Khamis, 28 Jun 2018

Ikan sardin mengandungi cacing dikembali ke negara asal


THE MALAYSIAN INSIGHT
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Salahuddin Ayub berkata pemeriksaan dan penguatkuasaan terhadap produk dan jenama makanan  lain terutamanya sardin di dalam tin di 57 pintu masuk seluruh negara akan dipergiat.– Gambar fail The Malaysian Insight
 
PRODUK sardin di dalam tin dari China yang disahkan mengandungi cacing pembawa penyakit kepada manusia akan dikembalikan kepada negara pengeksport, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Salahuddin Ayub.

Beliau berkata berdasarkan maklumat yang diperolehi, sardin di dalam tin berjenama RANESA itu pernah diimport oleh negara ini namun tiada kejadian penemuan cacing.

“Untuk sardin jenama sama yang sudah ada di pasaran, ia di bawah bidang kuasa Kementerian Kesihatan untuk tindakan. Bagi dua kontena yang telah ditahan itu kita akan pulangkan semula kepada mereka (China).

“Justeru, syabas kepada Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) atas kecekapan mengesan dua buah kontena membawa produk sardin tin (import) dari China yang mengandungi cacing,” katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini hari ini.

Pada 14 Mei lepas, MAQIS menemui cacing yang boleh menyebabkan penyakit anisakiasis kepada manusia di dalam sampel tin sardin dari China yang dibawa masuk menerusi North Butterworth Container Terminal (NBCT) Pulau Pinang.

Cacing terbabit ditemukan menerusi pemeriksaan fizikal dan pensampelan ke atas beberapa tin sardin yang tiba di dalam dua kontena berisi ‘Canned Mackerel in Tomato Sauce’ jenama RANESA yang ditahan di NBCT dengan anggaran berat 36,720 kilogram bernilai RM199,797.24.

Mengulas lanjut, Salahuddin berkata pemeriksaan dan penguatkuasaan terhadap produk dan jenama makanan  lain terutamanya sardin di dalam tin di 57 pintu masuk seluruh negara akan dipergiat dengan bantuan MAQIS bagi memastikan produk terbabit menepati piawaian ditetapkan.

Kerajaan bukan sahaja bertanggungjawab untuk menyediakan bekalan makanan yang mencukupi tetapi harus memastikan ia berkualiti serta bebas ancaman yang memudaratkan, katanya.– Bernama

Tiada ulasan: