Ahad, 26 November 2017

Banjir mula melanda Kelantan

MALAYSIA GAZETTE

Banjir mula melanda Kelantan.


KOTA BHARU – Hujan lebat berterusan sejak semalam menyebabkan beberapa kawasan rendah di beberapa jajahan di Kelantan mula dilanda banjir.

Menurut aplikasi infobanjir Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), seramai 63 mangsa daripada 12 keluarga ditempatkan di Islamic Outreach Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Kok Lanas di sini, setakat pukul 6.30 petang ini.

Sebuah lagi pusat pemindahan di sini iaitu Dewan Orang Ramai Pasar Melor menempatkan 21 mangsa daripada enam keluarga.

Sementara itu, di Pasir Mas, sebuah pusat pemindahan dibuka iaitu Madrasah Haji Daud menempatkan sembilan mangsa daripada tiga keluarga manakala di Tanah Merah, 17 mangsa daripada empat keluarga ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Kelewek, Bukit Panau.

Tiga pusat pemindahan dibuka di Jajahan Pasir Puteh bagi menempatkan 47 mangsa daripada 11 keluarga iaitu sekolah Kebangsaan Kamil 1 (11 mangsa), Sekolah Kebangsaan Changgai (12 mangsa) dan Sekolah Kebangsaan Wakaf Raja (24 mangsa).

Menurut portal infobanjir.water.gov.my Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), bacaan paras air di kesemua sungai utama di negeri ini masih di paras normal kecuali Sungai Golok di Rantau Panjang berada di paras berjaga-jaga iaitu 7.76 meter berbanding amaran 8.0 meter.

Seorang mangsa yang ditempatkan di Islamic Outreach ABIM, Baharuddin Husin, 68, dari Kampung Lubuk Besar, Ketereh di sini, berkata beliau berpindah kerana risau melihat paras air semakin meningkat sehingga mencecah paras pinggangnya di kawasan rumahnya.

Katanya, hujan yang tidak berhenti sejak semalam menyebabkan sekitar rumahnya yang terletak di kawasan rendah mudah ditenggelami air.

Beliau dan isterinya berpindah awal ke pusat pemindahan tersebut bagi mengelakkan kesulitan sekiranya menunggu berpindah saat akhir.

Tinjauan di pusat pemindahan berkenaan mendapati selain makanan dan minuman, penduduk terbabit diberi barangan keperluan asas seperti selimut dan bantal.

Setakat ini, tiada jalan-jalan utama yang ditutup kepada kenderaan.— BERNAMA


BN Perak cemas, Zahid tumpu sepenuh perhatian kepada negeri



Zahid habis masa di Perak, kata Salman.

AMANAH menyifatkan kekerapan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berada di Perak sebagai petanda seolah-olah BN Perak di dalam keadaan cemas dan membimbangkan menjelang pilihan raya umum ke 14 (PRU-14).

Sebab itulah, kata Setiausahanya, Salman Salleh, BN Perak terpaksa menggunakan kedudukan Zahid sebagai ‘Orang Nombor Dua Negara’ untuk membantu mereka di Perak ketika ini.

“AMANAH Perak yakin kerusi Parlimen Bagan Datok dan juga Pentadbiran Kerajaan Negeri Perak akan mampu diambil alih semula kerana situasi terkini menunjukkan tahap keyakinan BN Perak khususnya terpaksa ‘mengheret’ Zahid bagi menjamin kekuatan dan kemenangan dalam Pilihan Raya yang sungguh sengit kali ini,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, AMANAH) Negeri Perak melihat ‘Orang Nombor Dua’ negara dalam tempoh sebulan pada bulan November 2017 ini telah menghadiri lebih daripada sepuluh program kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Perak yang diadakan khasnya di negeri Perak baru-baru ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kawasan Bagan Datok begitu kerap berada di Perak di dalam membantu jentera Barisan Nasional (BN) Negeri Perak khasnya dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti.

Selain program Kerajaan Persekutuan yang diadakan khasnya di Bagan Datuk seperti pada hari ini, 26 November 2017 iaitu Majlis Pecah Tanah Politeknik Bagan Datuk selain beberapa program sampingan seperti Sukan Tahunan di padang Sekolah Menengah Kebangsaan Hutan Melintang serta ziarah.

Manakala pada hari semalam sahaja, 25 November 2017 telah merasmikan Karnival Jualan Mega 2017 di Bulatan Amanjaya, Ipoh anjuran Kementerian dan sebelumnya pada 21 November 2017 merasmikan Majlis Penutup Persidangan Antarabangsa di Hotel Casuarina @ Meru Raya anjuran Kerajaan Negeri.

Pada hari yang sama turut merasmikan Konvensyen Perdana dan Persidangan Perwakilan Majlis Guru Besar Negeri Perak kali ke-30 /2017 di Ipoh, selain itu mempunyai jadual penuh pada 19 November 2017 dengan program utamanya iaitu Fiesta NBOS Sayang Malaysia di Sekolah Menengah Kebangsaan Hutan Melintang, katanya.

Selain itu juga program Majlis Penutup Seminar Keselamatan Kanak-kanak – Always Beware dan Be Aware (ABBA) di Bagan Datuk, merasmikan Pusat Pembiayaan Komersial Agro Bank Hutan Melintang serta Pelancaran Blue Ocean Youth Movement, sembang santai dan beramah mesra bersama dengan golongan belia.

Dan dua hari berturut-turut pada 11 November 2017, Sambutan Rumah Terbuka Malaysia sempena Deepavali di Sungai Siput dan 12 November 2017 Majlis Pelancaran Program Vetri Road to Victory in 2018 di Hutan Melintang dan melawat kemajuan prestasi projek pembangunan Waterfront Bagan Datuk.

Tindakan Lim ketepikan ADUN PKR tidak wajar – PKR Pulau Pinang

THE MALAYSIAN TIMES
 


GEORGE TOWN: Tindakan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng menyekat peruntukan bantuan mangsa banjir kepada Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kebun Bunga daripada PKR Cheah Kah Peng adalah tidak wajar dan tidak menghormati pilihan rakyat, kata Pengerusi PKR negeri Datuk Mansor Othman.

Beliau berkata sebagai wakil rakyat yang mendapat mandat rakyat dalam pilihan raya umum lepas, Cheah tidak sepatutnya disekat daripada menjalankan kewajipan sebagai wakil rakyat bagi penduduk Kebun Bunga.

Katanya tindakan Lim menyerahkan tugas berkenaan kepada ADUN Pulau Tikus daripada DAP Yap Soo Huey juga dilihat seperti mengetepikan peranan PKR dalam kerajaan negeri pimpinan DAP itu.
“Pihak kami ingin menegaskan bahawa tindakan ini telah sedikit sebanyak mencalarkan semangat setiakawan dalam Pakatan Harapan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Semalam, Lim dalam sidang media berkata pendaftaran mangsa banjir di kawasan Kebun Bunga akan diselia oleh beliau sendiri dan Yap atas sebab prosedur dalaman.

Mansor menyifatkan alasan bahawa sekatan itu disebabkan oleh prosedur dalaman sebagai amat naif dan sukar diterima kerana keputusan menarik peruntukan kepada wakil rakyat Kebun Bunga itu tidak melalui perbincangan dan rundingan dengan PKR negeri.

Sementara itu, ADUN Pulau Betong Datuk Dr Muhamad Farid Saad menyifatkan tindakan Lim mengetepikan ADUN PKR untuk memperakui borang permohonan pampasan banjir sebagai satu tindakan yang sangat tidak demokratik.

“Saya tidak hairan jika ADUN-ADUN BN (Barisan Nasional) tidak diberikan kuasa memperakui permohonan itu, tapi bila ADUN PKR sendiri tidak dibenarkan juga ia sesuatu yang agak janggal.
Bukankah PKR adalah sebahagian dari kerajaan Pakatan Harapan di Pulau Pinang,” katanya.

Beliau berkata kerajaan DAP Pulau Pinang kini dilihat sudah tidak mengendahkan suara-suara pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan rakyat di negeri ini yang membantu kemenangan DAP dalam pilihan raya umum.

“Jelas pentadbiran Ketua Menteri Lim Guan Eng tidak boleh dikritik. Suara mengkritik dianggap suara menentang. Mungkin itulah yang berlaku ke atas rakan saya YB PKR Kebun Bunga Cheah Kah Peng diketepikan kerana mengkritik ketua menteri dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang.

“Sebelum ini, YB PKR Penanti Norlela Ariffin juga diberi tekanan apabila beliau membangkitkan isu operasi kilang haram di Kampung Sungai Lembu dalam DUN Penanti,” katanya.— BERNAMA

Adakah PPBM ada masa depan dalam arena politik negara?, soal Kamarulazman

Oleh Wan Anis Ilyani Wan M Azhar
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Hasrat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang memohon pengecualian dalam beberapa perkara dibidas seorang daripada bekas pengasasnya, Kamarulazman Habibur Rahman.
 
Ujar Kamarul, perkembangan itu membuatkan beliau terfikir apakah parti tajaan Tun Dr Mahathir Mohamad itu punya masa depan di samping Barisan Nasional, PAS dan parti pembangkang yang lain.
 
Beliau juga bertegas, pemimpin PPBM tidak boleh terus menuding jari kepada pihak lain melainkan akur kelam-kabutnya parti kini adalah berpunca daripada kealpaan mereka sendiri.
 
"Jangan menyalahkan pihak lain sedangkan kesalahan itu datangnya dari diri sendiri, parti sendiri.
 
"Jika keadaan ini berlarutan pasti parti tidak bertahan lama. Dan ini menjurus sama ada mereka peduli kepada parti? Apakah parti ini mempunyai masa depan selepas PRU14," katanya kepada Antarapos.
 
Kamarulazman mengulas kenyataan Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS), Surayati Ibrahim bahawa cadangan pengecualian PPBM itu bertentangan dengan Akta Pertubuhan 1966, malah perlembagaan PPBM itu sendiri.
 
RoS kemudiannya meminta diberikan tempoh selama seminggu untuk meneliti permohonan pengecualian tersebut, termasuk merujuk hal itu kepada Jabatan Peguam Negara.
 
Dikatakan pengecualian yang dipohon PPBM pada Khamis lalu membabitkan isu pelaksanaan mesyuarat agung tahunan dan pindaan perlembagaan parti.
 
Kamarul dalam pada itu hairan bagaimana parti yang dipimpin Tun Dr Mahathir Mohamad itu gagal mematuhi perlembagaan parti itu sendiri, dan menyifatkan tiada kepedulian di kalangan pimpinan PPBM.
 
"Tak mungkin bagi pemimpin-pemimpin di dalam PPBM yang mendakwa berpengalaman dalam politik tidak sedar (parti) akan sampai ke persimpangan seperti hari ini, iaitu timbul masalah dari sudut mesyuarat agung dan perkara lain yang telah disenarai dalam perlembagaan.
 
"Setiap kali penubuhan parti baru maka mesyuarat agung tahunan adalah platform yang ditunggu-tunggu dan diusahakan untuk disegerakan kerana di sana ahli dapat bersuara.
 
"Bagaimana hendak dikatakan relevan permohonan itu sedangkan, contohnya adakah relevan seseorang ahli menjadi ahli PPBM, (dan) katakan dia jadi ahli untuk tempoh 10 tahun, jadi bagaimana kedudukannya itu jika tempoh setahun itu tamat? Bukankah ahli itu menjadi mangsa kepada PPBM sebab sementara dia menjadi ahli selama setahun tidak ada satu pun mesyuarat agung diadakan," jelas Kamarul.
 
PPBM berkemungkinan dibubarkan pendaftarannya selepas ia sehingga gagal menyelesaikan krisis dalamannya dan menganjurkan mesyuarat agung tahunan yang telah melebihi tempoh yang sepatutnya pada September lalu.
 
 

Polis tahan wanita warga Indonesia disyaki dera anak

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
KEPALA BATAS: Polis menahan seorang wanita warganegara Indonesia selama 14 hari selepas disyaki mendera anak lelakinya berusia setahun di rumah mereka di Paya Lahar Kepar.
 
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, pihaknya mendapat aduan daripada seorang doktor Hospital Kepala Batas di sini yang mengesan pendarahan di kepala kanak-kanak berkenaan selain kesan bengkak di dahi dan lebam di pipi serta badan.

 
Suri rumah yang berusia 26 tahun itu bagaimanapun mendakwa anaknya terjatuh dan terhantuk di ruang tamu rumah mereka.
 
Kejadian dilaporkan berlaku pada jam 4.30 petang pada Rabu lalu, dan bapa mangsa bertindak membawa anaknya ke hospital 20 minit kemudian selepas menyedari keadaan anaknya semakin lemah.
 
“Pemeriksaan  pegawai perubatan hospital mendapati kanak-kanak berkenaan mengalami pendarahan otak akibat impak (hentakan) kuat menggunakan objek tumpul di dahi dan pipi kanannya.
 
“Badan mangsa yang kini koma dan dihantarkan ke Hospital Pulau Pinang juga mempunyai banyak kesan lebam berlainan warna selain doktor berpendapat kecederaan itu disengajakan dan bukan disebabkan kemalangan,” katanya di sini hari ini.
 
Polis akan menyiasat kes itu di bawah Sekeysn 31 (1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan siasatan mendapati tempoh visa wanita berkenaan telah tamat pada 24 Mac lalu.

 
Tambah Noorzainy, ibu dan kanak-kanak berkenaan menggunakan pasport Indonesia manakala suaminya warga tempatan dan mereka berkahwin di negara jiran berkenaan.
 
 

PAS gesa kerajaan Pahang jawab isu pembalakan di Merapoh

MALAYSIAKINI
 




Kerajaan Pahang perlu memberikan penjelasan berhubung kegiatan pembalakan di Merapoh, Kuala Lipis, yang kini hangat diperkatakan di media sosial, kata Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Beliau merujuk kegiatan pembalakan di hutan tersebut yang dilaporkan melibatkan kawasan seluas 668.79 hektar berhampiran Gua Hari Malaysia, yang dianggap sebagai 'syurga hidupan liar' di kalangan pencinta alam semula jadi.

"Keindahan alam ini telah dicabuli. Ia dikhuatiri akan lenyap apabila aktiviti pembalakan mula dikesan di kawasan berkenaan sejak bulan lalu.

"Kerajaan Pahang perlu mempertahankan dan mengutamakan khazanah ini yang boleh membawa pendapatan berpanjangan daripada industri pelancongan, berbanding pembalakan yang (mendatangkan hasil) sekali lalu.

"Industri pelancongan dapat menambahkan pendapatan penduduk sekitar manakala pembalakan hanya menguntungkan segelintir yang kaya dan berkuasa," katanya dalam satu kenyataan, semalam.




Terletak berhampiran Taman Negara Pahang, terdapat lapan kampung di sekitar kawasan itu.

Justeru selain menjejaskan kawasan pelancongan, kegiatan pembalakan di sana juga mengancam sumber rezeki penduduk tempatan dan bekalan air bersih yang selama ini dinikmati lapan kampung di sekitarnya.

Memetik laporan Freemalaysiatoday semalam, setakat ini dianggarkan 200 hektar hutan telah ditebang.

"Ramai pelancong membatalkan kunjungan ke sini. Mereka ingat dapat tengok hutan hijau tapi apa yang dapat ialah lumpur, bukit digondol. Malah, jalan masuk ke Gua Hari Malaysia juga rosak teruk," menurut wakil penduduk Sabri Zoo, seperti dipetik.

Presiden Peka Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil pula mendakwa pihak terbabit tidak memberikan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS), selain berlaku juga kegiatan perlombongan emas yang turut mengganggu bekalan air.

Ia disebalik arahan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin kepada Jabatan Perhutanan Pahang agar memantau pembalakan di sana secara menyeluruh, seperti dilapor Berita Harian pada 2 November lalu.




Dalam laporan sama, Pengarah JAS Pahang, Rosli Zul juga berkata pihaknya akan bekerjasama dengan jabatan perhutanan bagi mendapatkan maklumat terperinci mengenai perkara itu, namun pada masa sama berkata EIA hanya perlu jika membabitkan pembalakan berskala besar.

Tuan Ibrahim berkata, PAS menyokong penuh kempen menyelamatkan hutan Merapoh yang dijalankan NGO.

"Apakah hasil pemantauan (jabatan perhutanan)? Apakah berlakunya pembalakan haram, atau lesen diberikan tanpa EIA untuk mengenalpasti apakah khazanah yang ada di sana?

"Atau wujud salah guna kuasa untuk sengaja memecah kawasan pembalakan dan memberi lesen secara kecil-kecilan hanya untuk mengelakkan adanya keperluan untuk EIA?

"Diharap kerajaan Pahang dapat memberikan jawapan dengan kadar segera," katanya lagi.

NIOSH lancar buku panduan khas untuk sekolah tahfiz

MALAYSIAKINI



Insititut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) akan melancarkan buku panduan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) khas untuk sekolah tahfiz di seluruh negara, Januari depan.

Pengerusi NIOSH Tan Sri Lee Lam Thye berkata buku panduan itu antara lain memberi pendedahan mengenai perkara asas berkaitan KKP, program pembangunan kesedaran KKP di sekolah tahfiz dan cara melaksanakannya secara berterusan.

“Pihak NIOSH akan memastikan buku panduan itu mudah difahami agar dapat dilaksanakan dengan baik di semua sekolah tahfiz,” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau berkata bagi menjayakan pelaksanaan KKP, NIOSH akan menganjurkan seminar berkaitan di seluruh negara.

Penerbitan buku panduan itu turut dimaklumkan dalam mesyuarat kedua Jawatankuasa Peringkat Tertinggi (HLC) Pasukan Petugas Khas Sekolah Tahfiz yang dipengerusi Timbalan Perdana Menteri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Jumaat lepas (24 Nov).

Lee berkata Ahmad Zahid yang juga pengerusi HLC, dijadual akan merasmikan majlis pelancaran buku panduan itu dalam satu majlis khas yang akan diadakan di Bagan Datuk, Perak.

Katanya NIOSH dijemput menyertai HLC Pasukan Petugas Khas Sekolah Tahfiz bagi meningkatkan kesedaran mengenai aspek kelamatan dan kesihatan di sekolah-sekolah tahfiz seluruh negara.

Penubuhan jawatankuasa khas itu susulan insiden kebakaran yang meragut nyawa 21 pelajar serta dua guru pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Kampung Datuk Keramat pada 14 Sept lepas.

Lee berkata pada 30 Okt lepas NIOSH telah mengadakan seminar pengurusan KKP untuk sekolah-sekolah tahfiz Selangor di Bandar Baru Bangi yang dihadiri seramai 100 pengusaha dan pentadbir tahfiz.

Beliau berkata pasukan khas NIOSH telah melawat lima kategori sekolah tahfiz yang mewakili pelbagai jumlah pelajar dan status termasuk milik kerajaan, swasta dan persendirian untuk mendapatkan gambaran sebenar operasi pusat tahfiz serta cara mereka menguruskan risiko keselamatan dan kesihatan di tempat kerja. -Bernama

Zahid beri bayangan PRU lepas Tahun Baru Cina

MALAYSIAKINI
 


Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi bayangan pilihan raya umum ke-14 (PRU14) bakal diadakan selepas Tahun Baru Cina tahun depan.

Perkara itu disebut Ahmad Zahid yang juga Anggota Parlimen Bagan Datuk dalam ucapannya ketika merasmikan Tokong Teoh Fu Kiong di Hutan Melintang hari ini menggunakan perkataan “Hari Besar” seolah-olah merujuk kepada PRU14 yang kini menjadi tanda tanya ramai bila akan diadakan.

"Jangan lupa hari besar (Tahun Baru Cina) akan sampai, lepas Tahun Baharu Cina akan ada “hari besar’ lain. Kalau dulu bikin silap (tak undi Barisan Nasional (BN) tak pa saya maafkan. Kalau boleh kali ini jangan bikin silap lagi woo,” katanya dalam loghat orang Tionghoa berbahasa Melayu.

Ucapan Ahmad Zahid itu disambut sorakan lebih 500 masyarakat Tionghoa setempat yang hadir pada majlis perasmian tokong itu. Tahun Baru Cina dijangka disambut pada 16 dan 17 Feb 2018.

Tarikh luput mandat kerajaan Persekutuan diterajui Barisan Nasional (BN) pada 24 Jun 2018 dan PRU14 perlu diadakan dalam tempoh 60 hari selepas tarikh luput itu.

Ahmad Zahid turut menyentuh tentang kebebasan beragama di negara ini yang telah membawa kepada keharmonian dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum dan agama.

“Kerajaan Malaysia merupakan kerajaan yang cukup prihatin dan memahami perbezaan agama walaupun dalam Perlembagaan negara kita agama Islam sebagai agama rasmi persekutuan tetapi agama lain bebas diamalkan.

“Ertinya kerajaan Malaysia kerajaan yang adil dan menghormati semua agama di negara kita kerana Islam mengajar kita untuk menghormati agama lain,” katanya. -Bernama


AirAsia terpaksa batalkan penerbangan ke 13 akibat gunung berapi Indonesia

Oleh Athirah Hanapiah
Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: AirAsia terpaksa membatalkan dua penerbangan hari ini menjadikan 13 kesemuanya ekoran aktiviti terbaru Gunung Agung di kepulauan Indonesia.
 
Dalam kenyataan syarikat penerbangan itu hari ini, AirAsia memaklumkan beberapa penerbangan dari Bali dan sebaliknya terkesan ekoran aktiviti terbaru gunung berapi itu. 
 
"AirAsia ketika ini menutup koordinasi dengan beberapa pihak berkuasa dan sentiasa membuat penilaian risiko bagi memastikan keselamatan operasi kami," kata syarikat itu. 
 
Penerbangan yang dibatal atau dijadual semula semalam melibatkan beberapa destinasi iaitu Kuala Lumpur, Singapura, Bangkok dan Jakarta.
 
Dua penerbangan hari ini yang dibatalkan melibatkan pergi balik ke Darwin, Australia.
 
Gunung Agung menghamburkan habuk dan asap semalam, kali kedua dalam minggu ini, yang dilapor setinggi 1.5km dari puncak.
 
 

DAP dicabar pertahan kritikan Sultan Johor terhadap Tun M

ANTARAPOS

Post Pic


KUALA LUMPUR: DAP hari ini dicabar mempertahankan kritikan Sultan Johor terhadap Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Tun Dr Mahathir Mohamad selepas mmebuat kenyataan berbaur penghinaan kepada masyarakat Bugis.

Setiausaha Agung Gerakan Liang Teck Meng kemudiannya berkata parti pimpinan Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng itu hipokrit kerana tidak bersuara dalam isu kenyataan Dr Mahathir itu.

"Pemimpin-pemimpin DAP masih berdiam diri walaupun kenyataan Tun Dr Mahathir telah mengundang banyak kritikan yang sengit daripada pelbagai pihak, termasuk Perhimpunan Pemuda Bugis Makassar Indonesia, Dewan di-Raja Selangor dan yang terkini oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor.

"Ini menunjukan sifat hipokriti DAP yang keji, dwistandard dan tidak ikhlas terhadap antiperkauman," kata Liang memetik kenyataannya.

Ahli Parlimen Simpang Renggan itu hairan dengan sikap pemimpin-pemimpin DAP di dalam isu itu, sedangkan Lim Kit Siang, Lim Guan Eng dan Teresa Kok sering mengkritik apa sahaja kenyataan berbaur perkauman.

"Saya mencabar pemimpin DAP terutamanya pemimpin dan ahli parlimen DAP Johor, Teo Nie Ching dan Liew Ching Tong untuk mempertahankan kritikan Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor.

"Mereka harus bercakap serupa bikin dengan bangkit bersuara untuk menentang perkauman yang ditunjukkan oleh pemimpin mereka sendiri," katanya.

Dalam titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar Shah semalam, baginda mengakui dirinya terkesan dengan ucapan bekas perdana menteri itu yang meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang berketurunan Bugis untuk pulang ke tempat asal.

"Saya terasa juga. Saya keturunan Bugis, Sultan Selangor keturunan Bugis, Rakyat Johor banyak keturunan Bugis.

“Asal usul saya pun dari Riau Lingga. Banyak Bugis. Apa rasa orang Bugis," titah baginda.

Sultan Selangor, Sultan Shafuddin Idris Shah sebelum ini dilaporkan murka dengan kenyataan sedemikian Dewan di-Raja Selangor mahu satu siasatan dan tindakan undang-undang di bawah Akta Hasutan diambil ke atas Mahathir.

Dr Mahathir bagaiamanapun berulang kali menafikan dakwaan itu dan menegaskan bahawa beliau hanya merujuk kepada Najib dan bukannya keseluruhan masyarakat Bugis.



Sabtu, 25 November 2017

Kemelut PPBM dengan ROS: Salah siapa?



Minggu lalu, Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) melondehkan lagi masalah PPBM kepada umum.

ROS berkata PPBM boleh diharamkan pendaftarannya kerana melakukan tiga kesalahan yang melanggar perlembagaan parti itu.

Antara kesalahan yang menjatuhkan imej PPBM dengan teruk ialah ketidak-mampuan mengadakan mesyuarat agung tahunan. Dua lagi kesalahan yang lain ialah menubuhkan sayap pemuda dikenali sebagai Armada dan menangguhkan mesyuarat agung tanpa peruntukan dalam perlembagaan parti.

Di sebalik masalah yang sebegitu serius, PPBM telah menganjurkan sambutan ulang tahunnya di Muar pada tanggal 14 September yang lalu, untuk membina persepsi umum bahawa segala-galanya sedang berjalan lancar untuk parti itu.

Namun, persepsi yang palsu tidak akan dapat bertahan.

Alasan Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa PPBM masih gagal mengadakan mesyuarat agong kerana peringkat bawah belum mengadakan mesyuarat masing-masing juga susah diterima.

Bukankah tanggungjawab pimpinan tertinggi untuk mengarahkan bila cawangan-cawangan perlu mengadakan mesyuarat agong?

Apakah arahan itu sudah dikeluarkan? Jika ya, setakat ini berapa cawangan yang sudah mematuhi arahan itu? Berapa cawangan yang ingkar atau tidak mampu mengadakan mesyuarat agong? Apakah ia disebabkan setiap cawangan PPBM tidak cukup korum untuk mengadakan mesyuarat agong mereka atau ada masalah logistik yang lain?

Sekiranya arahan untuk mengadakan mesyuarat cawangan belum pernah dikeluarkan, bukankah ini satu kecuaian pengurusan parti?

Bagaimana pula kemelut yang melanda nama Armada, sayap pemudanya? Menurut Shaharuddin, PPBM kini terpaksa akur untuk tidak menggunakan nama Armada sehinggalah pindaan perlembagaan parti diluluskan oleh pihak ROS. Armada kini hanya boleh dikenali sebagai Pemuda PPBM.

Shahruddin berkata keputusan menggunakan nama Armada merupakan sebahagian daripada perlembagaan Bersatu yang diputuskan dalam mesyuarat agung luar biasa pada 2 November 2016.

Namun, ROS tidak mengiktiraf mesyuarat tersebut disebabkan hanya 12 orang ahli majlis tertinggi sahaja yang menghadiri mesyuarat itu.

Kelakarnya, perlembagaan PPBM sendiri di bawah Fasal 28 menyatakan bahawa “sebarang pindaan kepada perlembagaan parti itu mesti disokong oleh tidak kurang daripada 2/3 perwakilan yang hadir di AGM atau EGM”.

Jadi, bagaimana kesilapan ini boleh berlaku? Bagaimana PPBM boleh melanggar perlembagaan sendiri?

Siapakah yang patut bertanggungjawab? Kesalahan tidak boleh diletakkan pada setiausaha agung parti itu Datuk Dr Shaharuddin Md Salleh sahaja.

Di manakah kebijaksanaan Presiden parti Tan Sri Muhyiddin Yassin dan timbalannya Datuk Mukhriz Mahathir? Dr Mahathir sudah terlalu sibuk dan tua untuk menguruskan parti, jadi perkara ini tidak boleh dipersalahkan pada beliau.

Namun, ketiga-tiga kesilapan PPBM ini telah memalukan Dr Mahathir yang sering cuba mendesak ROS untuk mempercepatkan proses pendaftaran Pakatan Harapan.

Dr Mahathir perlu memastikan PPBM mematuhi segala undang-undang terlebih dahulu sebelum mendesak ROS untuk mempercepatkan proses pendaftaran Pakatan Harapan.

Semakin lambat PPBM menyelesaikan masalahnya, semakin kuatlah alasan ROS untuk melengahkan pendaftaran Pakatan Harapan. Salah siapa?

Anak Husam mengaku tidak bersalah miliki dadah

AKHBAR RAKYAT




KOTA BHARU: Anak lelaki Adun Salor Datuk Husam Musa hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret terhadap pertuduhan memiliki dadah jenis metamfetamina seberat 20 gram lima hari lalu.

Ahmad Syafi Husam, 29, memohon dibicarakan selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Kamarul Hasyime Rosli.

Dia didakwa memiliki dadah berkenaan di tepi sebuah rumah di Jalan Pasir Mas-Salor, Kampung Jelutong pada 3.30 petang 18 November lepas.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952, boleh dihukum mengikut Seksyen 39A (1) akta sama, membawa hukuman penjara antara 2 hingga 5 tahun serta 3 hingga 9 sebatan jika sabit kesalahan.

Majistret Kamarul Hasyime membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 14 Januari tahun depan untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Shahirun Azri Mohd Nordin manakala terduduh diwakili 5 peguam diketuai Firdaus Mohd Yusof.

Harga minyak: Pemuda PH ajak rakyat adakan bantahan 31 Disember ini




Harga minyak: Pemuda PH ajak rakyat adakan bantahan 31 Disember ini


Selepas berkampung selama 42 jam di luar parlimen, Pemuda Pakatan Harapan telah mencapai kata sepakat untuk menganjurkan ‘Demontrasi Turun-Turun’ yang akan berlangsung di Kuala Lumpur pada 31 Disember nanti.

Ketua Pemuda AMANAH Nasional Mohd Sany Hamzan berkata, Pemuda PH akan terus konsisten memperjuangkan nasib rakyat yang kini sangat dibebani dengan kos kehidupan yang saban hari meningkat.


Mohd Sany Hamzan

“Kami mengajak seluruh rakyat Malaysia khususnya anak muda untuk turun beramai-ramai bagi menghantar satu mesej jelas kepada kerajaan kleptorasi pimpinan Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

“Kami mengajak rakyat meletakkan azam dan iltizam untuk membuat perubahan dalam PRU14 yang akan datang,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Katanya lagi, selepas kenaikan harga minyak berganda dalam tempoh sebulan yang lalu, Pemuda AMANAH Nasional bersama Pemuda Pakatan Harapan telah menggerakkan kempen bantahan di seluruh negara.

“Majoriti masyarakat menyatakan kekecewaan mereka kepada kerajaan yang langsung tidak cakna terhadap permasalahan rakyat yang sedang terbeban dengan kos sara hidup,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Sany mengajak rakyat untuk terus menyuarakan bantahan terhadap kerajaan bagi membantah harga minyak yang sangat tinggi ketika ini.

Pemuda PH berpendapat  walaupun berlaku penurunan harga Ron 95 dan 97 sebanyak 8 sen dan diesel 2 sen pada minggu ini, namun harga bahan bakar itu masih tinggi.

“Ini kerana kekerapan kenaikan harga sejak mekanisme penetapan harga mingguan diperkenal.

“Penurunan yang diumumkan itu tidak cukup melegakan rakyat yang masih terbeban dengan harga minyak sedia ada,” ujarnya.

Beliau berkata, rakyat tidak menyambut penurunan harga minyak ini kerana ia tidak memberi kesan positif yang besar kerana rakyat masih merasai bebanan tinggi akibat kenaikan pelbagai serta pengenaan cukai GST ke atas mereka.

“Kerajaan sendiri tidak berasa lega dengan penurunan harga ini kerana mereka tahu mood rakyat sangat negatif terhadap mereka pada ketika ini.


 
Demontrasi desak kerajaan turun harga minyak yang dilakukan Pemuda PH pada 22 November lalu selama 42jam dijangka akan diteruskan  lagi pada 31 Disember di Kuala Lumpur.


Jika Pengasas PPBM Ditipu, Bagaimana Saya Boleh Yakin Parti Tidak Tipu Rakyat, Soal Anina






Kes ARMADA, sayap pemuda PPBM, yang tidak didaftarkan di dalam perlembagaan parti dan diiktiraf Jabatan Pertubuhan (RoS) merupakan suatu kes yang boleh membuka mata pengundi bahawa wujud suatu bentuk penipuan pimpinan parti kepada ahli-ahli, kata bekas pengasas parti itu, Anina Saadudin.

Menurut Anina, sebelum ini pimpinan PPBM menyatakan hanya sayap pemuda ARMADA sahaja yang berdaftar, sedangkan sayap Srikandi belum berdaftar sebagai justifikasi namanya dikeluarkan untuk mengetuai sayap wanita parti tersebut.

Namun, apa yang berlaku hari ini, kenyataan pimpinan PPBM itu terpesong daripada realiti yang sebenarnya.

“Menurut Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Shahruddin Md Salleh, jawatan ketua Srikandi BERSATU secara teknikalnya tidak sah kerana sayap Srikandi belum wujud.

“Malah Timbalan Pengerusi BERSATU, Datuk Seri Mukhriz Mahathir sendiri memaklumkan kepada saya di hadapan setiausaha agung bahawa pada ketika itu hanya sayap ARMADA (Pemuda BERSATU) sahaja yang baru didaftarkan dan ditubuhkan.

“Semalam saya dikejutkan sekali lagi apabila mendapat tahu bahawa sayap ARMADA sehingga kini masih belum wujud dalam sistem Pendaftar Pertubuhan (ROS)!

“Ini bermaksud, secara tenikalnya majlis angkat sumpah serta perlantikan semua barisan kepimpinan ARMADA BERSATU di peringkat pusat, negeri, bahagian dan cawangan juga adalah tidak sah.
“Kenapa perlu berbohong kepada saya dan ahli ketika itu? Dan berapa banyak pembohongan yang kepimpinan BERSATU nak lakukan terhadap ahli-ahlinya?,”soal Anina dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, jika beliau sendiri boleh ditipu pimpinan PPBM untuk mempercayai sesuatu yang tidak wujud, bagaimana beliau boleh yakin parti tidak menipu rakyat untuk mendapatkan sokongan.

“Jika pengasas-pengasas parti juga ditipu, beritahu saya bagaimana saya boleh yakin bahawa anda tidak akan menipu rakyat.

“Jika dahulu saya diketawakan dan dilabel gila jawatan kerana kononnya tergesa-gesa melantik barisan kepimpinan Srikandi, hari ini dengan kuasa Allah Taala yang maha adil maka Allah telah menunjukkan kepada semua rakyat siapakah yang gila jawatan dengan sesuka hati dan secara semberono mencantas sesiapa sahaja yang mereka tidak sukai untuk mereka terus membohongi rakyat,”katanya lagi

Penduduk Pulau Perhentian cemas dilanda bajir kilat

ANTARAPOS

Post Pic


JERTIH: Hujan lebat berterusan sejak dua hari lalu menyebabkan penduduk Pulau Perhentian di sini, cemas apabila pulau itu dilanda banjir kilat, pagi tadi.

Air yang naik sejak jam 11 pagi tadi menyebabkan kediaman penduduk dan beberapa laluan dinaiki air sehingga hampir satu meter.

Namun, tiada penduduk dipindahkan setakat ini, kerana keadaan masih terkawal dan air mulai surut selepas kira-kira sejam dan hujan berhenti.

Bagaimanapun, jam 2 petang tadi kawasan perkampungan itu mula dilanda banjir kilat semula akibat hujan lebat, malah paras air lebih tinggi sehingga ada kediaman dinaiki air sehingga lebih satu meter.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Pulau Perhentian, Zainuddin Mohamad, berkata belum ada penduduk dipindahkan ketika ini dan kira-kira 1,000 penduduk di pulau itu dinasihatkan berjaga-jaga menghadapi kemungkinan banjir.

"Walaupun air naik di kampung ini, keadaan masih terkawal dan penduduk masih berada di rumah masing-masing kerana hujan tidak menentu. Jika keadaan semakin buruk kita akan minta penduduk berpindah.

"Penduduk dinasihatkan tidak panik, tetapi memastikan keselamatan keluarga terutama anak kecil," katanya seperti yang dilaporkan BH Online.

Sementara itu, laman sesawang publicinfobanjir.water.gov.my merekodkan kenaikan paras air yang melepasi paras normal di beberapa stesen di daerah Besut, Setiu, Dungun, Hulu Terengganu, dan Kemaman.

Penduduk Orang Asli di Lojing diancam tanah runtuh, banjir lumpur

MALAYSIAKINI


Sebanyak 50 penduduk Orang Asli di Kampung Sang Wai, tanah tinggi Lojing di Gua Musang berpindah ke Dewan Orang Ramai kampung itu sejak petang semalam kerana bimbang berlaku tanah runtuh dan banjir lumpur dari sebuah bukit yang terletak berhampiran kediaman mereka.

Mereka yang terdiri daripada 30 keluarga terpaksa bertindak demikian pada jam 3 petang semalam ketika hujan lebat kerana takut berulangnya kejadian tanah runtuh dan banjir lumpur dari bukit berkenaan yang digondolkan untuk dijadikan kawasan tanaman sayur.

Seorang penduduk, Kamarudin Uda, 43, berkata setiap kali hujan lebat akan berlaku tanah runtuh dari bukit tersebut hingga mencemaskan penduduk yang tinggal di sekitar kawasan kaki bukit tersebut.

Kebanyakan mereka mengambil iktibar daripada kejadian kali pertama tanah runtuh dari bukit itu pada pukul 4 petang Selasa lepas sehingga menyekat aliran anak Sungai Belatop selain memusnahkan puluhan pokok pisang dan tanaman lain di kampung itu, katanya kepada pemberita di Gua Musang hari ini.

Kamarudin bersama beberapa penduduk kampung tersebut membuat laporan polis mengenai kejadian itu di Balai Polis Lojing di sini, pada hari sama (Selasa lepas).

Beliau berharap pihak berkuasa bertindak segera untuk memberhentikan kerja-kerja menggondolkan bukit berkenaan yang dilakukan oleh pengusaha tanaman sayur.

Bahlong Bawai, 52, pula berkata beliau dan keluarganya pernah lari meninggalkan rumah pukul 1 pagi Khamis lepas apabila tanah bukit itu runtuh kali kedua ketika hujan lebat.

Katanya mereka tidak mampu lagi bertindak menghalang kegiatan pengusaha terbabit yang terus berdegil menggondolkan bukit berkenaan.

Penghulu Kampung Sang Wai, Nasir Busu berkata mereka trauma kerana pernah berdepan detik cemas dalam kejadian pertama runtuhan walaupun runtuhan itu belum sampai ke kawasan kediaman mereka.

Selain Kampung Sang Wai, beberapa perkampungan Orang Asli lain di Lojing dan Pos Brooke turut terjejas akibat daripada kerja-kerja penerokaan bukit untuk tanaman sayur.

Musim tengkujuh sekarang ini yang dijangka sehingga Mac tahun depan kian meresahkan penduduk Orang Asli berkenaan.- Bernama

Larangan bergambar: Tunggu keputusan Arab Saudi

MALAYSIAKINI



Lembaga Tabung Haji (TH) masih menanti makluman rasmi daripada kerajaan Arab Saudi berkenaan larangan bergambar di Masjid Nabawi di Madinah dan Masjidil Haram di Mekah, seperti laporan beberapa portal tempatan dan antarabangsa.

Pengerusinya Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata sekiranya mendapat maklum balas dari Arab Saudi, pihaknya akan memberi kenyataan rasmi berkenaan perkara tersebut secepat mungkin bagi memastikan jemaah haji atau umrah negara ini mematuhinya.

“Jika benar larangan tidak boleh bergambar itu dilaksanakan, saya mohon jemaah kita, tidak kira yang mengerjakan haji atau umrah mengikutinya memandangkan ia adalah undang-undang yang ditetapkan pihak sana,” katanya ketika ditemui media pada Program Berkhatan Perdana Peringkat Parlimen Baling hari ini.

Baru-baru ini, beberapa portal berita tempatan dan antarabangsa melaporkan pihak berkuasa Arab Saudi melarang pengunjung Masjidil Haram dan Masjid Nabawi mengambil gambar atau video bagi melindungi dan memelihara kesucian tempat itu, selain supaya tidak mengganggu kelancaran jemaah lain beribadah.

Beliau berkata ia mungkin antara usaha kerajaan Arab Saudi mengekang penyebaran berita dan gambar tidak elok yang berlaku di kedua masjid tersebut dalam media sosial seperti banjir, bangunan runtuh atau perkara buruk lain, yang sebenarnya tidak berlaku.

“Bagi saya sendiri, mengambil gambar di kedua masjid tersebut memang sedikit sebanyak menganggu perjalanan ibadah jemaah lain terutama ketika waktu sesak melakukan tawaf di Masjidil Haram. Apa pun, kita tunggu saja keputusan yang akan dibuat oleh kerajaan sana,” katanya.

Abdul Azeez berkata apa saja keputusan kerajaan Arab Saudi berhubung perkara itu dipercayai tidak akan menjejaskan hubungan akrab antara kedua-dua negara.

“Jadi, sekiranya ia (mengambil gambar) diputuskan tidak boleh, jemaah kita ikutlah kerana ia secara tidak langsung membantu menjaga hubungan baik antara negara kita dengan Arab Saudi serta memelihara kesucian kedua-dua masjid tersebut.

“Jika tidak boleh bergambar di situ, mungkin pihak mereka akan menetapkan kawasan khusus di tempat lain yang boleh bergambar,” katanya.- Bernama

Umno Selangor serik, insaf 9 tahun jadi pembangkang

MALAYSIAKINI



Sembilan tahun menjadi pembangkang di Selangor ternyata menginsafkan Umno Selangor yang bertekad tidak mahu lagi mengulangi episod duka apabila terlepas negeri itu dalam dua pilihan raya umum (PRU) sebelum ini.

Atas kesedaran itu juga Umno Selangor menggerakkan gerak kerja semaksimumnya untuk menghadapi PRU ke-14 (PRU14) merangkumi peringkat cawangan, bahagian dan negeri.

Setiausaha Badan Perhubungan Umno Selangor Datuk Johan Abdul Aziz berkata untuk tujuan itu, Umno melantik koordinator di kawasan-kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang tidak dimenangi BN untuk memimpin gerak kerja berkenaan.

“Ya kami dah serik dan tidak lagi mahu menoleh ke belakang. Saya lihat kesungguhan untuk merampas balik Selangor di peringkat akar umbi cukup kuat ketika ini. Gerak kerja kami cukup ‘solid’… koordinator di DUN yang kalah, mereka buat kerja dengan baik.

“Walaupun kami di Selangor ni dah bertahun jadi pembangkang tetapi kami tetap jalankan tanggungjawab membantu rakyat. Mana yang kita boleh bantu kita bantu seperti keperluan asas banyak yang Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) kita luluskan di kawasan Selangor ini,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama Bernama.

Ketika ini, kedudukan 56 DUN di Selangor terdiri daripada DAP (14 kerusi), PKR dan PAS masing-masing 13 kerusi, Umno-BN (12 kerusi) dan Parti Amanah Negara serta Bebas, masing-masing dua kerusi.

Bagi menggerakkan usaha Umno Selangor merampas semula negeri itu pada PRU14, Johan yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Semenyih, berkata parti tersebut menjalankan gerak kerja yang agresif namun bertempat.

Beliau berkata Umno Selangor turut menggunakan medium media sosial secara maksimum untuk memperjelas atau menyampaikan sebarang isu negeri atau nasional supaya segala maklumat cepat sampai kepada rakyat.

Pelantikan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor Tan Sri Noh Omar sebagai Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan turut membuka ruang dan peluang untuk Umno Selangor berbakti kepada rakyat di kawasan bandar.

“Selepas Tan Sri (Noh) dilantik sebagai menteri, beliau terus buat kertas kerja untuk diserahkan kepada perdana menteri yang kemudian meluluskan peruntukan RM300 juta untuk membantu miskin bandar.

"Daripada jumlah itu, RM160 juta diperuntukkan untuk Selangor, ini bukan sebab Tan Sri dari Selangor tetapi disebabkan nisbah keseluruhan rumah pangsa dan rumah kos rendah 50 peratus terletak di Selangor.

“Kita terima keluhan daripada rakyat mengenai ketiadaan lif di rumah pangsa yang banyak tingkat sehinggakan nak bawa turun jenazah susah… ini yang kita persembah kepada perdana menteri dan ternyata kebijaksanaan kita dicemburui oleh kerajaan negeri. Strategi kita ialah terus dekati, dampingi rakyat dan apa yang kita boleh bantu kita bantu,” katanya.

Mengenai sasaran Umno dan BN Selangor pada PRU14, Johan berkata pihaknya memberi tumpuan kepada 35 kawasan DUN termasuk 12 yang kini dipegang oleh Umno.

Enggan mendedahkan kesemua kawasan DUN terbabit, beliau berkata Umno Selangor telah mengenal pasti kawasan-kawasan yang bermasalah dan yakin akan dapat mengatasinya sebelum PRU14.

“Walaupun dikatakan PRU14 ini adalah peluang terakhir untuk BN menang semula di Selangor segalanya boleh berlaku dalam politik… yang penting Umno Selangor harus bersatu padu di bawah Noh supaya satu nakhoda satu arahan dipatuhi.

“Saya juga lihat idea Tan Sri Noh cukup bagus… beliau tanamkan dalam pemikiran jentera akar umbi bahawa setiap gerak kerja mesti fikirkan pertandingan satu lawan satu, jadi semua kena kerja kuat.

Kekalahan di Selangor sebelum ini mungkin ada hikmahnya… bila kita jadi kerajaan semula kita kena pastikan tidak terlepas lagi, kena jaga Selangor betul-betul,” katanya mengakhiri bicara.
- Bernama

Kenapa Dr Shad Saleem Faruqi Pertahan Golongan Aties ? – Dr Kamarul





Dr Kamarul Zaman Yusoff

 Saya terkejut bila membaca kenyataan Profesor Emeritus Datuk Dr Shad Saleem Faruqi, yang sekarang ini menjawat jawatan Tunku Abdul Rahman Professor of Law di Universiti Malaya, di dalam portal berita Berita Daily yang mempertikaikan kenyataan Senator Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, di Parlimen semalam bahawa ‘freedom of religion is not freedom from religion’ (kebebasan beragama itu bukan bermakna kebebasan untuk tidak beragama).

Kata Datuk Dr Shad:

(1) “Tiada apa-apa di dalam Perlembagaan Persekutuan yang menjadikan ateisme tidak berperlembagaan di Malaysia” (“There is nothing in the Federal Constitution which makes atheism unconstitutional in Malaysia”).

(2) “Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR) juga memasukkan hak untuk tidak mempercayai” (“The Universal Declaration of Human Rights (UDHR) also included the right to not believe”).

(3) “Dakwaan Asyraf bahawa ateisme boleh menjejaskan ketenteraman awam tidak disokong oleh data sosial” (“Asyraf’s claim that atheism can lead to public disorder was not supported by corresponding social data”).

Untuk ketepatan, ini adalah transkripsi ucapan Datuk Dr Asyraf Wajdi di Parlimen semalam:
“Saya bersetuju bahawa ideologi ateis ini amat merbahaya kerana ia juga bukan hanya menyebarluaskan pemahaman mereka kepada orang Islam tetapi jugak kepada orang bukan Islam. Di dalam Perlembagaan, kita ada dua peruntukan penting yang harus kita semua fahami. Pertama, di dalam Perlembagaan, untuk orang Islam, dalam konteks agama Islam, dipelihara dan dijaga melalui Perkara 11(1) yang harus dibaca dengan Perkara 11(4), yang mengatakan bahawa kebebasan agama di negara kita ini terikat kepada Perkara 11(4), iaitu menyatakan sebarang bentuk penyebaran agama, kepercayaan, doktrin di kalangan orang Islam itu adalah ditegah, dan kerajaan boleh mengadakan apa-apa jugak peruntukan undang-undang untuk menyekat pemahaman ataupun penyebaran doktrin-doktrin yang dirasakan boleh mengganggu-gugat kesucian agama Islam itu sendiri. Itu untuk orang Islam.

Bagi yang bukan Islam, sebenarnya, seperti yang kita semua maklum, ia bercanggah jugak dengan undang-undang yang berkaitan ketenteraman awam dan kemoralan. Bahkan kita sudah ada Akta Hasutan umpamanya yang sekiranya ada pihak-pihak yang cuba untuk menyebarkan ideologi-ideologi doktrin sepertimana ateis ini, yang cuba untuk menyangkal kesucian agama-agama lain, ia boleh diambil di bawah Akta Hasutan ini. Dan kita harus faham bahawa dalam konteks Malaysia,
Perlembagaan kita menyatakan bahawa kebebasan beragama itu bukan bermakna kebebasan untuk tidak beragama kerana it is unconstitutional, dengan izin, untuk mengatakan bahawa kita boleh menyebarkan pemahaman tidak beragama di dalam konteks negara ini, sebab ‘freedom of religion is not freedom from religion’, bermakna kita tak boleh, dengan izin, incite people to leave religion or to promote to no religion. Kita tak boleh mengarahkan atau mempromosikan satu fahaman yang bertentangan dengan Perlembagaan untuk kita tidak beragama, sepertimana yang saya jawab tadi, dalam konteks Rukun Negara, kita tidak boleh bertentangan dengan prinsip Kepercayaan Kepada Tuhan.”

Pertamanya, sebelum ini, Datuk Dr Shad adalah antara pakar perlembagaan yang saya kagumi kerana pandangan-pandangan tajam beliau yang dilihat sering bersifat neutral dan objektif.

Bagaimanapun, penghormatan saya terhadap beliau ini sudah semakin pudar sejak beliau berkawan rapat dengan kumpulan G25 di dalam dua tiga tahun kebelakangan ini sehingga beliau mula mengeluarkan pelbagai pandangan yang kontroversi yang sesetengahnya kelihatan bercanggah dengan pandangan-pandangan yang beliau sendiri buat sebelum beliau mengasosiasikan diri dengan kumpulan G25.

Di dalam kes ateisme ini, saya merasa sangat hairan kenapa Datuk Dr Shad kelihatan begitu bersungguh-sungguh untuk mempertahankan golongan ateis sehingga ke tahap merendahkan martabat beliau sebagai seorang pakar perlembagaan, di antara lainnya kerana:

(1) Kenyataan Datuk Dr Shad bahawa “tiada apa-apa di dalam Perlembagaan Persekutuan yang menjadikan ateisme tidak berperlembagaan di Malaysia” kelihatan bercanggah dengan beberapa kenyataan beliau sebelum ini. Antaranya ialah kenyataan beliau di dalam kertas kerja beliau bertajuk “The Constitution Of A Muslim Majority State: The Example Of Malaysia” yang menyebut, di bawah tajuk kecil (“Tiada Hak Untuk Ateisme” (“No Right To Atheism”): “Adakah hak untuk percaya merangkumi hak untuk tidak percaya dan mengamalkan ateisme, agnosticisme dan rasionalisme? Dalam kebanyakan negara demokratik hak untuk tidak percaya dilindungi oleh perlembagaan.

Tetapi tidak begitu di Malaysia(“Does the right to believe include the right to disbelieve and to adopt atheism, agnosticism and rationalism? In most democratic countries the right not to believe is constitutionally protected. But not so in Malaysia.”). Begitu juga dengan kenyataan beliau di dalam kertas kerja beliau bertajuk “Freedom Of Religion: International And Constitutional Perspectives” yang menyebut: “Perlindungan yang diberikan kepada seseorang individu oleh Perkara 11(2) dan Perkara 12(3) hanyalah terhadap “satu agama yang lain daripada agamanya”. Peruntukan-peruntukan ini menimbulkan masalah terhadap hak-hak perlembagaan mereka yang tiada agama” (“The protection offered to a person by Articles 11(2) and 12(3) is only against “a religion other than his own”. These provisions pose problems for the constitutional rights of nonbelievers, atheists, agnostics, free thinkers and rationalists”).

(2) Kenyataan Datuk Dr Shad bahawa “Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR) juga memasukkan hak untuk tidak mempercayai” kelihatan bercanggah dengan beberapa keputusan Mahkamah Persekutuan bahawa UDHR tidak mengikat Kerajaan Malaysia. Antaranya ialah keputusan Mahkamah Persekutuan di dalam kes Merdeka University Bhd v. Government of Malaysia [1981] di mana Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa UDHR adalah “hanya satu pernyataan prinsip dan tidak mengandungi sebarang watak kewajiban” (“merely a statement of principles devoid of any obligatory character” dan “bukan satu alat yang mengikat dari segi undang-undang” (“not a legally binding instrument as such”). Begitu juga dengan keputusan Mahkamah Persekutuan di dalam kes Bato Bagi & Ors v. Kerajaan Negeri Sarawak and another appeal [2011] di mana Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa “kita tidak perlu menggunakan norma antarabangsa sebagai satu panduan untuk mentafsirkan Perlembagaan Persekutuan kita” (“we should not use international norms as a guide to interpret our Federal Constitution”).

(3) Kenyataan Datuk Dr Shad bahawa “Dakwaan Asyraf bahawa ateisme boleh menjejaskan ketenteraman awam tidak disokong oleh data sosial” kelihatan bercanggah dengan peruntukan Seksyen 298(A)(1) Kanun Keseksaan, yang turut saya gunakan untuk membuat laporan polis terhadap Hannah Yeoh pada 17 Mei 2017, yang sekadar menggunakan istilah-istilah “menyebabkan, atau cuba menyebabkan atau mungkin menyebabkan” dan “memprejudis, atau cuba memprejudis, atau mungkin memprejudis” (“causes, or attempts to cause, or is likely to cause” dan “prejudices, or attempts to prejudice, or is likely to prejudice”) sahaja yang tidak memerlukan kepada penggunaan data sosial begini. Samalah juga dengan perintah pengharaman buku G25 yang sekadar menggunakan istilah-istilah “mungkin memudaratkan ketenteraman awam”, “mungkin menggemparkan fikiran orang ramai” dan “mungkin memudaratkan kepentingan awam” sahaja yang turut tidak memerlukan kepada penggunaan data sosial begini.

Apa pun, dakwaan bahawa ateisme boleh menjejaskan ketenteraman awam ini sebenarnya bukan dimulakan oleh Datuk Dr Asyraf Wajdi, tetapi Dr Siti Mariah Mahmud, Ahli Parlimen Kota Raja merangkap Ketua Angkatan Wanita (AWAN) AMANAH.

Untuk ketepatan, ini adalah transkripsi ucapan Dr Siti Mariah di Parlimen semalam:

“Dan kita tahu bahawa yang diwarwarkan itu kebanyakan yang terlibat (dengan ateisme) kita dapat melihat adalah muka-muka Melayu, ya, dan orang-orang muda dan kehadiran mereka dalam masyarakat ini sangat menggusarkan dan menyebabkan masyarakat merasakan sebagai satu ancaman kepada anak muda kita… Mereka ini bukan sahaja setakat tidak mempercayai adanya Tuhan, tetapi tindakan mereka agak agresif, bila di dalam Facebook dan sosial media mereka menyerang agama-agama lain, juga menyerang agama Islam.”

Tahniah saya ucapkan kepada Dr Siti Mariah di atas ucapan beliau di Parlimen yang kelihatan agak berlawan dengan arus AMANAH dan parti-parti lain Pakatan Harapan ini. Jika getir di sana, boleh sahaja Dr Siti Mariah pertimbangkan kembali ke parti lama.

Saya masih teringat betapa bila isu ini ula muncul dulu, empat individu, iaitu Dr Maszlee Malik, Datuk Dr Ahmad Farouk Musa, Rev Dr Sivin Kit dan Dr Azmi Sharom, telah dipetik membantai kerajaan di dalam portal berita South Cina Morning Post pada 13 Ogos lalu.

Kita tunggu lihat siapakah pula yang akan membela golongan ateis pada kali ini.

*Dr Kamarul Zaman Yusoff, Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (MAPAN),
Universiti Utara Malaysia (UUM).


Penipuan Pemilihan Semula DAP Untuk Kekalkan Kuasa ?





KUALA LUMPUR – Seorang ahli DAP mengejutkan ramai pihak apabila mengemukakan surat aduan kepada Pendaftar Pertubuhan (ROS) supaya membatalkan Pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) parti itu pada 12 November lalu.

Surat aduan oleh Ahli DAP Cawangan Bukit Nenas, B.Kalayene yang tersebar di media sosial mendakwa pemilihan itu wajar diharamkan kerana ia berlangsung secara tidak telus bagi mengekalkan penguasaan kumpulan tertentu yang pro kepada Dinasti Lim.

Malah, dakwa beliau, pemilihan semula pimpinan DAP itu tetap membuahkan hasil yang sama iaitu tiada calon Melayu yang menang kecuali Zairil Khir Johari walaupun DAP selama ini mendakwa ia parti berbilang bangsa termasuk Melayu.

“Pemilihan kali ini dilihat sebagai telah dirancang, sekadar syarat memenuhi arahan ROS untuk terus mengukuhkan kedudukan Dinasti Lim,” dakwanya seperti yang terkandung dalam surat aduan kepada ROS tersebut semalam.

Pemilihan semula CEC) DAP baru-baru ini menyaksikan kebanyakan barisan kepimpinan lama kekal menerajui parti itu kecuali hanya dua muka baharu sahaja yang dipilih.

Kalayene mengemukakan beberapa bukti pemilihan semula CEC DAP itu telah dirancang oleh pimpinan DAP untuk mengekalkan penguasaan kumpulan pro Dinasti Lim seperti berikut:

1. Tiada pemerhati dibenarkan melihat proses pengiraan kertas undi pemilihan CEC DAP. Cuma Anthony Loke ahli DAP dibenarkan masuk ke tempat proses pengiraan undi menimbulkan persoalan dan tanda tanya.

2. Jumlah sebenar delegasi dan cawangan yang layak memilih CEC DAP sebanyak 2,576, tetapi agak menghairankan jumlah kehadiran cuma 1,356. Sekretariat malah tidak mengumumkan jumlah cawangan yang hadir.

3. Perlembagaan DAP menghadkan jawatan Setiausaha Agung selama tiga penggal atau lapan tahun tetapi anak Lim Kit Siang iaitu Lim Guan Eng telah memegang jawatan itu selama 13 tahun. Guan Eng sedang berhadapan kes mahkamah tetapi masih dibenarkan memegang jawatan Setiausaha Agung. –MYNEWSHUB.CC

LIHAT VIDEO DI SINI

BN berisiko kalah di T'ganu, kata penganalisis

MALAYSIAKINI



Sejarah dua kali kekalahan BN di Terengganu berisiko berulang pada pilihan raya umum (PRU) ke-14, kata penganalisis politik.

Pensyarah Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, ia boleh terjadi jika terdapat perbalahan antara pemimpin BN, apatah lagi jika ia diketahui umum.

"Dengan perbalahan seperti itulah, pengundi di negeri itu menjadi tidak yakin untuk meneruskan kelangsungan pentadbiran sedia ada," katanya seperti dipetik Sinar Online.

"Faktor yang sering menghantui BN adalah apabila ada pemimpin yang tidak boleh menerima jika tidak dipilih sebagai calon. Wujudlah sabotaj dalaman. Peluang ini yang akan digunakan pembangkang," katanya lagi.

Perbalahan antara pemimpin Umno negeri itu memang pernah berlaku sebelum ini.

Pada tahun lalu, bekas menteri besar Datuk Seri Ahmad Said pernah mengusulkan undi tidak percaya terhadap Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman tetapi ditolak speaker.


Dua tahun sebelumnya, iaitu pada 13 Mei 2014, Ahmad Said dan dua lagi anggota dewan undangan negeri (ADUN) Ghazali Taib (Ajil) dan Roslee Daud (Bukit Besi) mengisytiharkan keluar Umno beberapa jam selepas Ahmad meletakkan jawatan sebagai menteri besar.

Namun, ketiga-tiga mereka menarik balik keputusan itu sehari kemudian.

Sebelum itu pula, pelantikan Ahmad Said sebagai menteri besar pada 2008 juga dibantah 23 ADUN BN yang menyokong Datuk Seri Idris Jusoh, menteri besar sebelumnya.

Mohd Azizuddin berkata lagi, jika berlakunya kejatuhan negeri-negeri yang ditadbir BN pada PRU akan datang, ia berpunca daripada kesilapan mereka sendiri.

Tambahan pula, katanya lagi, pembangkang terutama Pakatan Harapan (HARAPAN) pula pada masa ini tidak mempunyai kekuatan yang cukup kerana pelbagai masalah, antaranya isu pendaftaran dengan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) dan masalah dalaman mereka sendiri.

"Umum mengetahui, BN sememangnya mempunyai kekuatan pada negeri-negeri yang dipegang, tetapi mereka jugalah yang menjadi penyebab kegagalan untuk bertahan," katanya lagi seperti dipetik.

Buku teks baru BI, MP minta penjelasan kementerian pendidikan

MALAYSIAKINI
 


Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah diminta untuk menjelaskan mengapa buku teks baru Bahasa Inggeris dikatakan diperolehi tanpa melalui tender terbuka, tidak seperti yang sebelumnya.

Ahli Parlimen Bukit Bendera Zairil Khir Johari berkata minggu ini di Parlimen, beliau telah membangkitkan keputusan KPM untuk menggunakan buku teks baru "import" Minds Super and Pulse 2, untuk menggantikan buku teks KSSR (Kurikulum Standard Sekolah Rendah) dan KSSM (Kurikulum Standard Sekolah Menengah) yang sedia ada untuk Tahun 1 dan pelajar Tingkatan 1.

Buku teks lama itu, katanya, telah diluluskan "tidak lama dahulu", melalui proses tender terbuka.

Walaupun buku teks tempatan, katanya, adalah tertakluk kepada tender terbuka yang kompetitif, tetapi menambah bahawa pembelian buku teks 'import' melalui penerbit tempatan untuk Super Minds dan Pulse 2 nampaknya dilakukan secara rundingan terus.

Oleh itu, katanya dalam satu kenyataan hari ini, KPM berhutang penjelasan kepada rakyat Malaysia mengapa mereka mengambil keputusan untuk menggantikan buku teks tempatan dengan yang 'diimport' dalam masa yang singkat dan dikatakan tanpa prosedur tender yang sewajarnya.

"Ini juga menimbulkan persoalan lain: mengapa membuat keputusan untuk menggunakan buku 'import' baru tidak sampai setahun selepas buku tempatan telah diluluskan dan dibeli?" tanya ahli Parlimen itu, yang juga jurucakap parlimen DAP untuk pendidikan, sains dan teknologi.

Awal minggu ini, Zairil membidas kementerian berkenaan kerana bertukar kepada buku-buku yang lebih mahal, yang katanya adalah tidak wajar kerana ia juga telah dicetak dalam negara walaupun kandungannya dari sumber Eropah.

Katanya, buku teks sebelum ini akan membabitkan kos kira-kira RM7.1 juta berdasarkan jumlah pendaftaran pelajar semasa, katanya.

Manakala kos bagi dua buku baru itu, tambahnya, dianggarkan berjumlah RM33 juta jika dibekalkan kepada semua murid Tahun 1 dan Tingkatan 1 di seluruh negara.

Ketika dihubungi, Zairil memberitahu Malaysiakini beliau telah dimaklumkan mengenai perkara itu daripada "sumber dalaman" dan berharap kementerian boleh menjelaskannya.

Bagi buku teks tempatan, katanya, tender dijalankan setiap tahun.

Tetapi, tidak ada tender dipanggil untuk buku-buku yang diimport, dakwanya dalam satu mesej kepada Malaysiakini.

Zairil juga terus mengkritik buku-buku baru itu yang menurutnya menyalin secara borong sumber Eropah, termasuk kandungan dan konteks yang khusus bertujuan bagi pengguna di negara asalnya.

Beliau juga menyatakan bahawa"hampir setiap halaman dalam buku teks itu" merujuk kepada kandungan digital yang tidak dibekalkan dengan versi Malaysia.

Dalam erti kata lain, tambahnya, KPM telah membeli buku teks ini tanpa disertai kandungan digital, walaupun kos buku-buku itu, menurutnya, empat kali lebih tinggi daripada buku tempatan.

CEO JKP disiasat SPRM dan jawatankuasa dalaman, kata Zainal

MALAYSIAKINI



Syarikat berkaitan kerajaan (GLC) JKP Sdn Bhd menafikan tuduhan mempunyai konflik kepentingan yang dilemparkan oleh Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution.

Dalam satu sidang media di Pulau Pinang semalam, Saifuddin mendakwa ketua pegawai eksekutif (CEO) firma itu menyerahkan projek bernilai RM3 juta kepada sebuah syarikat swasta yang mana beliau merupakan pengarahnya sendiri yang mewujudkan konflik kepentingan.

Hari ini, pengerusi JKP Sdn Bhd Zainal Abidin Osman berkata CEO firma berkenaan, Samrulzaman K Mohideen hanya dilantik memegang jawatan itu pada Mei tahun ini.

“Kami belum menerima apa-apa aduan rasmi berkenaan CEO itu,” kata Zainal yang juga mempengerusikan Majlis Pembangunan Bumiputera Pulau Pinang.

“Namun hal ini telah dibangkitkan dalam media sosial sejak Oktober lalu melalui klip video oleh seseorang bernama Sanjay Subramaniam yang membuat laporan dengan SPRM pada 31 Oktober.

“Sejak itu, lembaga pengarah JKP Sdn Bhd dalam sebuah mesyuarat yang dipengerusikan oleh saya pada 30 Okt telah menubuhkan jawatankuasa siasatan dalaman bagi menyiasat tuduhan terhadap CEO itu,” katanya yang juga merupakan pengerusi badan perhubungan Umno Pulau Pinang.

“Jawatankuasa siasatan dalaman itu terdiri daripada tiga orang dari lembaga pengarah JKP Sdn Bhd yang telah menasihati CEO itu agar bercuti sementara siasatan dijalankan,” kata Zainal.

Zainal berkata Samrulzaman juga telah mengambil tindakan undang-undang terhadap Sanjay atas tuduhan memfitnah pada 6 Nov.

Samrulzaman memberitahu Malaysiakini semalam bahawa ia adalah “cerita lama” namun enggan mengulas lanjut berkenaan dakwaan Saifuddin.

Zainal berkata dakwaan Saifuddin berdasarkan tuduhan sama oleh Sanjay yang juga merupakan anggota PKR.

Beliau menambah siasatan dalam akan selesai dalam tempoh dua minggu dan sedang menunggu dokumen berkaitan.

“Keputusan siasatan dalaman itu akan dilaporkan kepada lembaga pengarah yang akan mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat,” katanya.

“Sehingga kini, SPRM atau Polis Unit Jenayah Komersial belu memanggil mana-mana pengarah, pegawai atau kakitangan JKP Sdn Bhd untuk membantu siasatan,” kata Zainal.

“Kami akan memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa termasuk menyerahkan salinan laporan siasatan dalaman dan dokumen berkaitan dengan kes ini,” tambahnya.

Majlis Pembangunan Bumiputera Pulau Pinang ditubuhkan 40 tahun lalu bagi membantu golongan bumiputera dalam bidang ekonomi, perumahan, pendidikan dan modal insan.

JKP ditubuhkan pada 12 Julai 1995 di bawah Kementerian Kewangan Diperbadankan.

Jangan laga-lagakan Umno dan PAS, kata Ku Nan

MALAYSIAKINI



Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Mansor menggesa semua pihak agar tidak mengapi-apikan hubungan antara partinya dengan PAS.

Beliau berkata hanya masa yang dapat menentukan kerjasama antara dua parti terbesar Melayu itu.

"Kita tunggulah, jangan laga-lagakan Umno dan PAS dan juga bangsa lain, termasuk parti komponen.

"Tunggu sahaja apa yang akan berlaku. Bukan hanya dengan PAS, barangkali dengan parti lain pun kita boleh bergabung, tak ada masalah," katanya kepada pemberita di Majlis Nadi Negara 2017 di PWTC, hari ini.

Beliau yang senang disapa Ku Nan berkata demikian ketika ditanya tentang salam perpaduan yang dihulurkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semasa Perhimpunan Agung Umno (PAU) dua tahun lalu.

Pada PAU yang dijadual berlangsung Disember ini, ia dijangka sekali lagi menjadi topik hangat apatah lagi dengan pilihan raya umum (PRU) ke-14 yang semakin hampir.

selain daripada pilihan raya umum (PRU) ke-14, hubungan antara dua parti itu dijangka bakal menjadi topik hangat dalam Perhimpunan Agung Umno pada Disember ini.

PAS bagaimanapun konsisten berkata, parti itu kekal dengan Gagasan Sejahtera dan hubungan dengan Umno hanya dalam isu berkaitan Melayu dan Islam.

LIHAT VIDEO DI SINI


Jumaat, 24 November 2017

Pemimpin DAP Rasis Melampau Apabila Sebut ‘Melayu Pukimak’

 
 


Pemimpin DAP mengamalkan politik rasis melampau apabila memaki satu kelompok kaum dan bukannya seorang individu yang dicercanya, kata Ketua Pemuda Parti Sosialis Malaysia (PSM) Khalid Mohd Ismath.

Beliau merujuk kepada ucapan Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming yang menggunakan kenyataan kesat ‘Melayu Pukimak’ dalam ceramahnya.

Khalid berkata jika Kor Ming hanya mahu memaki Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir sepatutnya batang tubuh Zambry yang patut dijadikan sasaran dan bukannya kelompok Melayu.

“Nga Kor Ming sebut “Melayu Pukimak” dalam ceramah dia depan kaum Cina.

“Pelik, kenapa perlu sebut nama kaum dan bangsa? Sebut nama orang yang dia marah sahaja cukuplah.

“Ini seolah-olah mahu bermain perkauman sedangkan kita semua setuju untuk menolak rasisma lama dahulu lagi.

“DAP, tolonglah jangan simpan Nga ini lagi,” kata Khalid dalam Facebook.

Bos PKR Pulau Pinang mahu berdepan Lim hari ini

MALAYSIAKINI



PKR Pulau Pinang menyatakan sokongan terhadap anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kebun Bunga Cheah Kah Peng, yang dilarang menguruskan pendaftaran mangsa banjir oleh kerajaan negeri.

“Langkah ini tidak hormat pada hak demokratik rakyat Kebun Bunga yang mengundi Cheah dalam pilihan raya umum lepas.

“Sebagai wakil rakyat yang mendapat mandat daripada penduduk Kebun Bunga, Cheah tidak sepatutnya dilarang daripada menjalankan tanggungjawabnya,” kata Pengerusi PKR negeri Mansor Othman kepada Malaysiakini.

Cheah, yang berkecuali ketika undian yang usul Umno berkenaan penambakan tanah dua tahun lalu, dilarang menguruskan bantuan RM700 melalui surat bertarikh 20 November lalu daripada Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Farizan Darus.

Tiada alasan diberikan.

Cheah dan empat ADUN PKR lain sebelum ini berselisih pendapat dengan Ketua Menteri Lim Guan Eng selepas berkecuali dalam pengundian usul Umno untuk menghentikan semua projek penambakan pada 2015.

Lim mendakwa mereka cuba mensabotaj kerajaan Pulau Pinang. Cheah juga dipecat daripada jawatan pengarah Penang Hill Corporation.

Cheah pada 10 November lalu juga mempersoal pengkorporatan Penang Botanic Gardens.

Selain beliau, ADUN Permatang PASIR Salleh Man daripada PAS juga tidak dibenarkan menguruskan pemohon bantuan mangsa banjir.

Sementara itu, Mansor yang juga bekas timbalan ketua menteri Pulau Pinang berkata, penyerahan pengurusan bantuan banjir di Kebun Bunga kepada ADUN DAP Pulau Tikus Yap Soo Huey adalah langkah meminggirkan PKR dalam kerajaan negeri.

Difahamkan Mansor mahu berdepan dengan Ketua Menteri Lim Guan Eng susulan isu itu hari ini.
Mansor juga menolak alasan Lim bahawa terdapat perubahan prosedur dalaman sebagai “naif dan tidak boleh diterima”.

Sementara itu, Pengarah Strategik Ketua Menteri Datuk Saifuddin Nasution yang juga setiausaha agung PKR enggan mengulas berkaitan larangan terhadap Cheah itu.

Exco kerajaan negeri merangkap timbalan ketua Pemuda PKR Dr Afif Bahardin pula berharap kedua-dua parti dapat menyelesaikan isu itu dengan segera.

Kenapa pemimpin BERSATU perlu berbohong?

MALAYSIAKINI


 

ULASAN  Setahun telah berlalu sejak saya diberitahu bahawa Sayap Srikandi BERSATU belum didaftarkan dan ditubuhkan pada Disember tahun lalu.

Menurut Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Shahruddin Md Salleh, jawatan ketua srikandi BERSATU secara teknikalnya tidak sah kerana sayap srikandi belum wujud.

Malah Timbalan Pengerusi BERSATU, Datuk Seri Mukhriz Mahathir sendiri memaklumkan kepada saya di hadapan setiausaha agung bahawa pada ketika itu hanya sayap ARMADA (Pemuda BERSATU) sahaja yang baru didaftarkan dan ditubuhkan.

Semalam saya dikejutkan sekali lagi apabila mendapat tahu bahawa sayap ARMADA sehingga kini masih belum wujud dalam sistem Pendaftar Pertubuhan (ROS)!

 
Ini bermaksud, secara tenikalnya majlis angkat sumpah serta perlantikan semua barisan kepimpinan ARMADA BERSATU di peringkat pusat, negeri, bahagian dan cawangan juga adalah tidak sah.
 Kenapa perlu berbohong kepada saya dan ahli ketika itu? Dan berapa banyak pembohongan yang kepimpinan BERSATU nak lakukan terhadap ahli-ahlinya?

Saya harap Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yasin tidak menggunakan isu lokus standi ke atas saya sekiranya saya mengkritik BERSATUsebagai parti yang tidak mengamalkan tadbir urus dengan baik dan berlandaskan integriti.

Saya ingin bertanya kepada presiden dan timbalan presiden BERSATU di mana perjuangan untuk akauntabiliti, integriti dan ketelusan yang selama ini mahu diperjuangkan?

Di mana tagline BERSATU yang saya dan anda cipta bersama di rumah Pengerusi BERSATU, Tun Dr Mahathir Mohamad pada 2016, “Bersatu, Beramanah, Bermaruah”.

Jawablah soalan saya dan jangan lagi berselindung di belakang ahli-ahli dan hanya berani menghantar keyboard warriors untuk menyerang saya di media sosial. Saya hanya wanita terakhir yang berdiri seorang diri di tengah gelanggang. Saya hanya the last woman standing.

Hentikan alasan yang biasa digunakan, yakni parti baru yang masih banyak kelemahan.

 
Jika BERSATU mendabik dada bahawa ia mampu memimpin kerajaan baru di Putrajaya selepas PRU14 kerana pengalaman pucuk pimpinannya yang berpuluh tahun dalam kerajaan, jangan beri alasan bahawa parti baru perlukan masa untuk sempurna.

 Jika pengasas-pengasas parti juga ditipu, beritahu saya bagaimana saya boleh yakin bahawa anda tidak akan menipu rakyat.

Jika dahulu saya diketawakan dan dilabel gila jawatan kerana kononnya tergesa-gesa melantik barisan kepimpinan Srikandi, hari ini dengan kuasa Allah Taala yang maha adil maka Allah telah menunjukkan kepada semua rakyat siapakah yang gila jawatan dengan sesuka hati dan secara semberono mencantas sesiapa sahaja yang mereka tidak sukai untuk mereka terus membohongi rakyat.

Tanggungjawab saya di sisi Allah untuk bercakap benar walaupun ia pahit untuk diterima.

Ia bukan tentang saya, Dr Mahathir, Muhyiddin atau Mukhriz tetapi ia tentang rakyat. Biarlah saya dikecam, dihina dan dimaki atau apa sahaja yang mampu anda lakukan dengan kejahatan dalam hati, namun kuasa Allah Taala akan tetap melindungi hambaNya yang dianiaya.

Tiada apa yang mustahil di dunia ini dengan kuasa Allah yang maha besar.

 
Saya menggesa kepimpinan BERSATU untuk segera menginsafi kesilapan. Kembalilah ke landasan perjuangan bangsa yang sebenar.

 Contohilah ayahanda Dr Mahathir yang berani bercakap benar dan saya sentiasa menghargai amanatnya kepada saya untuk sentiasa berani bercakap benar untuk kepentingan agama, bangsa dan negara.

Jika Rasulullah kekasih Allah dibaling najis dalam membawa kebenaran, apalah sangat sekerdil-kerdil insan seperti saya ini untuk tidak berani berhadapan caci-maki dan fitnah jahat golongan tertentu.

Tuhan saya hanya satu. Kepada Allah saya serahkan perjuangan saya demi negara yang saya cintai.
Sudah sampai masanya untuk saya keluar dari hibernasi dan berhadapan dengan kebenaran kerana jika inilah yang ditakdirkan oleh Allah untuk saya lakukan, saya akan lakukannya dengan istiqomah dan jihad keranaNya.

Semoga bumi Malaysia yang dipinjamkan dan diamanahkan oleh Allah untuk syiar Islam akan kekal dalam kekuasaan pemimpin yang mendokong kuasa pemerintahan Islam.


ANINA SAADUDIN adalah presiden Empirical Malaysia.

Daesh: Wanita dihukum penjara lapan tahun

MALAYSIAKINI



Seorang wanita dihukum penjara lapan tahun oleh Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan berniat ke Syria bagi maksud persediaan untuk melakukan perbuatan keganasan, tahun lepas.

Hakim Datuk Mohd Sofian Abd Razak menjatuhkan hukuman itu terhadap Nur Afiqah Farhanah Che Samsudim, 26, dan memerintahkan hukuman itu berkuat kuasa dari tarikh tertuduh ditangkap ada 4 April 2017.

Terdahulu, peguam Mohd Hezri Shaharil, yang mewakili tertuduh, memohon hukuman ringan terhadap anak guamnya dengan mengambil kira tertuduh benar-benar insaf dan menerima kesalahan itu sebagai balasan dan dia juga telah bertaubat atas perbuatan itu.

"Tertuduh kehilangan bapa pada usia 17 tahun dan mula mengenali seorang lelaki yang kemudian menjadi kekasihnya namun pada 2014... kekasihnya itu telah meninggal dunia. Tertuduh sangat tertekan dan kerap menangis di kubur.

"Tertuduh kemudian berkahwin dengan adik kekasihnya namun hanya bertahan dua bulan kerana suaminya penagih dadah. Dia kemudian menyambung pelajaran dalam kursus berkaitan perubatan,” katanya

Peguam itu berkata akibat kurang matang dan tekanan hidup, tertuduh mula mendekati agama dan mengenali seorang lelaki yang berada di Syria melalui laman sosial di mana lelaki itu mengajaknya ke Syria untuk berkahwin dan tertuduh setuju.

"Akhirnya tertuduh tersedar bahawa dia telah terjebak ke dalam perjuangan sesat dan jihad palsu," katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Mustaffa P Kunyalam memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal kepada tertuduh mengambil kira keseriusan kesalahan yang dilakukan.

Mohd Sofian dalam penghakimannya, berkata tertuduh bernasib baik kerana ditahan di sempadan Syria dan jika dia berjaya meloloskan diri sudah pasti nasib tertuduh tidak diketahui.

"Jihad yang sebenar adalah pada diri sendiri dan keluarga, bagaimana untuk menjadi muslim sejati.
Mahkamah bersimpati dengan perjalanan hidup tertuduh yang penuh liku dan ranjau sepanjang jalan namun pergi ke Syria bukan penyelesaian kepada masalah,”katanya.

Mohd Sofian turut menasihati Nur Afiqah Farhanah, yang menangis dalam kandang tertuduh, supaya insaf dan kembali ke pangkuan ibunya selepas menjalani hukuman itu.

Wanita yang tidak bekerja itu didakwa dengan niat hendak pergi ke Syria, dengan berlepas dari Malaysia ke Singapura dan seterusnya ke Turki bagi maksud persediaan melakukan suatu perbuatan pengganas di Syria.

Tertuduh melakukan kesalahan itu di Balai Pelepasan, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), pada jam 5.51 petang 29 Ogos 2016. Dia didakwa mengikut Seksyen 130JA Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan hendaklah dikenakan denda.

Berdasarkan fakta kes, sebagai persediaan ke Syria, tertuduh telah menjual Perodua Myvi miliknya dengan harga RM5,000 dan sebelum berangkat, tertuduh menulis surat kepada ibunya memberitahu dia hendak berhijrah ke Syria serta ingin mati syahid.

Tertuduh tiba di Istanbul, Turki pada 30 Ogos 2016 dan tinggal di sana selama beberapa bulan sebelum ditangkap pada 9 Februari lalu di sempadan Turki dan Syria oleh pihak berkuasa Turki.

Pada 4 April 2017, tertuduh dihantar pulang ke Malaysia dan ditangkap anggota polis di KLIA dan semasa siasatan, tertuduh memberi kenyataan dia berniat ke Syria selepas mendapat arahan daripada Muhammad Wanndy Mohamed Jedi dan Ismail Hosain.- Bernama

Kementerian Kesihatan tegah penjualan rokok ‘kiddie pack’

THE MALAYSIAN TIMES
 


KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan hari ini sekali lagi menegaskan tidak akan sesekali menyokong langkah penjualan rokok ‘kiddie pack’ atau pek mini, persidangan Dewan Rakyat diberitahu.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata penjualan rokok “kiddie pack” yang mengandungi kuantiti kurang daripada 20 batang dan lebih murah hanya akan menarik lebih ramai perokok terutamanya remaja.

“Kementerian memandang serius amalan merokok di negara ini yang merupakan faktor risiko kepada pelbagai masalah kesihatan dan kematian pra-matang.

“Larangan penjualan rokok ‘kiddie pack’ adalah untuk membendung masalah penggunaan rokok dalam kalangan remaja,” katanya ketika menjawab soalan asal Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh (BN-Setiu) berhubung perkara tersebut pada sesi soal jawab.

Dr Hilmi berkata negara ASEAN lain juga mengambil langkah melarang pembungkusan rokok dalam pek mini dan sehingga kini hanya empat negara di rantau ini masih belum melaksanakan kawalan tersebut iaitu Thailand, Myanmar, Filipina dan Indonesia.

Menjawab soalan tambahan Dr Azman Ismail (PKR-Kuala Kedah) mengenai keberkesanan penguatkuasaan larangan merokok dalam kalangan remaja, Dr Hilmi berkata satu cadangan untuk mewujudkan undang-undang baharu berkaitan produk tembakau kini sedang diteliti Jabatan Peguam Negara (AG).

Beliau berkata cadangan menaikkan had umur membeli dan menjual rokok dari 18 kepada 21 tahun akan dibentangkan di Parlimen setelah mendapat penelitian daripada AG.– Bernama

Kevin Morais: Tukang jahit dipenjara beri keterangan palsu

THE MALAYSIAN TIMES


KUALA LUMPUR: Seorang tukang jahit yang merupakan saksi pendakwaan dalam perbicaraan kes pembunuhan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Anthony Kevin Morais, dipenjara empat tahun oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini, selepas didapati bersalah atas pertuduhan memberi keterangan palsu kepada mahkamah, tahun lalu.

Majistret Namirah Hanum Mohamed Albaki, menjatuhkan hukuman itu terhadap S .Yogeswari, 38, yang merupakan saksi pendakwaan ke-37 dalam perbicaraan kes bunuh itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Namirah Hanum memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula hari ini dan turut mengarahkan Yogeswary yang merupakan seorang ibu tunggal membayar kos pendakwaan berjumlah RM1,500.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan permohonan peguam J.Jayarubbiny yang mewakili wanita itu untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara sementara menunggu rayuan dengan menaikkan wang jaminan daripada RM5,000 kepada RM13,000.

Tertuduh juga diperintahkan supaya memfailkan notis rayuan sebelum 30 Nov.

Mahkamah membuat keputusan itu selepas mendengar keterangan enam saksi pendakwaan dan tiga saksi pembelaan dalam perbicaraan kes itu.

Yogeswari, didapati bersalah memberi keterangan palsu semasa memberi keterangan sebagai saksi dalam prosiding perbicaraan jenayah di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah seperti dalam Lampiran B (Lampiran keterangan palsu) yang dia (tertuduh) mengetahui keterangannya adalah palsu.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Mahkamah Tinggi 1, Kompleks Mahkamah Jalan Duta, pada 11 pagi, 27 Sept 2016 mengikut Seksyen 193 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda.

Lampiran B itu merujuk kepada keterangan Yogeswari mengenai kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton bernombor PEP 1135 miliknya yang didakwa digunakan untuk melanggar kenderaan dipandu Kevin Morais.

Dalam keterangannya sebelum ini, wanita itu memberitahu mahkamah bahawa pada 2 Ogos 2015 sehingga 11 Sept 2015, kenderaan itu ada bersamanya pada setiap malam, pada tarikh-tarikh tersebut.

Keterangan itu bercanggah dengan keterangan yang diberikannya kepada Pegawai Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim, Kedah, Inspektor M.Vasu pada 27 Sept 2015, iaitu kenderaan tersebut tidak ada bersamanya tetapi seorang lelaki bernama Selvam menyimpan kenderaan itu sepanjang masa pada tarikh-tarikh berkenaan.

Terdahulu, Jayarubbiny merayu supaya anak guamnya dikenakan hukuman ringan dengan alasan wanita itu mempunyai seorang anak perempuan berusia lapan tahun yang masih memerlukan kasih sayang dan itu merupakan kesalahan pertama tertuduh.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa RayaMohammad Izzat Fauzan memohon tertuduh dikenakan hukuman pemenjaraan dengan mengambil kira faktor kepentingan awam.

“Tindakan tertuduh yang memberi keterangan palsu dalam kes pembunuhan berprofil tinggi itu telah menyukarkan dan menghalang pihak pendakwaan untuk menggunakan keterangan-keterangan sedia ada untuk menyokong kes itu. Tindakannya juga seolah-olah cuba melindungi tertuduh dalam kes pembunuhan itu.

“Ia adalah kesalahan serius dan mahkamah perlu mengenakan hukuman setimpal tanpa terpengaruh dengan isu sentimental tertuduh,” katanya.–Bernama