaudit terlebih dahulu, minimum dua tiga bulan.

“Buku ini dilulus dan dikeluarkan pada kerajaan lepas dan mula diterbitkan sekarang. Kean Wong perlu bertanggungjawab,” katanya pada sidang media di luar pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, hari ini.

Terdahulu Adnan bersama Ketua Setiausaha Gerakan Tuntut Malaysia (TUNTUT), Zulhelmi Mansor membuat laporan polis syarikat buku, Ilham Books yang mengiklankan buku kontroversi itu.

Buku suntingan penulis, Kean Wong mempamerkan sebuah logo mirip jata negara yang telah diubah suai sebagai penghias muka hadapan.

Lukisan mirip jata negara itu meletakkan seorang kanak-kanak berbogel di atas bulan dan bintang serta mengubahsuai bentuk dua ekor harimau, selain menambah bentuk seekor buaya di bahagian bawahnya.

Adnan juga tidak menolak kemungkinan buku terbabit cuba menghasut golongan anak muda agar bertindak agresif menghina kedaulatan negara melalui pengubahsuaian jata negara itu.

“Kita takut kalau tidak halang atau ambil tindakan terhadap apa yang mereka cuba lakukan, takut hasutan ini akan berleluasa.

“Bila tak ambil tindakan tegas, lepas ini orang akan berleluasa buat sesuka hati, generasi akan datang akan serang kerajaan.

“Akibatnya anak-anak muda selepas ini akan lebih agresif untuk menentang kerajaan dan negara,” katanya.

Kerajaan melalui Kementerian Dalam Negeri (KDN) turut didesak menyekat penyebaran dan pengedaran buku terbabit kerana ia didakwa mempromosikan doktrin tertentu.

“Penyebaran buku-buku ini dia akan mengundang satu bencana akan datang macam mana dia nak mendoktrin pemikiran anak muda, satu hari nanti kita tak tahu apa akan jadi kepada generasi akan datang.

“Sebab itu kita desak kerajaan ambil tindakan terhadap penerbit buku yang cuba dikeluarkan, malah sudah diedarkan pun, saya lihat dalam media sosial buku ini dijual dengan harga RM45.

“Sebab itu kita bimbang apabila buku ini tersebar ia boleh disalahgunakan oleh anak-anak muda,” katanya lagi. – MalaysiaGazette