Jumaat, 29 Jun 2018

BN harapkan musim menuai, tetapi bah besar melanda

Kajian UIAM menunjukkan beza sokongan kepada BN dalam tempoh 10 hari terakhir kempen adalah 13%, yang menyamai hampir sejuta undi, perubahan paling besar dalam sejarah Malaysia. – Gambar fail The Malaysian Insight
 
10 hari terakhir tempoh berkempen terbukti jadi masa kritikal yang lumpuhkan sokongan kepada Barisan Nasional (BN), menurut kajian dilakukan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Dalam tempoh 10 hari terakhir itu, populariti BN jatuh teruk daripada 39% kepada 31%. Pada masa sama, populariti Pakatan Harapan (PH) naik 10%, PAS pula naik 5%.

“Peralihan besar ketika tempoh berkempen ini membunuh BN,” kata Profesor Dr Syed Arabi Idid yang menambah situasi seperti itu tidak pernah berlaku dalam politik Malaysia.

Pakar sains politik itu menyifatkan ia berlaku kerana kejayaan Dr Mahathir Mohamad mengaitkan Najib Razak dengan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Satu lagi faktor adalah kejayaan kempen PH di kawasan pedalaman dan Felda. Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu, PH dan PAS menakuluk hampir separuh daripada 54 kerusi Parlimen yang ada kawasan Felda.

Beberapa isu yang jadi tumpuan pengundi ketika tempoh kempen adalah 1MDB, isu kos sara hidup dan kepimpinan Najib.

UIAM menjalankan dua tinjauan pada April-Mei lalu. Tinjauan pertama melibatkan 1,457 responden dilakukan pada 7 April hingga 1 Mei, tinjauan kedua melibatkan 620 responden dilakukan pada 1 hingga 8 Mei. Hasil dapatan kajian diumumkan Syed Arabi pada seminar mengenai PRU14 di UIAM semalam.

Tinjauan kedua menunjukkan peralihan besar pengundi Melayu dan Cina menjauhi BN.

Dalam tinjauan sebelum hari pengundian, Syed Arabi berkata populariti BN dalam kalangan orang Melayu jatuh daripada 46% kepada 33%. Sokongan Cina kepada BN juga jatuh daripada 27% kepada 23%, walaupun sentimen orang India kekal tidak banyak berubah pada kadar 49%, kata Syed Arabi.

Beza 13% sokongan orang Melayu nilainya hampir sejuta undi, kata ahli akademik itu.

Ini adalah kejatuhan terbesar ketika tempoh berkempen dalam sejarah pilihan raya umum Malaysia.

“Pilihan raya lepas menunjukkan sentimen pengundi hanya berubah satu atau dua peritus ketika tempoh berkempen,” katanya.

Faktor Dr Mahathir Mohamad, skandal 1MDB, GST dan kepimpinan Najib Razak didapati jadi punca peralihan sokongan saat akhir yang tak pernah berlaku sebelum ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Jun, 2018.

Musim menuai yang tak sampai

Ikut sejarah, undi popular BN seperti pengayun yang bergerak, kata Syed Arabi.

“Ia (BN) dapat sokongan kuat pada 2004 (64.4%) dan kemudiannya jatuh pada 2008 (51.5%) dan 2013 (46.5%) dan ia (BN) mengharapkan undi popular akan naik balik pada PRU14.

“Sebaliknya, undi popular BN jatuh kepada 33.2%. BN harapkan musim menuai pada 2018, tetapi musim banjir terus berlanjutan,” kata Syed Arabi.

Syed Arabi berkata tinjauan pertama dilakukan sebulan sebelum hari penamaan calon menunjukkan undi popular BN hanya akan jatuh kepada 37%.

“Tetapi ketika itu, kami menjangkakan BN masih akan menang atau paling buruk Parlimen tergantung. Kami tak jangka kejatuhan besar ketika tempoh berkempen.”

Selain kejatuhan sokongan Melayu, satu lagi keputusan mengejutkan adalah kejatuhan populariti BN dalam kalangan mereka yang berpendapatan rendah, katanya.

Tinjauan kedua menunjukkan sokongan BN dalam kalangan mereka yang berpendapatan kurang RM2,000 jatuh daripada 51% kepada 40%. Bagi mereka yang berpendapatan antara RM2,000 hingga RM4,000 pula, sokongan jatuh daripada 37% kepada 30%. Sokongan daripada mereka yang berpendapatan RM6,000 ke atas juga jatuh 7%.

“BR1M tak beri banyak kesan kepada BN,” kata Syed Arabi.

Sebulan sebelum PRU14, Najib mengumumkan BR1M akan dinaikkan daripada RM1,200 kepada RM2,000 ketika pelancaran manifesto BN pada 7 April.

Satu lagi hasil dapatan kajian yang menarik adalah sokongan golongan berpendapatan tinggi kepada PAS. Tinjauan kedua menunjukkan sokongan kepada PAS daripada mereka yang berpendapatan lebih RM6,000 naik daripada 5% kepada 16%.

Syed Arabi berkata ia menunjukkan PAS tidak lagi hanya popular dalam kalangan golongan berpendapatan rendah dan profil pengundinya sudah berubah.

Tiada ulasan: